Tuesday, September 13, 2011

Daripada Kos Pentadbiran Riba Kepada Sistem Ujrah: PTPTN atau PTPTiPu?

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), diketahui secara maklum pernah mengamalkan sistem riba dalam caj perkhidmatannya. Belenggu riba dalam sistem pinjaman PTPTN ini dahulu meraih ramai fatwa serta ijtihad para ulamak dan para pensyarah dalam bidang Fiqh Muamalat yang menganggap tidak menjadi kesalahan untuk para pelajar mengambil dan bergantung kepada sistem ini atas sebab darurat dalam memerlukan dana untuk meneruskan pembelajaran.

Kemudiannya pada Jun 2008, para peminjam dikejutkan dengan ‘berita gembira’ tentang berlakunya perubahan kadar caj perkhidmatan 3% itu yang kemudiannya diturunkan kepada 1% dengan mengguna pakai konsep Islamik yang digelarkan sebagai Ujrah (upah). Penulis berpandangan sistem riba dalam caj perkhidmataan sebanyak 3% yang diamalkan dahulu itu sudah jelas, namun perubahan daripada 3% kepada 1% itu juga masih boleh dipertikaikan tentang apakah kontrak itu berdasarkan konsep ujrah sebenar dari persepktif Fiqh Muamalat. Perlu juga dilihat modus operandinya apakah menepati sistem ujrah yang dimaksudkan atau hanya sekadar pertukaran dalam angka dan peratusan.

Masih segar dalam ingatan penulis dalam sebuah forum yang dianjurkan di universiti, salah seorang panel forum yang merupakan pakar Fiqh Muamalat dan penasihat Shariah sebuah bank memberi komen ringkas bahawa perubahan itu hanyalah ‘hilah syar’iyyah’ (helah dari sudut Shariah). Setelah sekian lama PTPTN berasa selesa dengan perubahan yang dikatakan Islamik ini, wujud beberapa kelompongan jelas yang boleh mendatangkan kesan dalam pembayaran dan terpaksa ditanggung oleh para pelajar dan para peminjam, dan ternyata perkara ini perlu diketengahkan secara telus.

Apa yang ingin penulis kemukan dalam tulisan dan kajian ringkas ini ialah sudut kiraan serta formula yang diguna pakai oleh sistem PTPTN, apakah pembayaran semula menggunakan kontrak baru dengan sistem ujrah ini akan mendatang lebih kebaikan atau hanya lebih merugikan para peminjam atau para pelajar yang berhutang kepada PTPTN. Berdasarkan kajian ringkas ini penulis mendapati sistem kiraan PTPTN serta dokumentasi yang merujuk kepada ‘Lampiran Pembiayaan Pendidikan’ mempunyai masalah jelas dari beberapa sudut. Hal ini menyebabkan para peminjam berpotensi mengalami kerugian dan PTPTN akan meraih keuntungan dari pelbagai sudut yang berbeza. Penulis kurang pasti apakah ini helah ataupun strategi pihak PTPTN dalam mengaut keuntungan dalam diam daripada pinjaman yang diberikan ataupun kelompongan yang tidak disedari dalam sistem dan kaedah yang diguna pakai.

Contoh-contoh dan perbandingan yang akan penulis berikan di bawah adalah berpaksikan kepada fakta-fakta berikut:

  1. Contoh menggunakan kos sebenar seorang graduan (“Graduan A”) yang mengambil jurusan ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa, dengan kos keseluruhan pembelajaran dan pinjamannya daripada pihak PTPTN sebanyak RM26000, Graduan A juga telah mula membuat bayaran berdasarkan perjanjian/kontrak dahulu dan kemudiannya mendapat tawaran kontrak baru berdasarkan caj ujrah 1%.
  2. Menggunakan Kadar Purata atau kaedah ansuran bayaran balik mengikut pengiraan purata berdasarkan amaun pinjaman beserta kenaan kos pentadbiran dan tempoh bayaran balik. Amaun ansuran tersebut dianggap tetap sepanjang tempoh bayaran balik.
  3. Sistem peralihan itu tidak ditelusuri daripada perbahasan sistem ujrah (dari perbahasan Fiqh Muamalat) dan masih dikira tanpa beza (daripada 3% kepada 1%) atas alasan sistem kiraan yang masih menyandarkan kaedah peratusan daripada jumlah pinjaman yang diberikan. Maka perkataan dan terma ‘peminjam’ masih digunakan berbanding ‘penerima biaya’ seperti mana dalam kontrak baru.
  4. Kaedah pengiraan 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ menggunakan ‘Ujrah calculator’ di web PTPTN (http://202.184.125.21/loancalc/loancalc.jsp) dan manakala kaedah 'Reducing Balance' menggunakan ‘Loan calculator’ di web PTPTN (http://www.ptptn.gov.my/web/guest/pembiayaan/calculator) yang akan menghasilkan ‘Amortization Table’.


Isu-isu yang akan diutarakan ini hanyalah pandangan penulis untuk rujukan pihak peminjam dan para pelajar, secara teorinya pula konsep ujrah dalam PTPTN ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008, tetapi jika dirujuk dari sudut pengiraan iaitu formula yang diguna pakai serta dokumentasi seperti syarat dan terma dalam ‘Lampiran Pembiayaan Pendidikan’, masih banyak perkara yang boleh dibahaskan atas alasan sistem kiraanya masih sama iaitu kaedah peratusan yang disandarkan kepada jumlah pinjaman yang diberikan, dokumentasi pula terdapat beberapa klausa yang bermasalah dan tidak mencerminkan konsep ujrah yang dipromosikan. Berikut disenaraikan beberapa isu terpilih untuk rujukan bersama:

(1) Cara pengiraan atau formula yang diguna pakai adalah berbeza. Sewaktu caj perkhidmatan atau riba adalah 3%, formula yang digunakan adalah berdasarkan kaedah 'Reducing Balance' (Baki Berkurang). Tetapi apabila bertukar kepada caj ujrah 1%, formula yang digunakan ditukar kepada formula atau kaedah 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ (Kadar Rata).

Perbezaan ketara antara formula antara 'Reducing Balance' dan 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ ini selalunya melibatkan kiraan bayaran ansuran pinjaman. Jika 'Straight Line' atau ‘Flat Rate’ mengambil kira jumlah keseluruhan pinjaman setiap tahun dalam kiraan bayaran ansuran tahunan, kaedah 'Reducing Balance' pula akan mengambil kira jumlah baki pinjaman setiap tahun dalam kiraan setiap kali kiraan seterusnya (Bagi kiraan baki berkurang boleh terus menggunakan kalkulator di web PTPTN untuk mendapatkan jadual baki berkurangan seperti pautan yang diberikan di atas). Berikut disertakan hasil perbezaan dua kaedah yang disebutkan.

Contoh pengiraan berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line'

Jika Caj Ujrah 1% menggunakan 'Straight Line Method'.
Formula Ujrah dalam dokumen PTPTN ; (Pembiayaan Yang Diluluskan X 1% Setahun X Tempoh Bayaran Balik)
Caj Ujrah= RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

Contoh pengiraan berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'
Jika Caj Ujrah 1% menggunakan keadah 'Reducing Balance’.
Jumlah pinjaman di sini : RM26000
Masukkan tempoh bayaran balik di sini : 180 bulan @ 15 tahun
Kadar Kos Pentadbiran : 1 %
Akan dapat Bayaran Ansuran : RM155.60

Kedua-dua contoh di atas menggunakan tempoh (15 tahun) dan caj (1%) yang sama bagi tujuan mendapatkan perbandingan yang jelas. Jumlah bayaran ansuran menggunakan kaedah 'Reducing Balance' iaitu RM155.60 adalah lebih murah berbanding kaedah 'Straight Line' iaitu RM166.11 sebulan! Persoalan utamanya ialah mengapa agaknya ketika caj perkhidmatan atau riba 3% pihak PTPTN menggunakan kaedah 'Reducing Balance' tetapi dalam sistem ujrah 1% menggunakan kaedah 'Straight Line'?

RM166.11 x 180 bulan = RM29899.80
RM155.60 x 180 bulan = RM28008

Maka akan terdapat lebihan RM1891.8 (hasil daripada RM29899.80 – RM28008) hanya dengan mengubah formula atau kaedah pengiraan. Oleh itu, walaupun pertukaran berlaku daripada caj perkhidmatan atau riba 3% kepada suatu peratusan lain bernilai 1%, pihak PTPTN tetap dapat mengambil keuntungan daripada perubahan kaedah atau formula pengiraan.

(2) Tempoh bayaran balik sewaktu kontrak caj perkhidmatan / riba adalah 3% iaitu 120 bulan (10 tahun), namun apabila bertukar kepada caj ujrah 1%, tempoh bayaran balik dipanjangkan sehingga 180 bulan (15 tahun).

Dengan mengambil contoh kiraan di atas, perbezaan tempoh bayar balik daripada 10 tahun kepada 15 tahun dengan kadar yang berbeza atau sama akan memberikan jumlah bayar balik yang berbeza. Perbezaan 5 tahun atau 60 bulan juga menyebabkan jumlah bayar balik menjadi lebih tinggi.


Contoh pengiraan 10 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line'
Caj Ujrah= RM26000 x 1% Setahun x 10tahun (tempoh bayar balik) = RM2600

Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM2600 = RM28600
Jumlah bayaran bulanan = RM28600/120 bulan = RM238.33

Contoh pengiraan 10 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'
Jumlah Pinjaman : RM26,000.00
Tempoh Bayaran Balik : 120 bulan @ 10 tahun
Kadar Kos Pentadbiran : 1.0%
Jumlah Kos Pentadbiran : RM1,331.92
Bayaran ansuran bulanan : RM 227.77

Contoh pengiraan 15 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line'
Caj Ujrah= RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

Contoh pengiraan 15 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'
Jumlah Pinjaman : RM26,000.00
Tempoh Bayaran Balik : 180 bulan @ 15 tahun
Kadar Kos Pentadbiran : 1.0%
Jumlah Kos Pentadbiran : RM2,008.78
Bayaran ansuran bulanan : 155.60

Antara tempoh bayaran ansuran bulanan RM238.33 atau RM 227.77 selama 10 tahun dan tempoh bayaran ansuran bulanan RM166.11 atau RM 155.60 selama 15 tahun. Berikut dijelaskan dengan lebih terperinci:

(i) RM238.33 x 120 bulan = RM28599.60
(ii) RM 227.77 x 120 bulan = RM27332.40
(iii) RM166.11 x 180 bulan = RM29899.80
(iv) RM 155.60 x 180 bulan = RM 28008.00

Semestinya para peminjam inginkan jumlah bayaran semula yang lebih murah iaitu pada kadar RM27332.40 (pengiraan 10 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'). Namun apa yang ditawarkan oleh pihak PTPTN ialah RM29900 (pengiraan 15 tahun berdasarkan formula / kaedah 'Straight Line') dalam tempoh masa hanya 10 tahun berbanding tambahan 5 tahun, iaitu selama 15 tahun.

Walaupun jumlah ansuran bulanan adalah tinggi iaitu RM 227.77 berbanding RM166.11, namun jumlah keseluruhan bayar balik adalah lebih rendah RM27332.40 berbanding RM29899.80 (Pihak PTPTN akan bundarkan menjadi RM29900).

Maka akan terdapat perbezaan RM2567.60 (dikira daripada RM29900 - RM27332.40) hanya dengan mengubah tempoh pembayaran semula daripada 10 tahun kepada 15 tahun walaupun bertukar daripada caj perkhidmatan atau riba 3% kepada suatu peratusan lain bernilai 1%, pihak PTPTN tetap dapat mengambil keuntungan daripada perubahan tempoh bayaran semula.

(3) Pengiraan dalam kontrak baru atau sistem caj ujrah 1% tidak mengambil kira baki pinjaman terkini ('outstanding balance') namun dikira menggunakan jumlah keseluruhan pinjaman yang diberikan.


(i) Jika Caj Ujrah 1%
Formula yang diguna pakai oleh pihak PTPTN untuk sistem ujrah 1% dalam kontrak adalah berdasarkan kiraan ‘Straight Line’ ialah seperti berikut:

(Pembiayaan Yang Diluluskan X 1% Setahun X Tempoh Bayaran Balik)
RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

(ii) Jika Caj Perkhidmatan 3%
Kontrak dahulu yang mana caj perkhidmatan sebanyak 3% adalah berdasarkan formula / kaedah 'Reducing Balance'.

Jumlah Pinjaman : RM26,000.00
Tempoh Bayaran Balik : 180 bulan
Kadar Kos Pentadbiran : 3.0%
Jumlah Kos Pentadbiran : RM6,319.28
Bayaran ansuran bulanan : RM 179.55

Ketidakadilan ini jelas dilakukan oleh pihak PTPTN kepada mereka yang telahpun menandatangani dokumen/kontrak asal 3%, setelah graduan mula bekerja dan mula membayar hutang-hutang mereka secara bulanan, kontrak tawaran baru dengan caj 1% itu tidak mengambil kira jumlah yang telah dilunasi atau pinjaman berbaki (outstanding balance), tetapi formula menggunakan jumlah keseluruhan pinjaman. Oleh itu, pihak PTPTN bertangung jawab dalam mengambil lebihan bayaran awal itu secara batil.

Mengambil kira contoh kiraan di atas, Graduan A telah membayar RM 179.55 bermula Jan 2005 hingga Jun 2008* (tarikh bila mana sistem ujrah 1% mula ditawarkan kepada graduan dengan kontrak baru).

- *Tawaran perubahan pinjaman sedia ada (3%) kepada pembiayaan Ujrah 1% layak diterima oleh peminjam-peminjam sedia ada yang masih mempunyai baki pinjaman PTPTN pada 1 Jun 2008 (Sumber: Web PTPTN)

Maka Graduan A dijangka telah membuat bayaran secara konsisten sejak Jan 2005 sehingga Jun 2008 sebanyak RM7541.10:

RM 179.55x 42 bulan (Jan 2005 hingga Jun 2008) = RM7541.10

Sepatutnya kiraannya ialah seperti dibawah dengan mengambil kira RM7541.10 yang telah dilunasi,

(Jumlah pinjaman - jumlah telah dilunasi) = (RM26000 - RM7541.10) x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM 18458.90 x 1% Setahun x 15 tahun =RM 2768.84

Jumlah yang perlu dibayar sepatutnya = RM 18458.90 + RM 2768.84= RM 21227.74 (Kerana Graduan A telahpun menjelaskan RM7541.10 sepanjang tempoh 42 bulan)

Jumlah bayaran bulanan = RM 21227.74/180 bulan = RM117.93 sahaja!

Namun dengan perjanjian dan kontrak baru berdasarkan sistem ujrah dengan caj 1% ditawarkan itu pihak PTPTN masih mengambil kira jumlah pinjaman keseluruhan.

RM26000 x 1% Setahun x 15 tahun (tempoh bayar balik) = RM3900
Jumlah perlu bayar = RM26000 + RM3900 = RM29900
Jumlah bayaran bulanan = RM29900/180 bulan = RM166.11

Maka akan terdapat perbezaan RM8672.26 (dikira daripada RM29900 - RM 21227.74) hanya dengan mengambil kira jumlah pinjaman keseluruhan semula dan tidak mengambil kira baki jumlah bayaran semula kontrak asal yang telahpun dilunasiwalaupun bertukar daripada caj perkhidmatan atau riba 3% kepada suatu peratusan lain bernilai 1%, menyebabkan pihak PTPTN tetap meraih keuntungan dengan cara batil.

Makanya, persoalan apakah seseorang peminjam itu akan mengalami keuntungan (akibat jumlah bayaran semula yang lebih sedikit) atau lebih rugi jika dibandingkan berdasarkan kontrak asal yang mengenakan caj perkhidmatan 3% itu ataupun caj ujrah 1%,ia sebenarnya banyak bergantung kepada pengiraan jumlah baki terkini (outstanding balance) selepas mula membayar kepada pihak PTPTN kerana baki terkini (outstanding balance) bagi setiap peminjam adalah berbeza.

Tetapi bagi yang masih belum membayar 'satu sen' kepada PTPTN, ternyata 1% dengan kiraan ‘reducing balance’ dalam masa 120 bulan (10 tahun) adalah lebih murah (sekurang-kurangnya), walaupun belum tentu yang terbaik berdasarkan konsep sebenar ujrah dari perspektif Islam.

(4) Syarat dan terma pembiayaan melibatkan kadar ‘Upah Pengurusan Pembiayaan’ 1% setahun seperti yang dimuatkan dalam perjanjian serta terma dan syarat yang termuat dalam ‘Lampiran Pembiayaan Pendidikan’ bersifat tidak tetap dan berkemungkinan berubah kelak atas budi bicara mutlak pihak PTPTN, walaupun tanpa melibatkan persetujuan pihak berkontrak.

Tawaran yang berasaskan kaedah Ujrah dari pihak PTPTN sebagai Pemberi Khidmat Pengurusan Pembiayaan Pendidikan mengenakan upah sebanyak 1% (atau dalam perjanjian disebut Upah Pengurusan Pembiayaan) kepada individu sebagai Penerima Pembiayaan Pendidikan melalui Surat Tawaran Pembiayaan Pendidikan.

Dukacitanya, sekiranya dirujuk ‘Lampiran Perjanjian Pembiayaan Pendidikan’, dalam Fasal atau Klausa 1(a), 5 dan 13, pihak PTPTN berulang kali menegaskan bahawasanya pihak PTPTN berhak mengubah kadar tersebut mengikut budi bicara mutlak pihak PTPTN. Berikut disertakan fasal-fasal yang dimaksudkan:

Fasal 1(a)
PENERIMA BIAYA, dengan ini bersetuju: (a) bahawa Pembiayaan Tersebut dikenakan Upah Pengurusan Pembiayaan sebanyak 1% setahun atau apa-apa kadar yang ditetapkan oleh PERBADANAN dari semasa ke semasa ke atas Jumlah Pembiayaan sepanjang tempoh bayaran balik yang ditetapkan mulai Tarikh Kuatkuasa Bayaran Balik Pembiayaan Tersebut;

Fasal 5
PERBADANAN berhak mengenakan Upah Pengurusan Pembiayaan sebanyak 1% setahun atau apa-apa kadar yang ditetapkan oleh PERBADANAN dari semasa ke semasa ke atas Jumlah Pembiayaan sepanjang tempoh bayaran balik yang ditetapkan mulai Tarikh Kuatkuasa Bayaran Balik Pembiayaan Tersebut.

Fasal 13
PERBADANAN adalah berhak pada bila-bila masa untuk mengubah kadar Upah Pengurusan Pembiayaan, cara dan/atau masa bagi pembayaran balik itu dan meminta pembayaran balik dengan serta-merta bagi Keseluruhan Pembiayaan Tersebut atau sebanyak mana yang masih belum dibayar menurut budi bicara mutlaknya tanpa memberi apa-apa sebab baginya.

Hal ini sekaligus menyebabkan tawaran Upah Pengurusan Pembiayaan bersifat tidak tetap (yakni caj sebanyak 1% yang dipromosikan) dan membuka ruang kepada pihak PTPTN untuk mengubah serta memanipulasi kadar yang telah ditawarkan atau dipersetujui oleh pihak peminjam dengan kemungkinan bertukar kepada 2%, 3% hatta setinggi mana caj peratusan (%) yang dianggap munasabah (atas budi bicara mutlak pihak PTPTN) oleh pihak PTPTN. Maka hal ini menyebabkan berlaku ketidak jelasan (gharar) dalam jumlah sebenar pembayaran semula jumlah pinjaman kepada pihak PTPTN.

Kesimpulan

Memang sedia maklum pihak pemiutang (orang yang memberi hutang) selalu mengingatkan penghutang (orang yang berhutang) dengan hadis berikut seperti yang pihak PTPTN lakukan di web rasmi mereka.

“Jiwa (roh) seorang mukmin tergantung kerana hutangnya, sehingga dilunasi” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Dengan menjunjung kebenaran hadis di atas, pihak PTPTN perlu akur terdapat juga sekian banyak amaran Allah dan hadis-hadis Nabi lain yang menyuruh para peniaga dan para pemiutang berlaku jujur dalam timbangan, taksiran serta ukuran dalam berurusan. Tulisan ini ringkas ini menuntut pihak PTPTN mengkaji semula promosi perubahan caj perkhidmatan riba 3% kepada caj ujrah 1% yang dipromosikan itu sejak Jun 2008 sehingga kini dengan harapan pihak PTPTN tidak dianggap hanya sekadar menyalahguna salah satu konsep dalam Fiqh Muamalat dalam mengaburi keputusan para penghutang daripada membuat keputusan yang tepat.

Wallahu’allam.


Ibn Yusof
11 September 2011 / 13 Syawwal 1432

2.30 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com

6 comments:

NurAsh said...

salam...thanks utk infonya. bro ezry, kalau itulah kisah disebalik agenda PTPTN, apakah kita sebagai peminjam ada pilihan lain selain mengekalkan ujrah 3%? mana2 pilihan pun kita masih terikat dgn sistem riba' nya..kan? hmmm

z4cKz said...

perlu ke sy mengikuti sistem ujrah..??
sy skg masih blaja...dulu diploma pnjam rm15000 dan belum bayar 1sen lg...
apa pndapat tuan...?

Green Lady Diary said...

Maknanya disini, sekiranya seseorang itu sudah mula membuat pembayran adalah langkah yang tidak bagus untuk dia menerima tawaran ujrah ni?

tapi bagi yang menangguhkan pembayran kerana menyambung pengajian dan mula membayarnya dalam waktu terdekat menerima twran ujrah ini adalah bagus?

Ibn Yusof said...

Green Lady Diary:

Saya tulis:

"persoalan apakah seseorang peminjam itu akan mengalami keuntungan (akibat jumlah bayaran semula yang lebih sedikit) atau lebih rugi jika dibandingkan berdasarkan kontrak asal yang mengenakan caj perkhidmatan 3% itu ataupun caj ujrah 1%,ia sebenarnya banyak bergantung kepada pengiraan jumlah baki terkini (outstanding balance) selepas mula membayar kepada pihak PTPTN kerana baki terkini (outstanding balance) bagi setiap peminjam adalah berbeza.

Tetapi bagi yang masih belum membayar 'satu sen' kepada PTPTN, ternyata 1% dengan kiraan ‘reducing balance’ dalam masa 120 bulan (10 tahun) adalah lebih murah (sekurang-kurangnya), walaupun belum tentu yang terbaik berdasarkan konsep sebenar ujrah dari perspektif Islam."

Maka dalam bahasa mudahnya, bergantung kepada berapa yang telah anda bayar kepada PTPTN yang menentukan caj mana lebih bagus.Kerana contohnya jika telah membuat pembayaran ribuan ringgit, jika bertukar kepada sistem ujrah, anda mungkin lebih rugi kerana ribuan ringgit yang dibayar itu tidak diambil kira dalam kontrak jumlah caj 1%.

Anugerah said...

mohon izin nak letak dalam blog saya, boleh?

Ibn Yusof said...

To Min @ Mama Dhia Farhah:

#Permission is granted for reprint in print, email, blog, or web media if all the credits are attached and the titles remain unchanged.