Wednesday, July 1, 2009

Mass Media: A Two-Edged Sword





Bermula dengan kelas Leadership and Management apabila kumpulan saya terpaksa membuat pembentangan berkenaan “Thinking Skills From Islamic Perspective”. Selepas itu, peluang yang diberikan untuk membuat pembentangan di Islamic Information Services (IIS) tatkala Enrichment Class menyebabkan saya sekali lagi memilih tajuk yang sama Cuma sahaja tajuk diubah kepada “Fikrah Islamiyyah”dan beberapa contoh dalam pembentangan berlaku sedikit penambah baikkan dengan memasukkan isu-isu semasa.


Saya kemudiannya merasakan idea tersebut perlu dikongsi dengan para pembaca blog, justeru saya menghasilkan artikel “Apabila dunia dihujani dusta” dan “Televisyen: Senjata Moden Perang Pemikiran” menggunakan beberapa idea yang telahpun dibentangkan kepada para pelajar IIS. Demi memastikan idea tersebut dapat disebar luaskan, Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM (MIST09) yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia ini saya rasakan mampu untuk mengetengahkan idea saya yang telah melalui beberapa fasa pembentangan untuk dikongsikan bersama para akedemik dan mereka yang terlibat di dalam industri media secara langsung dan tidak lansung.

Dua abstrak bertajuk “Media Massa dan Serangan Pemikiran” dan “Penilaian dan Penyampaian Maklumat oleh Media dari Perspektif Islam” yang dihantar kepada pihak komiti MIST09 telah diluluskan, kedua-dua abstrak itu dikembangkan daripada idea dalam dua buah artikel yang disebut di atas dan akhirnya Berjaya disiapkan pada masanya. Kerjasama dengan Ustaz Razak yang merupakan seorang penulis bebes dan pengkhususan dalam bidang hadis dilihat penting bagi mengelak wujud paradigma yang berkerut jika pelajar ekonomi seperti saya membicarakan tentang perihal kesan media kepada akidah dan penilaian serta penyampaian maklumat mengikut kaedah emas hadis dan sebagainya. Kedua-dua kertas kerja itu diharap dapat membantu pihak media untuk lebih berwaspada dalam hal ehwal yang melibatkan akidah muslim yang semakin terhakis khususnya di Malaysia.

Dikongsikan bersama abstrak yang telah diluluskan dan akan saya pindahkan ke dalam bentuk PDF kelak untuk para pembaca muat turun insyaAllah:


Abstrak:Media massa dan serangan pemikiran



Media massa merupakan bukti kemajuan peradaban yang dianggap memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian. Selaku medium penting dalam arus pembangunan kini, media sewajarnya digunakan sebagai pencerahan untuk menggilap pemikiran umat Islam. Walaupun diselangi dengan maklumat dan program yang bermanfaat seperti program-program agama, pendidikan, dan pengetahuan, tetapi peratusan program-program sebegini adalah sangat kecil berbanding program-program hiburan yang berlawanan dengan norma-norma agama. Pola fikir umat Islam kini diserabutkan dengan percampuran antara kebenaran dan kebatilan dalam maklumat dan program-program yang dihidangkan oleh media massa, terutamanya perihal penularan prinsip Machiavelli dan juga lambakan ideologi yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam dalam media massa dilihat semakin membimbangkan. Kertas kerja ini bercadang untuk melihat fenomena dan jenis-jenis serangan pemikiran melalui media massa dalam aspek akidah dan syariat Islam khususnya di Malaysia serta mencadangkan solusinya dari perspektif Islam yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan fungsi media massa.

Kata Kunci: Media massa, Machiavelli, akidah dan syariat Islam,

Abstrak: Penerimaan dan penyampaian maklumat oleh media
dari perspektif Islam


Kesempurnaan ajaran Islam sebagai cara hidup merangkumi kesemua aspek dalam kehidupan seharian. Ajaran Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-sunnah merupakan rujukan utama dalam pensyariatan Islam. Kedua sumber utama ini mengajar umat manusia dalam menjalani hidup bermasyarakat. Adapun kehidupan bermasyarakat tidak lekang daripada isu, gosip hinggakan adu domba antara manusia. Maklumat-maklumat yang bersangkutan dengan kehormatan orang lain menjadi komoditi perdagangan oleh media massa untuk meraup keuntungan dunia. Media pula selaku medium yang menerima dan menyampaikan maklumat seharusnya dibatasi dengan disiplin ilmu yang kukuh agar maklumat yang tersebar adalah adil dan telus. Kertas kerja ini bercadang untuk menelusuri kaedah penerimaan dan penyampaian maklumat oleh media dari perspektif Islam melalui neraca Al-Quran dan As-Sunnah yang boleh dimanfaatkan oleh media massa dalam usaha untuk menerima dan menyebarkan apa jua jenis maklumat agar ianya selari dengan ajaran Islam.

Wallahu’allam.
Ibn Yusof
1 July 2009 / 7 Rajab 1430
8.14 p.m
http://www.ibnyusof.blogspot.com/


No comments: