Balik dari pasaraya Carefour hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Ini kerana pasaraya Carefour terletak bersebelahan Taman Setiawangsa, taman kawasan perumahan Mizi. Sampainya mereka di rumah. Kereta Toyota Vios telahpun berada di bawah garaj. “Abang dah pulang” bisik hati Ummi.
“Eh...awal Abi balik harini” Aisyah tidak dapat menahan dirinya dari menyoal. Beliau kehairanan, ayah kesayangannya itu atau lebih dikenali oleh rakan tetangga sebagai Ustaz Abdullah selalunya balik selepas isya’ pada hari-hari biasa. Balik dalam keletihan, terikat dengan jadual memberi kuliah agama selepas maghrib dari satu masjid ke satu masjid setiap hari.
“Assalamua’laikum.........” Mizi menguak pintu rumah sambil menjenguk ke dalam.Beliau yakin ayahnya berada di ruang tamu apabila mendengar bunyi televisyen.Angin sejuk yang keluar dari penghawa dingin di ruang tamu menampar pipi Mizi saat dia menguak pintu rumahnya.Dingin sekali.
Rumah sunyi, salam Mizi tidak disambut sesiapa, hanya kedengaran bunyi televisyen yang terbuka.
“Assalamualaikum.........” Mizi memberi salam kedua sambil memasuki ruang tamu diikuti yang Halim, Ummi dan Aisyah.
Sekujur tubuh duduk bersandar di kerusi rotan berhadapan ruang tamu dalam keadaan televisyen terbuka. Ayah Mizi kelihatan tidur dalam posisi duduk di kerusi rotan yang terletak di ruang tamu luas itu, tangannya masih memegang alat kawalan televisyen.Ummu Habibah meletakkan tangannya perlahan di kedua bahu suaminya dari arah belakang.
“Abang...........” Ummi memanggil lembut. Beliau tahu suaminya keletihan.
Ayah Mizi terbangun, beliau senyum melihat isteri dan anak-anaknya di hadapan.
Halim menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ayah Mizi.“Assalamua’laikum pak cik....sihat pak cik?” Ayah Mizi terkejut melihat Halim. Telah lama beliau tidak bersua dengan anak muda itu.
Tersenyum lebar ayah Mizi melihat Halim.Serta-merta beliau teringat keadaan kawannya Muthalib, ayah Halim. “Eh...Wa’alaikummussalam, bila sampai Lem? Mak ayah sihat?”
“Baru jer sampai petang tadi cik.....kemudian keluar teman Mizi. Mak ayah ada kat rumah, dua-duanya alhamdulillah sihat.” Halim membalas spontan sambil tersenyum.Ayah Mizi sudah Halim anggap seperti ayahnya sendiri.
“UITM cuti sekrang ye?sampai bila?tidur sini ye Lem.”ayah Mizi mempelawa Halim walaupun tahu anaknya telah lebih awal mempelawa Halim.
“Tiga minggu cuti, insyaAllah saya stay sampai lusa pak cik, saja singgah sebab dah lama tak jumpa Mizi. Lusa terpaksa balik sebab ada program kat UITM.” balas Halim sambil duduk di kerusi rotan yang muat untuk seorang di sebelah kerusi ayah Mizi.
Melihat ayahnya berbual dengan Halim,Mizi melangkah naik ke biliknya di tingkat atas.Ummi segera ke dapur membuat minuman untuk suaminya.Aisyah pula masuk ke biliknya di bahagian tepi dapur mambawa bungkusan barang-barang yang dibelinya semasa berada di Carefour.
“Takde kuliah maghrib arini?” soal Ummi sambil menghulurkan secawan kopi panas kepada suaminya, dan satu cawan lagi untuk tetamu mereka, Halim.
“Cancel....pihak masjid kata mereka nak buat majlis solat hajat berjemaah, sempena anak-anak nak UPSR ni. Mereka suruh saya jadi Imam, tak nak ler saya. Hehe....” Ustaz Abdullah jawab dengan nada lawak. Hakikatnya beliau tidak ingin turut serta dalam majlis sedemikian. Dia tidak ingin ditampar ilmunya jika tidak mengamalkan apa yang dipelajari tentang kelemahan hadith solat hajah apatah lagi dilakukan secara berjemaah.
“Eh...kenapa tak pergi pak cik?Jadi imam kan satu penghormatan pihak masjid bagi?” Halim menyampuk.
“Em....bukan status imam yang pak cik endahkan Lem, tapi majlisnya.” Nada Ustaz Abdullah sedikit kecewa dengan pihak masjid yang mengendalikan majlis sedemikian. Jika beliau katakan sesuatu, beliau yakin orang masjid akan menyanggah hujahnya dengan hujah atau keizinan Ustaz lain yang mengajar di masjid yang sama. Teringat Ustaz Abdullah apabila salah seorang ahli jawatankuasa masjid menelefonnya untuk menangguhkan kuliah Hadith mereka di lain hari bagi memberi ruang kepada majlis berzanji yang ingin mereka adakan.
“Kita kene berhati-hati dengan amalan yang kita lakukan Haji, kita kena tahu sumber amalan yang kita lakukan, sebagai contohnya amalan berzanji, amalan yang kita dok lakukan turun temurun ni, hafal tanpa mengerti maknanya, sedangkan bait-bait atau lirik-liriknya boleh mengugat aqidah kita.”respon Ustaz Abdullah dengan lembut dan bersopan.
“Tapi Ustaz Kasim kata boleh buat Ustaz.....”pihak masjid mengunakan keizinan Ustaz Kasim sebagai hujah.
Hampir berbelas minit Ustaz Abdullah memegang gangang telefon di pejabatnya demi menerangkan hujah beliau dengan lebih spesifik agar Haji Berahim hadam dengan hujahnya.Tetapi majlis berzanji itu masih juga diadakan di masjid demi memuaskan hati para jemaah yang lain. Memang sukar berbicara apabila pola fikir ummat kini kebanyakannya lebih menyanjung aqal dari naqal[1]. Ustaz Abdullah hanya mampu bersabar dan berdoa, no quick result in Islam. Berdakwah perlukan kesabaran, memang mencabar jika mengajar di suatu masjid, lebih-lebih lagi apabila Ustaz lain yang mengajar di masjid yang sama pada lain hari tetapi dengan fikrah dan fakta yang berbeza, yang peningnya para jemaah yang hadir mendengar.
“Kenapa, apa yang tak kene dengan majlisnya pak cik?” Halim menyoal dengan perasaan ingin tahu. Selain daripada Mizi, beliau suka bertanya apabila berborak dengan ayah Mizi, Ini kerana beliau tahu mereka mampu mengajarnya, menambah pengetahuannya tentang ilmu agama walaupun orang lain melihatnya pelik berseluar londeh. Meminati muzik Hip Hop tidak pernah menghalang Halim mendalami ilmu agama.
“Hadis-hadis tentang solat hajat ni lemah.........” suara Ustaz Abdullah mendatar. Beliau tidak ingin masuk ke dalam perbincangan dengan lebih dalam, dia tahu ianya hanya akan membingunkan Halim.
“Habistu? Kenapa boleh lemah. ” soalan Halim bertubi-tubi macam seorang pegawai penyiasat polis.
“Yelah, kalau kita kaji kita boleh lihat hadis-hadis yang digunakan lemah. Ni sebab ada kecacatan dalam perawi yang meriwayatkan hadis tu.Terutamanya dalam kes solat hajat ni seperti perawi bernama Faid bin Abd al-Rahman dan Maimun atau Abu Muhammad al-Mara'ii at-Tamimi.” jawab Ustaz Abdullah, beliau cuba sedaya upaya menggunakan bahasa yang mudah.
“Oh...kalu perawi tu cacat pun kita tak boleh amik hadis dari perawi tu ker? Faid dan Maimun tu cacat apa? Kudung?” Halim terpinga-pinga.
“Hahaha Subhanallah...Lem..Lem, cacat yang pak cik maksudkan tu bukan cacat anggota, tapi cacat dari segi kesempurnaan hafalan dan sebagainya,” Ustaz Abdullah tidak dapat menahan tawanya.
“Contohnya Lem...Maimun tu majhul, maksudnya dia ni tak dikenali oleh ulama’ hadith. Yang Faid bin Abd al-Rahman ni pulak lain ceritanya. Dikenali ulama hadis,tetapi Imam al-Bukhari kata Faid bin Abd al-Rahman ni Mungkarul Hadith, Imam Ahmad plak kata dia ni Matruk, maksudnya ditinggalkan hadith yang Fuad riwayatkan tanpa kita ber'amal dengannya.Faham?”
“Lo…camtu rupanya, saya ingat tadi cacat anggota.Hehe,” Halim tersengih.
“Memang tak dinafikan solat hajat ni ada pandangannya jugak dalam mazhab Syafie.... ” belum sempat Ustaz Abdullah menerangkan cakapnya dipotong Halim.
“Ha….Mazhab Syafie kata apa plak? Kita kan mazhab Syafie,” Halim begitu bersemangat ingin tahu. “Solat ni dalam mazhab Syaf'iyy diletakkan bawah solat nafil atau solat sunat yang didirikan secara individu. Solat al-haajah ini tidak diletakkan di bawah solat nafil yang dilakukan secara berjama'ah macam solat hari raya Eidulfitri ker, solat Eidul Adha ker....Maka, lebih baik kita buat secara individu, sorang-sorang kat rumah ker, sesuai dengan hajat masing-masing.Faham?”Ustaz Abdullah merumuskan penjelasannya.
“Oh....Faham-faham.” Halim angguk tanda faham. Ummi tersenyum dari dapur melihat Halim, dia mencuri dengar perbualan suaminya dengan anak muda itu.
Mizi melihat rak bukunya, matanya meliar mencari objek di rak tersebut. Tangannya mencapai satu buku kecil. Dibelek-beleknya dalam keadaan berdiri. “Eh..baca per tu Mizi?” satu suara menyapa dari bahagian belakang Mizi.
“YA ALLAH!...........Huh! Ko ni kalau ye pun,bagila salam masuk bilik, terkejut aku...haha” Mizi mencuit bahu Halim tanda geram.Dia kemudiannya berganjak ke arah tilam.
“Ops...ye ye sorry, Assalamua’laikum.” Halim tidak sengaja mengejutkan Mizi yang sedang khusyu mencari sesuatu dari isi buku kecil itu.
“Waa’laikummussalam warahmatullah.Ha!…macam tula.hehe” Mizi duduk di atas katil sambil kakinya bersila menghadap Halim yang masih tercegat di muka pintu.
“Buku pe tu Mizi?” Halim kehairanan melihat gelagat Mizi yang terus mencapai buku kecil tersebut sejurus balik dari pasaraya tadi.
“Ni?nila Hisnul Muslim.atau dalam melayunya kita panggil perisai muslim.” sambil menunjukkan kulit buku yang dipegangnya itu. Buku kecil himpunan doa serta zikir dari Al-Quran dan As-Sunnah yang disusun Syeikh Sai’d Bin ali Bin Wahf al-Qathani itu menjadi teman setia Mizi sejak Ustaz Halim di kuliyyahnya mempromosi buku tersebut.
“Apa yang ko cari dari isi buku tu?”Halim penasaran.
“Dalil doa.....”jawab Mizi ringkas.
“Doa pe?”Halim mahu mendalami pemikiran sahabatnya itu.
“Dalil doa menjawab salam dari orang kafir, aku lupa hadith riwayat per.” Mizi meluahkan apa yang terbuku dalam pemikirannya.Beliau kemudian menyerahkan buku kecil saiz poket itu kepada Halim. Halim mengambil buku kecil itu sambil membelek-beleknya. Halim membuka isi kandungan buku kecil itu dan dia merenung dalam-dalam isi kandungan di bahagian depan buku itu.
“Wa...bagus eh buku doa ni, kecik jer, senang nak bawa.”kata Halim.
“Bukan tu je yang penting, tapi dari mana sumber doa tu pun penting jugak.Buku kecil ni himpun doa-doa yang confirm nabi baca, kebanyakannya dari hadis-hadis yang sahih. Klu confirm Nabi buat, kita pun ikut, barulah terjamin amalan kita.Ko nak ker? Amiklah buku tu. Aku boleh beli yang lain nanti.” Mizi mengulas panjang, beliau menghadiahkan buku kegemarannya itu kepada sahabat baiknya.
“Eh..betul ke ni? ko bagi aku ni?”Halim seperti tidak percaya kata-kata Mizi sambil tanganya mengengam erat buku kecil itu.
“If ko suka, amik je ok. aku boleh beli lain.Dahla jom bersiap, maghrib dah nak masuk ni.” jawab Mizi meyakinkan Halim. Jam menunjukkan pukul enam setengah. Mizi menyambar tualanya yang tergantung dan keluar dari biliknya, meninggalkan Halim yang masih membelek-belek usaha Syeikh Sai’d Bin ali Bin Wahf al-Qathani itu.
************************************************************************
[Allahuakhbar Allahuakhbar.............................. Allahuakhbar Allahuakhbar]
Kedengaran azan maghrib berkumandang dari surau di hadapan rumah Mizi, rumah yang dibeli ayahnya tahun lepas, Ustaz Abdullah jatuh cinta pandang pertama apabila ianya benar-benar berhadapan dengan surau.Surau yang dinisbahkan namanya kepada Khalifah Rasyid yang ke lima yakni Umar bin Abdul Aziz.
Usai solat maghrib berjamaah, Mizi berbisik pada Halim supaya menunggu kerana selepas ini akan ada kuliah agama. Halim yang agak kekok menghadiri kuliah agama memaksakan dirinya untuk tidak beredar kerana tiada siapa di rumah Mizi. Mereka sekeluarga keluar solat berjemaah di malam hari. Kuliah malam itu disampaikan oleh Ustaz Mahmud, ustaz baru yang menggantikan Ustaz Abdul Rahman Al-Iraqi atau lebih popular dengan nama Al-Iraqi. Dahulu setiap malam sabtu beliau akan mengajarkan kitab Bulughul Maram karya Imam Ibn Hajar Al-Asqalani. Malam sabtu memang dinantikan oleh Mizi, sejak pindah beliau mengikuti kuliah Ustaz Al-Iraqi, tidak menjadi masalah bagi Mizi apabila universitinya dekat dengan rumah, maka beliau balik setiap minggu untuk mengikuti kuliah Ustaz Al-Iraqi. Hanya sahaja sejak Ustaz Al-Iraqi terpaksa berhenti dari memberikan kuliah sejak berpindah jauh ke Bangi.
Mizi setia menjadi pendengar tetap malam itu. Apatah lagi Mizi tidak pernah bertalaqqi kitab kuning. Malam itu Ustaz Mahmud memberikan kuliah umum, beliau belum lagi bercadang mengajar apa-apa kitab tapi dari muqaddimahnya dia bercadang mengajar kitab kuning yang pernah beliau pelajari di pondok. Jemaah malam itu tidak seramai waktu kuliah Ustaz Al-Iraqi, dahulu ada yang sanggup datang dari jauh untuk bertalaqqi dengannya di surau Umar bin Abdul Aziz ini.Malam percubaan barangkali.
“Dalam bab mazhab ini kita kene berhati-hati, jangan ingat macam touch and go boleh pindah-pindah mazhab suka-suka hati tanpa ilmu.” pesan Ustaz Mahmud membuatkan beberapa jemaah surau berdekah.
Mizi mengangguk tanda faham, tangannya tidak lekang mengambil nota untuk rujukan masa hadapan.. Halim kelihatan serius menangkap bait-bait yang keluar dari mulut Ustaz Mahmud, kadang kala Halim ternganga, mohon penjelasan dari Mizi atas terma arab yang Ustaz Mahmud gunakan..
“Mana boleh tukar-tukar mazhab.Ini semua harammm.....!!”gelombang suara Ustaz Mahmud melalui mic bergema apabila beliau mengeraskan suaranya.
Mizi tercengang. “Eh.....?” Mizi memerhatikan ayahnya yang berada di sudut bahagian belakang masjid. Ayah Mizi tersenyum melihat anaknya yang terkejut.
Selesai kuliah Mizi mendekati Ustaz Mahmud, beliau bersalaman dengannya sambil tersenyum. Ustaz Mahmud menyambut salamnya dengan muka ceria. Mizi ingin mempersoalkan pernyataannya sebentar tadi. Beliau tidak mahu bertanya semasa kuliah sedang dijalankan.Lagipun kuliah-kuliah yang diadakan di surau itu sememangnya diakhiri tanpa sesi soal jawab.Beliau membatalkan niatnya apabila azan isya’ dilaungkan muazzin. “Pas isya’ je la” bisik hati Mizi sambil cuba mencari saf di sebelah Ustaz Mahmud di saf hadapan. Halim tertinggal di saf belakang kerana saf hadapan dipenuhi jemaah surau yang ingin solat sunat qabliyyah.
Solat Isya’ berakhir jam sembilan malam tepat, selepas solat sunat ba’diyyah Surau Umar bin Abdul Aziz semakin lengang.Mizi menunggu Ustaz Mahmud sehingga selesai beliau berborak dengan Imam surau, melihat Ustaz Mahmud berjalan seorang menuruni anak tangga surau Mizi pun turut serta. “Ustaz, nama saya Tirmidzhi, boleh saya tanya sesuatu tentang isi kuliah ustaz tadi?” Mizi menyapa lembut sambil bersalaman dengan Ustaz Mahmud yang berada di sebelahnya.
“Ha...tanyalah?” Ustaz Mahmud memberi ruang kepada anak muda di hadapannya mengajukan soalan.
“Tadi ustaz kata dalam kuliah haram bertukar-tukar mazhab,betul ker Ustaz?”Mizi segan memandang terus ke arah muka Ustaz Mahmud, beliau segan, beliau menghormati ustaz lulusan Timur Tengah itu.
“Ha...betullah, haram! Kalau dah ikut Mazhab Syafie, apa jadahnya nak ikut mazhab lain?” Ustaz Mahmud menegaskan perkataan ‘haram’ dalam pernyataannya itu.
“Boleh saya tanyakan tentang sumber hukum tersebut ustaz?” Mizi cuba berbincang baik, walaupun pengetahuannya rasa dihiris dengan pernyataan Ustaz tersebut.
“Kamu belajar mana?” Mizi agak terkejut dengan persoalan yang diajukan oleh Ustaz Mahmud. Beliau menjawab persoalan dengan pertanyaan. “Tahun terakhir Universiti Islam Antarabangsa.” Mizi cuba tidak memanjangkan hujah.
“Oh...UIA, dekat jer dari sini kan. Kamu kena belajarlah baik-baik ye. Lama lagi baru kamu boleh buka kitab-kitab ulama’ muktabar, banyak khazanah ilmu dalam kitab-kitab ulama’ ni. Jangan dipandang remeh pewaris Nabi seperti ulama’-ulama’ Nusantara.Assalamua’laikum.” Jawab Ustaz Mahmud panjang lebar sambil memasuki keretanya.
“Err...Wa’alaikumussalam.”jawab Mizi kaku.
Ustaz Mahmud meluncur pergi dengan kereta Wira Aeroback berwarna merah pekat. Mizi hanya melihat kereta itu meluncur laju sehingga hilang dari pandangannya. Beliau duduk di tangga surau.Beliau sedih, Ustaz Mahmud tidak menjawab persoalannya. Beliau tidak faham kenapa Ustaz Mahmud berbicara sedemikian dalam kuliahnya, Mizi cuba bersangka baik. “Kitab apa eh?” Otaknya memproses maklumat yang pernah beliau baca dan pelajari, beliau teringat kisah hidup Al-Imam At-Thahawi,yang terkenal dengan kitabnya Aqidah At-Tahawiyyah, Al-Imam At-Thahawi meninggalkan madzhab Al-Imam Asy-Syafi'i, dan beralih ke madzhab Al-Imam Abu Hanifah semasa usianya meningkat dua puluh tahun. Malahan, jika jemaah surau yang mendengar kuliah tadi mampu berfikir dari sudut logik, terikat dengan hanya satu mazhab akan menyukarkan ummat, mana mungkin? Baik dalam muamalat, apatah lagi dalam bidang perubatan yang berkembang dengan begitu pesat. Talfiq[2] ini berguna mengikut keperluan hajat atau darurah, mengikut keadaan semasa dan menepati uruf[3] yang berbeza-beza. Macam mana dengan kes Bai’ al-Mu’atah, Jual beli najis haiwan sebagai baja, al-Ijarah al-Muntahiyah bi al-Tamlik[4], Bai’ al-Taqsit[5], Bai’ Al-Dain[6]? Ini baru muamalah. Mizi tidak puas hati, dia setuju dengan pernyataan kemestian ilmu dalam bertalfiq, tetapi tidak adil jika semua yang bertalfiq kita rangkumkan dalam kategori tatabbu’[7].
Mizi bangun dari duduknya apabila melihat Halim keluar dari tandas menuju ke arahnya. Mizi balik dengan hamparan persoalan.
************************************************************************
“Dapat ko tanya soalan kat Ustaz tadi tu? Apa nama Ustaz tu...lupa plak?” Halim memulakan bicara sedang mereka melintas jalan di hadapan rumah Mizi.
“Dapat tanya, tapi tak dapat jawapan.” Mizi cakap sambil tersenyum sinis. Beliau telah tahu akan jawapan kepada soalannya cuma sahaja beliau sedih dengan jawapan yang Ustaz Mahmud berikan. Kuliah Ustaz Mahmud jauh beza dengan Ustaz Al-Iraqi, Mizi semakin terasa kehilangan Ustaz Al-Iraqi apabila berhadapan dengan situasi itu. Beliau rindu akan ilmu hadith Ustaz Al-Iraqi. Fikrahnya, manhajnya, dan metodnya dalam menyampaikan ilmu.
Di rumah Mizi melihat ayahnya sedang duduk di hadapan televisyen sambil membaca surat khabar, beliau pelik kenapa ayahnya hanya berdiam diri. Graduan lulusan Universiti Madinah dalam bidang Hadith tidak memustahilkan untuk ayahnya berhujah dengan Ustaz Mahmud.Tetapi ayahnya lebih suka berdiam diri sahaja.
“Abi, kenapa tak tegur? Abi tahu apa yang Ustaz Mahmud cakap tu bercanggahan dengan fakta kan?” Mizi menyoal serius. Halim terpinga-pinga mendengar soalan Mizi kepada ayahnya.Ayah Mizi hanya tersenyum, beliau tahu benar darah orang muda seperti Mizi yang meluap-luap bila berhadapan dengan penyelewengan fakta.
“Mizi, bukan Abi tak mahu tegur, kadang-kala senyap lebih baik dari bersuara.”ayah Mizi menjawab ringkas dan padat. Isinya penuh makna. Mizi hanya mampu tersenyum.
Beliau yakin ayahnya lebih mengetahui tentang keadaan sekeliling. Beliau meminta diri untuk naik ke biliknya. Halim hanya mengekori Mizi seperti pegawai peribadi.
Beliau mencapai sebuah kitab arab di raknya yang tersusun, beliau duduk di meja studi dan menyelak muka surat kulit hadapan kitab tebal itu. Tertulis ayat ‘Ikhlas dari Eishaq’. Eishaq, sahabat Mizi yang kini berada di Madinah melanjutkan pelajarannya dalam bidang hadith. Eishaq dan Mizi berkenalan sewaktu menghadiri kuliah agama di Masjid Abu Bakar di kawasan Bangsar. Kedua-duanya solat berjamaah sama sebelah menyebelah. Sejurus solat Asar di masjid itu telefon bimbit Eishaq berbunyi kuat, dia lupa mematikan telefon bimbitnya di dalam masjid, perkara itu sedikit sebanyak menggangu masbuq. Eishaq tersipu-sipu malu atas kealpaannya itu, beliau memandang Mizi yang berada di sebelahnya dalam keadaan serba salah. Diangkatnya deringan telefon bimbitnya dan mula berbicara, “Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh ya akh, li maza?” sapa Eishaq kepada orang yang memanggil nombornya. “Alhamdulillah bi khair, ana fil masjid Abu Bakar, aina anta?” “La kin ya akh....., Sayfakallah La baksa Tahirun insyaAllah...................................wa’alaikumussalam waramatullah”Eishaq menyimpan telefon bimbit nokia E70 itu di dalam poketnya.Mizi masih dalam iftirasy di sebelah Eishaq.
“Maaf menggangu,”tangan kiri beliau memegang lembut peha Mizi sambil tanganya dihulurkan untuk bersalaman dengan Mizi.Mizi menyambut dengan mesra sambil tersenyum. “Eh..takper,dari mana?”Mizi cuba memulakan topik perbualan. “Oh....ana dari Seremban. Ada daurah kat UITM, tu yang ke KL, lagipun tengah cuti.” balas Eishaq ringkas. “Daurah kat UITM? Siapa anjur?Tak tahu pulak ana?” muka Mizi berkerut memikirkan pihak yang menganjurkan daurah tersebut, selalunya beliau akan menerima pesanan sms dari kawan-kawan di universiti-universiti lain jika ada apa-apa program atau daurah. “Oh....ni kami kawan-kawan buat sama-sama, tak ramai, 10 orang jer. Daurah tentang akhlaq 2 hari jer.” Eishaq cepat mesra lebih-lebih lagi apabila berbicara dengan teman yang sebaya dengannya. Tidak semua orang memahami apa makna ‘daurah’ maka riak muka Mizi yang terkejut atas maklumat Daurah yang dianjurkan di UITM tanpa pengetahuannya itu menyebabkan Eishaq mudah mengenal pasti pemahaman Mizi. “Anta student mana?” Eishaq mengajukan soalan untuk mengenali Mizi lebih dalam. “Oh....ana dari UIA, kuliah Ilmu Wahyu.Nama ana Tirmidzhi Bin Abdullah” jawab Mizi tersenyum lebar, beliau rasa senang berbicara dengan Eishaq.
“MasyaAllah, ana Eishaq Bin Ali” mereka bersalam lagi, kali ini tangan digengam lebih erat, “Anta mengaji di mana?”Mizi semakin bersemangat, “. Universiti Madinah , Ana balik ke Malaysia sementara sebab tengah cuti semester” jawab Eishaq. “Oh... Universiti Madinah? Abi ana pun dulu belajar kat sana, dia selalu citer pengalaman dia mengaji di negeri orang, macam-macam citer,” Mizi tidak sangka sahabat yang berada di hadapannya itu bukan calang-calang orang. “Ye ker? Kebetulan, ayah anta bidang apa kat Madinah?Ana tengah further bidang hadith di sana, cadangnya lepas habis di Madinah nak sambung di UIA plak dalam master inshaAllah.” Eishaq seorang pemuda yang peramah, dalam masa yang begitu singkat beliau telahpun memberitahu Mizi perancangan masa hadapannya. “Subhanallah, ana rasa anta kene jumpa ayah ana kalau macam tu?” Mizi menyoal serius. “Eh....kenapa?” Eishaq hairan. “Sebab ayah ana senior anta dalam bidang tu. Hehehe..” Mizi tertawa, mendengar sedemikian Eishaq juga turut sama tertawa.
“Rajinnya ko baca buku malam-malam ni, cuti break pun pegang buku ker?” Halim cemburu melihat sahabatnya yang ulat buku itu. Teguran Halim membuatkan Mizi tersedar dari lamunanya. Kisah pertemuan Mizi bersama dengan Eishaq memang menakjubkan, mereka lebih rapat hatta Eishaq telah pulang ke Madinah meneruskan pengajiannya. Mereka kini hanya berborak melalui yahoo messengger, selain menghantar audio kuliah-kuliah agama yang dirakam terus dari Madinah, Eishaq juga tolong membelikan kitab-kitab arab untuk Mizi kerana ada yang sukar untuk didapati di Malaysia.Malah kitab-kitab arab di sana jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos import ke sini.
“Tahdzib Syarh Ath-Thahawiyah” bisik hati kecil Mizi.Mizi hanya membiarkan Halim menghinjak naik ke atas katilnya.
Mizi menelaah kitab itu hingga pukul dua belas lebih, beliau melihat Halim telahpun tertidur di atas katilnya sambil memegang buku nipis, buku berjudul Dua Puluh Soalan Paling Lazim Tentang Islam yang diambil dari rak Mizi, dia mengetepikan buku itu dan menebarkan comforter di atas lantai dan menutup lampu biliknya.
“ Hmmm…..Bismikallah humma ahya wa amuts…” Mizi berbisik pada dirinya.
“Tirmidhzi…………..” suara seorang muslimah masuk ke dalam coorng telinga Mizi.
Dalam keadaan yang gelap gulita itu beliau melihat seorang muslimah berniqab, muslimah itu kelihatan jelas kerana dia memakai pakaian serba putih. Mata Mizi kelihatan kabur sepertimana beliau dalam keadaan tidak mengenakan cermin mata tetapi beliau masih dapat melihat muslimah berniqab itu. Di kedua tangan muslimah itu kelihatan terpeluk erat sesuatu. Muslimah berniqab itu semakin hampir dengan Mizi, jika tadi Mizi merasakan nama beliau dipanggil, kini setelah tahu punca dari mana datangnya suara itu, pemilik suara itu semakin menghampirinya. Beliau kaget. Mizi tidak dapat bergerak, Mizi tidak dapat lari dari memikirkan tentang identiti muslimah di hadapannya, beliau tidak mengenali sesiapa yang berniqab selain Umminya, walaupun kini ramai muslimah berniqab di tempat beliau menimba ilmu. Muslimah itu menyerahkan sesuatu kepada Mizi, sesuatu yang menjadi pelukannya sebelum ini, sebuah kitab yang tidak dapat Mizi kenal pasti, sambil Mizi membelek-belek penuh persoalan, muslimah tadi semakin menjahuinya, belum sempat Mizi bertanya apa-apa soalan muslimah tadi telahpun jauh, semakin lama semakin mengecil dan akhirnya hilang dari pandangan kabur Mizi.
“Err...ukhti….”bisik hati Mizi, beliau membuka matanya, tangannya seolah-olah memegang sesuatu tetapi hakikatnya tidak. Mizi bermimpi rupanya.Beliau membuka lampu biliknya, hanya ada Halim. Jarum pendek jam di atas meja studi Mizi lurus ke arah angka tiga. Ditutupnya lampu kembali.Mizi berkhayal dalam hamparan kekeliruan, barangkali beliau tidur selepas membaca kitab arab maka perbuatan itu melekat dalam minda separa sedarnya. Tetapi apa yang lebih aneh, ini adalah kali kedua beliau menghadapi mimpi yang sama, selepas beliau balik dalam keletihan menguruskan program di UIA. Mizi rasakan ianya seperti berepisod, jika sebelum ini muslimah itu hanya kelihatan dari jauh kini beliau mendapat sesuatu dari muslimah tersebut. Mizi bingung. Aneh sekali, dia tidak dapat meneruskan tidurnya. Ingin sekali beliau bertanyakan Imam Ibn Sirin tentang tafsir mimpinya jika Imam itu masih hidup.
Mizi tidak dapat tidur, matanya terbuka melihat siling bilik dalam keadaan gelap, jasadnya tetap tetapi mindanya berterbangan ditemani seribu persoalan. Beliau bangun dari posisi baringnya itu, dalam gelap itu masih kelihatan susuk tubuh Halim sedang nyenyak tidur. Mizi bangkit dan terus pergi mengambil wudhu’, beliau ingin solat sunat malam. Terbangun di pertengahan malam memang menjadi kebiasaan Mizi, terutama selepas beliau mengimani hadith mutawatir tentang turunya Allah Azza Wa Jalla di sepertiga malam untuk mengkabulkan doa-doa hambanya.Dari Abu Hurairah, bahwasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam yaitu ketika sepertiga malam terakhir.Dia berfirman, Siapa yang berdo'a kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang memintakepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang memohon ampun kepada-Ku,maka akan Aku ampuni.”[8]
Sujud Mizi penuh dengan komunikasi, tanda abdi seorang hamba dengan Ilahi, air matanya tidak berhenti mengalir mohon petunjuk. Rahsia hidup yang beliau tidak berani kongsikan dengan sesiapa.Hanya pada Allah Azza Wa Jalla beliau mengadu.
Aku yang lemah tanpaMu
Aku yang lemah membisu
Cinta yang agung
Yang ku sanjung
Mencari jawapan dalam sujudku
Bagi khayalan indah yang aneh
Apa yang tertulis bagiku
Jejak hidupku yang satu
Berikanku tinta emas
Lembaran takdir yang masih basah
Agar bisa ku jadikan kenangan terindah
***********************************************************************
“ Abang….dapat sms tentang program daurah bulan depan?” Aisyah menyoal Mizi dari meja makan.Mizi berada di hadapan televisyen sambil membaca surat khabar Berita Harian yang ayahnya beli.Halim berada di halaman luar bersiar-siar.
“Em…?daurah apa? Siapa anjur? Takde plak abg Fauzi sms.” Mizi selalu mendapt apa-apa maklumat kuliah atau daurah daripada Abg Fauzi, senior Mizi yang telahpun 2 tahun lebih awal menghabiskan pengajian Sarjana Mudanya di UIA. Masa Abg Fauzi mengambil ijazahnya Mizi masih di tahun dua.
Tiba-tiba telefon bimbit Mizi berbunyi, tanda sms masuk.
“Slm, Daurah Aqidah (11-12 Jan 08) di Masjid Ar-Rahman USJ Seksyen 9.Daftar 8am.Yuran RM10 shj. Ustaz-ustaz lulusan Jordon,Lubnan,Yaman.Jemput hadir.Sbrng pertanyaan boleh sms ke no ini.”
“Siapa ini?”Mizi membalas sms tersebut, disangkakan abg Fauzi telah menukar no Celcomnya.
“Sakinah Bt. Rashidi” balas sms itu ringkas.
“Ha?Sakinah?dari mana dia dapat no. aku?” bisik hati Mizi. Mizi melihat Aisyah yang sedang duduk di meja makan. Dia hanya tersenyum malu.
Bersambung………………………………………………..
**************************************************************
[1] Wahyu.
[2] Konsep Talfiq dalam Ilmu Usul Fiqh difahami oleh sesetengah golongan sebagai ketidakterikatan seseorang Muslim itu dengan seseuatu mazhab. Bahkan mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dalam pelbagai perkara. (Al-Bani Al-Husayni , 1997M, ‘Umdah al-Tahqiqi fi al-Taqlid wa al-Talfiq’ Damsyik : Dar al-Qadiri, ms: 183)
[3] Adat.
[4] Kontrak sewa beli.
[5] Pembayaran ansuran secara berlebihan.
[6] Kontrak hutang.
[7] mengambil pendapat yang teringan di antara hukum-hukum syariat ketika terjadi perbedaan pendapat atau bermudah-mudah dalam urusan agama.
[8] HR. Bukhari: 1145 dan Muslim: 758.
3 comments:
subhanallah, satu keluarga contoh, saya yakin setiap insan yang bergelar muslim mengimpikan keluarga seperti keluarga mizi dan aisyah...
walid yang hebat, ummi yang bagus, anak2 yang baik...
hadith yang wujud hari ini banyak yang lemah, semuga kita terus berpegang kepada hadith2 yang sahih sahaja sebagai hujah..insyaAllah.
:)
SubhanaLlah, di dalam mempelajari ilmu hadith, yang boleh dijadikan hujah oleh muhaddithin bukan sahaja hadith sahih, tetapi juga hadith bertaraf hasan sahih, hadith hasan, hadith hasan lighairih, dan juga hadith dhoief (yang bukan terlalu dhoief) yang menerangkan tentang targhib dan tarhib. Bahkan ada ulamak feqh mengambil hadith dhoief sebagai hujjah yang didahulukan daripada qiyas.
Ini disepakati oleh ulamak seperti imam annawawi, imam ibnu hajar al asqolani.
Bismillah,
Jazakallah atas komen saudara IbnuNafis, apa yang saudara naytakan itu adalah sedia maklum.Cuma mungkin saudara boleh memperincikannya berkenaan apa yang membuatkan saudara komen sedemikian.InysaAllah ana bersedia untuk berbincang soal hadith jika itu yang saudara musykilkan.
Secara jujur, ana mengalu-alukan kritikan membina dari pelbagai pihak.
Wallahu'allam.
Post a Comment