Monday, September 29, 2008

Raya Sakan: Di Mana Batas Sempadan?

Photobucket


Tatkala ada yang sedang sibuk mencuba baju raya, langsir ditukar lebih bergaya, si kecil berangan duit menjadi ‘kaya’ dan segala macam persiapan menyambut lebaran kali ini. Penulis ingin mengajak para pembaca merenung kembali pensyariatan ‘Eid ini yang merupakan satu peluang kepada kita untuk sama ada mendekatkan lagi diri kepada Allah Subhanallahu Ta’ala atau sebaliknya.

Jika tahun lepas penulis lebih menfokus kepada amalan-amalan sunnah yang wajar kita lakukan sepanjang menikmati 1 Syawal melalui artikel “Raya Sakan: Siapa Jadi Ikutan?”. Pada kali ini, penulis ingin mengajak para pembaca menyedari batas sempadan yang perlu kita berhati-hati dalam menyambut perayaan bermakna ini, dari sudut persiapan hingga saat kita meraikan. Mengapa perlu kita ambil berat akan hal ini? Ianya agar kita mengundang keredhaan Allah Subhanallahu Ta’ala, bukan kemurkaanNya.

Proses tarbiyyah selama sebulan menghadapi bulan Ramadhan tidak terhenti setakat itu, penilaian sebenar adalah dalam menjawab persoalan sejauh mana proses tarbiyyah itu dapat kita fahami dan hayati dalam menjejakkan kaki ke dalam bulan-bulan lain. Di bawah penulis nukilkan sedikit sebanyak perkara-perkara yang perlu kita berhati-hati dengannya agar proses tarbiyyah selama sebulan itu menjadi sia-sia. Sekadar peringatan buat diri penulis dan para pembaca yang budiman.

1) Berlebih-lebihan dan terjerumus dalam pembaziran

Jika proses tarbiyyah di sepanjang bulan Ramadhan kita diuji dengan lauk-pauk yang tidak terhingga banyaknya. Kita bakal sekali lagi diuji dengan perbelanjaan persiapan menjelang Eid, apakah kita akur pada kemahuan (nafsu) atau kita mengikut keperluan? Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

Tidak akan berpindah kedua kaki anak Adam pada hari kiamat dari sisi Rabb-nya hingga ditanya tentang ... dan hartanya dari mana ia perolah dan ke mana ia infakkan" [Hadits hasan Diriwayat Imam Tirmidzi no. 2416]

Berhelai-helai baju baru, langsir baru, sofa baru, akan tetapi keimanan kita masih di takuk lama tatkala menjengah keluar bulan Ramadhan. Ini bukan sahaja satu kerugian, ia juga satu pembaziran. Pembaziran? Ya. Pembaziran yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar, pembaziran masa dan peluang yang Allah Azza Wa Jalla tawarkan kepada hamba-hambaNya di sepanjang bulan Ramadhan selalunya (secara umum) di akhiri dengan pembaziran wang ringgit.

"Janganlah kalian berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" [Al-An'am : 141]

2) Meninggalkan Solat Fardhu (Solat Eid sahaja)

Pada hari ‘Eid berbondong-bondonglah manusia berpakaian serba indah menyambut takbir raya. Tua dan muda semuanya ke musholla dengan tujuan menunaikan solat Eid. Bersemangat semuanya menyambut seru Ilahi, akan tetapi apabila pulang sahaja, ada yang terlalu ‘sibuk’ dengan amalan ziarah-menziarah sehingga meninggalkan solat fardhu. Sesungguhnya ini merupakan satu kemungkaran yang besar. Penulis berpandangan mereka yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja ini tidak sewajarnya menyambut hari Eid, hal ini kerana mereka tiada bezanya dengan mereka yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan akan tetapi ‘syok sendiri’ dalm ber’eidul fitri. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam member amaran tegas apabila bersabda:

“Sesungguhnya (pembatas) antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat” [Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya, kitab Al-Iman, no.82]

3) Mengkhususkan Ziarah Kubur Pada Hari 'Eidul Fitri

Lazimnya, selepas selesai menunaikan solat Eid, masyarakat kita akan ke kuburan untuk menziarah mereka yang telah pergi sebelum menziarah sanak saudara yang masih hidup. Ini merupakan peluang perniagaan bagi si peniaga yang akan menunggu dip agar kuburan, ada yang menjual bunga rampai, air wangian dan buku Yassin bagi yang tidak membawa peralatan-peralatan ‘menziarah’ bersama.

Penulis teringat ritual sebegini bukan sahaja menjadi ‘adat’ masyarakat Melayu (hal ini kerana ianya tidak dilakukan oleh masyarakat Arab) , akan tetapi juga merupakan amalan kaum Cina dan Kristian. Perayaan QinMing merupakan hari khusus bagi kaum Cina untuk menziarahi kubur bersama ‘peralatan-peralatan’ yang ingin ‘disampaikan’ kepada mereka yang telah meninggal dunia. Cuma bezanya peralatan masyarakat kita adalah air wangian, bunga rampai, payung kertas dan buku Yassin yang jelas kosnya lebih murah.

Menziarahi kuburan pada hari Eid adalah sesuatu yang tidak pernah dicontohi oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat, tabi’in, serta tabi’ tabi’in. Mereka golongan yang diiktiraf Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sebagai generasi yang terbaik tidak mengkhususkan mana-mana hari untuk menziarahi kuburan apatah lagi dikhususkan pada hari perayaan yakni Eid Fitri.

Syeikh Wahid Abdussalam Bali ketika mengingkari pengkhususan Hari Eidul Fitri dijadikan hari menziarahi kawasan perkuburan berkata:
"Pertama, bukan merupakan petunjuk Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam atau salah seorang sahabatnya mengkhususkan Hari Raya untuk berziarah kubur. Kedua, Hari Raya adalah hari kegembiraan dan kesenangan, bukan hari kesedihan dan tangisan. Ketiga, Hari Raya adalah hari saling berkunjung orang-orang yang masih hidup, dan bukan untuk mengunjungi orang-orang yang sudah mati.” [474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, hlm. 429]

Pelbagai kesalahan demi kesalahan akan dilakukan oleh mereka yang menziarahi kuburan dengan ritual-ritual tertentu dengan anggapan ianya sebagai ibadah. Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam telah melarang untuk dilakukan ibadah di kawasan perkuburan dan menjadikannya sebagai kawasan perayaan sebagaimana sabdanya:

"Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah." [Hadis Riwayat Imam Muslim, no. 780]

Dari hadith di atas dapat kita fahami bahawa rumah yang tidak dikerjakan ibadah seperti membaca Al-Quran dan solat adalah sama seperti kawasan perkuburan. Oleh itu secara tidak langsung ia memberitahu kepada kita semua bahawa kawasan perkuburan bukan merupakan tempat untuk beribadah seperti membaca al-Quran. Malahan, Imam As-Syafi’e rahimahullah dan Syafi’eyyah (para ulama’ mazhab Syafi’e) yang umumnya menjadi ikutan masyarakat Malaysia mengambil pandangan bahawa tidak sampai pahala yang dikirmkan kepada si mati. Imam al-Nawawi al-Syafi'i rahimahullah telah berkata:
"Adapun bacaan al-Quran (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi'i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim" [Syarah Muslim jld. 1, hlm. 90]

Oleh itu bagi masyarakat Islam di Malaysia yang rata-ratanya mengaku berpegang teguh dengan mazhab Syafi'e sewajarnya menjauhi amalan mengkhususkan ziarah kubur pada Hari Eid dan membaca al-Quran di kuburan dengan tujuan untuk mengirim pahalanya kepada yang telah pergi bukan hanya pada pagi Hari Eidul Fitri tetapi juga pada hari-hari selainnya.

4) Para Wanita Bertabarruj

Peluang ziarah menziarahi saudara mara di waktu Hari Eidul Fitri menjadi peluang keemasan bagi muda mudi untuk berhias sakan. Waktu ini dianggap waktu yang paling sesuai mengenakan baju raya. Perlu kita sedari bahawasanya Islam telahpun menetapkan etika berpakaian dan konsep menutup aurat dengan jelas supaya dapat dijadikan panduan dan untuk membezakan antara ummat Islam dan yang bukan Islam.

Kecenderungan berhias berlebih-lebihan perlu dinilai kembali apakah ianya berlandaskan ajaran Islam atau sebaliknya. Hal ini kerana ianya merupakan perbuatan yang diharamkan dalam syari'at Allah. Allah Ta'ala berfirman :

"Hendaklah mereka (para wanita) tinggal di rumah-rumah mereka dan jangan bertabarruj ala jahiliyah dulu dan hendaklah mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat" [Al-Ahzab : 33]

Para wanita yang menghiasi diri mereka perlu menyuntik beberapa persoalan dalam minda mereka yakni apakah tujuan asal pakaian tersebut? Adakah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan menurut perintahNya atau untuk mencari lirikan mata masyarakat yang hanya bersifat sementara?

Hal yang sama juga bagi kaum lelaki, apbila berada di khalayak hatta di rumah sendiri tidak bermaksud boleh membuka aurat sewenang-wenangnya. Ada antara kaum lelaki yang hanya berseluar pendek dan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh mereka yang kononnya berpetak? Hal ini jelas dilarang dalam Islam sama sebagaimana larangan terhadap para wanita. Jangan jadikan usaha mengeratkan tali persaudaraan dengan ziarah-menziarah mengundang kemurkaan Allah Azza Wa Jalla.

5) Menonton Televisyen

Menonton televisyen bukanlah merupakan satu kesalahan mutlak. Apa yang penulis ingin maksudkan ialah tatakala tiba Hari Eid, ummat Islam akan disogok dengan pelbagai siaran dan rancangan yang menghiburkan. Maka dihadaplah televisyen itu dari awal pagi hingga ke malam, begitulah ummat Islam menghabiskan masa mereka dengan kenikmatan yang tidak berpanjangan. Hasilnya, ada yang melewat-lewatkan solat (lebih teruk jika ada yang meninggalkan solat kerana menonton televisyen), ada yang tidak menghiraukan tetamu, ada juga yang tidak mahu turut serta dalam menziarahi saudara mara kerana tidak mahu terlepas rancangan kegemaran.

Adat ziarah-menziarahi ini semakin terhakis dengan sikap ketidakpekaan syarikat televisyen yang hanya mementingkan keuntungan melalui peningkatan jumlah penonton. Tidak keterlalaun jika penulis katakana siaran atau rancangan-rancangan yang ditunjuk tidak membina keperibadian insan seorang Muslim untuk mendekatkan lagi diri mereka dengan Allah Subhanallahu Ta’ala akan tetapi mejerumuskan lagi mereka yang menontonnya ke lembah kemaksiatan. 1 Syawal yang merupakan hari perayaan kaum muslimin ini disaji dengan filem-filem yang tidak berfaedah. Akhirnya, generasi muda dipupuk dengan adat menonton televisyen berbanding adat ziarah-menziarahi saudara-mara. Televisyen hanya salah satu alat perang pemikiran yang diguna pakai oleh musuh-musuh Islam dan hasilnya semakin jelas apabila hari perayaan yang merupakan satu ibadah tetapi kaum muslimin disibukkan dengan rancangan-rancangan yang ‘menggoda’.

Kesimpulannya, Eidul Fitri merupakan salah satu hari besar ummat Islam selain Hari Raya Eidul Adha. Atas sebab itu agama ini membolehkan ummatnya untuk mengungkapkan perasaan bahagia dan bersenang-senang pada hari itu. Akan tetapi kebahagiaan dan sambutannya tidak terlepas daripada disiplin syar’I yang menuntut muslim itu mencontohi petunjuk wahyu dari Allah Subhanallahu Ta’ala dan petunjuk Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam agar ianya lebih bermakna.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof
29 September 2008 / 29 Ramadhan 1429H
6.41 p.m.
www.ibnyusof.blogspot.com
_________________________________

Rujukan:

-Kemungkaran-Kemungkaran Yang Bisa Terjadi Pada Hari Raya oleh Syaikh Ali bin Hasan bin Ali Abdul Hamid Al-Atsari.

-Kitab Manhaj Akidah Salaf: Akidah Imam Malik ditulis oleh Syaikh Muhammad bin Abdurrahman al-Maghrawi, Pustaka Azzam, Jakarta 2002, ms. 60.

No comments: