Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Azza Wa Jalla yang memberi kita peluang bertemu lagi dengan bulan penuh keberkatan, bulan Ramdhan Al-Mubarak. Bagi yang berkesempatan merasai kenikmatan bulan Ramadhan ini, jadikanlah 4 minggu ini penuh keberkatan, 30 hari yang penuh keredhaan, 720 jam penuh kesyukuran dan 2,592,000 saat diselimuti keimanan. Artikel tahun sebelumnya penulis telahpun berkongsi secara dasar tentang hadis-hadis berpuasa melalui artikel “Ramadhan:Siapa Contoh Tauladan”,juga berkenaan pendedahan berkenaan hadis-hadis lemah dan palsu dalam artikel “Hadith/Hadis/Hadits Lemah (Dha’if) dan Palsu (Maudhu’) Berkenaan Ramadhan” dan cerpen bertajuk “Ramdahan Pertama Si Kecil Irfan” yang dirasakan ada baiknya untuk dirujuk semula bagi bersiap sedia menempuh bulan penuh mulia ini.
Walau bagaimanapun dalam berkongsi perihal hal ehwal puasa dalam artikel kali ini, penulis merasakan ada relevennya penulis memilih beberapa isu dan kemusykilan yang mahsyur di kalangan para pembaca dan mengupasnya dengan lebih mendalam bagi kita sama-sama menelusuri jawapan kepada permasalahan seputar puasa di bulan Ramadhan ini. Antara yang penulis sempat ulang kaji sebelum memasuki bulan Ramadhan ini adalah 4 jilid buku Soal-Jawab Himpunan Fatwa yang memuatkan fatwa-fatwa oleh Syeikh Muhammad Bin soleh Al-Munajid, Syeikh Muhammad Bin Soleh Al-‘Uthaimin dan Syeikh Abdul Aziz Bin Abdul Bin Baz yang dirasakan mudah difahami hatta oleh orang awam sekalipun. 4 Jilid himpunan fatwa mereka ini telah diterjemah dan diterbitkan oleh Karya Bestari.
Dalam sekian banyaknya persoalan yang terjawab dalam himpunan fatwa ini, penulis memilih untuk berkongsi beberapa isu yang kecil tetapi berperanan penting dalam penyempurnaan ibadah puasa dirasakan releven untuk bacaan bersama.
1.Puasa tanpa solat
Hal ini walaupun dianggap remeh akan tetapi hendaklah kita mengakui bahawa ianya sememangnya berlaku dalam masyarakat kita. Ramai yang berpuasa tetapi meninggalkan solat. Walhal solat dan berpuasa keduanya merupakan rukun islam yang tinggi nilainya. (Perbincangan ini tidak merujuk kepada perempuan haid yang diberikan kelonggaran untuk tidak solat apatah lagi berpuasa tetapi khusus kepada lelaki dan perempuan yang berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajiban solat).
Secara puratanya terdapat dua golongan yang tidak menunaikan solat, pertama mereka yang lansung tidak solat. Kedua, mereka yang tidak solat pada hari atau waktu tertentu. Dalam hal ini semua amalan yang dilakukan pada hari tersebut adalah tertolak. Dalam erti kata lain, orang yang tidak melaksanakan solatnya, akan dihapuskan semua amalannya dan orang yang hanya meninggalkan solatnya sekali sekala, amalannya pada hari itu sahaja yang akan tertolak.
Suka untuk penulis memetik kata-kata Abdullah Ibn Syaqiq rahimahullah yang berkata:
“Para sahabat Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam berpendapat bahawa meninggalkan sesuatu ibadat tidak menjadikan seseorang itu kafir, melainkan solat. Berdasarkan ini, jika seseorang itu berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat, puasanya tertolak dan segala amalannya tidak memberikan apa-apa ganjaran pada hari Kiamat nanti.
Kami menasihati kamu agar mendirikan solat dan berpuasa. Pahala puasa akan tertolak jika kamu meninggalkan solat kerana sebarang bentuk amal ibadat tidak akan diterima daripada seseorang yang kafir.” (Fatawa al-siyam, m.s 87)
2. Syarat sah puasa : Niat Puasa
Setiap kali menjelang bulan Ramadhan pasti ada yang bertanyakan bagaimana berniat puasa Ramadhan kerana telah 11 bulan meninggalkan bulan mulia ini. Pada mereka yang segan bertanya, sama ada mereka menggoogle niat puasa ataupun kembali membuka buku-buku puasa untuk menghafal semula niat puasa tersebut.
Kepentingannya dan juga kedudukannya yang selalu di awal sesuatu ibadah menjadikan topik ini menjadi suatu tajuk yang sangat penting. Dengan niat kita dapat membezakan antara amalan kebiasaan atau amalan ibadah, amalan ikhlas atau ria', amalan umum atau khusus.
Niat ibadah puasa adalah sebagaimana ajar Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam hadis yang berikut:
“Sesiapa tidak berniat melakukan puasa sebelum fajar maka tidak ada puasa baginya.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan an-Nasai)
Daripada hadis ini difahami bahawa seseorang wajib meniatkan puasanya setiap hari, antara masa tenggelam matahari (maghrib) sehingga terbit matahari (fajar). Demikian menurut pendapat jumhur para ulamak. Justeru apa yang perlu difahami oleh para pembaca ialah beza antara berniat dan juga lafaz niat. Kedua perkara ini adalah beza dari sudut hukum fekah dan perlu difahami dan dihadam dengan jelas. Hukum berniat adalah wajib dalam semua ibadah tanpa diperselisihi para ulamak. Akan tetapi dalam bab melafazkan niat wujud perbezaan pendapat di kalangan para ulamak. Adapun yang perlu difahami ialah tuntutan niat letaknya di hati, bukan di mulut.
Kesimpulannya, tiada sebarang bentuk lafaz atau susunan kata yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam sebagai bentuk niat yang perlu diamalkan, walau bagaimanapun berniat itu tetap dianggap wajib sebagai syarat sah puasa. Maka untuk memudahkan para pembaca memahaminya, situasi menyediakan makanan dengan tujuan bersuhur itu telahpun dianggap sebagai niat untuk berpuasa tanpa perlu melafazkan secara lisan “Sahaja aku berpuasa pada esok hari kerana Allah Ta’ala”. Situasi ini tidak sesekali menyebabkan puasa seseorang itu terkesan kerana lafaz secara lisan niat bukanlah syarat sah puasa seperti mana syarat berniat di dalam hati untuk berpuasa.
3. Ter-buat (tidak sengaja) akibat tidak tahu atau terlupa
Perkara yang dilakukan secara tidak sengaja disebabkan tidak tahu atau terlupa sentiasa menjadi topik releven bukan sahaja dalam bab puasa, tetapi juga dalam bab ibadah-ibadah lain. Soalan-demi soalan menhujani golongan agamawan di kuliah-kuliah sehinggakan forum-forum siber demi mendapatkan kepastian. Hadis Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam bermaksud:
“Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah)
Hadis ini menjadi dasar kepentingan dan kewajiban menuntut ilmu bagi setiap muslim apatah lagi dalam hal ehwal agama yang merupakan fardhu ain. Kelalaian penuntutan ilmu akan mengakibatkan seseorang itu mendasari amal-amal ibadah yang dilakukan tanpa kaedah ilmu yang sebenar. Sebab itulah kita selalu melihat seseorang itu pakar dalam sesuatu bidang fardhu kifayah tetapi tidak mengambil berat dalam bab fardhu ain sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam amalan-amalan yang tidak didasari dengan ilmu yang benar. Walaupun ianya (sifat tidak tahu dan terlupa) adalah perkara yang tidak dapat dielakkan oleh setiap insan, setiap muslim tidak sewajarnya kekal berada di zon selesa berlingkaran sifat tidak tahu dan terlupa. Atas dasar itu ilmu merupakan penawar mujarab kepada sifat tidak tahu dan terlupa.
Walau bagaimanapun, bagi individu yang telah melakukan sesuatu perkara di bulan puasa dan sedar ianya berpunca daripada sifat tidak tahu dan terlupa. Allah Azza Wa Jalla berfirman dengan jelas yang bermaksud:
“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab 33 - 05)
Dan Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:
“Telah diangkat dari umatku dosa kerana mengerjakan sesuatu lantaran tersilap, terlupa dan dipaksa.” (Hadis diriwayatkan Imam Ibnu Majah, ath-Tabarani dan al-Hakim, dari Abdullah ibnu Abbas)
“Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim, at-Tabrani dan ad-Daruquthni)
Walau bagaimanapun perlulah difahami bahawa tidaklah semuanya boleh dirangkumkan dalam zon tidak tahu dan terlupa. Contohnya seperti tentang ilmu-ilmu syariat (ilmu fardhu ain) yang umum seperti tentang kewajiban berpuasa, kewajiban solat dan sebagainya tidak boleh diperselisihi kewajiban dan pengetahuan akannya.Adapun ilmu yang khusus tidak dituntut ke atas setiap individu muslim untuk mengetahuinya. Boleh sahaja seseorang itu tersilap mempraktikan hadis lemah atau palsu atas dasar tidak tahu dan terlupa.
Kesimpulannya, sengaja atau tidak sengaja, terlupa dan sebagainya merupakan tali pengukur di sisi Allah Azza waJalla dalam menerima perbuatan seseorang itu dalam keadaan darurat atau kesulitan yang dihadapinya. Dalil kuat yang dijadikan ukuran perbuatan seseorang itu adalah bergantung kepada niat serta bisikan hatinya seperti sabda Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam yang bermaksud:
“Setiap perbuatan itu adalah berdasarkan niat dan setiap orang mendapat apa yang dia niatkan.”(Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Maka jelas dalam konteks perbincangan ini bahawa jika anda termakan,terminum, atau menyetubuhi pasangan suami atau isteri di siang hari tanpa pengetahuan bahawa anda sedang berpuasa, maka tidaklah ianya membatalkan puasa tersebut.
4. Bersuhur pada waktu Imsak
Imsak dalam istilah (makna sebenar) bermaksud, menahan diri daripada makan, minum, jimak dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa. Adapun suhur adalah bagi perbuatan makan, dan suhur, bagi apa yang dimakan ketika bersuhur, kerana itu dirasakan perkataan bersuhur adalah lebih tepat penggunaannya dari sudut bahasa arab (Lisaanul 'Arab, 1/194).
Tiada siapa dapat menafikan bahawa telah dijelaskan kebaikan bersuhur sebagaimana sabda Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam yang bermaksud:
“Bersuhurlah, sesungguhnya, pada makanan suhur itu ada keberkatan ”(Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Walau bagaimanapun, imsak yang difahami oleh masyarakat kita pula ialah 10 hingga 15 minit sebelum masuknya waktu Fajar atau waktu Subuh dan seseorang itu tidak lagi dibenarkan makan atau minum selepas waktu Imsak tersebut supaya tidak terlajak hingga ke waktu Fajar atau waktu Subuh. Ada juga yang mewajibkan untuk tidak bersuhur pada 10 minit sebelum masuk waktu fajar atau subuh. Inilah juga imsak yang difahami oleh masyarakat umum daripada waktu imsak yang disiarkan melalui risalah, poster, televisyen mahupun institusi-institusi agama.
Pendapat ini walau bagaimanapun tidak ditemui dalil atau hujahnya, samada dari al-Qur'an mahupun as-Sunnah. Sebaliknya dalil dari al-Qur'an mahupun as-Sunnah menerangkan agar waktu bersuhur, iaitu makan dan minum bagi tujuan berpuasa, dilambatkan sehingga hampir ke waktu Fajar.
Hal ini seperti mana terlebih dahulu dijelaskan di dalam al-Quran bahawa Allah subhanallahu Ta’ala berfirman:
“Dan makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (cahaya malam), iaitu waktu fajar; kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (iaitu menjelma waktu Maghrib)” (Surah al-Baqarah 2:187).
Dari ayat di atas jelas tertulis bahawa Allah memerintahkan kita untuk makan dan minum (bersuhur) sehingga nyata kelihatan terbitnya cahaya pagi. Perintah disini mengikut ulamak usul bukan memberi makna wajib walaubagaimanapun paling kurang ia memberi makna harus. Berdasarkan hadis pula menceritakan bahawa Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:
“Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Hadis di atas difahami ulamak fekah bahawa Bilal melaungkan azan sebelum masuknya waktu subuh dengan tujuan mengejutkan orang yang sedang tidur supaya bangun bersuhur dan Ibnu Ummi Maktum pula melaungkan azan apabila masuknya waktu subuh.
Malah hadis lain menguatkan lagi hujah dibolehkan untuk makan dan minum (bersuhur) sehinggalah laungan azan subuh apabila Abu Hurairah radiallahu’anhu berkata, Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:
“Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas makanan / minuman masih berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sebelum dia menunaikan hajatnya dari bekas tersebut.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ahmad).
Syaikh. Dr. Yusuf Qardhawi menerangkan:
“Jelaslah bahawa waktu Imsak yang dimulai sekian-sekian lama sebelum terbitnya Fajar, sebagaimana yang ditetapkan orang secara terus menerus, sama sekali tidak berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam Penetepan sedemikian adalah merupakan sikap berlebih-lebihan dalam agama. Bahkan ia menyalahi Sunnah Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam yang memandang baik penangguhan makan sahur sehingga akhir malam (iaitu sebelum terbit fajar)” (Fatwa al-Mu'ashirah, m.s 406-407).
Kesimpulannya, seseorang dibolehkan bersuhur, iaitu makan dan minum sehingga azan dilaungkan atau sehingga jelas nyata baginya kelihatan iras-iras cahaya pagi di ufuk timur. Perlulah kita melewatkan bersuhur kerana ia merupakan kunci keberkatan yang telah dijanjikan oleh Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam melalui sabda baginda yang sekian banyaknya.
"Makanan suhur itu berkat, maka jangan sekali-kali kamu meninggalkannya,walaupun kamu meneguk seteguk air, sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mendoakan mereka-mereka yang bersuhur "(Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Hibban).
5. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan seperti hidung atau telinga
Telah masyur diajari di sekolah rendah hinggakan menengah bahawa memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan seperti hidung atau telinga adalah membatalkan puasa. Walhal tiada satu dalil yang jelaspun menegah perbuatan sedemikian ketika sedang berpuasa. Kesilapan dalam pembelajaran sedemikian memberi kesan kepada pengetahuan sesetengah individu sehinggalah mereka dewasa. Penetapan hokum yang tidak didasari apa-apa bukti atau dalil dan nas yang jelas ini bertujuan memberat-beratkan umat Islam kerana di dalam al-Quran, Allah Subhanallahu Ta’ala berfirman dengan jelas bahawa hanya tiga perkara sahaja perkara yang membatalkan puasa:
“Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)” (Surah al-Baqarah 2:187)
Atas sebab itulah Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Siyam memberikan ulasan berkenaan hal ini dengan berkata:
“Para ahli fekah radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.
Banyak ahli fekah telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulamak masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.”
Kesimpulan
Tidak dapat dinafikan bahawa banyak lagi persoalan, isu, kemusykilan dalam hal ehwal puasa di bulan Ramadhan, dan antara sekian banyaknya isu tersebut, penulis hanya memetik lima isu dan persoalan ini. Ianya diketengahkan kepada para pembaca atas pemerhatian dan pengetahuan penulis tentang lima perkara ini yang sangat masyur dan sering menimbulkan salah faham di Malaysia ini bukan sahaja dikalangan orang awam, malah sesetengah golongan agamawan. Diharap perkongsian kali ini dapat member manfaat kepada para pembaca dalam menempuh bulan Ramadhan yang mulia ini dengan berlandaskan sunnah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.
Apakah yang akan kita lafazkan apabila Allah meminta bukti-bukti amalan kita di akhirat nanti? Apa yang dinyatakan di dalam artikel kali ini sebenarnya telah diketahui ramai dan bukan bertujuan untuk membicarakan secara terperinci hukam-hakam yang berkaitan dengan puasa kerana ianya telahpun termuat dalam kitab-kitab muktabar para ulamak fekah. Tetapi, apa yang menjadi fokus penulis, hanyalah satu bentuk pendedahan yang menginginkan para penuntut ilmu kembali kepada manhaj beristidlal dalam sesuatu perkara. Zaman bermadah tanpa dalil ibarat tin kosong, sudah lapuk dan harus ditinggalkan sebagai penuntut ilmu bahkan masyarakat umumnya. Marilah kita kembali kepada sunnah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam beramal ibadah kerana itulah warisan yang pasti dan jelas diakui sebaik-baik petunjuk.
"Aku telah meninggalkan kepada kamu perkara yang mana selagi mana kamu berpegang dengannya, kamu tidak akan sesat selamanya : Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya " (Shahih Attarghib Wa Attarhib, oleh Syeikh Al-Albani :40)
Ramadhan Kareem & Kul’ aam Wa Antum Bi Khair
Wallahu’allam.
No comments:
Post a Comment