Wednesday, December 31, 2008

Antara Falsafah, Sufi dan Tasawuf



Saya bukan ahli dalam bab falsafah, sufi mahupun tasawuf! Dan tidak pernah terfikir untuk menulis dalam bab ini. Baru sahaja berjinak-jinak dalam bab ini apabila Edry tertinggal buku The Basic of Western Philosophy karya Eugene Kelly yang berharga RM 102.90 di dalam bilik suatu ketika dahulu. Walaupun gemar membeli buku, saya merasakan duit sebanyak itu lebih utama disalurkan untuk membeli buku-buku ekonomi, hadis atau fiqh sesuai dengan pengkhususan buat masa ini. Hanya dengan membelek isi-isi buku tersebut, saya tahu bahawa agak sukar untuk saya menghadamkan isinya.

Malah, beliau sendiri mengakui bahawa sesetengah bab dalam buku itu mengambil masa hampir seminggu untuk menghadam isinya apatah lagi saya yang membaca tanpa minat dan sekadar mengisi lompong perasaan ingin tahu. Kami berdua kemudiannya mengikuti beberapa kelas Xifu Nasir di Islamic Information Service bertajuk Critical Thinking in Philosophy. Dan bab falsafah ini semakin menarik minat saya bila Xifu menyentuh rangkaian antara falsafah,sufi dan tasawuf sewaktu menghuraikan magnum opus Ibn Khaldun, Al-Muqaddimah. Apabila membaca tulisan saudara wan berkenaan ulasan beliau mengenai dua tokoh agung yang dirujuk dalam bidang falsafah yakni Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Al-Imam al-Ghazali, saya tergerak hati untuk mengulas sama premis yang saudara wan utarakan.

Pertamanya, saya bersetuju dengan komen saudara faisal dan yussamir (di dalam blog beliau) terhadap tulisan saudara wan tersebut. Rasanya tidak perlu saya ulangi pernyataan mereka, cuma saya ingin mengulas beberapa perkara yang tidak disentuh lagi dalam mengupas isu ini sekadar kemampuan dan kefahaman yang ada. Sekadar pembacaan yang serba kekurangan ini saya akan cuba merungkai dua premis yang saudara wan nyatakan di dalam tulisannya insyaAllah.

Falsampahkah Disiplin Logik?

Jika hendak dibezakan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan Imam al-Ghazali, kedua tokoh ini mempuyai peringkat yang tersendiri. Maka saya tidak boleh kata tidak untuk sangat bersetuju jika kita mampu menyimpulkan bahawa masing-masing mempunyai kelebihan dalam bidang yang mereka kuasai. Tetapi jika ada kumpulan tertentu yang menyama ratakan mereka ini malah mengecam Imam al-Ghazali tanpa usul periksa dan justifikasi yang jelas. Maka jelas mereka ini tidak mengetahui atau mengikuti manhaj kedua tokoh ini dengan jelas.

Artikel saya ini bukan bertujuan membandingkan tokoh-tokoh yang akan dibincangkan. Tetapi bertujuan menghuraikan kekusutan sesetengah pihak dalam berbicara soal falsafah dan disiplin logik. Jika para pembaca berminat membandingkan keilmuan tokoh-tokoh dalam sesuatu bidang (sebagai contoh bidang falsafah yang melibatkan dua tokoh agung seperti Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali), ianya akan menjadi lebih menarik jika mereka yang ingin membuat perbandingan dan berbicara soal Imam Al-Ghazali, wajib membaca buku-buku mahupun kitab-kitab Imam Ibn Taimiyyah secara TOTAL dan kesan karya-karyanya yang member kesan pada Tamadun Umat Islam dari dahulu hingga saat ini.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah memang terkenal dengan kelantangan dan keberaniannya menolak disiplin logik, tetapi bukanlah beliau yang mempeloporinya. Hal ini adalah kerana Imam As-Suyuti rahimahullah dalam kitab beliau bertajuk Sawn al-Mantiq wa al-Kalam an Fan al-Mantiq wa al-Kalam, telah menghimpunkan pernyataan para ulama’ yang muktabar seperti Imam As-Syafie,Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Malik yang telah lebih awal berijtihad untuk menolak disiplin Logik dengan tujuan menjauhkan umat Islam daripada mendekati ilmu logik. Atas sebab ini Imam Ghazali cuba menggunakan istilah baru dalam karya-karya beliau seperti Miyar Al-Ilm, Mihak Al-Nazar, Al Qistas Al-Mustaqim. Hal ini adalah kerana disiplin logik adalah kurang disenangi oleh kebanyakan orang dizamannya.(Rujuk Ketokohan al-Ghazzali di Dalam Bidang Logik oleh Dr Mohd Fauzi Hamat, Penerbitan Universiti Malaya)

Apakah para ulama yang menolak ilmu disiplin logik ini seperti imam As-Syafie sendiri salah dalam hal ini? Antara komentar Imam As-syafie dalam berbicara tentang ilmu kalam di dalam kitab Al-Ibanah berkata:-
“Aku tidak mengetahui adanya orang yang menggeluti sesuatu dari ilmu kalam kemudian dia
meraih keberuntungan” (Imam Syafie Mencela Ilmu Kalam, Majalah As-Sunnah April 2008)

Apa yang cuba diterangkan oleh Imam As-syafie dalam pernyataan-pernyataan beliau dalam mengingatkan supaya tidak memasukkan akal, filsafat, logika, dan debat dalam membincangkan perkara-perkara ghaibiyyat, perkara aqidah, mengenal nama, sifat dan perbuatan Allah Azza Wa Jalla.

Mereka (para ulama yang menolak disiplin logik) menolak disiplin Logik ini adalah kerana mereka menggunakan konsep saddu zaro'i yang didoktrinkan di dalam ilmu Usul Fiqh. Mengapa? Kerana mereka, para ulama' bimbang terhadap risiko orang awam yang mungkin terjerumus ke lembah kesesatan, hasil aplikasi kaedah logik sepertimana ahli-ahli falsafah terdahulu yang menggunakan ilmu Logik ini dalam berbicara soal Metafizik dan ketuhanan. Perkara ini telahpun disentuh di dalam Tahafut oleh Imam Al-Ghazali sendiri dengan menyatakan kegagalan mereka yang terjerumus akibat tidak mematuhi kaedah logik yang telah diterapkan oleh para ulama yang pakar dalam logik sendiri.

Dalam bahasa mudahnya ialah apabila aqal diletakkan melebihi naqal, maka wahyu itu gagal difahami dan diimani seperti yang diwajibkan lebih-lebih lagi jika persoalan ketuhanan yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat awam. Jelas di sini konsep saddu zaro'i yang digunakan para ulama ini berasas. Mereka berijtihad menolak logik secara total, manakala Imam Al-Ghazali pula memilih untuk tidak menolaknya secara total. Dengan menghormati pandangan kedua-dua pihak, saya berpandangan sepertimana pandangan jumhur ulama' yang mensyaratkan seseorang yang ingin merenangi ilmu logik mestilah orang yang benar-benar mempunyai kecerdasan yang tinggi dan sentiasa menghayati ajaran Al-quran dan As-sunnah. Pandangan ini bertujuan mengelak orang yang tidak berautoriti daripada bersuara dan mendatangkan kekeliruan dalam benak masyarakat. Akal yang cerdas dan hati yang terikat dengan prinsip ajaran wahyu dapat memastikan disiplin logik tidak disalah guna atau disalahfahami. Wallahu'allam.

Berkenaan Magnum Opus Imam al-Ghazali yakni Ihya' ulum al-Din yang dikritik hebat oleh beberapa ulama' (saya tidak mahu menumpukan perbicaraan tentang golongan Wahabi atau Salafi sahaja kerana ada ramai juga para ulama muktabar yang tidak dilabel Wahabi mengkritik kitab tersebut) adalah suatu perkara biasa yang tidak wajar untuk kita latahkan. Jika kita mampu membaca perkataan-perkataan mereka, kita akan mendapati bahawa dalam kritikan para ulama’ tetap adanya pujian dan pengiktirafan terhadap tokoh agung tersebut. Cuma sahaja beberapa tulisan yang ghuluw (melampau) sahaja yang mengkritik tanpa penilaian peribadi yang adil. Hal ini adalah kerana seperti apa yang saya katakan, mereka (para ulama) yang mengkritik karya Al-Imam Al-Ghazali tetap mengiktiraf karya agung beliau dalam bidang Usul Fiqh seperti al-Mustasfa min 'ilm al-isul.

Tiada kitab di muka bumi ini sesempurna himpunan kalamullah yakni Al-Quran Al-Karim. Jika kita dapat menerima hakikat ini, maka sudah tentu kita akan mengiktiraf tokoh-tokoh agung ini sesuai dengan sumbangan yang telah mereka usahakan. Walaupun Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah jika dibandingkan dalam ilmu dan bidang falsafah tidak sehebat Imam al-Ghazali, dalam bidang hadis pula mungkin sebaliknya. Jika dinyatakan golongan Wahabi bersikap melampau dalam mengagungkan nama Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, begitu juga halnya dengan nama Imam Al-Ghazali yang dijaja oleh golongan sufi, tarikat dan tabligh untuk menghalalkan amalan mereka. Jika ingin membuat perbandingan justeru ianya tidak akan berkesudahan.

Anti-Sufi atau NeoSufism?

Cuma tidak wajar bagi kita untuk ‘menuduh’ seseorang tokoh sebelum tabayyun (meneliti). Terutama pernyataan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah menolak golongan atau ajaran sufi dan tasawuf secara total jelas menunjukkan kesalah fahaman dalam mendalami dan mengenali beliau. Hal ini kerana dalam tulisan-tulisan beliau yang hanya mengkritik golongan atau ajaran sufi dan tasawuf yang menyeleweng daripada syariat Allah (Rujuk Video Seminar Menilai Sufi dan Tarikat dengan Syariat Allah).

Penilaian Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah terhadap golongan tasawwuf dan sufi berbeza dengan penilaian beberapa ulama sebelumnya, seperti Imam al-Ghazali dan ulama sufi umumnya. Penilaian Ibn Taymiyyah atas sufi sangat 'khas', yakni tidak menolak ajaran tasawuf sebagai suatu cara yang salah dan bid’ah sekaligus tidak menerimanya sebagai “satu-satunya” cara mendekatkan diri pada Allah yang mesti benar dan paling baik seperti sesetengah para ulama' yang lain. Ibn Taymiyyah tampaknya lebih bersikap pertengahan antara mereka yang bersikap keras menolak sepenuhnya ajaran dan praktik tasawuf dan mereka yang memandang tasawuf sebagai ajaran tiada tolok bandingannya. Hal ini sesuai dengan pernyataannya bahawa tasawuf hanyalah sebuah metod dalam berijtihad.

Jika tidak masakan Ibn Taymiyyah mengkategorikan sufi kepada tiga tingkatan di dalam kitabnya yang terkenal yakni Majmu’ Fatawa?

1) Tingkatan pertama, masyayikh al-Islâm, mashayikh al-Kitâb wa al-Islâm atau ’a'immat al-Hudâ,yaitu para sufi yang menempuh jalan kebenaran.

2) Tingkatan kedua para sufi yang pengalamannya dalam fanâ yang melakukan hal-hal yang bertentangan dengan syari’ah, namun cepat atau lambat keadaan mereka akan beransur baik.

3) Tingkatan ketiga pula adalah tertumpu kepada sesetengah sufi yang diketahui mengamalkan aktiviti atau amalan yang bercanggah dengan ajaran syariah sehingga membawa kepada kesesatan yang nyata. Sebagai contoh amalan sesetengah ahli sufi yang berzikir dengan nama Allah dalam ism al-mufrad sedangkan Rasulullah Sallahu'alaihi Wa Sallam mengajar zikir dalam kalimah yang sempurna (al-jumlat al-tammah).

Ibn Taymiyyah sesungguhnya bukanlah musuh sekaligus penentang keras tasawuf. Sememangnya dalam tulisan-tulisan beliau ada melontarkan kritikan yang tajam terhadap beberapa ahli sufi seperti al-Hallaj disebabkan konsep hululnya, Ibn al-‘Arabi dengan keimanan Wahdatul Wujudnya dan pendokongnya, tetapi beliau juga memberikan penghormatan yang cukup tinggi terhadap sufi lainnya, semisalnya Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani, Fudayl Ibn Iyad, dan Junayd al-Baghdadi. Jelas di sini bahawa gelaran anti-sufi atau anti-tasawuf yang dilabel kepada Ibn Taimiyah oleh sesetengah pihak adalah tidak tepat, tulisan-tulisan Ibn Taimiyah lebih menjurus kepada mengubah haluan tasawuf supaya tidak hanya tertumpu pada pola pengembangan peribadi tetapi juga masyarakat secara umumnya.

Kesimpulannya, apa jua metod dan manhaj yang diguna pakai oleh tokoh-tokoh agung ini dalam penilaian mereka,baik kriteria penilaian ke atas falsafah, disiplin logik, sufi dan tasawuf itu memang perlu sepenuhnya didominasi oleh keutamaan syari’ah. Implementasi praktis sedemikian diharap berupaya mengarahkan kembali semua rantaian ilmu ini ke pangkuan Al-Haq. Secara ringkasnya, manhaj para ulama’ agung dalam sesuatu bidang itu tidak lain tidak hanya bertujuan untuk menyesuaikannya dengan apa yang diajarkan oleh Rasul serta para sahabatnya yang soleh (al-salaf al-shalih).
Wallahu’allam.

Rujukan artikel-artikel tambahan perihal sufi dan tasawuf:-

Presiden IQ Menulis Tentang Tasawwuf

Kekeliruan Golongan Sufi dan Tarikat

Ibn Yusof
1 Januari 2009 / 4 Muharram 1430
9.47 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

6 comments:

Rausyanfikir said...

Salam,

Setuju2. Cuma kesan penolakan Ibn Taimiyah yang dahsyat telah melahirkan generasi ulama' pada hari ini yang sangat anti kepada falsafah dan logik.

Semalam ana masuk kelas Dr. Farid Shahran di UIA dalam subjek Logic for Islamic Studies.


Kami bincang dan merumuskan antara sebab kita ketinggalan dan keliru dalam berhadapan dengan cabaran ilmu ketamadunan barat adalah kerana kita menolah logik.


Boleh gak enta cari buku Ibn Sina tentang logik dalam library UIA.


Wallahualam.

Abu Yasir said...

Salam....
Kewujudan firqah2 ini tentunya berdasarkan waqi' yg berlaku pada masa tersebut:
Falsafah-Bila mana Islam telah diserang oleh ahli falsafah barat
Sufi dan tasauf-bila mana ummat makin fasad dan jauh dari Allah
Salafi-bila mana orang terpesong dr ajaran sebenar dan bid'ah berleluasa
Selagi mana tidak terpesong daripada ajaran Islam dan Syariah maka kita berlapang dada kerna tiap firqah ada peranan dan sumbangan masing2 terhadap Islam terutama pada zaman mereka. Allahua'lam...

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Assalamualaikum wbt

Yang benar ialah Al-Quran dan as-Sunnah dengan kefahaman Salafussoleh.

Unknown said...

alo brader..
eh..assalamualaikum..
gua nk tego sket ni..

gua rase lu b'sikap qhuluw dlm mnulis..

"begitu juga halnya dengan nama Imam Al-Ghazali yang dijaja oleh golongan sufi, tarikat dan tabligh untuk menghalalkan amalan mereka."

gua quote lu py ayat tu..
skngni, gua nk tanye sket..

pe mksud m'halalkan amalan mereka tu???

alo brader, jgn men tuduh2 kalo xtau pape..

brapa lama lu sdh jadi ahli sufi?

apa tarekat lu penah join?

sampai mana lu dh wt usahe tabligh?

gua rase lu ni jenis bace or dgr cerita org, pastu wt kesimpulan sndiri..

lu nk 2lis ape,lu tulis r.. jgn nk tuduh2 org len.. ni siap mention plak org len..pe cer bro?

Ibn Yusof said...

Wahai saudara dolah,

Saya tidak pasti samada saudara membaca artikel saya sehingga habis dan mampu menghadamkan isi-isinya sehingga dicerna sebaik mungkin sebelum menuduh memkhinzir buta.

Saya harap saudara tidak melatah sebelum memahami apa yang saya maksudkan.Apakah seseorang penulis itu wajib memasuki sesuatu golongan baru layak menulis (contoh perihal sufi dan tasawuf)?

Pemikiran yang sempit sebegini tidak wajar ada dalam diri seorang penuntut ilmu. Saya menilai secara objektif dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak.

Saya merasakan saudara belum sampai makam untuk menilai kitab-kitab sesetengah para ulama' sufi dan tasawuf yang menghalalkan kasyaf, mimpi dan yaqazah sebagai salah satu sumber pensyariatan sehingga menyebabkan saudara tidak dapat menilai dengan adil.

Adapun artikel ini tidak sesekali merujuk kepada sufi dan tasawuf yang beramal dengan Al-Quran dan As-Sunnah Sahihah. Maka saya tidak rasa ada perkara yang perlu dilatahkan.

Saya tidak mendengar dan menulis. Saya membaca, mengkaji dan menulis. Saudara boelh melihat video-video di bawah ini dengan mata hati.

Semoga Allah memberi kita hidayahNya.Wallahu'llam.

1) http://www.youtube.com/watch?v=bwtFikqDick&feature=related

2) http://www.youtube.com/watch?v=PUwaePoe4KU&feature=related

alFaisal said...

Ana rasa Dolah pun belum mendalami tasawwuf, sebab itu bahasanya kasar. Penuh sentimen. Kalau dah belajar tasawuf tentu akhlaknya menyejukkan mata.