Saturday, August 29, 2009

Ramadhan Mendidik Erti Jimat Dalam Belanjawan


Bazar Ramadhan: Antara rezeki dan pembaziran

Ramadhan ialah bulan mulia dalam takwim umat Islam seluruh dunia. Bulan ini dihayati oleh orang-orang beriman sebagai bulan penuh kemuliaan demi menggapai peluang yang disediakan Allah dengan mendekatkan diri kepada-Nya. Setiap kali bulan Ramadhan yang mulia ini mendatangi umat Islam, maka persedian mental dan fizikal diperlukan dalam mengharungi bulan penuh ujian ini. Hal ini adalah kerana puasa dianggapkan sebagai satu medan latihan yang memutuskan jiwa dari syahwatnya dan menghalangi dari apa yang biasa dilakukan.


Atas dasar itu berpuasa di bulan Ramadhan adalah antara ibadah yang sulit sehinggakan diimplementasi pada tahun kedua hijrah setelah hati kaum muslimin dan muslimat utuh dalam mentauhidkan diri dan mengagungkan syiar-syiar Islam, maka Allah membimbing umat Islam tatkala itu melakukan puasa dalam keadaan bertahap.


Diberitakan oleh Ibnu Abi Laila, dia berkata : "Sahabat Muhammad Sallallahu’alahi Wa Sallam telah menyampaikan kepada kami : 'Ketika turun kewajiban puasa Ramadhan terasa memberatkan mereka (para sahabat), maka barangsiapa yang tidak mampu diperbolehkan meninggalkan puasa dan memberi makan seorang miskin sebagai keringanan bagi mereka, kemudian hukum ini dihapuskan oleh ayat : "Berpuasa itu lebih baik bagi kalian" (surah al-Baqarah ayat 184), akhirnya mereka disuruh berpuasa" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari)


Sejak itu ibadah puasa menjadi salah satu kepada rukun Islam yang lima seperti sabda Nabi Muhammad Sallallahu’alahi Wa Sallam:


“Islam dibangun atas lima perkara : Syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah, menegakkan solat, menunaikan zakat dan menunaikan haji ke Baitul Haram(bagi yang berkemampuan) serta berpuasa di bulan Ramadhan" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)


Maka berpuasa pada bulan Ramadhan dan membayar zakat fitrah adalah dua komponen yang hanya boleh ditunaikan pada bulan Ramadhan. Justeru bulan Ramadhan memainkan peranan penting dalam penyempurnaan rukun Islam. Kedua ibadat khusus pada bulan Ramadhan ini dilihat mampu mendidik umat Islam dalam menharungi bulan-bulan seterusnya.


Zakat fitrah adalah wajib bagi semua kaum muslimin, baik anak kecil, orang dewasa, lelaki, perempuan, orang yang merdeka mahupun hamba yang masih dalam tanggungan seseorang individu. Zakat dilihat sebagai satu institusi penting dalam memartabatkan ekonomi umat Islam kerana ia mampu mengurangkan jurang perbezaan di antara mereka yang kaya dan fakir miskin. Pengorbanan dalam membelanjakan sejumlah wang yang kemudian diberikan kepada fakir miskin dan mereka yang berhak dalam memperolehi zakat dianggap sebagai satu penyucian baik dari sudut harta fizikal mahupun spiritual.


Pengorbanan ini tidak seharunya dipandang enteng kerana melalui zakat fitrah, mereka yang berharta seharusnya mendapat pengajaran bahawa harta yang diperoleh melalui rezeki dan keberkatan Allah itu tidak wajar dibelanjakan dengan boros kepada perkara-perkara yang tidak membawa sebarang manfaat kepada pemiliknya.Allah berfirman yang bermaksud:


Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. (Surah al-Isra, ayat 26-27)


Daripada zakat fitrah ini juga manusia diajar untuk berkasih sayang sesama insan terutamanya dengan fakir miskin. Sekiranya orang kaya memperlihatkan kebahagiaan dan kegembiraan dengan pelbagai jenis makanan dan pakaian, mereka daripada keluarga fakir miskin juga berpeluang untuk menikmati makanan dan membeli pakaian untuk meneruskan hidup mereka melalui saluran duit zakat yang diberikan. Jalinan ini tidak dapat dilihat melalui mata kasar tetapi adalah satu ikatan yang menguatkan hubungan sesama umat Islam. Rasulullah Sallallahu’alahi Wa Sallam bersabda:


“Tidak beriman salah seorang dari kalian hingga dia mencintai saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya" (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).


Adapun pemahaman sesetengah masyarakat bahawa para syaitan dirantai pada bulan puasa ini dianggap sebagai suatu peluang untuk umat Islam menambah amalan beribadah dan bermuamalah. Namun para ulamak hadis seperti al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah mengulas hadis yang membicarakan perihal syaitan dirantai tatkala Ramadhan berkata melalui petikan yang diambil daripada al-Halimi:


“Ia boleh ditakrifkan dengan maksud, para syaitan tidak boleh menggoda umat Islam sepertimana yang dilakukan pada masa lain kerana mereka sibuk dengan ibadat puasa, membaca al-Quran dan mengingati Allah” (Fathul Bari, jilid 4, m.s 114)


Ini sebagaimana dinyatakan bahawa hadis itu membawa maksud syaitan-syaitan dihalang daripada menggoda manusia kerana begitu ramai umat Islam yang mendekatkan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan (Majmu’ al-Fatawa, m.s 20). Oleh itu tidak hairanlah jika dilihat dari sudut lain masih wujud mereka yang berbelanja dengan boros dan melakukan maksiat hatta pada bulan Ramadhan yang mulia. Kadang kala ketika syaitan tidak menggoda, nafsu manusia pula yang bermaharaja lela.


Justeru, tindakan boros dalam berbelanja pada bulan Ramadhan seperti membeli juadah berbuka melebihi keperluan, membeli belah sehingga berhutang, menempah baju raya berhelai-helai, menukar perabot rumah kepada yang lebih mahal, membeli kuih muih sehingga berlaku pembaziran jelas jauh tersasar daripada pendidikan atau tarbiyah pada bulan Ramadhan. Hal ini adalah kerana Ramadhan mengajar manusia merendahkan dirinya selari dengan statusnya sebagai hamba Allah.


Allah berfirman mengingatkan hamba-hamba-Nya:


“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-‘Anaam, ayat 141)


Maka umat Islam sewajarnya mengambil iktibar dan pengajaran dari bulan Ramadhan yang mulia, kerana darinya terdapat kebaikan dan keberkatan dari Allah yang tidak ditawarkan dalam bulan-bulan Islam yang lain.


Wallahu'allam.


Ibn Yusof

29 Ogos 2009 / 8 Ramadhan 1430

11.37 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


Monday, August 24, 2009

Solat Tarawih Yang Caca Merba: Antara Salah Faham dan Penambahbaikan Dalam Fekah Solat


Pengalaman menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadhan mengingatkan kita pada pengalaman tahun-tahun sebelumnya. Penulis tidak berhasrat untuk berbicara tentang kuantiti dalam artikel kali ini, hal ini adalah kerana jika kita berbicara perihal kuantiti, ianya akan hanya melibatkan topik-topik seperti jumlah rakaat tarawih yang diperselisihi pandangannya ataupun melibatkan persepsi sinonim masyarakat melayu Islam di Malaysia tentang kuantiti yang membanjiri surau dan masjid hanya pada awal Ramadhan dan berkurangnya angka jemaah apabila di penghujun bulan.


Memandangkan isu-isu tersebut telahpun banyak dibincangkan permasalahannya, maka artikel kali ini lebih fokus dan bertujuan untuk menyentuh kualiti solat tarawih itu sendiri. Solat tarawih yang dilaksanakan wajar menunjukkan perkembangan ilmu dan pemahaman dalam sesuatu bab fekah dalam solat, justeru artikel ini akan melibatkan sudut pandang dan pengalaman penulis selaku seorang penuntut ilmu. Penulis yakin bahawa para pembaca mempunyai pengalaman tersendiri dalam perkara ini sejurus membaca tajuk artikel, maka penulis mengambil keputusan melakukan pendedahan ini dari sudut pandang penulis sendiri supaya tidak menyentuh mana-mana pihak kerana ia hanya melibatkan pengalaman dan pemahaman penulis yang berevolusi dalam bab yang khusus ini.


Jika kita berbicara tentang solat tarawih, rata-rata rakyat Malaysia memahaminya sebagai satu ibadah sunat, atau lebih tepat sunat mu’akad (sunat yang dituntut) kerana Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas sehingga menjadikannya satu ibadah wajib. Walau bagaimanapun ibadah ini mempunyai fadhilat yang besar ganjarannya apabila Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:


“Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Selain itu, Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam juga bersabda:

“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam al-Nasai)


Daripada hadis-hadis di atas, di pelbagai ceruk surau dan masjid dipenuhi dengan umat Islam kerana ingin mendapatkan ganjaran yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam. Semestinya para pembaca masih ingat suatu ketika dahulu kerap di dalam televisyen dan radio mewar-warkan ‘hadis’ kelebihan menunaikan solat tarawih pada malam tersebut, walaupun kini hadis itu telah difahami oleh masyarakat sebagai hadis yang palsu, solat tawarih tetap menjadi buruan umat Islam kerana ganjaran menunaikan solat tarawih tetap ada berdasarkan hadis-hadis sahih yang dinyatakan di atas.


Justeru, pelbagai pengalaman yang boleh kita raih jika topik solat tarawih ini dibincangkan terutamanya melibatkan bab fekah dalam solat, khususnya solat tarawih. Seperti kebanyakan manusia atau umat Islam di luar sana, penulis tidak dilahirkan berpengetahuan luas dalam bidang agama. Maka wujud beberapa salah faham yang penulis lalui ketika mengikuti para imam dalam melaksanakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan tahun-tahun sebelum ini. Kemusykilan dan persoalan itu tidak terhenti dan dibiarkan begitu sahaja, pembelajaran dan kajian perlu diusahakan bagi mengeluarkan diri ini daripada tahap kejahilan dan taqlid buta yang berisiko menjerumuskan kita ke arah salah faham dalam sesuatu persoalan mendatang. Atas sebab itu penulis bertanya, mengkaji melalui pembacaan dan pembelajaran lanjut. Di sini disertakan beberapa salah faham dan penambah baikan yang boleh dilakukan hasil daripada pemerhatian penulis dalam hal ehwal solat tarawih baik bagi para imam mahupun pengetahuan para makmum.


Maka konsep dasar yang perlu diikuti dalam perbincangan ini adalah tidak lain tidak bukan dalam mebincangkan fekah bab solat ialah melalui kayu ukur yang telah digaris bawahi oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam sabdanya yang bermaksud:


"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari)



1. Meninggalkan bacaan doa iftitah

Suatu ketika dahulu, kelajuan imam dalam melaksanakan solat tawarih jelas kelihatan dalam benak penulis apabila sejurus selepas takbir, tatkala para makmum masih lagi di permulaan bacaan doa iftitah, para imam telahpun memulakan bacaan surah al-Fatihah. Ini membuatkan penulis menyangka yang bukan-bukan tentang imam tersebut, barangkali mereka ingin mengambil jalan pintas dengan tidak membaca doa iftitah atas alasan ianya dihukumkan sunat, Hassan Ibn Salman dalam kitabnya Al-Qaulu al-Mubin fi Akhta' al-Musollin menyenaraikan tidak membaca doa iftitah sebagai salah satu kesalahan yang mengakibatkan ketidak sempurnaan solat kerana ianya jelas disunnahkan di dalam solat. Walaupun hujah bahawa bacaan doa iftitah itu sunat sememangnya tepat, perlulah difahami dalam mengejar kesempurnaan solat tiada pilihan lain melainkan mencontohi Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam beribadah kerana sabaik-baik ibadah ialah ibadah yang dilaksanakan dan dicontohkan oleh Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.


Memandangkan kita dianjurkan bersangka baik sesama insan, dari sudut pandang yang lain pula, barangkali bacaan doa iftitah yang dibaca oleh para imam yang mengimami solat tarawih itu ialah doa iftitah ‘versi pendek’ seperti mana yang diiktiraf oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dari bacaan seorang sahabat daripada hadis berikut:



Dari Ibn 'Umar, dia berkata: “Sedang kami bersolat bersama Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam, salah seorang dari kami mengucapkan:


اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

“Allah yang Maha Agung lagi Maha Besar dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang.”


Bersabda Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam: “Siapa yang telah mengucapkan kalimat begini dan begini?” Salah seorang dari kami menjawab: “Saya, wahai Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam.” Baginda berkata: “Ianya (ucapan tersebut) telah membangkitkan rasa ajaib kepada aku kerana pintu-pintu syurga telah terbuka disebabkan oleh ucapan itu.” Ibn 'Umar berkata: “Aku tidak pernah meninggalkan ucapan tersebut semenjak mendengar Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam berkata begitu.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)


Doa iftitah yang lain pula adalah seperti daripada Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhu, dia berkata: “Bila Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam berdiri hendak mengerjakan solat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya:


وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِين.َإِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.َ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِي وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.

(Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Doa iftitah versi pendek di atas itu barangkali janggal bagi kebanyakkan para pembaca di Malaysia akibat ianya hanya melibatkan ayat awal daripada apa yang diajarkan oleh mana-mana buku-buku solat tanpa penjelasan hadis yang terperinci. Hal ini adalah kerana hakikatnya kita diajar hanya mengikut satu acuan doa iftitah sepanjang hidup walhal terdapat beberapa doa iftitah yang boleh diamalkan berdasarkan hadis-hadis dari Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam (Rujuk beberapa jenis doa iftitah dalam buku Hisnul Muslim).


Adapun doa iftitah yang diajarkan di dalam buku-buku solat (tanpa penjelasan hadis yang terperinci) menggabungkan dua hadis dalam satu yakni hadis Ibn 'Umar dan hadis Ali di atas (yang diwarnakan dengan warna merah) sedangkan tiada satu hadis menyatakan sedemikian rupa. Malah Imam as-Syafi’i sendiri di dalam kitab induknya, al-Umm menyatakan: ““Kalau ditambah sesuatu padanya atau dikurangkan nescaya aku memandangnya makruh” (jld.1, ms. 252). Jelas di sini bahawa tindakan menggabungkan hadis dan bacaan doa iftitah itu adalah tidak tepat menurut sunnah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.


Dan pada ayat yang lain pula berkata Imam as-Syafi’i, “Kalau lupa daripadanya ketika memulai solat, kemudian teringat sebelum membaca al-Fatihah, nescaya saya menyukai bahawa dibacakannya” (jld.1, ms. 252). Justeru, tindakan para imam sekiranya sengaja tidak membaca doa iftitah ini tidak menepati saranan yang dianjurkan oleh Imam as-Syafi’I sendiri di dalam kitabnya. Maka dengan itu pendeknya bacaan para imam dalam doa iftitah (selagi mana ianya berdasarkan hadis yang sah dari Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam) tidaklah menjadi masalah, tetapi jika meninggalkannya dengan tujuan malas, sengaja dan bertujuan mempercepatkan solat, jelas bahawa ia berkemungkinan memberi kesan kepada kesempurnaan solat tersebut.


Justeru dengan pemahaman ini penulis yakin ianya dapat mengeluarkan kita dari mempunyai tanggapan atau salah faham terhadap para imam solat tarawih yang disangkakan cepat dalam membaca doa iftitah tatkala menunaikan solat sunat tarawih.



2. Tidak Membaca Basmalah (Bismillahir rahmanir rahim)


Antara salah faham yang mungkin timbul ialah apabila para imam yang mengimamkan solat tarawih tidak membaca basmalah ketika membaca surah al-Fatihah. Salah faham ini boleh menjadi parah apabila solat tarawih itu dianggap tidak sah kerana imam tidak sempurna bacaan al-Fatihahnya. Inilah antara salah faham yang penulis alami suatu ketika dahulu apabila para imam tidak membaca basmalah sehingga wujud perasaan ragu akan solat tarawih yang didirikan. Setelah mengambil inisiatif dan sedikit usaha, kita boleh mendapati perkara ini telahpun dibincangkan oleh para ulamak terdahulu dengan begitu jelas, semestinya melalui pemahaman berkenaan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam hal ini.


Apa yang dapat penulis ringkaskan dalam perbincangan yang panjang lebar dalam kitab-kitab para ulamak muktabar dalam hal ini ialah mengenai dua kategori yang mesti dibezakan dengan jelas, iaitu perbezaan antara tidak membaca basmalah dan membaca basmalah secara perlahan (sirr). Wujud perbezaan yang jelas daripada dua kategori itu walaupun jika dilihat dari sudut realitinya sama sahaja, hanya pembaca yang mengetahui kategori mana yang diamalkannya. Sememangnya dianggap pelik jika kita mengganggap wujud para imam yang sanggup mengetepikan bacaan basmalah semata-mata ingin mempercepatkan solat tarawih apatah lagi dalam solat fardhu. Ini merupakan antara pandangan mazhab Hanafi dalam solat mereka berdasarkan hadis-hadis seperti di bawah. Dari Manshur bin Zadzan, beliau berkata


“Beliau tidak memperdengarkan kepada kami bacaan Bismillahir rahmanir rahim.”


Riwayat al-Hassan dari Anas yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah pula bermaksud:


“Mereka biasa membaca lafaz Bismillahir rahmanir rahim dengan suara perlahan.” (Fathul Bari, jld. 4, m.s 439-439)


Maka secara kesimpulannya, kata-kata Ibn Qayyim ini penulis rasakan mampu menjelaskan kekeliruan dalam hal ini apabila beliau menyatakan: “Adakalanya beliau (Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam) menyaringkan bacaan Basmallah, tapi yang lebih sering adalah baginda Sallallahu'alahi Wa Sallam menyembunyikannya.” (Mukhtasar Zaadul Ma’ad, m.s 20)


Memandangkan ianya perkara khilafiyyah, tiada menjadi masalah sekiranya para imam ingin membacanya secara perlahan mahupun kuat sesuai dengan keselesaan masing-masing dalam beramal sekaligus mengeluarkan kita daripada salah faham jika ada yang memilih untuk memperlahankan bacaan basmalah tersebut.



3. Bacaan sesudah al-Fatihah


Membaca al-Quran atau surah darinya selepas membaca al-Fatihah adalah disyariatkan. Adapun jika dibaca ayat-ayat al-Qur’an yang bukan dari permulaan surah (secara tidak lengkap) maka tidak perlu dibaca Basmallah seperti yang telah disentuh dalam perbincangan sebelum ini. Dalam solat tarawih pada bulan Ramdhan selalunya menjadi kelaziman suara dan masjid untuk membaca surah-surah dari al-Quran mengikut selera para imam dan kemampuan mereka. Perlu juga para imam solat tarawih melihat keadaan para jemaah yang mengikuti mereka supaya tidak bacaannya dianggap sebagai terlalu pendek atau terlalu membebankan.


Dari Abi Said, dia berkata: “Kami telah diperintah (oleh baginda Sallallahu'alahi Wa Sallam) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa yang mudah.


Tidaklah ada ketetapan yang khusus melalui surah atau bacaan dalam solat tarawih ini daripada baginda Sallallahu'alahi Wa Sallam, justeru para imam yang menetapkan bahawa sekian rakaat mesti atau wajib dibaca sekian surah dari ayat al-Quran adalah tidak tepat (berlawanan dengan sunnah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam) sekaligus hanya memberat-beratkankan ibadah dan agama Allah. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:


“Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam tidaklah menentukan surah-surah tertentu yang dibaca pada waktu solat tertentu hingga tidak boleh membaca yang lain…” (Fiqh Sunnah, jld.1, ms. 336).


3.1 Mengulang surah yang sama pada rakaat berikutnya


Bagi yang melakukan solat tarawih bersendirian di rumah, barangkali kita hanya menghafal beberapa buah surah sahaja, ianya tidak seharusnya menjadi penghalang untuk solat tarawih di rumah kerana keterbatasan hafalan, solat tarawih itu boleh juga dilakukan bacaan Quran dari surah yang sama berdasarkan hadis-hadis di bawah:


Abu Dzar rahimahullah berkata: “Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam berdiri dan mengulangi surah yang sama sehingga masuk waktu solat subuh. Ayat yang dibaca oleh baginda ialah: Sekiranya Kamu mengazabkan mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Mulia dan Maha Bijaksana” (Hadis diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i, no.1010 dan Ibn Majah, no.1350. Diklasifikasikan sebagai hadis hasan oleh Albani dalam kitabnya Sahih an-Nasa’i)


Seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan bahawa dia mendengar Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam membaca pada waktu solat Subuh surah al-Zalzalah pada kedua rakaatnya.Ulasnya pula: “Saya tidak tahu apakah Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam lupa ataukah dibacanya itu dengan sengaja.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, dinilai hadis hasan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, no. 816)


3.2 Membaca bacaan al-Quran dengan tartil


Selain itu, perkara yang sangat penting dan perlu ditekankan dalam berbicara soal solat tarawih ialah cara bacaan para imam yang mengimami solat tarawih mestilah tartil bacaannya, bacaan yang tartil bermaksud kalimah-kalimah al-Qur’an yang dibaca disebut secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul dan tepat sehingga tidak mengakibatkan lari makna sebenarnya. Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud:


وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً

“Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” (Surah al-Muzammil, ayat 4)

Bacaan yang terburu-buru mampu mendatangkan perasaan tidak khusyuk bukan sahaja pada pembaca yakni para imam, tetapi juga para makmum yang mengikuti solat tarawih itu. Justeru perlulah dijaga bacaan dan bersikap prihatin akan surah yang dibaca supaya tidak lari maksudnya. Jelas tiada salah faham mahupun perselisihan dalam bab dibaca ayat-ayat Quran itu secara tartil dalam hal ini kerana sewajarnya perkara ini maklum oleh mereka yang terpilih sebagai imam kepada solat tertentu. Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:


يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللهِ وَأَكْثَرُهُمْ قِرَاءَةً.

“Yang layak menjadi imam bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qur’an di antara mereka.” (Diriwayatkan oleh Abu Mas'ud Al-Badr)

4. Tidak menjaga thama'ninah


Thama'ninah sedia maklum oleh semua umat islam sebagai salah satu rukun solat yang mesti diperhatikan supaya solat itu dilihat tenang sehingga membawa kepada kekhusyukan. Mengabaikan thama'ninah boleh mengakibatkan solat seseorang itu batal. Pernah suatu ketika penulis solat di sebuah kampung, imam yang dipilih mengimami solat tarawih tersebut seperti sedang berlumba dalam solatnya sehingga membuatkan para makmum terpaksa mengejar tindak tanduk imam tersebut. Ini adalah suatu kesalahan yang perlu ditanggung oleh para imam sekiranya tidak menjaga tatacara solat dengan sempurna sesuai dengan hadis dari Sahal bin Saad radiallahu’anhu, diriwayatkan bahawa ia menceritakan: Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:


“Imam itu memiliki tanggung jawab.Jika dia melakukan solat dengan baik, maka dia dan para makmumnya mendapat pahala. Dan apabila dia melakukannya dengan salah maka ia berdosa, sementara makmumnya tidak.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, no. 981).


Perintah memperbaiki solat terutama dalam bab thama'ninah telahpun penulis sentuh secara mendalam di dalam artikel “Memperbaiki Wuduk & Solat Menurut Sunnah” berdasarkan beberapa hadis yang berbentuk suruhan dari Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam seperti:


"Apabila kamu hendak solat, maka berwudhulah dengan sempurna kemudian menghadaplah kearah kiblat dan bertakbirlah. Lalu bacalah ayat Al-Qur'an yang mudah bagimu, kemudian ruku'lah, hingga kamu tuma'ninah dalam ruku'. Lalu tegaklah berdiri, hingga kamu berdiri lurus. kemudian bersujudlah hingga kamu tuma'ninah dalam sujud. Lalu bangkitlah dari sujud hingga kamu tuma'ninnah dalam duduk. Kemudian bersujud lagi hingga kamu tuma'ninah dalam sujud. Kemudian bangkitlah dari sujud, hingga kamu tegak berdiri. Kemudian lakukanlah itu dalam solat kamu seluruhnya". (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)


5. Berselawat di antara solat tarawih


Jika para pembaca memerhatikan adat solat tarawih di Malaysia, secara umumnya solat tarawih di Malaysia diselangi dengan beberapa zikir dan selawat ke atas Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam dan para Khulafa’ ar-Rasyidin yang empat. Semasa mula berjinak dengan amalan solat tarawih ini, semestinya timbul dalam benak kita bahawa ianya seakan-akan telah menjadi salah satu rukun dalam menunaikan solat tarawih kerana ianya dilakukan pada setiap kali solat di surau-surau mahupun masjid-masjid di Malaysia. Kekerapan ini menimbulkan salah faham di dalam benak sesetengah masyarakat kita bahawa ianya adalah wajib, walhal ramai sahaja kita mengetahui ianya tidak pernah dilakukan di zaman Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam mahupun zaman para sahabat semasa mereka menunaikan solat tarawih.


Waktu di antara solat sunat tarawih adalah waktu berehat yang boleh dimanfaatkan untuk apa jua amalan yang baik. Justeru tindakan sesetengah pihak yang mengagungkan adat ini sewajarnya tidak boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian daripada kaifiat (tatacara) solat Tarawih yang disyari‘atkan kerana ia memberi kesan kepada imej agama Islam yang dicontohkan oleh Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam dan para sahabat. Hasilnya perkara baru ini menyebabkan ramai para wanita dan tidak terkecuali lelaki yang ingin solat sunat tarawih di rumah berasa janggal (atau lebih buruk menyebabkan terbantut niat mereka dalam melaksanakan amalan solat sunat tarawih ini) kerana tidak menghafal doa dan selawat yang selalu dibacakan di antara solat tarawih itu.


Perlu difahami dengan jelas bahawa adalah tidak disyari’atkan mewujudkan bacaan zikir-zikir, selawat-selawat mahupun doa-doa yang tertentu dengan melakukannya secara berjemaah semasa waktu istirehat ini. Seandainya berzikir atau mengkhususkan sesuatu apabila sedang berehat di antara solat Tarawih adalah sesuatu yang disangkakan amalan yang baik, sudah pasti Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya sehingga dilaksanakan sepenuhnya oleh generasi awal umat Islam. Adalah tidak pantas (baca:layak) untuk kita menambah ibadat khusus tanpa dalil yang jelas daripada petunjuk Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.


Maka hujah di atas sekaligus menemplak hujah sesetengah pihak bahawa tidak mengapa (baca: tiada salahnya) selagimana ianya tidak bertentangan dengan syarak, hujah sebegini dianggap satu tanggapan yang biadap kerana ianya menggambarkan Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam mengkhianati atau terlupa dalam menyampaikan risalah Islam yang diamanakan oleh Allah Subhanallahu Ta'ala kepada umat Islam. Walhal harus difahami bahawa Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam telahpun mengajar bagaimana berinteraksi dalam hal ehwal ibadat yang bersifat tawaqquf (terhenti) selagi mana tiada dalil jelas menganjurkannya.


Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa':


"Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah - dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini - maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan."


Kesimpulannya


Maka dari sub topik yang didedahkan daripada salah faham yang mungkin lahir dalam benak penulis suatu ketikal dahulu ada yang berasas dan ada yang tidak. Ternyata dengan mempelajari dan menelusuri bab ini dengan lebih mendalam kita bukan sahaja lebih memahami fekah dalam solat tarawih, secara lansung dan tidak lansung, pengetahuan fekah solat kita juga bertambah. Apa yang difirmankan Allah Subhanallahu Ta’ala adalah benar apabila disebut:


Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta'ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (Surah al-Ahzab 33, ayat 70-71)


Sesungguhnya dengan tauhid dan ilmu, Allah Subhanallahu Ta’ala memperingatkan umat manusia bahawa Dia berkuasa memperbaiki amalan-amalan kita, dengan memahamkan kita melalui ilmu agama milik-Nya. Melalui ilmu, kita berdaya menambah baik tahap amalan sedia ada ke arah kesempurnaan seperti mana yang diiktiraf melalui contoh yang pernah dilakukan oleh ibadah Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam. Semoga perkongsian pengalaman dan pemahaman ini dirasakan bermanfaat buat para pembaca.


Wallahu’allam.

Ibn Yusof

24 Ogos 2009 / 3 Ramadhan 1430

1.40 p.m

www.ibnyusof.blogspot.com