Aisyah Radhiyallahu ‘anha ketika ditanya tentang akhlak Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau Radhiyallahu ‘anha menjawab.“Akhlak beliau (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam) adalah Al-Qur’an”Kemudian Aisyah Radhiyallahu ‘anha membacakan ayat.“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” [Al-Qalam : 4].Kata “khuluqin ‘azhim” (budi pekerti yang agung) dalam ayat ini, mencakupi seluruh akhlak terhadap semua makhluk.
Barangkali kekeliruan timbul apabila ada sesetengah blogers yang menganggap akhlak terhadap semua makhluk itu hanya mencakupi dunia realiti tetapi bukan dunia internet. Internet merupakan satu sarana yang boleh diguna pakai untuk tujuan dakwah. Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah apabila sesetengah blogers mengambil remeh tentang misi ini. Ada pula yang berkelakuan seperti penulisan mereka dalam alam maya ini tidak termasuk dalam perhitungan para malaikat, dengan itu mereka berkata (menulis) sewenang-wenangnya dan berbuat sesuka hati.
Para blogers boleh mencipta seberapa banyak laman yang dikehendaki secara percuma mahupun berbayar. Tidak perlu mendedahkan siapa, dari mana, jantina dan sebagainya. Maka mesej yang disebarkan boleh menular ke seluruh dunia tanpa para pembaca tahu siapa, dari mana, dan apa jantina penyebar asal. Maka hasilnya wujud para blogers atau penulid berani mati yang dalam mesej mereka menghalalkan caci maki, mendedahkan aib sesama muslim, bergosip atau mengumpat, melakukan fitnah, mengkafirkan mereka yang tidak sehaluan dan banyak lagi masalah.
Penulis merasakan kebebasan tanpa batasan ini menghakis kejujuran dalam diri para da’i dan merobek kepercayaan para mad’u. Penyamaran sedemikian menjadi punca sesetengah pihak berani menabur fitnah tanpa masyarakat mengetahui siapa mereka. Sedangkan para penulis muslim wajib berlaku jujur dalam menyampaikan ilmu. Tidak menjadi masalah jika kita menyertakan nama, nombor telefon atau email supaya para pembaca dapat menghubungi kita ataupun sekurang-kurangnya mengenali penulis. Adapun mereka yang kadang-kala menulis dan hanya dikenali dengan menggunakan nama samaran atau kun-yah seperti Al-XXX, Abu XXX, Ummu XXX dan sebagainya, penulis bukan mengkritik sunnah kun-yah akan tetapi penyamaran seperti ini dalam dunia maya hanya membuatkan para penulis kadang-kala cenderung berkelakuan di luar jangkaan apabila mengetahui diri mereka tidak dikenali. Malahan, perkara ini juga menyerlahkan ketakutan dalam berkarya. Kenapa perlu takut agar para pembaca mengenali kita jika apa yang dituliskan itu benar?
Selain itu, dengan menyertakan identiti sebenar para penulis, blogers, dan sebagainya, ini memberi ruang kepada para pembaca untuk memberi komen ikhlas dan kritikan membina. Apabila golongan penulis berakhlak dan bermoral, manakala pengkritik atau penulis yang menilai karya pula wajib bersangka baik. Bukankah hubungan dua hala sebegini dapat mewujudkan satu dunia penulisan yang harmoni? Pada pengamatan penulis, para penulis yang dikenali identiti diri mereka lebih berakhlak dan bermoral jika dibandingkan mereka yang menyorok di belakang nama samaran.
Karya bagi seseorang penulis ialah amanah yang wajib dijaga dan seruan yang perlu disampaikan. Maka apakah wajar seruan yang baik dan bermakna diberikan seorang penulis yang tidak berakhlak dan bermoral? Dalam masa yang sama, karyanya adalah amanah yang bakal dipersoalkan di padang mahsyar kelak. Para penulis dan blogers harus sedar bahawa kita bertanggungjawab atas setiap apa yang kita ucapkan, tuliskan, mahupun sebarkan. Jika tidak disoal di dunia ini kelak di akhirat kita akan tetap dipersoalkan tentang semua amalan yang kita lakukan, baik karya yang kita hasilkan, mesej yang kita sebarkan, hatta pernyataan yang kita tegakkan.
Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawaban)?[1]
Kejujuran juga penting dalam sumber rujukan yang disertakan, ini adalah kerana jika kita melakukan kesalahan dalam sumber rujukan ianya boleh memberi kesan kepada kualiti penulisan kita. Antara kesalahan-kesalahan para penulis yang dapat dikenal pasti tidak berlaku jujur ialah[2]:-
a) Mengubah lafaz atau makna sebenar daripada terjemahan asal tanpa menyertakan sumber rujukan.
b) Menyatakan bahawa ianya diambil daripada kitab arab sedangkan text asal diambil daripada kitab terjemahan.
c) Copy & paste footnote tanpa merujuk kepada rujukan asal.
d) Mengambil sumber secara separuh-separuh sehingga mengubah makna asal.
e) Kesilapan menterjemah daripada bahasa asal. Mengikut kata hati dalam menterjemah.
f) Tidak menyertakan sebarang footnote.(sumber rujukan)
g) Scan atau hanya mengambil nukilan tanpa memahami topik perbincangan sebenar secara keseluruhan.
h) Hujah yang disandarkan kepada sesebuah sumber rujukan akan tetapi ianya tidak langsung memiliki apa-apa kaitan.
i) Menokok-nambah nukilan yang diambil.
j) Penafsiran atau penjelasan terhadap sesuatu perkara fakta secara tidak tepat.
Kesemua di atas merupakan beberapa kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para penulis yang tidak jujur. Jika ianya berlaku dengan sangat kerap dalam sesuatu penulisan maka penulis tersebut telah melakukan satu jenayah ilmiah. Banyak faktor yang boleh melibatkan perkara seperti ini berlaku, antaranya ialah kerana ingin menyelewengkan fakta sesuai dengan cita rasa dalam beragama. Maka dapat kita ketahui di sini bahawa kejujuran dalam menulis merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia menggambarkan keperibadian seseorang penulis. Dengan hanya melihat gaya penulisan seseorang kita boleh mengenal erti budinya. Jika pembohongan fakta dilakukan dalam penulisan, adakah kita mengharap penulisnya bercakap benar dalam kehidupan realitinya?
Kesimpulanya, penulis berharap para blogers, para da’i dan para penulis berani dalam berdakwah dan jujur dalam berkarya. Artikel ini hanya sekadar peringatan buat diri penulis sendiri dan para blogers yang bergelar da’i.
Ibn Yusof
18 April 2008 / 11 Rabi’ Al-Akhir 1429
1:45 a.m
No comments:
Post a Comment