Tuesday, January 26, 2010

Solat Jumaat Berperanan Kepada Kekuatan Ekonomi Ummah



Hari Jumaat merupakan hari kebesaran dalam seminggu bagi umat Islam kerana pada hari jumaat semua muslimin diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. Hari Jumaat adalah hari yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam sebagai satu petunjuk yang menyeluruh. Nabi Muhammad SAW bersabda:

Kita adalah orang-orang yang terakhir dan kita jugalah orang-orang yang mendahului umat manusia pada Hari Kiamat. Setiap umat dikurniakan Kitab sebelum kita. Kemudian kita pula diberi kitab sesudah mereka. Oleh itu, inilah hari (Jumaat) yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Allah memberi petunjuk kepada kita pada hari tersebut. Umat-umat lain akan mengikuti kita pada hari itu, kaum Yahudi esok (Sabtu) dan kaum Nasrani lusa (Ahad) (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, no: 855)


Para ulamak fekah banyak menekankan aspek perkara-perkara sunat dalam menggapai keberkatan yang boleh diperolehi pada hari Jumaat seperti perkara-perkara sunat iaitu dengan datang awal ke masjid, solat sunat Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Qur‘an, beristighfar, berzikir dan berdoa, Hal ini tidak dinafikan kerana pada hari Jumaat itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda. Banyak keistimewaan yang boleh digapai pada hari jumaat.


Namun dari aspek yang lain, Allah membicarakan tentang solat Jumaat melalui firman-Nya bahawa hari jumaat pada zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini tidak lekang daripada aktiviti-aktiviti ekonomi seperti berniaga dan berjual-beli. Selain itu, elemen penting yang boleh difahami daripada firman Allah berkenaan solat Jumaat ialah tentang peri pentingnya umat Islam mengimbangi kehidupan duniawi dan aspek spiritual sejurus mendengar seruan mendirikan solat Jumaat.


Walaupun Islam mengiktiraf jual beli, perdagangan dan sebagainya sebagai aspek penting dalam kehidupan, Islam tetap meletakkan kekuatan spiritual dengan mengingati Allah melalui ibadah solat sebagai satu penyucian rohani yang penting dalam meneruskan kehidupan duniawi ini.


Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) [al-Jumu’ah 62:9]


Para ulamak fekah tidak menafikan keharusan dalam hal ehwal muamalat yang berlansung sebelum dan selepas solat Jumaat. Adapun ketika azan kedua solat jumaat telahpun berkumandang, sesiapa yang masih berjual beli maka transaksi itu disepakati dalam keempat-empat mazhab sebagai transaksi yang haram, yang bermaksud sebagai salah satu dosa besar (walaupun diperselisihi sama ada terbatalnya akad atau tidak).


Selain itu, Islam mengiktiraf masjid sebagai tempat beribadat, khususnya untuk solat berjemaah baik ianya solat fardhu yang dilakukan secara harian dan juga solat Jumaat pada setiap minggu. Walau bagaimanapun peranan masjid tidak terhenti setakat itu, ia juga berperanan dalam menganjurkan segala urusan kehidupan bermasyarakat termasuklah urusan penyusunan ekonomi masyarakat setempat. Maka institusi masjid adalah penghubung dan media interaktif penting dalam agama Islam. Perhubungan sesama Muslim itu dikuatkan dengan perjumpaan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu iaitu pada waktu solat Jumaat.


Solat Jumaat ini dianggap peluang keemasan yang sewajarnya digunakan oleh pihak masjid dalam menyampaikan informasi berguna. Di sinilah para khatib memainkan peranan mereka dalam menyampaikan khutbah yang menyentuh kesemua bidang yang melibatkan kehidupan bermasyarakat dan meningkatkan kesedaran kaum muslimin tentang keadaan semasa umat Islam. Selain itu, hubungan ukhwah yang terjalin sesama Muslim menjadi penghubung (network) yang berkesan kerana semua manusia baik tua dan muda, kaya dan miskin semuanya akan berada di masjid dengan satu tujuan yang sama dan hubungan yang terjalin mampu melahirkan keakraban apabila mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.


Firman Allah itu diteruskan dengan keizinan dan menunjukkan limpah kurniaNya di atas muka bumi ini dengan khabar gembira agar mereka yang selesai menunaikan solat Jumaat untuk bertebaran di atas muka bumi Allah ini dan mencari rezeki dengan apa jua cara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.


Allah berfirman yang bermaksud:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah… [al-Jumu’ah 62:10]


Justeru, tidaklah sewajarnya cuti umum pada hari jumaat di sesetengah negeri menjadi alas an dan penyumbang kepada penurunan produktiviti negeri atau negara secara keseluruhannya. Firman Allah tersebut mengajak umat Islam supaya lebih produktif dalam urusan masing-masing selepas mendapat pengisian rohani melalui perjumpaan sesama saudara Muslim yang lain, perjumpaan yang menunjukkan perpaduan seharunya memberi motivasi kepada umat Islam keseluruhannya atas kekuatan yang terjalin. Maka menjadi kerugian besar buat umat Islam jika perjumpaan yang merupakan rutin mingguan umat Islam ini tidak dapat dimanfaatkan dengan efektif sesuai dengan tuntutan firman Allah di dalam Surah al-Jumuah tersebut.


Wallahu’allam.

Ibn Yusof

21 January 2010 / 5 Safar 1431

12:18 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


No comments: