Wednesday, December 31, 2008

Antara Falsafah, Sufi dan Tasawuf



Saya bukan ahli dalam bab falsafah, sufi mahupun tasawuf! Dan tidak pernah terfikir untuk menulis dalam bab ini. Baru sahaja berjinak-jinak dalam bab ini apabila Edry tertinggal buku The Basic of Western Philosophy karya Eugene Kelly yang berharga RM 102.90 di dalam bilik suatu ketika dahulu. Walaupun gemar membeli buku, saya merasakan duit sebanyak itu lebih utama disalurkan untuk membeli buku-buku ekonomi, hadis atau fiqh sesuai dengan pengkhususan buat masa ini. Hanya dengan membelek isi-isi buku tersebut, saya tahu bahawa agak sukar untuk saya menghadamkan isinya.

Malah, beliau sendiri mengakui bahawa sesetengah bab dalam buku itu mengambil masa hampir seminggu untuk menghadam isinya apatah lagi saya yang membaca tanpa minat dan sekadar mengisi lompong perasaan ingin tahu. Kami berdua kemudiannya mengikuti beberapa kelas Xifu Nasir di Islamic Information Service bertajuk Critical Thinking in Philosophy. Dan bab falsafah ini semakin menarik minat saya bila Xifu menyentuh rangkaian antara falsafah,sufi dan tasawuf sewaktu menghuraikan magnum opus Ibn Khaldun, Al-Muqaddimah. Apabila membaca tulisan saudara wan berkenaan ulasan beliau mengenai dua tokoh agung yang dirujuk dalam bidang falsafah yakni Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Al-Imam al-Ghazali, saya tergerak hati untuk mengulas sama premis yang saudara wan utarakan.

Pertamanya, saya bersetuju dengan komen saudara faisal dan yussamir (di dalam blog beliau) terhadap tulisan saudara wan tersebut. Rasanya tidak perlu saya ulangi pernyataan mereka, cuma saya ingin mengulas beberapa perkara yang tidak disentuh lagi dalam mengupas isu ini sekadar kemampuan dan kefahaman yang ada. Sekadar pembacaan yang serba kekurangan ini saya akan cuba merungkai dua premis yang saudara wan nyatakan di dalam tulisannya insyaAllah.

Falsampahkah Disiplin Logik?

Jika hendak dibezakan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan Imam al-Ghazali, kedua tokoh ini mempuyai peringkat yang tersendiri. Maka saya tidak boleh kata tidak untuk sangat bersetuju jika kita mampu menyimpulkan bahawa masing-masing mempunyai kelebihan dalam bidang yang mereka kuasai. Tetapi jika ada kumpulan tertentu yang menyama ratakan mereka ini malah mengecam Imam al-Ghazali tanpa usul periksa dan justifikasi yang jelas. Maka jelas mereka ini tidak mengetahui atau mengikuti manhaj kedua tokoh ini dengan jelas.

Artikel saya ini bukan bertujuan membandingkan tokoh-tokoh yang akan dibincangkan. Tetapi bertujuan menghuraikan kekusutan sesetengah pihak dalam berbicara soal falsafah dan disiplin logik. Jika para pembaca berminat membandingkan keilmuan tokoh-tokoh dalam sesuatu bidang (sebagai contoh bidang falsafah yang melibatkan dua tokoh agung seperti Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali), ianya akan menjadi lebih menarik jika mereka yang ingin membuat perbandingan dan berbicara soal Imam Al-Ghazali, wajib membaca buku-buku mahupun kitab-kitab Imam Ibn Taimiyyah secara TOTAL dan kesan karya-karyanya yang member kesan pada Tamadun Umat Islam dari dahulu hingga saat ini.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah memang terkenal dengan kelantangan dan keberaniannya menolak disiplin logik, tetapi bukanlah beliau yang mempeloporinya. Hal ini adalah kerana Imam As-Suyuti rahimahullah dalam kitab beliau bertajuk Sawn al-Mantiq wa al-Kalam an Fan al-Mantiq wa al-Kalam, telah menghimpunkan pernyataan para ulama’ yang muktabar seperti Imam As-Syafie,Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Malik yang telah lebih awal berijtihad untuk menolak disiplin Logik dengan tujuan menjauhkan umat Islam daripada mendekati ilmu logik. Atas sebab ini Imam Ghazali cuba menggunakan istilah baru dalam karya-karya beliau seperti Miyar Al-Ilm, Mihak Al-Nazar, Al Qistas Al-Mustaqim. Hal ini adalah kerana disiplin logik adalah kurang disenangi oleh kebanyakan orang dizamannya.(Rujuk Ketokohan al-Ghazzali di Dalam Bidang Logik oleh Dr Mohd Fauzi Hamat, Penerbitan Universiti Malaya)

Apakah para ulama yang menolak ilmu disiplin logik ini seperti imam As-Syafie sendiri salah dalam hal ini? Antara komentar Imam As-syafie dalam berbicara tentang ilmu kalam di dalam kitab Al-Ibanah berkata:-
“Aku tidak mengetahui adanya orang yang menggeluti sesuatu dari ilmu kalam kemudian dia
meraih keberuntungan” (Imam Syafie Mencela Ilmu Kalam, Majalah As-Sunnah April 2008)

Apa yang cuba diterangkan oleh Imam As-syafie dalam pernyataan-pernyataan beliau dalam mengingatkan supaya tidak memasukkan akal, filsafat, logika, dan debat dalam membincangkan perkara-perkara ghaibiyyat, perkara aqidah, mengenal nama, sifat dan perbuatan Allah Azza Wa Jalla.

Mereka (para ulama yang menolak disiplin logik) menolak disiplin Logik ini adalah kerana mereka menggunakan konsep saddu zaro'i yang didoktrinkan di dalam ilmu Usul Fiqh. Mengapa? Kerana mereka, para ulama' bimbang terhadap risiko orang awam yang mungkin terjerumus ke lembah kesesatan, hasil aplikasi kaedah logik sepertimana ahli-ahli falsafah terdahulu yang menggunakan ilmu Logik ini dalam berbicara soal Metafizik dan ketuhanan. Perkara ini telahpun disentuh di dalam Tahafut oleh Imam Al-Ghazali sendiri dengan menyatakan kegagalan mereka yang terjerumus akibat tidak mematuhi kaedah logik yang telah diterapkan oleh para ulama yang pakar dalam logik sendiri.

Dalam bahasa mudahnya ialah apabila aqal diletakkan melebihi naqal, maka wahyu itu gagal difahami dan diimani seperti yang diwajibkan lebih-lebih lagi jika persoalan ketuhanan yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat awam. Jelas di sini konsep saddu zaro'i yang digunakan para ulama ini berasas. Mereka berijtihad menolak logik secara total, manakala Imam Al-Ghazali pula memilih untuk tidak menolaknya secara total. Dengan menghormati pandangan kedua-dua pihak, saya berpandangan sepertimana pandangan jumhur ulama' yang mensyaratkan seseorang yang ingin merenangi ilmu logik mestilah orang yang benar-benar mempunyai kecerdasan yang tinggi dan sentiasa menghayati ajaran Al-quran dan As-sunnah. Pandangan ini bertujuan mengelak orang yang tidak berautoriti daripada bersuara dan mendatangkan kekeliruan dalam benak masyarakat. Akal yang cerdas dan hati yang terikat dengan prinsip ajaran wahyu dapat memastikan disiplin logik tidak disalah guna atau disalahfahami. Wallahu'allam.

Berkenaan Magnum Opus Imam al-Ghazali yakni Ihya' ulum al-Din yang dikritik hebat oleh beberapa ulama' (saya tidak mahu menumpukan perbicaraan tentang golongan Wahabi atau Salafi sahaja kerana ada ramai juga para ulama muktabar yang tidak dilabel Wahabi mengkritik kitab tersebut) adalah suatu perkara biasa yang tidak wajar untuk kita latahkan. Jika kita mampu membaca perkataan-perkataan mereka, kita akan mendapati bahawa dalam kritikan para ulama’ tetap adanya pujian dan pengiktirafan terhadap tokoh agung tersebut. Cuma sahaja beberapa tulisan yang ghuluw (melampau) sahaja yang mengkritik tanpa penilaian peribadi yang adil. Hal ini adalah kerana seperti apa yang saya katakan, mereka (para ulama) yang mengkritik karya Al-Imam Al-Ghazali tetap mengiktiraf karya agung beliau dalam bidang Usul Fiqh seperti al-Mustasfa min 'ilm al-isul.

Tiada kitab di muka bumi ini sesempurna himpunan kalamullah yakni Al-Quran Al-Karim. Jika kita dapat menerima hakikat ini, maka sudah tentu kita akan mengiktiraf tokoh-tokoh agung ini sesuai dengan sumbangan yang telah mereka usahakan. Walaupun Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah jika dibandingkan dalam ilmu dan bidang falsafah tidak sehebat Imam al-Ghazali, dalam bidang hadis pula mungkin sebaliknya. Jika dinyatakan golongan Wahabi bersikap melampau dalam mengagungkan nama Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, begitu juga halnya dengan nama Imam Al-Ghazali yang dijaja oleh golongan sufi, tarikat dan tabligh untuk menghalalkan amalan mereka. Jika ingin membuat perbandingan justeru ianya tidak akan berkesudahan.

Anti-Sufi atau NeoSufism?

Cuma tidak wajar bagi kita untuk ‘menuduh’ seseorang tokoh sebelum tabayyun (meneliti). Terutama pernyataan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah menolak golongan atau ajaran sufi dan tasawuf secara total jelas menunjukkan kesalah fahaman dalam mendalami dan mengenali beliau. Hal ini kerana dalam tulisan-tulisan beliau yang hanya mengkritik golongan atau ajaran sufi dan tasawuf yang menyeleweng daripada syariat Allah (Rujuk Video Seminar Menilai Sufi dan Tarikat dengan Syariat Allah).

Penilaian Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah terhadap golongan tasawwuf dan sufi berbeza dengan penilaian beberapa ulama sebelumnya, seperti Imam al-Ghazali dan ulama sufi umumnya. Penilaian Ibn Taymiyyah atas sufi sangat 'khas', yakni tidak menolak ajaran tasawuf sebagai suatu cara yang salah dan bid’ah sekaligus tidak menerimanya sebagai “satu-satunya” cara mendekatkan diri pada Allah yang mesti benar dan paling baik seperti sesetengah para ulama' yang lain. Ibn Taymiyyah tampaknya lebih bersikap pertengahan antara mereka yang bersikap keras menolak sepenuhnya ajaran dan praktik tasawuf dan mereka yang memandang tasawuf sebagai ajaran tiada tolok bandingannya. Hal ini sesuai dengan pernyataannya bahawa tasawuf hanyalah sebuah metod dalam berijtihad.

Jika tidak masakan Ibn Taymiyyah mengkategorikan sufi kepada tiga tingkatan di dalam kitabnya yang terkenal yakni Majmu’ Fatawa?

1) Tingkatan pertama, masyayikh al-Islâm, mashayikh al-Kitâb wa al-Islâm atau ’a'immat al-Hudâ,yaitu para sufi yang menempuh jalan kebenaran.

2) Tingkatan kedua para sufi yang pengalamannya dalam fanâ yang melakukan hal-hal yang bertentangan dengan syari’ah, namun cepat atau lambat keadaan mereka akan beransur baik.

3) Tingkatan ketiga pula adalah tertumpu kepada sesetengah sufi yang diketahui mengamalkan aktiviti atau amalan yang bercanggah dengan ajaran syariah sehingga membawa kepada kesesatan yang nyata. Sebagai contoh amalan sesetengah ahli sufi yang berzikir dengan nama Allah dalam ism al-mufrad sedangkan Rasulullah Sallahu'alaihi Wa Sallam mengajar zikir dalam kalimah yang sempurna (al-jumlat al-tammah).

Ibn Taymiyyah sesungguhnya bukanlah musuh sekaligus penentang keras tasawuf. Sememangnya dalam tulisan-tulisan beliau ada melontarkan kritikan yang tajam terhadap beberapa ahli sufi seperti al-Hallaj disebabkan konsep hululnya, Ibn al-‘Arabi dengan keimanan Wahdatul Wujudnya dan pendokongnya, tetapi beliau juga memberikan penghormatan yang cukup tinggi terhadap sufi lainnya, semisalnya Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani, Fudayl Ibn Iyad, dan Junayd al-Baghdadi. Jelas di sini bahawa gelaran anti-sufi atau anti-tasawuf yang dilabel kepada Ibn Taimiyah oleh sesetengah pihak adalah tidak tepat, tulisan-tulisan Ibn Taimiyah lebih menjurus kepada mengubah haluan tasawuf supaya tidak hanya tertumpu pada pola pengembangan peribadi tetapi juga masyarakat secara umumnya.

Kesimpulannya, apa jua metod dan manhaj yang diguna pakai oleh tokoh-tokoh agung ini dalam penilaian mereka,baik kriteria penilaian ke atas falsafah, disiplin logik, sufi dan tasawuf itu memang perlu sepenuhnya didominasi oleh keutamaan syari’ah. Implementasi praktis sedemikian diharap berupaya mengarahkan kembali semua rantaian ilmu ini ke pangkuan Al-Haq. Secara ringkasnya, manhaj para ulama’ agung dalam sesuatu bidang itu tidak lain tidak hanya bertujuan untuk menyesuaikannya dengan apa yang diajarkan oleh Rasul serta para sahabatnya yang soleh (al-salaf al-shalih).
Wallahu’allam.

Rujukan artikel-artikel tambahan perihal sufi dan tasawuf:-

Presiden IQ Menulis Tentang Tasawwuf

Kekeliruan Golongan Sufi dan Tarikat

Ibn Yusof
1 Januari 2009 / 4 Muharram 1430
9.47 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Wednesday, December 17, 2008

DMC 5 Dari Lensa Ibn Yusof


Ahli Keluarga Pihak Lelaki DMC 5 (Termasuk Jurukamera)

Syukur ke hadrat Allah Subhanallahu Taala, Daurah Musim Cuti ke 5 telahpun melabuhkan tirainya. Jika program ini selalunya dilakukan di Bukit Mertajam, Penang yakni bertempat di Institut Al-Qayyim. Kali ini pihak kami di INTIS Consultant & Training bertuah apabila mendapat kerjasama daripada pihak ahli Jawatankuasa Darul Hadith, Melaka.

Sepertimana Daurah Musim Cuti ke 4, suka sekiranya penulis berkongsi serba sedikit ilmu yang diperolehi agar teman-teman yang tidak dapat turut serta dalam program kali ini dapat memperoleh manfaat darinya. Tanpa menafikan wujud masalah dalam pengurusan program dari pihak kami, kami tetap bersyukur apabila mampu menyatakan objektif program ini tercapai hampir keseluruhannya. Andai kata penulis diberi peluang untuk menggambarkan perasaan penulis dalam lima perkataan berkenaan program ini, penulis akan katakana “Ukhwah terjalin,Ilmu Tak Kering”.

Program kali ini berjaya mengumpulkan 56 orang peserta, majoritinya baik mahasiswa mahupun mahasiswi dari pelbagai latar belakang yang berbeza dan institut pengajian tinggi dari seluruh tanah air. Menjadikan program-program daurah sebelum ini sebagai satu medium untuk bukan sahaja menambah ilmu, tetapi juga menjalinkan hubungan sesama teman-teman dari tempat yang berbeza. Dari pihak peserta lelaki, ukhwah semakin terserlah apabila semua peserta mampu mengingati nama dan latar belakang masing-masing.

Semasa sesi taklimat, penulis selaku penyelaras program menekankan objektif sebenar program di samping menekankan proses output yang merupakan unsur yang paling penting dalam usaha dakwah. Sebagai contoh, seseorang itu mampu menghadiri seribu kuliah agama dan ternyata banyak ilmu yang diketahuinya, tetapi apabila berhadapan dengan peluang untuk menyampaikan dakwah, maka individu tersebut sukar dan tidak berjaya menyampaikan ilmunya dengan efektif. Maka jelas seni berdakwah yakni proses output ini adalah satu unsur yang amat penting dan tidak boleh dipandang enteng.

Atas dasar itu kami di pihak penganjur mengambil inisiatif ini untuk mengimbangi kedua-dua proses yakni input dan output secara saksama di sepanjang program ilmu ini. Para peserta bukan sahaja datang untuk mengutip ilmu daripada para penceramah tetapi juga akan diberi tugasan untuk menggilap teknik melakukan proses output. Maka dengan itu antara tugasan yang kami berikan untuk proses ouput ini antaranya adalah pembentangan, lakonan dan perdebatan di antara kumpulan.

Di sini penulis sertakan sedikit ulasan berkenaan isi kuliah yang disampaikan:-

Kuliah Dasar 1 : Asya’irah di sisi Ahl Sunnah

Wajah keriangan para peserta Daurah sebab semua FREE


Kuliah ini sampaikan oleh Ustaz Arif, seorang pensyarah di UKM. Permulaan dimulakan dengan melontarkan beberapa persoalan asas yang wajar kita fahami yakni berkenaan mengapa perlu kita mengikut Ahl Sunnah Wal Jamaah. Cuma dunia hari ini tidak dapat membezakan siapakah Ahl Sunnah Wal Jamaah yang Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam iktiraf?

Apa tidaknya jika Ayah Pin, Rasul Kahar, anti Hadith, Islam Liberal, Syiah dan segala macam ajaran-ajaran baru yang tercipta saban hari mengakui mereka mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah. Maka pihak mana yang benar hujahnya? Satu ayat Al-Quran bila ditafsir oleh golongan yang berbeza akan mendapat tafsiran yang berbeza. Hal ini berlaku kerana mereka mengagungkan akal melebihi wahyu, terutama apabila logik akal tidak dapat menerima ketetapan yang Allah telah beritakan. Atas dasar itu pemahaman terhadap Al-Quran dan As-Sunnah wajib mengikuti sebagaimana pemahaman para salafussoleh yang telah diiktiraf Nabi Sallahu’alaihi Wa Sallam sebagai generasi yang terbaik.

Golongan Asya’irah adalah salah satu daripada mazhab dalam aqidah.Dalam konteks umum golongan ini sememangnya adalah tergolong dalam Ahl Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi dalam konteks spesifik adalah sebaliknya. Imam Abu Hasan Al-Asya’ri yang dinisbahkan namanya kepada golongan ini melalui tiga peringkat hidup yang berbeza.


Seperti yang ditulis oleh para ulama’ dalam kitab-kitab mereka menyatakan bahawa Imam Abu Hassan al-Asy’ari telah melalui beberapa peringkat aqidah seperti berikut :

 Aqidah Muktazilah yang kemudiannya bertaubat daripadanya. Beliau mendalami ilmu kalam dan pemikiran muktazilah dari ayah tirinya Abu Ali al-Jubbaie.

 Seterusnya selepas keluarnya dari aqidah Muktazilah beliau telah mengisbatkan sifat al-Aqliyyah yang tujuh iaitu Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sami’, Basar, Kalam. Beliau juga masih menta’wil (mengubah) sifat-sifat khabariah yang disebutkan di dalam al-Quran seperti muka, dua tangan, tapak kaki, betis dan lain-lain. Di dalam peringkat kedua ini beliau mengikut metod atau cara Ibnu Kullab (240 H).

 Diakhir hayatnya beliau kembali kepada aqidah ahlu Sunnah wal Jamaah iaitu mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak mentasbihkan (menyamakan) sifat-sifat Allah dengan makhluk, iaitu mengikut jalan Salafus Soleh.

Adapun persoalan mereka yang mempertikaikan tentang bagaimana pula dengan Aqidah Imam An-Nawawi rahimahullah dan Imam Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah boleh merujuk pernyataan dan respon para ulama’ Ahl Sunnah dalam hal ini.Antaranya, komen Adb Allah al-Ghunaiman dan Muhammad ‘Id al-abbasi di dalam kitab Muzil al-Ilbas muka surat 250 hingga 253. Ini hanya secebis cadangan buat rujukan untuk mengubat penyakit ghuluw sesetengah pihak yang melampau dalam mengkritik para Imam sedangkan manfaat yang banyak masih boleh terus digali dari hasil karya mereka.

Kesimpulannya yang diberikan ialah Asya’irah merupakan firqah kalamiyyah Islamiyyah yang dinishbahkan kepada Imam Abu Hasan Al-Asya’ri pada peringkat kedua yang mana beliau dakwa berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah mengikut metod Ibn Kullab(240 H). Masih ramai di Malaysia khususnya yang keliru akan hal ini dan mengikuti peringkat kedua sedangkan perkara ini telah jelas tersasar dengan pegangan Imam Abu Hasan Al-Asya’ri sendiri. Hal ini dapat dibuktikan melalui kitab-kitab tulisan terakhir beliau yakni al-Ibanah an Usuli al-Diyanah, Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin, dan Risalatun Ila Ahli al-Thaghar. Boleh rujuk tulisan bertajuk Allah wujud tanpa bertempat Aqidah Muktazilah & Jahmiyyah ini untuk mengetahui sejarah dan pegangan Imam Abu Hasan Al-Asya’ri yang sebenar. Atau tulisan yang penulis hasilkan dahulu berkenaan perbahasan di sebalik sifat 20 dan ilmu kalam bertajuk "Aqal Sihat Aqidah Tepat" dan juga "Aqidah Imam 4 mazhab tentang nama dan sifat Allah".
Kuliah Dasar 2 : Bagaimana berinteraksi dengan Sunnah

Kuliah Ustaz Adli yang sempoi


Tajuk ini disampaikan oleh Ustaz Adli,anak kepada Ustaz Minghat yang sedang bercuti dari pengajiannya di Yaman. Penyampaian yang bersahaja itu menekankan Islam seseorang itu lompong jika ada yang mengaku mereka adalah muslim akan tetapi tidak mengikut sunnah. Sunnah yang dimaksudkan bukanlah sunat sebagaimana yang difahami oleh sesetengah pihak, salah satu hukum yang mana jika ianya dilakukan maka akan mendapat ganjaran pahala akan tetapi jika tidak maka tiada apa-apa ganjaran dan juga ancaman.

Pernyataan Sunnah perlu difahami dalam konteks yang global. Sunnah Rasulullah Sallahu’laihi Wa Sallam adalah pelbagai, perlu juga dibezakan antara jenis-jenis Sunnah yang telah para ulama’ kategorikan seperti Sunnah ‘amaliyyah, Sunnah qauliyyah, Sunnah Jibliyyah, sunnah Tarkiyyah dan sebagainya.

Pemahaman kategori Sunnah ini juga memainkan peranan yang penting agar kita mengetahui apa sebenarnya sunnah yang disyariatkan dan apa pula sunnah yang tidak disyariatkan. Dengan mengetahui kategori sunnah ini maka diharap masyarakat mampu beramal dengan sempurna sekaligus menepati syarat-syarat beribadah. Hadith adalah salah satu sumber rujukan utama dalam beragama, maka hadith yang sahih hendaklah menjadi tunjang kepada amal ibadat kita dalam kehidupan seharian.

Oleh itu hadith sahih atau sunnah yang sahih hendaklah diamalkan, bukannya ditemplak sewenangnya hanya kerana dirasakan bercanggah dengann perkataan para imam mazhab. Dengan cara ini sahaja masyarakat dapat mengelak sikap taksub dan ikut membuta tuli tanpa ilmu.

Wasiat para Imam mazhab seperti apa yang disyaratkan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah dalam hal ini memang berasas. Hal ini adalah kerana seseorang itu tidak boleh mengubah ajaran mazhabnya atau menghukum imam mazhabnya sebagai tersilap semata-mata dengan satu atau dua hadith sahih yang baru ditemuinya.

Semangnya akan ada beberapa hadith sahih yang kita temui kadang-kala tidak digunakan oleh para Imam mazhab dan ini adalah seperti apa yang Imam An-Nawawi rahimahullah nyatakan bahawa para Imam sangat berhati-hati dalam membuat ijtihad mereka. Adapun syarat-syarat yang perlu dilihat seperti mana yang ditetapkan Imam An-Nawawi rahimahullah adalah perlu diperhatikan supaya seseorang tidak mengubah mazhab imamnya.

Di samping Imam al-Zarkasyi rahimahullah menukilkan beberapa pendapat, antaranya oleh Imam al-Qarafi rahimahullah dan Imam al-Nawawi rahimahullah yang meletakkan beberapa syarat ketat sebelum seseorang itu dapat mengubah mazhab seorang imam sesama-mata berdasarkan hadis sahih yang ditemuinya. Imam al-Zarkasyi juga menukil pendapat Ibn al-Shalah yang membolehkan orang perseorangan mengamalkan hadis sahih yang ditemuinya. Seseorang boleh berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya sekalipun dia belum mencapai darjat seorang mujtahid. Asalkan dia mampu mengkaji dan menganalisa secara ilmiah dan menyeluruh.Ini juga adalah pandangan yang diguna pakai oleh ulama Syafi'iyyah seperti Imam al-Zarkasyi rahimahullah dan Imam Ibn al-Shalah rahimahullah. Mereka adalah ulama tersohor dalam mazhab Syafie dalam bidang usul fiqh dan hadith sehingga kitab mereka menjadi rujukan semua 4 mazhab sehingga hari ini. (Rujuk al-Bahr al-Muhith (Dar al-Kitabiy, Beirut tp.thn.), jld. 8, ms. 343-344).

Kesimpulannya, orang awam sekalipun tidak mencapai tahap mujtahid mustaqil masih mampu untuk mencapai tahap yang lebih rendah seperti mujtahid murajjih dan mujtahid musta’dil. Apa-apapun, sekurang-kurangnya kita memahami bahawa terdapat dua pendapat dalam hal ini dalam mazhab Syafie dalam berinteraksi dengan hadith sahih.

Boleh tujuk tulisan bertajuk "Wasiat Para Imam Mazhab kepada Umat Islam".

Kuliah Dasar 3: Forum Pendakwah Bermasalah

Penulis menimba pengalaman menjadi moderator forum agama secara LIVE


Forum ini menampilkan dua ahli panel dari dua buah negeri. Antaranya adalah Ustaz Abdur Rahim, seorang pensyarah daripada UITM Melaka dan juga Ustaz Hairil Irza, graduan UIA yang kini bertugas sebagai guru di sebuah sekolah Felda. Penulis mengambil inisiatif untuk menjadi moderator bagi forum ini kerana pernah membuat artikel dalam topik yang sama, cuma sahaja forum ini mengandungi soalan-soalan yang lebih luas skopnya.

Antara soalan yang diajukan oleh ahli panel untuk dirungkai ialah berkenaan siapakah sebenarnya yang layak digelar pendakwah memandangkan wujud salah faham bahawa kerja-kerja dakwah ini hanya terbeban atas mereka yang layak dan sempurna atau yang bekerja di badan-badan agama. Walhal tugas dakwah ini adalah kewajiban setiap individu untuk menjadi agen bagi menyampaikan risalah tauhid ini.

Selain itu, seni dakwah itu juga perlu dijiwai oleh setiap individu yang berdakwah. Hal ini supaya tidak wujud salah faham serta sikap yang menyebabkan para pendakwah ini menempah awal kegagalan mereka. Maka ada sikap-sikap negatif yang perlu dielakkan oleh para pendakwah supaya tidak dilabel sebagai pendakwah yang bermasalah.


Boleh rujuk tulisan bertajuk "Pendakwah Bermasalah" untuk mengetahui sikap yang perlu dielak semasa berdakwah.


Kuliah Dasar 4: Fiqh Politik

Fiqh politik ini sememangnya antara tajuk yang dinanti-nanti oleh penulis memandangkan tajuk ini melibatkan isu global yang tidak boleh dipisahkan daripada perspektif Islam. Penceramah bagi slot ini ialah Ustaz Minghat, seorang bekas Pesuruhanjaya Pas Melaka. Beliau menggantikan Ustaz Ahmad Yatim yang selalu mengajar topik ini menggunakan kitab Fiqh Daulah karya Syeikh Dr. Yusof Al-Qardawi.

Ustaz Minhat tidak merujuk pada mana-mana kitab sepanjang menyampaikan kuliah ini dan lebih banyak berkongsikan pengalaman beliau yang telah lama terlibat dalam bidang politik. Bermula dengan menceritakan sejarah politik di Malaysia khususnya, bermula dari zaman penjajahan British dan usaha mereka mengongkong kedaulatan sistem beraja di Tanah Melayu sehinggalah isu-isu dalam pilihanraya yang berlaku.

Soal demokrasi juga disentuh oleh beliau secara dasarnya. Penulis juga sempat memberikan beberapa soalan perihal demokrasi ini sekadar berkongsi idea daripada pembacaan yang terhad. Jika bicara soal demokrasi, ada pandangan bahawa demokrasi di Islam adalah haram hukumnya secara keseluruhan, apabila semuanya haram, proses membuang undi juga adalah haram hukumnya. Dengan menghormati pandangan sebegini, kita juga seharusnya memahami bahawa demokrasi adalah satu sistem, tulisan-tulisan terdahulu selalu merujuk kepada negara Athens di mana sistem ini bermula, secara ringkasnya demokrasi juga berdiri atas 2 prinsip penting yakni kuasa kepada rakyat dan kebebasan.

Selain itu, dalam sistem ini juga terdapat elemen-elemen seperti kebebasan bersuara, kebebasan media, hak sivil, hak manusia, dan banyak lagi. Maka wujud salah faham oleh sesetengah pihak apabila menyatakan demokrasi itu haram secara mutlak, maka elemen-elemen yang ada di dalam ajaran Islam itu juga seolah-olah diharamkan. Salah faham ini seharusnya diperbetulkan kerana perbezaan ini hanyalah apabila elemen-elemen itu difahami berdasarkan tafsiran barat sedangkan Islam meletakkan garis panduan di dalam setiap elemen-elemen yang berada dalam sistem demokrasi itu tanpa menafikan wujudnya elemen-elemen sedemikian di dalam Islam.

Dalam sistem demokrasi ini juga wujud evolusi berpanjangan yang berabad lamanya. Dari demokrasi yang asal sebagaimana yang dipraktis di Athens sehinggalah kini wujud bermacam jenis demokrasi seperti anarchist democracy, liberal democracy, concencus democracy, iroquois democracy, interactive democracy, direct democracy dan sebagainya.

Persoalannya demokrasi yang mana satu yang diharamkan? Dan apakah sistem pemerintahan Islam ini bersifat tauqifiyyah atau tetap yang mana wajib kita imani dan ikuti semua bentuk dan acuannya sehinggakan tidak boleh terbuka kepada sebarang ijtihad sepertimana dalam ruang ibadat? Apabila kita berbicara tentang sistem, sebagai contoh sistem ekonomi seperti sosialis, kapitalis dan sebagainya. Untuk menggapai ekonomi yang Islamik, proses islamisasi berlaku dalam menilai kerangka dan unsur-unsur yang terdapat di dalam sistem ini untuk diiktiraf sebagai sistem Islam. Bagaimana pula dengan sistem demokrasi, apakah tiada lansung ruang dan peluang untuk proses islamisasi berlaku dalam menilai sistem politik sedia ada?
Kerana menghukum demokrasi sebagai satu sistem yang haram, ramai yang tidak membuang undi pada hari pilihanraya berlansung lantas memberi peluang pada orang bukan Islam menang dan memiliki kuasa dalam menentukan dan mengubah polisi negara.Akhirnya? Barangkali sistem kapitalis yang diamalkan di Malaysia juga adalah haram secara keseluruhannya dan tidak wajar kita menerima apa-apa subsidi dari kerajaan? Setiap persoalan ini mesti diselidiki dan dikaji secara ilmiah sebelum menilai pengharaman sistem demokrasi secara keseluruhannya. Wallahu'allam.


Sesi Istirehat atau curi tulang?

Kuliah Dasar 5: Menggapai keluarga Islami

Kuliah akhir ini disampaikan oleh Ustaz Minghat, memandangkan tajuk yang diberikan tidak begitu sukar, ustaz banyak menumpukan penyampaiannya kepada mahasiswa dan mahasiswi yang merupakan majority pendengar kuliah tersebut. Secara fitrahnya manusia dijadikan berkeinginan untuk berkeluarga, dan Allah Azza Wa Jalla menjadikan manusia ini berpasang-pasangan untuk saling kenal-mengenali.

Di awal penyampaian beliau banyak menekankan kepada kepentingan untuk mendirikan rumah tangga bagi yang telah mampu. Hal ini adalah kerana mereka yang tidak berkahwin dan berhasrat untuk hidup membujang bererti tidak mengikut sunnah Rasulullah Sallahu’alaihi Wa Sallam. Baginda di akhirat kelak akan bangga dengan jumlah ummatnya yang banyak dan menjadi kewajiban kita untuk membentuk keluarga yang Islami supaya di akhirat kelak kita diiktiraf sebagai sebahagian dari ummat Muhammad Sallahu’alaihi Wa Sallam.

Membentuk keluarga yang Islami bermula dari diri sendiri, perubahan tidak akan berlaku tanpa kejayaan mengubah diri sendiri menjadi Islami dan berpegang teguh kepada sunnah secara keseluruhannya. Hanya dengan cara ini seseorang individu itu mampu membentuk dan meminpin ahli keluarganya ke arah yang benar.Selain itu, pemilihan pasangan juga perlu dititik beratkan supaya pasangan yang dipilih adalah pasangan yang ideal. Usaha dakwah seseorang itu akan terbantut jika pasangannya tidak memahami dan menyokong kerja-kerja dakwah yang diperjuangkan.

Jika dirujuk semula kehidupan para salafussoleh dalam menghadapi kehidupan berkeluarga, mereka dikelilingi oleh ahli keluarga yang memahami dan menyokong usaha dakwah mereka. Dari sini kita dapat mengambil iktibar bahawa mendakwahi ahli keluarga agar memahami kepentingan dakwah yang kita usahakan juga memainkan faktor yang penting dalam mendidik keluarga. Jangan hanya kerana sibuk berdakwah kepada orang luar, keluarga sendiri terabai.

Kesimpulan yang dapat dibuat sewaktu resolusi adalah agama Islam ini mengajak manusia menjadi bijaksana dan berjaya. Maka sesiapa sahaja yang telah mendidik diri mereka degan manhaj talaqqi Ahlu Sunnah Wal Jamaah akan sentiasa dahagakan ilmu. Pembacaan, pengkajian, dan pembelajaran adalah proses yang penting dalam mengharungi ujian dan dugaan masa kini. Kitab-kitab dan buku-buku adalah sahabat dan teman baik dalam menjalani kehidupan seharian, sikap dahagakan ilmu ini akan menjadi minuman penyelamat di kala kita mengharungi samudera permasalahan sekaligus merealisasikan kejayaan dalam mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah sepertimana yang difahami oleh generasi terbaik yang diiktiraf (salafussoleh).

Wallahu’allam.

Ibn Yusof
17 Disember 2008
3.51 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Tuesday, December 9, 2008

Apa itu Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah?


Yang pertama, ikut Rasulullah
Dari aqidah ke ibadah semua ikut sunnah
Yang kedua, contohi para Sahabat
Tak pernah persoal kelebihan diorang dapat
Yang ketiga, dia contohi tabi'in
Anak murid sahabat tak sama dengan yang lain
Yang keempat, tabi' tabi'in tak lupa
Mereka pengikut tabi'in ikut jalan serupa

A.S.W.J jaminan syurga kepada Ahlu Sunnah
Wal Jamaah bukan sekadar gelaran bermegah
Tunjang bagi aqidah, ibadah dan muamalah
Siapa ikutan, Apa pegangan
Mencari identiti diri erti kehidupan
Bertemankan Al-Quran di lorong Sunnah
Memahami sumber dengan pola fikir salaf
Generasi terbaik yang telah diiktiraf
Mengagungkan wahyu di atas aqal
Beriman dengan nas tanpa mempersoal
Berjaga dalam lisan dan juga perbuatan
Sentiasa memilih jalan yang pertengahan
Ini tuntutan beramal secara keseluruhan
Ini mesti dikaji, mesti dipelajari
Sebab kebenaran itu lebih layak diikuti

Nabi Ajarkan,Aku Amalkan,
Nabi Tinggalkan,Aku Jauhkan
Ahlu Sunnah Jadi Gelaran
Quran & Sunnah Jadi Pegangan

Apa kepentingan ikut Sunnah?
Tanpa kita sedari ia syarat beribadah
Ingat cukup sekadar ikhlas fi Sabilillah?
Jika begitu apa guna diutus Rasul Allah
Sunnah diamalkan bukan sebarang Sunnah
Sunnah digigit hatta gigi geraham patah!
Bukan sekadar ucapan dipraktik dengan amalan
Bukan sekadar igauan dijanji kemanisan iman
Kini dipandang asing dalam perkara ranting
Berpaut pada hujah bukankah itu yang penting?
Kalam manusia boleh diterima boleh juga ditolak
Kecuali kalamullah dan petunjuk Nabi
Duanya wahyu tertinggi tak ramai kita imani
Beralasan itu ini,Inilah pegangan yang harus kita sedari
Dan ini pula ciri-ciri yang perlu dihayati

Nabi Ajarkan,Aku Amalkan,
Nabi Tinggalkan,Aku Jauhkan
Ahlu Sunnah Jadi Gelaran
Quran & Sunnah Jadi Pegangan


Ibn Yusof
10 Disember 2008/12 Zulhijjah 1429
1.00 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Thursday, December 4, 2008

Selangkah Ke Hadapan Melontar Batu Loncatan

Majalah I Bil.74 Bulan Disember 2008

Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam, artikel “Jangan Bicara Soal Bid’ah” telah terpilih untuk dimuatkan di dalam Majalah I bulan Disember 2008 kali ini atas judul “Perlukah Bicara Soal Bidaah”. Sejak di awal pelancaran blog ini, tulisan-tulisan yang dimuatkan di dalam blog penulis anggap sebagai sarana untuk melatih diri penulis sehingga mencapai standard artikel yang sesuai untuk dihantar ke majalah-majalah ataupun dikumpul untuk tujuan pembukuan. Kebanyakannya hasil tulisan sekurang-kurangnya menggunakan bahasa melayu tinggi. Malah kebanyakan entri artikel melibatkan tajuk-tajuk dan isu-isu yang perlu dikupas berdasarkan kajian dan pembelajaran penulis. Malahan, desakan dan dorongan beberapa rakan seperjuangan untuk mula serius menghantar artikel-artikel ke majalah-majalah dan menulis buku telah lama penulis pertimbangkan.

Atas respon positif dari rakan-rakan, penulis telahpun bercadang untuk melahirkan buku sulung penulis atas dasar sangkaan idea tersebut belum pernah lagi dihasilkan di Malaysia ini. Penulis masih lagi dalam proses pengumpulan bahan, menulis dan menyiapkan kertas kerja untuk dihantar kepada beberapa pihak penerbitan untuk pertimbangan lanjut. Semangat untuk terus menulis ini terus membugar selepas mengambil keputusan untuk tidak lagi berforum di alam maya atas sebab-sebab tertentu (akan dijelaskan kemudian) . Maka masa yang dahulunya banyak dihabiskan di ruang maya menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan di dalam forum boleh diguna pakai untuk fokus pada penulisan artikel-artikel dan buku yang bermanfaat.

Jika sewaktu berforum, idea dan jawapan penulis boleh dipadam, diubah dan disekat mengikut kehendak pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka sekurang-kurangnya dengan menulis di ruangan blog sendiri dan melahirkan lebih banyak penulisan-penulisan untuk majalah dan buku, tiada siapa boleh menyekat gelombang ini. Pihak moderator forum dengan sedikit kuasa yang dimanipulasi itu, boleh berlagak sewenangnya dan menapis jawapan dan ulasan mengikut nafsu mereka, akan tetapi mereka barangkali lupa bahawa dunia tanpa sempadan di dalam alam maya ini sungguh luas dan mereka akan gagal jika cuba untuk menyekat dan memandulkan fikrah orang awam (Siapa makan cili, Dia yang rasa pedas).

Apa tidaknya jika ‘Mempersoalkan sesuatu kebenaran’ selalu disalah ertikan sebagai tidak menghormati, biadap atau tidak mempercayai para ulama'. Mereka ini lupa konsep dan metodologi sebegini jugalah yang diguna pakai para ulama' dalam membahaskan isu-isu agama dan bukankah ianya wajar dicontohi penuntut-penuntut ilmu selagimana ianya masih dalam landasan dan disiplin ilmu?

Tambahan pula, ‘ustaz-ustaz’ Trojan ini perlu diantiviruskan, mengapa? Kerana sesetengah para ustaz dan golongan agamawan yang dijangkiti virus Trojan ini ini tidak lansung membantu kepada pencernaan ilmu, malahan memasungkan fikrah ummat agar lebih barah. Kesalah fahaman metodologi juga boleh menjadi virus yang akhirnya menular dalam sistem operasi pemikiran masyarakat. Penulis pernah disoal dengan sinis tentang bagaimana pula halnya dengan kes yang mana Anti-virus murah yang memadam fail-fail yang disangka virus merbahaya?

Majoriti komputer menggunakan anti-virus percuma dan murah, hanya sahaja syarikat-syarikat besar yang mampu membeli anti-virus yang mahal dan berkesan. Akan tetapi ia tidak bermakna anti-virus percuma dan murahan tidak mampu mengesan virus,worm atau trojan. Jika benarpun wujud perisian anti-virus murah yang memadam fail-fail yang disangka virus merbahaya, tetapi amat penting kepada sistem operasi, ianya pasti bersebab. Jangan kerana kita tidak memahami manual dan kerja sebenar antivirus baik yang murah mahupun yang mahal, kita menyalahkannya memadam fail-fail yang dijangkiti virus, apatah lagi penyakit berbahaya seperti trojan yang sewajarnya dipadamkan kerana kesan buruknya pada masa akan datang kepada sistem operasi komputer.

Perkataan metodologi itu sendiri penulis rasa wajar difahami dengan jelas. Hal ini kerana terjadi salah faham sesetengah pihak apabila perbuatan 'mempersoalkan' dianggap sebagai satu konotasi yang negatif. Jika semua yang dikatakan oleh golongan agamawan hanya terbuka kepada perbincangan oleh mereka yang layak yakni golongan agamawan juga, maka proses pembelajaran ini sangat bercanggah dengan apa yang diamalkan di universiti-universiti Islam kebanyakannya baik di Malaysia mahupun Islamabad dan sebagainya. Penjelasan dan pemahaman ini wajar dilihat dalam pembentangan pada tahun 1977 sewaktu Prof.Al-Attas mewakili Malaysia di Conference on Islamic Education. Pembaik pulihan dalam proses pembelajaran ini telah lama dicanang oleh Ismail Al-Raji Al-Faruqi, dan seperti mana salah satu dari 12 tingkatan yang disentuh dalam model yang beliau hasilkan adalah penekanan terhadap Critical Assestment, dalam bahasa mudahnya berfikiran kritis dan kreatif.

Ya, penuntut ilmu yang ingin berbincang apa yang telah dinyatakan oleh golongan agamawan memerlukan guru yang membimbing dan meneliti perbincangan! Sewajarnya ruang lingkup guru itu juga diluaskan skopnya agar ianya tidak menjurus kepada sekadar talaqqi kitab face to face semata tanpa mengambil kira aspek-aspek lain. Sebagai contoh, perbincangan dan penukaran idea juga boleh diambil kira sebagai salah satu bentuk pembelajaran.

Sama ada sedar atau tidak ,antara salah faham yang berada dalam benak non muslim berdasarkan pengalaman penulis bersama Islamic Information Service di Malaysia ialah kenapa dan bagaimana Islam seakan menjadi berpecah-pecah sepertimana Christian Catholic dan Protestant. Ini semua wujud kerana kejumudan sesetengah pihak dalam memahami seni berdakwah, maka menjadi tugas para pendakwah semua untuk mempamerkan keluasan dan keindahan Islam itu secara keseluruhan. Maka jika disoal untuk apa penulis bersemangat dalam bidang penulisan ini? Jawapannya, untuk mempamerkan keluasan dan keindahan Islam itu secara keseluruhan.

Wallahu’allam.
Ibn Yusof
4 Disember 2008 / 6 Zulhijjah 1429
5.38 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Wednesday, December 3, 2008

Perjalanan “Mencari Sang Murabbi Yang Hilang”


Selepas terlantar lima hari di atas tilam sambil berselubung di dalam selimut, demam yang saya hadapi masih tidak kebah. Malah sakit-sakit sendi mula menyerang dan badan terasa lenguh seperti berkerja lebih masa, walhal sepanjang masa hanya terlantar dan sesekali mengadap komputer untuk membaca beberapa bahan untuk rujukan artikel masa hadapan. Hari kelahiran saya pada 21 November dirasakan tidak ada apa yang istimewanya, cuma petang itu selepas solat Jumaat akhi Syarief, Husaini dan Abang Razak datang melawat. Tatkala itu diri dirasakan semakin pulih dan bersemangat. Tetapi ianya tidak tahan lama apabila malamnya itu saya terpaksa dimasukkan ke hospital akibat platlet darah yang berada di bawah tahap normal.

Kerisauan mengenai demam Chikugunya yang disiarkan di dalam televisi mula menyinggah benak fikiran saya apabila simptomnya seakan sama, apatah lagi apabila demam yang semakin pulih diusuli pula oleh sakit-sakit sendi. Akhirnya keputusan menunjukkan saya dijangkiti demam denggi. Maka berkampunglah saya selama lima hari pula di dalam hospital. Walaupun ini bukan pertama kali ditahan di dalam wad sedemikian, ianya membantut perancangan saya sepanjang musim cuti ini yakni untuk menghasilkan lebih banyak penulisan.

Sepanjang berada di dalam hospital, saya dilawati oleh beberapa orang rakan seperjuangan yang membuatkan saya rasa semakin dihargai dan semakin bersemangat untuk meneruskan perjuangan hidup. Tambahan pula berpuluh-puluh sms diterima dari rakan-rakan member kata-kata semangat membuatkan saya semakin terharu.

Penghargaan mereka semua tidak akan saya sia-siakan untuk meledakkan semangat juang saya dalam mengharungi perjuangan dakwah ini. Keluar sahaja dari hospital, abang Razak dan abang K.A telahpun mengajak saya untuk ke Perlis, sekadar jalan-jalan kata mereka. Saya tidak tahu ada perjumpaan ijtima’ al-sunnah di Perlis. Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju walaupun baru sahaja keluar dari hospital. Hal ini kerana lima hari terperap di dalam wad menyebabkan saya berasa kebosanan dan kebuntuan yang amat. Barangkali perjalanan dapat meluaskan lagi pandangan sekaligus menjadi penawar selepas lima hari diselimuti kebosanan.

Kami bertiga bertolak hari khamis 27 November dan dijangka bermusafir selama lebih kurang lima hari. Bertolak dari UIA terus ke Penang menjemput akhi Fitri di Institut Al-Qayyim, Bukit Mertajam, Penang. Kemudian terus ke rumah sewa abang K.A di Perlis untuk bermalam di situ. Sepanjang perjalanan ke Perlis akhi Fitri dan yang lain mengajuk-ajuk dialog filem Sang Murabbi yang membuatkan kami semua tidak kering gusi. Saya yang masih belum menonton filem ini dihambat perasaan ingin tahu yang mendalam, apa yang istimewanya tentang filem ini?

Malam itu juga saya dipertontonkan dengan filem ini melalui laptop akhi Fitri sehingga jam 2 pagi. Baru saya dapat menangkap dialog-dialog yang diajuk sepanjang perjalanan kami. Esoknya usai solat subuh baru saya tahu motif perjalanan kami, ada perhimpunan atau ijtima’ al-Sunnah di Perlis, lokasi bertempat Dewan Warisan asalnya. Tatkala waktu solat Jumaat di masjid Alwi, Kangar, waktu itu saya melihat ramai muka-muka teman-teman seperjuangan yang saya kenali turut solat di situ. Kemudian pengumuman dibuat apabila lokasi Ijtima’ Sunnah bertukar ke Penang pula akibat menghormati kemangkatan bonda Raja Perlis pada hari tersebut. Maka berangkatlah semuanya ke Penang.

Syukur pada Ilahi apabila program Ijtima’ Sunnah tersebut berjalan dengan lancar walaupun terpaksa menghadapi pertukaran lokasi program pada saat-saat akhir. Forum dan mesyuarat perihal Konvensyen Sunnah dijalankan seperti yang dirancang dan saya berpeluang untuk turut serta. Cuma sahaja saya masih tidak faham apa hikmah di sebalik perjalanan jauh ini? Turun naik dari Perak, Penang, Kedah dan Perlis sepanjang lima hari? Tamat perjalanan lima hari ini saya mengahadap komputer,ingin mencatat sesuatu tentang apa yang saya perolehi di sepanjang perjalanan. Saya mula berimaginasi tentang segala yang ditempuh sepanjang perjalanan. Maka baru saya sedari ada satu pernyataan yang merangkumi jawapan kepada perjalanan tersebut dan akan saya muatkan dalam penulisan seterusnya. Yakni “Mencari Sang Murabbi Yang Hilang”…

Wallahu’allam.
Ibn Yusof
4 Disember 2008 /6 Zulhijjah 1429
1.58 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Keislaman Sistem Kewangan Islam: Antara Idealistik dan Realistik


Perbankan Islam telah bertapak selama lebih 25 tahun di Malaysia. Perkembangan perbankan Islam semakin rancak selepas Bank Negara Malaysia memberi sokongan penuh dengan meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada bank-bank konvensional yang berminat. Maka kaunter perbankan Islam di bank-bank konvensional akan berdiri sebagai salah satu anak syarikat bank-bank konvensional dan mempunyai satu entiti berasingan dari bank-bank konvensional yang wujud pada waktu ini. Tetapi isu-isu perihal perbankan Islam seperti ianya masih tidak menepati kehendak Shariah masih berterusan hingga ke saat ini. Alternatif ini disangsi oleh beberapa pihak yang menyoal isu-isu Shariah yang wujud di sebalik produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam sebagai produk yang tidak Islamik.

Revolusi perbankan melalui sistem yang direka berlandaskan Shariah ini dirasakan kurang menyengat apabila perbankan Islam tidak menyelesaikan beberapa isu yang masih menyelubungi sistem ini. Tulisan demi tulisan membongkar isu-isu Shariah di sebalik ‘penipuan’ perbankan Islam menjadi santapan orang awam dan hasilnya membawa kepada kesan jangka masa panjang. Melalui tulisan-tulisan sebegini, para pembaca boleh menambah pengetahuan dengan mengetahui isu-isu Shariah di sebalik modus operandi produk-produk yang ditawarkan.Cuma sahaja lebih parah jika ada para pembaca yang mengambil keputusan untuk beralih terus kepada perbankan konvensional bila membugar prasangka negatif terhadap ‘keislaman’ perbankan Islam yang kurang Islamik walaupun mengetahui pengharaman sistem riba yang menjadi asas perbankan konvensional itu sudah jelas.

Walaupun perbankan Islam telah wujud lebih tiga dekad di seluruh dunia ini, kita tidak dapat menafikan tentang kewujudan isu-isu Shariah di sebaliknya. Cuma tulisan-tulisan idealis berkenaan perbankan Islam perlulah berpijak pada realiti hari ini agar tidak mewujudkan rasa sangsi dalam benak para pembaca sehingga meragui akan alternatif yang ditawarkan. Perkara ini telahpun disentuh oleh Mahmoud El-Gamal dalam kertas kerja beliau bertajuk “The Economics of 21st Century Islamic Jurisprudence”. Secara ringkasnya Mahmoud El-Gamal menerangkan bahawa jika ingin mengaplikasi apa yang termuat dalam teori, ianya tidaklah semudah yang dijangkakan.

Dalam tulisan tersebut beliau melihatkan kepentingan equiti dan efisiensi yang menjadi faktor mengapa wujudnya jurang perbezaan antara tulisan awal dan mutakhir perihal kewangan Islam. Hal ini berlaku kerana golongan agamawan cenderung kepada equiti tetapi mereka yang terlibat dalam industri pula cenderung kepada efisiensi. Equiti bermaksud keadilan dalam distribusi manakala efisiensi merujuk kepada menghasilkan sesuatu dengan kos yang rendah. Pemilihan yang ideal sememangnya seperti apa yang dihajati oleh golongan agamawan yang lebih mengetahui kehendak Shariah, akan tetapi buat masa ini kerangka institusi masih belum mampu untuk menawarkan apa yang dihajati kerana ianya terlalu idealistik dan tidak berpijak pada kerangka institusi sedia ada.

Hal ini adalah kerana setelah beberapa dekad berlalu, kita masih gagal membangunkan sistem kewangan Islam yang efektif yakni seperti yang dihajati oleh golongan agamawan. Sistem kewangan konvensional sahaja memerlukan enam abad atau lebih untuk berkembang maka tidak mustahil sistem kewangan Islam memerlukan masa dan tempoh percubaan yang panjang untuk sampai ke tahap yang dihajati. Maka toleransi antara dua pihak dalam memilih titik persamaan diperlukan selagimana ianya berada dalam landasan Shariah dan kerangka institusi yang dapat merealisasi kontrak yang dingini.

Atas dasar itulah kita harus menerima hakikat bahawa sistem yang diguna pakai kini adalah cenderung kepada sistem konvensional sedia ada cuma ianya diusahakan supaya masih dalam linkungan Shariah. Mekanisma sistem yang dituruti ini berkemungkinan agak kabur jika jawatankuasa Shariah tidak memainkan peranan yang menyeluruh. Kekaburan di dalam sistem kewangan ini jika dibiarkan akan menjurus kepada salah faham bahawa sistem kewangan Islam yang digunakan adalah sama seperti sistem konvensional. Usaha gigih yang berterusan diperlukan supaya sistem kewangan Islam kini tidak dimanipulasi oleh sistem konvensional yang mengusai pasaran.

Selain itu, seperti apa yang diterangkan di awal penulisan ini, tulisan atau ucapan yang berbentuk retorik rancak mengusulkan untuk membangunkan keseragaman yang tetap, walhal realitinya pasaran adalah terbahagi dan fleksibel. Hatta tertubuhnya institusi-institusi antarabangsa yang berkaliber seperti Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan sebagainya, pelbagai isu masih tidak dapat diselesaikan. Apa tidaknya jika pasaran terbahagi dengan pelbagai struktur yang berbeza, contohnya monopoli, oligopoli, dan sebagainya. Maka campur tangan dalam hal-hal pengawalan kewangan Islam global yang dianggap perlu dibatasi hanya kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja hakikatnya memerlukan jumlah badan Shariah yang berbeza bergantung kepada struktur pasaran.

Masalah lain yang dihadapi ialah banyaknya persoalan hukum hakam yang bermain dalam benak mereka yang terlibat dengan industri perbankan tetapi sungguh sedikit golongan agamawan yang terlibat sama di dalam industri. Ini akhirnya menyebabkan mereka yang terlibat sukar mendapatkan panduan dan nasihat dari golongan yang pakar dalam hal-hal kewangan Islam. Tidak hairanlah jika banyak masalah mutakhir ini berlaku akibat daripada kurangnya penglibatan golongan agamawan dalam industri untuk berkerjasama dengan orang-orang yang berada di dalam industri. Meluluskan sahaja kontrak tidak memadai kerana tanpa panduan dan penglibatan sama golongan agamawan, kontrak yang dijalankan barangkali tidak menjadi sepertimana yang dihajati.

Kewangan Islam yang efektif memerlukan kerjasama antara semua pihak. Jika masalah kekurangan golongan agamawan untuk turut sama dalam merungkai persoalan yang bermain di benak mereka yang terlibat di dalam industry berterusan, tidak mustahil ia akan membawa pula kepada masalah-masalah lain. Golongan agamawan harus menyedari bahawa tidak semua mereka yang mengimplementasi kontrak yang telah diluluskan memahami objektif Shariah disebaliknya. Perbezaan latar belakang dan ilmu yang ketara merupakan jurang yang seharusnya dirapatkan bagi melancarkan perlaksanaan sistem.

Wujud juga masalah seperti golongan agamawan yang meluluskan kontrak akhirnya menjadi golongan yang mengkritik kontrak yang telah diluluskan. Hal ini berlaku apabila di awal pembangunan sistem kewangan Islam, beberapa pihak dari golongan agamawan yang terlibat sama dalam meningkatkan kredibiliti institusi kewangan Islam memilih untuk bersikap sederhana dalam membenarkan inovasi yang berlaku. Jika hal ini dibiarkan, golongan agamawan yang berkompromi sama akan menyebabkan inovasi tersebut berterusan sehingga melebihi had-had yang ditetapkan. Atas dasar itu, adalah lebih baik jika membatasi golongan agamawan yang membuat keputusan untuk mengelak inovasi sewenang-wenangnya berlaku. Atau mempunyai penasihat shariah bebas untuk memantau jawatankuasa penasihat Shariah bagi institusi-institusi kewangan Islam.

Tujuan mengutarakan paradoks ini adalah untuk menambah kefahaman realiti sistem kewangan Islam sedia ada dengan lebih baik. Pemahaman yang jelas diperlukan agar kita berpijak di bumi yang nyata dan tidak bersikap retorik baik dalam penulisan mahupun ucapan. Dengan pemahaman yang jelas juga kita mampu memahami tahap masa kini di samping memperkuat sistem kewangan Islam. Kekuatan dan kelemahan semua pihak di dalam dan luar industri yang turut sama dalam perjuangan ini perlu diambil kira bagi memartabatkan sistem kewangan Islam dengan lebih efektif.

Wallahu’allam.

p/s:Penulis memilih untuk tidak menjelaskan diagram secara menyeluruh atas tujuan artikel ini ditulis untuk bacaan umum tanpa mengira latar belakang para pembaca.

Ibn Yusof
3 Disember 2008/ 5 Zulhijjah 1429
2.58 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com