Sunday, September 13, 2009

Sambutan E'idulfitri Cara Nabi Wajar Jadi Refleksi

Telah banyak tulisan yang terhasil berkenaan topik di atas dalam mengajak para pembaca kepada mencontohi nabi dalam beréidulfitri. Di dalam blog ini sahaja hampir setiap tahun saya berkongsikan beberapa informasi yang saya rasakan wajar diketengahkan kepada para pembaca. Kesemua tulisan tersebut walau bagaimanapun tidaklah lari daripada objektif topik artikel kali ini. Justeru artikel kali ini hanyalah satu kesinambungan kepada artikel-artikel tulisan tahun sebelumnya yang bertajuk "Raya Sakan:Siapa Jadi Ikutan?” disusuli dengan artikel “Raya Sakan: Di Mana Batas Sempadan?” pada tahun berikutnya.

Maka daripada tulisan-tulisan itu, perlulah para pembaca yang budiman fahami dan imani bahawa jika tidak dapat diamalkan kesemuanya tuntutan sunnah Nabi Sallallahuálaihi Wa Sallam yang semakin terhakis dek amalan zaman berzaman, janglah pula ditinggalkan kesemuanya hanya atas alasan ianya melawan adat kebiasaan.

Tatkala artikel tahun ini ditulis, umat Islam sedang berada di penghujung bulan Ramadhan, hamba-hamba Allah yang beriman sedang bersiap sedia menyahut lambaian al-Qadr. Banyak yang penulis renung-renung sepanjang 10 malam terkahir yang merupakan medan tarbiyyah atau madrasah yang terbaik. Sehinggalah teringat tentang suatu hadis yang sewajarnya mampu untuk menggetarkanr jiwa-jiwa mereka yang beriman berkenaan peristiwa yang mana Nabi mengaminkan doa Jibril atas tiga perkara. Hadis tersebut adalah seperti di bawah:

“Nabi Sallallahuálaihi Wa Sallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, Amin, amin, amin. Kemudian para sahabat bertanya: Kenapa engkau berkata Amin, amin, amin, Ya Rasulullah ? Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bersalawat kepadamu dan katakanlah amin, maka aku katakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lag: Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!, maka aku berkata : ‘Amin’. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata lagi. ‘Celakalah seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi kerananya tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin! maka aku katakan, Amin”

[Hadits diriwayatkan Bazzar dalam Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah)]

Hadis sahih ini sangat memberi kesan kepada mereka yang sedang menempuh sisa-sisa Ramadhan apabila Rasulullah Sallallahuálaihi Wa Sallam secara jelas memberikan peringatan kepada umat Islam bahawasanya amatlah rugi bagi mereka yang memasuki bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan dengan tidak diampuni dosanya oleh Allah. Apakah puncanya? Barangkali hanya tuan empunya diri mampu menepuk dada dan bertanyakan iman. Hal ini adalah kerana pengampunan dari Allah Azza Wa Jalla menuntut kesedaran yang tinggi, keinsafan, atau penyesalan yang kemudian diterjemahkan melalui perbuatan taubat.

Maka keampunan Allah yang meluas itu jika tidak digarap dengan kesedaran dan usaha. Justeru tergolonglah umat Islam dalam kelompok yang rugi sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahuálaihi Wa Sallam dalam hadis di atas. Adapun perjalanan bulan Ramadhan itu dikurniakan pula dengan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

“Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” [Surah al-Qadr:3]

Tambahan pula, Rasulullah Sallallahuálaihi Wa Sallam memberikan isyarat kepada umat Islam dalam menggarap pengampunan Allah pada bulan Ramadhan, salah satu medium hebat yang boleh digunakan ialah dengan menyahut lambaian al-Qadr. Rasulullah Sallallahuálaihi Wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa melaksanakan shalat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”[Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari, no. 1901]

Bukan itu sahaja, diajarkan pula secara jelas doa dalam mengharungi malam lailatul Qadr yang berbunyi:

‘Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anni’

“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku”

[Hadith diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, no. 3513 dan Ibn Majah, no. 3850, Imam at-Tirmizi berkata: Hadith ini Hasan Sahih]

Maka daripada pembacaan sekian banyaknya hadis-hadis mengenai kelebihan bulan mulia Ramadhan, maka kesempurnaan puasa dan beribadah mengikut tuntutan sunnah Nabi Sallallahuálaihi Wa Sallam adalah metod pendidikan atau tarbiyyah Ramadhan yang paling berkesan. Keluarnya umat Islam meninggalkan bulan Ramadhan dengan memenuhi beberapa kreteria penting itu (melalui perlaksanaan yang bersungguh dalam mencontohi Nabi Sallallahuálaihi Wa Sallam), penulis percaya bahawasanya maka didikan Ramadhan akan melahirkan umat Islam yang secara dengan sendirinya menjadi muslim yang ideal. Itulah yang sepatutnya berlaku!

Maka dalam renungan kali, penulis rasakan sudah cukup perkongsian berkenaan “do’s and don't’s” pada hari eidulfitri tersebut dalam artikel-artikel pada tahun-tahun sebelumnya. Kerana kejayaan menghadapi ramadhan itu yang akan melahirkan muslim yang ideal dalam mengharungi hari atau bulan yang mendatang seperti mana terkesannya pendidikan atau tarbiyyah ramadhan pada diri muslim tersebut. Kadang-kala kita perlu melihat sejarah semalam untuk menilai pembentukan keperibadian seseorang insan. Penulis simpukan artikel ini dengan tulisan puisi karangan Imam as-Sayuthi rahimahullahu taála dalam kitab al-Izdihar halaman ke 68 yang bermaksud:

Ïngatlah bulan puasa telah selesai

Adakah di antara kalian yang bertaubat ketika akan berpisah dengannya?

Adakah di antara kalian yang sedih kerana berpisah dengannya?

Dan menyesali kekurangan puasa dan solat malamnya?

Wahai kaum,

Janganlah kalian lalai untuk mengeluarkan kewajiban

Keluarkanlah zakat fitri ketika Ramadhan telah selesai

Tidaklah ianya disyariatkan melainkan untuk melebur kesia-siannya

Tidaklah ia diwajibkan melainkan untuk membersihkan puasanya

Sungguh beruntung orang yang berzakat dan solat untuk Rabbnya

Di bulan puasa yang akan meleburkan dosanya selama setahun.


Wallahuállam.


Ibn Yusof
13 September 2009 / 24 Ramadhan 1430
10.10 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

1 comment:

..::بشرى::.. said...

bagus sekali peringatan yang diberi..terima kasih