Thursday, January 7, 2010

Rehlah Tholibul 'Ilmi: Yogyakarta (Siri 1)



Cuti semester selama dua minggu yang bermula pada 25 December 2009 tidak ingin saya sia-siakan seperti semester sebelumnya. Sejak di pertengahan semester saya telahpun merancang untuk menghabiskan cuti semester ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Justeru ap abila mendapat jemputan daripada saudara Humaizi, Pegerusi Islamica Center di Universiti Teknologi Petronas untuk turut serta bersama beliau dan rakan-rakan UTP lain untuk ke Yogyakarta, dengan tujuan menuntut ilmu, maka saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju untuk mengikuti rombongan beliau.


Ini adalah kali ketiga saya menjejakkan kaki ke bumi Indonesia (selepas ke Jakarta dan Padang serta Bukit Tinggi) beberapa tahun lepas. Sewaktu itu saya ke Jakarta untuk melawat saudara mara di sana, manakala di Padang pula atas tujuan kerja-kerja kemanusiaan (humanitarian work) di Kampung Koto Panjang (selepas beberapa kejadian gempa pada Februari 2008). Pengembaraan kali ini lebih mengujakan, jika ada teman-teman sekuliah yang ingin menghabiskan masa cuti di kampung halaman, tetapi saya memilih untuk mengetepikan sebentar buku-buku fiqh muamalat dan mengfokuskan diri kepada cabang ilmu aqidah, hadis dan bahasa arab (nahu dan sorof).

Rehlah dengan tujuan menuntut ilmu adalah suatu yang dituntut oleh agama, terutama dalam mempelajari ilmu syar’ie. Siapakah yang tidak terkesan dengan kalam Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam yang menuturkan:

“Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, Dia akan menjadikannya faham tentang agamanya.”[Hadits Sahih Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (no. 71, 3116, 7312), dan Muslim (no. 1037)]

Imam an-Nawawi rahimahullaah memberi komentarnya terhadap hadis di atas dengan berkata, “Di dalam hadis ini terdapat keutamaan ilmu, mendalami agama, dan dorongan kepadanya. Sebabnya adalah kerana ilmu akan mengarahkannya kepada ketakwaan kepada Allah Ta’ala.” [Syarah Shahiih Muslim, VII/128]

Rombongan sahabat-sahabat dari UTP yang diketuai oleh saudara Humaizi telah bertolak terlebih dahulu pada 18 December 2009 manakala saya hanya bertolak pada 28 December 2009 kerana terpaksa menghabiskan minggu peperiksaan. Justeru saya adalah antara yang lewat tiba di tempat pengajian, saya tetap ingin menyusul kemudian walaupun hanya akan menghabiskan dua minggu di sana berbanding sahabat-sahabat lain yang menetap selama sebulan. Pada saya, tiada istilah terlambat dalam menuntut ilmu.


Sesampainya di Yogyakarta, persekitarannya lebih kurang suasana di Padang, cuma sahaja antara perkara yang menarik perhatian saya ialah betapa banyaknya kereta jenis Toyota dan Honda diguna pakai di jalan raya. Maka jelas harganya lebih murah berbanding harga di Malaysia yang lebih tinggi akibat tariff dan kuata yang dikenakan atas tujuan menjaga barangan domestic daripada tewas di pasaran terbuka. Bayangkan perasaan saya apabila melihat kereta jenis Honda Jazz, tergantung di plat keretanya ‘Saya Sedang Belajar Memandu’.!


Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsari

Sepanjang berada di Yogyakarta, kami menyewa di rumah penginapan yang disediakan oleh Yayasan Pendidikan Al-Atsari. Ustaz Abu Ali atau nama sebenar beliau Dr. Noor Akhmat Setiawan baru sahaja pulang ke Yogyakarta dari Malaysia, beliau baru sahaja menamatkan phD-nya di UTP. Pertemuan malam itu dengan beliau dirasakan sangat bermakna kerana sahabat-sahabat dari Malaysia (yakni kami) didedahkan dengan hakikat sebenar dakwah yang dilalui oleh mereka yang berada di daerah ini. Yayasan ini menurut Ustaz Abu Ali (antara pioneer awal yang terlibat dalam lapangan dakwah di daerah ini) menyatakan mereka hanya menggunakan nama Yayasan ini sebagai medium dakwah, dan rata-rata yang terlibat sama dalam menjayakan kegiatan dakwah di daerah Pogung Dalangan,Yogyakarta ini terdiri daripada mahasiswa dari Universitas Gadjah Mada.


Suatu malam ketika kami sambung rasa (bahasa Indonesia bagi bertukar-tukar pendapat) dengan ahli jawatankuasa YPIA juga sangat bermakna. Mereka dengan rela hati berkongsi strategi mereka sehingga membuatkan persoalan saya selama ini tentang bagaimana dakwah mereka kepada masyarakat boleh memberI kesan serta impak yang menakjubkan akhirnya terjawab. Mahasiswa mahasiswi dari Universitas Gadjah Mada yang dilengkapi dengan penerapan budaya ilmu dan penjagaan akhlak yang rapi melalui sistem bi’ah (persekitaran) di Wisma (hostel) secara tidak langsung memberi kesan positif kepada perkembangan budaya ilmu terutama dalam pemahaman sunnah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam terhadap masyarakat setempat.


Ya, mereka bergerak lebih kurang sama sahaja seperti jama’ah-jama’ah di kampus tetapi dengan tidak kurang dari 6 tahun, gerak kerja dakwah mereka mampu mempengaruhi masyarakat setempat, suatu kejayaan yang harus dipuji dan dicontohi. Hal ini adalah tidak lain tidak bukan kerana dakwah mereka berdiri dan berpaksikan kepada kepentingan menyampaikan pemahaman tauhid yang sahih dan juga bahasa arab selaku bahasa pengantar bagi memahami warisan ilmu para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


Kami sendiri merasakan terkesan dengan kelansungan dakwah di daerah ini, persekitarannya yang berpegang teguh dengan manhaj sunnah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam membuktikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala ternyata tidak hanya difahami secara literal:


"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung." [Ali Imran : 104]


Antara perkara yang saya ingat ketika perjumpaan bersama Ustaz Abu Ali, beliau menyatakan bahawa beliau tidak menuntut wang sepanjang sesi pengajaran beliau kerana para gurunya tidak menuntut wang darinya. Apa yang lebih menarik perhatian ialah para ustaz.


di sini yang mengajar kami dating dari pelbagai latar belakang pendidikan umum yang berbeza tetapi pada masa yang sama pakar dalam subjek-subjek agama,sebagai contoh Ustaz Abu Ali mendalami bidang engineering, Ustaz Ari Wahyudi yang berlatar belakangkan bidang biology mengajarkan kami kitab Ushul Tsalasah, dan juga Abu Hasan yang berlatar belakangkan bidang teknologi informasi (IT), Ustaz Muhammad Abduh pula dalam bidang teknik kimia dan juga ikhwan-ikhwan dari YPIA yang rata-ratanya berlatar belakangkan ilmu kimia,fizik dan engineering.


Perjalanan dakwah di daerah Pogung Dalangan

Dakwah Yayasan al-Atsari, bermula dengan hanya beberapa orang, menurut Ustaz Abu Ali semuanya mengifakkan harta sendiri dan sehinggalah yang terlibat ini bertambah sehinggakan terpaksa menggunakan organisasi sebagai satu medium bagi menghalalkan gerak kerja dakwah berdasarkan undang-undang Indonesia, adapun tanpa nama “yayasan pendidikan” maka dakwah masih perlu diteruskan.


Hakikat perjalanan dakwah di Malaysia dan Indonesia ternyata jelas berbeza, Indonesia dilihat terpaksa lebih struggle dalam dakwah mereka berbanding dakwwah di Malaysia yang berada dalam ruang lingkup yang selesa, manakala mereka ini terpaksa berdikari kerana medan pemikiran di sini terdiri daripada segala fahaman serta ideologi, menjadi mereka bersatu dan lebih berkerja keras berbanding Malaysia yang dilindungi justeru berada di comfort zone, ketika mengulas isu hakikat perlunya tauliah dalam berdakwah di Malaysia juga disentuh oleh Ustaz Abu Ali dan respon beliau ialah jika ianya diperketatkan adalah baik akan tetapi jika pada masa yang sama maksiat berleluasa maka ianya adalah tidak wajar. Perlulah para penguasa memahami bahawa ketika maksiat berleluasa perlu diberi peluang dana menyenangkan gerak kerja dakwah para pendakwah mendapatkan tauliah, bukan sebaliknya.


Kesan Dakwah Sunnah di Pentas Bobrok


Mantan presiden Indonesia Gus Dur, meninggal dunia pada 30 December 2009, tatkala itu saya sempat membaca beberapa keratan akhbar di sini yang mengkhabarkan berita tentang kematiannya. Mendapat jolokan Bapa Pluralisme dibuktikan dengan 'tahlilan' dari semua jenis bangsa dan agama sempena kematian beliau. Dan beberapa hari selepas ditanam, ada juga berita menceritakan bagaimana tanah kubur beliau diambil oleh para pelawat untuk tujuan barakah atau syafaat, suatu perbuatan yang jelas syirik besar yang membawa kepada kesesatan yang nyata.. Justeru di tengah-tengah pentaspemikiran di Indonesia yang terdiri daripada pelbagai fahaman dan ideologi ini, persekitaran di daerah Pogung Dalangan ini menjadi jawapan kepada kesan dakwahnya, ternyata persekitaran di sini dilihat mengamalkan sunnah secara serius. Sebagai pelajar Malaysia, saya dan rakan-rakan kerap membezakan beberapa perkara sunnah yang sukar dilihat dilakukan di Malaysia.


Masjid Pogung Raya dan Masjid Al-'Ashri merupakan antara dua masjid yang menjadi tempat harian kami semua solat berjemaah adalah jawapan dan gambaran bukti kepada kesan dakwah mereka, dari sekecil-kecil contoh seperti lurus dan rapatnya saf para jemaah, tidak berzikir secara jamai’e sehinggalah kepada segala macam sunnah yang selama ini hanya menjadi amalan ghuraba (asing) di Malaysia, tetapi dipraktikkan secara meluas di sini. Sehinggakan saya terfikir bahawa mustahil anda merasakan anda seakan gharib (asing/aneh) di sini. Yang paling jelas dalam menunjukkan contoh ghuraba ini ialah praktik pemahaman mereka terhadap larangan isbal bagi kaum muslimin! (Telah saya bahas panjang lebar permasalahan ini dalam artikel “Bebalkah Mereka Yang Tidak Isbal?”)


Selain itu, tatkala suatu malam apabila hujan turun dengan lebatnya sejak waktu zohor sehinggalah waktu maghrib, masjid tersebut melakukan solat jamak sesuai dengan pemahaman hadis Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam, ini antara perkara yang menyentuh perasaan saya, jika di Malaysia, barangkali masjid itu telah diberikan amaran atau ditukarkan jawatankuasa bertugas. Perbahasan jamak solat kerana hujan telahpun dibahaskan dengan kemas dan panjang lebar oleh Ustaz Muhammad Abduh (yang mengajar kami hadis di sini) di web beliau di rumasyo.com.


Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan, bahwa para pengikut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah para da’i dan para pemilik ilmu yang sempurna. Dan yang wajib sebagaimana diketahui, adalah mengikuti cara yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.


"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." [Al-Ahzab : 21]


Tiada perkataan yang dapat menggambarkan rasa syukur saya terhadap pengembaraan pada kali ini. Memetik kata-kata Syaikh Ali bin Hasan Al-Atsari, murid kepercayaan Syaikh al-Albani rahimahullah, dalam acara Ad-Daurah asy-Syariyah fi al-Masa'il al-'Aqadiyah wa al-Manhajiyah di Indonesia suatu ketika dahulu, beliau berkata:


“Saya memuji kepada Allah Tabaraka wa Ta'ala atas kesempatan baik yang telah mengumpulkan kami dengan ikhwah fillah (saudara-saudara di jalan Allah) ini, dan sebuah ziarah (kunjungan) telah mendekatkan hubungan antara kami dengan mereka, sekalipun kami dengan mereka dipisahkan oleh wilayah. Akan tetapi manhaj al-Kitab (al-Qur'an) dan Sunnah yang sesuai dengan pemahaman Salaful Ummah, adalah manhaj penghimpun ; menghimpun hati-hati dan akal-akal (manusia), sebelum menghimpunkan manusia.


Nabi Shallallahu alaihi wasallam bersabda.

"Siapa yang tidak berterima kasih kepada orang, berarti tidak bersyukur kepada Allah".


Jadi ini merupakan kesempatan yang didalamnya kami ingin menyampaikan rasa syukur (terima kasih) kepada saudara-saudara kami, para da'i yang mengajak (manusia) menuju al-Qur'an dan Sunnah, penyelenggara kegiatan mulia ini di negeri ini yang anda semua tahu betapa banyaknya tersebar bid'ah, bermaharajalelanya khurafat dan bermacam-macam serta beraneka ragamnya golongan/kelompok (ahzab).


Maka da'i ilallah (penyeru manusia untuk kembali menuju Allah) yang berdasarkan bashirah, berdasarkan cahaya ilmu dan berdasarkan sinar pengetahuan (ilmu syar'i) di tengah zaman dan negeri semacam ini, tampaknya ia termasuk orang-orang ghuraba' (tidak umum/aneh) itu. Orang-orang yang memegang bara (ibarat bagi orang yang berpegang pada sunnah pada zaman seperti sekarang), yang Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam telah menjanjikan orang-orang yang ikhlas di antara mereka sebagai orang-orang yang akan mendapatkan thuba (kebahagian). Sesuai dengan hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam:


“Kebahagianlah bagi Ghuraba' (orang-orang yang tidak umum karena berpegang pada sunnah)”

[Majalah As-Sunnah Edisi 03/Tahun V/1421H/2001M hal. 39-40]


Tidaklah coretan ini ingin saya sia-siakan dengan mencoret betapa murahnya buku dan kitab-kitab yang dapat dibeli disini,atau menu makanan yang pelbagai serta kawasan-kawasan saya menziarah sepanjang berada di sini. Keindahan beberapa contoh sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang dipraktikkan di sini mengajar saya perkara yang lebih berharga daripada semua itu,yakni erti kepentingan budaya ilmu, penghayatan dan pemahaman, serta kelansungan dakwah dan kesannya.


Catatan bersambung insyaAllah.


Wallahu’allam.


Ibn Yusof

7 December 2009 / 21 Muharram 1431

7.56 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com

2 comments:

Unknown said...

dari Aji abinya Fathan
barokallohu fiik, ana suka tulisan antum..

Ibn Yusof said...

Jazakallahu khyr.

Alhamdulillah jika tulisan tersebut memberi input berguna buat para pembaca.
Semoga bermanfaat insyaAlah.