Monday, December 24, 2007

Tika Raudhah Syurga Berbunga (Episod 1)


“Mizi,ko ada sejadah tak, aku tak solat lagi ni.” tanya Halim kepada Mizi.

“Takdela Lem, solat jela atas lantai tu, hehe” respon Mizi simple. Pandangannya masih tertumpu pada screen komputernya.

“Lo...ko solat cene sebelum ni ? Sejuk ar lantai simen ni.” Halim mengaru kepalanya yang tidak gatal. Beliau menyangkakan Mizi cuba berseloroh dengannya.

“Oh..aku solat atas lantai jer. Kalau nak karpet tilam pergi masjid ler.haha” lawak Mizi tidak membantu Halim yang ingin mengerjakan solatnya di hujung waktu.

“Ek eleh..poyo ar... Ha! Tu sejadah.” Mata dan jari telunjuk Halim tertumpu pada alas meja studi Mizi.

“Oh..lupa plak.hehe” Mizi hanya mampu tersenyum apabila beliau terlupa akan perbuatannya menjadikan sejadah sebagai alas meja studi selama ini.

Mizi segera mengalihkan laptop dan buku-bukunya ke atas katil dan menyerahkan sejadah itu kepada tetamunya, Halim.

“Hish..pelik ko ni.” Halim mengambil sejadah tersebut dan segera menunaikan solatnya.

Halim merupakan tetamu Mizi petang itu. Rakan karibnya itu menziarahi Mizi di rumahnya. Tirmidzi atau panggilan ringkasnya Mizi merupakan kawan sekolah Halim sejak di sekolah rendah, maka tidak hairan hubungan mereka bagaikan adik beradik. Kedatangan Halim petang itu memang mengejutkan Mizi, sudah hampir 1 tahun mereka tidak ketemu.

************************************************************************

“Naper tak solat jama’ jer dalam perjalanan tadi Lem.”Mizi menyoal ringkas. Beliau musykil sebab Halim menunaikan solat Asar.

“Malas..hehe” Halim tersenyum. Beliau merasakan dirinya masih gagah walaupun menempuh perjalanan berjam-jam dari Johor.

“Aik, sejadah dah guna nak buat harta ker?” petanyaan sinis Mizi apabila Halim meninggalkan tempat solatnya tadi tanpa menyerahkan semula sejadah yang digunakan.

“Haha...” Halim tertawa kecil dan beliau segera kembali ke tempat solatnya tadi, beliau membongkok sambil mengambil sejadah yang digunakannya tadi.

Mizi tersenyum melihat Halim dengan seluar baggynya yang melondeh itu. Teringat beliau pakaiannya sebelum menjejakkan kakinya ke dalam universti. Masa berlari begitu pantas, kini beliau hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum layak bergelar graduan.

“Nah..pelik ar ko ni, ada sejadah, tapi nak solat kat lantai sejuk ni jugak. Pastu sejadah guna buat lapik meja, Nikmat Allah bagi tak guna.haha” gurauan Halim tepat menerjah Mizi. Beliau baring di atas katil Mizi sambil melihat Mizi yang khusyu’ mengemas biliknya.

“Hehe..samela kita.” respon Mizi ringkas, tangannya sibuk menyusun perhiasan meja studinya supaya kembali kepada keadaan asal.

“Eh..pe plak sama?” Halim termanggu mendengar balasan Mizi sambil mengerutkan dahinya.

“Yela, solat Jama’ Qasar pun nikmat Allah Ta’ala bagi gak, tapi tak ramai yang nak guna. hehe” Mizi rasakan pernyataannya itu seumpama menyambut pukulan smash Halim.

“Ceh..poyo perli aku la tu. Yela-yela...” Halim hanya mampu mendengar kata-kata Mizi kerana beliau kematian hujah.

“Lawa ko hias bilik ko ni Mizi.Cam bilik pompuan,” puji Halim dengan muka seriusnya. Mizi hanya mampu tersenyum.

“Apa citer UITM Segamat?” Mizi mulakan bicara, beliau sengaja mengubah topik perbincangan.

“Biasa-biasa jer. Boring gak cuti lama-lama ni”Halim menjawab pertanyaan Mizi acuh tak acuh sambil anak matanya berkeliaran ke setiap penjuru bilik Mizi, anak matanya terhenti lama di rak buku Mizi yang penuh dengan kitab-kitab Arab.

Mizi masih lagi menyusun perhiasan di atas meja studinya selepas meletakkan kembali sejadah yang Halim gunakan tadi..

“Pe jadah ko guna sejadah ni jadi alas meja Mizi.” Halim tiba-tiba menyoal kembali. Beliau merasakan perbuatan itu pelik kerana tidak pernah beliau melihat ‘manusia’ lain melakukannya.

“La..salah ker?tak ke ko rasa sejadah ni cantik untuk dijadikan alas meja? Sesuai apa..warna warni siap ada gambar masjid lagi. Hehe” Mizi menjawab ringkas, mengajak Halim menjawab sendiri persoalannya.

“Ek eleh…Ha! Ni mesti ada awek bagi sejadah ni kat ko, tu yang sayang benor nak guna, kan?!” Halim segera membuat kesimpulan sambil memcucuk perut Mizi.

“Haha ada-ada je ko ni eh. Ye, awek yang bagi tu mak aku la.Haha” Mizi tergelak besar apatah lagi bila perutnya dicucuk mesra Halim.

“Tak salah nak guna sejadah ni Halim, tapi pastikan ia just kehendak, bukan keperluan” Mizi membalas lagi, kali ini mukanya memandang tepat ke arah Halim yang tekun mendengar.

“Ha?Maksud ko?” Halim bertanya serius. Beliau ingin menggali lebih dalam pernyataan Mizi itu.

“Sejadah tu kehendak, bukan keperluan, faham kan?” Mizi duduk di hadapan meja studinya yang telah tersusun kemas.

“Tak, maksud ko tak boleh guna sejadah?” balas Halim yang masih kebingungan. Beliau memang dari dahulu banyak belajar dengan Mizi dalam hal berkaitan agama.

“Hehe bukan tak boleh, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam pun ada guna sejadah, tapi bukan cam kita sekrang ni, sejadah kecik yang ngam-ngam untuk lapik muka tu. Tapi kebanyakan masa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam solat atas tanah jer.Takpun tikar kecil.”jawab Mizi

“Oh.... ”Halim mengangguk sambil tangan kananya menyapu-nyapu dagunya yang licin itu.

“Bis tu, apa kene dengan keperluan dengan kehendak tu?” Halim ingin terus mendengar penjelasan kawannya itu.

“Ko penah tengok cara org cina sembahyang?” soal Mizi ringkas.

“Depan-depan tak penah la,tapi dalam filem-filem adala.Naper?” jawab Halim walaupun dia rasakan Mizi seperti hendak mengubah topik perbualan.

“Apa yang kau nampak?” Mizi menyoal lagi.

“Nampak per?Orang cina kalu sembah patung tu adala guna colok, letak kuih2..letak buah-buah, tu je kot,ntah tak sure la,naper?” Halim masih tertanya-tanya.

“Orang kristian plak?Cene ko tengok dia sembah Jesus?”Mizi menyoal bertubi-tubi.

“Kalu orang kristian plak kene pergi gereja la,semua sembah patung Jesus tu.”Halim hanya menjawab ringkas kerana ia hanya berdasarkan pemerhatian beliau dalam filem-filem sahaja.

“Apa beza cara diorang beribadah dengan muslim ko rasa-rasa?” mimik muka Mizi tenang menyoal Halim. Beliau ingin mengajak kepada kesimpulan yang yakin dapat difahami Halim.

“Haha mestilah diorang sembah berhala kita ni sembah Allah, mestilah lain.” Halim terus menjawab tanpa berfikir panjang kerana baginya itu soalan yang mudah, hatta budak tadika mampu menjawabnya.

“Betul, tapi tak tepat dalam konteks perbincangan kita..hahaha” Mizi berseloroh.

“Ah..pandai ah kau, klu bukan tu pe lagi?” Halim bengang kerana jawapannya itu disangkan tepat dan tidak dapat disangkalkan lagi.

“Maksud aku Lem, lihat agama-agama lain, bezakan dengan keindahan ajaran Islam, kita satu-satu agama yang tidak memerlukan apa-apa peralatan untuk beribadah, contoh dalam solat harian kita khususnya. Kita hanya perlu mengambil wudhu’ ,menghadap kiblat dan bertakbir. Tak ke mudah Islam tu. Jika takde air pun boleh bertayammum. Tak perlukan apa-apa peralatan cam colok atau tempat khas. Syarat yang penting tutup aurat dan wudhu’ atau tayammum, tujer.” Mizi cuba menghuraikan kekusutan dalam benak Halim satu per satu.

“Bis tu apa kene ngena dengan sejadah tadi? ” Halim masih lambat menangkap penjelasan Mizi. Halim yang tadinya berbaring di atas katil Mizi akhirnya membetulkan posisinya.Beliau beralih dari berbaring kepada duduk bersila sambil memeluk bantal Mizi, reaksi beliau melahirkan perasaan ingin tahu.

“Yela,maksud aku,kalau kita nak solat seumpamanya,kita boleh solat kat mana-mana pun,betul tak? Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda Bumi ini semuanya adalah tempat sujud kecuali perkuburan dan bilik mandi.[1]Bukanlah aku kata salah pakai sejadah sebab ada banyak jugak riwayat cakap Rasulullah pakai khumroh dengan tikar masa solat. ” Mizi seakan-akan berceramah tapi beliau cuba untuk tidak kelihatan berleter.

“Khumroh tu pe Mizi? ” Halim kelihatan berminat untuk tahu apa yang Mizi sampaikan dengan lebih mendalam.Mukanya berkerut.

“Oh..Khumroh tu cam tikar,tenunan daun kurma lebih kurang camtu la,sebagai alas wajah masa sujud [2]. ”balas Mizi. Beliau tidak sengaja menggunakan perkataan arab itu di hadapan seorang pelajar sains.

“Habistu Mizi, boleh ke solat atas lantai ni tak pakai sejadah? Tak batal solat?”Halim menyoal. Kadang-kala soalan-soalan asas agama seperti ini menjadi kemusyikilan hatta si bijak pandai.

“Hehe boleh jer insyaAllah. Macam aku cakap awal-awal tadila,jangan jadikannya keperluan, kalau sejadah keperluan seolah-olah macam takde sejadah tak boleh solat.Berapa ramai yang tak solat dengan alasan sebab takde ‘peralatan’ untuk solat.Tapi bila dah ada sejadah plak mula lah satu sejadah tu satu orang conquer. Lebih-lebih lagi bila solat berjemaah, lompong sana sini sampai tak rapat dah saf. Tension gak aku tengok haha.” kritikan Mizi padat untuk renungan Halim.Beliau hanya meluah rasa, beliau tidak meminta persetujuan Halim untuk buah fikirnya itu.

“Em..betul gak tu,kain pelekat pun ‘peralatan’ solat zaman ni gak kan?hehe” Halim tersenyum lebar sambil berlawak. Beliau faham apa yang cuba Mizi jelaskan.

“A’ah, kadang-kadang sampai tak solat sebab takde kain pelekat. Pelik aku. Haha.” Mizi gembira Halim menunjukkan respon positif.

“Zaman Nabi dulu pun kira solat atas tanah je la eh? Tak terfikir plak aku tentang ni.”Halim tidak sangka perbicangan yang beliau mulakan membawa pengetahuan baru kepadanya.

“Yang aku ingat la kan,Nabi bersabda ‘ Aku diberi lima perkara,yang belum pernah diberikan kepada seorang pun sebelumku,Aku diberi kemengangan kerana ketakutan musuh dalam jarak sebulan perjalanan, bumi dijadikan tempat sujud dan alat bersuci (tayammum) siapa sahaja yang menjumpai waktu solat maka solatlah dia (di mana dia berada)’[3] Bukan ke Masjid Nabawi dulupun tanah jer. Mana ada Udani karpet cam sekarang ni.Haha” Mizi mengakhiri hujahnya dengan tertawa. Halim yang mendengar juga tertawa bersama-sama dengan Mizi sambil otaknya mencerna hujah-hujah Mizi.

“Mizi! Oh...Mizi!” panggilan dari tingkat bawah rumah Mizi. Mizi kenal benar suara tersebut.

“Ye Ummi...!” Mizi membalas lembut sambil beliau membuka pintu biliknya. Beliau menjenguk ke bawah tangga.Kelihatan Umminya telahpun bersiap, seperti hendak keluar ke suatu tempat.

“Ummi dengan Aisyah nak kene pergi ambil cermin mata Ummi yang dah siap kat Kedai Ah Leong , boleh tak Mizi tolong hantarkan kejap? Abi balik lambat,dia suruh Mizi tolong hantarkan.” tanya Ummi kepada anak sulungnya itu.

“Em…boleh jer..tapi Halim….” Mizi tidak mahu menolak permintaan Umminya tetapi tidak juga mahu meninggalkan tetamunya petang itu begitu sahaja.

“Alah, takpe. Bawa jelah Halim sekali. Sekejap jer.”Ummi seperti memahami apa yang difikirkan anaknya itu.Ummi faham Mizi dan Halim seperti isi dengan kuku.

“Lem, jom teman aku hantar Ummi dengan Aisyah gi amik barang jap.” Mizi melihat Halim yang telah kembali terbaring di atas katilnya.

“Ha? jauh tak? ” Halim cuba mendapatkan kepastian. Telah lama beliau tidak menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Pada hematnya jika sekali sekala dapat melihat bandaraya Kuala Lumpur ini bagus juga.

“Takla,Kedai Ah Leong kat Carefour jer..”jawapan Mizi mematikan lamunan Halim.

“Ek eleh..ingat Kedai Ah Leong kat KLCC ker...haha dengan adik ko Aisyah tu?segan ar aku.huhu” respon Halim tersipu-sipu malu kerana Aisyah yang dulu dikenalinya kini telah menjadi seorang remaja 20an.

“Alah..poyo,takkan nak tinggal rumah ni sensorang.Jom la.” Mizi menarik tangan kanan Halim dari katilnya.


************************************************************************

“Ah…puan besar sula mali wo…”satu suara dari dalam kedai.

Ummi,Aisyah,Mizi dan Halim masuk ke dalam kedai cermin mata Ah Leong.Mereka memang selalu singgah ke kedai Ah Leong sejak Ah Leong memberi diskaun murah kepada tempahan Mizi.

Ummi memang senang dikenali Ah Leong kerana Ummi Habibah memakai niqab dan apatah lagi kedai Ah Leong memang tidak pernah dikunjungi pelanggan berpakaian seperti itu. Maka amat mudah Ah Leong mengecam pelanggannya itu.

“Assalamua’laikum puan besar...ada sihat ka?”Ah leong menyambut pelanggannya.

“Wa’alaikum Ah Leong” Mizi bersalaman dengan Ah Leong.

Halim berkerut dahinya kerana di dalam hatinya beliau menjawab salam Ah Leong dengan ucapan Wa’alaikummusyam. Dan celaka ke atasmu, itulah yang beliau tahu, atau dalam bahasa yang lebih kasar Dan celaka ke atas Ah Leong.Hati Halim tersentak memikirkan maksudnya.

“Psssst...Mizi,naper ko jawab salam apek tu? ” Halim menarik-narik belakang baju Mizi smabil berbisik.

Mizi hanya tersenyum,“Apek tu yang mula ucap selamat sejahtera pada kita dulu,takkan nak ucap celaka pada dia? ”ayat Mizi seumpama mengetahui apa yang bermain di dalam benak Halim.

“Tapi Mizi, diorang ni bukannya orang Islam,boleh ke kita main jawab je salam dia tu. Ah Leong ni bukan Kristian ker?” bisik Halim di belakang Mizi sambil memerhatikan rantai salib di leher Ah Leong. Halim inginkan kepastian kerana pada awalnya beliau menyangkakan nAh Leong beragama Buddha.

Mizi menarik Hilmi di sudut kedai sedang Ummi dan Aisyah duduk kerusi yang disediakan untuk pelanggan. Beliau tidak mahu Ah Leong mendengar perbualan mereka walaupun Ah Leong telah memasuki pejabatnya mengambil tempahan Ummi.

“Kalu kita ikut logik akal mungkin betul kot,tapi Nabi suruh jawab Wa’alaikum jer. ” jawab Mizi ringkas.

Yeker?Habistu ucapan Wa’alaikummusyam tu? ” Halim kehairanan.

“Tak tahula Lem,dalam Sahih Bukhari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”[4].Ni yang aku tahu.” Mizi merasai kebuntuan Halim dalam memikirkan asal usul ucapan Wa’alaikummusyam tersebut. Beliau hanya memahami wujud dalam salah satu pendapat Mazhab al-Syafi’i mengharuskan ucapan salam kepada bukan Islam seperti mana harus menjawabnya.

“Banyak benda aku tak tahu Lem,hehe” Mizi merendah diri apabila tidak dapat menjawab kebuntuan Halim.

“Ko jer?Aku ni?Haha”Halim tertawa kecil.

Mizi dan Halim segera menghampiri kaunter apabila melihat Ah Leong keluar dar pejabatnay di bahagian belakang kedai.

“Ini puan besar punya, saya bikin special punya untuk puan besar” Ah Leong menyerahkan beg yang telah siap berisi cermin mata yang ditempah Ummi seminggu lepas.

Setelah mencubanya Ummi menghulurkan duit kepada Mizi untuk melangsaikan baki bayaran cermin mata tersebut.

“Okey thank you tauke...!”Mizi bersalaman dengan Ah Leong diikuti dengan Halim.

“Okey-okey..manyak sama-sama, datang lagi lo”Ah Leong menghantar mereka sehingga ke pintu kedai sambil melambai-lambai Mizi.

“Meh Yan Lei Ga?(Orang apa tu?) ”anak Ah Leong menghampirinya bertanyakan siapakah mereka terutama perempuan yang berpakaian ‘pelik’ tersebut.

“Ma Lai Yan La, Tai Em Tou Meh?Ngo Ga Peng Yau A,Tim Gai A? (Orang Melayu la,tak dapat tengok ke,kawan saya,kenapa?)”Ah Leong menjawab pertanyaan anaknya ringkas.

“Tim Gai Koi Ga Ma Kam Ga?(Kenapa emak dia camtu?)” anak Ah Leong menyoal pelik.

“Lei Man Ngo,Ngo Man Ping Ko A? Me Tou Hou,Koi Tei Hai Hou Yan, Ngo Tei Toi Hou Yan Cho Sang Yi A (Kau soal aku,aku nak soal siapa?Yang penting, diaorang orang baik, kita berniaga dengan orang baik la.)”Ah Leong meninggalkan anaknya yang berdiri tegak di pintu kedai.Ayat Ah Leong mengajar anaknya supaya tidak bersikap prejudis terhadap pelanggannya.


************************************************************************

“Ummi dah masuk waktu maghrib ni kan.” Mizi memberitahu Umminya.

“Em...kita pergi solat dulu k,Nanti jumpa balik kat depan McDonald tu.”Ummi memberikan arahan ringkas kepada anak-anaknya.Mereka berpisah di hadapan kedai Jam setelah bersetuju berkumpul semula selepas selesai solat Maghrib.

Usai Mizi dan Halim mengerjakan solat Maghrib di surau dalam pasaraya itu mereka terus menuju ke arah McDonald.

Kelihatan Aisyah sedang berborak dengan seseorang. Dari sudut belakang kelihatan seorang muslimah bertudung labuh.

“Kawan Asiyah barangkali” bisik hati Mizi.

“Assalamua’laikum..amboi rancak berborak.” Mizi memberi salam melihat mereka berdua asyik berbual.

“Wa’alaikumussalam.. ” keduanya serentak menjawab salam Mizi.

“Kenalkan ni kawan Aisyah. Nama dia Sakinah. Dia senior Aisyah kat Maktab Mahmud dulu.. Sakinah, nila abang Aisyah,Tirmidzi nama dia.”Aisyah memperkenalkan kawannya. Sakinah tersipu-sipu malu, beliau menundukkan pandangannya. Sakinah yang berjubah dan bertudung labuh warna hitam itu duduk berhadapan dengan Aisyah. Matanya hanya menghadap Aisyah tanpa menoleh ke arah Mizi mahupun Halim yang berdiri berhampiran.

“Oh...Sakinah.Selamat berkenalan.Eh...Ummi tak selesai lagi?”Mizi cuba mengalih topik. Mizi diri berhampiran dengan meja perbualan Aisyah dan Sakinah.

“Ummi tengah bersiap kot.Ramai sangat orang kat dalam surau tu, dah la sesak. Telekung pun tak cukup, kasihan Sakinah terpaksa tunggu Ummi dia sebab berkongsi telekung dengan Ummi dia.”jawab Aisyah.

“O....Aisyah dah solat belum?”soal Mizi kepada adiknya.

“Dahla. Kalau tidak mestilah Aisyah duk dalam surau lagi.”Asiyah pelik dengan soalan abangnya itu.

“Eh,cene Aisyah solat kalau tadi kata telekung tak cukup? ”Mizi menyoal umpama polis pencen, soalannya kelihatan seperti tidak mempercayai kata-kata adiknya yang telah solat.

“La... Aisyah solat ceni jela.” sambil melihat jubah labuhnya itu.

“Sakinah pun patut solat cam Aisyah jer. Kan yang penting kita ada wudhu’ dan tutup aurat jer, betul tak Mizi” tiba-tiba Halim menyampuk dari belakang Mizi.

Sakinah tergamam mendengar pernyataan Halim, beliau menjeling Halim, seorang pemuda yang sama tinggi dengan Mizi tetapi berlainan dari segi pakaian, jika Mizi berseluar slack hitam singkat di bahagian bawah melihatkan buku lalinya Halim pula berseluar jeans baggy dan berjersi warna kuning terang. Pakaian budak-budak hip hop zaman sekarang. Sakinah merasakan pemuda yang menegurnya tadi adalah kawan Mizi.

“Tapi..er…Ni hal muslimah. Mungkin anta tak tahu.” Sakinah membalas hujah Halim kerana beliau rasakan teguran Halim tidak berasas. Tapi beliau tidak sedar ayatnya itu melibatkan kawan yang berada di hadapannya.

“Eh..Tak la,Aisyah rasa maksud Halim…”Aisyah cuba membetulkan kekeliruan Sakinah.

“Telekung tu kan kehendak,bukan keperluan.” Halim membalas selamber sambil melihat pakaian Sakinah yang bertudung labuh dan berstokin itu.

Mizi hanya mendengar hujah sahabatnya itu, beliau tidak sangka sahabatnya menjawab dahulu sebelum beliau cuba memberi penjelasan dan pandangan beliau secara beransur-ansur.Walau bagaimanapun beliau tidak dapat nafikan pemahaman Halim dalam hal ini. Mizi mendiamkan dirinya.

“Maksud Halim….Aisyah rasa kalau kita dah rasa kita tutup aurat dengan sempurna, boleh je terus solat tanpa telekung.Betul tak bang?” Aisyah menjelaskan apa yang beliau faham.

Mizi tersenyum lebar mendengar kata-kata mereka.

“Kalau macam tu baik ana pergi solat dulu” Sakinah memahami penjelasan Aisyah tadi. Beliau cuma berasa malu kerana prejudis dengan pemuda yang menegurnya tadi. Beliau segera bersalam dengan Aisyah dan meminta diri.

“Ana minta maaf dan terima kasih atas pencerahan tadi. Ana minta diri dulu Assalamua’laikum.” Sakinah menghadap ke arah Halim memohon maaf, matanya tertumpu pada lantai restoran tersebut dan selepas itu beliau berlalu pergi.

“Err...Wa’alaikumussalam.....Ana..” Halim tidak sempat membalas pernyataan Sakinah kerana muslimah tersebut telahpun berlalu pergi. Halim melihat Mizi. Mizi senyap sejak Halim bersuara, Halim lihat beliau seperti memikirkan sesuatu.

Halim menepuk kuat bahu kanan Mizi.“Woit! Mizi, mimpi moon ke?”

“Aduh! Ko ni,agak-agak ar.” Mizi seumpama terjaga dari tidur. Beliau terbangun dari menilai keperibadian Sakinah yang dirasakan sukar ditemui dalam diri remaja-remaja lain yang dikenalinya kini.

“Pelik aku...kalau rasa pakaian tak cukup sempurna tutup aurat, barulah pakai telekung,kalau da rasa tutup aurat sempurna watper mesti nak pakai telekung. Betul tak Mizi?”tanya Halim.

“Emm...”Mizi hanya mengangguk tanda setuju. Beliau menghembus nafas syukur kerana pernyataan Halim itu mungkin boleh membuatkan Sakinah terasa hati jika mendengarnya.

“Naper minah tadi kejap kata nama dia Sakinah kejap bahasakan diri dia Ana.Mana satu panggilan dia?”Halim menyoal kemusykilan.

Mizi dan Aisyah tidak dapat menahan gelak mendengar soalan Halim tersebut. Dalam pada itu seorang wanita berniqab menghampiri mereka.

“Ha..Ummi da sampai” telunjuk Aisyah lurus membelakangi Mizi dan Halim, kedua mereka menolehkan pandangan.

“Amboi,apa yang buat anak-anak Ummi ni gembira sangat ni em?Dah jom balik, Abi kamu dah tunggu kat rumah tu.Jom.” kata Ummi.

Mereka berempat berlalu pergi dari McDonald ke arah lif berhampiran.

“Ilalliqa’ Sakinah, insyaAllah” bisik hati Mizi.


Bersambung.....................................

************************************************************************


Ibn Yusof

24 Disember 2007 / 14 Zulihijjah 1428

8:29 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


[1] Hadith Riwayat Tirmidzhi no. 317 dan disahihkan oleh Al-Albani di dalam Irwa’ ul Ghalil no. 287.

[2] Fathul Bari jilid satu hlmn. 342.

[3] Hadith Riwayat Bukhari jlid 1 hadith no. 323 dan 346.

[4] Hadith Riwayat Bukhari serta Fathul Bari jilid 11 hadith no. 42 dan Hadith Riwayat Muslim jilid 4 hadith no. 1705.

2 comments:

~maharani~ said...

assalamualaikum,
karya yang bagus, padat dengan pengetahuan baru untuk pembaca yang sentiasa mencari kebenaran..

semuga ilmu yang terlahir dalam TIKA RAUDHAH SYURGA BERBUNGA dapat dikongsi bersama peminat blog yang lain, insyaAllah...

JIHAD FI SABILILLAH, ALLAH HU AKBAR!

Unknown said...

i couldn't agree more with this entry. it's TOTALLY AWESOME!!! pyh nk jupe individu yg mmg bpendapat sebegini. apabila makcik cuba sampaikannya kpd rakan/family yg lain, masing2 ada yg tpinga², memandang serong pd makcik atau lebih dahsyat lg menganggap makcik mengikut ajaran sesat. semoga 'pencerahan' sebegini dpt mbantu our typical malaysian muslims. wallahu'alam.