Friday, October 28, 2011

Keutamaan & Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Kehidupan kita pada hari dan saat ini mengguna pakai tarikh Georgian berbanding tarikh Hijri. Oleh kerana itu, pemilihan ini secara tidak lansung menyebabkan kita selaku umat Islam kurang peka dengan kedatangan tarikh-tarikh ‘keramat’ dalam kalender Islam. Dalam sekian banyak contoh, jika timbul persoalan tentang tarikh bilakah jatuhnya Hari ‘Eidul Adha, pasti kita berminat untuk mengetahui tarikhnya dalam kalender Georgian, contoh pada 6 November 2011 berbanding tahun Hijri yang sememangnya Hari ‘Eidul Adha itu pada 10 Zulhijjah. Tazkirah atau peringatan kali ini tidak bermaksud membandingkan atau membenarkan cara hidup berpaksikan kalender Georgian atau kalender Hijri, tetapi bertujuan sama-sama mengingatkan penulis dan para pembaca tentang kelebihan 10 hari awal Zulhijjah berserta kelebihan beramal sepanjang tempoh 10 hari awal tersebut.

1 Zulhijjah 1432 pada tahun ini bersamaan dengan 28 Oktober 2011. Nabi bersabda : “Dua bulan yang tidak memiliki kekurangan, adalah bulan Ramadhan dan Zulhijjah.” [Hadis Riwayat Bukhari & Muslim].

Bulan ini dikenali sebagai bulan yang di dalamnya ada sepuluh hari yang beribadah didalamnya lebih mulia daripada berjihad. Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

"Tidak ada hari yang mana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini, iaitu 10 hari dari bulan Zulhijjah. Mereka (para sahabat) bertanya : Ya Rasulullah, tidak juga jihad di jalan Allah (jihad fi sabilillah) ?. Baginda menjawab : Tidak juga jihad di jalan Allah (jihad fi sabilillah), kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun". [Hadis Riwayat Imam Bukhari]

Hari-hari sebelum sambutan Hari ‘Eidul Adha adalah hari untuk umat Islam mengaut kelebihan-kelebihan yang Allah janjikan. Untuk kita melakukan amal soleh pada hari-hari yang mendatang ini adalah lebih hebat dugaannya berbanding tatkala di bulan Ramadhan yang sudah lengkap dengan suasana ibadah. Pada waktu ini, kita digalakkan memperbanyakkan zikir yang juga merupakan suatu bentuk amalan yang disukai Allah. Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

"Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai oleh Allah untuk berbuat kebajikan (kebaikan) di dalamnya daripada 10 hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyaklah pada saat itu bertahlil, bertakbir dan bertahmid (berzikir mengingati Allah)". [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Menurut sesetengah pandangan para ulamak, segala amal soleh yang dilakukan pada waktu ini diberikan ganjaran yang besar merupakan suatu peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menunaikan umrah atau haji. Justeru peluang beramal soleh juga terbuka luas kepada mereka yang tidak menjejakkan kaki mereka di Haramain. Antara amal-amal soleh yang boleh kita lakukan ialah:

(1) Banyakkan beramal soleh – Memperbanyakkan solat, bersedekah, membaca Al-Qur'an, melakukan amar ma'ruf nahi mungkar dan sebagainya. Sebab amalan-amalan tersebut pada hari itu dilipat gandakan pahalanya.

(2) Memperbanyakkan puasa, terutama pada Hari Arafah (9Zulhijjah bersamaan dengan Sabtu, 5 November 2011) - apabila berpuasa pada hari tersebut, nescaya dosa setahun sebelumnya dan sesudahnya diampuni oleh Allah berdasarkan sabda Nabi: “Berpuasa pada hari Arafah karena mengharap pahala dari Allah melebur dosa-dosa setahun sebelum dan sesudahnya".[Hadis Riwayat Imam Muslim]. Dibenarkan berpuasa pada hari Arafah secara bersendiri samaada ia bersamaan dengan hari Sabtu atau hari-hari didalam seminggu kerana tidak ada bezanya diantara mereka [Fatwa Al-Lajnah al-Daa’imah, no. 11747]

(3) Melakukan ibadah kurban bagi yang berkemampuan– apabila masuk bulan Zulhijjah, barangsiapa yang berhajat untuk melakukan ibadah kurban hendaklah tidak memotong rambut dan kukunya berdasarkan hadis serta arahan Nabi: “Jika kamu melihat hilal bulan Dzul Hijjah dan salah seorang di antara kamu ingin berkurban, maka hendaklah ia menahan diri dari (memotong) rambut dan kukunya" [ Hadis Riwayat Imam Muslim].

(4) Bertakbir (pada Hari Arafah 10 Zulhijjah hingga akhir Hari Tasyriq ; 11-13 Zulhijjah), melaksanakan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah (pada 10 Zulhijjah).

Maka ambillah kalender Georgian yang menjadikan rujukan harian kita dan tandakan tarikh-tarikh Hijri yang penting ini, dengan azam untuk gandakan amal ibadah kita. Sesuai dengan kaedah fiqh yang ada menyebut; ما لا يدرك كله لا يترك جله. yang bermaksud; "Perkara yang tidak dapat melakukan semua, maka jangan tinggalkan semuanya".

Ibn Yusof

28 Oktober 2011/ 1 Zulhijjah 1432

5.16 p.m

ibnyusof.blogspot.com


No comments: