Monday, September 1, 2008

Ramadhan: Siapa Contoh Tauladan?


Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Azza Wa Jalla yang memberi kita peluang bertemu dengan bulan penuh keberkatan, bulan Ramdhan Al-Mubarak. Bagi yang berkesempatan merasai kenikmatan bulan Ramadhan ini, jadikanlah 4 minggu ini penuh keberkatan, 30 hari yang penuh keredhaan, 720 jam penuh kesyukuran dan 2,592,000 saat diselimuti keimanan. Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadhilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan.


Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]


Kita berpuasa bukan kerana ingin merasa kesusahan orang yang kebuluran, bukan pula untuk menguruskan badan, apatah lagi untuk menyumbang ke arah pembaziran. Ibadah puasa ini adalah satu bentuk ketaqwaan. Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Dalam mengharungi bulan keberkatan ini, penulis ingin mengajak para pembaca mendalami ibadah puasa ini dengan ilmu. Rukun Islam ini merupakan tanda ketaqwaan seorang hamba kepada PenciptaNya. Maka ada baiknya jika ketaqwaan yang hadir itu dipandu dengan ilmu dan dikuti dengan amalan. Ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga di siang hari, tetapi ia suatu medan pertempuran nafsu dan keimanan seorang mukmin dalam menzahirkan kesyukuran pada Ilahi.


"Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum". [Lihat Shahih Attarghib no. 1076, 1077]


Kemanisan iman itu hanya dapat dirasai jika pertempuran yang berlaku dilaksanakan sepertimana strategi yang diajarkan pemimpin terbaik yakni baginda Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam yang wajar kita jadikan contoh tauladan.


Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.[Hadith Riwayat Imam Muslim no: 760]


Topik yang dibincangkan di dalam artikel ini adalah ringkasan daripada dalil-dalil yang dikemukan di dalam kitab Sifat Shaum Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam karangan Syeikh Salim 'Eid Al-Hilali dan Syeikh Ali Hasan Al-Halabi Al-Athari. Ianya mengcakupi dalil-dalil sekitar persoalan puasa sahaja. Semoga dalil-dalil yang dikemukan dapat mendekatkan lagi kita kepada sunnah baginda Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam. Berkata Imam As-Syafie rahimahullah:


Ilmu itu adalah apa yang ada padanya " telah memberitahu kepada kami", dan apa yang selain dari itu hanyalah was-was dari syaitan-syaitan". [Lihat Al-bidayah Wa annihayah, oleh Ibnu Kathir jld. 10 hlm.254]


Yang dimaksudkan oleh Imam As-Syafie rahimahullah adalah , setiap ilmu perlu kepada sandaran serta dalil. Sesiapa yang mengakui ada ilmu tetapi tidak mempunyai dalil, maka itu hanyalah was-was syaitan. Jadi, sandaran yang terbaik adalah Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam. Di bawah ini penulis sertakan beberapa perkara beserta dalil yang wajar seorang Muslim itu ketahui dalam mencontohi ibadah puasa Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam.


· Niat Puasa

"Barang siapa yang tidak menanamkan niat untuk berpuasa pada malam hari, maka tiadalah puasa baginya" [Hadith Riwayat Imam An-Nasa'i no. 2334]


"Barang siapa yang tidak menanamkan niat untuk berpuasa sebelum fajar, maka tiadalah puasa baginya " [Hadith Riwayat Imam An-Nasa'i no. 2331]


· Bersuhur[1]

Dari 'Amru bin Al-'As, sesungguhnya Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:-

"Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur ". [Hadith Riwayat Imam Muslim no.1096]


· Kelebihan Bersuhur

"Bersuhurlah, sesungguhnya, pada makanan sahur itu ada keberkatan". [Hadith Riwayat Imam 1923, Imam Muslim no. 1095]


"Makanan suhur itu berkat, maka jangan sekali-kali kamu meninggalkannya, walaupun kamu meneguk seteguk air, sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mendoakan mereka-mereka yang bersuhur". [Hadith Riwayat Imam Ahmad 3/12 & 44, Ibnu Hibban no. 3476]


· Melewatkan bersuhur

Dari Anas, beliau meriwayatkan dari Zaid bin Thabit, telah berkata:

"Kami telah bersuhur bersama dengan Nabi r, kemudian bangun untuk bersolat. Aku telah berkata (Anas) : Berapa lama tempoh antara azan dan bersuhur ? Dia (Zaid) menjawab : Dengan kadar 50 ayat (bacaan Al-Quran) " [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari no.1821, Imam Muslim no. 1097]


Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:

"Apabila salah seorang dari kamu telah mendengar azan, sedangkan minuman masih ditangannya, maka janganlah dia meletakkan minuman tadi sebelum dia menunaikan hajatnya". [Shahih Sunan Abi Daud no. 2060]


· Berbuka Puasa

Dari Amru bin Maimun Al-Audi, telah berkata :

"Sesungguhnya sahabat Muhammad adalah orang yang paling cepat berbuka dan paling lambat bersuhur". [Hadith Riwayat Imam Abdurrazzaq no. 7591]


· Sebab perlu segera berbuka

i) Menghasilkan kebaikan

"Manusia tidak akan sunyi dari kebaikan selama mana menyegerakan berbuka puasa" [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari no. 1856, Imam Muslim no. 1093]

ii) Sunnah Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam

"Umatku akan sentiasa dalam sunnahku selama mana mereka tidak menunggu bintang untuk berbuka puasa". [Hadith Riwayat Imam Ibnu Hibban no. 891]

iii) Mengelakkan dari menyerupai amalan yahudi dan nasrani

Dari Abu Hurairah, Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam bersabda :

“ Agama ini akan sentiasa menang selama mana manusia menyegerakan

berbuka, kerana yahudi dan nasrani mengakhirkannya ". [Hadith Riwayat Imam Abu Daud no. 2353]


· Berbuka sebelum solat maghrib

Dari Anas bin Malik

"Sesungguhnya Nabi r berbuka sebelum solat". [Hadith Riwayat Imam Abu Daud Abu Daud no. 2356]


· Makanan berbuka

Dari Anas bin Malik:

"Sesungguhnya Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam berbuka puasa dengan beberapa kurma basah (ruthob) sebelum solat (maghrib), sekiranya tidak ada kurma basah (ruthob) Baginda berbuka dengan beberapa tamar (kurma kering), jika tidak ada tamar (kurma kering), Baginda meneguk seteguk air ". [Hadith Riwayat Imam Abu Daud no. 2356]


· Doa berbuka puasa[2]

"Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala insyaAllah " [Hadith Riwayat Imam Abu Daud no. 2357]


· Kelebihan berdoa waktu berbuka

"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa di saat berbuka,imam yang adil, dan orang yang dizalimi". [Hadith Riwayat Imam At-Tirmidzi no. 2526]


· Dianjurkan memberi makan untuk orang berbuka puasa

"Barang sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, baginya pahala orang berpuasa tanpa dikurang sedikitpun dari pahalanya" [Hadith Riwayat Imam At-Tirmidzi no. 804,Imam Ibnu Majah no. 1746]


· Doa orang yang diberi makan kepada pemberi makan[3]

"Ya Allah ya Tuhan kami, berilah makan kepada orang yang memberi makan kepadakami, dan berilah minum kepada orang yang memberi minum kepada kami".[ Hadith Riwayat Imam Muslim no. 2055]


Perkara yang tidak membatalkan puasa tetapi mengurangkan pahala puasa


· Kata-kata dusta

Dari Abu Hurairah, telah berkata, Rasulullah Sallahu’alaihi Wa telah bersabda:

"Barang sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta, dan tetap mengamalkannya, maka Allah sekali-kali tidak berhajat (atas amalannya, meskipun) dia meninggalkan makanannya serta minumannya". [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari : 1804]


· Perbuatan yang sia-sia dan keji

Dari Abu Hurairah, telah berkata, Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam telah bersabda:

"Puasa itu tidaklah menahan makan dan minum semata-mata, tetapi puasa juga adalah menahan dari perbuatan sia-sia dan keji. Jika ada orang mencela kamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, aku berpuasa ". [Hadith Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah no. 1996]


Perkara yang boleh dilakukan ketika puasa


· Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub

Dari 'Aisyah dan Ummu Salamah:-

"Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam berjunub kerana jima' dengan isterinya, kemudian Baginda mandi dan berpuasa ". [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari : 1825, Imam Muslim : 1109]


· Bersiwak

"Sekiranya tidak memberatkan ummatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat". [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari no. 887 Imam Muslim no. 252]


· Berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung tanpa berlebih-lebihan

"..berlebih-lebihanlah dalam memasukkan air ke dalam hidung kecuali ketika kamu berpuasa". [Hadith Riwayat Imam Abu Daud no. 2366, At-Tirmidzi no. 788, Annasai' no. 87]


· Bermesra dan mencium isteri

Dari 'Aisyah, telah berkata :

" Sesungguhnya Rasulullah r pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan berpuasa, akan tetapi Baginda adalah orang paling mampu

menahan diri " [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari no. 1927, Imam Muslim no. 1106]


· Mengeluarkan darah atau suntikan yang tidak mengandungi makanan

Hal ini tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama' al-mu'ashirin, seperti yang telah ditetapkan oleh Majma' Fiqhul Islami. [Lihat Majallah Majma' : jld. 2 hlm.464]


· Berbekam

"Sesungguhnya Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam telah berbekam dalam keadaan berpuasa ". [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari no.1939]


· Merasa makanan

Dari Ibnu Abbas, beliau telah berkata:

"Tidak mengapa merasai cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke kerongkong dalam keadaan berpuasa". [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan lihat Fathul Bari jld. 3 hlm.154]


· Memakai celak, menitiskan air atau ubat yang masuk ke dalam mata

Telah berkata Imam Al-Bukhari :"Anas bin Malik, Hasan Al-Basri dan Ibrahim Annakhai' memandang tidak mengapa bercelak bagi orang yang berpuasa" [Lihat Fathul Bari jld.4 hlm.153]


· Mencucurkan air ke atas kepala serta mandi

"Aku telah melihat Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan" [Hadith Riwayat Imam Abu Daud no. 2365][4]


“Ibnu umar telah membasahi bajunya (kerana kehausan) kemudian beliau memakainya

dalam keadaan berpuasa ". [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari, lihat Fathul Bari jld. 3 hlm. 154]


· Berendam dalam takungan air, bath tub, kolam

Anas bin Malik berkata:

Sesungguhnya aku memiliki penampungan air yang aku masuk ke dalamnya dan aku sedang berpuasa.[ Lihat Fathul Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, hlm. 167][5]


Semoga ringkasan ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca dari semua lapisan masyarakat insyaAllah. Penulis sengaja tidak menyertakan perbahasan para ulama’ dalam sesetengah topik dan terus mengambil kesimpulan ringkas untuk pemahaman umum para pembaca. Beberapa perkara penting akan dijelaskan dalam artikel-artikel seterusnya insyaAllah. Hanya yang mana dirasakan perlu disertakan nota kaki sebagai penjelasan awal. Artikel-artikel seterusnya akan ditumpukan kepada perbahasan-perbahasan yang lebih mendalam insyaAllah.


Wallahu’allam.


Ibn Yusof

2 September 2008/ 2 Ramadhan 1429

9.58 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com



[1] Di sana ada perbezaan sebutan dan makna antara As-Suhur yang membawa makna; perbuatan dan waktu, manakala As-Sahur: membawa makna: makanan yang dimakan ketika bersuhur. Oleh kerana itu, penulis menggunakan lafaz: SUHUR, bagi perbuatan makan, dan SAHUR, bagi apa yang dimakan ketika bersuhur, kerana lebih tepat penggunaannya dari sudut bahasa arab. Sila lihat perkataan tersebut dalam Lisaanul 'Arab : jld.1 hlm.194. Wallahu'alam.


[2] Doa yang masyur “Allahumma lakasumtu wa ‘ala rizkika afdhortu” adalah hadith yang diriwayat oleh Imam Abu Daud no. 2358. Walaubagaimanapun hadith ini. mursal, kerana tabi'in (Mu'az bin Zuhrah) yang meriwayatkan dari Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam. Tidak dibenarkan menyandarkan doa ini sebagai perbuatan atau doa Nabi, tetapi seseorang yang ingin berdoa tanpa menyandarkannya kepada Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam, maka perkara itu dibolehkan. Tetapi alangkah baiknya, melafazkan doa kalimah yang sahih dilafazkan oleh manusia yang paling mulia iaitu Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam. [Lihat Nailul Authar Bi Takhrij Ahadisil Azkar].


[3] Untuk mengetahui selain dari doa di atas,lihat Hisnul Muslim (Perisai Muslim) oleh Syeikh Said bin Ali Al-Qahthani.


[4] Al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah berkata: "Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun" [Lihat Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld. 6, hlm. 395]


[5] Seakan-akan penampungan tersebut dipenuhi air, sehingga apabila udara panas, maka dia masuk ke dalamnya untuk mendinginkan badan. [Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, hlm. 172]


No comments: