Setelah sekian lama menyambut segala jenis macam perayaan, negara Malaysia tiba-tiba digemparkan dengan isu perarakan sempena Mawlid Nabi Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Isu ini hangat dipolitikkan sedemikian rupa, justeru saya hanya ingin mengajak para pembaca lebih bersikap terbuka minda dalam menilai isu yang dibangkitkan melalui tulisan ini.
Segala macam perbuatan dilakukan oleh ummat Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam sebagai manifestasi bagi membuktikan ekspresi cintanya (al-Mahabbah) kepada seorang insan terpilih bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdil Muthalib bin Hashim bin Abdi Manaf bin Qushai bin Kilab ...Nabi Ibrahim, kemuliaannya sesuai dengan makamnya sebagai penutup kepada semua Nabi dan Rasul Allah.
Tetapi sayangnya dalam implikasi konsep al-Mahabbah itu kadang kala menyebabkan kita kurang menekankan aspek pemahaman konsep mengikut (al-Ittiba’) menyebabkan ekspresi itu dipersoalkan oleh ramai pihak, baik golongan yang bersetuju apatah lagi mereka yang menentang perayaan dan rasional sambutan Mawlid Nabi Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam yang bersimbolikkan perarakan,marhaban dan berzanji.
Justeru saya tidak ingin menyambung polemik ini yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin saya bahaskan di sini adalah tentang tatacara dan keberkesanan langkah yang diambil bagi membuktikan kasih sayang kita serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Atas dasar itu setiap kali isu ini ditimbulkan, saya sentiasa mengulangkaji soalan-soalan dasar yang saya rasa penting dalam benak saya yang kemudiannya dimuatkan dalam artikel “Sebelum menyambut ‘Birthday’ Nabi” sekaligus menilai kewajaran mengagungkan hari tersebut dan impak serta kerberkesanannya selepas hari tersebut dirayakan dengan gahnya kemudian melihat dan menilai realiti hari ini.
Cubaan Memahami Dan Menghayati
Saya tidak mahu mendoktrin para pembaca supaya berpandangan seperti saya. Tidak.Bukan tujuan itu artikel ini ditulis. Saya rasa kita faham di sini bahawa ada ulamak yang menyatakan sambutan itu dibenarkan dan ada juga yang tidak membenarkan. Kita hormati kesemuanya selagimana ianya berpijak pada pemahaman Quran dan as-Sunnah yang utuh dengan dalil-dalil yang menyokong , adapun kewujudan tokoh-tokoh yang pernyataannya diambil sebagai hujah walaupun hanya dengan berkata ketiadaan para salaf menyambut perayaan ini bukan suatu hujah, dan ada juga yang berhukumkan perayaan ini sebagai ijmak sekaligus menyalah guna terma hukum dan membodohkan orang awam kerana tidak didasari dengan mana-mana bukti, dalam konteks ini saya ingin mengecualikan mereka kerana hujah omong kosong demikian adalah satu kegagalan pemahaman tentang kepentingan konsep beramal dengan ilmu.
Jika ingin cari pernyataan ulamak pasti kita akan jumpa dengan pelbagai pandangan atau fatwa yang mampu kita kutip serta jadikan panduan. Akhirnya semua isu sebegini berbalik kepada kapasiti kita dalam menilainya. Tapi apapun, saya yakin tidak ada seorang pun ulamak yang membenarkan sambutan ini tanpa memberikan garis panduan yang jelas supaya ianya tidak lari daripada syarak.
Malah ramai juga para ustaz yang tidak selesa dengan sambutan ini tetap memberi ceramah-ceramah di surau atau masjid bagi menerangkan kepentingan mengikut sunah dan mengenal peribadi mulia Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wa Sallam.Apakah itu bermaksud mereka redha dengan perayaan tersebut?
Apa yang perlu kita faham ialah sejauh mana seseorang itu dikatakan menyambutnya? Adakah dengan pergi ke masjid mendengar ceramah perdana maulid dikatakan menyambut? Saya yakin tiada garis panduan jelas bagi mengambarkan definisi tersebut melainkan ianya semua berbalik kepada niat dan kepercayaan masing-masing. Kita perlu ketahui ianya-sambutan ini bukanlah satu bentuk ibadah khusus seperti yang ramai umat islam percayai akibat kebiasaan menyambutnya.
Jika yang difahami dengan sambutan itu ialah sesuatu yang dilihat daripada aspek perayaan seperti perlunya upacara khas seperti mesti dimulakan dengan acara itu dan acara ini pada hari dan tempat tertentu. Maka tiada kesangsian bahawa sambutan sedemikan termasuk dalam kategori yang dilarang kerana kepercayaan kita menyebabkan kita membataskan sesuatu mengikut kriteria masa,tempat atau/dan kaedah walhal ianya tidak berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Bersetuju dengan perkara yang kita persetujui
Ya,kita masing-masing punya pandangan tersendiri dalam hal ini. Tetapi di sebalik perbezaan yang kita faham, kita juga tahu wujud persetujuan dan persamaan yang boleh kita fikir-fikirkan daripada mencari-cari perbezaan di sebalik kekhilafan ini.
1. Kita bersetuju bahawa wajib mencintai Nabi dan mencontohinya dalam kehidupan seharian. Malah memuliakan Nabi dan mengasihi Nabi yang sangat dianjurkan oleh Allah dalam kitab suciNya.
2. Kita bersetuju bahawa terdapat pelbagai pandangan para ulamak dalam isu merayakan mawlid Nabi ini dan mereka para ulamak yang merupakan pewaris Nabi mewajibkan kita mencontohi Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam.
3. Kita bersetuju bahawa melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia yang menjadu petunjuk dan panduan dalam beramal adalah suatu perkara yang penting.
4. Kita bersetuju bahawa sejarah membuktikan bahawa perayaan sebegini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alahi Wa Sallam dan para sahabat yang paling mencintai baginda Nabi tiada tolok bandingannya dan tidak dapat dibandingkan dengan umat Islam kini.
5. Kita bersetuju bahawa perayaan Mawlid Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam ini bukanlah satu ibadah khusus yang mana terdapat sebarang fadhilat baik daripada al-Quran dan as-Sunnah dan merayakannya hanyalah sebagai tanda kebesaran atas sebab kemuliaan Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam.
6. Kita bersetuju bahawa tarikh lahir Nabi Muhammad mengikut para ulamak dan ahli sejarah Islam dahulu dan sekarang tidak sependapat dalam menetapkan tarikh tepat keputeraan baginda Sallallahu ‘alahi Wa Sallam (ada yang berpandangan pada 8 atau 9 atau 10 atau 11 atau 12 Rabiulawwal), tetapi kita bersetuju sepertimana mereka bersetuju bahawa Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam lahir pada hari Isnin, bulan Rabiulawal, dan juga di tahun Gajah!
7. Kita bersetuju bahawa orang yang mula-mula merayakan perayaan ini sesungguhnya berasal daripada pemerintahan Al-Fathimiyyun Al-Ubaidiyyun yang dinisbahkan kepada Ubaidillah bin Maimun Al-Qoddah (yang mana beliau merupakan seorang yahudi seperti yang dinyatakan oleh Ibn Katsir dalam kitab al-Bidayah Wan Nihayah).
8. Kita juga bersetuju bahawa perarakan pada Mawlid Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam tidak dapat melahirkan umat yang sedar akan kepentingan mengikuti sunnah Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam dalam kehidupan seharian jika dibandingkan dengan mengadakan acara-acara yang lebih bermanfaat. Contohnya seperti mengadakan kuliah agama dengan membaca kitab-kitab yang memuji dan mengandungi sejarah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, atau kita mengadakan syarahan yang berkaitan dengannya serta mengajak masyarakat memahami kepentingan meneruskan inti perjuangan Nabi yakni melakukan islah dan berdakwah berkenaan risalah Islam.
9. Kita bersetuju dengan pandangan Imam as-Suyuthi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Ibnu Hajar al-Haitami bahawa wajib kita menegah apabila Mawlid Nabi Sallallahu ‘alahi Wa Sallam ini dirayakan dan disertai sama dengan perkara-perkara maksiat atau bid’ah dalam agama sepertimana yang dinukilkan oleh Muhammad al-Fadhil bin ‘Asyur apabila membincangkan percanggahan pendapat yang mula berlaku tentang hukum menyambut perayaan ini.
10. Kita bersetuju bahawa di sebalik perbezaan pandangan yang mungkin kita dialogkan, tetap ada persamaan yang kita persetujui, persamaan kita lebih banyak daripada perbezaan bergantung kepada apa yang ingin kita fokuskan.
Kesimpulan
Saya tidak tahu bagaimana mahu menyimpul artikel kali ini. Namun saya tetap dengan kesimpulan sejak menulis artikel bertajuk, "Jangan Jadi Penipu Besar Sambut Maulid Nabi" bahawasanya yang ingin raikan Mawlid Nabi wajar tahu batasnya, yang tidak mahu meraikan Mawlid Nabi wajar tahu akhlaknya.
Hal ini adalah penting kerana kita tidak mahu kecintaan (al-Mahabbah) kita tidak diiringi dengan mengikut (al-Ittiba') sunnah ajaran baginda Nabi Sallallahu 'alahi Wa Sallam. Sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman.
Kita juga tidak mahu menjadi seperti Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi Sallallahu 'alahi Wa Sallam. Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada baginda Sallallahu 'alahi Wa Sallam. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi s.a.w. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Nabi s.a.w.
Justeru, al-Mahabbah dan al-Ittiba’ ini mesti wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah Sallallahu 'alahi Wa Sallam.
Wallahu’allam.
Ibn Yusof
24 February 2010/10 Rabiul Awwal 1431
2.26a.m
www.ibnyusof.blogspot.com
No comments:
Post a Comment