Friday, May 29, 2009

Berdakwah Melalui Facebook


Ini bukan satu paksaan, bukan pula satu kempen besar-besaran. Tapi hanya satu cadangan kepada mereka yang merasakan dakwah itu satu kewajiban. Jika anda memilih pandangan dakwah itu bukan kerja anda, dan hanya kerja golongan agamawan dan pegawai yang berkerja di jabatan-jabatan agama. Anda boleh terus membaca kesimpulan artikel ini.


Konspirasi Facebook?

Sebelum berbicara soal dakwah, berita perihal semua medium jaringan sosial sebagai salah satu agenda atau konspirasi Amerika Syarikat dan C.I.A. (Central Intelligence Agency) sudah menular dalam alam maya ini. Entah mengapa dahulu ketika rancak anak muda menggunakan jaringan sosial seperti Friendster, Myspace, Multiply, Tagged dan sebagainya, tidak pula isu sebegini timbul. Tetapi apabila ada produk baru timbul yang menggegarkan keuntungan dan kepopularan produk sedia ada, maka timbul pula cerita ini. Barangkali mereka yang turut ketakutan dalam hal ini lupa bahawa kesemua produk ini sedang berlumba dalam dunia perniagaan. Apa tidaknya jika Mark Zuckerbergv pada usia 23 tahun mampu meraih USD1.5 billion dengan produk terbarunya dan disenaraikan sebagai salah seorang The World's Most Influential People of 2008.

Ingin tahu apa yang dimomok-momokkan?

Kata ‘si dia’:
Segala maklumat yang anda letakkan akan dihantar terus kepada pihak C.I.A.? Jika dilihat profilnya sangat spesifik sehinggakan ada ruang untuk alamat, telefon bimbit dan sebagainya. Dengan ini, pihak C.I.A. boleh mengakses maklumat kita tanpa perlu bertanya kepada orang ramai kerana maklumat kita semuanya di hujung jari mereka.


Kemudian apa pula yang ditakutkan ‘si dia’?


Yang menjadi mangsa sudah tentulah golongan bijak pandai bertaraf profesional seperti golongan berpendidikan Ph.D, profesor dan sebagainya. Andai kata mereka mahu menyerang Malaysia, sudah tentulah rumah mereka dibom dahulu kerana segala maklumat di tangan mereka.



Apakah ini nasib yang akan dihadapi oleh para pensyarah universiti dan bijak pandai yang menggunakan produk terbaru ini? Penulis tetap menghormati mereka yang ingin berpendapat sedemikian. Cuma sahaja mengapa tidak pula difikirkan bahawa selagi mana anda mampu melayari internet dan menggunakan apa jua 'device' atau teknologi. Bukankah anda sebenarnya secara tidak lansung mampu dikesan dengan mudah bersama-sama dengan maklumat peribadi anda? (Rujuk keratan polisi blogspot, streamyx dan sebagainya di bawah seksyen ‘Privacy Policy’)

Barangkali hal ini mungkin berdasarkan pengetahuan mendalam mereka berkenaan kelompok Konspirasi (The Luciferian Conspiration, kelompok yang mengendalikan A.S. dan juga dunia), atau terpengaruh dengan cerita fiksyen Dan Brown "The Digital Fortress", ataupun buku "The Complex: Bagaimana Militer Amerika Menyerbu Kehidupan Kita Sehari-Hari", malah tonton juga filem Mel Gibson "The Conspiracy Theory".
Akhirnya tindak tanduk mereka seolah-olah seperti golongan The Combatant yang menganggap diri mereka sedang berperang dengan The New World Order atau The Globalization. Mereka (The Combatant) ini mempunyai perspektif bahawa adalah haram dan berbahaya untuk berurusan dengan bank (hidup tanpa akaun bank, kad kredit, kad debit dan sebagainya), tidak boleh mengakses internet, dan juga tidak mempunyai telefon bimbit kerana kekhuatiran diri mereka daripada dijejaki oleh kelompok konspirasi ini. Dalam erti kata lain, jika benar-benar dikhuatiri sesiapa tahu di mana anda tinggal, sila berhenti daripada menggunakan internet, dan pindah ke gua-gua berdekatan.

ATAU

Memanipulasi Jaringan Sosial

Anda boleh sahaja memilih untuk memanipulasikan medium ini sebagai medan dakwah yang mampu menyampaikan risalah Islam seperti mana golongan agama lain (Contoh: Evangelism) melakukannya. Tidak dapat kita ragukan lagi, bahawa setiap sarana yang boleh digunakan untuk berdakwah, maka kaum muslimin harus menggunakannya sebaik mungkin. Pada waktu dahulu, sarana dakwah hanya terbatas kepada ceramah, buku dan diskusi antara pendakwah (da’i) dan yang didakwahi (mad’u), serta halaqah-halaqah ilmiah. Tetapi kini internet adalah sarana yang sangat berkesan. Selaras dengan saranan ini adalah fatwa Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin ketika ditanya apakah bolehkah kita menggunakan internet?

Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin menjawab bahawasanya: “Para ahli ilmu dan para da’i perlu menempuh jalur ini untuk menyebarkan majalah-majalah dan ceramah-ceramah yang bermanfaat yang benar agar mampu ianya dimanfaatkan oleh orang-orang yang menghendaki kebaikan, mengharapkan ilmu dan melaksanakannya, kerana internet telah ada dan hadir di negeri ini, maka jangan dibiarkan digunakan oleh kaum Nasrani, Yahudi, kaum musyrikin, para ahli bid’ah, para ahli maksiat dan ahli kemunafikan untuk menyebarkan pemikiran-pemikiran mereka sehingga mengelabui orang-orang yang melawat laman-laman mereka lalu berbaik sangka terhadap mereka, meyakini saranan mereka dan kebenaran hujah mereka.” [Buku Al-Fatawa Asy-Syara'iyyah Fi Al-Masail Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini-2, halaman 287-288 Darul Haq]

Daripada fatwa di atas jelas bahawa segala medium yang wajar harus diguna pakai untuk tujuan dakwah. Hal ini adalah untuk menerangkan Islam yang tulen seperti mana yang difahami oleh para al-salaf as-soleh yang diiktiraf Rasulullah Sallahu'alaihi Wa Sallam. Jika tidak medium ini akan dimanipulasi oleh ahli bid'ah, ahli maksiat dan penentang Islam.(Jangan kelak baru hendak terngadah bila telah wujud mereka yang menghalalkan zikir dalam posisi berjoget, atau Evangelism yang menggunakan Bible bertajuk Al-Kitab mengajak muda mudi terpengaruh dengan kitab versi bahasa Melayu tersebut). Masa itu di mana kita yang bangga dengan Islam sebagai 'deen' yakni cara hidup yang sempurna? Hanya milik kita atau wajar dikongsikan kepada mereka di luar sana?

Idea ini bukan idea baru, ianya tidak dinafikan telah wujud sekian lama sejak adanya produk Friendster, Myspace, Multiply, Tagged dan sebagainya. Namakan saja! Asalnya Mark Zuckerbergv mencipta Facebook ini adalah untuk rakan-rakan sosial di universiti, tetapi kini lebih 200 juta mendaftar dalam Facebook seluruh dunia. Ia menjadi satu fenomena sehingga dilihat melibatkan tokoh-tokoh tersohor, bijak pandai dan cendiakawan yakni para pensyarah universiti dan sebagainya. Hal ini dilihat sebagai satu perkembangan yang positif yang boleh dimanipulasikan untuk menyampaikan risalah Islam.


Artikel ini sengaja mengfokuskan kepada Facebook tidak bermaksud menafikan keberkesanan penggunaan laman web, blog dan sebagainya. Tetapi fokus artikel ini adalah merujuk kepada Facebook kerana aplikasi-aplikasi yang ada padanya yang kurang didapati dalam medium-medium lain. Tidak mustahil jika kelak ada fungsi tambahan terhasil dari inovasi terkini daripada produk yang sama atau produk lain, bolehlah digunakan ia dengan matlamat dakwah yang sama.

"Sungguh, bila Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui perantara kamu maka itu lebih baik bagi kamu dari pada unta merah." [Hadith diriwayatkan oleh Bukhari no. 3498, Muslim no. 2406, dan Ahmad no. 22872].

Memanipulasi Aplikasi Facebook



Bagaimana cara-caranya? (Sekadar mencadangkan perkara-perkara asas)

1. Semestinya anda dikehendaki mempunyai akaun Facebook. Letakkan maklumat diri anda sekadar yang perlu. Elak daripada mendedahkan kesemua butir-butir peribadi (Contoh sehinggakan nombor pin kod bank anda?). Hal ini adalah kerana kejujuran sangat penting dalam seni berdakwah!(Elak daripada ‘menggoreng’ sesuatu yang anda tidak tahu)

2. Muat naik (upload) gambar anda sebagai identiti diri.(Anda tidak perlukan gambar berjubah dan berserban lilit 10 hasta untuk menunjukkkan anda seorang pendakwah tegar!). Awasi gambar anda supaya tiada gambar yang melihatkan aurat dimuat naik. Dan hindarkanlah aksi- aksi yang hanya akan menyumbang kepada kerosakan jiwa masyarakat. Hal ini adalah kerana daripada gambar-gambar yang dimuat naik, kita dapat lihat ada yang semakin dekat dengan fitrah, tetapi tidak kurang juga yang memaparkan kejauhan daripada fitrah. (Pesanan ikhlas buat diri penulis dan para pembaca).

3. Kemudian gunakan kolum pencarian dan taip nama kawan-kawan anda. Baik muslim apatah lagi yang bukan muslim. Boleh juga mensasarkan beberapa golongan mad’u, tetapi tidak wajar terlalu memilih mad’u. Islah dan dakwah wajar bergerak seiringan.

4. Terutamanya pada mereka yang mempunyai kenalan berbangsa lain ketika waktu di sekolah rendah, menengah, asrama dan sebagainya, anda semestinya tidak berpeluang untuk berdakwah kepada mereka tatkala di awal perkenalan atas faktor kekurangan ilmu, sumber dan sebagainya. Kini setelah lama tidak berhubung, manfaatkan peluang ini untuk merapatkan hubungan dengan mereka. Keunikan facebook ialah majoriti penggunanya menggunakan nama sebenar (Pastikan anda juga mengunkan nama sebenar agar mudah rakan-rakan menjejaki anda), ini akan lebih memudahkan usaha pencarian anda. Jalinkan hubungan anda dengan mereka melalui jaringan aplikasi sedia ada. Kadang–kala daripada gambar-gambar yang dikongsikan, tertera nama-nama yang anda pernah kenali.

5. Setelah itu, kenali madu’ anda (penulis tidak bermaksud menggolongkan mereka seperti contoh si A ahli maksiat, si B kafir dan sebagainya kerana ini dikhuatiri mampu menjerumuskan kita ke arah prasangka negatif). Daripada perkenalan dengan mereka, sudah cukup baik jika kita mampu mengetahui minat atau kecenderungan mereka dan peluang yang boleh digarap dalam usaha dakwah kelak.

6. Langkah utama dalam proses dakwah ini sebagai contoh ialah:

(a) Jemput (invite) mereka menyertai group-group seperti ‘What is Islam’.(Ada lebih 500 group ttg ‘What is Islam’) atau daptkan sokongan-sokongan mereka dariapda kumpulan-kumpulan seperti ‘Let's collect 1.000.000 signatures to support the Palestinians in Gaza’
(Cadangan: Menyentuh emosi dan manipulasi perasaan bukan Muslim dengan memberi kesedaran kepada mereka tentang khabar berita semasa seperti kematian kanak-kanak di Gaza dan kekejaman Zionis)

(b) Berkongsi (muat naik/upload) video-video berkenaan Islam atau apa sahaja berkait dengan sains atau kemanusiaan yang akhirnya kembali kepada keEsaan Allah.
(Cadangan: Video tokoh-tokoh cadangan dalam perbandingan agama: Dr. Zakir Naik, Ahmad Deedat, Yusof Estes dan lain-lain)
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal shaleh, dan berkata, 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri'." [Fushilat 41:33].

(c) Menggunakan aplikasi ‘notes’ untuk menghantar catatan-catatan menarik dan ‘tag’ mereka supaya mereka dapat membacanya.
(Cadangan: Tidak perlu letak keseluruhan artikel atau pernyataan untuk mengelak mereka bosan membaca font tulisan dalam aplikasi nota, cukup sekadar letak pernyataan yang menarik perhatian mereka dan sertakan ‘link’ laman web tersebut jika mereka berminat untuk membaca seterusnya)

(d) Cipta kumpulan sendiri dan jemput (invite) rakan-rakan lain untuk menyertainya. Adakan diskusi ilmiah tentang sesuatu topic yang bermanfaat. Jaga adab-adab bertutur supaya mad’u tidak menjauhkan diri mereka daripada anda.
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah An-Nahl 16:125]

(e) Gunakan aplikasi ‘What's on your mind?’ untuk mengetengahkan ayat-ayat Quran dan hadis sahih yang menggambarkan kecantikan ‘deen’ Islam.

(f) Elakkan daripada menjatuhkan kredibiliti anda sebagai seorang pendakwah apatah lagi sebagai seorang muslim dengan bermain kuiz-kuiz yang tidak mendatangkan faedah. Contoh: Kuiz “Tatoo:Should I Have one?” atau Kuiz: “What is the best Sex position that will suit me?” atau apa jua kuiz yang berkaitan dengan nasib anda di masa hadapan baik ianya berkisar jodoh, horoskop dan hal ehwal pada masa hadapan! (Tukang tilik zaman moden kini dalam bentuk kuiz?). Perkara ini realitinya berlaku dan keputusan kuiz tersebut akan terpampang di ‘Wall’ rakan-rakan anda baik muslim mahupun bukan muslim.
(g) Jika kelapangan, gunakan aplikasi 'Chat' di bahagian bawah sebelah kanan page anda atas tujuan bertegur sapa dan bertanya khabar. Ini salah satu cara kita mendekati mereka. Jangan terus berbicara persoalan-persoalan berat, mulakan dengan berbasa basi.

(h) Cadangan di atas hanyalah beberapa aplikasi sedia ada yang kerap digunakan. Anda boleh cuba jadi sekreatif mungkin dalam menggunakan aplikasi-aplikasi lain.

7. Teruskan menjalin hubungan baik dengan semua kenalan anda. Perkongsian idea melalui ‘discusion board’ mampu untuk bertukar-tukar pandangan agar semua persoalan tentang Islam dapat dijawab dengan lancar dan tepat sekaligus merungkai salah faham mereka (yang bukan muslim). Contoh jika wujud topik seperti ‘Misconception in Islam’ dan sebagainya.

Akhir kata, Rasulullah Sallahu’alihi Wa Sallam bersabda: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” [Hadith diriwayatkan oleh Tirmidzi]

"Cipta ruang, Manfaatkan peluang"

Wallahu’allam.
Ibn Yusof
30 Mei 2009 / 5 Jumad Thani 1430
1.31 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com

9 comments:

Anonymous said...

Salam, syeikh. Good article. Simple and practical. Thanks for sharing. BarakaLLAHu lak.

Anonymous said...

Salam, syeikh. Good article. Simple and practical. Thanks for sharing. BarakaLLAHu lak.

Ibn Yusof said...

Salam,

abulharith: Sama-sama.Sekadar perkongsian buah fikiran.Semoga bermanfaat insyaAllah.

wallahu'allam.

Unknown said...

i like this article...can be pasted somewhere heh?

Frank said...

Salam

Lepas baca posting ni tiba2 aku rase nak buat satu akaun facebook..hehe

Unknown said...

Saudara Ezry,

Terima kasih dan tahniah atas artikel yang penuh ilmiah ini. Biasanya saya menggunakan facebook untuk bergurau dan usik mengusik dengan anak-anak saudara yang jauh, dan sebagai penyambung silaturrahim dengan sahabat-sahabat di UIA dahulu.

Artikel saudara agak menyentuh perasaan kerana saranan-saranan yang saudara lontarkan memang bagus, diharapkan ramai yang dapat membacanya.

Ibn Yusof said...

Muadz:
Permission is granted for reprint in print, email, blog, or web media if all the credits are attached and the titles remain unchanged.

Frank:
Setelah buka akaun Facebook,jangan lupa add ana.Huhu

Norjihan:
Salam saudari norjihan,Tiada salahnya bergurau senda, hatta say sekalipun gunakannya untuk tujuan jenaka kadang kala.cuma ada masa perlu juga berfikir untuk agenda dakwah yang lebih global.huhu Alhamdulillah jika saudari rasa tulisan ini bermanfaat.

Al-Mubassyirat said...

very good article..tak penah dengar psl "the combatant"..but...
anti-facebook wujud kerana term and condition yg diapply facebook..facebook mengatakan semua maklumat pengguna adalah hak facebook dan ini tidak diapply oleh social network yg lain..ini yg initiate group anti-facebook..dan group ini mula mencari2 kesalahan lain facebook untuk menguatkan movement mereka.. sebahagian mereka terdiri dr the combatant(konspirasi truth seekers) yg mengaitkan dgn CIA dan new world order agenda..
sebahagian mereka hanyalah pengguna biasa..bcos of "they own you and your information" melekat dlm kepala diorg..
sebahagian lain mungkin dr competitor facebook dan sebagainya..
malangnya, bila group anti facebook ini sampai ke pengetahuan muslim, maka narrow-minded muslim mula menterjemah facebook dan mendokong group anti-facebook kpd beberapa angle of view..antaranya facebook=fitnabook, facebook melalaikan, facebook haram!..
tanpa mereka melihat facebook hanyalah wasilah atau tool..di mana internet, tv, juga adlh tool..dan sebahagian "ulama" mula memfatwakan facebook adalah haram kerana mereka menggunakan " Sad Az Zarai' "..perkara sebegini pernah terjadi ketika awal wujudnya internet..(mungkin tv juga)

sifat kebanyakan "pengikut taqlid" dan "fundamentalist" dari the combatant rata2nya anti-established..kerana minda mereka dipenuhi dengan anti kpd system yg sedia ada..maka mereka mengaitkan seberapa byk tool2 yg berada di dalam system dan menolaknya bulat2..sama seperti hujah penulis dlm mengatakan mereka anti kpd aplikasi bank, kad kredit dan sbgnya..tapi mereka masih "sebahagian"..sifat penulis yg tidak suka kpd stereotype dan generalise malangnya tidak diapply di dalam artikel ini..mungkin terlepas pandang :)

Al-Mubassyirat said...

very good article..tak penah dengar psl "the combatant"..but...
anti-facebook wujud kerana term and condition yg diapply facebook..facebook mengatakan semua maklumat pengguna adalah hak facebook dan ini tidak diapply oleh social network yg lain..ini yg initiate group anti-facebook..dan group ini mula mencari2 kesalahan lain facebook untuk menguatkan movement mereka.. sebahagian mereka terdiri dr the combatant(konspirasi truth seekers) yg mengaitkan dgn CIA dan new world order agenda..
sebahagian mereka hanyalah pengguna biasa..bcos of "they own you and your information" melekat dlm kepala diorg..
sebahagian lain mungkin dr competitor facebook dan sebagainya..
malangnya, bila group anti facebook ini sampai ke pengetahuan muslim, maka narrow-minded muslim mula menterjemah facebook dan mendokong group anti-facebook kpd beberapa angle of view..antaranya facebook=fitnabook, facebook melalaikan, facebook haram!..
tanpa mereka melihat facebook hanyalah wasilah atau tool..di mana internet, tv, juga adlh tool..dan sebahagian "ulama" mula memfatwakan facebook adalah haram kerana mereka menggunakan " Sad Az Zarai' "..perkara sebegini pernah terjadi ketika awal wujudnya internet..(mungkin tv juga)

sifat kebanyakan "pengikut taqlid" dan "fundamentalist" dari the combatant rata2nya anti-established..kerana minda mereka dipenuhi dengan anti kpd system yg sedia ada..maka mereka mengaitkan seberapa byk tool2 yg berada di dalam system dan menolaknya bulat2..sama seperti hujah penulis dlm mengatakan mereka anti kpd aplikasi bank, kad kredit dan sbgnya..tapi mereka masih "sebahagian"..sifat penulis yg tidak suka kpd stereotype dan generalise malangnya tidak diapply di dalam artikel ini..mungkin terlepas pandang :)