Sejak berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, saya tidak pernah menyangka akan tenggelam dalam lautan ilmu Fiqh Muamalat dan Usul Fiqh. Bermula dengan mata pelajaran Fiqh for Economist yang mempunyai 3 peringkat dan 2 peringkat subjek Usul Fiqh. Lebih dua tahun saya bergelumang dengan subjek-subjek ini. Saya bersyukur sebagai pelajar jurusan Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa kerana berpeluang menyusuri lautan ilmu bernahkodakan pensyarah-pensyarah yang berkaliber.
Semester 2 lepas (07/08) saya mengambil subjek Islamic Banking and Finance, disertai dengan subjek-subjek lain seperti Public Finance dan Corporate Finance. Barangkali semuanya mempunyai perkataan ‘Finance’ dibelakangnya tetapi semua subjek tersebut berbeza intipatinya. Islamic Banking Finance atau IBF merupakan satu mata pelajaran yang menarik perhatian saya lama sebelum saya mengambilnya.
Saya masih ingat perbincangan dengan rakan sebilik yang telah terlebih dahulu mengambil subjek IBF sebelum saya, kami berbual tentang produk Islamic Bank yang popular yakni Bai’ Bithamanil ‘Ajil, hujah saya ditemplak hebat atas keterbatasan ilmu yang saya miliki dalam hal-hal Islamic Banking. Pembelajaran sewaktu mengambil subjek Fiqh For Economist 2 memang agak terbatas kerana ia hanya membincangkan konsep produk-produk Islamic Bank dengan ringkas berbanding subjek IBF yang mengambil kira realiti masa kini dalam membincangkan isu-isu produk yang ditawarkan oleh Islamic Bank.
Apabila berpeluang mempelajari subjek ini ianya sedikit sebanyak membuka minda saya tentang isu sebenar dari sudut shariah tentang produk-produk yang ditawarkan oleh Islamic Bank di Malaysia dan negara-negara luar. Pada awal semester saya berpeluang belajar dengan Dr. Asyraf Wajdi. Salah seorang pensyarah yang tidak asing lagi di Kuliyyah Ekonomi ini. Memang perasaan excited itu timbul apabila berpeluang belajar dengannya yang meraih Rector’s Award for Best Graduates of International Islamic University
Dr. Asyraf Wajdi mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengajar subjek IBF. Kelasnya tidak pernah membosankan malah cara pengajarannya membuatkan kita sebagai pelajar ingin lebih dan lebih. Saya tidak dapat melupakan bagaimana beliau
Kekreatifan Dr. Asyraf Wajdi dalam mengajar terserlah dalam tugasan-tugasan yang beliau berikan. Setiap kumpulan diberikan satu negara untuk para pelajar kaji dan selidik tentang perkembangan Islamic Banking dalam Negara tersebut. Kumpulan kami ditugaskan untuk mengkaji tentang perkembangan Islamic Banking di Singapura. Selain itu, para pelajar juga diberikan satu produk untuk setiap kumpulan lakonkan agar para pelajar mengetahui bagaimana modus operandi produk yang diberikan. Kumpulan kami pula mendapat tugasan melakonkan modus operandi Letter of Credit.
Metod pengajaran Dr. Asyraf Wajdi lebih tegas, sebagai seorang economist beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama apabila membincangkan hal-hal kontroversi seperti hal Bay’ Inah. Tetapi beliau tetap berlapang dada dalam hal ini menunujukkan sikap profesional beliau sebagai tenaga pengajar. Banyak yang saya perolehi sepanjang mengikuti kelas beliau.Tetapi ianya tidak kekal lama apabila beliau mengambil keputusan bertanding sebagai calon parlimen di Tumpat.
Akhirnya, hasrat untuk meneruskan pembelajaran dengan Dr. Asyraf Wajdi tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, kelas kami diganti oleh Ustaz Zaharuddin sebagai tenaga pengajar baru. Beliau memang sudah terkenal dengan ilmu Fiqh Muamalat sebelum menjejakkan kaki sebagai tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa.
Pada awal pengajaran Ustaz Zaharuddin, saya agak susah untuk menyesuaikan diri dengan teknik beliau tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dengan manhaj beliau. Perbezaan jelas apabila ahli fiqh dan economist mengajar subjek yang sama. Perbezaan ini bukan dirasai saya seorang apabila rakan di meja hadapan berbisik “Eh..lain la macam apa yang Dr. Asyraf cakap? ”.
Kedua-dua tokoh ini mempunyai matlamat yang sama, cuma sahaja cara penyampaian mereka sedikit berbeza. Penyampaian Ustaz Zaharuddin lebih releven dengan kritikan-kritikan beliau yang membina. Analogi yang beliau berikan juga ada logiknya jika kita fikirkan. Ini bukan bermaksud apa yang Dr. Asyraf Wajdi ajar salah. Sebagai economist kita memang mengharapkan Islamic Bank menjadi full fledged Islamic Bank dan bebas dari apa-apa isu shariah. Tetapi kadang kala economist terbatas dalam mengambil kira keadaan sekeliling. Bukan kerana tidak mengambil tahu, tetapi kerana ilmu ekonomi semata adakalanya kurang memberi fokus dalam penghayatan ilmu fiqh dan kaedah-kaedah fiqh. Ilmu ekonomi sahaja lebih berkisar dan bermain dengan bait-bait ilmu fiqh yang tertentu sahaja.
Saya teringat hampir kebanyakan teori ekonomi tertera ayat Cēterīs paribus, bahasa latin yang bermaksud keadaan dimana faktor lain dianggap tidak berubah. Manakala sebagai seorang ahli fiqh kita mengambil kira ’Urf sebagai salah satu sumber penshariatan. Atas sebab yang demikian juga fatwa-fatwa berbeza mengikut ’Urf. Inilah sedikit sebanyak perbezaan yang saya nampak dan fahami dari penjelasan Ustaz Zaharuddin. Tambahan pula, analogi Ustaz Zaharuddin banyak mempertahankan Islamic Bank sedia ada yang masih banyak isu-isu Shariah di sebalik produk-produk mereka yang disangka Islamik.
Tetapi saya tidak dapat tidak untuk bersetuju dengan analogi beliau yang menganggap Islamic Bank kini sama seperti Muallaf yang baru memasuki Islam. Masa dan peluang harus diberikan kepada mereka (Islamic Banks) untuk betul-betul bersedia, pada masa yang sama kesediaan masyarakat juga perlu diambil kira. Dr. Asyraf Wajdi sendiri dalam salah satu lecturenya pernah mengambil contoh negara Iran yang mengamalkan full fledged Islamic Banking secara mendadak sedang bank-bank dan masyarakat masih belum bersedia. Maka saya lihat keserasian pendapat antara dua tokoh dalam perbahasan ini.
Saya berasa bersyukur kerana dapat belajar dengan kedua-dua tokoh ini dengan dua manhaj yang berbeza, seorang economist dan seorang lagi ahli fiqh. Hatta berbeza dalam cara pendekatan tetapi tujuan murni kedua-dua golongan ini sama dan harus dipandang positif kerana kita saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menuju ekonomi Islam yang sempurna. Keputusan cemerlang dalam subjek ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk bersama-sama berjuang dengan tokoh-tokoh ini dalam perjuangan mereka memartabatkan ekonomi Islam.
Wallahua’lam.
Ibn Yusof
20 April 2008/ 13 Rabi’ Al-Akhir 1429
11.19p.m
p/s: Catatan di atas hanyalah pandangan seorang pelajar.
3 comments:
Assalamualaikom bro.,,
just my two cent..
Tak sesuai rasanya gunakan perkataan VS,lagi molek gunakan Antara Dr Asyraf Wajdi dan Ust Zaharudin..
Sebbnya VS membawa maksud lain,takut2 itu akan menimbulkan fitnah pada dua tokoh ini :D
dah lama tak dengar khabar.. :D
Wa'alaikumussalam,
InsyaAllah, ada betulnya.
Tujuan asal letak 'Vs.' Semata-mata ingin menunjukkan perbezaan antara economist dan ahli fiqh.
Jazakallah atas teguran.=o)
Post a Comment