Tuesday, May 5, 2009

Adakah Anda Mempunyai Perisai Aqidah Islamiyyah Yang Utuh?


Pernah suatu ketika dahulu datang seorang sahabat ke bilik saya. Beliau kemudian duduk di katil saya sambil matanya memerhatikan ‘perpustakaan mini’ saya. Tatkala dia memerhatikan bahagian rak buku yang tersusun itu dia bersuara, “Apa sebenarnya Aqidah Islam?”. Saya yang ketika itu khuyu’ menelaah, al-maklum ketika itu adalah waktu peperiksaan akhir semester, segera menoleh melihatnya. Pelik bagi saya untuk seseorang yang bekas sekolah agama menyoal sedemikian. Barangkali dia hanya ingin bersembang. Maka saya kembali menyoal, “Ya.Kenapa dengan Aqidah Islam?” kata saya dengan sangkaan sudah pasti beliau lebih arif daripada saya dalam hal ini.

“Tidak, aku lupa tentang pengertian tauhid.” Kata beliau sambil mengeluh. Saya mendongak ke rak buku saya. Setiap perbualan di ruangan bilik saya akan saya cari kata kuncinya dan saat itu melalu mata saya mencari buku yang boleh dijadikan rujukan perbualan. “Di rumah pula saat ia diperlukan.” Bisik hati saya ketika membelek-belek rak buku ruangan aqidah, saya mencari buku Aqidah Imam Empat Mazhab karya Dr. Muhammad Bin Abdurrahman Al-Khumais yang saya kira penting untuk pengetahuan orang awam. Buku itu antara rujukan yang saya gunakan ketika menulis artikel “Aqidah Imam Empat Mazhab Tentang Nama dan Sifat Allah”.

Ya, saya selalu dipandang pelik, apa tidaknya jika seorang pelajar jurusan ekonomi islam berbicara perihal aqidah. Ada kalanya terbeliak mata sesetengah pihak jika saya menyebut hal Tahrif,Takyif, Tamsthil, Ta’thil, dan Tafwidh. Seolah-olah aqidah ini hanya layak difahami oleh golongan agamawan sehinggakan orang awam tidak perlu ambil tahu dan mempelajarinya sehingga sebegitu rupa. Pada hemat saya dalam zaman sekarang ini hanya aqidah yang sahih sahaja yang mampu menjadi benteng kehidupan dalam menghadapi peperangan budaya dan bermacam rencah ideologi. Dan peperangan antara konsep Islami dan konsep pemikiran sekuler pada zaman ini dinyatakan terang-terangan sehingga menjerumuskan orang awam yang jahil tanpa perisai yang kukuh. Oleh karena itu kaum muslimin harus menyatukan barisan mereka dan memadukan visi dan misi mereka. Dan mereka wajib mempelajari manhaj Islami yang benar., dengan adanya pemahaman konsep Aqidah Islam yang utuh, maka tidak perlulah kita risau dengan serangan ideologi dari golongan manapun.

Sebagai contoh, usaha sesetengah pihak dengan perjuangan mereka pergi ke hulu hilir menyesatkan mereka yang beriman dengan Tauhid Uluhiyyah,Rububiyyah,dan Asma‘ Wa Sifat Allah Azza Wa Jalla mampu melahirkan masyarakat yang keliru. Apa tidaknya jika pengenalan Tauhid ini yang diajarkan di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan juga institusi-institusi pengajian tinggi. Kemunculan golongan ini ternyata bukan suatu kebimbangan jika umat Islam kini mempunyai perisai aqidah yang utuh sehingga mampu menganalisa konsep baru yang cuba diperkenalkan oleh golongan ajaran-ajaran sesat sebegini. Tetapi malangnya umat Islam kini kebanyakannya lebih mahir membezakan telefon bimbit sebenar dan tiruan berbanding pemikiran dan ideologi yang sahih dengan yang terseleweng. Atas dasar itu pemahaman terhadap konsep Aqidah Tauhid Uluhiyyah,Rububiyyah,dan Asma‘ Wa Sifat Allah Azza Wa Jalla bukan sahaja perlu dihafal untuk tujuan pemeriksaan PAFA atau KAFA, tetapi ianya perlu dihayati dalam kehidupan seharian dalam segala amalan seorang muslim yang mengaku dirinya Islam.

Secara analoginya, jika kita faham bagaimana konsep dan fungsi satu tambah satu akan menghasilkan dua. Jika kita tersesat masuk ke dalam kelas matematik lain yang mengajar satu tambah satu akan menghasilkan kosong. Pengetahuan kita terhadap konsep pengiraan tersebut akan mampu membuat analisa dengan sendirinya dalam menilai fakta baru tersebut apakah ianya bertepatan dengan apa yang difahami sebelum ini. Tetapi jika kita tidak pernah tahu akannya, masakan kita boleh membuat analisa ringkas? Barangkali kita akan duduk dan terus mengangguk serta mengiakannya.

Saya suka mulakan perbicaraan aqidah dengan menyatakan bahawa aqidah merupakan subjek yang paling mudah untuk dipelajari hatta oleh sesiapapun. Ya, lebih mudah daripada subjek matematik, sains, geografi dan sebagainya. Hal ini adalah kerana ianya diajarkan oleh baginda Nabi sallahu’alaihi Wa Sallam kepada kaum Jahiliyyah yang tatkala itu hidup dalam kegelapan ketamadunan. Setelah ianya dipelajari, difahami dan dihayati oleh mereka, subjek ini menjadi penyuluh mereka dalam kehidupan sekaligus menjadikan mereka sebuah tamadun yang sukses dengan melakar sejarah yang terbilang.Cuma sahaja setelah beberapa ketika wujud kepincangan yang dilakukan oleh sesetangah pihak sehingga menyebabkan subjek ini perlu diberi penekanan dalam mengetahui apa yang betul, dan apa yang tidak betul. Hal ini berlaku apabila pemikiran atau ideologi seperti Khawarij, Muktazilah, Jahmiyyah, Syiah dan sebagainya mula tersebar di kalangan umat Islam.



Antara banyak-banyak pernyataan para Imam Muktabar perihal Aqidah Islam. Saya suka pernyataan Imam Tirmidzi rahimahullah (279H). Imam Tirmizi merupakan salah seorang periwayat dan ahli Hadis yang utama, selain Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, dan sederet nama lainnya. Pernyataan beliau saya rasakan agak komprehensif dalam menjawab beberapa persoalan aqidah yang sering dipersoalkan. Imam Tirmidzi berkata:


"Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada Ahli Ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciriciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Manakala golongan al-Jahmiyyah mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran Ahl Ilmu. Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.

Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.

Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciriciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an):
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]. "[1]

Rasanya apa yang Imam Tirmidzi katakan di atas sangat jelas untuk difahami. Ianya sekaligus dapat membantah mana-mana golongan yang menuduh Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai golongan yang yang menyamakan Allah dengan makhluk (al-Musyabbihah) atau menganggap Allah mempunyai jisim (al-Mujassimah). Atau masih ada yang keliru atau cuba menyalah ertikannya?

Maka pelik kerana saat ini, masih wujud mereka yang bangga mempromosi kepercayaan (i’tikad) Allah itu wujud di mana-mana, Allah itu wujud tidak bertempat, dan sebagainya walaupun jelas bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Hadis. Dan ada pula yang menjustifikasi aqidah sedemikian dengan nama-nama para Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sudah tiba masanya kita mempelajari bab aqidah ini dengan serius, dengan pola fikir yang jelas, supaya kita tidak tertipu membeli aqidah yang kita sangkakan benar, walhal ianya produk imitasi aqidah Al-Muktazilah dan Al-Jahmiyyah. Semoga perkongsian ringkas ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca.

Walahu’allam.
Ibn Yusof
6 Mei 2009/ 9 Jamadil Awwal 1430
8.48 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

Rujukan:
[1] Sunan al-Tirmizi (tahqiq:Mahmud Mohammad Mahmud Hasan Nasar), jld. 1, m.s 477, Cetakan: Darul Kutub Al-Ilmiah (2000)

6 comments:

Ruhul Qalam said...

جيد
بارك الله فيك وفيما أنت عليه من السعي الموفق وجعلني وإياك والمسلمين جميعا ممن تمسك بالكتاب والسنة وسار على ما كان عليه سلف هذه الأمة

اطلعت على مدونتك فوجدتها محتفلة بالعلم النافع فإنه لا شك جهد مشكور وموفق

تحياتي أشرف

ibnyaacob said...

artikel ini patut dikongsi dengan semua orang,why not hantarkan ke majalah i ?

jika ada artkel utk majalah i sila hantar ke :

editor.i@karangkraf.com.my

Cuba limitkan penulisan artikel tersebut dalam 2-3 pages size A4, font 12, single spacing. Bukan apa, kalau terlalu panjang kebarangkalian nak masuk sukar sikit sebab limited space

Selamat mencuba Great

msg dari:http://www.al-fikrah.net/ForumsPro/viewtopic/t=4890/finish=15/start=45.html

Abu Yasir said...

percubaan yang baik utk menjelaskan keimanan dari sudut aqidah. Apa kata kupas mazhab dalam aqidah dimana terdapat mazhab 'Ahl hadith' dan 'ahl r'ayi'....

Ibn Yusof said...

RijalIqtisad:

Salam,memang tidak dinafikan perkupasan antara manhaj aqidah ahli hadith dan ahli ra'yi lebih menarik dan mendalam jika ingin dikupas.
Artikel ini hanya kesinambungan kepada artikel pertama yang diletakkan di dalam blog ini yang bertajuk "Aqidah Imam 4 mazhab"

Untuk kupas sedemikian.insyaAllah kelak jika ada kelapangan.

p/s:Bz dengan research kertas kerja lain.huhu

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Mazhab Ahl al-Hadith dan Ahl ar-Ra'yi ni dalam isu feqh atau akidah?

Abu Yasir said...

Dalam feqah dan akidah, kedua2nya ada cuma ramai yg hanya tau dalam feqah shj.