Thursday, October 20, 2011

Nilai Empati Dalam Kehidupan Bermasyarakat.



Beberapa hari lalu, ruangan berita di televisyen memaparkan sebuah video melibatkan budak perempuan kecil yang masih bertatih dan berumur 2 tahun, Wang Yueyue, yang dilanggar dengan van dan lori, tetapi malangnya tidak dipedulikan oleh 19 orang yang melalui kawasan kejadian. Meninggalkan budak kecil malang itu terbaring berlumuran darah menghabiskan sisa-sisa hidupnya.


Kejadian ini berlaku di China atau lebih tepat di Foshan, Guangdong. Video itu tersebar degan cepat dan masyarakat dunia menjadi marah dan sedih dengan kejadian tersebut.


Kata orang, masyarakat telah rosak dengan serius. Hatta kucing and anjing tidak dilayan sedemikian tanpa sebarang perasaan.


Ada pula yang cuba menjustifikasi ‘kerosakan’ masyarakat dengan masalah sistem undang-undang di sana yang menyebabkan pihak terlibat yang menolong perlu membayar harga keprihatinan yang ditunjukkan. Dalam erti kata lain, jika kita menolong seseorang, maka besar kemungkinan kita akan disaman atau terpaksa menanggung kos perubatan mangsa kemalangan tersebut.


Namun masyarakat dunia tidak mampu menerima alasan bobrok sedemikian kerana perbuatan ini menyalahi definisi peri kemanusiaan yang difahami dan diamalkan oleh semua bangsa dan agama dunia.


Islam meletakkan garis jelas tentang hidup bermasyarakat melalui pembinaan tamadun Islam yang dicontohkan oleh susuk tubuh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Antara sabda baginda Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam yang bermaksud:


Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain); dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (Hadis Riwayat Muslim)


Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.


Dua kali seorang tokoh pemikir Cina bernama Confucius (551 - 479 SM) menyebut di dalam kitab Lun Yu tentang sebuah Golden Rule, di bab yang ke-12 dan bab ke-14. Nasihatnya mudah, “Sesuatu yang tidak kita kehendaki, jangan dilakukan kepada orang lain”.


Ya, budak kecil berumur dua tahun itu mempunyai ibu dan ayah.


Apa yang perlu 19 orang pejalan kaki yang melihat dan berlalu pergi itu lakukan ialah menyoal dengan soalan empati.



“Apakah kita sanggup membiarkan anak kecil kita yang menjadi mangsa langgar lari itu terbaring dan tidak dipedulikan?”


“Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikan kita sebagai tebusan,”


Itulah didikan Nabi dalam mengenal makna sebuah empati. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam sendiri pernah mendidik seorang pemuda dengan kaedah refleksi diri. Dalam rangka menyedarkannya tentang perbuatan jijik yang ingin seorang pemuda lakukan.


Pernah suatu hari datang seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam dan meminta keizinan baginda untuk berzina. Di kalangan sahabat baginda ada yang memarahi pemuda tersebut. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam tidak lantas memarahinya sebaliknya mendekatinya.


“Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?” soal baginda kepada pemuda tersebut.


“Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakkan manusia. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam.


“Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu?” tanya Rasulullah SAW lagi.


“Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,”


“Begitu juga kebanyakkan manusia. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan ke atas anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap kakak-kakak atau adik-adik perempuan kamu?” soal Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam kepada pemuda itu lebih lanjut.


“Tidak wahai Rasulullah, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,”


“Begitu juga kebanyakkan manusia. Mereka tidak ingin zina itu terjadi ke atas kakak-kakak atau adik-adik perempuan mereka,” ujar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Baginda bertanya lagi.


“Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap ibu-ibu saudaramu?”


“Tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,” jawabnya lagi.


“Begitulah juga orang lain. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan terhadap ibu-ibu saudara mereka,” balas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam.


Lalu Nabi Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam meletakkan tangan baginda ke atas dada pemuda itu dan mendoakannya: "Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini"(Petikan kisah ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya no: 22265)


Selama beberapa minit anak kecil itu dibiarkan nazak di pembaringan sambil berdozen orang ramai melaluinya. Beberapa penunggang motosikal berhenti dan hanya menjeling manakala yang lain terus berlalu, mengelak anak kecil yang terlantar itu, sambil kecederaan dan pendarahannya yang serius itu sangat kelihatan, sambil tidak dipedulikan. Malahan, sebuah lori terus melenyeknya buat kali kedua. Hatta masih tidak dipedulikan oleh seorang ibu yang berjalan bersama anaknya.


Kehidupan boleh menghitung jumlah serta nilai kekayaan dalam bentuk angka, namun apakah pula nilai sebuah maruah dan integriti?


Semoga kejadian melibatkan anak kecil bernama Yueyue itu mengajar masyarakat dunia tentang nilai empati dalam kehidupan bermasyarakat.


Ibn Yusof

20 Oktober 2011/ 22 Zulkaedah 1432

5.45p.m

www.ibnyusof.blogpsot.com

No comments: