Thursday, September 9, 2010

Memahami Signifikasi Ber’eidulfitri Melalui Proses Pentarbiyahan Ramadhan

1 Syawal hari perayaan.

1 Syawal hari kesyukuran.

1 Syawal hari kegembiraan.

1 Syawal hari keraian.

Namun apakah pula signifikasi ‘Eidulfitri yang mempunyai nilai dengan tertegaknya syiar Islam melalui sambutan perayaan pada hari tersebut?

Sebelum umat Islam melangkah masuk ke dalam bulan Syawal dan melambai pemergian Ramadhan, peringkat klimaks yang perlu dilalui oleh semua umat Islam ini hanya berlaku setelah diuji keimanan umat Islam melalui kewajiban berpuasa sebagai tanda orang yang beriman dan sanggup meredahi proses pentarbiyahan selama sebulan. Ini semua dilakukan bagi meraih suatu hasil yang besar signifikasinya dan telah dinyatakan secara jelas melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”[al-Baqarah, 2:183]

Para ulama rahimahullah telah mejelaskan apa yang dimaksud dengan taqwa, makna taqwa dapat disimpulkan sebagai suatu usaha melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjaga jiwa dari perbuatan yang membuatnya berdosa, dan juga dengan meninggalkan apa yang dilarang [Rujuk Imam An-Nawawi, dalam Tahriru al-Fazhil Tanbih, hlm. 322 dan Ibn Katsir, dalam Tafsir Ibn Katsir terhadap ayat At-Thalaq : 2-3, jld. 4 hlm. 400]

Pemahaman terhadap makna taqwa itu selaras dengan makna hadis apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Bahwasanya seorang hamba, tidaklah akan dapat mencapai darjat ketaqwaan sehingga ia meninggalkan apa yang tidak dilarang, supaya tidak terjerumus pada hal- hal yang dilarang” [Hadis Hasan Riwayat Imam Tirmidzi, Imam Ibnu Majah dan Imam Baihaqi] .

Makna lain bagi perasaan taqwa ini dapat dilihat melalui analogi yang dibuat oleh Ubai bin Ka’ab di dalam kisah hadis berikut:

Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab Radhiyallahu 'anhu pernah bertanya kepada Ubay bin Ka'ab mengenai taqwa, maka Ubay bertanya kepadanya: "Tidakkah engkau pernah melewati jalan yang berduri?". Umar menjawab: "Ya." Ubay bertanya lagi: "Lalu apa yang engkau kerjakan?" Umar menjawab: "Aku berusaha keras dan bekerja bersungguh-sungguh untuk menghindarinya." Kemudian Ubay menuturkan: "Yang demikian itu adalah Taqwa".[1] [Tafsir Ibn Katsir terhadap surah al-Baqarah ayat 2, jld. 1 hlm.46]

Justeru hari kegembiraan dan kemenangan yang disambut pada tarikh keramat yakni pada 1 Syawal itu ialah satu perayaan yang diraikan bagi menandakan syiar Islam setelah orang-orang yang beriman melalui proses pentarbiyan selama sebulan. Dan proses pentarbiyahan Ramadhan ini adalah berbentuk khusus kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala mengkhususkan bulan Ramadhan dari bulan-bulan yang lainnya, di antara galakan dan motivasi bagi memperoleh objektifnya sepanjang proses pentarbiyahan ini dapat disimpulkan seperti berikut:

  1. Bau mulut orang yang berpuasa, lebih harum di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, daripada minyak wangi kesturi.
  2. Para malaikat sentiasa mendoakan ampunan bagi orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.
  3. Dibukanya pintu-pintu syurga dan ditutupnya pintu-pintu neraka.
  4. Terdapat ampunan bagi orang yang berpuasa
  5. Diikatnya syaitan.
  6. Terdapat Lailatul Qodar, iaitu suatu malam yang lebih baik dari pada seribu bulan.

Makanya lambaian seorang hamba terhadap bulan Ramadhan menuntut satu proses muhasabah diri yang amat mendalam, dengan menilai semula progres diri sepanjang usaha mencapai objektif taqwa selama proses pentarbiyahan yang memakan masa selama sebulan sehari semalam. Muhasabah diri juga merujuk kepada perasaan khuatir di sudut hati kecil supaya tidak tergolong dalam golongan yang Nabi doakan kecelakaannya yakni seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar darinya dengan tidak diampuni dosanya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini tercatat di dalam kisah berikut:


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata, "Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.Kemudian Jibril berkata lagi, "Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.Kemudian Jibril berkata lagi," Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari]


Oleh itu proses muhasabah ini dianggap sangat releven dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim, hal ini adalah kerana sepanjang proses pentarbiyahan di bulan Ramadhan ini melibatkan jadual padat merangkumi aktiviti-aktiviti yang membentuk jati diri seorang muslim yang bertaqwa. Buktinya dapat dilihat melalui :


1. Qiyamu Ramadhan atau Solat terawih

“Barang siapa yang mendirikan Qiyamu Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” [ Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim]


2. Zakat fitrah yang bertujuan menyucikan harta

Hadis Ibn Abbas Radhiyallahu 'anhuma: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitri, penyucian bagi orang yang puasa dari perbuatan sia-sia, yang buruk dan (memberi) makanan bagi orang miskin" [Hadits Riwayat Imam Abu Dawud dan Imam An-Nasa'i ]


3. Dan juga dengan meninggalkan perkara-perkara yang mengurangkan pahala dan membatalkan puasa bagi mengawal serta mengikat nafsu.

“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan keji serta amal perbuatan keji, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak memerlukan puasanya yang sekadar meninggalkan makanan dan minuman” [Hadits Riwayat Imam Bukhari]


4. Dan semua aktiviti amal yang mampu membentuk jati diri orang-orang yang bertaqwa seperti bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memperbanyakan zikir,doa dan istighfar (mohon keampunan) dan lain-lain amal soleh.

“Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan” [Hadis Riwayat Tirmidzi].


“Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang berpuasa tadi.” [Hadis Riwayat Imam Ahmad, An Nasa’i]


5. Mencari Lailatul Qadar dan ber’iktikaf

“Barang siapa yang mendirikan qiyamulail pada saat Lailatul Qodar kerana iman dan mengaharapkan pahala Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. [Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim]


Senarai contoh di atas hanya merujuk kepada beberapa amalan utama dan boleh dipanjangkan lagi dengan amalan serta aktiviti-aktiviti amal soleh yang lainnya. Cuma apa yang ingin diketengahkan ialah bahawasanya keberhasilan dalam mencapai objektif untuk menjadi orang yang bertaqwa ialah objektif yang sangat agung dan tidaklah ia diperolehi dan diberikan kepada orang yang sekadar meninggalkan makanan atau minuman sahaja. Maka daripada proses pentarbiyahan Ramadhan yang dilalui diharap menyediakan seorang hamba itu untuk mengharungi bulan-bulan yang mendatang.


Daripada sekian banyak ayat-ayat Quran dan hadis-hadis yang menceritakan kelebihan bulan Ramadhan, dapatlah kita simpulkan objektif dan hasil yang diharapkan dan dikehendaki selepas melalui proses pentarbiyahan Ramadhan ini merujuk kepada dua agenda penting (tetapi tidak terhad kepadanya sahaja) iaitu:


i. Mendapatkan keampunan Allah

ii. Menjadi orang yang bertaqwa


Mengapakah objektif dan hasil Ramadhan ini perlu diberi penekanan?


Hal ini adalah kerana itulah yang akan kelak membentuk jati diri seorang mukmin yang bertaqwa sepanjang bulan berikutnya. Jika seorang insan tidak mengetahui apakah objektifnya membuat sesuatu, dalam erti kata lain untuk apakah dia menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa di siang hari, maka tidaklah hairan jika kita lihat individu itu sebaik melangkah masuk 1 Syawal, mereka yang selama ini istiqamah (konsisten) solat tarawih, membayar zakat, membuat amal dan lain-lain pada bulan Ramadhan, kemudiannya melakukan kemaksiatan dan mengundang murka Allah seawal pagi Syawal! Antaranya contoh yang boleh diketengahkan sebagai peringatan ialah seperti:


Ø Berlebih-lebihan dan terjerumus dalam pembaziran sebelum dan sesudah ‘Eid

Ø Meninggalkan solat fardhu pada hari 'Eid

Ø Bercampur diantara lelaki dan perempuan (ikhtilat)

Ø Mengkhususkan ziarah kubur Pada Hari ‘Eid

Ø Melakukan ibadah di kawasan kubur seperti membaca Quran dan ibadah-ibadah lain

Ø Para wanita bertabarruj (berhias diri yang berlebihan) dan keluar rumah

Ø Berhibur 'sakan' (yang keterlaluan) dan lain-lain perbuatan yang melanggar batas-batas syarak.


Kesimpulan artikel ini hanya suatu usaha refleksi diri kepada orang-orang yang telah menjalani dan berusaha sepanjang proses pentarbiyahan Ramadhan selama sebulan sehari semalam dan berhajat menjadi orang-orang yang bertaqwa.


Tidaklah objektif dan hasil proses pentarbiyahan Ramadhan ini diperolehi melainkan bagi mereka yang berusaha mendapatkannya. Dan semestinya ‘Eid itu menjadi lebih bermakna sebagai hari kemenangan dan kebahagiaan kepada mereka yang melalui proses pentarbiyahan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh dan berpeluang merasai kemanisan hasilnya.


Maka menjadi suatu sunnah untuk diamalkan apabila setelah bertungkus lumus berusaha sepanjang Ramadhan dengan jadual aktiviti-aktiviti amal soleh yang dirancang, kita mendoakan sesama kita dengan doa yang dicontohkan oleh para sahabat Rasulullah apabila mereka saling berjumpa pada hari Eid seperti mana yang diriwayatkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar bahawa sebahagian mereka mengucapkan pada lainnya dengan doa dan ucapan:



تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

“Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.”

[Fathul Bari, jld. 2 hlm.446]


Sungguh tinggi harapan kita melalui doa dan ucapan ini supaya Allah Subhanahu wa Ta’ala menerima amal kita sepanjang bulan Ramadhan. Penulis sungguh tersentuh dengan kalam Mu’alla bin al-Fadhl yang berkata, “Dahulunya (para salaf) berdoa kepada Allah Ta’ala (selama) enam bulan agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadhan, kemudian mereka berdoa kepada-Nya (selama) enam bulan (berikutnya) agar Dia menerima (amal-amal soleh) yang mereka (kerjakan)”[Ibn Rajab al-Hambali, “Latha-iful ma’aarif” hlm. 174].


Kesimpulannya, penulis berpesan kepada diri penulis sendiri dan umat Islam sekalian, agar TAQWA yang dijana di bulan Ramadhan, jangan disia-siakan. Bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sebenar-benar TAQWA dan jangan sekali-kali mati, kecuali dalam keadaan diri kita ini Muslim kepada-Nya.


“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” [ Surah al-‘Araaf 7:26]


Wallahu’allam.


Ibn Yusof

9 September 2010/30 Ramadhan 14231

4.22 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com



[1] Ada hadis yang kisahnya sama dimuatkan oleh Imam Suyuthi dalam kitab Ad-Dur al-Manthur jld. 1 hlm. 61, lelaki yang bertanya itu bukanlah Umar al-Khattab tetapi Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, hadis yang Imam Suyuthi maksudkan itu diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya dalam kitab at Taqwa.

Artikel berkenaan 'Eidulfitri yang lain:

1. Raya Sakan:Siapa Jadi Ikutan?(2007)

2. Raya Sakan: Di Mana Batas Sempadan? (2008)

3. Sambutan E'idulfitri Cara Nabi Wajar Jadi Refleksi (2009)


1 comment:

naseebeeminaddunya said...

Assalamu'alaikum belated 'Eidul-Fitr Mubarak, taqabbalallahu-minna wa-minkum wa-ahalahullahu-'alaik - lama x komen dkt sini, tambah lg sy yg suka menangguh, sy sebenarnya terfikir ttg artikel sblm ni, du'a`/zhikr yg ma`thur ditinggalkan, termasuk jg ucapan raya (walau yg ni athar), takbir, zhikr lps witr. Cuma du'a` buka puasa yg biasa di Msia tu termasuk athar? Okla du'a`/zhikr ni bkn di bibir sj tp patut mmberi kesan pd hati & 'amalan. Wallahua'lam Wsslm