Wednesday, December 3, 2008

Keislaman Sistem Kewangan Islam: Antara Idealistik dan Realistik


Perbankan Islam telah bertapak selama lebih 25 tahun di Malaysia. Perkembangan perbankan Islam semakin rancak selepas Bank Negara Malaysia memberi sokongan penuh dengan meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada bank-bank konvensional yang berminat. Maka kaunter perbankan Islam di bank-bank konvensional akan berdiri sebagai salah satu anak syarikat bank-bank konvensional dan mempunyai satu entiti berasingan dari bank-bank konvensional yang wujud pada waktu ini. Tetapi isu-isu perihal perbankan Islam seperti ianya masih tidak menepati kehendak Shariah masih berterusan hingga ke saat ini. Alternatif ini disangsi oleh beberapa pihak yang menyoal isu-isu Shariah yang wujud di sebalik produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam sebagai produk yang tidak Islamik.

Revolusi perbankan melalui sistem yang direka berlandaskan Shariah ini dirasakan kurang menyengat apabila perbankan Islam tidak menyelesaikan beberapa isu yang masih menyelubungi sistem ini. Tulisan demi tulisan membongkar isu-isu Shariah di sebalik ‘penipuan’ perbankan Islam menjadi santapan orang awam dan hasilnya membawa kepada kesan jangka masa panjang. Melalui tulisan-tulisan sebegini, para pembaca boleh menambah pengetahuan dengan mengetahui isu-isu Shariah di sebalik modus operandi produk-produk yang ditawarkan.Cuma sahaja lebih parah jika ada para pembaca yang mengambil keputusan untuk beralih terus kepada perbankan konvensional bila membugar prasangka negatif terhadap ‘keislaman’ perbankan Islam yang kurang Islamik walaupun mengetahui pengharaman sistem riba yang menjadi asas perbankan konvensional itu sudah jelas.

Walaupun perbankan Islam telah wujud lebih tiga dekad di seluruh dunia ini, kita tidak dapat menafikan tentang kewujudan isu-isu Shariah di sebaliknya. Cuma tulisan-tulisan idealis berkenaan perbankan Islam perlulah berpijak pada realiti hari ini agar tidak mewujudkan rasa sangsi dalam benak para pembaca sehingga meragui akan alternatif yang ditawarkan. Perkara ini telahpun disentuh oleh Mahmoud El-Gamal dalam kertas kerja beliau bertajuk “The Economics of 21st Century Islamic Jurisprudence”. Secara ringkasnya Mahmoud El-Gamal menerangkan bahawa jika ingin mengaplikasi apa yang termuat dalam teori, ianya tidaklah semudah yang dijangkakan.

Dalam tulisan tersebut beliau melihatkan kepentingan equiti dan efisiensi yang menjadi faktor mengapa wujudnya jurang perbezaan antara tulisan awal dan mutakhir perihal kewangan Islam. Hal ini berlaku kerana golongan agamawan cenderung kepada equiti tetapi mereka yang terlibat dalam industri pula cenderung kepada efisiensi. Equiti bermaksud keadilan dalam distribusi manakala efisiensi merujuk kepada menghasilkan sesuatu dengan kos yang rendah. Pemilihan yang ideal sememangnya seperti apa yang dihajati oleh golongan agamawan yang lebih mengetahui kehendak Shariah, akan tetapi buat masa ini kerangka institusi masih belum mampu untuk menawarkan apa yang dihajati kerana ianya terlalu idealistik dan tidak berpijak pada kerangka institusi sedia ada.

Hal ini adalah kerana setelah beberapa dekad berlalu, kita masih gagal membangunkan sistem kewangan Islam yang efektif yakni seperti yang dihajati oleh golongan agamawan. Sistem kewangan konvensional sahaja memerlukan enam abad atau lebih untuk berkembang maka tidak mustahil sistem kewangan Islam memerlukan masa dan tempoh percubaan yang panjang untuk sampai ke tahap yang dihajati. Maka toleransi antara dua pihak dalam memilih titik persamaan diperlukan selagimana ianya berada dalam landasan Shariah dan kerangka institusi yang dapat merealisasi kontrak yang dingini.

Atas dasar itulah kita harus menerima hakikat bahawa sistem yang diguna pakai kini adalah cenderung kepada sistem konvensional sedia ada cuma ianya diusahakan supaya masih dalam linkungan Shariah. Mekanisma sistem yang dituruti ini berkemungkinan agak kabur jika jawatankuasa Shariah tidak memainkan peranan yang menyeluruh. Kekaburan di dalam sistem kewangan ini jika dibiarkan akan menjurus kepada salah faham bahawa sistem kewangan Islam yang digunakan adalah sama seperti sistem konvensional. Usaha gigih yang berterusan diperlukan supaya sistem kewangan Islam kini tidak dimanipulasi oleh sistem konvensional yang mengusai pasaran.

Selain itu, seperti apa yang diterangkan di awal penulisan ini, tulisan atau ucapan yang berbentuk retorik rancak mengusulkan untuk membangunkan keseragaman yang tetap, walhal realitinya pasaran adalah terbahagi dan fleksibel. Hatta tertubuhnya institusi-institusi antarabangsa yang berkaliber seperti Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan sebagainya, pelbagai isu masih tidak dapat diselesaikan. Apa tidaknya jika pasaran terbahagi dengan pelbagai struktur yang berbeza, contohnya monopoli, oligopoli, dan sebagainya. Maka campur tangan dalam hal-hal pengawalan kewangan Islam global yang dianggap perlu dibatasi hanya kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja hakikatnya memerlukan jumlah badan Shariah yang berbeza bergantung kepada struktur pasaran.

Masalah lain yang dihadapi ialah banyaknya persoalan hukum hakam yang bermain dalam benak mereka yang terlibat dengan industri perbankan tetapi sungguh sedikit golongan agamawan yang terlibat sama di dalam industri. Ini akhirnya menyebabkan mereka yang terlibat sukar mendapatkan panduan dan nasihat dari golongan yang pakar dalam hal-hal kewangan Islam. Tidak hairanlah jika banyak masalah mutakhir ini berlaku akibat daripada kurangnya penglibatan golongan agamawan dalam industri untuk berkerjasama dengan orang-orang yang berada di dalam industri. Meluluskan sahaja kontrak tidak memadai kerana tanpa panduan dan penglibatan sama golongan agamawan, kontrak yang dijalankan barangkali tidak menjadi sepertimana yang dihajati.

Kewangan Islam yang efektif memerlukan kerjasama antara semua pihak. Jika masalah kekurangan golongan agamawan untuk turut sama dalam merungkai persoalan yang bermain di benak mereka yang terlibat di dalam industry berterusan, tidak mustahil ia akan membawa pula kepada masalah-masalah lain. Golongan agamawan harus menyedari bahawa tidak semua mereka yang mengimplementasi kontrak yang telah diluluskan memahami objektif Shariah disebaliknya. Perbezaan latar belakang dan ilmu yang ketara merupakan jurang yang seharusnya dirapatkan bagi melancarkan perlaksanaan sistem.

Wujud juga masalah seperti golongan agamawan yang meluluskan kontrak akhirnya menjadi golongan yang mengkritik kontrak yang telah diluluskan. Hal ini berlaku apabila di awal pembangunan sistem kewangan Islam, beberapa pihak dari golongan agamawan yang terlibat sama dalam meningkatkan kredibiliti institusi kewangan Islam memilih untuk bersikap sederhana dalam membenarkan inovasi yang berlaku. Jika hal ini dibiarkan, golongan agamawan yang berkompromi sama akan menyebabkan inovasi tersebut berterusan sehingga melebihi had-had yang ditetapkan. Atas dasar itu, adalah lebih baik jika membatasi golongan agamawan yang membuat keputusan untuk mengelak inovasi sewenang-wenangnya berlaku. Atau mempunyai penasihat shariah bebas untuk memantau jawatankuasa penasihat Shariah bagi institusi-institusi kewangan Islam.

Tujuan mengutarakan paradoks ini adalah untuk menambah kefahaman realiti sistem kewangan Islam sedia ada dengan lebih baik. Pemahaman yang jelas diperlukan agar kita berpijak di bumi yang nyata dan tidak bersikap retorik baik dalam penulisan mahupun ucapan. Dengan pemahaman yang jelas juga kita mampu memahami tahap masa kini di samping memperkuat sistem kewangan Islam. Kekuatan dan kelemahan semua pihak di dalam dan luar industri yang turut sama dalam perjuangan ini perlu diambil kira bagi memartabatkan sistem kewangan Islam dengan lebih efektif.

Wallahu’allam.

p/s:Penulis memilih untuk tidak menjelaskan diagram secara menyeluruh atas tujuan artikel ini ditulis untuk bacaan umum tanpa mengira latar belakang para pembaca.

Ibn Yusof
3 Disember 2008/ 5 Zulhijjah 1429
2.58 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

No comments: