Saturday, February 13, 2010

Jual beli Yang Dilarang Dari Perspektif Fiqh Muamalah

Jual beli merupakan perbuatan yang halal serta merupakan kata lawan dalam ayat larangan riba yang diharamkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Adapun yang menganggap bahawa penghalalan jual beli yang dimaksudkan di dalam ayat Quran tersebut adalah penghalalan secara mutlak yang melibatkan semua jenis jual beli adalah salah faham semata apabila ayat tersebut hanya difahami secara zahirnya sahaja. Atas dasar itu pemahaman terhadap kaedah fiqh dalam memahami fiqh muamalat adalah sangat penting bagi mengelak kesalah fahaman sehingga menjerumuskan umat islam ke dalam transaksi yang dilarang dari sudut syarak.

Jual beli tidak semuanya sah belaka, ada juga yang boleh dikategorikan sebagai tidak sah dan ada pula yang hukumnya haram. Beberapa contoh jual beli yang dilarang dan batal hukumnya adalah seperti berikut:

1. Menjual barangan haram

Barang yang telah dihukumkan najis oleh agama seperti berhala, arak, babi, bangkai dan sebagainya.

“ Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual arak, bangkai, babi dan berhala” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

2. Menjual sperma binatang

Menjual sperma binatang, seperti mengahwinkan lembu jantan dan lembu betina demi mendapatkan keturunan. Jual beli jenis ini hukumnya haram kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melarangnya.

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melarang menjual air mani binatang” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

3. Menjual binatang dalam kandungan

Menjual beli anak binatang yang masih berada dalam perut ibunya. Jual beli jenis ini dilarang kerana anak binatang itu masih belum tentu lahir dan tidak kelihatan.

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melarang penjualan sesuatu yang masih dalam kandungan induknya” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

4. Jual beli muhaqallah

Menjual beli tanaman yang masih berada di ladang atau sawah adalah dilarang kerana adanya kebarangkalian berlakunya riba. Jual beli ini juga dinamakan jual beli muhaqallah.

5. Jual beli mukhadharah

Menjual beli buah-buahan yang masih belum masak adalah dilarang. Seperti yang dijelaskan sebelum ini kerana ketidak tentuannya yang mana berkemungkinan buah-buahan tersebut ditiup angin kencang atau tidak masak kerana pokoknya itu mati. Hal seperti ini menyebabkan pembelinya tidak dapat memperoleh buah-buahan yang dibelinya pada tempoh masa yang dingini. Jual beli ini juga dinamakan jual beli mukhadharah.

6. Jual beli muammasah

Menjual beli secara sentuhan adalah dilarang di dalam Islam. Contohnya jika seseorang itu menyentuh barangan tersebut maka ianya dikira sebagai membeli barangan tersebut. Jual beli seperti ini akan menyebabkan pembeli mengalami kerugian. Jual beli ini juga dinamakan jual beli muammasah.

7. Jual beli mubabazah

Menjual beli dengan melempar barangan yang ingin dijual. Apa sahaja yang dilemparkan oleh penjual akan disambut oleh pembeli. Tanpa mengetahui apa yang akan disambut oleh pembeli, ini boleh mengakibatkan penipuan dan sebagainya. Jual beli ini juga dinamakan jual beli mubabazah.

8. Jual beli muzabanah

Menjual beli buah yang basah dengan harga buah yang kering, atau menjual padi yang kering dengan harga padi yang basah adalah dilarang. Hal ini adalah kerana padi yang basah akan mengakibatkan timbangan menjadi berat dan wujud unsure penipuan dalam transaksi sebegini. Jual beli ini juga dinamakan jual beli muzabanah. Kesemua jual beli di atas dirangkumkan di dalam satu hadis yang bermaksud:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli muhaqallah, mukhadarah, mulammassah, munabazah, dan muzabanah” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

9. Jual beli dua akad jenis jual beli dalam satu

Menetukan dua harga dalam satu barang yang diperjual belikan. Jual beli ini juga dinamakan jual beli Shafqatayn fi shafqah atau Bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua akad jenis jual beli dalam satu). Terdapat beberapa perbezaan contoh pengertian berkenaan jual beli jenis ini mengikut tafsiran para ulamak iaitu:

- Menjual baju dengan harga RM30 secara tunai dan RM 50 jika ianya secara tangguh. Dan pembeli bersetuju tanpa mengkhususkan sama ada ingin membeli secara tunai atau secara tangguh.

- Menjual baju dengan harga RM30 secara tunai atau dengan sebuah radio pada masa akan datang. Kedua-dua belah pihak baik penjual atau pembeli bersetuju tanpa mengkhususkan mana satu barang yang dingini.

- Menjual tanah dengan harga RM 10 ribu dengan syarat pembeli menjual keretanya dengan harga RM5 ribu.

- Menjual dua barangan berbeza dengan harga yang berlainan iaitu sabun pencuci yang berharga RM5 bersama dengan pinggan berharga RM 5. Ianya terikat yang mana sabun pencuci mesti dibeli bersama dengan pinggan.

-Menjual komputer dengan harga RM1000 secara ansuran dalam masa 10 bulan dan dengan syarat penjual membeli computer ini semula daripada pembeli dengan harga RM 8000 secara tunai.

Kesimpulannya, dua akad dalam satu adalah antara jual beli yang dilarang di dalam Islam berdasarkan perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang dari membuat dua belian (akad) dalam satu aqad" (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Bazzar dan Al-Haithami)

10. Jual beli yang mempunyai unsur ketidakjelasan (gharar)

Menjual beli sesuatu yang tidak mempunyai kepastian yang jelas. Jual beli ini mempunyai unsure yang digelar gharar (ketidakpastian atau samar). Jual beli ini berkemungkinan terjerumus dalam penipuan seperti mana menjual ikan di dalam laut atau buah pada pokok yang belum berbuah. Larangan ini berdasarkan perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

“Janganlah kamu membeli ikan di dalam air, kerana jual beli seperti itu termasuk gharar” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

11. Jual beli yang melibatkan paksaan

Sekiranya seseorang itu dipaksa dalam melakukan urusan jual beli, jualan tersebut adalah tidak sah. Tetapi ada pendapat para ulamak yang berpadangan bahawa sekiranya wujud keredaan selepas berlaku paksaan, jual beli tersebut adalah sah. Ada juga yang berpadangan jual beli sebegini tidak mengikat antara pembeli dan penjual, oleh itu berlaku kebebasan memilih sama ada ingin meneruskan pembelian tersebut atau membatalkannya selepas paksaan itu selesai.

12. Jual beli daripada orang yang tidak waras (orang gila)

Orang gila pada sudut syarak tidak mempunyai kelayakan yang sempurna dalam melakukan apa-apa transaksi. Maka jual beli yang melibatkan orang gila adalah tidak sah dan terbatal. Hal ini juga terjadi jika jual beli yang terjadi melibatkan orang yang sedang mabuk atau orang yang khayal akibat ketagihan dadah.

13. Jual beli melibatkan orang buta

Jual beli ini adalah sah mengikut kebanyakan para ulamak fekah, seandainya mereka (orang buta) mendapat gambaran yang jelas tentang transaksi. Namun hanya mengikut pandangan mazhab Imam Syafie, transaksi melibatkan orang buta adalah tidak sah kerana orang buta tidak memiliki keupayaan untuk menghayati secara sempurna barangan yang dijualkan kepadanya.

14. Jual beli oleh kanak-kanak kecil

Mengikut kesepakatan para ulamak, kanak-kanak kecil yang masih belum matang akal fikirannya (mumayyiz) adalah tidak sah jual belinya. Tetapi jika dia berkemampuan untuk membezakan sesuatu barangan, para ulamak fekah berbeza pendapat tentang sah atau tidak jual belinya. Mengikut mazhab Syafie, ianya adalah tidak sah sebab kanak-kanak itu tidak memenuhi kelayakan untuk terlibat dalam apa-apa transaksi. Manakala mazhab lain seperti Hanafi, Maliki, dan Hanbali memilih pandangan ianya dibolehkan sekiranya penjaga kanak-kanak itu membenarkannya. Hal ini berdasarkan firman Allah yang mengkehendaki supaya anak-anak yatim diuji sebelum diberikan wang milik mereka.

“Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya. Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut. Kemudian apabila kamu menyerahkan harta kepada mereka, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (tentang penyerahan itu) bagi mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (atas persaksian itu)”. [An-Nisa’ 4:6]


15. Jual beli seorang wakil atau perantara

Jual beli yang dibuat seorang perwakilan adalah dibenarkan, tetapi ianya juga boleh menjadi jual beli yang terlarang apabila orang yang diwakilkan menjaga barang atau amanah tersebut menjualnya tanpa kebenaran atau keizinan penjaganya. Mengikut sesetengah pandangan para ulamak, jual beli sebegini adalah tertangguh sehinggalah pemilik sebenar memberikan persetujuannya. Jika pemilik sebenar kepada barangan itu, maka jual beli itu adalah sah. Dan kesan persetujuan daripada pemilik itu berkesan seperti mana berlakunya kontrak. Tetapi jika wakil tidak mendapat keizinan pemilik sebenar maka ianya sama seperti menjual beli sesuatu barang tanpa pemilikan daripada amaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Jangan menjual sesuatu yang bukan kamu miliki”

Seorang pewakil atau perantara yang diamanahkan untuk menjual sesuatu barangan dengan tempoh atau syarat-syarat tertentu yang diberikan oleh pemilik sebenar. Jika wakil itu mengubah syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka jual beli itu adalah tidak sah dan hanya boleh menjadi sah apabila dipersetujui oleh pemilik sebenar. Contohnya jika A menyuruh B menjual barangannya dengan harga RM100. Tetapi A berjaya menjual barangan B kepada C dengan harga yang lebih murah, maka transaksi ini perlulah mendapat kebenaran A terlebih dahulu supaya a tidak mengalami kerugian akibat perbuatan B.

16. Jual beli seseorang di bawah tegahan (majhur)

Jual beli sebegini ditegah kerana seseorang yang pada asalnya adalah berkelayakan dalam melakukan transaksi, tetapi akibat sesuatu faktor luaran seperti ditimpa penyakit atau gila. Hal ini adalah kerana individu terbabit dihalang daripada taklif (tanggungan). Tetapi hal ini sama seperti mana kes jual beli kanak-kanak, yang mana ada para ulamak berpandangan ianya dibenarkan jika mendapat keizinan penjaganya. Manakala jika seseorang individu itu dihalang oleh factor muflis, ianya bergantung pula kepada keizinan pemiutangnya. Keizinan penjaga atau pemiutang ini, yang akan menentukan sahnya jual beli yang terlaksana itu.

17. Jual beli yang melibatkan orang bodoh

Jual beli yang melibatkan orang bodoh yang tidak dapat memberikan isyarat yang jelas melibatkan transaksi itu tidak jelas. Jika individu itu mampu memberikan isyarat yang jelas seperti menulis dan sebagainya, jual beli ini boleh menjadi jual beli yang sah.

18. Jual beli yang tidak sama tawaran dan penerimaannya

Jual beli ini adalah akibat ketidak samaan kesan ke atas kontrak yang dipersetujui, contohnya jika seseorang menjual bajunya dengan harga RM 10, tetapi pembelinya pula bersetuju membelinya dengan harga RM8. Contoh dialognya: “Saya beli baju ini dengan RM10.” Manakala ucapan itu disambut dengan ucapan “Saya beli dengan harga RM8.”

19. Jual beli secara hutang dengan hutang (nasi’ah)

Jual beli ini adalah jual beli hutang dengan ansuran dan akan dibincangkan lebih lanjut di dalam topik hutang.

20. Jual beli air yang merupakan harta awam

Kebanyakan para ulamak menganggap bahawa menjual air yang merupakan hak peribadi adalah sah. Contohnya air mata air atau air di dalam perigi. Tetapi apa yang diharamkan ialah menjual beli air yang merupakan harta awam.

21. Jual beli melibatkan bayaran dari sumber haram

Jual beli ini boleh melibatkan jualan barangan yang halal, cuma sahaja sumber perolehan daripada bayaran itu diketahui adalah daripada sumber yang jelas diketahui haram.

22. Jual beli melibatkan deposit (urbun)

Jual beli yang melibatkan pembayaran deposit atas sebab-sebab tertentu adalah tidak dilarang malah dibolehkan. Cuma sahaja jika penjual meletakkan syarat bahawa sekiranya pembeli mengambil keputusan menarik balik semula keputusan untuk tidak terlibat atau meneruskan kontrak, maka deposit itu dikira hangus. Maka jual beli yang melibatkan deposit itu hangus adalah dilarang dan dikira batal kerana ketetapan yang telah diletakkan oleh penjual pada awal kontrak untuk tidak memulangkan deposit jika pembeli tidak berhasra,t meneruskan kontrak. Walau bagaimanapun, mazhab Hanbali membenarkan kontrak sebegini dilakukan manakala yang lain tidak membenarkannya.

Jual beli yang dijelaskan sebelum ini adalah jual beli yang terlarang atau tidak sah akibat beberapa faktor lain.. Walau bagaimanapun, ada juga jual beli yang dilarang oleh agama, tetapi sah hukumnya, Cuma sahaja orang yang melakukannya mendapat dosa. Antara jenis-jenis jual beli adalah seperti berikut:

  1. Menemui orang-orang di desa sebelum pergi ke pasaran untuk membeli barangan secara murah akibat orang-orang desa yang tidak mengetahui harga sebenar menikut pasaran semasa. Barangan yang dibeli daripada orang-orang desa atau pendalaman itu dijual dengan harga yang sangat tinggi. Perkara ini selalunya terjadi di kawasan yang lokasinya terletak di daerah perbatasan antara kota dan kampung. Jual beli ini tidak menjadi masalah sekiranya orang-orang desa atau pendalaman mengetahui harga pasaran semasa.
  2. Menawar barang yang telah ditawar oleh orang lain. Contoh pembeli lain menyatakan kepada penjual supaya menolak tawaran yang dibuat oleh pembeli tersebut supaya dia dapat membelinya walaupun terpaksa dengan membayar harga yang tinggi. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan yang bermaksud:

“Tidak boleh seseorang menawar di atas tawaran saudaranya” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

  1. Menjual beli melalui bidaan atau lelongan secara palsu. Jual beli ini dinamakan juga sebagai An-Najash. Lelongan dan bidaan dirancang secara palsu supaya harga lelongan dapat dinaikkan. Begitu juga dengan kelakuan mempromosi barangan dengan kata-kata yang dirancang seperti memuji kualitinya secara berlebih-lebihan demi menaikkan harga bidaan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli najash seperti mana hadis yang bermaksud:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melarang melakukan jual beli dengan najashi” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

  1. Menjual di atas penjualan orang lain. Contohnya jika seseorang menyuruh pembeli memulangkan barangan yang dibelinya kepada penjual supaya pembeli itu membeli barangan tersebut daripadanya dengan tawaran yang lebih murah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan yang bermaksud:

“Seseorang tidak boleh menjual atas penjualan orang lain.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jama’ah mendatangkan kaedah yang berbunyi Al-Ashlu fil Ibadah al-Haram Illa Ma Dalla ad-Dalil ‘ala Amrihi (Hukum asal dari ibadah adalah haram kecuali ada dalil yang memerintahkan). ’ Berbeza pula dengan kaedah dalam muamalah yakni ‘Al-Ashlu fil muamalah al-Ibahah Illa ma dalla ad-Dalil ‘ala khilafihi (Hukum asal di dalam muamalah adalah boleh kecuali ada dalil yang menyelisihinya)’. Justeru daripada kaedah muamalah itu perlu kita fahami bahawa asal hukum transaksi itu hukumnya harus sehinggalah hukum asal tersebut boleh berubah apabila ianya melibatkan elemen yang telah jelas diharamkan di dalam Islam sepertimana contoh-contoh yang telah diberikan.

Jika konsep ibadah dan muamalah yang mudah ini tidak dapat difahami dengan jelas oleh umat Islam, maka tidak mustahil perselisihan pendapat berlaku dalam menentukan apakah ibadah atau muamalah yang dilakukan itu layak atau tidak diterima Allah. Subhanallahu Ta’ala.

Wallahu’allam.

Ibn Yusof

13 February 2010 / 29 Safar 1431

12.59 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com

No comments: