Wednesday, October 10, 2007

Raya Sakan:Siapa Jadi Ikutan?



‘Eidul Fitri merupakan satu peristiwa yang membawa makna satu makna yang berlainan bagi setiap individu.Baik kerana makanan yang enak-enak,berhelai-helai baju raya baru,balik kampung,duit raya dan sebagainya.Semua contoh yang diberikan merupakan perkara biasa yang berlegar di fikiran masyarakat secara umumnya.Namun barangkali berapa ramai di antara kita yang memikirkan ianya juga merupakan salah satu ibadah dalam mencontohi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam merayakan ‘Eidul Fitri?

Islam tidak mengongkong umatnya bergembira malah membolehkan umatnya untuk mengungkapkan perasaan bahagia dan bersenang-senang pada hari ‘Eidul Fitri tersebut.Cuma apa yang disedihkan ialah kemeriahan ingin menyambut ‘Eidul Fitri kadang kala mengatasi kegembiraan orang-orang alim menyambut 10 malam terakhir Ramadhan. Lampu-lampu minyak dan lampu warna-warni menerangi 10 malam terakhir Ramadhan merupakan satu adat yang kadang kala dianggap seolah-olah seperti syariat bagi sesetengah pihak. Perkara ini amat berbeza sekali dengan iman-iman umat Islam dahulu kala yang sangat sedih melihat berlalunya bulan Ramadhan yang Mubarak ini.

Tetapi masyarakat kini,apabila tiba minggu-minggu terakhir Ramadhan, surau-surau dan masjid-masjid semakin lama semakin kurang isinya kerana masyarakat lebih sibuk bersiap-sedia menyambut kedatangan ‘Eidul Fitri.Inilah hakikat,maka tidak hairanlah bagi sesetengah pihak yang menyambut sakan kedatangan ‘Eidul Fitri saban tahun memakan biaya yang besar.

Wahai kaum muslimin dan muslimat, ‘Eidul Fitri adalah sama seperti amalan atau ritual-ritual agama yang lain,prosesnya tidak terlepas dari aturan syariat yang mana ianya harus ditentukan seperti mana keinginan syariat dalam menghayati kedatangannya.Apabila kita memahami makna sambutan ‘Eidul Fitri seperti mana kehendak syariat maka tentu banyak adat-adat yang dibiasakan saban tahun dapat dikurangkan kerana ‘Eidul Fitri bukanlah seharusnya dirayakan dengan baju raya yang baru,dengan duit raya yang tebal, menyiapkan makanan yang enak-enak, mahupun dengan ziarah-menziarahi yang hanya dilakukan setahun sekali.Ini kerana dengan mengetahui bimbingan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam beridul Fitri maka kita tidak perlu berbelanja besar dan semuanya akan terasa lebih mudah dan sempurna.

Sebelum kita mengambil kira adakah langsir rumah tahun ini harus diganti dengan yang baru dan sebagainya Berikut ini disertakan sedikit penjelasan tentang bimbingan syariat dalam beridul Fitri berdasarkan hadith sahih dari baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam yang mana sunnah-sunnah ini seharusnya diberikan lebih prioriti.

Ada apa dengan Eid?

Ibnu Taimiyyah berkata: “Eid adalah sebutan untuk sesuatu yang selalu terulang berupa perkumpulan yang bersifat massal, baik tahunan, mingguan atau bulanan.”
(Dinukil dari Fathul Majid hal. 289 tahqiq Al-Furayyan)

Daripada definisi di atas dapat kita fahami bahawa Eid merupakan satu perayaan yang berulang saban tahun.Semestinya ketibaan Eid dinanti-nantikan baik tua maupun yang muda.

Dari Anas bin Malik ia berkata: Rasulullah datang ke Madinah dalam keadaan orang-orang Madinah mempunyai 2 hari (raya) yang mereka bermain-main padanya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam berkata: “Apa (yang kalian lakukan) dengan 2 hari itu?” Mereka menjawab: “Kami bermain-main padanya waktu kami masih jahiliyyah.” Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikannya untuk kalian dengan yang lebih baik dari keduanya, yaitu ‘Eidul Adha dan ‘Eidul Fitri.”
(Hadith Sahih, HR. Abu Dawud no. 1004)

Hadith di atas jelas menunjukkan perayaan ‘Eidul Fitri ini suatu hari yang penuh kebaikan.Ianya merupakan salah satu gantian kepada hari-hari kegembiraan zaman jahiliyyah.Maka tidaklah wajar jika kita menyambut kegembiraan selain dari kedua hari yang disebut dalam hadith di atas kerana kegembiraan menyambut hari yang disyariatkan merupakan satu ibadah dan ternyata bahawa ibadah itu bersifat tetap. Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:-

“Tidak mengapa menampakkan kegembiraan dan kebahagiaan pada hari-hari ‘Ied seperti ‘Eidul Fitri atau ‘Eidul Adha selama dalam batas-batas syar’i. Di antaranya seseorang makan dan minum atau yang semisalnya”
(Majmu’ Fatawa Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, juz 16 bab Shalatul ‘Iedain)

Sunnah Sepanjang 'Eid

Tidak saya nafikan banyak sunnah yang boleh kita contohi sepanjang hari Eid tersebut,tetapi ingin saya fokuskan kepada beberapa sunnah sahaja kerana ada antaranya layak dikategorikan sebagai sunnah yang ditinggalkan. Maka menjadi kewajiban kita untuk menghidupkan semula hari-hari kegembiraan dalam Islam ini dengan meneladani contoh tauladan yang terbaik tidak lain tidak bukan contoh ikutan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.

Keluarga dalam masyarakat rata-ratanya lebih banyak memupuk atucara mereka sendiri sepanjang hari Eid seperti menangkap foto,menunggu giliran mendapat duit raya, menonton siaran televisyen dan sebagainya. Maka perkara sebegini harusnya diubah dengan mengajar generasi muda untuk lebih mengenali dan mencontohi nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam menyambut kegembiraan,antara sunnah baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam yang jarang (berdasarkan pengamatan saya) dipraktikkan dengan ilmu bahawa ianya merupakan satu sunnah sepanjang hari Eid ialah:-

i) Mandi Sebelum Pergi Menunaikan Solat ‘Eidul Fitri

عَنْ مَالِكٍ عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Dari Malik dari Nafi’, ia berkata bahwa Abdullah bin Umar dahulu mandi pada hari Idul Fitri sebelum pergi ke mushalla (lapangan).”
(Sahih, Hadith Riwayat Malik dalam Al-Muwaththa` dan Al-Imam Asy-Syafi’i dari jalannya dalam Al-Umm)

ii) Memakai wangi-wangian

عَنْ مُوْسَى بْنِ عُقْبَةَ عَنْ نَافِعٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ يَغْتَسِلُ وَيَتَطَيَّبُ يَوْمَ الْفِطْرِ

“Dari Musa bin ‘Uqbah, dari Nafi’ bahwa Ibnu ‘Umar mandi dan memakai wangi-wangian di hari ‘Eidul fitri.”
(Riwayat Al-Firyabi dan Abdurrazzaq)

Al-Baghawi berkata: “Disunnahkan untuk mandi di hari Id. Diriwayatkan dari Ali bahwa beliau mandi di hari Eid, demikian pula yang sejenis itu dari Ibnu Umar dan Salamah bin Akwa’ dan agar memakai pakaian yang paling bagus yang dia dapati serta agar memakai wangi-wangian.” (Syarhus Sunnah, 4/303)

iii) Memakai pakaian yang bagus

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوْقِ فَأَخَذَهَا فَأَتَى بِهَا رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيْدِ وَالْوُفُوْدِ. فَقَالَ لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ

Dari Abdullah bin Umar bahwa Umar mengambil sebuah jubah dari sutera yang dijual di pasar maka dia bawa kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, lalu Umar radhiallahu 'anhu berkata: “Wahai Rasulullah, belilah ini dan berhiaslah dengan pakaian ini untuk hari raya dan menyambut utusan-utusan.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam pun berkata: “Ini adalah pakaian orang yang tidak akan dapat bagian (di akhirat)….”
(Sahih, Hadith Riwayat Al-Bukhari Kitabul Jum’ah Bab Fil ‘Idain wat Tajammul fihi dan Muslim Kitab Libas Waz Zinah)

Ibnu Rajab berkata: “Hadits ini menunjukkan disyariatkannya berhias untuk hari raya dan bahwa ini perkara yang biasa di antara mereka.” (Fathul Bari)

iv) Makan Sebelum Pergi Melaksanakan Solat Eid

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ. وَقَالَ مُرَجَّأُ بْنُ رَجَاءٍ: حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللهِ قَالَ: حَدَّثَنِي أَنَسٌ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا

Dari Anas bin Malik ia berkata: Adalah Rasulullah tidak keluar di hari fitri sebelum beliau makan beberapa kurma. Murajja‘ bin Raja‘ berkata: Abdullah berkata kepadaku, ia mengatakan bahwa Anas berkata kepadanya: “Nabi memakannya dalam jumlah ganjil.”
(Sahih, Hadith Riwayat Al-Bukhari Kitab Al-’Idain Bab Al-Akl Yaumal ‘Idain Qablal Khuruj)

i) Bertakbir Menuju Tempat Solat Eid

كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ الْمُصَلَّى وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلاَةَ، فَإِذَا قَضَى الصَّلاَةَ؛ قَطَعَ التَّكْبِيْرَ

“Adalah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam keluar di Hari Raya Idul Fitri lalu beliau bertakbir sampai datang ke tempat shalat dan sampai selesai shalat. Apabila telah selesai shalat beliau memutus takbir.”
(Sahih, Mursal Az-Zuhri, diriwayatkan Ibnu Abi Syaibah)

vi) Pulang dari Solat Eid menggunakan jalan lain

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيْقَ

Dari Jabir, ia berkata: Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam apabila di hari Id, beliau mengambil jalan yang berbeda.”
(Sahih, Hadith Riwayat Al-Bukhari Kitab Al-’Idain Bab Man Khalafa Thariq Idza Raja’a…)

Inilah serba sedikit sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang dapat kita contohi dan teladani. Sesetengah daripada perkara ini mungkin diangap lumrah dan remeh bagi sesetengah pihak,cuma adalah lebih molek jika perkara yang kita amalkan itu berdiri di atas ilmu yang sahih sekaligus mendapat keberkatan dari Allah S.W.T kerana niat ikhlas kita untuk mencontohi Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam perbuatan harian tersebut.Perkara yang dianggap kecil ini kadang kala perlu dititik beratkan semoga tidak dipandang remeh tetapi dipandang dari sudut yang lebih positif iaitu sebagai satu ibadah yang mengajar kita nilai ikhlas dan ittiba’ (mencontohi perbuatan nabi).

Mandi ’sunat’ Eid,makan sebelum ke tempat solat,memakai wangi-wangian semuanya boleh diparaktikan dengan mudah insyaAllah.Cuma dalam kategori memakai pakaian yang bagus perlulah kita sedar bahawa memakai pakaian yang bagus tidaklah semestinya ia adalah memakai pakaian yang baru atau mahal.Pernyataan saya ini bukan melarang ’adat’ Melayu dalam berbaju baru sewaktu Eid,cuma lebih baik jika kita berjimat dan berhati-hati dalam berbelanja supaya baju raya yang kita pamerkan itu tidak termasuk dalam kategori pembaziran.

Adapun antara sunnah yang jarang dilihat dipraktikan di Malaysia ialah bertakbir menuju tempat solat Eid,adakah kerana kita menaiki kereta dan motor menjadi alasan utama untuk mematikan sunnah yang hampir pupus ini?Wallhua’lam.Perlu juga kita memahami perbuatan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam itu tidak lain hanya penuh dengan keberkatan dan kesempurnaan. Dalil di atas merupakan dalil disyariatkannya bertakbir, amalan kaum muslimin yaitu bertakbir dengan keras selama perjalanan menuju tempat solat jarang kita lihat barangkali kerana kurangnya pengetahuan masyarakat tentang sunnah ini kerana masyarakat dididik dengan pengamatan bahawa ’sunnah ’ bertakbir hanya layak di masjid atau surau sahaja,dan ianya perlu dilakukan secara jamai’.Inilah pola fikir yang perlu kita ubah supaya sunnah yang sahih ini kelak tidak hanya menjadi sejarah atau mereka yang melakukannya dianggap menyimpang dari amalan masyarakat yang sentiasa dianggap betul. Berkenaan dengan kepulangan dari solat Eid dengan jalan lain bukanlah supaya kita menambah putaran tayar kereta,tetapi hikmahnya berdasarkan para ulama ialah supaya kita lebih banyak bertemu sesama muslimin untuk memberi salam dan menumbuhkan rasa cinta.Inilah yang Imam Ibn Rajab nukilkan dalam kitab beliau Fathul Bari dan hujah yang sama termuat dalam Zadul Ma’ad.

Akhir kalam dari saya,janganlah kita malu dan segan dalam melakukan sunnah yang semakin ditinggalkan ini baik kerana kurang pengetahuan tentangnya maupun tidak memahami hikmah di sebalik perbuatan tersebut.Tidak ada siapa di antara kita yang ingin menjadi penyumbang kepada kepupusan amalan sunnah yang sahih dalam masyarakat.Maka inilah peluang kita dalam mengembalikan amalan sunnah yang sahih dalam menyambut kegembiraan Syawal.

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

“Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.”

Wallahua’lam.

Ibn Yusof
11 Oktober 2007 / 29 Ramadhan 1428
7.40 a.m
ibnyusof.blogspot.com

No comments: