Tuesday, August 19, 2008

Pelik bila “Pelik Tapi Benar” dianggap pelik?


“Apa yang ustaz komen tentang “Pelik tapi benar” tu?”soal aku kepada abang Razak setiba aku di masjid. Dalam perjalanan ke masjid, aku terdengar ulasan ustaz yang berceramah dari speaker masjid memberikan komen berkenaan buku tersebut.

Ianya memang satu isu hangat bagi mereka yang pernah membaca dan mengamalkan isi buku tersebut. Apatah lagi apabila buku tersebut diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 14 Ogos lepas atas alasan ianya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Buku tersebut memuatkan hadith-hadith sahih dari sabda Nabi Sallahu’alaihi Wa sallam yang mungkin dianggap pelik bagi ‘penganut’ mazhab Syafie. Pengharaman buku ini umpama menyatakan secara tidak lansung bahawa apabila kita mengamalkan hadith sahih, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat. Alasan inilah yang diguna pakai Kementerian Dalam Negeri.

Berikut adalah respon Telaga Biru Sdn. Bhd., syarikat penerbitan yang memasarkan buku tersebut di dalam cbox mereka:-

Telaga Biru : kami sudah pun menghantar surat kepada KDN dan JAKIM beberapa bulan yang lepas, sejurus mendengar rumours pengharaman buku tersebut...Malang sekali langsung tidak berjawab... tujuan surat ialah untuk mengetahui sebab pengharaman...Disamping bertujuan untuk berbincang serampang 4 mata di antara JAKIM, KDN, Penerbit (kami) serta penulis sendiri...Kami agak sedih kerana pengharman dibuat kepada kami tanpa sebarang notis serta peluang untuk menjelaskan keadaan...Namun, kami dalam proses untuk berbincang dengan lebih menyeluruh dengan semua pihak yang terlibat... InsyaAllah segala maklumat berkaitan akan hebahkan kepada umum. Percayalah, sekiranya kami hanya memikirkan keuntungan dunia, kami tidak akan menjual buku punca ilmu, sebaliknya berkecimpung dalam dunia lain yang lebih menguntungkan dunia kami dari akhirat kami. Apa2 pun, terima kasih atas pandangan dan nasihat...

Selain Telaga Biru Sdn. Bhd., Ustaz Zahazan juga di laman cbox blognya meluahkan rasa ketidak puasan hatinya terhadap tindakan KDN yang terburu-buru tanpa bermuzakarah terlebih dahulu.:-

Minta doakan kepada Allah supaya diberi keselamatan kepada umat ini daripada perasaan hasad.Ia lebih kepada tindakan terburu-buru yang tidak dibincangkan. Pihak yang berkenaan pula tidak bersedia untuk bermuzakarah.

Buku itu secara umumnya menjelaskan tentang perkara-perkara pelik yang tidak difikirkan oleh manusia tetapi boleh dilakukan di dalam solat berdasarkan hadith-hadith sahih yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi Sallahu’alaihi Wa sallam. Walaupun pelik, tetapi tidak semestinya ia salah atau tiada di dalam ajaran Islam. Sesungguhnya Islam itu "rahmatan lil 'alamin" tidak memberatkan umatnya di dalam soal ibadah.

“Takde ape, ustaz komen tentang hadith solat sunat atas kenderaan. Ustaz kata walaupun perkara ini berdasarkan hadith sahih, tetapi jangan pilih pendapat yang boleh cetus kontroversi walaupun ianya mungkin benar.” jelas abang Razak.Kami berdua duduk di sudut masjid sambil mendengar kuliah tersebut. Kelihatan juga sahabat-sahabat lain begitu tekun berada di hadapan penceramah pada malam itu.

Tidak lama kemudian selepas mensyarahkan hadith berkenaan solat itu ustaz tersebut dihujani beberapa soalan yang aku jangkakan ada berkaitan dengan pengamalan hadith berkenaan.

“Ya, seelok-eloknya kita mengambil pendapat yang sahih, itu memang tak dapat kita nafikan Cuma jika boleh kita jangan terlalu asing dengan masyarakat walaupun pendapat kita mungkin benar.” Ulas ustaz yang berceramah. Barangkali beliau memberi penekanan dalam hal tersebut. Kemudian beliau menyambung, “ Sebagai contoh qunut subuh, ada pendapat yang kata perlu sebagai contoh pendapat Imam Syafie rahimahullah dan Syafi’iyyah dan ada juga pendapat yang mengatakan tidak perlu qunut subuh. Maka dalam hal ini kita ikut sahaja imam yang solat. Jangan kita memilih pendapat yang kontroversi atau yang ekstrem.” Jelas ustaz tersebut beserta contohnya.

“Camne, setuju?” abang Razak menyoal sambil melihat tepay kearah ku.

Sambil berfikir sejenak aku membalas. “Setuju 50 percent, tak setuju 50 percent.”

“Kenapa pulak?” soalan yang sememangnya aku jangkakan. Walhal, aku mengetahui jauh di sudut hati abang Razak beliau juga tidak berapa setuju dengan pandangan ustaz tersebut secara keseluruhannya.

“Mungkin kita boleh apply hadith ghuraba’ kot?” sengaja aku berlawak.

“Haha..” abang Razak tertawa mendengar respon ku.

“Ana setuju tang kita mesti ikut imam. If solat di masjid yang imamnya qunut, kita qunut, tetapi if solat pada masjid yang imamnya tak qunut, kita tak qunut.” Aku menjelaskan 50 percent pendapat yang aku persetujui.

“Then,pada pandangan ana, kontroversi atau yang ekstrem adalah satu perkara yang subjektif. Kita kata jangan pilih pendapat yang ekstrem, kontroversi. Tetapi tu bila kita nampak apa yang orang lakukan, kita label sebagai ekstrem, tetapi apabila pada diri kita sendiri, ianya tak digelar ekstrem. Adilkah kalau macam tu? Sebab itu ana berpandangan kontroversi atau ekstrem adalah satu perkara yang subjektif. Sebagai contoh kita menganggap orang yang berpegang pendapat tidak perlu qunut subuh adalah sesuatu yang ekstrem akan tetapi bila kita lihat rakyat Malaysia yang bermazhab Syafie, bila pergi Makkah, sampai ada yang pegang buku waktu solat semata nak amalkan ‘qunut pendek’. Ini tak pula kita gelar ekstrem, tak gitu?” penjelasanku panjang lebar sambil membawa contoh yang terlintas di fikiran ku. Pada masa yang sama aku terfikir, siapakah ‘pencipta’ Qunut pendek yang ‘diwajibkan’ kepada para jemaah haji dan umrah untuk membacanya ketika imam I’ktidal dalam solat subuh.

Pada asalnya agak kurang berminat untuk komen akan hal ini. Tetapi atas kesedaran yang timbul dalam hati ini membuatkan aku merasakan harusnya mendedahkan kepada para pembaca berkenaan hal yang berlaku ini, yakni berkenaan pengharaman buku “Pelik Tapi Benar”. Buku yang memuatkan hadith-hadith sahih daripada Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam ini adalah satu kejahilan golongan-golongan tertentu dalam usaha mereka memandulkan pemikiran orang awam supaya jauh daripada hadith-hadith Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam yang sahih.

“Contoh tentang matikan handphone walaupu ketika dalam solat. Sebab haram menganggu jemaah lain ketika sedang solat.” Yusof memberi penerangan kepada sahabatku malam sebelumnya. Aku kemudiannya menambah, “Kita boleh lihat dalam keadaan sekarang ni yang mana orang yang handphone dia berbunyi dibiarkan sampai habis solat, tak boleh nak matikan handphone sebab takut gerak lebih tiga kali batal solat. Walhal Rasulullah Sallahu’alaihi Wa sallam buka pintu dan mengalihkan kaki Aisyah radiallahuanhu ketika baginda sedang solat. Pergerakan ni sudah semestinya melebihi 3 kali gerakan. Ini antara bukti dan dalil yang jelas dibenarkan bergerak dalam solat ketika adanya darurat yang berlaku.” Jelas aku beserta contoh mudah.

“Ye tak ye gak eh?”, Abdullah hanya mengangguk, barangkali memikirkan contoh handphone berbunyi dengan pelbagai nada dering yang menganggu ketika solat berjemaah.

“Contoh lain hadith yang suruh kita bunuh kala jengking atau binatang berbahaya. Kalau nak harap 3 kali gerakan? Tak ke macam robot jadinya? Sedangkan bukan ke dalam hal ni dah jelas hadithnya bagi mereka yang maklum dengan hadith-hadith tu. Kita tidak menafikan ijtihad para imam dalam hal ini tetapi pada masa yang sama janganlah sampai kita sanggup menemplak hadith sahih.”ujarku.

"Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW mengarahkannya agar membunuh dua binatang hitam walaupun semasa solat, iaitu ular dan kala jengking" [Hadith Hasan Sahih Riwayat At-Tirmidzi , 2/234 ,Al-Hakim , 1/386 , Ibn Hibban 6/115 , Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi]

Kita tidak menafikan makruhnya apabila melakukan gerakan sia-sia di dalam shalat, seperti menggerak-gerakan hidung, jenggot, pakaian, atau sibuk dengan hal-hal tersebut. Jika gerakan sia-sia itu sering dan berturut-turut, maka itu membatalkan shalat, tapi jika hanya sedikit dan dalam ukuran wajar, atau banyak tapi tidak berturut-turut, maka shalatnya tidak batal. Namun demikian, disyari’atkan bagi seorang Mukmin untuk menjaga kekhusyukan dan meninggalkan gerakan sia-sia, baik sedikit mahupun banyak, hal ini sebagai usaha untuk mencapai kesempurnaan shalat.

Tetapi pada masa yang sama kita harus akur dan tunduk pada dalil yang menunjukkan bahwa gerakan-gerakan yang sedikit tidak membatalkan shalat, juga gerakan-gerakan yang terpisah-pisah dan tidak berkesinambungan tidak membatalkan shalat, adalah sebagaimana yang bersumber dari Nabi Sallahu’alaihi Wa sallam,

Bahwa suatu hari Nabi Sallahu’alaihi Wa sallam membukakan pintu masuk Aisyah, padahal saat itu beliau sedang solat. [Hadith Riwayat Abu Dawud, dalam kitab Ash-Shalah no.922, At-Tirmidzi, kitab Ash-Shalah no.601, An-Nasa’i, kitab As-Sahw 2 /11]

Diriwayatkan juga dari baginda Sallahu’alaihi Wa sallam, dalam hadith Abu Qatadah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa pada suatu hari beliau solat bersama orang-orang dengan memangku Umamah bintu Zainab, apabila beliau sujud,beliau menurunkannya, dan saat beliau berdiri, beliau memangkunya lagi. [Hadith Riwayat Al-Bukhari, kitab Al-Adab no.5996, Muslim kitab Al-Masajid no.543]

Jika sekadar khuatir diri ini dianggap asing kerana melakukan sesuatu perkara sunnah yang bercanggah dengan amalan masyarakat setempat. Demikian aku mengingatkan pambaca dengan sabda Rasululah Sallahu’alaihi Wa sallam:-

“Agama Islam mulai dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana mulainya, maka thubaa bagi para ghuraba’ (orang-orang yang aisng)”[Hadith riwayat Ahmad, no.11276]

Thubaa’ ialah kehidupan yang baik, atau nama sebuah pohon di syurga sebagaimana disebutkan dalam hadith bahawa seorang penunggang kuda yang kencang memerlukan waktu 100 tahun untuk melewati pohon ini, yang mana pakaian penduduk syurga dibuat daripada kelopaknya.

Nabi Sallahu’alaihi Wa sallam menjelaskan siapakah guraba’ yang dimaksudkan:-

“Yaitu orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang telah dirosakkan oleh manusia setelahku.” [Hadith riwayat Tirmidzhi, no.2630, tetapi hadith ini dhoif sebgaimana keterangan Syeikh Salim Hilali dalam Limadzha Ikhtartu Manhaj Salaf, hlm. 55]

Atau sepertimana sabda Nabi Sallahu’alaihi Wa sallam dalam hadith yang lain:-

“Orang-orang yang soleh di tengah-tengah orang-orang yang buruk. Orang-orang yang menentang mereka lebih banyak daripada orang-orang yang menaati mereka.”[Hadith riwayat Ahmad]

Mungkin ada segelintir manusia yang berusaha dalam pengharaman buku ini. Mereka khuathir buku yang telah berada di pasaran melebihi dua tahun ini dari terus tersebar, akan tetapi mereka lupa bahawa buku ini telahpun tersebar luas dalam masa beberapa tahun dan berapa ramai mereka yang telahpun mengamalkan isi kandungannya. Ada baiknya usaha pihak-pihak ini ditumpunkan kepada pengharaman buku-buku syiah dan liberal yang lebih banyak bertebaran di pasaran kini berbanding menyibukkan diri berusaha memandulkan pemikiran orang awam supaya jauh daripada hadith-hadith Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam yang sahih.

Hatta ianya diharamkan, buku ini masih didapati dijual di beberapa toko buku berhampiran. Para pembaca digalakkan untuk membelinya dan menilai sendiri isi kandungan buku ini. Adalah menjadi fitrah dan akal yang sihat untuk menerima bulat hadith sahih baginda Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof

19 Ogos 2008 / 17 Sya’ban 1429

1:27 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com

Sumber:

http://telagabiru-tbsb.blogspot.com/

http://zahazanmohamed.blogspot.com/

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_bfda5cbe-c0a85062-16ab2e80-d566da54

http://www.telagabiru.net.my/index/buku-bimbingan-rohani/ustaz-abdul-rahman-mohamed-pelik-tapi-benar-dalam-2.html

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_d5538871-c0a85062-16ab2e80-c0710b59



No comments: