Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna. saya telah selamat sampai ke Malaysia tatkala menulis coretan ini. Ternyata keinginan untuk menyambung tulisan sebelum ini adalah tepat kerana sentiasa ada perkongsian yang saya rasakan bermanfaat untuk dikongsikan bersama para pembaca. Rehlah kali ini dirasakan berbeza kerana ia merupakan rehlah peribadi yang saya tempuhi sendiri berbanding pengembaraan lain-lain yang selalunya berteman. Rehlah kali ini pergi baliknya sendirian, Cuma sahaja sesi pembelajaran yang berteman, kelas pengajian kami di Jogjakarta yang diselenggara oleh teman-teman dari Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsari sangat flexible. Antara subjek-subjek yang kami pelajari di sini adalah, Nahwu (5.30 pagi - 7.00 pagi), Hadis (8.30 pagi - 9.30 pagi), Akidah (10.00 pagi - 11.00 pagi), Sorof (4.00 ptg - 6.00 ptg). Dan malamnya adalah waktu lapang yang selalunya kami gunakan untuk mengikuti kuliah-kuliah agama di masjid sekitar Universiti Gadjah Mada ini.
Daurah di Masjid Ma’had Jamilurrahman
al-Fadhil al-Ustaz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat
Pemahaman terhadap maksud tersirat daripada asal usul ilmu muamalah mampu menjernihkan beberapa salah faham yang berlaku ke atas muamalah Islam sekaligus menampakkan keindahan sistem yang ditetapkan. Antara yang disentuh oleh Ustadz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat sebagai salah satu dari pelbagai keindahan muamalah Islam ialah melalui sistem khiyar (pilihan).
Di dalam Islam, pembubaran kontrak melibatkan beberapa syarat yang dinamakan sebagai khiyar atau pilihan untuk meneruskan kontrak atau membatalkan kontrak. Kaedah pembubaran kontrak ini tidak termasuk dalam teori pembubaran yang asas, tetapi terikat dengan khiyar yang dinyatakan di dalam perjanjian. Baik ianya pilihan memulangkan barang yang rosak setelah penerimaan, pilihan membuat keputusan apabila melihat barangan, atau pilihan membuat keputusan dalam majlis kontrak.
Topik yang dibahaskan oleh al-Fadhil Ustadz Abdul Hakim bin Amir al-Abdat pada daurah kali ini menyerlahkan keilmuan beliau dalam pelbagai bidang (dalam konteks ini ialah hal ehwal muamalat), ada sahaja golongan agamawan yang dilihat ahli dalam satu bidang tetapi mengambil enteng bidang muamalat, maka tidak mustahil dilihat wujud golongan agamawan yang kencang berbicara soal tauhid dan sunnah, tetapi menyelimuti diri mereka dengan pinjaman bank berasaskan riba, sungguh memalukan!
Bergambar di hadapan Al-Madinah International University (MEDIU) Cawangan Jogja
Di sebalik tabir Ice Cream Walls di Yogyakarta
Selepas separuh hari berdaurah di Masjid Ma’had Jamilurrahman, rancangan seterusnya bertemu Pak Andy. Hari itu saya hanyalah pak turur yang mengikut jadual yang diaturkan oleh teman-teman daripada Yogyakarta. Pertemuan bersama Pak Andy di sebuah restoran memang merupakan jadual seterusnya pada hari itu. Keinginan bertemu bersama sosok tubuh yang bernama Pak Andy ini lebih menebal apabila Khairul telah bertemu dengannya sebelum ini dan apabila ditanya apakah rahsia kekayaan beliau (selaku distributor ice creame Walls di Yogyakarta dan Jawa), dia menjawab ini hanyalah titipan Allah kepadanya!
Pertemuan bersama Pak Andy dalam masa yang singkat itu sungguh menyenangkan. Sifat peramah yang ditunjukkannya membuatkan kami mampu mengenal beliau dengan lebih dekat. Antara persamaan yang saya ketahui ketika di meja makan ialah beliau juga berlatar belakangkan bidang ekonomi ketika di unviersiti dahulu. Dan antara perkara menarik yang dikongsikan beliau ialah beliau berhasrat dan mempunyai impian untuk menjadikan pasar Malioboro itu melaksanakan solat ketika sedang berjual beli. Kawasan yang menghubungkan antara Kraton Yogyakarta, Tugu dan puncak Gunung Merapi, jalan ini terbentuk menjadi suatu kawasan perdagangan setelah Sri Sultan Hamengku Buwono I mengembangkan sarana perdagangan melalui sebuah pasar tradisional semenjak tahun 1758. Tempat ini masih bertahan sebagai suatu kawasan perdagangan bahkan menjadi salah satu ikon Yogyakarta yang akhirnya dikenali atas nama Malioboro. Saya ketika itu teringat pengalaman kami tatkala azan zohor dilaungkan di kawasan tersebut, masjid di kawasan itu hanya dihadiri oleh beberapa kerat manusia sedangkan ribuan manusia sedang berjual beli di pasar tersebut. Untuk seseorang usahawan seperti Pak Andy mampu berfikir sedemikian, maka jelas sudut pandang beliau membezakan dirinya dengan cara fikir sesetengah para politikus di Indonesia khususnya.
Pejabat distributor Walls di Yogyakarta
Pak Andy kemudian membawa kami ke kantor (pejabat) beliau, beliau menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah Azza Wa Jalla. Terutama yang melibatkan keuntungan yang beliau perolehi dari tahun ke tahun, tanpa menisbahkan sedikitpun atas usaha atau kepandaian beliau mentadbir anak-anak buah beliau. Saya secara peribadi pernah mengenali beberapa pengusaha yang Berjaya seperti beliau (Pak Andy), tetapi cara beliau menerangkan rasa syukur terhadap pencapaian beliau sedia ada sungguh mengujakan, menyebabkan kami rasa takjub dengan kekuasaan Allah kerana masih ada usahawan seperti beliau, saya percaya di Malaysia juga ramai orang seperti ini, antaranya Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari yang terkenal dengan yayasan beliau.
"Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)." (Surah Ad-Dhuha:11)
Bukanlah pujian terhadap beliau ini hanya kerana beliau membelanja kami dengan sepotong ais cream walls, tetapi pujian ini perlu berasas apabila beliau antara penyumbang dana besar ke atas mendokong dakwah sunnah yang bergerak di Yogyakarta. Ternyata harta yang direzekikan oleh Allah Subhanallahu Ta’ala kepada beliau disalurkan kepada usaha-usaha dakwah di tengah-tengah pentas ajaran Islam yang kelihatan bobrok seperti yang difahami majoriti umat Islam di situ (melalui amalan-amalan syirik dan khurafat yang berleluasa di sana dan tidak dinafikan di Malaysia juga).
Antara pelajaran yang saya perolehi sepanjang perbualan bersama Pak Andy ialah berkenaan pengurusan pengusahaan yang perlu diterapkan sebagai seorang Muslim, perkongsian bagaimana beliau memilih untuk membentuk 150 orang para pekerja yang member komitmen yang bagus dalam menjalankan perusahaan beliau. Pengurusan seorang pengusaha Muslim semestinya berbeza dengan cara seorang bukan Muslim, cara pengurusan bukan sahaja berkenaan dengan target yang mesti dicapai, tetapi persediaan mencapai target yang dibuat juga merupakan perkara yang penting dan perlu dititik beratkan.
Wallahu’allam.
No comments:
Post a Comment