Friday, January 19, 2007

Solat Mazhab Syafie’ Vs. Mazhab Lain?


Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Segala puji-pujian kepada Allah, Rabb sekalian alam. Salam dan Selawat ke atas Rasulullah, ahli keluarganya, para sahabatnya, tabien, atha tabien; dan ke atas sekalian orang yang berusaha untuk mengikuti dan mempratikkan segala ajarannya dan menjauhkan segala larangannya.

Pembelajaran yang efektif dan berkesan sukar dicapai tanpa mempunyai kefahaman atau manhaj yang betul dalam mempelajari sesuatu ilmu.kerana apa jua pembelajaran seharusnya dimulakan dengan konsep yang betul agar pembelajaran atau konsep adalah selari dan mudah dihubungkaitkan.Antara perkara yang wajar dipupuk dalam minda kita terutama dalam pembelajaran agama ialah mengfokuskan cara berfikir kita kepada apa yang dikatakan,bukan siapa yang berkata.Walaupun ustaz,mufti atau syeikh yang mengeluarkan kata-kata,tidaklah ia diukur atau ditimbang melainkan melalui neraca Al-Quran dan As-Sunnah.

Diterima kata-kata itu apabila bersesuaian dan tepat dengan ajaran Al-Quranul Karim dan As-Sunnah as-Sahihah , dan ditolak sesuatu teori , kata-kata dan pendapat apabila bertentangan dengan kedua-dua sumber tertinggi perundangan dan ilmu umat Islam itu .Inilah fikrah atau cara berfikir yang sewajarnya ada apabila menuntut ilmu.

Setiap permasalahan yang dibahaskan haruslahi dirujuk secara terus kepada nas-nas al-Qur'an dan juga as-Sunnah. Sememangnya demikianlah perintah Allah dalam kita beragama dan mempelajari setiap ajarannya, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'an:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

“Wahai orang-orang yang beriman, ta'atlah kamu kepada Allah dan ta'atlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Uli'l-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan)dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
[Maksud surah an-Nisaa 04 - 59].

Di sini ingin saya menyatakan bahawa ada sesetengah orang yang telah mengabaikan ketaatan kepada al-Qur'an dan hadith lalu sebaliknya melimpahkan segala ketaatan hanya kepada ustaz atau ustazah yang mengajar. Apa sahaja yang disampaikan oleh seseorang pengajar, samada Tuan Guru atau Tuan Imam atau Uztaz atau Ustazah diterima bulat-bulat tanpa mengambil kira adakah ajaran yang mereka sampaikan itu dirujuk kepada sumber al-Qur'an atau as-Sunnah. Malah adakalanya apabila seseorang itu menemui dalil sahih dari al-Qur'an atau as-Sunnah, dalil tersebut ditolak semata-mata kerana tidak selari dengan ajaran ustaznya.Jika kita salah seorang yang tergolong dalam golongan ini hendaklah kita menukar prinsip beragama ini kepada memegang dalil dan hujah asal sahaja hujah itu berasal dari nas al-Qur'an dan al-Hadith yang sahih. Sebarang ajaran yang tidak berasal dari dua sumber ini atau tidak disertakan rujukan dari dua sumber ini maka ia tidak berhak untuk ditaati atau diikuti malah harus dipersoalkan. Kita melakukan sesuatu bukanlah kerana ustaz ustazah melarangnya tetapi kerana sumber-sumber dari Al-Quran dan Sunnah melarangnya,manakala jika kita melakukan sesuatu juga berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Sahih dan bukan kerana ustaz atau ustazah menyuruh kita melakukannya.Inilah kesimpulan dalam metodologi pengkajian dan manhaj penyampaian yang seharusnya kita miliki..

Bertukar-tukar mazhab dalam beribadah?

Takhayyur bererti memilih dan Talfiq bererti mencampur dan dalam ertikata perbincangan fiqh, ia bermaksud memilih-milih serta mencampur antara ajaran-anjaran mazhab-mazhab fiqh yang sedia ada, iaitu Mazhab Shafie, Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali.Mungkin adalah sesuatu perkara yang baru jika saya menyatakan bahawa boleh bagi kita mengamalkan talfiq yakni bertukar-tukar mazhab semasa melakukan ibadah. Adapun perkara-perkara kecil yang menjadi perbezaan sesama mazhab tidak sepatutnya menjadi batu penghalang tetapi sebaliknya perlu dijadikan pemangkin bagi meluaskan ilmu pengetahuan dan kematangan beragama.

Oleh itu,bolehkan kita bersolat dengan mengamalkan cara-cara mazhab lain?
Dalam menjawab persoalan ini cukuplah saya mengutarakan perkataan imam-imam di dalam mengikuti sunnah dan meninggalkan perkataan-perkataan yang bertentangan dengannya..Diharap orang-orang yang bertaqlid buta ( Imam Thahawi berkata” Tidak boleh bertaqlid kecuali orang yang sakit syaraf atau orang tolol”.Dipindahkan oleh Ibn Abidin di dalam Rasmu ‘l-Mufti.Vol 1 p.32,dari kumpulan risalah-risalahnya)dan bagi mereka yang menganggap kata-kata mereka umpama turun dari langit.Antaranya ialah:-

1)Imam Abu Hanifah

“Apabila Hadith itu sahih,maka itu adalah mazhabku”
[Ibn Abidin di dalam Al-Hasyiyah,1/63 dan di dalam risalahnya,Rasmu I’Mufti,1/4 dari kumpulan risalah Ibn Abidin ,dan Syaikh Al-Fulani di dalam Iqazhu ‘I-Himam,p.62]

“Jika aku mengatakan sesuatu perkataan yang bertentangan dengan kitab Allah dan kabar Rasulullah saw,maka tinggalkanlah perkataanku”
[Al-Fulani di dalam Al-Iqazh,p 50,dan diasalkan oleh Imam Muhammad]

2)Imam Malik

“Sesunguhnya aku ini hanyalah seorang manusia yang salah dan benar.Maka perhatikanlah pendapatku.Setiap pendapat yang sesuai dengan Kitab dan Sunnah,ambillah dan setiap yang tidak sesuai dengan Kitab dan Sunnah,tinggalkanlah.”
[Ibn Abdi I’-Bar di dalam Al-Jami’,2/32,dan darinya Ibn Hazam di dalam Ushulu ‘l-Ahkam,6/149 dan demikian pula Al-Fulani,p 72.]

3)Imam Asy-Syafi’e

“Apabila kamu mendapatkan di dalam kitabku apa yang bertentangan deang Sunnah Rasulullah saw.,maka berkatalah dengan Sunnah Rasulullah saw. Dan tinggalkanlah apa yang aku katakan.
[Al-Harawi di dalam Dzammu’ Kalam,3/47/1,Al-Khatib di dalam Al-Ihtijaj bi’sy Syafie,8/2,Ibn Asakir,15/9/10,An-Nawawi di dalam Al-Majmu’,1/63,Ibn Qayyim ,2/361,dan Al-Fulani,p 100]

“Apabila Hadith itu Sahih,maka dia adalah mazhabku”
[An-Nawawi dalam Al-Majmu’,Asy-Sya’rani,10/57,dan dibangsakan kepada dan Hakim dan Baihaqi,Al-Fulani,p. 107]

“Setiap apa yang aku katakan,sedangkan Nabi saw. Terdapat hadith sahih yang bertentangan dengan perkataaanku,maka hadith nabi itu adalah lebih utama.Oleh kerana itu,janganlah kamu mengikuti aku.”
[Ibn Asakir 15/9/2]

4)Imam Ahmad Bin Hanbal

“Janganlah engkau mengikuti aku dan jangan pula engkau mengikuti Malik,Syafie,Auza’i,dan Tsauri.Tapi Ambilah dari man mereka ambil”
[Al-Fulani,113,dan Ibn ‘l-Qayyim di dalam Al-I’lam,2/302]

“Barangsiapa yang menolak hadith Rasulullah saw. Maka sesungguhnya ia telah berada di tepi kehancuran.”
[Ibn Jauzi, p.182]

Demikianlah beberapa bukti atau dalil atas kata-kata imam-imam yang mendahulukan Al-Quran dan Sunnah sebelum pandangan atau ijtihad mereka tetapi malangnya masih ada di kalangan kita yang memegang kata-kata imam tersebut walaupun telah datang kepada mereka pendapat berdasarkan hadith yang lebih rajih(tepat) atas sesuatu tindakan tersebut.Misal contohnya jika cara berwudhu’ terdapat hadith yang berbentuk Muttafaqun ‘alaih (disepakati oleh Bukahri dan Muslim) padanya,Si A masih teguh berpegang pada “kata-kata” imam mazhabnya yang disangka betul.Cara ini amatlah merugikan kerana ibadahnya mungkin menjadi kurang sempurna akibat penolakannya terhadap Hadith sahih yang telahpun diketahuinya(seperti kata Imam Ahmad di atas).

Oleh itu,saya menyeru agar kita menjauhi sikap taqlid buta bererti mengikuti sesuatu ajaran agama tanpa mengetahui hujah atau dalil rujukan disebaliknya. Taqlid buta juga bermaksud menerima ajaran agama sekadar mengetahui itu wajib dan ini haram, tanpa mengetahui hikmah sesuatu hukum mahupun tujuan pensyariatannya.Sesungguhnya ia merupakan larangan dari Allah swt.

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
[Maksud surah al-Israa' 17 - 36]

Maka,berpeganglah kepada penerangan yang paling mendekati kebenaran serta yang diyakini, iaitu penerangan yang paling kuat diperhujahkan oleh sumber nas al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih. Dengan cara ini kita sama-sama dapat berusaha kearah keluasan ilmu, menambah keterbukaan fikiran, mengarah kepada kedewasaan manhaj menuju ke dinamisme agama yang berwawasan.Marilah kita menjadi hamba Allah yang terpuji dan berakal sempurna berdasarkan firmanNya:-

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

“(Orang-orang) yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”
[Maksud surah az-Zumar 39 - 18]

Inilah ulasan “ringkas” saya sebelum kita memasuki bab takbir,rukuk,sujud dan sebagainya kerana tidak seharusnya timbul persoalan bertanyakan “eh,mazhab syafie seharusnya solat begini begitu!!” walaupun hadith sahih yang lebih rajih dan tsabit dengan baginda Rasulullah saw telah diutarakan.Inilah manhaj yang bertentangan dengan cara dan kata Imam As-Syafie sendiri dan jelas mereka inilah yang taksub dan taqlid terhadap mazhab.
Dengan itu buat masa ini saya akhiri dengan doa agar rahmat, hidayah serta petunjuk Allah sentiasa pada kita agar tercapai hajat menjadi hambaNya yang sejati.

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَداً
"Wahai Tuhan kami, Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". [Maksud surah al-Kahfi 18 - 10]

Wallahua’lam.
p/s:-kata-kata para imam 4 mazhab diatas dinukil dari buku "Sifat Solat Nabi" oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani dalam bahagian muqaddimah.
Ibn Yusof
19 January 2007
6.50 p.m

5 comments:

Seri Negara said...

alhamdulillah, satu lagi penulisan menarik & simple. cuma, suka saya cadangkan pada saudara, jika ada masa, kaji pula perbezaan pendapat antara 'ulama2 yg berada di bawah payung satu mazhab - ini menunjukkan mereka sendiri mendahulukan dalil2 sahih dari al-Quran & al-Sunnah apabila terdapat percanggahan dgn pendapat imam mazhab mereka. memandangkan majoriti negeri di Malaysia mengamalkan mazhab al-Syafie, mungkin saudara boleh mulakan dgn mazhab al-Syafie. lihat bagaimana imam al-Rafie, al-Nawawi, Ibn Hajar, dll yg merupakan tonggak mazhab al-Syafie ada mengeluarkan pendapat yg bercanggah dgn al-Syafie sendiri. selain menunjukkan mereka mendahulukan al-Quran & al-Sunnah dan tidak taksub mazhab, ini juga bukti mereka memahami dan melaksanakan pesanan yg disampaikan oleh al-Syafie sendiri...

sekadar cadangan. boleh start dgn wuduk dan solat dahulu, lepas tu baru kaji perkara lain. jika saudara ada masa di UIA, cuba sertai kelas Hadith Ahkam (zaman saya dulu ustaz yg mengajar guna Subulus Salam, diorang mmg suka kalau ada pelajar dari fakulti lain dtg join). boleh jugak cari idea dlm Fiqh al-Sunnah.

Ibn Yusof said...

InshaAllah ttg cadangan saudara mengenai mengkaji perbezaan pendapat antara 'ulama2 yg berada di bawah payung satu mazhab telahpun difikirkan sejak dulu lagi.inshaAllah akan saya cuba memikirkan tajuk yang mudah dan sengan difahami.syukran atas cadangan bernas tersebut.

bannedwahabi said...

wahai orang awam,apakah kelayakan kamu untuk membicarakan hal agama ini terutama sekali tentang ilmu hadis,usul fikh dan akidah?
siapakah guru kamu?

Ibn Yusof said...

Salam,wahai saudara yg menggunakan nama samaran bannedwahabi,siapakah pula saudara untuk menyoal saya sedemikian rupa?siapakah saudara dan siapa pula guru saudara?huhu
Artikel yang saya tulis adalah hasil pemahaman dan pembelajaran saya.Saya faham dan saya praktikkan.Jika ada apa2 yang dirasakan bercanggah dgn Quran dan as-sunnah sila tegur,kritik.InsahAllah saya terima dgn hati yang terbuka,bukan dgn cara bertanya kelayakkan saya maupun siapa guru saya.Harapa saudara yang menggunakan nick bannedwahabi lebih bersopan kelak.Wallahua'lam.

Ibn Yusof said...
This comment has been removed by the author.