Friday, April 20, 2007

3 Jumaat Berbeza Tetapi Dengan ‘Adat’ Yang Sama

Melalui minggu-minggu yang telah pun berlalu,Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk melalui 3 Jumaat di tempat yang berbeza.Hari ini,sebaik balik dari solat Jumaat di kawasan perumahan,saya terus menerjah keyboard.Barangkali khutbah tadi melahirkan sedikit sebanyak semangat untuk menulis beberapa kritikan membina setelah melalui 3 Jumaat di tempat-tempat yang berbeza dan solat Jumaat di 3 masjid yang berlainan.
Masjid 1
Jumaat pertama yang saya maksudkan berlaku sewaktu saya mengerjakan solat Jumaat di sebuah masjid.Masjid ini dengan wajah baru memang menyelesakan para jemaah terutamanya para pelajar yang menjadikan masjid tersebut sebagai tempat bukan sahaja untuk ibadah solat tetapi juga untuk belajar di situ. Apa yang berlaku agak ganjil kerana masjid yang sedia elok itu ditukar karpetnya dan jubin-jubin di luar dibersihkan dan semua gerak kerja hanya berlaku selama seminggu.Para pekerja yang bertungkus lumus menukar wajah masjid itu seolah-olah diberi dateline.Maka segala persoalan terungkai apabila rupa-rupanya Sultan menghadirkan diri untuk solat berjemaah bersama.Maka saya merasakan tidaklah menjadi satu kesalahan atas apa yang pihak masjid lakukan kerana perubahan tersebut adalah untuk kebaikan semua pihak InshaAllah.Bagi saya Jumaat itu tiada bezanya dengan Jumaat-Jumaat yang lain.Saya menghadiri solat Jumaat seperti biasa.

Sultan datang bersama pengawal-pengawal peribadinya sebelum azan kedua berkumandang.Tempat telahpun tersedia untuk mereka dengan berhiaskan sejadah khas untuk Sultan dan mereka yang mengiringi Sultan.Kesemuanya nampak jelas kerana saya berada di saf paling hadapan.Selepas itu kebanyakan orang solat sunat Qabliyyah setelah mendengar azan pertama berkumandang dan bagi mereka yang memahami bahawa solat tersebut tidak ada dasarnya dari amalan tersebut dari ajaran sunnah yang sahih maka mereka duduk tetap menanti Khatib.Jelas bahaw dalil-dalil yang ada menunjukkan bahawa condongnya matahari maka azan pun dilaungkan dan seterusnya khutbah dan terus kepada agenda utama iaitu solat Jumaat.Maka jelas tiada waktu untuk amalan ‘sunnah’ yang menjadi adat kebiasaan orang.
Diisyaratkan oleh Al-Hafizh Al-Iraqi:
“Tidak diriwayatkan dari Nabi s.a.w bahawa beliau shalat sebelum Jumaat,kerana beliau biasa keluar menuju shalat Jumaat,lalu datang muadzin berazan di hadapan beliau,kemudian beliau berkhutbah.”
(Naiilul Athar Jilid 3 hlm. 216,Al-Hafizh mempunyai komentar serupa dalam Al-Nath Jilid 2 hlm. 241)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“….apabila diseru menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan jual beli [Al-Jumuah 62:9]


Ayat ini jelas menunjukkan apabila khatib menaiki mimbar seperti yang termaktub dalam kitab-kitab sunnah. “Jika azan itu dijadikan batas wajibnya bersegera,tidak mungkin lagi kita melakukan solat sunnat Qabliyyah”
(Al-I’nayah ‘alal Widayah Jilid 1 hlm. 421)

Manakala Abu Syamah dalam kitabnya Al-Ba’itsu a’la inkaril Bida’I wal Hawadits menyebutkan:-
“Kalau anda mengatakan bahawa beliau s.a.w shalat sunnah di rumah beliau setelah matahari condong kemudian baru beliau keluar,maka saya katakan: kalau itu terjadi tentunya dinukil riwayatnya oleh para isteri beliau radhiyaullahu ‘anhuma sebagaimana mereka juga menukil seluruh shalat-shalat yang dilakukan Nabi di rumah beliau siang dan malam,bahkan tata cara tahajud dan shalat beliau di amalam hari.Bila tidak ada riwayat satupun tentang hal itu,bererti perbuatan itu tidak ada.Dan itu menunjukkan bahawa perbuatan itu belum pernah terjadi dan tidak disyariatkan.”

Jika masih ada yang ingin membela perlakuan solat sunnah Qabliyyah dengan hadith dari Aisyah secara marfu’ dengan lafazh:-

“Beliau biasa shalat dua rakaat sebelum Jumaat di rumah beliau”

Hadith ini sesungguhnya batil dan palsu.Cacat hadith ini adalah seorang perawi bernama Ishaq yakni Al-Aswari Al-Bashri.Berkata Ibn Main
“Ia seorang pendusta yang suka memalsukan hadith”.

(Rujukan tambahan tentang ketiadaan solat sunnah Qabliyyah Jumaat boleh dirujuk pada Sunan Wal Mubtad’at. hlm. 51,Al-Madhal jilid 2 hlm.239 dan Al-Ajwibah An-Naji’ah hlm. 26-410.)

Berbalik kepada cerita asal,selepas azan kedua dialungkan dan khatib berdiri di atas mimbar.Khatib tersebut memberi satu khutbah yang sungguh bersemangat dan saya begitu kagum dengan khutbahnya pada hari itu.Sayangnya dalam memperjuangkan apa yang disampaikannya itu khatib tersebut terlupa akan sunnah yang sebenar adalah memanjangkan shalat Jumaah itu sendiri bukan dengan memanjangkan khutbah tersebut.Sehingga pukul 2 lebih masih lagi berada pada text khutbah pertama.Seperti yang disangka-sangka solat Jummat pada hari itu ‘simple’ dengan surah yang ‘simple’ tapi meninggalkkan kesan khutbah yang berjela-jela.Apakah kerana Sultan berada di dalam masjid maka kita perlu membentang khutbah seperti membentang proposal kertas kerja projek terbaru?Walhhaua’lam bi sawab.Sedangkan sepatutnya khatib tersebut mengetahui bahawa perkara tersebut bertentangan dengan sunnah,malah ia dianggap bid’ah oleh sesetengah ulama’ .contohnya disebutkan dalam Ad-Durul Mukhtar Jilid 1 hlm. 758 pada catatan pinggir yang bunyinya:-


“Dilarang memanjangkan dua khutbah Jumaat melebihi lamanya membaca salah satu surat panjang dari Al-Mufashal”


Masjid ke 2

Minggu kedua pula saya berpeluang untuk solat Jumaat di luar Kuala Lumpur kerana ada aktiviti di situ dan solat Jumaat tersebut tidak dapat saya lupakan kerana saya hanya sempat mendengar tajuk khutbahnya sahaja iaitu berkenaan “Adab Kepada Ibu Bapa”,dan selebihnya Khatib di atas mimbar itu seperti bermonolog sendirian.Saya yang berada di saf pertama pada awalnya sanggup berubah tempat ke saf kedua untuk mendapatkan pemandangan jelas ke arah mimbar tersebut,saya juga sempat menoleh ke belakang untuk melihat keadaan Jemaah lain setelah khatib tersebut memulakan monolognya dan seperti yang dijangkakan kebanyakan jemaah telah tunduk melayan khayalan masing-masing.Khatib yang cuba bersembunyi di sebalik text khutbah pada hari itu cuba menyampaikan sedaya upayanya tetapi daya tarikannya yang kurang berkarisma membuatkan para jemaah lebih selesa berimaginasi sendirian.Bukanlah tujuan saya menghina atau mempermainkan situasi tersebut tetapi siapakah di kalangan kita yang sanggup berhadapan dengan keadaan seperti itu?apakah para jemaah yang kebayakannya adalah pelajar-pelajar sekolah menengah berhampiran tidak mengenal rasa bosan?tidaklah menghairankan saya mengapa masjid tidak dapat menarik perhatian para remaja seperti pihak gereja dalam khutbah mereka. Bayangkanlah kami hanya menyedari bahawa khutbah kedua telah selesai apabila khatib tersebut duduk dan para jemaah lain mengangkat tangan untuk berdoa.

Ingin saya menyentuh serba sedikit tentang hukum-hukum berkenaan mengangkat tangan dan mengaminkan (seolah-olah khatib tengah berdoa) dalam khutbah pertama pada ayat terakhir khatib bacakan sebelum duduk antara dua khutbah yang BIASA dilakukan.Hukum mengangkat kedua tangan ketika berdoa Do'a adalah ibadah.TETAPI perlu diingat ibadah hukum asalnya haram kecuali ada dalil yang memerintahkannya.Supaya ibadah diterima oleh Allah maka harus memenuhi dua syarat, yaitu ikhlas dan mutaba'ah. Termasuk berdo'a harus mengikuti apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam.

Ketahuilah bahwa mengangkat kedua tangan ketika khatib berdo'a dalam khutbah jum'atnya adalah sesuatu yang tidak disyari'atkan.Baik khatib di ats mimbar maupun ma'mum yang sedang mendengar khutbah:-

"Dari Ammarah bin Ruaibah, bahwa ia telah melihat Bisyr bin Marwan mengangkat kedua tangannya di atas mimbar. Lalu Ammarah berkata : Semoga Allah menjelekkan kedua tangan itu, sesungguhnya saya telah melihat Rasulullah ketika berdo'a selalu dengan tangannya, begini. Yaitu dengan mengisyaratkan jari telunjuknya. Dalam riwayat yang lain disebutkan, Pada hari Jum'at." (HR Muslim no.874).



Imam An Nawaawi berkata :
“Dalam hadits itu ada penjelasan bahwa yang namanya sunnah adalah tidak mengangkat kedua tangannya ketika berkhutbah. Ini adalah pendapatnya Imam Malik, sahabat-sahabatnya, dan selain mereka. Al Qadhi menceritakan dari beberapa orang terdahulu dan dari sebagian pengikut Imam Malik, bahwa mengangkat tangan adalah boleh, dengan dalil karena nabi pernah mengangkat kedua tangannya dalam khutbah Jum'at ketika meminta turun hujan. Tapi pendapat ini dijawab oleh pendapat yang mengatakan tidak boleh, bahwa beliau mengangkat kedua tangan karena adanya sebuah alasan.”
(Syarah Muslim oleh An Nawawi 5/411).

Asy Syaukani berkata :
Hadits ini menunjukkan ttg dibencinya perbuatan mengangkat tangan sewaktu berada di atas mimbar dan ketika berdo'a dan bahkan itu adalah bid'ah. (Nailul Authar 3/308). Dinukil dari Hasyiah Ar Raudhah dari Al Majd bin Taimiyyah bahwa mengangkat kedua tangan dalam keadaan seperti itu adalah bid'ah.
(Hasyiah Ar Raudh oleh Ibnu Qosim 2/458 dan lihat Syarh Tsalaatsiyat Musnad Al Imam Ahmad)

Dalam Al Ba'its, Abu Syamah mengatakan ketika menjelaskan macam-macam bid'ah yang terjadi sekitar sholat Jum'at, Adapun mengangkat tangan ketika berdo'a adalah bid'ah yang sudah lama. Pendapat ini diikuti oleh As Suyuthi dalam kitabnya Al Amru bi Al Ittiba' wa An Nahyu 'an Al Ibtida'.
(Al Ba'its hal : 142 dan Al Amru bi Al Ittiba' hal : 247).

Ibnu Taimiyyah dalam Ikhtiyaraat-nya meyebutkan,
“Hukumnya makruh bagi sang imam untuk mengangkat kedua tangan ketika berdo'a dalam khutbahnya dan ini jawaban yang paling shahih dari dua pilihan yang ada pada sahabat-sahabat kami, karena nabi selalu memberikan isyarat dengan jari telunjuknya apabila berdo'a. Adapun dalam do'a istisqo`, beliau mengangkat kedua tangannya, yaitu sewaktu minta hujan dan di atas mimbar.”
(Al Ikhtiaraat hal : 80 dan lihat Fathul Bari 2/412)

Dalam erti kata lainnya,perbuatan mengangkat tangan semasa Imam sedang membaca do'a ketika khutbah Jumaat juga tidak dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat2 baginda. Kita boleh mengaminkan dengan kadar suara yang rendah. Larangan mengangkat tangan ini dikenakan kepada Imam yang membaca khutbah, dan sudah semestilah makmum yang mendengar khutbah tidak perlu juga mengangkat tangan ketika berdoa'.

(Rujukan tambahan tentang larangan imam dan makmum makmum untuk mengangkat tangan boleh dirujuk pada Majmu' Fataawa wa maqaalat Mutanawwiyah li Samahat al-Syiekh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz, jilid 12/hlm.339, Fataawa Arkaan al-Islam, ms 392, Fatwa no:6396, Faatwa Lajhah Daa'imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta' jilid 8 hlm. 233)

Masjid ke 3

Hari ini,solat Jumaat saya seperti biasa berhampiran dengan kawasan perumahan.Disebabkan pada awal paginya saya sibuk dengan hal yang tidak diduga maka saya tidak sempat untuk balik ke rumah bagi mempersiapkan diri untuk ke masjid walaupun jubah telah awal-awal lagi digosok.Berpakaian seluar penjang biasa dan T-shirt lengan panjang saya diturunkan ayah berhampiran dengan masjid tersebut.Selesai berwudhu’ saya memasuki masjid dan terus menuju ke saf hadapan yang semakin penuh.Kawasan saf belakang-belakang yang selalunya menjadi pilihan orang ramai membuatkan tindakan saya di dalam masjid tersebut menjadi tumpuan.(terutama dengan berpakaiaan sedemikian seolah-olah tidak menutup aurat).Tanpa memperdulikan orang ramai saya bersolat seperti biasa dan saya dapat merasai seolah-olah ada mata-mata para jemaah yang bertumpu melihat solat saya.(mungkin mereka merasakan pelik jika kita mempraktikkan sifat solat nabi yang dipelajari).Masjid ini agak canggih berbanding masjid di luar Kuala Lumpur yang saya hadiri minggu lepas,kerana masjid ini mempunyai screen besar untuk menayangkan slide khutbah yang akan dibentangkan nanti.Dengan keadaan yang selesa saya duduk di bahagian bertentangan dengan screen tersebut bagi mendengar khutbah pada hari ini dengan harapan cara penyampaiannya tidak seperti minggu lepas.Muadzin setelah melaungkan azan pertama,tidak cukup dengan itu seperti amalan kebiasaan di Malaysia muadzin akan melaungkan azan kedua,setelah itu muadzin mengucapkan tarqiyah secara jahar


sebelum beliau menyerahkan tongkat kepada khatib seolah-olah upacara penyerahan tongkat sedangkan perkara ini tiada asalnya.Bagaimanapun khatib memulakan khutbahnya dengan memberi salam dan doa serta selawat ke atas junjungan Nabi s.a.w seperti biasa.
Tajuk “Kewajipan Beriman” dapat disampaikan oleh khatib tersebut dengan bersemangat dan semestinya slide di sebelah mimbar banyak membantu persembahan text khutbah beliau.Dengan suara yang jelas dan gaya yang tersendiri beliau dapat menyampaikan mesej khutbah tersebut dengan jelas.Sampainya di bahagian klimaks yakni bahagian beliau menceritakan tentang betapa sia-sianya harta atau perkara-perkara duniawi tanpa keimanan dengan suaranya yang teresak-esak benar-benar menyentuh hati saya sebagai pendengar.Beliau berulang kali mengulang-ulang betapa pentingnya kita dalam mencintai nabi dan mengikut serta mengamalkan sunnahnya.Selesai berkhutbah khatib tersebut turun sambil dari mimbar dan selesai iqamah beliau berdoa dan berdiri menghadap kiblat tanpa memeriksa saf yang tidak rapat.Beliau malah sibuk membaca surah An-Nas sebelum memulakan solat dan lupa memeriksa saf solat tersebut.(saya bersangka baik beliau lupa memeriksa saf yang mcm ‘ular’) dan kemudiannya beliau hanya menyuruh merapatkan saf tanpa menoleh dari arah kiblat.Selesai solat Jumaat Imam terus membaca alunan zikir dan doa secara jahar (lantang) dan menganggu mereka yang solat Ba’diyah (sedangkan tiada siapa menganggu solat Qabliyyah yang mereka lakukan sebelum itu).Malah Imam yang awal tadinya menjadi khatib mencanagkan slogan untuk mengikut sunnah dan barangkali terlupa pendapat mazhab “pembela Sunnah” berkaitan zikir dan doa sesudah solat yang kebanyakan diikuti para jemaah di belakangnya.

Menurut al-Nashir al-Sunnah al-Imam al-Syafi'i Rahimahullah Ta'ala dalam kitab induk beliau Al-Umm :
"Saya (Imam Syafi'i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. KEDUA-DUANYA MENYEMBUNYIKAN ZIKIR, KECUALI bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya.Allah Azza wa jalla telah berfirman (dalam surah al-Israa' (17):110)

".... dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya.." Iaitu - Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.
Saya (Imam Syafi'i) mengira (berpendapat) bahawa yang diriwayatkan daripada Ibnu Zubair adalah dari tahlilnya Nabi SAW. Dan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas adalah dari takbirnya, sebagaimana yang kami (Imam Syafi'i) riwayatkan.Saya (Imam Syafi'i) mengira (berpendapat) bahawa Nabi SAW mengeraskan sedikit suaranya, supaya manusia dapat belajar daripadanya. Yang demikian itu kerana umumnya riwayat yang kami (Imam Syafi'i) tuliskan bersama ini dan yang lainnya, tidak disebutkan padanya sesudah salam, akan perbacaan Tahlil dan takbir.Kadang-kadang disebutkan bahawa Nabi SAW berzikir sesudah solat, dengan yang saya terangkan itu, dan disebutkan juga perginya Nabi SAW dari Solat tanpa zikir. Dan Ummu Salamah menyebutkan berhentinya Nabi SAW sekejap sesudah solat dan baginda tidak bezikir dengan keras (kuat).Saya (Imam Syafi'i) mengira, bahawa Nabi SAW tidak berhenti yang sekejap itu, selain untuk berzikir dengan zikir yang tidak keras suara....."

Maka persoalannya sejauh mana pemahaman masyarakat kita terhadap sunnah Nabi s.a.w kini sehingga ibadah yang kita lakukan baik tiap-tiap hari,seminggu sekali,mahupun setahun sekali dicampuri dengan perkara-perkara baharu yang tiada asalnya dan berpunca dari ikut-ikutan dan pemahaman turun-temurun tanpa nas.

Apa yang dikongsi di atas ada yang berlaku setiap kali,setiap hari dan setiap masa.Masalah-masalah di atas berlaku di ketiga-tiga masjid tapi saya memilih untuk menceritakan dalam 3 perspektif dan situasi yang berbeza.Apakah ibadah yang tulen berdasarkan apa yang Rasulullah s.a.w ajarkan yang diperjuangkan para ahlul ‘ilm kini dianggap salah hanya kerana bercanggah dengan apa yang diamalkan turun-temurun?Maka apakah relevennya kita memperjuangkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan dan pegangan sedangkan kita sendirilah orang yang menyanggahinya melalui perbuatan kita.

Artikel ini hanya satu luahan dan tidak pernah bermaksud untuk menghina atau memperkecilkan mana-mana pihak kerana umat Islam kini jika ditegur secara berlapik-lapik mesej sebenar tidak sampai dan yang sampai hanyalah yang lapiknya sahaja.Antara pengajaran daripada cerita di atas ialah apabila kita melakukan satu bid’ah atau perkara yang tiada asalnya di dalam agama maka hilanglah pula satu sunnah untuk kita diamalkan.Kritikan membina ini diharap dapat menjadi renungan generasi akan datang untuk menilai sesuatu secara menyeluruh dan masuklah Islam itu sendirinya secara keseluruhannya.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”[Al-Baqarah 2:208]


Wallahua’lam.

Ibn Yusof
20 April 2007 / 2 Rabiulakhir 1428
7:01 p.m.

No comments: