Sunday, December 9, 2007

Islam di Puncak Penghinaan:Salah Siapa?


“Islam tak maju-maju sebab pemerintah kita tak cukup islamik!” kata Pak Cik X.
“Islam ni mundur sebab umat Islam ni malas”ngomel Abang Y.
“Budak-budak sekarang ni kurang didikan agama sebab ustaz ustazah kat sekolah tak ajar betul-betul!”kata Pak Long Z.
“Saya tak pandai agama. Ni semua salah ayah, sebab ayah Sazali jadi begini”teriak S.

Apakah persamaan yang dapat kita lihat daripada dialog-dialog di atas? Ianya bukan hanya kerana setiap daripadanya mempunyai perkataan “sebab”. Tetapi kerana semua pihak di atas cenderung menyalahkan pihak lain terlebih dahulu sebelum mencermin diri mereka terlebih dahulu sebelum bersuara lantang. Hatta jika kita pernah terlibat dalam kerja-kerja dakwah yang bersifat antarabangsa sekalipun, apakah kita berhak untuk mengkritik mereka yang membuat kerja-kerja dakwah sesuai dengan kemampuan mereka dan tidakkah kita terfikir mereka mungkin mempunyai usaha tersendiri dalam berdakwah?

Seolah-olah telah menjadi norma masyarakat kini untuk menunding jari ke arah orang lain apabila tercetusnya masalah yang berlaku dihadapan mereka. Sikap individualistik ini semakin membugar dalam jiwa masyarakat kita, ia seharusnya dibuang jauh kerana sikap ini bukan sahaja akan merosakkan bangsa dan agama kita malahan ia terlebih dahulu menjamah akhlak kita sebagai seorang muslim. Sebagai contoh isu murtad yang hangat diperkatakan tidak lama dahulu, semua pihak menunding jari sesama mereka demi mengelak terkena walau sekelumit kesalahan akibat daripada angka yang dinyatakan. Sedangkan bukankah kewajiban berdakwah itu dijunjung semua yang bergelar muslim?

Sebelum kita menyalahkan orang lain terhadap nasib bangsa dan agama kita, adalah lebih wajar untuk kita menyoal diri kita sendiri tentang sejauh mana sumbangan kita dalam perjuangan ini dan apakah kelemahan dan kesalahan kita yang sedikit sebanyak menjadi punca kepada berlakunya masalah di sekekliling kita. Selepas itu, fikirkan pula sejauh mana kemampuan kita dalam membantu untuk memperbaiki masalah yang dihadapi. Perkara tidak akan selesai dengan mengumpat atau bergosip dari mulut ke mulut, ianya tidak dapat membantu ke arah penyelesaian berbanding kita mengajak sama orang lain untuk sama-sama muhasabah diri tentang nasib yang menimpa kita.

Penulis tidak ingin bermadah panjang sebaliknya ingin mengajak para pembaca merenung tentang punca mengapa umat Islam kini begitu mundur dan lemah. Jangan kita leka dengan peningkatan mereka yang memeluk Islam dari sehari ke sehari bertambah sedangkan makin ramai di luar sana yang tawar hati dengan agama Islam. Apakah kita mahu sekali lagi menunding jari ke pihak-pihak tertentu apabila berulang peristiwa mereka yang tidak berpeluang merasa kemanisan iman ini berpaling dari agama Islam? Maka apakah pula solusi yang boleh kita aplikasi bersama dalam menghadapi kemunduran dan kelemahan kaum muslimin dalam dunia global ini? Adalah tidak wajar untuk kita bermimpi menggarap kejayaan tanpa melakukan apa-apa usaha atau sekadar beriman yakni yakin dan percaya semata dengan Al-Quran tanpa melakukan seperti mana yang diperintahkan.Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:-

اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) Nya. Sesungguhnya Alloh benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”[Al-Hajj 22: 40]

Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“ Hai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong (agama) Alloh, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
[Muhammad 47: 7]


Ayat-ayat yang mulia di atas menguatkan bahwa Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menolong siapa saja yang menolong-Nya. MenolongNya? Pasti ada yang tertanya bagaimana kita menolong Allah Subhanahu wa Ta’ala sedangkan Dia adalah Maha Perkasa, Maha Kaya yang tidak memerlukan kepada segala sesuatu, Dzat yang Maha Mulia.

Syaikh Al-‘alaamah As-Sinqhithie dalam tafsirnya mengenai ayat-ayat di atas berkata:-
“Allah Jalla wa ‘Alaa menyebutkan dalam ayat yang mulia ini, bahwa jika kaum mu’minin menolong Rabb mereka, maka Rabb mereka akan menolongnya dari musuh-musuh mereka, dan meneguhkan langkah-langkah mereka yaitu menjaga mereka untuk tidak melarikan diri dan menjaga dari kekalahan” [Kitab Adhwaul Bayaan, Bab: 7 hal. 422]

Tidak banayk yang perlu para pembaca pertimbangkan.Penulis hanya ingin membawa para pembaca mereungkan tiga perkara sahaja. Kerana dari tiga perkara asas ini lah pada pandangan penulis menjadi faktor utama yang boleh membawa kaum muslimin berjaya, dan dengan tidak melaksanakan tiga perkara ini juga boleh menyebabkan kaum muslimin dan mundur.

1) Amr’ Ma’ruf Nahi Mungkar dan Beriman kepada Allah

Kita sedia maklum bahawa umat dan daulah Islam terdahulu adalah bangsa yang paling kuat dan mulia di puncak dunia, sekalipun mereka adalah penduduk minoritas di atas muka bumi ini. Tidak ada seorangpun dapat menafikan fakta sejarah ini. Hal ini berlangsung selama bertahun-tahun dalam waktu yang panjang. Ia bertepatan dengan firman Allah S.W.T:-

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” [‘Ali Imran 3:110]

Adapun sekarang, negara-negara Islam telah berubah menjadi negara-negara Islam yang kecil, lemah, buminya di serang, sebagian besar dirampas di bawah penjajahan pemikiran dan kekuatan pasukan, menjadi ekor bagi bangsa di luar Islam.Ayat di atas selalunya difahami secara zahir dan separuh apabila Allah berfirman bahawa kita umat Islam merupakan umat terbaik, maka pemahaman yang salah membuatkan ramai umat Islam kini goyang kaki dengan harapan gelaran umat terbaik itu akan datang bergolek di hadapan mereka. Pemahaman separuh-separuh kalam Allah ini antara punca utama ajaran Islam hanya diamalkan separuh-separuh. Jika kita menelusuri ayat tersebut secara keseluruhan dapat kita lihat bahawa umat Islam tidak akan menjadi umat terbaik tanpa melakukan 2perkara selanjutnya seperti mana yang diperintahkan oleh allah dalam firmanNya itu yakni :-

i) Mengajak kepada yang ma’ruf (kebaikan)
ii) Mencegah daripada yang mungkar (kemaksiatan)
iii) Beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)


Ketiga-tiga perkara di atas hendaklah dilakukan serentak kerana perkataan “wa“ yang bermaksud “dan“ dalam ayat tersebut merujuk kepada semua perkara di atas. Ianya tidak memberi kita apa-apa pilihan untuk memilih melakukan diantara tiga perkara diatas atau dua daripada perkara-perkara di atas. Maka ianya jelas merujuk kepada perlaksanaan ketiga-tiga perkara di atas secara keseluruhan jika ingin menjadi umat yang terbaik.

Sebagai contoh ringkas, seorang yang beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) tidak akan membiarkan saudara seagamanya terjerumus dalam lembah maksiat, maka jika dia melihatnya cara terbaik jika mampu ialah mencegahnya dengan berhikmah dan bijaksana. Contoh lain pula, seorang yang mampu mengajak orang-orang di sekelilingnya berbuat baik dan menjauhi perkara-perkara maksiat perlu juga mengajak kepada beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Perkara-perkara ini akan melahirkan masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain dan sekaligus meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

2) Kembali kepada ajaran Islam yang tulen

Islam yang tulen? Pasti ada pula pembaca yang menyoal apakah Islam yang diamalkan kini tidak tulen? Islam apa yang dimaksudkan, Islam Hadhari?

Bukan itu yang dimaksudkan penulis, Islam yang tulen yang dimaksudkan ialah Islam yang sepertimana dibawa oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam. Analogi mudah umpama pengguna yang bijak bestari ialah mereka yang mencari produk yang asli, kerana ada padanya penggunaan yang berkualiti. Begitu juga dengan ajaran Islam, anjuran supaya kembali kepada Islam yang tulen ini bukan bermula satu atau dua dekad yang lalu tetapi ianya telahpun diramalkan oleh baginda Nabi Shollallohu alaihi was sallam sendiri.

[...وإن بني إسرائيل تفرقت على ثنتين وسبعين ملة، وتفرق أمتي على ثلاث وسبعين ملة، كلهم في النار إلا ملة واحدة، قيل: من هي يا رسول الله؟ قال: ما أنا عليه وأصحابه]

“Sesungguhnya Bani Israel telah pecah menjadi 72 golongan, dan umatku pecah menjadi 73 golongan semuanya di neraka kecuali satu. Dikatakan: Siapa golongan yang satu itu ya! Rasulullah? Rasul bersabda: “yang aku dan para sahabatku ada di atasnya”

Maka daripada hadith di atas dapat kita lihat perpecahan umat yang diramalkan berlaku dan Nabi Shollallohu alaihi was sallam memberitahu kita dua perkara, amaran dan jaminan, yakni amaran bahawa mereka yang berpecah atau memahami Islam bukan dari apa yang Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam ajarkan kepada para sahabat baginda, golongan ini semuanya akan berakhir di neraka. Dan golongan kedua ialah mereka yang berpegang teguh kepada ajaran Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam dan para sahabat baginda, mereka ini akan diganjarkan syurga. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


وَأَنَّ هَـذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Karana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.” [Al-An’am 6:153]

Al-Hafidz Ibn Katsir rahimahulloh menafsirkan ayat di atas berkata:-
“Dan firman Allah Ta’ala: [فاتبعوه ولا تتبعوا السبل] maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Allah Subhaanahu wa Ta’ala menyatukan jalan-Nya kerana kebenaran itu hanya satu, dan membanyakan jalan-jalan karena ia terpecah-pecah dan bergolong-golongan....” [Tafsir Ibn Katsir jilid 1 hal.306]

Oleh karena itu, menjadi kewajiban bagi kita kaum muslimin untuk memahami Islam dengan pemahaman yang benar sebagaimana Rasul Shollallohu alaihi was sallam dan para sahabat Mereka para pendahulu kita yang shalih lebih memahami Islam, hal ini kita lakukan agar kita dapat mengikuti jalan Allah yang lurus.


3)Mengamalkan Islam secara keseluruhan

Jika kita membandingkan generasi awal Islam dengan generasi umat Islam kini, sudah tentu generasi umat Islam kini lebih maju dari segi ilmu dan teknologi. Tetapi adalah salah bagi mereka yang merasakan dengan kemajuan ilmu dan teknologi maka umat Islam kini adalah jauh lebih baik sedangkan hakikatnya kita generasi kini telah menyeleweng jauh daripada ajaran Islam yang tulen. Ini berlaku kerana generasi ini lebih suka mengamalkan Islam berdasarkan citarasa mereka dalam ruang lingkup Islam yang begitu sempit. Islam kini dikenali hanya dalam ritual-ritual seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja sedangkan Islam agama yang sempurna dan menyeluruh, Islam merangkumi semua asperk kehidupan baik politik, ekonomi, muamalat dan sebagainya.

Maka tidaklah hairan jika kita melihat masyarakat muslim hari ini kemunduran dari pelbagai sudut akibat pemahaman dan pengamalan Islam yang separuh-separuh. Hasilnya maka wujud kes-kes seperti:-
· Solat 5 kali sehari menepati Sifat Solat Nabi Dari Takbir Hingga Salam tetapi malas di pejabat.
· Ber'ana' 'anti' dalam pertuturan sesama muslim tetapi mengumpat apabila berkumpul.
· Menyeru orang ramai tentang bahaya riba’ tetapi menangguhkan pembayaran hutang.
· Menerangkan kepada orang ramai tentang kepentingan aqidah yang sahih tetapi laju membid’ahkan atau mengkafirkan orang.
· Ada yang terang-terang memberi peringatan tentang seksaan membuka aurat tetapi isteri dan anak-anak keluar rumah tanpa menutup aurat.

Banyak lagi contoh yang boleh kita fikirkan, sesungguhnya perkara-perkara di atas bukan sahaja merangkumi aspek aqidah dan fiqh, bahkan seperkara lagi yang selalu dilupakan oleh orang ramai yakni akhlaq kita sebagai seorang muslim di mana sahaja kita berada. Allah telahpun berfirman:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah 2:208]

Jika anda bangga mengaku diri anda seorang muslim,maka ketahuilah Islam itu perlu diamalkan secara menyeluruh, barulah ianya layak digelar ajaran Islam. Peringatan kepada diri penulis dan para pembaca, kad pengenalan kita mungkin berstatus Islam tetapi sejauh mana kita mempraktikkan ajarannya hanya Allah Maha Mengetahui.

Permsalahan yang kita hadapi kini ialah sejauh mana kita kaum muslimin memahami ajaran Islam yang diajarkan oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam. Perkara ini telahpun dikupas dalam perkara ke 2 dalam artikel ini. Maka semestinya Islam yang difahami dan dipraktikkan oleh kita adalah seperti yang difahami dan dipraktikkan oleh para sahabat yang belajar dan diajar oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam, pemahaman Al-Quran dan As-sunnah berdasarkan kefahaman generasi terawal adalah amat penting kerana mereka ini adalah antara mereka yang dikatakan oleh Nabi Shollallohu alaihi was sallam sebagai generasi yang terbaik. Maka untuk mengembalikan kegemilangan Islam semestinya Islam difahami dan dipraktikkan seperti mana apa yang diajarkan oleh insan yang menerima wahyu yakni Rasulullah Shollallohu alaihi was salla.

Tiga perkara di atas dirasakan merupakan faktor utama yang perlu diamati dan diperbaiki kerana ianya merupakan tunjang penting dalam kehidupan seharian kita. Penulis mengajak kepada seluruh kaum muslimin di manapun anda berada, agar bertakwa kepada Alloh Tabaaroka wa Ta’ala, agar kembali kepada agama Islam, serta memperbaiki keadaan masing-masing. Memohon ampun kepada Allah dan kembali kepada-Nya.

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah Telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
[Al-Thalaaq 65:3]


Faktor dan solusi yang diutarakan diatas mungkin ada betulnya dan tidak mustahil ada salahnya. Sesungguhnya kebenaran semata-mata datang dari Allah melalui keutamaan-Nya, dan seandainya penulis salah, maka kesalahan ini datang dari diri penulis sendiri dan dari syaitan yang berusaha menyesatkan umat manusia.

Wallahua’lam

Ibn Yusof

10 Disember 2007 / 30 Zulkaedah 1428

12:34 a.m

ibnyusof.blogspot.com

No comments: