Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ditubuhkan dengan tujuan yang murni sepertimana yang terkandung dalam piagamnya yakni untuk meningkatkan perpaduan di kalangan negara-negara anggota.; bekerjasama di bidang politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan sains; dan mempertahankan maruah, kemerdekaan dan hak umat Islam. Dalam merealisasikan usaha sama di antara negara anggota, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi dari pelbagai sudut. Dunia Islam ketika ini menghadapi pelbagai isu dan cabaran yang perlu ditangani. Antaranya termasuklah isu Palestin, Iraq, ekonomi, isu sosial, kemiskinan di sesetengah negara anggota, pendidikan, perubahan iklim, alam sekitar dan sebagainya.
Walaubagaimana pun, program dua hari bertajuk “The International Conference on Islamic Economics and Economies of the OIC Countries 2009” yang diadakan di Kuala Lumpur pada 28 hingga 29 April 2009 lepas menfokuskan perbincangan masalah ekonomi negara-negara anggota. Hampir 77 kertas kertas yang dibincangkan dari pelbagai sudut baik dari kerjasama di kalangan negara anggota dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sendiri sehinggalah kepada impian memartabatkan ekonomi Islam secara keseluruhannya.
Antara yang turut hadir dalam persidangan ini adalah Setiausaha Umum Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Professor Ekmeleddin Ihsanoglu, bekas Executive Director kepada IMF, Dr. Abbas Mirakhor dan beberapa ketua direktor kepada organisasi penting seperti ketua director Islamic Research and Training Institute for the Islamic Development Bank Group (IRTI), Dr. Bambang dan juga ketua director Statistical Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC), Dr. Savas Alpay. Secara dasarnya antara permasalahan yang diutarakan sendiri oleh Professor Ekmeleddin Ihsanoglu sendiri dalam ucapannya ialah kepentingan meningkatkan kerjasama dalam perdagangan di antara negara anggota.
Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh negara anggota yang secara lansung atau tidak langsung membantutkan usaha sama perdagangan di antara negara anggota. Antara cabaran yang dihadapi oleh negara anggota jika dapat kita simpulkan dalam tulisan ini adalah seperti berikut:-
1) Perbezaan kadar pendapatan yang ketara di antara negara anggota
Majoriti negara anggota menghadapi masalah resource balance yang negatif. Dalam erti kata lain. Simpanan domestik ternyata berada di peringkat yang lebih kurang untuk menampung kehendak pelaburan semasa. Ini berlaku akibat beban hutang yang dialami oleh kebanyakan negara anggota, maka sekaligus membantut usaha sama dalam menjalani perdagangan sesama negara anggota. Akhirnya hal ini menyebabkan ketidak kesatuan kehendak dan keperluan di antara negara membangun dan negara yang kurang membangun di kalangan negara anggota. Apa tidaknya jika kerjasama yang terjalin dilihat dari sudut perspektif yang berbeza daripada kedua-dua belah pihak antara Negara yang kaya dan Negara yang miskin. Negara miskin mengharapkan bantuan dan sokongan manakala Negara yang kaya pula berusaha untuk menjaga dan mencari peluang pelaburan yang mampu memberikan keuntungan dengan kerjasama yang terjalin. Justeru wujud kekhuatiran Negara miskin terhadap jalinan yang terbentuk daripada melakuakn diskriminasi dengan meliberalisasikan perdagangan sehingga menyebabkan hanya Negara kaya yang mendapat keuntungan daripada kerjasama yang terjalin.
Hal ini dapat dibuktikan daripada apa yang telah berlaku ke atas gabungan South Asian Association for Regional Cooperation (SAARC) tetapi perjanjian antara negara ahli yang termeterai lebih banyak berpihak kepada negara besar India dan Pakistan dan merugikan Bangladesh dan Sri Lanka. Oleh itu perspektif yang berbeza dalam melihat kerjasama yang terjalin di antara negara anggota ini jika tidak dinilai secara adil dan saksama, ianya boleh mewujudkan syak wasangka negatif daripada Negara miskin terhadap negara yang kaya akibat kekhuatiran dan sifat berhati-hati mereka supaya tidak didominasi oleh negara kaya.
2) Pengeluaran yang lebih bersifat kompetitif berbanding komplemen
Masalah kesatuan dan kerjasama dalam sudut perdagangan di antara Negara anggota pernah disebutkan dahulu oleh Tun Dr. Mahathir dalam ucapannya apabila mendesak Negara anggota mengurangkan sifat kebergantungan terhadap negara-negara barat. Negara-negara muslim yang dahulunya pernah dijajah oleh barat merupakan antara faktor utama kenapa wujud sifat kebergantungan negara anggota terhadap negara barat dalam hal ehwal perdagangan. Malah pengeluaran di antara negara anggota dilihat lebih bersifat kompetitif berbanding mengeluarkan produk yang bersifat komplemen sehingga menyukarkan usaha sama perdagangan jangka masa panjang.
3) Taraf kemiskinan yang sungguh membimbangkan.
Daripada kajian yang telah dilakukan oleh SESRIC berkaitan dengan taraf kemiskinan (2005) di kalangan negara anggota, Index kemiskinan (HPI) di Negara anggota secara kasarnya menjangkau kepada 29.2% (dengan kadar populasi seramai 1275.1 million di 47 buah Negara anggota) yang membawa maksud 372.9 million populasi atau 29.2 % daripada keseluruhan populasi di 41 Negara aggota menderita akibat kemiskinan. Pengalaman dan permasalahan kemiskinan ini juga berbeza dari satu Negara kepada satu Negara yang lain menyebabkan sukar untuk membentuk suatu polisi yang sama di antara Negara anggota.
4) Cabaran dan halangan lain
Selain yang telah disebutkan di atas, wujud beberapa faktor lain yang tidak dapat kita nafikan sebagai contoh faktor geografi yang terdiri daripada pelbagai wilayah negara-negara anggota. Cabaran geografi yang terbahagi ini boleh menjadikan kos kerjasama perdagangan di antara negara anggota sangat tinggi terutamanya dari sudut pengangkutan dan pertukaran maklumat di antara kedua-dua belah pihak. .Selain itu, kesukaran mendapatkan maklumat yang lengkap di antara Negara angota juga menyebabkan usaha sama sukar dijalankan bagi melicinkan proses perbincangan perdagangan bagi jangka masa panjang.
Justeru, halangan dan cabaran yang dihadapi oleh Negara anggota ini mesti dihadapi oleh kesemua 57 negara anggota dengan kesedaran yang serius. Masih tidak banyak yang boleh kita banggakan sempena sambutan ulangtahun ke 40 bagi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tahun ini. Tanpa menafikan kerja kuat pihak Islamic Centre for Development of Trade dalam meningkatkan perdagangan sesama Negara anggota, itu tidak bermaksud kita boleh terus selesa dengan keadaan sedia ada. Kesemua pakar ekonomi pasti setuju bahawa masih wujud peluang yang boleh dicari, dan masih banyak kelompongan yang boleh diperbaiki.
Wallahu’allam.
Ibn Yusof
4:42 a.m
1 Mei 2009 / 5 Jumadil Awal 1430
http://www.ibnyusof.blogspot.com/
Rujukan:-
Mohamed Ariff. (1998). "Proliferation of Regional Groupings: Policy Options of the OIC", Journal of Economics Cooperation Among Muslim Countries 19,1-2.
The Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC), "Practical Steps and Possible Consequences of Establishing An Islamic Comoon Market", Report from 17th Session of COMCEC, 18-21 October 2001
The Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC), (2003) Anual Economics Report of OIC Countries, Presented at OIC Foreign Minister's Meeting , Tehran, 2004.
The Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC). OIC Member Countries : Economics Performance and Human Developement 2000-2007 p. 42. Retrieved at 1 Mei 2009 from http://www.sesric.org/imgs/news/Image/Econ-HumDevelop2000-07.pdf
No comments:
Post a Comment