Wednesday, April 30, 2008

Aqidah Laman Interaksi Mufti 'Beralih Arah' ?


Hairan bin Ajaib. Itulah yang dapat penulis katakan apabila memasuki link yang sebelum ini penulis sertakan di ruangan 'jawapan kepada persoalan aqidah'. Penulis meletakkan link di blog ini berhubung dengan laman interaksi mufti dalam persoalan 'Di mana Allah' hairan mengapa pihak yang bertanggungjawab 'terlalu rajin' dalam mengemas kini jawapan tersebut.


Sebagai bukti penulis ingin berkongsi perbezaan yang jelas jawapan sebelum dan selepas pihak yang bertanggungjawab mengambil keputusan untuk mengubah jawapannya.(Sila klik gambar/link di bawah gambar untuk lihat perbezaannya yang jelas dibuat).



Fatwa /Jawapan Sebelum Dikemas Kini (2/3/2005)



Fatwa/Jawapan Selepas Dikemas Kini(11/3/2008)

Penulis merasakan jawapan ’asal’ lebih jelas dan mampu membuatkan orang yang bertanya dan yang membaca memahaminya. Tetapi apabila perubahan jawapan dibuat dan dikemas kini, jawapan itu seperti tergantung dan memerlukan penjelasan yang lebih panjang. Perbezaan dua jawapan berkenaan soal aqidah ini penulis rasakan adalah satu usaha dangkal pihak yang bertanggungjawab terhadap laman web interaksi mufti ini apabila menganggap masyarakat awam adalah jahil untuk didedahkan dengan jawapan daripada hadith-hadith dan ayat-ayat Al-Quran tentang hal tersebut.

Penulis cuba bersangka baik, tetapi persoalannya mengapa jawapan yang ringkas dan padat itu ditukar menjadi jawapan yang pendek dan tergantung? Allahu’alam. Penulis sama sekali tidak menuduh mana-mana pihak bahawa terdapat penyelewengan dalam jawapan tersebut cuma sahaja timbul rasa pelik mengapa kemas kini itu perlu dilakukan?

Kemas kini pada tarikh 11-03-2008 seharusnya menjadikan jawapan yang diberikan lebih mantap dan meyakinkan bukannya membuang 33 baris daripada 35 baris dan hanya meninggalkan 2 baris jawapan yang samar-samar. Diharapkan pihak pejabat mufti tidak terpengaruh dengan dakyah sesetengah golongan yang cuba menyesatkan kelompok yang beriman dengan kategori-kategori Tauhid Rubbubiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ Wa Sifat. Jawapan yang samar-samar seperti ’wujudnya Allah Azza Wa Jalla tidak dilingkungi oleh tempat seolah-olah membelakangi ayat-ayat Quran yang jelas menjelaskan sifat istiwa’nya Allah di atas ’Arasy.

Para pembaca sudah cukup matang untuk membezakan antara dua gambar yang dikemukan di atas. Maka gunakan kebijaksanaan anda untuk menilai, daripada dua jawapan di atas. Hanya akan timbul dua pilihan, sama ada jawapan asal itu salah dan perlu diperbetulkan ataupun jawapan yang telah dikemas kini itu lebih tepat berbanding yang lama.

Tulisan ini tidak sama sekali bertujuan mempertikaikan aqidah mana-mana pihak. Tetapi persoalan timbul dalam benak penulis apabila mereka yang bertugas di pejabat mufti barangkali mempunyai pemahaman yang berbeza dalam memahami ilmu aqidah. Cuma benarkah aqidah yang dicanang-canangkan sesetengah pihak wujudnya Allah tidak bertempat? Diharap pihak yang bertanggungjawab dapat melakukan analisa yang adil dan telus. Di bawah penulis sertakan perbahasan dan bahan bacaan ringkas untuk para pembaca membuat pertimbangan.

Fatwa/Jawapan Asal dari laman Mufti

Ringkasan Aqidah Imam 4 Mazhab

Di mana Allah Azza Wa Jalla?

Allah Istiwa' 'Ala 'Arasy

Aqidah Allah Wujud Tidak Bertempat Aqidah Muktazailah dan Jahmiyyah


Wallahu’allam.
Ibn Yusof
1 Mei 2008/ 24 Rabi' Al-Thani 1429
11:14 a.m
http://www.ibnyusof.blogspot.com/

Thursday, April 24, 2008

Rantaian Blogers Dan Kejujuran Berdakwah

Pernahkah anda terfikir, jika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam masih hidup dan menjenguk blog anda, apa agaknya reaksi baginda Shallallahu 'alaihi wa Sallam? Soalan ini penulis lontarkan kepada semua blogers yang bergelar muslim, terutamanya bagi mereka yang masih menganggap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam sebagai contoh dan tauladan.

Aisyah Radhiyallahu ‘anha ketika ditanya tentang akhlak Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau Radhiyallahu ‘anha menjawab.
“Akhlak beliau (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam) adalah Al-Qur’an”Kemudian Aisyah Radhiyallahu ‘anha membacakan ayat.“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” [Al-Qalam : 4].Kata “khuluqin ‘azhim” (budi pekerti yang agung) dalam ayat ini, mencakupi seluruh akhlak terhadap semua makhluk.

Barangkali kekeliruan timbul apabila ada sesetengah blogers yang menganggap akhlak terhadap semua makhluk itu hanya mencakupi dunia realiti tetapi bukan dunia internet. Internet merupakan satu sarana yang boleh diguna pakai untuk tujuan dakwah. Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah apabila sesetengah blogers mengambil remeh tentang misi ini. Ada pula yang berkelakuan seperti penulisan mereka dalam alam maya ini tidak termasuk dalam perhitungan para malaikat, dengan itu mereka berkata (menulis) sewenang-wenangnya dan berbuat sesuka hati.


Para blogers boleh mencipta seberapa banyak laman yang dikehendaki secara percuma mahupun berbayar. Tidak perlu mendedahkan siapa, dari mana, jantina dan sebagainya. Maka mesej yang disebarkan boleh menular ke seluruh dunia tanpa para pembaca tahu siapa, dari mana, dan apa jantina penyebar asal. Maka hasilnya wujud para blogers atau penulid berani mati yang dalam mesej mereka menghalalkan caci maki, mendedahkan aib sesama muslim, bergosip atau mengumpat, melakukan fitnah, mengkafirkan mereka yang tidak sehaluan dan banyak lagi masalah.

Penulis merasakan kebebasan tanpa batasan ini menghakis kejujuran dalam diri para da’i dan merobek kepercayaan para mad’u. Penyamaran sedemikian menjadi punca sesetengah pihak berani menabur fitnah tanpa masyarakat mengetahui siapa mereka. Sedangkan para penulis muslim wajib berlaku jujur dalam menyampaikan ilmu. Tidak menjadi masalah jika kita menyertakan nama, nombor telefon atau email supaya para pembaca dapat menghubungi kita ataupun sekurang-kurangnya mengenali penulis. Adapun mereka yang kadang-kala menulis dan hanya dikenali dengan menggunakan nama samaran atau kun-yah seperti Al-XXX, Abu XXX, Ummu XXX dan sebagainya, penulis bukan mengkritik sunnah kun-yah akan tetapi penyamaran seperti ini dalam dunia maya hanya membuatkan para penulis kadang-kala cenderung berkelakuan di luar jangkaan apabila mengetahui diri mereka tidak dikenali. Malahan, perkara ini juga menyerlahkan ketakutan dalam berkarya. Kenapa perlu takut agar para pembaca mengenali kita jika apa yang dituliskan itu benar?

Selain itu, dengan menyertakan identiti sebenar para penulis, blogers, dan sebagainya, ini memberi ruang kepada para pembaca untuk memberi komen ikhlas dan kritikan membina. Apabila golongan penulis berakhlak dan bermoral, manakala pengkritik atau penulis yang menilai karya pula wajib bersangka baik. Bukankah hubungan dua hala sebegini dapat mewujudkan satu dunia penulisan yang harmoni? Pada pengamatan penulis, para penulis yang dikenali identiti diri mereka lebih berakhlak dan bermoral jika dibandingkan mereka yang menyorok di belakang nama samaran.

Karya bagi seseorang penulis ialah amanah yang wajib dijaga dan seruan yang perlu disampaikan. Maka apakah wajar seruan yang baik dan bermakna diberikan seorang penulis yang tidak berakhlak dan bermoral? Dalam masa yang sama, karyanya adalah amanah yang bakal dipersoalkan di padang mahsyar kelak. Para penulis dan blogers harus sedar bahawa kita bertanggungjawab atas setiap apa yang kita ucapkan, tuliskan, mahupun sebarkan. Jika tidak disoal di dunia ini kelak di akhirat kita akan tetap dipersoalkan tentang semua amalan yang kita lakukan, baik karya yang kita hasilkan, mesej yang kita sebarkan, hatta pernyataan yang kita tegakkan.

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى

Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawaban)?[1]

Kejujuran juga penting dalam sumber rujukan yang disertakan, ini adalah kerana jika kita melakukan kesalahan dalam sumber rujukan ianya boleh memberi kesan kepada kualiti penulisan kita. Antara kesalahan-kesalahan para penulis yang dapat dikenal pasti tidak berlaku jujur ialah[2]:-

a) Mengubah lafaz atau makna sebenar daripada terjemahan asal tanpa menyertakan sumber rujukan.

b) Menyatakan bahawa ianya diambil daripada kitab arab sedangkan text asal diambil daripada kitab terjemahan.

c) Copy & paste footnote tanpa merujuk kepada rujukan asal.

d) Mengambil sumber secara separuh-separuh sehingga mengubah makna asal.

e) Kesilapan menterjemah daripada bahasa asal. Mengikut kata hati dalam menterjemah.

f) Tidak menyertakan sebarang footnote.(sumber rujukan)

g) Scan atau hanya mengambil nukilan tanpa memahami topik perbincangan sebenar secara keseluruhan.

h) Hujah yang disandarkan kepada sesebuah sumber rujukan akan tetapi ianya tidak langsung memiliki apa-apa kaitan.

i) Menokok-nambah nukilan yang diambil.

j) Penafsiran atau penjelasan terhadap sesuatu perkara fakta secara tidak tepat.

Kesemua di atas merupakan beberapa kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para penulis yang tidak jujur. Jika ianya berlaku dengan sangat kerap dalam sesuatu penulisan maka penulis tersebut telah melakukan satu jenayah ilmiah. Banyak faktor yang boleh melibatkan perkara seperti ini berlaku, antaranya ialah kerana ingin menyelewengkan fakta sesuai dengan cita rasa dalam beragama. Maka dapat kita ketahui di sini bahawa kejujuran dalam menulis merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia menggambarkan keperibadian seseorang penulis. Dengan hanya melihat gaya penulisan seseorang kita boleh mengenal erti budinya. Jika pembohongan fakta dilakukan dalam penulisan, adakah kita mengharap penulisnya bercakap benar dalam kehidupan realitinya?

Kesimpulanya, penulis berharap para blogers, para da’i dan para penulis berani dalam berdakwah dan jujur dalam berkarya. Artikel ini hanya sekadar peringatan buat diri penulis sendiri dan para blogers yang bergelar da’i.

Ibn Yusof

18 April 2008 / 11 Rabi’ Al-Akhir 1429

1:45 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com



[1] Al-Qiyamah 75:36

[2] Poin-poin ini diambil dari artikel penulis sendiri bertajuk Kursus Kilat Menulis Buku(Siri 1).

Tuesday, April 22, 2008

Tika Raudhah Syurga Berbunga (Episod 3)

Telefon bimbit Mizi berbunyi. Mizi lari-lari anak mendapatkan telefon bimbitnya yang bergegar di atas meja ruang tamu. Setelah mencapainya Mizi melihat screen telefon bimbitnya, nombor yang terpampang di screen kelihatan asing b, “Dari luar negara barangkali.”bisik hati kecilnya.

“Assalamu’alaikum ya akhi..”satu suara lembut sampai ke gegendang telinga Mizi apabila dia menjawab panggilan telefon tersebut.“Wa’alaikumussalam…siapa ni yer?” Mizi menjawab salam kembali sambil otaknya cuba memproses suara yang didengarinya itu.

“Subhanallah ya akhi Mizi, ni ana la…Eishaq…kaifa haluka ya akhi?” satu pengenalan ringkas yang cukup untuk menyapa memori Mizi. “Ya Allah…anta rupanya…alhamdulillah bi khair! Wa anta?” Mizi menjawab dalam keadaan terkejut. Siapa sangka sahabatnya membuat panggilan dari luar negara.

“Alhamdulillah…alhamdulillah…”jawab Eishaq ringkas.“Anta buat panggilan dari mana ni?Jordan?!!” berbunga hati Mizi menngajukan soalan, beliau cuba mendapatkan kepastian lokasi panggilan. “A’ah di Jordan, ana buat panggilan berhampiran toko buku At-Taqwa ni, tempat shopping kitab-kitab.”jelas Eishaq. “Bagaimana keadaan di sana? baik-baik semua? Tak pernah-pernah anta call ana dari Jordon, terkejut ana…haha”Mizi berseloroh. “Ana tengah shopping kitab..hehe carikan kitab yang anta emailkan pada ana, tapi tauke kedai kata stok kitab tu tak sampai lagi. InsyaAllah bulan Februari, maknanya lama lagi la kot…” jelas Eishaq panjang lebar.

“Tu jer?Anta call ana sebab nak beritahu benda ni je ke?haha.”Mizi pelik, sebelum ini beliau hanya memperolehi sms dari Eishaq.“Saje jer call, ana baru call keluarga, alang-alang…..Tut….Tut…Tut..” Suara Eishaq tidak lagi kedengaran. Mizi melihat screen telefon bimbitnya. Talian terputus.

Mizi hanya mampu tersenyum lebar teringatkan sahabatnya itu. Beliau menjangkakan Eishaq akan membuat panggilan semula selepas ini. Mizi kembali ke dapur, menyambung kerjanya sebentar tadi yang terbantut. “Saper yang buat panggilan tadi Mizi, tersenyum lebar jer” soal Ummi serius. “Eishaq ummi, dia buat panggilan dari Jordan, tak sangka pulak, tapi terputus, insyaAllah japgi call la balik kot.”Mizi menjawab sambil memasukkan tangannya ke dalam bihun yang direndam. Bihun yang keras itu lembut setelah direndam seketika.

Telefon bimbit Mizi kembali berdering. Mizi berjalan sekali lagi menuju ruang tamu tempatnya meninggalkan telefon bimbit. “Assalamu’alaikum Ya Eishaq…” dengan pasti beliau menjawab panggilan itu. “Wa’alaikumussalam….Tirmizi…ni ana, Sakinah.” Sangkaan Mizi meleset. Satu lagi kejutan buat Mizi, tidak pernah-pernah Sakinah menelefonnya.

“Oh…maaf, ana sangka kawan ana tadi, ada apa yer?” soal Mizi ringkas. Sakinah terus menjawab “Ana call tentang daurah aqidah yang ana sms pada akhi tu, dapatkan?”.

“Oh dapat..dapat.”Mizi mengangguk-ngangguk.“Lokasi daurah dah tukar, kami bercadang buat di Masjid Al-Mukminin di Taman Sri Cahaya. Cadangan asal daurah 2 hari.Tapi kami terpaksa tukar kepada seminar 1 hari jer.” Pelik Mizi dengan pernyataan itu. Apakah Sakinah menelefon semata-mata kerana ingin memberitahu perubahan tersebut? Barangkali Sakinah beria-ia ingin Mizi menyertainya sehingga memberitahu dengan terperinci tentangnya.

“Baik…baik, insyaAllah”Mizi respon tanda faham. “Ana call sebab nak mintak tolong, boleh tak akhi promote pada kawan-kawan UIA?” hasrat sebenar Sakinah membuat panggilan diluahkan. “Oh…eerrr..”Mizi berkerut.

Belum sempat Sakinah meneruskan penerangannya beliau terus mencelah. “Kenapa tak suruh Aisyah jer carikan?”Sakinah disoal Mizi. “Sudah..tapi Aisyah kata anta lebih ramai kenalan dan selalu buat daurah. Sebab itu ana call anta dan mintak tolong kalau boleh mintak tolong anta promote pada kawan-kawan anta. Lagipun peserta perempuan menggalakkan berbanding peserta lelaki.” Sakinah menerangkan hajatnya. Mizi mengagak Sakinah diberi tugasan menguruskan penyertaan peserta.

“Baiklah..insyaAllah ana usahakan”Mizi tidak dapat menolak apatah lagi jika pertolongannya diperlukan meng’imarahkan majlis ilmu. “Jazakallahu khairan kasiro ya akhi..” suara Sakinah kelihatan lega. “Tetapi sebelum tu boleh ana tahu ustaz atau ustazah yang akan bagi ceramah? Dan mungkin tajuk-tajuk yang akan disentuh sepanjang seminar? Dengan cara ni ana boleh emailkan pada rakan-rakan lain insyaAllah.”Mizi memberi cadangan. “Err.. insyaAllah nanti ana emailkan pd akhi yer, mungkin akhi boleh sms kan email akhi pada ana nanti. Boleh?” semakin bersemangat suara Sakinah.

“InsyaAllah…insyaAllah.”Mizi gembira dapat membantu. “Baiklah, sekali lagi Jazakallahu khairan kasiro ya akhi kerana sudi menolong. Assalamu’alaikum.”Sakinah meminta diri. “Ok,wa’alaikumussalam warahmatullah.” Jawab Mizi.

“Amboi! Mizi kalau dah bergayut dengan awek, luper member lama eh?”suara sinis kedengaran dari belakang Mizi. “Haha ada-ada jela kau ni Lem..”Mizi tahu ianya Halim. Halim jika tidak menyakat Mizi tidak sah.

“Awek mana call Mizi?”Halim berminat ingin tahu siapakah gerangan yang membuat panggilan tadi, kelihatan jelas tutur kata Mizi dan suaranya berbeza sekali sepanjang beliau berbual. “Sakinah…” jawab Mizi spontan, tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada kawan baiknya itu, ini sudah cukup menunjukkan keakraban mereka berdua.

“Ha!Sakinah? Awek tudung labuh yang jumpa kat Carefour tu kan? Pergh…baru jumpa dah call kau?”ayat Halim sengaja mengenakan kawannya itu. “Ish…jangan salah faham la Lem, dia call aku mintak tolong suruh promote Seminar Aqidah kat kawan-kawan.”Mizi tidak ingin Halim fikir yang bukan-bukan. Halim tersenyum,“Seminar?”.

“Termenung apa lagi Lem? Cepatlah siap, cakap nak pergi Jalan TAR.”Mizi menegur Halim yang duduk di hadapan meja study. Mizi membuka almari kayu di biliknya itu dan Mizi membawa keluar baju putih yang tersangkut rapi.

*****************************************************

Mizi meletakkan buku yang dibelinya di atas katil. Mizi memutar kelajuan kipas ke tahap paling maksima. Cuaca luar amat panas, beliau membuka butang bajunya. Beliau segera membuka laptopnya. Yahoo Messengernya mengeluarkan pernyataan satu email memasuki inbox, tanda masih belum dibaca. Mizi membuka emailnya. Kelihatan sebuah email yang ditunggu-tunggu. Dari sakinah_01@yahoo.com. Beliau tahu Sakinah menghantar jadual dan atucara Seminar Aqidah.

“Hmm…”beliau mendengus. Perasaan kesal menyelimuti Mizi, beliau tidak menyangka apa yang dilihatnya, dibaca dan diteliti satu per satu email Sakinah. Beliau print jadual daurah tersebut, tertera logo Pustaka Habsyah sebagai penaja utama.. Keningnya bertemu, diurut-urut dagunya. Setelah print jadula itu beliau segera turun ke tingkat bawah, tangan Mizi memegang kertas jadual Seminar Aqidah yang diemailkan Sakinah.,

Di bawah beliau melihat Halim dan ayahnya sedang asyik berbual di meja tamu. “Kenapa Mizi?” ayahnya menegur melihat muka Mizi seperti kebingungan. “Takde apa-apa yah.”Mizi segera ke bilik adiknya di tepi dapur. Diketuk pintuk bilik adiknya itu. “Aisyah…Aisyah!” Mizi memanggil Aisyah. Aisyah senyap. Tidak lama selepas itu pintu bilik Aisyah dikuak. Kelihatan Aisyah disebalik pintu itu. “Ada apa bang?” Aisyah kebingungan.

“Da tahu tak jadual seminar yang Sakinah canang-canangkan tu?” Mizi menyoal serius. “Belum la, tapi adik da daftarkan diri dah. Kenapa bang?”Aisyah menjawab jujur.

Cuba tengok.”Mizi menyerahkan jadual daurah yang diprintnya tadi untuk Aisyah lihat. Dia hanya melihat jadual itu sepintas lalu dan terus bersuara “Kenapa?apa yang tak kena dengan jadual ni?ok jer?”.

“Takdelah, Sakinah cakap seminar aqidah, tapi tajuk dia agak berat dan agak tak sesuai untuk orang awam.”Mizi meluahkan apa yang dirasakannya. “Tak sesuai? Katne yang tak sesuai?” Aisyah keliru. “Hmm…takpelah. Abang harap abang tak bersangka buruk la.” Mizi tersenyum walupun hatinya berat. Aisyah masih tidak tahu apa yang tersirat dalam hati abangnya itu. Mizi menuju ke arah ayahnya, beliau meninggalkan Aisyah dalam hamparan kekeliruannya. “Apa yang tak kene?” bisik hati kecil Aisyah.

“Ayah..”Mizi menyampuk perbualan ayahnya dan Halim, dia kemudiannya menyerahkan kertas A4 berisi jadual Seminar Aqidah. Ustaz Abdullah mengambil kertas itu dan diteliti pemberian anaknya itu. Beliau kemudiannya tersenyum sinis. Halim mencuri-curi melihat sama. “Seminar Pemurnian Aqidah? Kamu pergi?”soal ayah Mizi sambil melihat muka anaknya yang tidak keruan itu.

“Aisyah da daftar. InsyaAllah pergi la kot,”Mizi tidak dapat menjangka respon ayahnya. “Baguslah, pergila, kan ada sesi soal jawab.”Ustaz Abdullah menjawab tenang. Mizi tunduk, beliau tidak menyangka ayahnya masih mampu berfikiran positif dalam keadaan itu.

“Golongan Wahabiyyah dan Mujassimah, Mujassimah tu apa maksudnya eh?” tiba-tiba Halim menyoal. Beliau bertanya sambil tangannya membelek-belek jadual Seminar Pemurnian Aqidah itu. Ustaz Abdullah tersenyum dengan gelagat anak muda itu, Halim suka bertanya jika dia tidak mengetahui, lebih-lebih lagi dalam bab agama. Satu sikap yang makin jarang dilihat dalam diri anak muda kini.

Mujassimah….perkataan ini membuatkan Mizi teringat kembali titik tolak beliau mengenali apa itu Manhaj Ahlu sunnah Wal Jamaah.

**************************************************

“Apa gerak-gerak jari macam helikopter.”bergema suara Ustaz Farid dalam kuliahnya yang diadakan di dalam masjid. Kuliahnya dihadiri kebanyakan anak-anak muda belasan tahun dari sekolah menengah agama bersebelahan masjid.

Mizi, salah seorang daripada pendengar kuliah tersebut duduk jauh di sudut masjid sambil mengamati bait-bait yang disampaikan Ustaz Farid. Beliau salah seorang pelajar junior yang tidak berganjak dan khusyu mendengar kuliah maghrib itu. Pelajar-pelajar lain yang sebaya denganya kebanyaknnya telah pulang ke asrama masing-masing.

“Sekarang tengah berleluasa puak-puak yang menyebarkan ajaran sesat ni.”laung Ustaz Farid. Imam yang duduk berhampiran mengangguk-ngangguk seperti membenarkan kata-katanya. Malam itu Mizi balik dengan sedikit kekeliruan dalam benaknya. Beliau tidak menyangka kuliah agama pada malam itu agak ‘heavy’ sehingga beliau sukar untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.

“Ko faham tak kuliah tadi? Kenapa ustaz tadi kata camtu? Bukan ke memang wujud pandangan mazhab lain selain mazhab Syafie tentang kedudukan jari masa tasyahud tu?”Mizi menyoal Borhan, pelajar senior yang hadir sama dalam kuliah agama itu.

“Eh, taklah,memang mazhab kita betul.Aku tengok ada budak tu gerak-gerak jari masa solat, lepas kuliah maghrib tadi dia jumpa ustaz dan kemudian dia solat tak gerak-gerak jari dah.” kata Borhan membenarkan kata-kata ustaz tersebut.

Mizi bertambah pening apabila kebenaran dinilai melalui pemerhatian. Beliau tidak mahu melanjutkan persoalan kerana beliau bukan ahli dalam bab tersebut.

*********************************************

“Dengar citer ada ustaz kat tempat Mizi bagi kuliah cakap gerak-gerak jari dalam solat macam helikopter, betul ker? ”Ustaz Abdullah menyoal anaknya waktu berada di rumah sempena cuti sekolah. “A’ah, mana ayah tahu. Cepatnya berita tersebar?” Mizi terkejut kerana persoalan dalam benaknya itu tersebar luas. Persoalan Mizi tidak berjawab. Pelik, itu sahaja yang dapat Mizi rasakan.

Ustaz Abdullah terus membisu selepas anaknya menjawab soalan tersebut. Dia tidak ingin mengelirukan anaknya itu. Telah beberapa tahun anaknya belajar di sekolah agama, beliau memahami sogokan hujah di sekolah agama. Ustaz Abdullah merasakan sudah tiba masanya untuk dia menurunkan ilmu dan mengajar anaknya tentang cara fikir yang betul dalam menimba ilmu.

Perkara yang dianggap remeh bagi Mizi kini menyuntik mindanya agar mendalami persoalan tersebut. Sewaktu solat berjemaah dengan ayahnya, Mizi tergaman apabila ayahnya melakukan sesuatu pergerakan yang janggal dalam solatnya. Beliau mengerak-gerakkan jarinya ketika membaca tasyahud. Ini bukan kali pertama mereka berjemaah tetapi selalunya ayahnya hanya meluruskan jarinya, tanpa menggerak-gerakkannya.

Usai solat, belum sempat Mizi mengajukan soalan kepada ayahnya beliau terlebih dahulu membuka hujah. “Mizi, kita seharusnya sedia maklum bahawa solat kita ini tidak sempurna selagi mana kita tidak mencontohi sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam. Maka ianya selari dengan manhaj Imam Syafie yang menyeru kita berpegang pada hadith sahih dan menganggap jika kita beramal dengan hadith sahih maka itu juga adalah mazhab Syafie, walaupun Imam Syafie tak pernah menyebut hadith sahih itu.” Tazkirah Ustaz Abdullah untuk anaknya.

“Manhaj?Hadith Sahih?”Mizi berasa terkesan dengan perkataan tersebut.

Tanpa memberi peluang anaknya memikirkan panjang Ustaz Abdullah membaca sabda Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam, “Telahpun diriwayatkan dalam hadith sahih bahawa Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam menegakkan jari telunjuknya, menggerak-gerakkannya sambil membaca doa dengannya.[1]Mizi tidak begitu didedahkan dengan hadith dan tingkatannya. Beliau hanya tahu serba sedikit tentangnya sebagaimana yang dipelajari di sekolah. Tetapi beliau akur dengan ilmu ayahnya yang sememang takhassus[2] dalam bidang ini.

“Dalam hadis Waiil bin Hujr[3] telah menunjukkan dengan jelas cara (sifat) solat Rasulullah yang semasa menggerak-gerakkan jari telunjuknya, kerana kalimah ‘Yuharrikuha’ adalah fi’lu al-mudhari’ yang menggunakan saddah pada huruf ra, maka ini membuktikan perbuatan memberi isyarat dengan menggerak-gerakkan jari dengan cara yang diulang-ulang dan terus menerus dilakukan.” kata Ustaz Abdullah serius apabila melihat Mizi tekun mendengar.

“Tapi bukan ke mazhab Syafie…” Mizi perlahankan suaranya menyoal. “Dalam mazhab Syafie pun ada juga dibincangkan perkara ni. Sebagai contoh, apabila Imam an-Nawawi rahimahullah ulama besar yang bermazhab as-Syafie dalam kitab dia, Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab menyatakan Mubah (harus) menggerak-gerakkan jari telunjuk sebagaimana dikatakan oleh Abu Hamid dan Qadi Abu Tayyib dan selain mereka, iaitu berhujjah dengan hadis Waiil bin Hujir yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan sanadnya yang sahih[4]. Tapi, mesti ingat ini tidak bermaksud orang yang melakukan sebaliknya batal solat mereka ataupun mereka salah. Masing-masing bebas beramal sesuai dengan ilmu mereka tetapi apabila datang hujah yang lebih kuat dari kalamullah dan hadith Nabi yang sahih maka menjadi kewajiban untuk kita, sami’na wa ato’na,[5]” Jelas Ustaz Abdullah kepada anak kesayangannya.

“Kenapa ayah tak ajar Mizi dari dulu lagi?” Dalam bab solat beliau hanya tahu solatnya itu seperti mana ustaz di sekolah mengajarkannya dahulu, atau lebih tepat seperti mana orang ramai melakukanya. Timbul soalan dalam otaknya kenapa ianya tidak didedahkan dengan ilmu hadith ini seawal usianya?

“Mizi…ayah pernah melalui kehidupan dalam baya kamu. Datuk ajar ayah sejak kecil lagi tentang ilmu agama. Darah muda masih menggelegak waktu tu. Pada usia yang muda sewaktu mengaji di pondok dulu ramai ustaz-ustaz pondok yang ayah sanggah. Akhirnya sikap suka berdebat ini menebal dalam diri ayah dan apa yang ayah tahu ialah mencabar pihak lawan yang terkuat untuk kepuasan diri. Sikap inilah yang dilarang dalam Islam. Ayah teringat bagaimana kisah hidup Imam Muslim yang dikatakan mula mengenal hadith seawal usia 12 tahun, maka dalam tempoh matang ini ayah bersedia mengajar kamu apa yang ayah tahu dan ayah juga harap kamu tidak ulang apa yang ayah pernah lakukan. Dengan ilmu seseorang itu mampu disanjung tetapi dengan ilmu juga seseorang itu mampu dikeji atas kebiadapannya.”cerita ayahnya mengimbau kisah lama.

Dari satu sudut Mizi merasakan ayahnya bersalah kerana tidak mengajarnya, tetapi dari sudut yang lain Mizi menghormati cara ayah mendidik anak-anaknya. Mizi mula berfikir, adakah kisah silam ini menjadi punca ayahnya banyak menitik-beratkan bab akhlak dalam keluarga ini? Ayah Mizi selalu mengajar Mizi tentang kepentingan akhlak sejak beliau masih kecil, dan sikap ini juga yang menjadikannya kini seorang yang dihormati di kalangan guru-guru dan kawan-kawan sebaya. Mizi seperti tidak percaya ayahnya itu dulu seorang yang suka berdebat?

“Kenapa sampai harus sanggah dengan cara debat?”Mizi masih tidak dapat menangkap kelakuan silam ayahnya itu. “Kerana sombong.” Ayahnya menjawab ringkas. Dia tidak malu menyatakan kesilapannya dahulu demi memberi pengajaran kepada anak kesayangannya itu.

“Sombong?” Mizi tidak faham.

“Mungkin hujah yang kita bawa benar, tetapi jika ia disampaikan dengan cara yang salah, maka kebenaran yang terpalit dengan sikap dan cara yang salah telah menghalang saudara seiman kita melihat kebenaran itu dengan jelas.” Ustaz Abdullah melihat muka anaknya.

Nasihat demi nasihat diberikan kepada anaknya itu.

“Maksud ayah?”.Mizi ingin memahami dengan jelas.

“Menganggap diri dan hujah kita lebih benar bukanlah lesen untuk kita meremehkan orang lain dengan pegangannya tu. Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam bersabda sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain[6].” Hujah yang diberikan ayahnya itu meyakinkan Mizi. Cuma sahaja beliau tidak dapat menghindari suara Ustaz Farid yang terngiang-ngiang menyatakan “Memang sekarang tengah berleluasa puak-puak yang menyebarkan ajaran sesat ni.”

Sebagai seorang pelajar menengah rendah beliau merasakan percanggahan ayahnya dan Ustaz Farid tersebut sukar difahami. Adakah semua ini disebabkan perselisihan pendapat atau sebenarnya ia lebih kepada masalah sikap? Setelah mendengar penjelasan ayahnya Mizi yang sebelum ini risau andai kata ayahnya terpengaruh dengan ajaran sesat yang memesongkannya dari fahaman mazhab Syafie menghela nafas syukur.

Bersambung…………………………………….



[1] Hadis Rwayat Abu Daud, Nasai’i, Ibnu Jarud dalam Al-Muntaqa (208), Ibnu Khuzaimah 1/86/1-2. Ibnu Hibban dalam Sahihnya 485

[2] Pengkhususan

[3] Hadis sahih dikeluarkan oleh: Imam Ahmad bin Hambal dalam “Musnad” 4/ 318. Abu Daud No. 713 dan 272. An- Nasai’i 889 dan 2/126-127 dan 3/371. Ad-Darimi dalam “Sunan” 1/314-315. Ibn Jarud dalam “al-Muntaqa” 208. Ibn Khuzaimah No. 480 dan 714. Ibn Hiban No 1851. Al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra 2/27, 28 dan 132. At-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/35.

[4] Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab , Jilid 3 hal. 454.

[5] Kami dengar dan kami taat.

[6] Hadith Riwayat Muslim dalam Kitabul Iman, Bab: Tahrimul Kibri wa Bayanuhu no.147.

Monday, April 21, 2008

Dr. Asyraf Wajdi & Ustaz Zaharuddin


Sejak berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, saya tidak pernah menyangka akan tenggelam dalam lautan ilmu Fiqh Muamalat dan Usul Fiqh. Bermula dengan mata pelajaran Fiqh for Economist yang mempunyai 3 peringkat dan 2 peringkat subjek Usul Fiqh. Lebih dua tahun saya bergelumang dengan subjek-subjek ini. Saya bersyukur sebagai pelajar jurusan Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa kerana berpeluang menyusuri lautan ilmu bernahkodakan pensyarah-pensyarah yang berkaliber.

Semester 2 lepas (07/08) saya mengambil subjek Islamic Banking and Finance, disertai dengan subjek-subjek lain seperti Public Finance dan Corporate Finance. Barangkali semuanya mempunyai perkataan ‘Finance’ dibelakangnya tetapi semua subjek tersebut berbeza intipatinya. Islamic Banking Finance atau IBF merupakan satu mata pelajaran yang menarik perhatian saya lama sebelum saya mengambilnya.

Saya masih ingat perbincangan dengan rakan sebilik yang telah terlebih dahulu mengambil subjek IBF sebelum saya, kami berbual tentang produk Islamic Bank yang popular yakni Bai’ Bithamanil ‘Ajil, hujah saya ditemplak hebat atas keterbatasan ilmu yang saya miliki dalam hal-hal Islamic Banking. Pembelajaran sewaktu mengambil subjek Fiqh For Economist 2 memang agak terbatas kerana ia hanya membincangkan konsep produk-produk Islamic Bank dengan ringkas berbanding subjek IBF yang mengambil kira realiti masa kini dalam membincangkan isu-isu produk yang ditawarkan oleh Islamic Bank.

Apabila berpeluang mempelajari subjek ini ianya sedikit sebanyak membuka minda saya tentang isu sebenar dari sudut shariah tentang produk-produk yang ditawarkan oleh Islamic Bank di Malaysia dan negara-negara luar. Pada awal semester saya berpeluang belajar dengan Dr. Asyraf Wajdi. Salah seorang pensyarah yang tidak asing lagi di Kuliyyah Ekonomi ini. Memang perasaan excited itu timbul apabila berpeluang belajar dengannya yang meraih Rector’s Award for Best Graduates of International Islamic University Malaysia tahun 2000. Pendidikan beliau dalam Islamic Banking and Finance tidak dapat disangkal apabila mendapat tahu beliau juga meraih Best Student for MSc. in Islamic Economics, Banking and Finance sewaktu menuntut di Loughborough University di United Kingdom tahun 2003.

Dr. Asyraf Wajdi mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengajar subjek IBF. Kelasnya tidak pernah membosankan malah cara pengajarannya membuatkan kita sebagai pelajar ingin lebih dan lebih. Saya tidak dapat melupakan bagaimana beliau cuba memprovokasi kelas kami dengan analoginya tentang makan daging khinzir yang kemudian beliau kaitkan dengan pinjaman PTPTN. Ia sedikit sebanyak menyedarkan para pelajar yang menggunakan pinjaman PTPTN supaya menyalurkan duit pinjaman itu dengan betul. Kelasnya sentiasa membuat saya ‘terlupa’ melihat jam tangan membuatkan kita terasa bahawa masa berlalu dengan pantas.

Kekreatifan Dr. Asyraf Wajdi dalam mengajar terserlah dalam tugasan-tugasan yang beliau berikan. Setiap kumpulan diberikan satu negara untuk para pelajar kaji dan selidik tentang perkembangan Islamic Banking dalam Negara tersebut. Kumpulan kami ditugaskan untuk mengkaji tentang perkembangan Islamic Banking di Singapura. Selain itu, para pelajar juga diberikan satu produk untuk setiap kumpulan lakonkan agar para pelajar mengetahui bagaimana modus operandi produk yang diberikan. Kumpulan kami pula mendapat tugasan melakonkan modus operandi Letter of Credit.

Metod pengajaran Dr. Asyraf Wajdi lebih tegas, sebagai seorang economist beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama apabila membincangkan hal-hal kontroversi seperti hal Bay’ Inah. Tetapi beliau tetap berlapang dada dalam hal ini menunujukkan sikap profesional beliau sebagai tenaga pengajar. Banyak yang saya perolehi sepanjang mengikuti kelas beliau.Tetapi ianya tidak kekal lama apabila beliau mengambil keputusan bertanding sebagai calon parlimen di Tumpat.

Akhirnya, hasrat untuk meneruskan pembelajaran dengan Dr. Asyraf Wajdi tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, kelas kami diganti oleh Ustaz Zaharuddin sebagai tenaga pengajar baru. Beliau memang sudah terkenal dengan ilmu Fiqh Muamalat sebelum menjejakkan kaki sebagai tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa.

Pada awal pengajaran Ustaz Zaharuddin, saya agak susah untuk menyesuaikan diri dengan teknik beliau tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dengan manhaj beliau. Perbezaan jelas apabila ahli fiqh dan economist mengajar subjek yang sama. Perbezaan ini bukan dirasai saya seorang apabila rakan di meja hadapan berbisik “Eh..lain la macam apa yang Dr. Asyraf cakap? ”.

Kedua-dua tokoh ini mempunyai matlamat yang sama, cuma sahaja cara penyampaian mereka sedikit berbeza. Penyampaian Ustaz Zaharuddin lebih releven dengan kritikan-kritikan beliau yang membina. Analogi yang beliau berikan juga ada logiknya jika kita fikirkan. Ini bukan bermaksud apa yang Dr. Asyraf Wajdi ajar salah. Sebagai economist kita memang mengharapkan Islamic Bank menjadi full fledged Islamic Bank dan bebas dari apa-apa isu shariah. Tetapi kadang kala economist terbatas dalam mengambil kira keadaan sekeliling. Bukan kerana tidak mengambil tahu, tetapi kerana ilmu ekonomi semata adakalanya kurang memberi fokus dalam penghayatan ilmu fiqh dan kaedah-kaedah fiqh. Ilmu ekonomi sahaja lebih berkisar dan bermain dengan bait-bait ilmu fiqh yang tertentu sahaja.

Saya teringat hampir kebanyakan teori ekonomi tertera ayat Cēterīs paribus, bahasa latin yang bermaksud keadaan dimana faktor lain dianggap tidak berubah. Manakala sebagai seorang ahli fiqh kita mengambil kira ’Urf sebagai salah satu sumber penshariatan. Atas sebab yang demikian juga fatwa-fatwa berbeza mengikut ’Urf. Inilah sedikit sebanyak perbezaan yang saya nampak dan fahami dari penjelasan Ustaz Zaharuddin. Tambahan pula, analogi Ustaz Zaharuddin banyak mempertahankan Islamic Bank sedia ada yang masih banyak isu-isu Shariah di sebalik produk-produk mereka yang disangka Islamik.

Tetapi saya tidak dapat tidak untuk bersetuju dengan analogi beliau yang menganggap Islamic Bank kini sama seperti Muallaf yang baru memasuki Islam. Masa dan peluang harus diberikan kepada mereka (Islamic Banks) untuk betul-betul bersedia, pada masa yang sama kesediaan masyarakat juga perlu diambil kira. Dr. Asyraf Wajdi sendiri dalam salah satu lecturenya pernah mengambil contoh negara Iran yang mengamalkan full fledged Islamic Banking secara mendadak sedang bank-bank dan masyarakat masih belum bersedia. Maka saya lihat keserasian pendapat antara dua tokoh dalam perbahasan ini.

Saya berasa bersyukur kerana dapat belajar dengan kedua-dua tokoh ini dengan dua manhaj yang berbeza, seorang economist dan seorang lagi ahli fiqh. Hatta berbeza dalam cara pendekatan tetapi tujuan murni kedua-dua golongan ini sama dan harus dipandang positif kerana kita saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menuju ekonomi Islam yang sempurna. Keputusan cemerlang dalam subjek ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk bersama-sama berjuang dengan tokoh-tokoh ini dalam perjuangan mereka memartabatkan ekonomi Islam.

Wallahua’lam.

Ibn Yusof

20 April 2008/ 13 Rabi’ Al-Akhir 1429

11.19p.m

www.ibnyusof.blogspot.com

p/s: Catatan di atas hanyalah pandangan seorang pelajar.

Sunday, April 20, 2008

IMMEX: Kenangan aku, dia dan kami (Siri Akhir)


“Dah jumpa! Alhamdulillah” jerit Kak Dija membuatkan Pak Idris yang sedang memandu sedikit terpinga-pinga. “Udah ketemu sama passportnya?” Pak Idris terlebih dahulu menyoal sebelum aku dan Shuaib memberi apa-apa respon. “Ada peserta terambil beg tu dan kemudian tadi dia call Pak Wira dan dia kata esok tengah hari dia jumpa Pak Wira untuk pulangkan.” Kelas Kak Dija tersenyum riang.

“Alhamdulillah…termakbul doa Ezry, tak sia-sia dia solat hajat.” Shuaib memberi respon. Aku melihat Kak Dija yang menoleh ke belakang dari tempat duduk hadapan dan Shuaib yang berada di sisi ku, aku tersenyum aku cuba menghayati rasa syukur yang menyelimuti suasana malam itu. Mereka menunggu responku setelah melihat aku diam membatu sambil mengukir senyuman.“Em...Alhamdulillah, saya tak solat hajat pun, saya bertawassul.”

“Tawassul?” dalam keadaan gembira itu Kak Dija disuap dengan satu terminologi baru yang tidak pernah didengarinya. Shuaib pula melihat tepat wajahku, beliau bersama denganku sepanjang masa, dia juga tahu kami hanya berhenti solat jama’ ta’khir di Masjid Safinatullah, Obey Awang Lodeh dalam perjalanan ke Hotel Nikita. Tidak ada solat hajat dan yang ada hanya kelakuanku memanjangkan sujud sepanjang berada di sebelahnya sebagai makmum.“Apa tawassul tu?” soal Kak Dija ringkas. Kak Dija kelihatan berminat, bukan hanya kerana ia satu terminologi baru tetapi ia satu cara selain solat hajat yang diketahuinya apabila berhajatkan sesuatu. Sengaja aku melontarkan persoalan ini demi mengambil peluang yang tersedia untuk menambah pengetahuan sahabat sekeliling. “Saya hanya berdoa..” jelasku sambil cuba menyusun kata.

“Tawassul atau dalam erti kata lain mendekatkan diri kepada Allah dengan cara tertentu, saya hanya mengunakan salah satu cara yakni bertawassul dengan amal soleh yang saya lakukan.” Aku cuba menjelaskan apa yang aku tahu. “O.....camtu, berdoa jer?” Kak Dija mengangguk, tapi aku tahu dia masih keliru. Apa beza berdoa dan bertawassul? Muka nya berkerut. “Bertawassul dengan amal soleh ni contohnya macam dalam hadith Sahih Bukhari... orang-orang yang terperangkap dalam gua, then mereka bertawassul kepada Allah dengan amal soleh mereka masing-masing dan dapat keluar dari gua tu.[1]” aku memperkemaskan hujah.

Kak Dija sekali lagi mengangguk dan tersenyum. “Oh..pernah dengar...” Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang aku lakukukan adalah tertegak atas hujah dan dalil. Teringin juga masa itu menerangkan jenis-jenis tawassul yang lain agar sekurang-kurangnya mereka tahu tentangnya.

Ada bermacam jenis cara bertawassul, ada yang menggunakan nama dan sifat-sifat Allah Azza Wa Jalla, bertawasul dengan Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam semasa hayat baginda ataupun bertawassul pada doa orang-orang soleh. Adapun perbahasan antara para ulama’ berkenaan bertawassul dengan Rasulullah Salallhu ‘alaihi Wasssalam setelah kewafatan baginda tidak terfikir untuk aku sentuh memandangkan ianya satu topik yang kontroversi. Tetapi ianya tidak serumit mana jika dapat membandingkan dua dalil dengan jelas.

Sebagaimana yang dilakukan para sahabat tatkala hujan tak kunjung datang, mereka bertawasul kepada Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam untuk memohon agar turun hujan, seketika itu baginda Salallahu ‘alaihi Wasssalam memohon kepada Allah supaya menurunkan hujan. Tidak lama kemudian doa baginda Salallahu ‘alaihi Wasssalam dikabulkan oleh Allah dan turunlah hujan dengan lebat.[2]

Tetapi setelah kewafatan baginda Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam tidak ada seorangpun para sahabat dan yang lainnya dari generasi para salafus soleh meriwayatkan mereka ke maqam Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam untuk bertawassul dengannya. Para sahabat bertawassul kepada Abbas di zaman Khalifah Umar bin Khaththab Radhiyallahu anhu meminta agar beliau berdoa kepada Allah untuk memohon diturunkan hujan. Lalu Abbas bin Abu Thalib Radhiyallahu anhu bedoa kepada Allah yang diamini para sahabat.[3]

Maka perbezaan dua dalil di atas dapat kita lihat yang mana jika para sahabat mengetahui bolehnya bertawassul pada orang yang telah mati sudah tentu mereka berbondong-bondong ke maqam Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam untuk bertawassul dengannya. Kenapa pula perlu berjumpa dengan Abbas Radhiyallahu anhu?

“Kita jangan bagitau diorang dulu la k,biar surprise?” Kak Dija memberi cadangan pada kami sebelum keluar dari kenderaan. Kak Dija tidak dapat menahan kegembiraannya ingin membuat kejutan. Aku hanya mamapu tersenyum sahaja. Saat kami masuk ke dalam dewan makan yang memuatkan semua peserta IMMEX, aku dapat merasakan semua anak mata tertumpu kepada ku. Kami semua menahan raut wajah kegembiraan sepanjang makan malam tersebut. Setelah selesai makan malam, aku merasakan perlunya aku berkongsi berita kegembiraan itu dengan yang lain, aku meminta izin Kak Dija untuk memberi pemberitahuan atau ucapan ringkas.

“Assalamu’alaikum.......”aku memberi salam. Bertujuan mengambil perhatian semua peserta yang sedang riuh dalam dewan makan yang kecil itu. Semua senyap dan anak mata tertumpu pada ku. Aku berdiri berhampiran pintu masuk restoran tersebut dan mengadap semua persrta IMMEX.“Mohon izin Dekan Kuliyyah dan pensyarah-pensyarah lain untuk memberi sepatah dua kata sebelum kita berangkat pulang ke hotel. ” aku memulakan ucapan ringkasku melihat Dekan dan pensyarah-pensyarah yang berada di meja sebelah kiri, jika sebelum ini arahan dan ucapan ringkas aku berikan sepanjang program selaku Ketua Koordinator dan Logistik program, ternyata kali ini suasananya agak sedikit berbeza.

“Seperti yang semua tahu, berita sensasi pada hari ini ialah berkenaan kehilangan passport saya...... ” aku cuba berseloroh. Ada yang tergelak tetapi ada juga anak mata yang telah mula bergening. “Saya dijangkakan untuk stay di Pekan Baru hampir seminggu untuk uruskan dokumen pengesahan untuk pulang ke Malaysia” mendengar pernyataan ini ada beberapa peserta perempuan pangkat kakak telah mula berjujuran air mata mereka.

“ Tapi......Alhamdulillah passport saya dah dijumpai” sebaik habis pernyataan ini semua pesrta bersorak, bergegar dewan makan itu dengan suara semua peserta. “Yeeeeyy.....!! ” disertai dengan tepuk tangan tanda gembira. Aku tersenyum lebar. “Alhamdulillah la!! ” Hafizi menegur para peserta yang menjerit kegembiraan. “Oh...ye alhamdulillah alhamdulillah....... ” Fahmi yang tadinya bersorak sambil mengangkat tangan terus tersipu malu sambil melafazkan kalimah syukur pada Allah.“Saya harap apa yang terjadi ini dapat kita semua jadikan pengajaran dan merupakan satu ujian atas diri saya dan rakan-rakan sekalian untuk kita lebih dekatkan diri kita pada Allah Subhanallahu Ta’ala insyaAllah....” aku menutup ucapan ringkas yang membuatkan semua pesrta tersenyum lebar. “Inilah family IMMEX” bisik hatiku, susah senang semuanya kami lalui bersama.Dekan Kuliah Dato’ Jamil dan Dr. Ugi Suharto bangan dan bersalam dengan ku mengucapkan syujkur pada Allah dan tahniah.

Semua bangkit meninggalkan meja makan dan berpusu-pusu keluar dari dewan makan dan uniknya di Bukit Tinggi di luar restoran itu telah pun ada para peniaga kecilan yang mempamerkan barang jualan mereka.Mereka hanya berniaga di tepi jalan dan semua peserta IMMEX berebut-rebut membeli barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Telekung, sampin dan key-chain menjadi tarikan utama. Semuanya membeli belah dengan raut wajah riang. Aku hanya melihat mereka semua, duit tinggal tak seberapa. Hampir berjuta-juta rupiah telah aku habiskan membeli kitab-kitab terjemahan di Padang, baik di toko buku At-Taqwa berhampiran Masjid Muhammady mahupun toko buku Gramedia, dikhuatiri melebihi had kargo 15 kg maka aku terpaksa memilih dalan berbelanja,hanya barangan kecil dan ringan.

Pulang dari makan malam bas berhenti di Shoping Complex Ramayana, dan kami teruskan aktiviti berbelanja di situ.Waktu itu aku diingatkan Kak Dija untuk memberitahu Iqbal dan Ammar tentang berita gembira itu. Aku menghubungi mereka dan berterima kasih pada mereka atas pertolongan yang mereka hulurkan. Mereka berdua lebih kurang sebaya denganku tetapi aku sangat kagum apabila mereka mampu survive di negeri orang, malah mempunyai ramai kenalan termasuk di jabatan-jabatan kerajaan Indonesia di Padang.

Baki 1 hari di Bukit Tinggi tidak sia-sia, kenangan paling bermakna apabila berpeluang ke Danau Maninjau.Dari keindahan Danau Maninjau ini lahirnya seorang tokoh ulama’ Nusantara yang tersohor, HAMKA. Nama ini pasti pernah menitir di bibir para ustaz di Nusantara. Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir di Tanah Sirah Nagari Sungai Batang Maninjau.pada tanggal 13 Muharam 1326 H bertepatan tanggal 16 Februari 1908 dari pasangan Dr. A. K. Amrullah dan Syafiyah.

Akhirnya beliau bukan sahaja menjadi seorang ulama’, beliau juga terkenal sebagai seorang jurnalis, sasterawan,negarawan, sejarawan, pujangga dan ahli politik. Ketokohan beliau dalam semua bidang yang dinyatakan ini terdapat dalam hasil-hasil karya beliau lebih dari 100 buah. Ratusan makalah, karangan, dan artikel tersear dalam media massa seperti Pedoman Rakyat, Aliran Islam, Suara Partai Masyumi, Hikmah, Mimbar Agama, Panji Masyrakat dan banyak lagi.

Pertama kali menapak Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka ini kami dialu-alukan oleh penjaga muzium tersebut.Setelah semua duduk berkumpul beliau pun menceritakan sejarah kehidupan Hamka sejak beliau lahir sehinggalah beliau meninggal. Kelancaran memori Pak cik yang bercerita itu mendatangkan tanda tanya pada diriku bahawa pasti dia seorang peminat Hamka, atau dia mempunyai talian persaudaraan dengan Hamka. Tekaanku tepat apabila dia merupakan sepupu kepada Hamka. Ayahnya dan ayah Hamka adalah adik beradik kandung dan Hamka pernah tinggal di rumahnya sebelum pergi merantau mencari ilmu.

Aku sendiri secara peribadi antara jutaan manusia yang terkesan dengan pemikiran dan hasil karya Hamka. Melihat Tafsir Al-Azhar tersusun cantik di kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, ini membuktikan keilmuan beliau sebagai seorang ulama’ yang perlu dicontohi. Jarang pada masa ini timbul ulama’ yang multipurpose,sedang kebanyakan para ustaz hanya tahu mengeluarkan fatwa tetapi Hamka bergaya dengan hasil sasteranya. Keluasan karyanya ini sekaligus melihatkan keluasan minat intelektual Buya Hamka. Seluruh tulisan karyanya dilandari oleh semangat keislaman yang tidak pernah padam. Denagan semangatnya itu ia memasuki bukan hany bidang-bidang keagamaan tetapi juga meluas ke alam filsafat, tasawuf, kesusasteraan, dan kebudayaan sejarah serta politik. Buya Hamka dengan gayanya sendiri harus diakui sebagai seorang cendikiawan.

Sebelum pulang ke hotel,bus berhenti di depan Pasar Atas, berhampiran dengan shopping complex Ramayana. Di antara dua lokasi itu terdapat bulatan yang mana Jam Gadang terpacak di tengah-tengah bulatan tersebut, sebagai simbolik yang menjadi kebanggaan bersejarah bagi penduduk di Bukit Tinggi. Kami menghabiskan sisa-sisa masa di sana dengan membeli belah, banyak juga souvenir untuk keluarga dan rakan-rakan yang sempat aku belikan di dua lokasi terakhir kami ini. Semata-mata ingin menghabiskan duit rupiah yang masih berbaki setelah pulang ke hotel kami sanggup keluar beramai-ramai ke Ramayana untuk membeli belah buat kali yang terakhir.

Pada 11 Februari jam 4 pagi, kami telah berkumpul sebelum bertolak ke Minangkabau International Airport, masing-masing dengan barang-barang yang dibelinya. Sehinggakan aku terpaksa menumpang beg kak Muslimah untuk menampung kitab Hukum Zakat karya Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi yang setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka itu.. Dua bas yang diguna pakai sarat kerana terpaksa menampung kerakusan kami dalam berbelanja. Setibanya di lapangan terbang, nampaknya kami menggunakan had semaksima mungkin apabila bagasi keseluruhan perserta-peserta IMMEX mencapai angka sehingga 480kg. Alhamdulillah kami tidak dikenakan sebarang denda.

Syukur ke hadrat ilahi, hasrat aku melihat bumi Malaysia pada pagi isnin itu kesampaian, kami semua selamat tiba di Malaysia pada jam 10 pagi. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran ku sepanjang perjalanan pulang ke universiti. Peperiksaan pertengahan penggal yang mendatang dan tugasan yang bertimbun untuk disiapkan. Semua ini membuatkan aku lebih tabah, kemampuan membina minda positif dengan menyuntik kesyukuran atas segala pengalaman indah yang ku hela di bumi Padang menjadikan aku seorang yang berbeza, bukan sahaja aku, tetapi setiap para peserta IMMEX. Ini kerana ia bukan kenangan aku semata, tetapi ianya kenangan kami, keluarga IMMEX.

Wallhua’lam.

Ibn Yusof

5 April 2008 / 29 Rabi` Al-Awwal 1429

12. 05 a.m



[1] Shahih Al-Bukhari, kitab Badul Khalq 4/147-148.

[2] Shahih Muslim, kitab Al-Istisqa bab Doa Fil istisqa 3/24-25.

[3] Shahih Al-Bukhari, bab Istisqa Fi Yaumil Jumah 2/18.