Saturday, August 29, 2009

Ramadhan Mendidik Erti Jimat Dalam Belanjawan


Bazar Ramadhan: Antara rezeki dan pembaziran

Ramadhan ialah bulan mulia dalam takwim umat Islam seluruh dunia. Bulan ini dihayati oleh orang-orang beriman sebagai bulan penuh kemuliaan demi menggapai peluang yang disediakan Allah dengan mendekatkan diri kepada-Nya. Setiap kali bulan Ramadhan yang mulia ini mendatangi umat Islam, maka persedian mental dan fizikal diperlukan dalam mengharungi bulan penuh ujian ini. Hal ini adalah kerana puasa dianggapkan sebagai satu medan latihan yang memutuskan jiwa dari syahwatnya dan menghalangi dari apa yang biasa dilakukan.


Atas dasar itu berpuasa di bulan Ramadhan adalah antara ibadah yang sulit sehinggakan diimplementasi pada tahun kedua hijrah setelah hati kaum muslimin dan muslimat utuh dalam mentauhidkan diri dan mengagungkan syiar-syiar Islam, maka Allah membimbing umat Islam tatkala itu melakukan puasa dalam keadaan bertahap.


Diberitakan oleh Ibnu Abi Laila, dia berkata : "Sahabat Muhammad Sallallahu’alahi Wa Sallam telah menyampaikan kepada kami : 'Ketika turun kewajiban puasa Ramadhan terasa memberatkan mereka (para sahabat), maka barangsiapa yang tidak mampu diperbolehkan meninggalkan puasa dan memberi makan seorang miskin sebagai keringanan bagi mereka, kemudian hukum ini dihapuskan oleh ayat : "Berpuasa itu lebih baik bagi kalian" (surah al-Baqarah ayat 184), akhirnya mereka disuruh berpuasa" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari)


Sejak itu ibadah puasa menjadi salah satu kepada rukun Islam yang lima seperti sabda Nabi Muhammad Sallallahu’alahi Wa Sallam:


“Islam dibangun atas lima perkara : Syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah, menegakkan solat, menunaikan zakat dan menunaikan haji ke Baitul Haram(bagi yang berkemampuan) serta berpuasa di bulan Ramadhan" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)


Maka berpuasa pada bulan Ramadhan dan membayar zakat fitrah adalah dua komponen yang hanya boleh ditunaikan pada bulan Ramadhan. Justeru bulan Ramadhan memainkan peranan penting dalam penyempurnaan rukun Islam. Kedua ibadat khusus pada bulan Ramadhan ini dilihat mampu mendidik umat Islam dalam menharungi bulan-bulan seterusnya.


Zakat fitrah adalah wajib bagi semua kaum muslimin, baik anak kecil, orang dewasa, lelaki, perempuan, orang yang merdeka mahupun hamba yang masih dalam tanggungan seseorang individu. Zakat dilihat sebagai satu institusi penting dalam memartabatkan ekonomi umat Islam kerana ia mampu mengurangkan jurang perbezaan di antara mereka yang kaya dan fakir miskin. Pengorbanan dalam membelanjakan sejumlah wang yang kemudian diberikan kepada fakir miskin dan mereka yang berhak dalam memperolehi zakat dianggap sebagai satu penyucian baik dari sudut harta fizikal mahupun spiritual.


Pengorbanan ini tidak seharunya dipandang enteng kerana melalui zakat fitrah, mereka yang berharta seharusnya mendapat pengajaran bahawa harta yang diperoleh melalui rezeki dan keberkatan Allah itu tidak wajar dibelanjakan dengan boros kepada perkara-perkara yang tidak membawa sebarang manfaat kepada pemiliknya.Allah berfirman yang bermaksud:


Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. (Surah al-Isra, ayat 26-27)


Daripada zakat fitrah ini juga manusia diajar untuk berkasih sayang sesama insan terutamanya dengan fakir miskin. Sekiranya orang kaya memperlihatkan kebahagiaan dan kegembiraan dengan pelbagai jenis makanan dan pakaian, mereka daripada keluarga fakir miskin juga berpeluang untuk menikmati makanan dan membeli pakaian untuk meneruskan hidup mereka melalui saluran duit zakat yang diberikan. Jalinan ini tidak dapat dilihat melalui mata kasar tetapi adalah satu ikatan yang menguatkan hubungan sesama umat Islam. Rasulullah Sallallahu’alahi Wa Sallam bersabda:


“Tidak beriman salah seorang dari kalian hingga dia mencintai saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).


Adapun pemahaman sesetengah masyarakat bahawa para syaitan dirantai pada bulan puasa ini dianggap sebagai suatu peluang untuk umat Islam menambah amalan beribadah dan bermuamalah. Namun para ulamak hadis seperti al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah mengulas hadis yang membicarakan perihal syaitan dirantai tatkala Ramadhan berkata melalui petikan yang diambil daripada al-Halimi:


“Ia boleh ditakrifkan dengan maksud, para syaitan tidak boleh menggoda umat Islam sepertimana yang dilakukan pada masa lain kerana mereka sibuk dengan ibadat puasa, membaca al-Quran dan mengingati Allah” (Fathul Bari, jilid 4, m.s 114)


Ini sebagaimana dinyatakan bahawa hadis itu membawa maksud syaitan-syaitan dihalang daripada menggoda manusia kerana begitu ramai umat Islam yang mendekatkan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan (Majmu’ al-Fatawa, m.s 20). Oleh itu tidak hairanlah jika dilihat dari sudut lain masih wujud mereka yang berbelanja dengan boros dan melakukan maksiat hatta pada bulan Ramadhan yang mulia. Kadang kala ketika syaitan tidak menggoda, nafsu manusia pula yang bermaharaja lela.


Justeru, tindakan boros dalam berbelanja pada bulan Ramadhan seperti membeli juadah berbuka melebihi keperluan, membeli belah sehingga berhutang, menempah baju raya berhelai-helai, menukar perabot rumah kepada yang lebih mahal, membeli kuih muih sehingga berlaku pembaziran jelas jauh tersasar daripada pendidikan atau tarbiyah pada bulan Ramadhan. Hal ini adalah kerana Ramadhan mengajar manusia merendahkan dirinya selari dengan statusnya sebagai hamba Allah.


Allah berfirman mengingatkan hamba-hamba-Nya:


“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-‘Anaam, ayat 141)


Maka umat Islam sewajarnya mengambil iktibar dan pengajaran dari bulan Ramadhan yang mulia, kerana darinya terdapat kebaikan dan keberkatan dari Allah yang tidak ditawarkan dalam bulan-bulan Islam yang lain.


Wallahu'allam.


Ibn Yusof

29 Ogos 2009 / 8 Ramadhan 1430

11.37 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


No comments: