Monday, June 22, 2009

Perdebatan Hanya Jalan Terakhir Jika Betul Tujuan (B.HARIAN 19 JUN 2009)

Picture: Turkish politicians from the Republican Peoples Party and the ruling Ak Party fight during a debate in the Turkish parliament in Ankara.

Oleh Ezry Fahmy Eddy Yusof

Orang suka berdebat isu agama paling dibenci Rasulullah kerana merosak hubungan insan

PENDEBAT semuanya mempunyai matlamat tersendiri tetapi apabila mereka terjun dalam gelanggang perdebatan, matlamat mereka hanya satu iaitu ingin menang. Perasaan itu pasti dirasai semua yang pernah bergelar pendebat.

Contohnya, dalam pertandingan debat, sama ada pendebat daripada pihak pencadang atau pembangkang, semua ingin mematahkan hujah pihak lawan supaya dapat diumumkan sebagai pemenang walaupun ada kalanya tajuk dihujahkan bertentangan dengan prinsip mereka.

Pendebat harus berfikiran kritis dan kreatif untuk mengeluarkan hujah demi mempertahankan topik didebatkan. Ia mengasah ketajaman minda serta cara penyampaian dari semua segi. Tidak semua mampu dan berani terjun dalam perdebatan sama ada dalam pertandingan atau realiti.

Apa juga topik yang didebatkan termasuk dalam bab berkaitan ajaran Islam, kita pasti akan berdepan mereka yang berdebat bukan untuk mencari kebenaran, tetapi mencari kemenangan. Dalam keadaan seperti inilah wujud banyak golongan yang sanggup memperdebatkan ayat Allah walaupun kurang pengetahuan mengenainya, akhirnya menyebabkan kecelaruan.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidak ada yang memperdebatkan ayat Allah, kecuali orang yang kafir. Oleh itu janganlah biarkan mereka pulang balik dengan bebas dari suatu kota ke kota yang lain memperdayakan kamu." (Surah Ghafir, ayat 4)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memperdebatkan ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka tidak ada dalam dada mereka melainkan hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang mereka sekali-kali tiada akan mencapainya, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Ghafir, ayat 56)

Maka janganlah kita berdiri atas nama kebenaran mencabar sesama Muslim untuk berdebat kerana ia tidak lain hanya merugikan kita dan merosakkan hubungan sesama saudara.

Kesalahan yang nyata ialah apabila memilih perdebatan sebagai jalan utama, kerja dakwah dijadikan pilihan alternatif.

Persoalannya, apakah menyampaikan risalah Islam dengan cara berdebat kita mampu mengajak pihak lawan akur dan serta merta menggembleng tenaga untuk bekerjasama dalam usaha dakwah kita?

Mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud: "Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Az-Zukhruf, ayat 58)

Ajaran Islam menyeru umat-Nya berhikmah dalam berdakwah boleh tercalar dengan kelantangan hujah pihak yang tidak mahu bertolak ansur. Maka perlunya kita merenung kembali, walaupun kita mungkin berada pada pihak yang benar, atau mungkin memenangi perdebatan dengan hujah mantap, mengapakah kebenaran dibawa masih sukar diterima?

Al-Imam Ahmad menyatakan, "Pokok ajaran As-Sunnah menurut kami adalah: Berpegang teguh di atas metod sahabat Rasul SAW, mengikuti mereka dan meninggalkan bidaah. Dan setiap bidaah adalah sesat. Dan meninggalkan pertengkaran serta duduk bersama pengekor hawa nafsu, juga meninggalkan dialog dan berdebat serta bertengkar dalam agama ini."

Apa yang dibincangkan di sini ialah masalah sikap dan mentaliti segelintir pendakwah. Tidak dinafikan, boleh berdebat dalam Islam seperti yang pernah dilakukan nabi dan ulama salaf tetapi kebenaran bergantung kepada keadaan, tujuan dan maksud perdebatan itu.

Debat tidak selamanya tercela, bahkan kadangkala sesuatu kebenaran itu terkuak melalui pintu perdebatan. Debat dengan cara baik adalah seiring firman Allah yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Oleh itu, jika tidak ada garis panduan, justeru perkara yang diperdebatkan akan berakhir dengan pertengkaran dan perselisihan faham antara satu sama lain. Berapa ramai kini yang ghairah untuk berdebat atas nama kebenaran sedangkan mereka hanya ingin bongkak dengan kemenangan.

Maknanya, mereka terpaling daripada niat asal dalam menyampaikan kebenaran dan jika itu kesannya maka ia bukanlah cara yang dituntut Islam dalam menyampaikan kebenaran.

Pernyataan Abu Bakr boleh dijadikan panduan sebelum mengetuk pintu perdebatan iaitu, "Jika orang yang menanyakan permasalahannya kepadamu adalah orang yang mengharapkan bimbingan kepada kebenaran dan bukan perdebatan, maka bimbinglah dia dengan cara yang terbaik dengan penjelasan. Bimbinglah dia dengan ilmu daripada Al-Kitab dan As-Sunnah, perkataan sahabat dan ucapan imam kaum Muslimin. Dan jika dia ingin berdebat denganmu, maka inilah yang dibenci oleh ulama, dan berhati-hatilah engkau terhadap agamamu.

Dan beliau ditanya lagi: "Apakah kita biarkan mereka berbicara dengan kebatilan dan kita mendiamkan mereka? Maka katakan kepadanya: Diamnya engkau daripada mereka dan engkau meninggalkan mereka dalam apa yang mereka bicarakan itu lebih besar pengaruhnya atas mereka daripada engkau berdebat dengannya. Itulah yang diucapkan ulama terdahulu dari ulama salafus salih kaum Muslimin." (Lammud Durr, Jamal Al-Haritsi halaman 160-162)

Rasulullah SAW tidak menyampaikan risalahnya dengan cara berdebat semata-mata. Malah, Baginda membencinya, seperti diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling dibenci Allah adalah yang suka berdebat." (Hadis Muttafaq 'alaihi)

Perdebatan hanyalah jalan terakhir yang seharusnya kita pilih apabila betul tujuan dan maksudnya. Kenali keutamaan, kemudian barulah mencari alternatif. Maka di sinilah pentingnya kita umat Islam untuk sentiasa membetulkan niat dalam cara dakwah.

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 19 Jun 2009 (Jumaat).


Saturday, June 13, 2009

Beramal Dengan Ilmu: Ringkasan Sifat Solat Nabi



Beramal dengan ilmu! Mungkin itulah kempen besar-besaran yang mampu kita lakukan bersama demi menyemarakkan lagi pemahaman umat Islam khususnya di Malaysia tentang ajaran Islam. Beramal dengan ilmu bukanlah satu idea baru, malah inilah juga kempen para Nabi dan Rasul kepada umat Islam.


Solat semestinya satu perkara penting dalam kehidupan umat Islam, Akan tetapi tidak semua umat Islam di Malaysia beramal dengan ilmu, tidak keterlaluan jika penulis katakana majority umat Islam di Malaysia masih mempraktikkan Islam dengan kaedah ikut-ikutan seperti mana yang telah saya jelaskan dalam artikel-artikel yang lepas seperti “3 Jumaat Berbeza Tetapi Dengan ‘Adat’ Yang Sama”.

Hatta ada yang meremehkan persoalan bab solat ini untuk dikempenkan supaya ianya dilakukan dengan ilmu, saya percaya kelak dialog-dialog yang diutarakan dan yang telah dijawab dalam artikel “Memperbaiki Wuduk & Solat Menurut Sunnah” akan dapat merungkai persoalan remeh tersebut. Kita bukan berkempen untuk murtadkan para pembaca daripada mazhab mereka, tetapi apa yang kita inginkan ialah umat Islam ini beramal dengan ilmu daripada sekecil-kecil perkara sehinggakan sebesar-besar isu apatah lagi dalam hal ehwal solat yang merupakan rutin harian kita. Itulah juga yang saya ulang dan ulang dan ulang di dalam artikel-artikel lain seperti “Solat Mazhab Syafie’ Vs. Mazhab Lain?” atau dalam artikel “Sifat Solat Albani Atau Sifat Solat Nabi?”.

Jika ada usaha yang lebih, sememangnya wajar untuk kita pergi lebih jauh dengan membaca dan menelusuri perbahasan perbezaan dalam pendapat para imam dan muhaddith baik Syaikh al-Muhaddith Nasiruddin Al-Albani yang popular dengan kitabnya “Sifat Solat Nabi”, mahupun Syaikh al-Muhaddith Abdul Aziz Torifi, hatta kitab “Sahih Sifat Solah an-Nabi” oleh Hasan ibn 'Ali as-saqqaf walaupun beliau ini terkenal dengan pengkhianatannya terhadap agama dan telah dijawab oleh para ilmuan timur tengah seperti Syaikh al-Muhaddith Sulaiman bin Nasir al-Ulwan. Kadang kala kita perlu telusuri pelbagai pandangan untuk yakin dan samapi kepada kesimpulan terhadap apa yang kita fahami dan telah pelajari, itulah ilmu!

Tetapi ini bukan artikel yang sesuai untuk bacaan para ilmuan dan para mujtahid kita yang mampu membelek kitab-kitab dan perbahasan hadis dalam hal ehwal fekah solat. Bukan juga cuba mempromosi mana satu praktik yang lebih tepat dari yang lain. Tetapi hanya satu usaha ringkas untuk para pembaca awam menilai amalan solat mereka berdasarkan perbuatan Nabi Sallahu ‘alaihi wa Sallam. Di bawah ini ialah isi kandungan Sifat Solat Nabi produksi al-Markaz yang boleh juga ditonton di youtube.

"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat" (Bukhari dan Muslim)

BerWudhu'
"Tidak diterima solat seseorang tanpa bersuci" (Muslim)
1)Membaca Basmallah (Abu Daud, Ibn Majah)
2)Mencuci dua telapak tangan 3X (Bukhari dan Muslim)
3)Berkumur2 dan memasukkan air ke dalam hidung sebanyak 3X kemudian mengeluarkannya.(Bukhari dan Muslim)
4)Mencuci Wajah 3X (Bukhari dan Muslim)
5)Mencuci tangan kanan sampai siku 3X kemudian tangan kiri sampai siku 3X (Bukhari dan Muslim)
6)Mengusap kepala dan mengusap telinga 1 kali (Bukhari dan Muslim)
7)Mencuci kaki kanan sampai mata kaki 3X kemudian kaki kiri dsmpai mata kaki 3X (Bukhari dan Muslim)
8)Doa selepas wudhu' (Bukhari dan Muslim)

Pembatal Wudhu'
1)Apa-apa yang keluar dari kemaluan depan dan belakang berupa kotoran atau angin
2)Tidur nyenyak
3)Hilangnya akal kerana mabuk atau sakit
4)Menyentuh kemaluan tanpa penghalang dengan diikuti syahwat
5)Makan daging unta
(Al-Wajiz fi Fiqhi As-Sunnah wa Al-Kitabi Al-'Aziz hal. 36-37)

Tayammum
(Surah Al-Maidah 5:6)
Berkata Abu Ishaq:"As-Shaid adalah muka bumi,dan As-Shaid tidak semestinya tanah,akan tetapi muka bumi baik berupa tanah atau bukan,misalnya di gurun/padang pasir"
"Boleh bertayamumm dengan menggunkan debu yang ada di dinding,baik dari tanah atau batu,dengan cat atau tidak"(Al-Wajiz hal. 50)

Tatacara Tayammum

1)Memukul kedua telapak tangan ke muka bumi (satu kali) (Bukhari dan Muslim)
Pembatal Tayammum
1)Sama dengan pembatal wudhu'
2)Menemukan air atau boleh menggunkan air semula.(Al-Wajiz hal.50)
Persiapan Solat
1)Jika Engkau hendak berdiri untuk solat maka sempurnakanlah wudhu' kemudian menghadapkanlah ke kiblah lalu bertakbirlah.(Bukhari dan Muslim)
2)Berdiri (Al-Baqarah 238),Diperbolehkan Solat duduk jika sakit atau kesulitan berdiri (Bukhari,Abu Daud,Ahmad)
3)Pahala orang yang duduk, separuh dari solat orang yang berdiri (Bukhari, Abu Daud, Ahmad)
4)Diperbolehkan juga solat sambil duduk di atas perahu (Al-Bazzar, Daruqutni)
5)Jika imam solat dengan duduk kerana sakit,maka makmum wajib solat dengan duduk walaupun mereka mampu berdiri (Bukhari dan Muslim)
6)Menghadap Sutrah-Janganlah kalian solat kecuali menghadap Sutrah (Ibn Khuzaimah dengan hadith semakna terdapat dalam Bukhari dan Muslim)
Sutrah(Pembatas) boleh berupa tiang,dinding,belakang orang,beg,atau apa sahaja yang mempunyai tinggi (minimum) satu hasta (Al-Masjid fi Al-Islam hal. 78)
7)Niat-Sesungguhnya seluruh amal itu bergantung kepada niatnya (Bukhari dan Muslim)

Gerakan Solat
1)Takbir-Jika engkau ingin solat maka sempurnakanlah wudhu' kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbirlah (Bukhari dan Muslim)
-Mengangkat tangan bersamaan ucapan takbir (Bukhari)
-Mengangkat tangan setelah mengucapkan takbir (Bukhari)
-Mengangkat tangan sebelum mengucapkan takbir (Bukhari)
2)Beliau mengangkat kedua tangannya dengan membuka jari-jarinya lurus ke atas (Abu Daud,Ibn Khuzaimah dll)
3)Beliau mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu (Bukhari)
4)Rasulullah meletakkan tangan kanannya pada lengan tangan kirinya (Bukhari)
dan bersedekap di dada (Abu Daud, Ibn Khuzaimah)
5)Rasulullah meletakkan lengan kanan pada punggung telapak kirinya, pergelangan dan lengan kirinya (Abu Daud, An-Nasai)
6)Rasulullah terkadang menggenggamkan jari-jari tangan kanannya pada hasta kirinya (An-Nasai, Daruqutni)

Khusyu'
1)Sewaktu solat Rasulullah menundukkan kepala dan memandang ke tempat sujud (Baihaqi, Hakim)
2)Jika diganggu syaitan hendaklah membaca ta'awwudz kemudian meludah ke sebelah kirinya sebanyak 3X (Muslim, Ahmad)
3)Rasulullah pernah membukakan pintu untuk 'Aisyah padahal beliau sedang solat (Sahih An-Nasai 1151)
4)Apabila seseorang diantara kalian solat menghadap sutrah kemudian ada orang hendak melanggarnya maka cegahlah semampunya sebanyak 2X,jika orang itu enggan maka bunuhlah dia kerana dia adalah syaitan (Bukhari dan Muslim)
(Bunuh bukan bererti bunuh,ia hanya bermaksud melewati orang sedang solat merupakan Dosa Besar)
Lebih baik menunggu 40 (tahun) daripada lewat di depan orang yang sedang solat (Bukhari dan Muslim)

Ruku'
1)Setelah membaca ayat Al-Quran, Rasulullah berhenti sejenak (Abu Daud,Hakim)
lalu beliau ,mengangkat tangan bertakbir dan ruku' (Bukhari dan Muslim)
2)Beliau meletakkan tangan pada lutut (Bukhari)
3)Meluruskan punggungnya (Baihaqi) Sehingga apabila air diletakkan di atas punggung beliau air tersebut tidak akan bergerak (Thabrani)
3)Beliau tidak mendongakkan atau menundukkan kepalanya (Abu Daud, Bukhari) tetapi tengah-tengah antaranya (Muslim)
4)Orang yang tidak menyempurnakan ruku'nya merupakan pencuri yang paling jahat, iaitu pencuri dalam solat (Ibn Abi Syaibah, Thabrani, Hakim)
5)Sesungguhnya tidak ada solat bagi orang yang tidak meluruskan punggungnya dalam ruku' dan sujud (Ahmad)
6)Dianjurkan melamakan ruku' (Bukhari dan Muslim) dan dilarang membaca Al-quran sewaktu Ruku' (Muslim)
7)Subhanarab biyal 'Azim , Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung 3X (Ahmad, Abu Daud dll)

'Ittidal
1)SamiAllahu liman Hamidah , Allah mendengar orang yang memujiNya (Bukhari dan Muslim)
2)Rabbana wa lakal Hamd , Wahai Rabb kami, dari segala puji adalah milik-Mu (Bukhari dan Muslim)
3)Rasulullah memerintahkan untuk meluruskan punggung, menegakkan kepala, sampai ruas tulang punggung kembali ke tempat semula (Bukhari dan Muslim)
4)Rasulullah bertakbir untuk sujud (Bukhari dan Muslim)
5)Terkadang beliau mengangkat tangan ketika hendak sujud (An-Nasai, Daruqutni dll)

Sujud
1)Rasulullah mendahulukan kedua tangannya pada saat turun menuju sujud (Ibn Khuzaimah, Daruqutni, Hakim)
2)Rasulullah sujud di atas 7 anggota (Bukhari dan Muslim) [kening &hidung, kedua telapak tangan,kedua lutut, jari-jari kaki]
3)Rasulullah terkadang meletakkan tangannya sejajar dengan bahunya (Abu Daud, An-Nasai)
4)Rasulullah terkadang meletakkan tangannya sejajar dengan daun telinganya (Abu Daud, An-Nasai)
5)Rasulullah merapatkan jari-jarinya (Ibn Khuzaimah, Baihaqi) dan menghadapkannya ke arah kiblat (Baihaqi)
6)Beliau merapatkan kedua tumitnya (At-Thahawi, Ibn Khuzaimah) dan menegakkan telapak kakinya (Baihaqi)
7)Beliau mengangkat kedua lengannya dan menjauhkannya dari perutnya sampai kelihatan putih ketiaknya (Bukhari dan Muslim) (untuk solat bersendirian-pen)
8)Disunnahkan untuk memperbanyakkan do'a sewaktu sujud (Muslim)
9)Subhanarabbi yal 'ala, Maha Suci Rabb-ku yang Maha Tinggi 3X atau lebih (Ahmad,Abu Daud dll)

Duduk Antara Dua Sujud
1)Rasulullah menegakkan telapak kaki kanan (Bukhari)
menghadapkan jari-jari kaki ke kiblat (An-Nasai)
2)Rasulullah duduk di atas telapak kakinya (Bukhari)
3)Kadang-kala beliau duduk Iq'a (Muslim) [duduk dengan menegakkan telapak dan kedua tumitnya]
4)Rabbighfirrli Warhamni Wajburrni Warfa'ni Wahdini Wa'afini Warzuqni , Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, lindungilah aku, angkatlah darjatku, tunjukilah aku, sihatkanlah aku, berilah aku rezeki (Abu Daud dll)

Duduk Istirehat (Sebelum bangkit)
1)Sepertimana duduk di antara dua sujud kemudian bertumpu pada kedua tangan dengan menggenggam jari jemari ke tanah (ya'jim-pen).(An-Nihayah) [seperti menumbuk permukaan lantai untuk menyokong diri daripada naik berdiri]
2)Rasulullah melakukan a'jn dalam solatnya (Baihaqi, Abu Ishaq Al-Harbi)

*Kesemu gerakan tadi diulang-ulang pada rakaat seterusnya.

Tashahud Awwal
Solat 2 Rakaat
1)Beliau duduk iftirasy pada solat 2 rakaat (An-Nasai) [Posisi duduk iftirasy seperti mana duduk antara dua sujud,duduk di atas telapak kaki kiri dan menegakkan kaki kanan sambil jari kaki kanan menghadap ke kiblat]
2)Demikian juga keadaan duduk untuk tasyahud awal pada solat 3 rakaat atau 4 rakaat (Bukhari, Abu Daud)
3)Beliau meletakkan telapak tangan kanan di atas paha kanan (Muslim) dalam riwayat lain lutut kanan
4)Beliau meletakkan telapak tangan kanan di atas paha kiri (Muslim) dalam riwayat lain lutut kiri
5)Beliau mengacukan telunjuknya ke kiblat (Muslim)
6)Beliau menggerak-gerakkan jari telunjuknya (Abu Daud)
7)Rasulullah mengarahkan pandangan mata ke telunjuk (Muslim)

Cara Rasulullah Mengisyaratkan Jari
1)Ibu jari memegang jari tengah (Muslim)
2)Ibu jari dan jari tengah membentuk bulatan (Abu Daud, An-Nasai ,Ibn Hibban dll)
Nabi bangkit ke rakaat ketiga seraya mengucapkan takbir (Bukhari dan Muslim)
dan beliau mengangkat kedua tangannya (Bukhari, Abu Daud)
Saat bangkit ke rakaat ke empat beliau duduk istirehat kemudian bertumpu dan bertakbir (Bukhari, abu Daud)
Kadang-kala Nabi bangkit ke rakaat ke empat dengan mengangkat kedua tangannya (Abu 'Awanah, An-Nasai)

Tashahud Akhir
1)Rasulullah duduk secara tawarruk yakni punggung telapak kaki kiri menempel ke tanah, hujung kaki kiri dan kaki kanan berada pada satu sisi (Bukhari) danb menjadikan kaki kirinya berada di bawah paha dan betis kaki kanannya (Muslim)
2)Beliau menegakkan telapak kaki kanannya (Muslim)
3)Beliau kadang-kala mendatarkannya (Muslim) [telapak kaki kanannya-pen)
Doa Tahiyyat Awal sama dengan bacaan Doa tahiyyat akhir dengan tambahan beberapa doa yang warid Rasulullah bacakan.

Memberi Salam
1)Rasulullah membaca doa perlindungan dari 4 hal sebelum salam (Muslim)
2)Sebelum salam dibolehkan untuk membaca do'a yang disukai (Bukhari dan Muslim)
4 Cara Rasulullah Memberi Salam
1)Rasulullah berpaling ke kanan sampai terlihat pipi kanan beliau yang putih (Muslim)
Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh (Abu Daud, Ibn Khuzaimah)
kemudian Rasulullah berpaling ke kiri sampai terlihat pipi kiri beliau yang putih (Muslim)
Assalamua'laikum warahmatullah (Muslim)
2)Rasulullah berpaling ke kanan seraya mengucapkan Assalamua'laikum warahmatullah (Muslim)
dan berpaling ke kiri seraya mengucapkan Assalamua'laikum warahmatullah (Muslim)
3)Rasulullah berpaling ke kanan seraya mengucapkan Assalamua'laikum warahmatullah (Ahmad, An-Nasai) dan berpaling ke kiri seraya mengucapkan Assalamua'laikum (Ahmad, An-Nasai)
4)Rasulullah menoleh sedikit ke kanan seraya mengucapkan Assalamua'laikum (Baihaqi, Ibn Khuzaimah dll)

*Tatacara solat yang diterangkan berlaku (sama)baik untuk lelaki mahupun perempuan kerana Rasulullah bersabda "Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat "(Bukhari dan Muslim) tanpa mengkhususkan tatacara yang berbeza antara jantina.

Kesalahan-Kesalahan Dalam Solat
1)Rasulullah melarang menyelak lengan baju dalam solat (Bukhari dan Muslim)
2)Isbal [menurunkan pakaian melebihi mata kaki/buku lali]
3)Tumit tidak bersentuhan akibat telapak kaki tidak menghadap kiblat
4)Menjauhi sutrah/ terlalu jauh dari sutrah atau lebih teruk tidak menggunakan sutrah.
5)Kesalahan takbir apabila tangan tidak diangkat dengan sempurna atau tidak dihadapkan ke arah kiblat.
6)Bersedekap tidak mengikut sunnah yakni di dada tetapi di selainnya.
7)Pandangan mata melilau ke arah yang tidak sepatutnya.
8)Ruku' yang tidak sempurna apabila punggung tidak lurus atau meletakkan tangan pada betis atau tangan di lutut dirapatkan.
9)Tidak mengangkat tangan ketika turun untuk ruku'
10)Kesalahan waktu sujud-
Jari tidak menghadap ke arah kiblat atau rapatnya perut dengan peha.
Posisi tumit tidak dirapatkan atau tidak sujud dengan 7 anggota.
Atau hanya jari yang bersentuhan dengan tanah tetapi mengangkat telapak tangan.
Lengan dijatuhkan atau ditempelkan ke arah tanah sepert anjing.
Menyelak rambut ketika sujud.Rasulullah melarang menyelak rambut dalam solat (Muslim)
11)Sujud setelah salam tanpa sebab mahupun bersebab tanapa pernah dicontohkan oleh Nabi.
12)Tidak Tuma'ninah (Meletakkan tulang pada tempatnya)-Sangat cepat.
13)Tidak menghalangi orang yang melewati sutrah
14)Membuka telapak tangan selepas salam ke kanan dan ke kiri.ini merupakan perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah (Muslim)
15)Mengusap muka setelah salam
16)Imam tidak meluruskan saf terlebih dahulu sebelum memulakan solat.
17)Kesalahan posisi makmum ketika satu orang yang salah yakni mundur sedikit ke belakang daripada imam.
18) Kesalahan posisi makmum ketika dua orang yakni kiri dan kanan belakang imam.
19)Makmum yang masbuk menunggu imam sehingga berdiri.
20)Makmum mendahului,bersamaan,atau terlambat jauh dari gerakan imam.
Bila dilakukan dengan sengaja boleh membatalkan solat (Taudihu al-Ahkam)
21)Berlari-lari sewaktu mendatangi solat untuk mengejar perbuatan imam yang telah memulakan solat.
"Jika kalian mendatangi solat,maka berjalanlah dengan tenang,apa-apa yang kamu dapati maka solatlah,dan apa yang terlewat olehmu maka sempurnakanlah." (Bukhari dan Muslim)

Apa yang disertakan hanyalah ringkasan sifat solat nabi. Tidak saya nafikan ada perbahasan panjang dalam fekah terhadap sesetengah bab di atas yang melibatkan permasalahan status hadis dan ianya tidak disertakan dalam artikel ini. Cuma sahaja apa yang perlu para pembaca ketahui ialah setiap poin di atas dibincangkan panjang lebar oleh para imam muktabar. Hanya sahaja terpulang pada para pembaca untuk menilainya sendiri dalam mengamalkannya selagi mana ianya berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah seperti mana yang difahami oleh para salaf as-soleh.

"Tepuk selera, tanya iman."

Wallahu'allam.
Ibn Yusof
14 Jun 2009/ 21 Jumad Thani 1430
3.30 p.m