Tuesday, June 21, 2011

Dilema Pengurusan Sumber Manusia Dalam Sistem Kewangan Islam




Kepesatan pembanggunan dalam sistem kewangan Islam telah menjadi suatu fenomena, dan salah satu prasyarat utama dalam menyokong pembangunan kewangan Islam yang progresif adalah dengan membina kumpulan tenaga kerja mahir. Dalam rangka menyokong serta memartabatkan sistem kewangan Islam di Malaysia, beberapa institusi pendidikan telah menawarkan program-program dalam kewangan Islam di peringkat diploma sehinggalah ke peringkat ijazah kedoktoran bagi menampung keperluan industri. Namun hingga kini masih kedengaran masalah dan rungutan terhadap ketandusan pemacuan kewangan Islam oleh mereka yang benar-benar mempunyai pengkhususan dalam bidang kewangan Islam.

Nasib Generasi Y

Dalam keindahan dunia realiti, para graduan dalam kewangan Islam dijangka menerima imbuhan yang tinggi dalam gaji permulaan disebabkan teknikaliti industri kewangan Islam itu sendiri. Generasi Y ini berminat dengan kewangan Islam bukan sahaja untuk mendapatkan pendapatan sehingga mencecah lima angka, mereka juga mempunyai kesedaran terhadap persekitaran, lanskap politik serta sumbangan secara tidak lansung terhadap pembanggunan dan keinginan mereka mengetuai dan menjadi sebahagian kepada 'kesan pelaburan'. Generasi Y ini melihat institusi kewangan Islam merupakan pemangkin dan penggerak kepada suatu peluang perubahan terhadap sosio kewangan.[1]

Tetapi usaha melahirkan kumpulan profesional dan pakar yang diperlukan di bidang kewangan Islam daripada generasi Y bagi pasaran domestik dan global ini kelihatan masih terhalang dalam perjalanan mereka menjejakkan kaki ke dalam industri kewangan Islam yang didominasi atas dasar senioriti.

Sejak tertubuhnya perbankan Islam di Malaysia pada tahun 1983, kita tidak dapat menafikan bahawa sistem perbankan Islam telah banyak merangkul manfaat daripada para pengurus bank yang dahulunya berkhidmat di perbankan konvensional sebelum berhijrah ke perbankan Islam, para pengurus bank ini berhijrah dengan pola fikir dan pengaplikasian konsep islamisasi terhadap pembentukan sebuah sistem yang didasarkan atas konsep patuh Shariah. Ini merupakan salah satu faktor utama dalam mengukur kepesatan pembanggunan sistem kewangan Islam. Walau bagaimanapun, secara tidak langsung boleh juga menjadi penyebab kepada penghalang hala tuju generasi seterusnya dalam pemacuan sistem apabila konsep imitasi dan islamisasi terhadap praktis perbankan konvensional yang diguna pakai secara meluas, hasilnya produk dan perkhidmatan perbankan Islam inilah yang diwarisi oleh generasi seterusnya.

Justeru warisan itu pula telah dibekukan dalam bentuk polisi, sehinggakan sebuah perubahan kearah penambah baikan itu memakan masa. Ironinya dari perspektif korporat semestinya melibatkan kos tambahan apabila perlu mengupah para graduan baru yang mempunyai pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu. Dilema sama ada tetap ingin di takuk lama atau terus maju sesuai dengan hala tuju institusi kewangan Islam menyebabkan pengurusan sumber manusia menutup sebelah mata terhadap para graduan baru yang bertauliah serta terbukti mempunyai pengkhususan dalam bidang yang digaji.

Walhal para graduan baru di peringkat generasi Y ini mempunyai pengkhususan dan pengetahuan dalam bidang Shariah, pengurusan institusi kewangan Islam, pasaran modal Islam, pengurusan risiko, kewangan korporat, Takaful serta penilaian aktuari dan sebagainya ini telah dilatih dengan pola fikir dan rangka pembentukan ekonomi Islam yang menyeluruh.

Pemikiran cara lama yang dibentuk dalam polisi pengurusan sumber manusia di perbankan Islam bahawa seseorang Muslim itu semestinya mampu menggalas apa jua tugas dalam membangunkan kewangan Islam perlu diubah[2]. Hal ini adalah kerana walaupun sistem kewangan Islam itu ditegakkan atas dasar ajaran agama Islam yang murni, hala tuju sebuah sistem yang bersifat global ini hanya boleh dimartabatkan apabila dipacu oleh mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengkhususan yang jelas.

Para graduan di peringkat generasi Y ini sewajarnya dibayar premium atas tauliah yang telah mereka usahakan, tetapi menyedihkan apabila masih wujud para graduan sarjana atau sijil tauliah professional seperti Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIFP) dari Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF) atau mereka yang memperoleh Sarjana Sains (MSc) dalam kewangan Islam dari dalam dan luar negara, tetapi digaji dengan kadar graduan baru di peringkat sarjana muda. Hal ini dilihat seumpama menafikan pengiktirafan pengetahuan dan pengkhususan yang telah diusahakan oleh industry pendidikan dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang ini.

Sumber manusia di bawah sistem perbankan dual

Berkembang pada kadar purata 20 peratus setahun, kewangan Islam menjadi segmen terpantas berkembang dalam industri kewangan di samping wujudnya pensijilan dan pengiktirafan dalam kewangan Islam di peringkat dalam dan luar negara. Kepesatan ini namun tidak selari dengan saluran bagi pembanggunan karier yang masih jauh ketinggalan terutama di peringkat institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia sendiri.

Sistem perbankan dual yang diterajui oleh kebanyakan perbankan di Malaysia ini menjadi penghalang untuk bersaing bagi mendapatkan tenaga kerja terbaik. Hal ini adalah kerana kebanyakan perbankan Islam yang berdiri atas sistem perbankan dual mahupun selaku entiti berbeza masih terikat dan berkongsi jabatan sumber manusia di bawah satu bumbung yang sama. Akibatnya, para graduan yang mempunyai pengkhususan dalam perbankan Islam akan digoda menjadi sebahagian tenaga kerja perbankan konvensional, dengan alasan tiada kekosongan jawatan di perbankan Islam atau jawatan-jawatan itu telahpun diterajui oleh para pengurus bank senior yang sebelum ini telahpun berhijrah ke perbankan Islam.

Pengurusan polisi sumber manusia secara umumnya ditentukan oleh pengurus senior syarikat, dengan mengambil kira rujukan serta konteks nasional terhadap operasi organisasi.[3] Apakah hala tuju pengurusan polisi sumber manusia di peringkat perbankan Islam ini layak dibentuk oleh mereka yang berfikir dengan pola fikir konvensional?

Non-Muslim di Arena Perbankan Islam

Di sisi yang lain, sesetengah pihak di Jabatan pengurusan sumber manusia pula mempunyai salah tanggapan terhadap sistem universal yang bersifat inklusif ini melalui gambaran yang lebih tepat. Dalam pada wujudnya salah faham bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perbankan Islam hanya layak dilanggan oleh Muslim, hal yang sama berlaku dalam isu mengupah bukan Islam (Non-Muslim) untuk gerak kerja di perbankan Islam. Sistem global ini seharusnya tidak mewujudkan apa-apa ruang untuk diskriminasi bangsa dan agama.

Walaupun dasar perbankan Islam itu berdiri atas landasan ajaran Islam, namun pekerjaan yang melibatkan kerja-kerja yang lebih bersifat teknikal seharusnya diserahkan hanya kepada mereka yang layak. Al-Hakim dalam kitab Shahihnya meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Sesiapa yang dilantik menguruskan mana-mana urusan orang-orang Islam, lalu dia melantik pula seorang lelaki, sedangkan dia boleh melantik orang lain yang lebih layak untuk kepentingan umat Islam berbanding lelaki berkenaan, maka dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman.(Hadits riwayat al-Hakim)

Pemilihan tugas itu dilihat kepada tahap pengetahuan dan kemampuan yang telahpun disimpulkan dalam Quran melalui dua sifat umum yakni sifat amanah (jujur) dan kuat (kemampuan). Di dalam al-Quran telahpun menyebut kisah Nabi Syuaib yang memilih Nabi Musa ‘alaihissalam atas sebab dua kriteria penting berikut:

Salah seorang di antara dua perempuan itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang kuat lagi amanah (Surah al-Qashash: 26)

Ayat ini menggambarkan bahawa antara kriteria asas dalam pemilihan pekerja itu ialah kuat dan amanah. syariat Islam memerintahkan agar pemilihan setiap suatu perkara atau pekerjaan itu hendaklah berdasarkan sejauh mana kekuatan dan keamanahan yang diperlukan. Umur atau senioriti seseorang bukanlah satu syarat ‘wajib’ seseorang itu dinaikkan atau diberikan sesuatu jawatan.

Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Bakar radhiallahu’anhu boleh mengupah seorang lelaki dari Bani Dil dari sekutu keluarga ‘As Bin Wa’il as-Sahmi yang masih beragama Quraisy untuk tujuan sebagai pemandu perjalanannya dalam peristiwa sepenting peristiwa hijrah[4], mengapakah pula perlu wujud diskriminasi bangsa dan agama dalam pemilihan gerak kerja membangunkan sistem kewangan Islam?

Akhirnya kita akan tetap kembali kepada persoalan kelayakkan daripada sebarang sentimen bangsa dan agama yang dilarang dalam ajaran Islam. Justeru janganlah hal ini disamakan dengan isu pemilihan hakim atau pemimpin dalam Islam, kerana perbahasan ini merujuk kepada kriteria asas pemilihan seorang pekerja yang berkelayakan, tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Kesimpulan

Pemilihan dan sistem rekrut di perbankan Islam seharusnya lebih menyeluruh dengan tidak mengguna pakai polisi sistem perbankan konvensional. Graduan kewangan Islam tidak sewajarnya dilayan seperti pekerja kelas kedua dalam mengisi kelompongan pekerjaan di perbankan konvensional.

Tatkala industri kewangan Islam sangat mendambakan sumber manusia dari kumpulan tenaga kerja mahir dan terlatih, punca permasalahan ini dilihat berakar umbi daripada kriteria pemilihan para pekerja oleh jabatan sumber manusia.Justeru ketandusan pasaran sumber manusia kini yang dialami oleh sistem kewangan Islam telah menjadi isu besar yang perlu ditangani dengan penuh hemat bermula dengan polisi rekrut yang diamalkan oleh jabatan sumber manusia di institusi kewangan Islam masing-masing.

Jabatan sumber manusia di institusi-institusi kewangan Islam perlu mula berdiri dengan sendiri daripada kebergantungan dengan polisi perbankan konvensional melalui suatu siasah baru untuk kemudahan pihak perbankan Islam membuat pemilihan dan pengambilan para pegawainya. Faktor-faktor yang disebutkan di atas hendaklah betul-betul diambil kira, iaitu faktor-faktor kebolehan, kelayakan dan keamanahan di dalam maknanya yang luas.


Ibn Yusof

22 June 2011 / 21 Rejab 1432

12.04 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com



[1] Rushdi Siddiqi. (2011). Gen Y and Islamic finance. Di http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/lamik/Article/

[2] Mohammed Khnifer. The Human Remains of Islamic finance. Islamic Business & Finance. p.36-39.

[3] Tayeb, M.H. (1996), The Management of a Multicultural Workforce, Wiley, Chichester.

[4] Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 552- 554.