Monday, June 22, 2009

Perdebatan Hanya Jalan Terakhir Jika Betul Tujuan (B.HARIAN 19 JUN 2009)

Picture: Turkish politicians from the Republican Peoples Party and the ruling Ak Party fight during a debate in the Turkish parliament in Ankara.

Oleh Ezry Fahmy Eddy Yusof

Orang suka berdebat isu agama paling dibenci Rasulullah kerana merosak hubungan insan

PENDEBAT semuanya mempunyai matlamat tersendiri tetapi apabila mereka terjun dalam gelanggang perdebatan, matlamat mereka hanya satu iaitu ingin menang. Perasaan itu pasti dirasai semua yang pernah bergelar pendebat.

Contohnya, dalam pertandingan debat, sama ada pendebat daripada pihak pencadang atau pembangkang, semua ingin mematahkan hujah pihak lawan supaya dapat diumumkan sebagai pemenang walaupun ada kalanya tajuk dihujahkan bertentangan dengan prinsip mereka.

Pendebat harus berfikiran kritis dan kreatif untuk mengeluarkan hujah demi mempertahankan topik didebatkan. Ia mengasah ketajaman minda serta cara penyampaian dari semua segi. Tidak semua mampu dan berani terjun dalam perdebatan sama ada dalam pertandingan atau realiti.

Apa juga topik yang didebatkan termasuk dalam bab berkaitan ajaran Islam, kita pasti akan berdepan mereka yang berdebat bukan untuk mencari kebenaran, tetapi mencari kemenangan. Dalam keadaan seperti inilah wujud banyak golongan yang sanggup memperdebatkan ayat Allah walaupun kurang pengetahuan mengenainya, akhirnya menyebabkan kecelaruan.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidak ada yang memperdebatkan ayat Allah, kecuali orang yang kafir. Oleh itu janganlah biarkan mereka pulang balik dengan bebas dari suatu kota ke kota yang lain memperdayakan kamu." (Surah Ghafir, ayat 4)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memperdebatkan ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka tidak ada dalam dada mereka melainkan hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang mereka sekali-kali tiada akan mencapainya, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Ghafir, ayat 56)

Maka janganlah kita berdiri atas nama kebenaran mencabar sesama Muslim untuk berdebat kerana ia tidak lain hanya merugikan kita dan merosakkan hubungan sesama saudara.

Kesalahan yang nyata ialah apabila memilih perdebatan sebagai jalan utama, kerja dakwah dijadikan pilihan alternatif.

Persoalannya, apakah menyampaikan risalah Islam dengan cara berdebat kita mampu mengajak pihak lawan akur dan serta merta menggembleng tenaga untuk bekerjasama dalam usaha dakwah kita?

Mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud: "Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Az-Zukhruf, ayat 58)

Ajaran Islam menyeru umat-Nya berhikmah dalam berdakwah boleh tercalar dengan kelantangan hujah pihak yang tidak mahu bertolak ansur. Maka perlunya kita merenung kembali, walaupun kita mungkin berada pada pihak yang benar, atau mungkin memenangi perdebatan dengan hujah mantap, mengapakah kebenaran dibawa masih sukar diterima?

Al-Imam Ahmad menyatakan, "Pokok ajaran As-Sunnah menurut kami adalah: Berpegang teguh di atas metod sahabat Rasul SAW, mengikuti mereka dan meninggalkan bidaah. Dan setiap bidaah adalah sesat. Dan meninggalkan pertengkaran serta duduk bersama pengekor hawa nafsu, juga meninggalkan dialog dan berdebat serta bertengkar dalam agama ini."

Apa yang dibincangkan di sini ialah masalah sikap dan mentaliti segelintir pendakwah. Tidak dinafikan, boleh berdebat dalam Islam seperti yang pernah dilakukan nabi dan ulama salaf tetapi kebenaran bergantung kepada keadaan, tujuan dan maksud perdebatan itu.

Debat tidak selamanya tercela, bahkan kadangkala sesuatu kebenaran itu terkuak melalui pintu perdebatan. Debat dengan cara baik adalah seiring firman Allah yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Oleh itu, jika tidak ada garis panduan, justeru perkara yang diperdebatkan akan berakhir dengan pertengkaran dan perselisihan faham antara satu sama lain. Berapa ramai kini yang ghairah untuk berdebat atas nama kebenaran sedangkan mereka hanya ingin bongkak dengan kemenangan.

Maknanya, mereka terpaling daripada niat asal dalam menyampaikan kebenaran dan jika itu kesannya maka ia bukanlah cara yang dituntut Islam dalam menyampaikan kebenaran.

Pernyataan Abu Bakr boleh dijadikan panduan sebelum mengetuk pintu perdebatan iaitu, "Jika orang yang menanyakan permasalahannya kepadamu adalah orang yang mengharapkan bimbingan kepada kebenaran dan bukan perdebatan, maka bimbinglah dia dengan cara yang terbaik dengan penjelasan. Bimbinglah dia dengan ilmu daripada Al-Kitab dan As-Sunnah, perkataan sahabat dan ucapan imam kaum Muslimin. Dan jika dia ingin berdebat denganmu, maka inilah yang dibenci oleh ulama, dan berhati-hatilah engkau terhadap agamamu.

Dan beliau ditanya lagi: "Apakah kita biarkan mereka berbicara dengan kebatilan dan kita mendiamkan mereka? Maka katakan kepadanya: Diamnya engkau daripada mereka dan engkau meninggalkan mereka dalam apa yang mereka bicarakan itu lebih besar pengaruhnya atas mereka daripada engkau berdebat dengannya. Itulah yang diucapkan ulama terdahulu dari ulama salafus salih kaum Muslimin." (Lammud Durr, Jamal Al-Haritsi halaman 160-162)

Rasulullah SAW tidak menyampaikan risalahnya dengan cara berdebat semata-mata. Malah, Baginda membencinya, seperti diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling dibenci Allah adalah yang suka berdebat." (Hadis Muttafaq 'alaihi)

Perdebatan hanyalah jalan terakhir yang seharusnya kita pilih apabila betul tujuan dan maksudnya. Kenali keutamaan, kemudian barulah mencari alternatif. Maka di sinilah pentingnya kita umat Islam untuk sentiasa membetulkan niat dalam cara dakwah.

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 19 Jun 2009 (Jumaat).


No comments: