Tuesday, December 4, 2007

Sifat Solat Albani Atau Sifat Solat Nabi?


Marah,geram dan tertekan. Barangkali itulah perasaan yang dirasai penulis apabila sahabat penulis, Faridz (bukan nama sebenar) menuding jari pada penulis sambil berkata. “Ha…apa-apa boleh rujuk pada Ezry,dia pengarah program untuk Kem Solat kali ni.” . Penulis ketika itu yang baru keluar dari pejabat Institut Al-Qayyim tergamam mendengarnya. Kebanyakan sahabat lain telahpun bercadang pulang selepas Konvensyen Sunnah kali ke-3. Dalam benak penulis hanya ada satu persoalan, “bagaimana hendak aku uruskan kem selama 3 hari ini tanpa apa-apa perancangan awal?”

“Relax Ezry”. pujuk Faridz apabila melihat raut wajah penulis kelihatan tertekan. “Anta syeikh, last minit tibe-tibe suruh ana jadi pengarah program,mana boleh camtu, ana apa-apa pun tak tahu.”.balas penulis. “Alah,semua dah siap,tinggal nak anta handle jer.”.seorang sahabat memberi pandangannya. “Kalu bukan memikirkan ini kerja dakwah, ana dah lama tempah tiket balik malam ahad ni!” luahan penulis menjadikan bilik perbincangan itu sunyi serta-merta.


Setakat ini baru 20 lebih peserta kem solat lelaki. Penulis menjangkakan lebih ramai yang akan mendaftar pada hari pendaftaran kem. “Tinggal aku dengan Ismail (bukan nama sebenar).Cene 2 orang nak handle semua ni.”. Seorang lagi sahabat dijangka datang menolong selepas sehari kem solat. Kami perlukan strategi. Kami perlukan master plan. Malam sebelum program, selepas pulang dari makan malam bersama Ustaz Asri, Ustaz Yahya, Ustaz Razali, Abang K.A dan Abang Razak, penulis bersama Ismail menyiapkan master plan kami dengan membahagikan tugas-tugas sepanjang 3 hari. Nama seorang lagi sahabat, Mansor (bukan nama sebenar) juga turut disertakan dalam pembahagian tugas pada hari beliau dijangka hadir.


Keesokkan paginya, kami berdua telahpun menyusun 2 meja pendaftaran untuk memudahkan proses pendaftaran awal-awal pagi suapaya keadaan tidak kalut semasa sesi pendaftaran. Seperti yang dijangkakan penulis, seramai 78 orang mendaftar pada pagi tersebut. Walau agak sedikit kalut pagi tersebut, penulis tersenyum melihat adik-adik yang mendaftar. Mereka semua datang dengan pelbagai tujuan, pelbagai impian. Tugas penulis dan mereka yang bertugas hanya satu. Secara umumnya perlu mendidik adik-adik ini dengan manhaj yang benar. Manhaj yang benar membawa kepada pemikiran yang positif, maka penulis terlebih dahulu membetulkan niat penulis sebagai seorang pengarah program supaya mampu berfikiran positif sepanjang program berlansung.


“Beep..Beep”telefon bimbit penulis berbunyi sewaktu sarapan pagi bersama Ustaz Asri dan yang lain-lain. Sms diterima dari seorang muslimah yang menjadi fasilitator kem solat muslimah.“Salam Ezry,nape semalam tak bagitahu fasilitator lelaki 3 orang sahaja, jika tidak boleh kami bertiga tolong dan balik KL petang, semoga Allah permudahkan segala urusan kaliansepanjang kem solat okey.Good Luck”. Penulis hanya mampu tersenyum lebar membaca kiriman sms tersebut. Penulis bukan tidak mahu mengagihkan tugasan tetapi mereka telah banyak membantu dalam program-program sebelum ini maka biarlah penulis bertungkus-lumus untuk kali ini pula.


“Ko ni perfectionist...susah benar nak delegate tugas kat orang lain, semua ko nak buat sorang, nasib baik semua yang kau buat menjadi.”terngiang-ngiang teguran seorang sahabat apabila beliau cuba memgambarkan sikap penulis dalam hal-hal tugasan yang diberikan. Penulis telahpun bersedia mewakafkan diri penulis menjadi Program Manager, Treasurer, Program Coordinator, Special Task, Preparation and Technical, Transportation Unit, Catering dan apa jua posisi yang dirasakan releven sepanjang berada dalam kem solat ini. Maka penulis rasakan ‘Split Personality’ dalam diri penulis diperlukan pada bila-bila masa untuk bertukar kepada apa-apa posisi yang perlu sesuai dengan keadaan. Inilah antara pembahagian biro yang diguna pakai dalam apa jua program di universiti. Pengalaman menguruskan program-program besar seharusnya diguna pakai pada waktu yang memerlukan ini.


Dalam mengalami situasi ini penulis hanya mampu berfikiran positif dan itu juga yang Ismail ingatkan penulis. “Program ni kena sronok-sronok.Kita buat relax-relax jer.” kata-kata Ismail menyejukkan hati penulis untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Pemikiran positif ini dikuatkan dengan kiriman sms yang diterima, “Tak boleh salahkan mereka juga, barangkali mungkin mereka ada keje lain yang perlukan lebih commitment”. Kata-kata ini membuatkan penulis cuba bersangka baik dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir untuk membantu.


Bercerita tentang Kem Solat ini tersenyum lebar penulis mengingatkan email seorang sahabat yang disebar luas dengan tujuan untuk memboikot Kem Solat ini secara tidak lansung. Berdalilkan solat yang diajar bukan Sifat Solat Nabi tetapi Sifat Solat Al-Albani adalah satu kejahilan yang nyata. Membaca email tersebut penulis sedar bahawa hujah dan hadith di dalam Kitab Sifat Solat Nabi tersebut tidak sampai kepada sahabat tersebut, barangkali penyakit hati yang dialami penyebar email tersebut agak parah apabila sahabat tersebut berkata sebelum berfikir, bertindak sebelum menilai. Kitab Sifat Solat Nabi itu hanya menghimpunkan hadith-hadith yang sahih terutamanya dari Sahih Bukhari mahupun Muslim untuk memastikan setiap gerakan dan bacaan di dalam solat adalah bertepatan dengan apa yang Nabi buat dan ajarkan. Semestinya mereka yang suka beramal dalam agama dengan citarasa mereka tidak setuju hadith sahih menjadi rujukan agama kerana ianya pasti bertentangan dengan amalan hasil citarasa dan suka sama suka mereka.


Penulis mempelajari Sifat Solat Nabi ini 2 tahun yang lepas dan kerana Sifat Solat Nabi lah penulis mengenali apa yang dimaksudkan dengan Sunnah. Bukannya sunat yang diketahui orang ramai bahawa jika kita melakukannya kita mendapat pahala tetapi jika kita ,meninggalkannya kita tidak mendapat apa-apa. Definisi atau ta’rifan Sunnah yang lebih luas ini perlu disuntik dalam minda masyarakat supaya masyarakat dapat merasai kemanisan mengamalkannya.Rasulullah s.a.w bersabda:-


صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ


“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
[Hadith Diriwayatkan oleh Imam Bukhari]


Maka jika hadith umum yang mudah ini gagal dihayati oleh seorang yang bergelar muslim maka sudah tentu kita akan mengagung-agungkan aqal dan citarasa kita melebihi wahyu yang diturunkan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada pesuruhNya yakni Rasulullah s.a.w.

Penulis telah mempersiapkan diri mental dan fizikal untuk berhadapan dengan adik-adik yang menyertai kem solat tersebut. Pada pagi hari pertama kem solat ini penulis dibantu oleh Abang Razak. Alhamdulillah Abang Razak membuka sesi pertama kem solat ini dengan cukup baik terutamanya apabila diperhatikan ibu bapa yang masih menunggu untuk memastikan keadaan anak-anak mereka. Kemudian sesi ujian penapisan dilakukan dan adik-adik disajikan dengan soalan-soalan asas tentang solat. Purata mereka lulus dan kebanyakannya mendapat 6 atau 7 betul daripada sepuluh soalan yang diajukan. Hanya selepas itu barulah penulis mengambil alih sesi dengan membahagiakn adik-adik ini kepada kumpulan. Kumpulan seramai 78 orang peserta itu dibahagikan kepada 7 kumpulan. Alhamdulillah penulis mendapat bantuan daripada sahabat-sahabat yang baru dikenali penulis pada majlis Konvensyen Sunnah sehari sebelum kem solat tersebut. Merekalah yang menjadi fasilitator sepanjang kem solat ini. Tidak lupa kepada dua orang muslimah yang penulis tugaskan menjadi fasilitator kepada adik-adik kecil yang berumur sekitar 8 dan 9 tahun.



Sesi pertama atau LDK 1 yakni sesi Suai Kenal dikendalikan oleh fasilitator masing-masing. Penulis sengaja memilih kumpulan yang dianggotai oleh mereka yang lebih remaja supaya lebih senang untuk berinteraksi dengan mereka. Permainan menghafal nama-nama kawan sekumpulan sebanyak 12 orang mengikut kitaran bulatan sungguh menarik. Dalam masa yang singkat penulis telah dapat menghafal semua nama-nama adik-adik tersebut. Perbincangan berkenaan nama dan logo kumpulan pula mengerah adik-adik ini berkerjasama dalam masa yang diberikan. Kumpulan Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, An-Nur, Ukhwah Islamiyyah, Nombor Satu, Al-Hidayah, dan Ibn Sina. Ternyata nama tokoh-tokoh islam tidak ketinggalan menjadi pilihan adik-adik.

Malamnya peserta kem solat ini disajikan dengan kuliah oleh Ustaz Kadir berkenaan kepentingan Solat. Maka seperti kem solat tahun lepas, Ustaz Kadir mampu mendidik adik-adik ini dengan manhaj yang betul apabila di akhir kuliah yang singkat itu apabila adik-adik ditanya “Kita solat ikut siapa?”,maka adik-adik itupun mula menjerit “IKUT NABI!!”.Tersenyum penulis mendengar semangat adik-adik ini, jawapan mereka barangkali lebih matang daripada pelajar-pelajar universiti yang melaungkan slogan “KITA MAZHAB SYAFIE”. Bukanlah penulis mengkritik orang yang mengikuti mazhab Syafie, hatta penulis sendiri menghormati dan mengamalkan ijtihad Al-Imam Muhammad Idris As-Syafie dalam kehidupan seharian. Cuma sahaja jika mereka itu dapat memahami perkataan Imam As-Syafie apabila berkata:-

"Berkata Imam as-Syafie: Setiap apa yang telah aku katakan, kemudian apa yang dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bertentangan dengan perkataanku sekalipun (perkataanku itu dianggap) betul, maka hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam mesti diutamakan, oleh itu janganlah kamu bertaqlid dengan qaulku (kata-kataku)".

[ Lihat: 'Ilam Muwaqiin (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.]

Maka apakah relevennya belajar sehingga peringkat universiti tetapi masih berpaut pada pola fikir yang jumud. Taksub dengan ijtihad Imam As-Syafie sehingga sanggup menolak apa yang disampaikan Allah dan Rasul-Nya.Adik-adik ini merupakan pelapis kepada generasi masa kini, mereka yang mnyertai kem solat ini disajikan dengan hadith-hadith nabi pada peringkat usia yang awal berbanding dengan mereka di luar sana yang dihidangkan dengan persekitaran program-program hiburan realiti “Bintang Kecil”, “Akademi Fantasia”,“Malaysia Idol” dan sebagainya.



Pada sesi Sifat Wudhu’ Nabi dan Sifat solat Nabi mereka bersedia menerima hadith-hadith sahih tentang cara Nabi berwudhu’, tampak dari raut wajah mereka menunggu apa sahaja pendapat yang semestinya sahih dilakukan oleh Nabi s.a.w.Apakah perbuatan ini dikira meninggalkan mazhab? Apakah pemikiran seperti ini dikatakan menyeleweng?

"Berkata Imam Ahmad: Janganlah kamu bertaqlid denganku, janganlah bertaqlid dengan Malik, Abu Hanifah, as-Syafie, 'Auzii dan Thauri rahimahumullah. Ambillah oleh kamu dari mana mereka itu mengambil"

[Lihat: Musnad Imam Ahmad Diriwayatkan oleh Abu Daud. Hlm. 277.]

Dari perkataan Imam Ahmad di atas kita diseru supaya mengambil dan mengkaji daripada sumber untuk mengelak perbuatan mengikut tanpa memahami.Apakah perbuatan seperti ini dikatakan tidak berpegang pada mana-mana mazhab? Jika ianya bersalahan dengan manhaj para salaf dalam menimba ilmu maka tidak perlulah Imam Bukhari bersusah payah mengumpulkan hadith-hadith sahih selepas sekian lama Imam Syafie meninggal dunia, mengapa tidak sahaja Imam Bukhari berpegang pada ijtihad para imam yang telah pun mengeluarkan ijtihad-ijtihad mereka pada zaman-zaman sebelum kelahiranya?


Ini kerana Islam tidak mengajar supaya otak umatnya bersifat statik, Islam tidak mengajar pengetahuan umatnya bersifat serik. Jika pada awal pembelajaran fardhu Ain yakni berkenaan Wudhu’ dan Solat mereka ini diberikan contoh dari buku-buku bergambar tanpa mana-mana rujukan, mengapa tidak mereka ini ke tahap yang lebih tinggi apabila dipersembahkan pula dengan hadith-hadith nabi yang sahih dalam bab Fardhu Ain? Mereka yang mengkritik Sifat Wudhu’ Nabi dan Sifat Solat Nabi ini adalah mereka yang tidak mahu melakukan sebarang anjakan paradigma dalam beramal. Jika sewaktu tadika, guru mengajar subjek matematik berkenaan cara-cara tambah dan tolak, sudah semestinya sewaktu sekolah rendah kita akan diajar pula tentang cara-cara darab dan bahagi. Apakah ada sekolah rendah atau sehingga peringkat universiti yang senantiasa mengajar cara-cara bagaimana tambah dan tolak? Sudah semestinya tidak, kenaikan peringkat demi peringkat tahap pembelajaran kita akan diajar pula tentang cara-cara melukis graf, mengira darjah atau sudut dan sebagainya. Sesungguhnya ilmu itu berlaku dalam setiap bidang mata pelajaran tetapi mengapakah dalam memahami agama kita mesti bersifat statik tanpa adanya penghayatan dan pendalaman yang lebih dari semasa ke semasa? Inilah persoalan yang perlu direnung oleh setiap masyarakat umum dan semestinya perlu ditekankan dalam ucapan-ucapan para dai’.

Renungkanlah berapa ramai orang awam di luar sana yang amalan agama mereka adalah seperti apa yang diajarkan ustaz atau ustazah di sekolah rendah mereka tanpa ada apa-apa penghayatan atau epndalaman yang lebih, tetapi dalam mata pelajaran atau kemahiran-kemahiran lain mereka semakin maju dari satu hari ke satu hari. Begitulah juga mereka yang merasa enteng dalam masalah ibadah ini, dan mengkritik pula mereka yang cuba menyebarkan sunnah baginda s.a.w dalam berwudhu’ dan bersolat dengan berkata cukup sekadar “Aku bermazhab Syafie! ” sedangkan pemahaman fiqhnya bersifat statik dan jumud.


Adik-adik yang menyertai kem solat ini bukan diajar solat dan berwudhu seperti mana Rasulullah s.a.w, tetapi semasa sesi ke Empangan Mengkuang juga diajar tentang bagaimana caranya untuk mengambil wudhu’ dalam keadaan disemen atau berbalut. Perkara ini didedahkan untuk mengajar agar adik-adik ini mendapat kefahaman yang jelas tentang kepentingan solat walaupun dalam keadaan sakit. Perkara ini dirasakan amat penting terutamanya apabila penulis mendapati ramai mereka yang terlantar di hospital tidak melaksanakan solat hanya dengan alasan jari patah ataupun tangan terseliuh.Tetapi adegan klimaks yang semestinya menjadi satu kenangan yang tidak dapat adik-adik di kem solat itu lupakan ialah apabila mereka terpaksa bersolat di atas tanah lapang. Ini bertujuan untuk mengajar adik-adik supaya solat itu mesti didirikan walu di mana jua adik-adik tersebut berada kecuali kuburan dan tempat mandian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:-

"Semua tempat adalah masjid, kecuali kuburan dan tempat pemandian."
[Hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad]

Hari terakhir adik-adik di kem solat itu, adik-adik ini diajar berikrar untuk sesi ikrar di hadapan ibu bapa mereka semasa majlis penutup. Cukup bersemangat mereka melaungkan ikrar, terutamanya apabila penulis ‘mengumpan’ mereka dengan sijil-sijil yang akan diagihkan selepas sesi ikrar tersebut. Pada majlis penutup, penulis cukup terharu semasa adik-adik semua melaungkan ikrar mereka, dapat penulis rasakan perasaan kedua ibu bapa mereka, dapat penulis selami impian kedua ibu bapa mereka. Bait-bait ikrar yang cukup menyentuh perasaan membuatkan ada kedua ibu bapa yang bergenang air mata mereka.Bahagian yang paling menyentuh hati ialah apabila laungan semangat adik-adik dalam menuturkan ikrar mereka berbunyi:-

Redha Allah matlamat saya,
Al-Quran dan As-Sunnah pegangan saya,
Rasulullah ikutan saya,
Ibu ayah inspirasi saya,
Kecemerlangan akademik impian saya.

Penulis berharap kem solat kali ini bukan sahaja memberi makna baru kepada diri penulis, tetapi ianya diharap memberikan ilmu yamg lebih bermakna dalam diri adik-adik sekalian yang menyertainya. Semoga ianya membantu mereka dalam beribadah, ibadah yang menghampiri sunnah dan sekaligus melahirkan rasa cinta yang mendalam terhadap sunnah nabi s.a.w yang semakin dipandang asing.

Wallahua’lam.

Ibn Yusof

3 Disember 2007 / 24 Zulkaedah 1428

6:52 p.m

3 comments:

shaabana said...

salam alaik. Kesiannya bila dgr hanya ada beberapa orang fasi je yg ada utk handle adik2 yg begitu ramai. Mcm kwn saya ckp, kalau kami tahu tak cukup fasi boleh je kami tolong back up apa2 yg patut. Apa2 pun, syukur kerana semuanya bjalan lancar dgn izin Allah.

shaabana said...
This comment has been removed by the author.
Ibn Yusof said...

Salam Shaabana,tak perlu rasa kasihan, sebab pada saya ianya satu pengalaman yang menarik. Bak kata Sukarno "Beri aku 10 orang muda dan aku mampu menggoncang dunia". Saya dibantu oleh orang-orang yang cukup rajin dan komited membuatkan kerja-kerja sewaktu kem solat menjadi ringan dan menarik.
Sesungguhnya ia satu pengalaman yang menarik dan jika perkara ini berulang insyaAllah saya mampu menghadapi situasi tersebut.
Belajar dari pengalaman.
Apa-apa pun seperti kata Shaabana.syukur kerana semuanya bjalan lancar dgn izin Allah.
Wslm.=o)