Friday, January 2, 2009

Holocaust di Gaza dan New Year: “Lu pikirla sendiri!”


Abang tahu tidak tentang pembunuhan lebih 300 orang Islam di Palestin oleh orang Zionis-Yahudi baru-baru ini?” soal saya serius.

Abang itu terkedu dan merenung wajah saya, serta merta wajahnya merah padam walaupun keadaan sekeliling kelihatan gelap. ‘Kawannya’ di sebelah seperti tersipu-sipu malu. Di bawah pokok yang menghadap ke arah bangunan yang dahulunya dibanggakan sebagai bangunan tertinggi di dunia, KLCC.

“Err..Saya tak tahu.” Jawapannya tersekat-sekat. ‘Kawan’ di sebelahnya diam seribu bahasa. Berita ini masih panas, tetapi tidak semestinya semua orang wajib tahu. Cuma sekurang-kurangnya ia perlu demi memberi kesedaran atas kelumpuhan umat Islam yang tidak berdaya membuat apa-apa.

Situasi yang menimpa umat Islam di Gaza hanyalah lanjutan atas serangan silam pada 28 Februari 2008 lepas yang melibatkan 138 rakyat Palestin. Wail Ramon, Wakil Menteri Pertahanan Israel menyebut serangan itu sebagai "Holocaust". Ya! Holocaust atas umat Islam!

Apakah setelah pemerintahan HAMAS di Gaza berakhir, semua negara Arab akan terus membisu tanpa memberikan apa-apa respon seolah-olah memberi lampu hijau kepada Israel untuk merencanakan "Holocaust" siri kedua pada 27 Disember 2008 pula? Adakah lampu hijau yang diberikan oleh kuasa besar Arab adalah disebabkan diplomasi yang termeterai ke sejumlah negara Arab khususnya Cairo? Jika tidak masakan Tzipi Livni, Menteri Luar Negeri Israel tanpa rasa canggung memberitahu peperangan ke atas Gaza semasa sedang bersama Presiden Mesir, Hosni Mubarak?

Serangan Israel itu ke atas Gaza bukanlah sesuatu yang tidak dapat diduga, hal ini adalah kerana Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, telahpun lebih awal memberi ancaman melalui temu bualnya di dalam sebuah siaran Al-Arabea. Olmert bukan sahaja ingin mencipta persepktif yang negatif tentang HAMAS kepada warga Palestin, beliau juga cuba mempengaruhi dunia Arab. Hasilnya, majoriti media massa di tanah Arab sibuk membincangkan keutamaan menghentikan pemerintahan HAMAS yang dianggap merbahaya.




Ah! Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Nanti tidak habis soalan survey yang ingin diajukan. Cukuplah dia tahu orang Islam di Palestin telah ramai yang terkorban dan yang hidup pula belum tentu melihat hari esok, sedang dia seronok menyambut tahun baru.

Saya terus kepada soalan seterusnya, “Abang rasa perlu tidak sambutan sebegini diadakan setiap tahun di Malaysia?”. “Perlulah, setahun sekali kan.” beliau seakan-akan rasa bersalah menjawab sedemikian. Saya hanya tersenyum kerana tidak sabar untuk mengajukan soalan seterusnya.“Kalau macam itulah kan, rasa-rasanya wajarkah sambutan sebegini diadakan berhampiran dengan masjid?” soalan terakhir saya kepada pasangan yang berdua-duaan di bawah pokok yang rimbun itu.

“Oh! Sudah semestinya tidak wajar, masjid itu rumah Allah.” Jawapannya sambil tersengih. Beliau tahu jawapannya itu berlawanan dengan jawapan sebelumnya. Inilah sandiwara dunia.

Selepas memberikan sedikit risalah sebagai penghargaan atas masa yang diluangkan, saya pun beredar dari situ. Saya sentiasa cuba memastikan senyuman terukir di wajah saya. “Threat them as opportunity, not as an enemy”, pernyataan Prof. Kamal Hasan dalam Nuqaba’ Training beberapa tahun lepas masih terngiang-ngiang di telinga saya.

Saya kembali kepada rakan-rakan yang sedang berkumpul berhampiran,mereka hanya memerhati daripada jauh. Sebagai orang pertama yang mencuba teknik berdakwah melalui survey pada malam itu. Sudah pasti membugar perasaan ingin tahu mereka tentang respon mereka yang disoal.

“Macam mana?” soal Masri ingin tahu.

“Okey je!” saya membalas spontan. “Tetapi jawapan ke 9 dan ke 10 mesti kontradik!” saya merasakan soalan-soalan survey itu ada yang memberi ‘spark’!

‘Spark’ istilah yang kami gunakan untuk mengambarkan satu cetusan atau renjatan atas mereka yang disoal pada malam itu. Selepas saya selesai menyoal pasangan tersebut, Masri semakin bersemangat. Akan tetapi Mansur, Husaini dan Sufi masih ragu-ragu. Saya tidak menafikan bahawa berdakwah pada masa itu dirasakan sungguh mencabar. Tanpa seni dakwah yang betul, mungkin kerja dakwah kita menjadi sia-sia.

“Ana rasa jika setakat survey sahaja, kurang berkesan la.” Mansur meluahkan pandangannya. “Cuba lihat!” Mansur mengarahkan jari telunjuknya kea rah pasangan yang saya soal sebentar tadi. Abang yang saya soal sebentar tadi memeluk tangan pasangannya. Kami berlima yang berkumpul di tengah ratusan orang di taman KLCC itu saling memandang antara satu sama lain.

“Ya, memanglah tidak memberi impak serta merta. Tetapi sekurang-kurangnya soalan yang diajukan itu mampu membuatkan mereka berfikir. Itu pun sudah memadai. Ada cadangan lain?” Saya mengajukan soalan itu kepada Mansur.

“Kalau kita dapat ajak mereka ke masjid, kemudian kauseling ke.” cadang Mansur kepada kami berlima. “Ya, cadangan itu memang okey, tetapi kita bukan ikut kaedah PERKID. Anta sertai mereka tahun lepas, tetapi tahun ini mereka buat di tempat lain. Tiada kauseling-kaunseling. Sebab itu selain memilih untuk menyebar risalah semata, kita gunakan kaedah borang survey ini sebagai medium dan asbab untuk mendekati mad’u kita.” Jelas saya panjang lebar.

Masri terus mencelah perbualan kami, “Mungkin elok jika selepas kita ajukan semua soalan, kita buat kesimpulan dan ulas poin-poin penting yang ingin kita sampaikan?”.

“Em..cadangan yang bagus. Antara poin utama yang ingin kita sampaikan dan boleh kita buat ulasan adalah tentang buang masa, berdua-duaan dan sambutan yang melibatkan ikhtilat (percampuran di antara lelaki dan wanita).” Saya sekadar menyusun poin supaya ulasan mereka tidak lari daripada maksud sebenar soalan-soalan survey yang diajukan. Cadangan borang survey yang mengajukan soalan-soalan ‘spark’ itu asalnya atas tema “Lu pikirla sendiri!”.

“Okey!” Mansur akhirnya bersetuju. Kelebihan beliau dalam mendekati sesiapa sahaja melalui sikap ramahnya adalah suatu perkara yang saya sendiri kagumi.

“Kita jumpa semula di sini pukul 11.30 malam okey?” saya memberi cadangan supaya kami semua berpecah. Husaini dan Sufi juga mengangguk tanda faham.Hal ini adalah kerana jika kami gerak bersama dan menunggu seorang demi seorang untuk menyoal borang survey itu,ianya akan mengambil masa yang lama.

Jika Masri memilih untuk mendekati beberapa lapisan ma’du yang berada di kawasan itu untuk mendapat respon yang pelbagai. Saya lebih suka mencari mereka yang berpasangan, baik mereka yang sedang berasmara dana, yang sedang bertunang sehinggalah pasangan yang telah berkahwin. Dengan cara ini saya merasakan soalan yang diajukan tidak tertumpu kepada pihak lelaki sahaja, pasangannya juga akan turut mendengar soalan yang diajukan sekaligus mesej di sebalik soalan-soalan ‘spark’ itu sampai kepada kedua pasangan tersebut. Sebagai contoh pasangan bertunang yang duduk di atas bukit di kawasan taman KLCC itu sambil bersandar di antara satu sama lain. Soalan yang diajukan kepada pihak lelaki akhirnya mendapat perhatian tunangnya.

“Oh..memang pensyarah suruh buat survey ke?” seorang akak bertanya kepada saya selepas saya mengajukan beberapa soalan kepada tunangnya. Barangkali beliau pelik dengan survey yang saya lakukan, apatah lagi baju saya malam itu tertera besar logo UIA. “Eh..tidak, ini atas inisiatif sendiri. Program ini atas anjuran Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan masjid Asy-Syakirin.” Saya menjawab spontan.

Sampai kepada soalan ke 10. Kakak tersebut bersungguh-sungguh menjawab. “Oh..memang tidak patut! Sebab itu rumah Allah, kita kene hormat sebagai orang Islam. Sambutan ini perlu menjaga batas-batasnya.”

Hati saya hanya mampu berbisik, mengapa mereka menghadirkan diri jika merasakan ianya sesuatu yang tidak wajar dilakukan? Jika disoal mengapa ke mari, rata-rata menjawab untuk ‘release tension’. Barangkali mereka tidak sedar akan perbuatan mereka, maka itulah gunanya soalan-soalan ‘spark’ sedemikian. Matlamat tidak menghalalkan cara. Suatu konsep yang selalu disalah fahami oleh orang ramai, termasuk diri saya yang lemah ini.

“Oh..cantiknya air pancut tu!” bisik hati saya ketika melalui pertunjukan air pancut di kawasan lapang berhampiran taman KLCC itu. Ianya kemudian membuat saya merenung kembali. Apakah saya datang untuk melakukan dakwah atau sekadar sambil menyelam minum air? Saya tidak sesekali mahu turut sama terlibat dalam sambutan ini apatah lagi turut menyumbang dalam penambahan angka mereka yang hadir pada malam itu.

“Tengok sana Mansur.” jari saya mengarah ke arah beberapa orang muslimat bertudung labuh. Jelas bahawa mereka juga menyertai program Task Force pada malam ini kerana mereka memakai tag nama. Mereka sedang mengambil gambar mereka di sebalik pemandangan KLCC yang cahayanya menembusi langit pada malam itu.

“Sebab itu ana tidak mahu sekadar menyampaikan risalah. Lebih cepat edar risalah, lebih cepat kerja habis. Bila sudah tiada apa yang boleh dilakukan, kita pun turut serta dalam menyumbang kepada jumlah rakyat yang menyambut malam ini.” Saya meluahkan isi hati saya kepada Mansur. “Hmm…” beliau hanya mampu mengeluh.

Tidak semua mereka yang turut serta seperti apa yang kami lihat. Tidak lama selepas itu kami terserempak dengan sekumpulan muslimat yang turut serta dalam Task Force itu sedang berkumpul seramai tiga orang sambil menjelaskan isi risalah kepada seorang adik perempuan yang sedang duduk. Adik perempuan itu khusu mendengar penjelasan kakak-kakak itu kepadanya. Tersenyum saya sendirian melihat situasi itu.

“Jangan sesekali perkecilkan usaha dakwah orang lain, tangisi dirimu” nasihat Ustaz Arif mengingatkan saya untuk menilai mereka dengan adil.

Jam menunjukkan pukul 11.45 malam. Kaki saya pada masa itu telah lenguh, setelah hampir 3 jam berjalan mengelilingi taman KLCC itu. Saya keletihan dan kehausan. Saya kembali menuju ke masjid dan menghantar pesanan ringkas memberitahu mereka berempat bahawa saya akan kembali ke masjid.

Taman KLCC malam itu dipenuhi lampu-lampu berwarna merah di atas kepala anak-anak muda. Hanya dengan RM5 mereka mendapatkan cekak rambut yang dilekatkan lampu merah yakni seakan tanduk syaitan membanjiri malam tahun baru itu. Sepanjang perjalanan pulang ke masjid Asy-Syakirin hati ini menjadi sebak serta merta. Segala usaha selama tiga jam itu dirasakan sia-sia, siapa tidak sedih jika melihat mereka yang seusia adik saya berpeluk-pelukan dan menjerit-jerit seakan-akan berjaya meniru gelagat syaitan yang mereka impikan dengan mengenakan cekak rambut tersebut. Apatah lagi mereka yang bertudung juga tidak segan silu untuk mengenakan ‘cekak rambut syaitan itu’ atas nama fesyen dan trend.

Saya tidak mampu menahan sebak di dada. Saya tahan dan tahan. “Masakan agama ini menjadi lemah selagiku masih hidup!” saya cuba memujuk hati ini dengan kalimah itu. Saya melihat saudara Dani telahpun memulakan sesi muhasabah di bahagian atas masjid, semua kumpulan yang menyertai Task Force malam itu telahpun berkumpul. Saya tidak ada mood untuk turut serta. Apa yang ingin saya kongsikan? Semuanya di depan mata! Ini dakwah yang REAL! Bak kata saudara Fitri. “Aku bekerja dengan realiti bukan dengan fantasi!” Mempersiapkan Generasi Baru tidak semudah di atas kertas. Tidak juga mudah untuk diungkap. Tidak juga senang untuk dibentuk.

Mereka bersurai pada jam 11.45 malam, saya dan Mansur di dalam Musholla terbaring keletihan. “Apalah sangat yang kita lakukan ini!” bisik hati saya. Program yang saya dan Mansur jangkakan bermula pada pukul 12.30 pagi bermula selepas isya’, maka tidak mustahil ianya tamat seawal jam 11.45 malam. Kebanyakan peserta Task Force bersurai, barangkali masih sempat jika mereka berhasrat melihat pertunjukan bunga api di taman, menyelam sambil minum airlah katakan!.

“Boom!.......Boom!” dentuman bunyi bunga api itu umpama guruh yang memekik. Kami yang berada di dalam Musholla rasa seperti terangkat! “Barangkali macam inilah suasananya di Palestin! Serangan bom demi bom oleh tentera Zionis Yahudi yang menghujani rakyat-rakyat Palestin!” keluh hati saya. “A’ah, macam satu serangan bom.” respon Mansur mengiakan luahan hati saya. Saya memejamkan mata sambil mendengar bunyi dentuman bunga api itu.

Setiap dentuman itu di dua buah negara, sungguh berbeza. Setiap dentuman itu di Malaysia melahirkan rasa gembira, setiap dentuman itu di Palestin meragut nyawa mereka.


Wallahu’allam.

Ibn Yusof

3 Januari 2009 / 6 Muharram 1430

1.49 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com

2 comments:

Abu Yasir said...

Itu la Abu Yusof, mgkn kene fikirkan cara yg effective utk bg kesedaran pada dorg. Every year, the same thing happens. Kan senang klu krjn je yg haramkan prog2 mcm ni....
Ini jelas sbg satu kayu ukur betapa ceteknye kesedaran msyrkt muslim malaysia ttg isu Ummat Islam....

Allahumma aslih syababal muslimin...

Ibn Yusof said...

Salam rijal_iqtisad,

Antara yang tidak dimasukkan di dalam catatan di atas adalah diaolog-dialog terakhir sebelum mata terlelap dalam dentuman malam yang membingit itu.

Mansur dan sy setuju bahawa kita perlukan 'kuasa pemerintahan' untuk menghalang kesemua aktiviti-aktiviti yang tak bermanfaat sebegini.Wallahu'allam.