Tuesday, August 11, 2009

Ilmu Perbandingan Agama Sebagai Metod Berdakwah : Penilaian Dari Parameter Syarak


1.Pendahuluan


Tiada satu metod tetap dalam melahirkan pendakwah berhikmah, tiada juga syarat tetap dalam menilai siapakah yang layak digelar pendakwah. Dakwah selalu dikaitkan dengan hikmah tidak seharusnya dilihat hanya pada sikap dan tingkah laku pendakwah. Ia juga menuntut satu kebijaksanaan dalam menyusun strategi dengan metodologi yang bersesuaian mengikut keadaan dan suasana persekitaran. Tanpa kebijaksanaan dalam penilaian, pendakwah hanya akan menjerumuskan diri menjadi pendakwah yang bermasalah berbanding pendakwah yang berhikmah.

Apa yang para pendakwah perlu fahami ialah Malaysia sebagai negara berbilang agama perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai lubuk dakwah yang subur. Dan agama mempunyai korelasi yang tinggi terhadap etnik. Agama seperti Buddha (19.2%), Kristian (9.1%), Hindu (6.3%) dan Confucious/Tao/agama tradisi lain orang Cina (2.6%); berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 (Bancian penduduk di negara Malaysia diadakan setiap 10 tahun sekali) adalah mad'u (orang yang didakwahi) kepada kita selaku para da'i (orang yang berdakwah) dalam menyampaikan risalah Islam.

Ilmu perbandingan agama dilihat sebagai medium yang berkesan dalam mendedahkan fakta dan logika yang disebalik perbezaan kerangka fikir kehidupan terutama bagi mereka yang hidup dalam masyarakat yang berbilang beragama. Ia juga satu cabang ilmu yang dilihat hanya tertumpu kepada sesetengah golongan kerana dilihat memerlukan kepada kepakaran dalam menilai kitab-kitab suci agama lain lalu membandingkan dengan ajaran Islam. Maka artikel ini akan cuba mendedahkan beberapa persoalan dan salah faham dalam pendidikan ilmu perbandingan agama yang semakin mendapat tempat di negara ini.

2. Mempelajari dan merujuk kepada kitab suci agama lain: Satu penilaian

Allah berfirman dengan jelas:


قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئاً وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ


Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". [Surah ali-Imran 3:64]

Ayat di atas mengajar kita menjadi bijak dalam gerak kerja dakwah, mengajak para pendakwah mempunyai manhaj dan pola fikir yang jelas dalam memilih strategi terbaik dalam usaha mengajak manusia kepada Islam. Para pendakwah yang jelas pola fikirnya beruntung dikurniakan kemanisan iman dan Islam, justeru kemanisan iman dan Islam itu bukan milik perseorangan yang boleh dikedekutkan dan hendaklah ianya dikongsikan bersama manusia sejagat. Cuma sahaja apakah metedologi atau uslub dakwah terbaik? Ayat di atas menyeru mencari persamaan berbanding perbezaan yang hanya akan mencetuskan perselisihan. Bukankah majoriti agama dunia menyeru kepada kebaikan? Majoriti agama dunia mennyeru kepada Tuhan yang satu? Bukanlah bermaksud pernyataan ini menyama ratakan agama, tetapi mencari peluang dan ruang di sebalik dialog dan hubungan yang boleh dijalinkan sesama bangsa yang mungkin berlainan status agamanya.

Hujah Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan umat Islam tidak akan berhasil jika cuba disodokkan secara paksaan dalam dialog perbandingan agama, situasi ini menyeru para pendakwah bersikap bijak dalam melihat perbezaan keimanan terhadap sumber rujukan mereka. Selain menggunakan logik akal melalui analogi dan permainan emosi, kita juga boleh menggunakan sumber rujukan agama lain seperti kitab suci mereka. Cuma persoalan yang timbul ialah apakah Islam membenarkan uslub dakwah sebegini?
Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:


قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئاً وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Surah al-Nahl 16:125]

Ayat ini menjadi pegangan dan prinsip dakwah yang perlu diimani dan digaris bawahi oleh setiap mereka yang berkerja untuk Allah Azza Wa Jalla. Seperti mana mereka yang berkerja di sebuah syarikat diwajibkan mengikut skop tugas yang diberikan, begitu juga halnya dengan seorang pendakwah yang diajar dengan jelas oleh Allah bagaimana cara yang sepatutnya dilakukan dalam menggalas posisi pendakwah tersebut.Setiap pendakwah walaubagaimanapun bebas menyusun uslub dakwahnya selagi mana ianya masih dalam parameter Syarak.

Maka mereka yang memilih mencedok isi kitab agama lain secara dasarnya cuba membuktikan kesamaan atau betapa kitab itu tidak mempunyai penyampaian konsisten akibat kesalahan atau percanggahan fakta. Maka seputar persoalan ini muncul dua pernyataan yang akan kita analisa selanjutnya iaitu:

1) Merujuk dan membaca kepada kitab suci agama lain adalah berbahaya kerana akan mempengaruhi minda dan menyebabkan akidah seseorang itu terpesong!
2) Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam sendiri melarang tindakan sedemikian!

Pernyataan di atas adalah berdasarkan sebuah hadis sahih yang merujuk kepada kisah Umar al-Khattab yang dilarang membaca kitab kaum Yahudi dan Nasrani oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam. Hadis yang dikhabarkan oleh Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh bahawa ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anhu pernah mendatangi Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam sambil membawa kitab yang diperolehnya daripada sebahagian Ahli Kitab (yakni kaum Yahudi dan Nasrani). Lalu ‘Umar membacakan kandungan kitab tersebut kepada Nabi sSallallahu'alahi Wa Sallam dan ini menyebabkan baginda menjadi marah. Lalu baginda bersabda:

أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً لاَ تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلاَّ أَنْ يَتَّبِعَنِي

"Adakah orang-orang yang hairan dan syak wahai Ibn al-Khaththab? Demi diriku yang berada di Tangan-Nya, sesungguhnya aku datang kepada kalian dengan (Ajaran Islam) yang putih bersih. Janganlah kalian bertanya kepada mereka (Ahli Kitab) tentang sesuatu apa jua kerana mereka akan mengkhabarkan kalian perkara yang benar namun kalian mendustakannya atau (mereka mengkhabarkan kalian perkara yang) batil namun kalian membenarkannya.Demi diriku yang berada di Tangan-Nya, seandainya Musa ‘alaihissalam masih hidup, nescaya dia akan mengikutiku (Ajaran Islam)." [Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya no: 15156]

Hadis ini telah disemak oleh penyemak kitab tersebut Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan mendapati sanadnya adalah lemah (dha‘if). Oleh itu ianya dilihat tidak wajar digunkan dalam membantah pembelajaran ilmu perbandingan agama. Tetapi ianya harus dilihat dari satu sisi lain apabila ianya melibatkan sumber-sumber al-Israiliyyat yang banyak diingatkan oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam melalui hadis-hadis lain.

3.Hadis perihal menggunakan sumber al-Israiliyyat

al-Israiliyyat difahami sebagai apa jua sumber yang datang daripada Ahli Kitab, baik daripada sumber periwayatan mahupun daripada kitab-kitab mereka. Terdapat beberapa hadis yang boleh kita rujuk dalam mengenal pasti apakah hukum merujuk dan mengambil sumber daripada sumber-sumber al-Israiliyyat.

Hadis pertama daripada Abu Hurairah radhiallahu’anhu yang mana beliau menerangkan tindakan kaum Ahli Kitab yang membaca kitab Taurat dalam bahasa Ibrani dan kemudian menafsirkannya dalam bahasa Arab untuk orang-orang Islam. Lalu Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda yang bermaksud:

لاَ تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلاَ تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ

Janganlah membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula mendustakan mereka. Akan tetapi katakanlah “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan.” [Hadis Sahih al-Bukhari no: 7542 (Kitab al-Tauhid, Bab apa yang dibolehkan daripada tafsiran Taurat dan selainnya)].

Manakala hadis kedua daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu’anhumadi mana beliau berkata, Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّار

Sampaikanlah daripada aku walau satu ayat dan ceritakanlah daripada Bani Israil, tidaklah ia menjadi satu kesalahan. Dan sesiapa yang berdusta di atas namaku maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya dalam neraka. [Hadis Sahih al-Bukhari no: 3461 (Kitab Ahadits al-Anbiya’, Bab apa yang disebut tentang Bani Israil)]

3.1Menilai perbezaan hadis menggunakan sumber al-Israiliyyat

Jika kita lihat secara zahir kedua hadis yang dinyatakan di atas itu sememangnya seperti wujud percanggahan dalam arahan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam. Hadis pertama menyebut “Janganlah membenarkan Ahli Kitab” seumpama satu larangan walhal hadis kedua lebih bersifat neutral. Maka bagi mengelak kekeliruan atas dua arahan di atas, perlulah kita untuk merujuk kepada tafsiran hadis tersebut daripada para ulamak Islam terdahulu. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqolani dalam menjelaskan maksud isi hadis “ceritakanlah daripada Bani Israil, tidaklah ia menjadi satu kesalahan.” berkata:

“Iaitu tidaklah dibataskan ke atas kalian berkenaan cerita-cerita daripada mereka (Bani Israel), disebabkan sebelum itu terdapat tegahan daripadanya (Rasulullah) Sallallahu'alahi Wa Sallam daripada mengambil daripada mereka dan merujuk kepada kitab mereka (e.g-Bible-pen.). Kemudian diberikan kelonggaran daripada yang sedemikian. Seolah-olah larangan tersebut berlaku sebelum penetapan hukum-hakam Islam dan kaedah-kaedah agama (sehingga) dibimbangi berlakunya fitnah. Kemudian tatkala hilangnya bahaya tersebut, diberikan izin untuk melakukan sedemikian (menyampaikan daripada sumber al-Israiliyat). Ini disebabkan terdapat iktibar yang dapat diambil pada mendengar khabar-khabar daripada zaman mereka.” [Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari (diteliti oleh Fu‘ad ‘Abd al-Baqi & Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1379H), jld. 6, ms. 498]

Justeru pemahaman yang dapat diekstrak daripada hadis pertama ialah tegahan tersebut berlaku di zaman awal Islam, al-Israiliyyat tidak diakui oleh Islam dan tidak pula diingkari, maka di sini wajib diam, sesuai dengan apa yang tercatat dalam hadis yang pertama itu. Ia merujuk kepada zaman tatkala pegangan Islam masih belum kukuh tentang asas-asas ajaran Islam. Apabila ianya telah dapat dibezakan ajaran Israiliyyat dan mempunyai pegangan ajaran Islam yang kukuh, maka adalah dibenarkan menyampaikan sumber al-Israiliyyat. Jelas bahawa ianya ditujukan kepada mereka yang tidak mampu membezakan sumber al-Israiliyat, antara yang tulen dan yang palsu. Manakala hadis kedua membenarkan kepada mereka menyampaikan sumber al-Israiliyat yang tulen atau sahih sahaja.

3.2 Kayu ukur dalam menilai kesahihan sumber al-Israiliyyat

Neraca dalam menilai sumber al-Israiliyyat bagi menetukan sama ada ianya sahih atau tidak adalah berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini dinyatakan oleh al-Imam al-Syafi’ie rahimahullah dan dipetik oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqolani dalam kitabnya yang bermaksud:

“Antara yang sedia dimaklumi adalah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam tidak membenarkan penyampaian cerita yang dusta. Maka maksud “…ceritakanlah daripada Bani Israil…” adalah terhadap apa yang diketahui bukan dusta. Justeru terhadap apa yang dibenarkan (yakni bukan dusta) , maka tidaklah menjadi satu kesalahan ke atas kalian untuk menyampaikannya daripada mereka dan ini selari dengan sabda baginda: “Apabila diceritakan kepada kalian oleh Ahli Kitab, maka janganlah membenarkan mereka dan jangan pula mendustakan mereka.” Tidaklah dimaksudkan sebagai keizinan (daripada membenarkan mereka) mahupun larangan (daripada mendustakan mereka) berkenaan menyampaikan cerita (al-Israiliyat) terhadap apa yang telah diputuskan sebagai benar.” [Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari (diteliti oleh Fu‘ad ‘Abd al-Baqi & Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1379H), jld. 6, ms. 499]

Kemestian merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah yang sahih dalam menilai ketulenan sumber al-Israiliyyat dikuatkan lagi dalam firman Allah Azza Wa Jalla:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنْ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Qur'an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.[Surah al-Maidah 5:48]

Maka di sini dapat kita simpulkan bahawa dibenarkan kepada para pendakwah merujuk kepada kitab suci agama lain yang merupakan sumber al-Israiliyyat seperti Bible dan seumpamanya sebagai bahan untuk berdakwah. Itupun dengan syarat pendakwah tersebut mempunyai pegangan ajaran Islam yang kukuh terutama tentang asas-asas Islam sehingga mampu membezakan antara yang al-haq (kebenaran) dan al-batil (kebatilan).

Jika dapar dipastikan ajaran akidah yang bersamaan antara kitab yang sebelumnya dengan al-Qur’an dan hadis yang sahih, para pendakwah bolehlah memanipulasi perkara tersebut dengan menggunakannya untuk berdakwah kepada orang Kristian, Buddha dan sebagainya. Hal ini ternyata bersesuaian dengan perintah Allah Subhanallahu Ta’ala:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئاً وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". [Surah ali-Imran 3:64]

Persamaan yang dicari bukan sesekali bermaksud cuba menyama ratakan agama dalam perbandingan yang dibuat, tetapi dilihat dari sudut kebenaran Islam yang ada ditonjolkan dalam kitab-kitab agama suci lain. Antara yang boleh kita lihat ialah seperti beberapa ayat di dalam kitab suci agama lain yang menunjukkan contoh konflik pemahaman ketuhanan Jesus, pengakuan Jesus tentang ketidak mampuannya berbuat sesuatu melainkan dengan bantuan Tuhan, perkataan trinity yang hanya diceritakan di dalam al-Quran, penjelasan tentang kewujudan Nabi Muhammad Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam kitab suci mereka dan sebagainya. Banyak lagi perbandingan yang dapat dibuat sekaligus membenarkan kalam Allah Azza Wa Jalla dan membuktikan kepincangan fakta agama selain Islam.

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri". [Surah Al-Ankabut 29:46]


4. Ilmu perbandingan agama menurut para ulamak silam dan kontemporari

Ilmu perbandingan agama terutamanya kajian terhadap Bible bukanlah ilmu yang baru. Ianya telah dipelopori oleh para ulmaka silam seperti Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Hazm beratus-ratus tahun yang silam. Mereka sudah membongkarkan kesilapan-kesilapan di dalam kitab suci agama Kristian yakni Bible sejak beratus tahun yang lepas. Maka tokoh-tokoh kontemporari seperti Allahyarham Syeikh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik seumpamanya hanyalah penyambung usaha tokoh-tokoh silam ini.

Malah kepentingan ilmu perbandingan agama ini diberikan perhatian oleh institusi-institusi pengajian tinggi Islam terkemuka seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Madinah dengan tertubuhnya Jabatan Perbandingan Agama dan subjek khas bagi mempelajari ilmu perbandingan agama khususnya Bible. Begitu juga halnya di Malaysia, university tempatan seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa mempunyai Jabatan, subjek atau pengkhususan di dalam bidang perbandingan agama yang memerlukan para pelajarnya mempelajari dan menkaji Bible sesuai dengan peranan mahasiswa mahasiswi Islam ini sebagai pendakwah.

5. Kesimpulan

Telah bertahun lamanya penulis terlibat dalam pembelajaran dan pengkajian ayat-ayat di dalam Bible. Itupun atas tunjuk ajar dari tokoh-tokoh dalam subjek perbandingan agama di Malaysia seperti Bro. Shah Kirit, dan Bro. Ungku Fauzi, semasa terlibat dalam Fasa 1 Friendly Comparative Religion di IIS (Islamic Information & Services Foundation) beberapa tahun dahulu.

Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata ketika memegang dan membelek-belek Bible New International Version. Dibesarkan dengan persepsi bahawa Bible adalah kitab penganut Kristian yang tidak boleh disentuh dan dibaca kerana mampu menggugat akidah Islam semestinya membuatkan jiwa ini sedikit gementar. Walau bagaimanapun, atas keberanian adanya tenaga pengajar yang mampu membimbing para peserta dalam kursus terbabit menyebabkan diri ini sedikit berani membelek satu persatu isi kandungan bible yang disertakan bantuan “Words of Christ in Red Letters”. Semestinya niat dan kemampuan itu memainkan peranan yang penting dalam merujuk kitab suci agama lain, bukan atas tujuan mencari petunjuk apatah lagi beriman dengannya kerana cukuplah al-Quran sebagai satu kitab suci yang komprehensif lagi besar manfaatnya (tanpa keraguan sedikitpun), niat ketika itu hanya satu; atas tujuan dakwah.

Uslub atau metod dakwah itu ternyata tidak dispesifikkan kepada hanya satu usaha sahaja. Justeru tiada gunanya jika sekadar sengaja mencari kesalahan metod dakwah sesetengah golongan tanpa melihat dan mencermin usaha dakwah diri sendiri terlebih dahulu. Selagimana ianya tidak melanggar batasan dan parameter yang ditetapkan oleh syarak, maka usaha itu perlu diberi sokongan dan dorongan.

“Cipta ruang, Manfaatkan peluang.”

Wallahu’allam.
Ibn Yusof
11 Ogos 2009 / 20 Sya’ban 1430
9.06 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

* Artikel pertama yang saya hasilkan dalam blog ini yang membincangkan tentang comparative religion ini ditujukan khas kepada semua sahabat-sahabat alumni Friendly Comparative Religion (FCR) di bawah tunjuk ajar Bro. Shah Kirit yang telah berkerja keras selama ini dalam perjuangan dakwah mereka.Semoga usaha dakwah ini diberkati oleh Allah Azza Wa Jalla.

1 comment:

Unknown said...

Salam.teguran di bawah skop
2.Mempelajari dan merujuk kepada kitab suci agama lain: Satu penilaian

anda tersalah meletakkn ayat Al-Quran,spatutnya surah Al-Nahl,,ttapi anda letak surah Al-Imran..