Sunday, April 20, 2008

IMMEX: Kenangan aku, dia dan kami (Siri Akhir)


“Dah jumpa! Alhamdulillah” jerit Kak Dija membuatkan Pak Idris yang sedang memandu sedikit terpinga-pinga. “Udah ketemu sama passportnya?” Pak Idris terlebih dahulu menyoal sebelum aku dan Shuaib memberi apa-apa respon. “Ada peserta terambil beg tu dan kemudian tadi dia call Pak Wira dan dia kata esok tengah hari dia jumpa Pak Wira untuk pulangkan.” Kelas Kak Dija tersenyum riang.

“Alhamdulillah…termakbul doa Ezry, tak sia-sia dia solat hajat.” Shuaib memberi respon. Aku melihat Kak Dija yang menoleh ke belakang dari tempat duduk hadapan dan Shuaib yang berada di sisi ku, aku tersenyum aku cuba menghayati rasa syukur yang menyelimuti suasana malam itu. Mereka menunggu responku setelah melihat aku diam membatu sambil mengukir senyuman.“Em...Alhamdulillah, saya tak solat hajat pun, saya bertawassul.”

“Tawassul?” dalam keadaan gembira itu Kak Dija disuap dengan satu terminologi baru yang tidak pernah didengarinya. Shuaib pula melihat tepat wajahku, beliau bersama denganku sepanjang masa, dia juga tahu kami hanya berhenti solat jama’ ta’khir di Masjid Safinatullah, Obey Awang Lodeh dalam perjalanan ke Hotel Nikita. Tidak ada solat hajat dan yang ada hanya kelakuanku memanjangkan sujud sepanjang berada di sebelahnya sebagai makmum.“Apa tawassul tu?” soal Kak Dija ringkas. Kak Dija kelihatan berminat, bukan hanya kerana ia satu terminologi baru tetapi ia satu cara selain solat hajat yang diketahuinya apabila berhajatkan sesuatu. Sengaja aku melontarkan persoalan ini demi mengambil peluang yang tersedia untuk menambah pengetahuan sahabat sekeliling. “Saya hanya berdoa..” jelasku sambil cuba menyusun kata.

“Tawassul atau dalam erti kata lain mendekatkan diri kepada Allah dengan cara tertentu, saya hanya mengunakan salah satu cara yakni bertawassul dengan amal soleh yang saya lakukan.” Aku cuba menjelaskan apa yang aku tahu. “O.....camtu, berdoa jer?” Kak Dija mengangguk, tapi aku tahu dia masih keliru. Apa beza berdoa dan bertawassul? Muka nya berkerut. “Bertawassul dengan amal soleh ni contohnya macam dalam hadith Sahih Bukhari... orang-orang yang terperangkap dalam gua, then mereka bertawassul kepada Allah dengan amal soleh mereka masing-masing dan dapat keluar dari gua tu.[1]” aku memperkemaskan hujah.

Kak Dija sekali lagi mengangguk dan tersenyum. “Oh..pernah dengar...” Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang aku lakukukan adalah tertegak atas hujah dan dalil. Teringin juga masa itu menerangkan jenis-jenis tawassul yang lain agar sekurang-kurangnya mereka tahu tentangnya.

Ada bermacam jenis cara bertawassul, ada yang menggunakan nama dan sifat-sifat Allah Azza Wa Jalla, bertawasul dengan Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam semasa hayat baginda ataupun bertawassul pada doa orang-orang soleh. Adapun perbahasan antara para ulama’ berkenaan bertawassul dengan Rasulullah Salallhu ‘alaihi Wasssalam setelah kewafatan baginda tidak terfikir untuk aku sentuh memandangkan ianya satu topik yang kontroversi. Tetapi ianya tidak serumit mana jika dapat membandingkan dua dalil dengan jelas.

Sebagaimana yang dilakukan para sahabat tatkala hujan tak kunjung datang, mereka bertawasul kepada Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam untuk memohon agar turun hujan, seketika itu baginda Salallahu ‘alaihi Wasssalam memohon kepada Allah supaya menurunkan hujan. Tidak lama kemudian doa baginda Salallahu ‘alaihi Wasssalam dikabulkan oleh Allah dan turunlah hujan dengan lebat.[2]

Tetapi setelah kewafatan baginda Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam tidak ada seorangpun para sahabat dan yang lainnya dari generasi para salafus soleh meriwayatkan mereka ke maqam Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam untuk bertawassul dengannya. Para sahabat bertawassul kepada Abbas di zaman Khalifah Umar bin Khaththab Radhiyallahu anhu meminta agar beliau berdoa kepada Allah untuk memohon diturunkan hujan. Lalu Abbas bin Abu Thalib Radhiyallahu anhu bedoa kepada Allah yang diamini para sahabat.[3]

Maka perbezaan dua dalil di atas dapat kita lihat yang mana jika para sahabat mengetahui bolehnya bertawassul pada orang yang telah mati sudah tentu mereka berbondong-bondong ke maqam Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasssalam untuk bertawassul dengannya. Kenapa pula perlu berjumpa dengan Abbas Radhiyallahu anhu?

“Kita jangan bagitau diorang dulu la k,biar surprise?” Kak Dija memberi cadangan pada kami sebelum keluar dari kenderaan. Kak Dija tidak dapat menahan kegembiraannya ingin membuat kejutan. Aku hanya mamapu tersenyum sahaja. Saat kami masuk ke dalam dewan makan yang memuatkan semua peserta IMMEX, aku dapat merasakan semua anak mata tertumpu kepada ku. Kami semua menahan raut wajah kegembiraan sepanjang makan malam tersebut. Setelah selesai makan malam, aku merasakan perlunya aku berkongsi berita kegembiraan itu dengan yang lain, aku meminta izin Kak Dija untuk memberi pemberitahuan atau ucapan ringkas.

“Assalamu’alaikum.......”aku memberi salam. Bertujuan mengambil perhatian semua peserta yang sedang riuh dalam dewan makan yang kecil itu. Semua senyap dan anak mata tertumpu pada ku. Aku berdiri berhampiran pintu masuk restoran tersebut dan mengadap semua persrta IMMEX.“Mohon izin Dekan Kuliyyah dan pensyarah-pensyarah lain untuk memberi sepatah dua kata sebelum kita berangkat pulang ke hotel. ” aku memulakan ucapan ringkasku melihat Dekan dan pensyarah-pensyarah yang berada di meja sebelah kiri, jika sebelum ini arahan dan ucapan ringkas aku berikan sepanjang program selaku Ketua Koordinator dan Logistik program, ternyata kali ini suasananya agak sedikit berbeza.

“Seperti yang semua tahu, berita sensasi pada hari ini ialah berkenaan kehilangan passport saya...... ” aku cuba berseloroh. Ada yang tergelak tetapi ada juga anak mata yang telah mula bergening. “Saya dijangkakan untuk stay di Pekan Baru hampir seminggu untuk uruskan dokumen pengesahan untuk pulang ke Malaysia” mendengar pernyataan ini ada beberapa peserta perempuan pangkat kakak telah mula berjujuran air mata mereka.

“ Tapi......Alhamdulillah passport saya dah dijumpai” sebaik habis pernyataan ini semua pesrta bersorak, bergegar dewan makan itu dengan suara semua peserta. “Yeeeeyy.....!! ” disertai dengan tepuk tangan tanda gembira. Aku tersenyum lebar. “Alhamdulillah la!! ” Hafizi menegur para peserta yang menjerit kegembiraan. “Oh...ye alhamdulillah alhamdulillah....... ” Fahmi yang tadinya bersorak sambil mengangkat tangan terus tersipu malu sambil melafazkan kalimah syukur pada Allah.“Saya harap apa yang terjadi ini dapat kita semua jadikan pengajaran dan merupakan satu ujian atas diri saya dan rakan-rakan sekalian untuk kita lebih dekatkan diri kita pada Allah Subhanallahu Ta’ala insyaAllah....” aku menutup ucapan ringkas yang membuatkan semua pesrta tersenyum lebar. “Inilah family IMMEX” bisik hatiku, susah senang semuanya kami lalui bersama.Dekan Kuliah Dato’ Jamil dan Dr. Ugi Suharto bangan dan bersalam dengan ku mengucapkan syujkur pada Allah dan tahniah.

Semua bangkit meninggalkan meja makan dan berpusu-pusu keluar dari dewan makan dan uniknya di Bukit Tinggi di luar restoran itu telah pun ada para peniaga kecilan yang mempamerkan barang jualan mereka.Mereka hanya berniaga di tepi jalan dan semua peserta IMMEX berebut-rebut membeli barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Telekung, sampin dan key-chain menjadi tarikan utama. Semuanya membeli belah dengan raut wajah riang. Aku hanya melihat mereka semua, duit tinggal tak seberapa. Hampir berjuta-juta rupiah telah aku habiskan membeli kitab-kitab terjemahan di Padang, baik di toko buku At-Taqwa berhampiran Masjid Muhammady mahupun toko buku Gramedia, dikhuatiri melebihi had kargo 15 kg maka aku terpaksa memilih dalan berbelanja,hanya barangan kecil dan ringan.

Pulang dari makan malam bas berhenti di Shoping Complex Ramayana, dan kami teruskan aktiviti berbelanja di situ.Waktu itu aku diingatkan Kak Dija untuk memberitahu Iqbal dan Ammar tentang berita gembira itu. Aku menghubungi mereka dan berterima kasih pada mereka atas pertolongan yang mereka hulurkan. Mereka berdua lebih kurang sebaya denganku tetapi aku sangat kagum apabila mereka mampu survive di negeri orang, malah mempunyai ramai kenalan termasuk di jabatan-jabatan kerajaan Indonesia di Padang.

Baki 1 hari di Bukit Tinggi tidak sia-sia, kenangan paling bermakna apabila berpeluang ke Danau Maninjau.Dari keindahan Danau Maninjau ini lahirnya seorang tokoh ulama’ Nusantara yang tersohor, HAMKA. Nama ini pasti pernah menitir di bibir para ustaz di Nusantara. Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir di Tanah Sirah Nagari Sungai Batang Maninjau.pada tanggal 13 Muharam 1326 H bertepatan tanggal 16 Februari 1908 dari pasangan Dr. A. K. Amrullah dan Syafiyah.

Akhirnya beliau bukan sahaja menjadi seorang ulama’, beliau juga terkenal sebagai seorang jurnalis, sasterawan,negarawan, sejarawan, pujangga dan ahli politik. Ketokohan beliau dalam semua bidang yang dinyatakan ini terdapat dalam hasil-hasil karya beliau lebih dari 100 buah. Ratusan makalah, karangan, dan artikel tersear dalam media massa seperti Pedoman Rakyat, Aliran Islam, Suara Partai Masyumi, Hikmah, Mimbar Agama, Panji Masyrakat dan banyak lagi.

Pertama kali menapak Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka ini kami dialu-alukan oleh penjaga muzium tersebut.Setelah semua duduk berkumpul beliau pun menceritakan sejarah kehidupan Hamka sejak beliau lahir sehinggalah beliau meninggal. Kelancaran memori Pak cik yang bercerita itu mendatangkan tanda tanya pada diriku bahawa pasti dia seorang peminat Hamka, atau dia mempunyai talian persaudaraan dengan Hamka. Tekaanku tepat apabila dia merupakan sepupu kepada Hamka. Ayahnya dan ayah Hamka adalah adik beradik kandung dan Hamka pernah tinggal di rumahnya sebelum pergi merantau mencari ilmu.

Aku sendiri secara peribadi antara jutaan manusia yang terkesan dengan pemikiran dan hasil karya Hamka. Melihat Tafsir Al-Azhar tersusun cantik di kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, ini membuktikan keilmuan beliau sebagai seorang ulama’ yang perlu dicontohi. Jarang pada masa ini timbul ulama’ yang multipurpose,sedang kebanyakan para ustaz hanya tahu mengeluarkan fatwa tetapi Hamka bergaya dengan hasil sasteranya. Keluasan karyanya ini sekaligus melihatkan keluasan minat intelektual Buya Hamka. Seluruh tulisan karyanya dilandari oleh semangat keislaman yang tidak pernah padam. Denagan semangatnya itu ia memasuki bukan hany bidang-bidang keagamaan tetapi juga meluas ke alam filsafat, tasawuf, kesusasteraan, dan kebudayaan sejarah serta politik. Buya Hamka dengan gayanya sendiri harus diakui sebagai seorang cendikiawan.

Sebelum pulang ke hotel,bus berhenti di depan Pasar Atas, berhampiran dengan shopping complex Ramayana. Di antara dua lokasi itu terdapat bulatan yang mana Jam Gadang terpacak di tengah-tengah bulatan tersebut, sebagai simbolik yang menjadi kebanggaan bersejarah bagi penduduk di Bukit Tinggi. Kami menghabiskan sisa-sisa masa di sana dengan membeli belah, banyak juga souvenir untuk keluarga dan rakan-rakan yang sempat aku belikan di dua lokasi terakhir kami ini. Semata-mata ingin menghabiskan duit rupiah yang masih berbaki setelah pulang ke hotel kami sanggup keluar beramai-ramai ke Ramayana untuk membeli belah buat kali yang terakhir.

Pada 11 Februari jam 4 pagi, kami telah berkumpul sebelum bertolak ke Minangkabau International Airport, masing-masing dengan barang-barang yang dibelinya. Sehinggakan aku terpaksa menumpang beg kak Muslimah untuk menampung kitab Hukum Zakat karya Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi yang setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka itu.. Dua bas yang diguna pakai sarat kerana terpaksa menampung kerakusan kami dalam berbelanja. Setibanya di lapangan terbang, nampaknya kami menggunakan had semaksima mungkin apabila bagasi keseluruhan perserta-peserta IMMEX mencapai angka sehingga 480kg. Alhamdulillah kami tidak dikenakan sebarang denda.

Syukur ke hadrat ilahi, hasrat aku melihat bumi Malaysia pada pagi isnin itu kesampaian, kami semua selamat tiba di Malaysia pada jam 10 pagi. Banyak perkara yang bermain dalam fikiran ku sepanjang perjalanan pulang ke universiti. Peperiksaan pertengahan penggal yang mendatang dan tugasan yang bertimbun untuk disiapkan. Semua ini membuatkan aku lebih tabah, kemampuan membina minda positif dengan menyuntik kesyukuran atas segala pengalaman indah yang ku hela di bumi Padang menjadikan aku seorang yang berbeza, bukan sahaja aku, tetapi setiap para peserta IMMEX. Ini kerana ia bukan kenangan aku semata, tetapi ianya kenangan kami, keluarga IMMEX.

Wallhua’lam.

Ibn Yusof

5 April 2008 / 29 Rabi` Al-Awwal 1429

12. 05 a.m



[1] Shahih Al-Bukhari, kitab Badul Khalq 4/147-148.

[2] Shahih Muslim, kitab Al-Istisqa bab Doa Fil istisqa 3/24-25.

[3] Shahih Al-Bukhari, bab Istisqa Fi Yaumil Jumah 2/18.

No comments: