Saturday, September 6, 2008

Ramadhan Pertama Si Kecil Irfan


“Yeye!... esok pose! Yeye..esok pose!” laung si kecil Irfan.

Aku sedang mengadap komputer tika mendengar kegembiraan Irfan mendengar berita tersebut. Malam itu sememangnya aku menjangkakan pengumuman tarikh puasa jatuh sepertimana yang tertera di dalam kalender.

“Ha..esok pose, malam ni ada solat terawih. Irfan ikut abang pegi solat ok?” kata Ummi kepada Irfan. Dia hanya mengangguk tanda setuju, si kecil Irfan yang berumur 4 tahun itu baru mengenal istilah puasa. Barangkali solat tarawih juga tidak difahaminya.

“Abang, cepatla….!” jerit Irfan di pintu pagar. Bersemangat sungguh dia, lengkap berpakaian baju melayu cekak musang berwarna hijau cair. Dia hanya tahu malam ini solat di masjid seperti mana yang Ummi sarankan. Solat apa? Dia hanya ‘pak turut’ yang setia mengikut. “Ye..kejap..kejap. Abang tengah bersiap la ni.” sahutku membalas panggilannya. Jam menunjukkan pukul 8 malam, pada hematku masih awal lagi.

Tibanya di masjid, kelihatan lautan manusia mendatangi masjid, seperti solat ‘Eid di malam hari pula. “Abang, ramainya orang! Semua nak solat ke? Solat apa?” petah betul si Irfan, pantang melihat sesuatu yang pelik, pasti ianya terpacul keluar dari lisannya.

“Orang ramai-ramai ni nak solat isya’, lepas solat SUNAT TARAWIH namanya.” Balasku menjawab persoalannya. Alangkah baiknya jika aku dapat menjawab bahawa orang ramai yang berbondong-bondong ini bergerak menuju masjid menunaikan solat fardhu Subuh.

“Kalau solat Tawarih, dapat apa?” dia berkerut kehairanan. Mungkin terfikir kenapa perlu solat lebih dari yang sepatutnya, yakni sepanjang pengetahuannya hanya solat fardhu yang menjadi kewajiban. “Lagi banyak solat, lagi banyakla dapat pahala, lagi banyak kita kumpul pahala, baru dapat masuk syurga. Faham?” jawabku ringkas sekadar melayan kerenahnya yang suka menyoal. Aku merasakan tidak perlu menceritakan fadhilat-fadhilat setiap malam seandainya solat tarawih sepertimana hadith palsu yang rancak tersebar. Irfan juga akan pening jika diberitahu dia mendapat 70 ribu pahala malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur di sekian-sekian malam Ramadhan.[1]

Irfan seperti tidak dapat duduk diam dalam dukunganku. Aku turunkannya dan berlari-lari anak dia ke pintu utama masjid. Dibuka seliparnya dan terus dia lari ke dalam masjid bersama kanak-kanak yang lain. Aku hanya tersenyum kecil melihat gelagat Irfan, barangkali begitu juga gelagatku ketika masih dalam usia kanak-kanak sepertinya.

Aku memasuki masjid, malam pertama Ramadhan memang penuh masjid. Siapa yang tidak menjangkakan keadaan sedemikian rupa? Cuma di pertengahan dan akhir Ramadhan, jumlah penghuni masjid dijangkakan berkurang,barangkali hanya tinggal imam, bilal dan tok siak sahaja sebagai makmum. Inilah modal ucapan sesetengah golongan agamawan untuk mengkritik masyarakat yang tidak istiqamah. Masakan tidak? Pelbagai lapisan masyarakat yang majoritinya tidak bersedia menghadapi malam-malam Ramadhan dipaksa istiqamah 23 rakaat sekaligus, sudah tentu ada yang kecundang di pertengahan medan istiqamah. Tetapi masjid tidak pula dikritik untuk lebih ‘mesra pelanggan’.

Disebabkan lewat, aku hanya mampu berada di saf belakang, aku melihat Irfan berlari-lari di sekitar saf kanak-kanak. Tanganku melambai-lambai memanggil Irfan, terkedek-kedek dia datang ke arahku. Aku mencapai tangannya dan pimpin Irfan bersamaku. Solat di bahagian sebelah kanan musholla lebih mudah untuk menyelinap ke saf-saf hadapan. Alhamdulillah dalam lautan manusia itu aku berpeluang solat di barisan ke lima berhampiran tiang. Elok sahaja tamat menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid, azan isya’ pun berkumandang.

Si kecil Irfan yang berada di sebelahku bersandar pada dinding, sengaja aku menempatkannya di sisiku supaya dia boleh bersandar pada dinding jika kepenatan.

Usai solat isya’ Irfan menoleh ke arahku. “Abang, bila nak balik?” solat tarawih belum lagi bermula, dia sudahpun berkeinginan untuk pulang, bosan barangkali. “Eh.. kan baru sampai, tunggu la. Lepas habis solat kita balik la.ok? Nak masuk syurga tak?” soalku lembut. Irfan mengangguk-angguk, terbeliak biji matanya yang bulat itu menunjukkan kesungguhannya. “Ha.. kalau nak, kenala kumpul pahala banyak-banyak.ok?” Irfan tersenyum mendengar penjelasanku.

Waktu untuk solat sunat Rawatib selepas isya’ aku manfaatkan untuk menuju ke saf hadapan. Tatkala itu ramai yang keluar, mungkin ada yang ingin mengambil nafas di luar jauh dari lautan manusia itu, ada juga yang ingin memperbaharui wudhu’. Alhamdulillah berjaya juga aku sampai ke saf ketiga selepas mengharungi lautan manusia, cuma ianya tidak lagi bersebelahan dengan dinding. Tatkala aku ingin menunaikan solat sunat Rawatib, Irfan berada di sebelahku. Seorang pak cik tua berjubah dan berserban mencuit-cuit bahu kanan Irfan. “Belakang…belakang!” kata pak cik itu. Aku mengalihkan si kecil Irfan ke sebelah kiriku, seorang abang di sebelahku tersenyum. Pak cik tua itu berkerut tanda tidak kepuasan hatinya, aku melihatnya sambil tersenyum. Dalam hatiku, aku beristighfar atas perbuatanku yang mungkin menyinggung perasaannya. Andai sekiranya pak cik tua itu mengetahui bahawa Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam menempatkan Anas Bin Malik bersama anak yatim di belakang baginda Sallahu’alaihi Wa Sallam[2], atau Ibn Abbas yang memasuki saf bersama para sahabat ketika masih dalam usia kecil tanpa dibantah oleh sesiapa[3] , mungkin boleh wujud sikap toleransi dalam isu ini.

Irfan seperti ketakutan, barangkali selepas ditegur supaya ke bahagian belakang, keinginannya untuk pulang semakin membuak-buak. “Abang, kalau solat tawarih kat rumah boleh?” bisik Irfan kepadaku. “Solat tarawih la…bukan solat tawarih.” Nak tergelak aku dibuatnya, aku membetulkan perkataannya kerana dikhuatiri dia terbiasa dengan cara sebutan itu. “Oo…ok..ok.Terawih eh.” Dia tersenyum dengan kesilapannya itu.

“Ummi buat kat rumah boleh je?Kenapa kita kene datang masjid?” Irfan membetulkan songkoknya yang hampir terjatuh. Kemudian dia melihatku, penuh penasaran akan hal yang disoal.

“Ummi kene jaga nenek, kan nenek sakit.” Kata aku sambil memikirkan jika ada dalil-dalil yang menyatakan wajib solat tarawih ditunaikan di surau atau masjid. Hal ini kerana Nabi Sallahu’alaihu ‘Alaihi Wa Sallam sendiri tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan[4]. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian. Malah, aku juga pernah terbaca fatwa berkenaan hukum wanita pergi menyertai solat tarawih di masjid yang menyatakan wanita boleh keluar menunaikan solat tarawih secara berjamaah jika mereka selamat daripada fitnah, menutup aurat dan tidak memakai perhiasan serta wangian

Lagipun seseorang yang hendak mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat, iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan. Aku mengangguk sendirian memikirkan priorit yang Ummi lalui.

“Kat rumah pun Ummi boleh la solat terawih ye bang? Ummi mesti nak pahala jugak kan?” soal Irfan serius. Dia mahu Ummi juga dapat pahala, mengejar syurga. “Boleh je, Ummi boleh solat sorang-sorang kat rumah. Itu sebaik-baik masjid bagi Ummi.[5]” Jelas aku ringkas.

“Rumah jadi masjid?” terpinga-pinga aku melihat Irfan cuba memahami pernyataanku. Ah! Jawapan aku terlalu mendalam. Kesian Irfan tak faham. Aku tersenyum lebar.

Kelihatan seorang bertubuh besar keluar dari pejabat masjid di sebelah mimbar, lengkap berjubah putih dan shimagh[6]. Ramadhan kali ini masjid ‘mengimport’ seorang Syiekh dari Arab Saudi untuk mengimami solat Tarawih. Kata orang, bacaan orang arab lebih feeling, betul ke?

“InysaAllah jemaah yang dirahmati Allah sekalian, imam yang akan mengimamkan kita untuk solat Tarawih pada bulan Ramadhan yang mulia ini ialah Syeikh Umar Al-Mokhtar, seorang pensyarah di sebuah unversiti di Arab Saudi.” Teringat aku pengumuman yang dibuat ketika memasuki masjid tadi. Entah kenapa semakin bersemangat pula aku untuk menunaikan solat Tarawih ini. Harap-harap bacaan imam ini sedap dan boleh mendatangkan kekhusyukan dan pemahaman agar dapat lebih menghayati kalam-kalam Allah Subahanallhu Ta’ala.

“Allahuakhbar..” Imam terus bertakbir tanda solat tarawih dimulakan.

Bilal kelihatan terkedu, makmum seolah-olah menunggu, imam pula sudah takbir terlebih dahulu. Mana selawat pembukanya? Aku sempat melihat reaksi makmum di sekeliling dengan sekali imbas, dan terus bertakbir mengikuti imam. Irfan melihatku dan turut takbir bersama. Tiada selawat di perantaraan solat Tarawih? Barangkali ada makmum yang ikut sahaja, ada juga yang masih terpinga-pinga, dan ada pula yang anggap tidak sah solat tarawihnya.

“Irfan jom balik,” kata aku ringkas. Bersinar-sinar mata Irfan kegembiraan. “Jom-jom,” Irfan tersenyum. Selesai lapan rakaat aku menoleh dan melihat kebanyakan makmum bergerak, mahu beransur pulang. Tatkala aku dan Irfan berganjak ke belakang untuk beransur pulang. Pak cik di sebelahku sempat menegurku, “Anak, lain kali kalau solat 8 rakaat je solat saf belakang, bagi peluang yang solat 20 rakaat solat kat depan.” Aku tersentak dengan teguran beliau. Aku hanya mampu tersenyum dan berlalu pergi.

Sedih, marah dan kecewa. Perasaan aku bercampur baur, “Jika dan hanya jika… pak cik tu tahu bahawa merebutkan saf pertama adalah perkara sunnah tanpa mengira bilangan rakaat yang kita buat[7]. Tentu dia tak kata camtu. Cis, tak tahu ke ada hadith kalau kene undi untuk saf depan pun[8], aku sanggup la!” bentak hati kecilku.

Aku memegang erat tangan Irfan, dalam menempuh orang ramai yang beransur pulang itu, aku khuatir Irfan terlepas dari genggaman dan usaha mencarinya di sebalik orang ramai itu akan membuang masa. Irfan ketika itu tersenyum melihatku. Sejuk hatiku melihat kegembiraannya. Kekecewaanku membuatkan aku lupa tidak semua orang mempunyai kefahaman yang sama, semestinya ianya berbeza-beza. Ingin sahaja aku berdialog dengan pak cik itu, agar mungkin dapat aku mengetahui hujahnya yang beranggapan mereka yang solat lapan rakaat hanya layak berada di saf belakang.

“Erm..Imam Arab tu takde baca selawat eh selang-selang solat tadi?”satu suara meyapaku dari sebelah kanan. Segera aku menoleh, abang yang solat di sebelah Irfan tadi memandang tepat ke arahku. “Abang ni cakap dengan aku ke?” soal hatiku.

“Boleh ke hah?” dia menyambung soalannya sambil memandang tepat ke arahku. Sah! Dia meluahkan persoalan di dalam benaknya kepadaku. “Oh!..tadi tu ke? Tak buat pun takpe. Selawat-selawat antara solat tarawih ni tak buat pun kat Makkah dengan Madinah, boleh je. Hehe..” aku tersenyum memikirkan hujah aku yang entah apa-apa.

“A’ah..tengak kat televisyen diorang solat kat Makkah pun camtu jugak.” ujar abang tersebut. Abang itu kemudiannya melencong ke pintu sebelah kanan masjid setelah bersalaman denganku dan mencuit pipi Irfan yang comel itu.

Selawat di antara solat tarawih? Mungkin inilah hikmah mengapa kita tidak boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian daripada kaifiat solat Tarawih yang disyari‘atkan. Padaku ini antara penyebab utama kenapa ramai orang tidak mengerjakan solat tarawih, alasan mereka kebanyakannya adalah kerana tidak mengetahui bacaan selawat tersebut. Sedangkan tiada satu dalil jelas pun tentang perbuatan berselawat secara jamaah sedemikian di antara solat tarawih dilakukan ketikan zaman Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam, para sahabat, tabi’in, dan tabi’ tabi’in. Barangkali ianya atas sebab suasana umat Islam masa kini yang dilanda kemalasan untuk berzikir. Cuma persoalan yang timbul ialah bukan sahaja kerana selawat-selawat itu ditujukan kepada mereka, tetapi mengapa jika ianya satu ibadah yang baik, Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam dan para sahabat yang lebih mengetahui dan menentukan apa yang baik atau buruk di sisi Allah Subahanallahu Ta’ala tidak mempelopori ibadah ini? Wallahu’allam.

Aku juga pelik bila nama para khulafa ar-rasyidin ini menjadi sahutan para makmum tatkala selawat di antara solat tarawih, selawat “Radhiallhu’anhu” sehinggakan “Karamallahu Wajhah” menjadi sahutan para jamaah. Tetapi tatkala nama Muhammad Sallahu’alaihi Wa Sallam disebut dalam bulan-bulan biasa, ceramah, dan hatta pertuturan harian, selawat dan salam ke atas baginda sayup-sayup kedengaran nadanya. Lebih jelas kesombongan sesetengah orang apabila nama Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wa Sallam disebut, tiada selawat dan salam yang dihadiahkan kepada baginda.[9]

Tiba-tiba jubahku terasa ditarik dan digoyangkan. Irfan memegang jubahku dan berkata, “Abang, Irfan nak pose esok, boleh?” soalan Irfan membuatku sedikit terkejut. “Ha? Nak pose esok?” Irfan bersuara sebelum aku sempat menyoalnya perkara yang sama, cuma aku pernah terfikir galakan yang wajar aku berikan biarlah ianya tidak bersifat materislistik. Hal ini kerana Irfan membesar di dalam budaya ‘puasa sehari seringgit’. “Esok Irfan cuba-cuba dulu ok?” Aku tidak ingin memaksa dia menghabiskan ibadah itu dari terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari, melatihnya mengikut kemampuan adalah cara yang terbaik.

“Irfan pose sampai waktu rehat boleh?” Irfan tampak bersemangat. “Hehe…boleh.” Tersengih aku mendengar ‘permohonan’nya. Tatkala kanak-kanak lain dibenarkan meneguk air di dalam kelas sewaktu cikgu mengajar, perjuangan si kecil Irfan menunggu waktu rehat tanpa mengisi perut bagiku adalah satu kejayaan. Bak kata pepatah orang putih, “A journey of a thousand miles begins with one step”.

“Kalau kantin tutup esok macam mana?” sengaja aku menyoal Irfan. Aku jangkakan kemampuannya menahan lapar mungkin lebih dari sekadar sehingga waktu rehat.

Irfan diam, tandanya berfikir.“Takpela, Irfan buka pose gak.” Balas Irfan. “Eh..buka pose cene?” aku sangkakan jawapannya ialah dengan memanjangkan sedikit waktu dalam ‘permohonan’nya tadi.

“Irfan korek la hidung[10].” Kata Irfan penuh yakin. “Haahaha..”masakan aku dapat menahan gelak mendengar jawapan si kecil Irfan.

Ibn Yusof

6 September 2008 / 6 Ramadhan 1429

10.52 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


_____________________________________

[1] Setelah diteliti dalam kitab induk hadith seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadith lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadith palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadith ini. Ini menunjukkan bahawa hadith ini merupakan satu hadith yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadith dahulu yang menulis tentang hadith maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadith ini.

[2] "Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: "Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat."[Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, no. 822]

[3]Daripada Ibn Abbas katanya: "Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang bersembahyang dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya ,melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya.” [Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, no. 823]

[4] “Rasulullah saw solat bersama dgn para sahabat selama tiga malam berturut-turut dan pada malam keempat baginda tidak solat bersama. Baginda berkata: Aku takut sekiranya solat sunat itu menjadi kewajipan ke atas kamu atau kamu menganggapnya sebagai suatu amalan yg fardhu.” [Hadith Riwayat Al-Imam Bukhari no.872]

[5] Ummu Salamah r.a. berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:“Sebaik-baik masjid bagi wanita ialah di bilik rumah mereka.” [Hadith Riwayat Ahmad]

[6] Shimagh merupakan serban litup yang merupakan budaya bagi masyarakat arab.

[7] Seandainya orang-orang itu mengetahui apa yang terdapat pada seruan adzan dan shaff pertama kemudian mereka tidak mendapatkan jalan, kecuali harus melakukan undian, nescaya mereka akan melakukannya.” [Hadith Riwayat Imam al-Bukhari ,no. 721 dan Imam Muslim, no. 437]

[8] “Seandainya kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat di shaff terdepan, niscaya akan dilakukan undian.” [Hadith Riwayat Al-Imam Muslim, no.439]

[9] Dari Abu Hurairah ra. berkata : "Sesungguhnya Nabi telah naik ke mimbar dan berkata : Amin, Amin, Amin. Seorang bertanya kepada dia : Ya Rasulullah, Apa yang engkau lakukan ini? Baginda menjawab : Telah berkata Jibril kepadaku : Hambanya yang sombong, sempat bersama ibu-bapanya atau salah seorang darinya, tidak akan masuk syurga (kerana kesombongan terhadap mereka), Aku berkata : Amin, kemudian berkata malaikat: hambanya yang sombong apabila masuk Ramadhan tidak akan diampun dosanya (oleh Allah), Maka Aku berkata : Amin. Kemudian malaikat berkata : Seseorang yang sombong dimana nama engkau (Nabi ) disebut kepadanya akan tetapi dia tidak berselawat kepada engkau, maka aku berkata : Amin." [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari]

[10] Fatwa Syeikh Attiyah Saqar: Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan.” [Rujuk www.islamonline.net ]


4 comments:

Iliana said...

salam...jika dilihat, byk cara yg berbeza dlm menunaikn solat dan mengambil wudu'...kne la yakin pd ilmu msg2, jgn mudah terpengaruh...lg2 ketika menunaikan Hj. mcm2 ragam akn d jumpai...

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

aslm wbt

Dan ilmu yang kita ada itu perlulah dinilai apakah ia ada dr sumbernya al-quran n as-sunnah.

Apabila melihat kepelbagaian cara di Mekah, maka sepatutnya ketika itu kita memuhasabah dri kita, apakah amalan ibadah kita ikut sunnah Rasulullah saw.

Ain Mardhiah said...

salam ziarah...

tertarik baca cerpen nih sebabnya cerpen ni dah tersiar dalam ruangan al-marjan ( risalah ramadhan persatuan pelajar malaysia irbid jordan).. rupanya, ini cerpen karya saudara ibn yusof rupanya.. sebelum ni tertanya-tanya juga. ingatkan siapa la... keep up the good work.. ^_^
eid mubarak.. kullu 'am wa antum bikheir...

Kay J said...

comelnya irfan.