Thursday, November 20, 2008

'Wasiat Terakhir'

Kitab-kitab percuma yang digunakan sepanjang daurah

Ulangtahun kelahiran saya sejak tiga tahun lepas ‘disambut’ dengan kuliah-kuliah ilmu di Dewan Institut Al-Qayyim (IQ),Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Daurah tahunan selalunya diadakan waktu cuti semester berlansung. Akan tetapi tahun ini sedikit berbeza apabila waktu daurah dijangkakan selepas Hari Raya Aidiladha dan lokasi program daurah kali ini juga bukannya di Pinang. Jika selalunya setahun sekali kami berkunjung ke sana, cuti semester lepas saya telahpun berkampung di IQ. Daurah Ilmiyyah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis selama hampir sebulan pada akhir Jun hingga ke pertengahan Julai merangkumi silibus pelajaran yang padat. Kehadiran Syeikh Khalid Soleh al Salamah selaku penasihat daurah ilmiyyah ini dengan amanatnya ‘menghangatkan’ lagi suasana pembelajaran.

Para peserta yang terlibat dari pelbagai lapisan umur baik daripada mereka yang seusia Pak Cik Ghani yang kelihatan 60an sehinggalah adik-adik kecil dari sekolah pondok di Kelantan yakni anak-anak murid Ustaz Abdul Basit yang belasan tahun. Hanya 4 orang pelajar UIA yang terlibat sama dan saya merupakan salah seorang yang diberi pelung untuk mengikuti daurah ini. Masa sepanjang daurah ini kami manfaatkan sebaik mungkin, hatta waktu rehat di antara sesi kuliah Ustaz Muzakkir tidak melepaskan peluang untuk mengajar kami semua ilmu harfiyyah yang merupakan bidang kepakarannya.

Daurah ini dijangka berakhir pada 12 Julai, akan tetapi ia telahpun menjangkaui tarikh permulaan semester baru bagi para pelajar UIA. Saya juga terpaksa pulang awal atas sebab-sebab tertentu. Ustaz Kadir ketika itu menyatakan pemergian seorang demi seorang dari daurah ini barangkali akan menyebabkan para pelajar yang lain berasa kurang motivasi untuk sesi seterusnya, hal ini sepertimana ketika beliau di sekolah agama berasrama tatkala para pelajar masing-masing pulang ke kampung halaman masing-masing dan mereka yang tinggal rasa hilang fokus.

Tatkala mendengar penjelasan Ustaz Fadhil berkenaan Usul Tafsir

Malam itu tiket saya dijadualkan pada pukul 10 lebih, selepas mengimami solat isya’ saya meminta slot tazkirah selepas itu diberikan kepada saya agar dapat saya sampaikan sedikit ‘wasiat terakhir’ sebelum berangkat pulang. Setelah berminggu-minggu bersama rakan-rakan yang lain sememangnya hati ini rasa berat untuk pergi. Memandang tepat kesemua wajah di hadapan saya ketika itu, saya pun memulakan bicara.

“(Khutbatul Hajah)…InsyaAllah, seperti yang kalian sedia maklum, saya terpaksa pulang awal (selepas ini) akibat semester UIA yang akan mula tidak lama lagi. Ini menyebabkan saya tidak dapat turut sama dalam sesi terakhir yang akan para ustaz bentangkan yakni berkenaan kitab fiqh muamalat. Pada pandangan saya sesi ini tidak kurang juga pentingnya seperti mana sesi-sesi sebelum ini yang telah kita pelajari. InsyaAllah di hadapan saya ketika ini satu hari nanti barangkali akan menjadi para ustaz, golongan agamawan, yang menjadi rujukan masyarakat dalam hal-hal agama.
Maka nasihat saya, jadilah ustaz secara keseluruhannya seperti mana tuntutan Islam supaya kita beramal dengannya secara keseluruhan. Jangan jadi seperti kes baru-baru ini apabila seorang Imam besar di salah sebuah masjid didakwa tertipu dengan skim cepat kaya. InsyaAllah dalam mempelajari kitab fiqh muamalat ini nanti mungkin anda semua akan didedahkan dengan bab kontrak, wakalah, kafalah dan sebagainya. Sekurang-kurang tidak kira apa latar belakang atau pengkhususan anda semua, jangan lupa bahawa rutin seharian anda tidak terlepas daripada bab-bab muamalat.”

Tatkala itu semua lirikan mata memandang tepat ke arah saya. Seperti ada bisikan suara yang katakan inginkan lagi dan lagi.Maka sayapun menyambung bicara.

“Kelak, jika anda semua telah dewasa dan bergelar ustaz, pasti ada yang akan membeli kereta, rumah dan sebagainya. Maka jangan sekali-kali melibatkan diri dalam riba’ yang telah jelas keharamannya. Alternatifnya yakni perbankan Islam telah wujud sekian lama untuk umat Islam lari dari riba’ yang diguna pakai oleh bank-bank konvensional.
Selaku pelajar ekonomi Islam yang juga mempelajari sedikit sebanyak berkenaan perbankan Islam, saya tidak menafikan wujud isu-isu syariah di sebalik produk-produk perbankan Islam, akan tetapi ianya jauh lebih baik daripada kita bergelumang dengan riba’ yang telah jelas keharamannya dan hanya mereka yang yakin boleh menang dalam peperangan berhadapan dengan Allah dan RasulNya sahaja yang berani mencabar hukum ini.

Atas sebab itu saya menasihati rakan-rakan sekalian supaya jadilah Ustaz secara keseluruhannya, jangan menjadi ustaz rujukan dalam aqidah, akan tetapi teruk dalam hal-hal muamalat. Ataupun jadi ustaz rujukan dalam hal-hal muamalat akan tetapi terseleweng dalam hal-hal aqidah. Islam mendambakan para ilmuan yang menyeluruh.Wallahu’allam.”

Saya bingkas dari sejadah imam dan terus berlalu ke bahagian belakang tempat beg-beg saya tersusun. Saya melihat Huzifah dan Raden,pelajar Madinah yang turut serta dalam daurah itu masih tidak berganjak. Terbeliak biji mata Huzaifah, seakan tersentak dengan penangan mesej yang disampaikan. Syah pelajar IKIP dalam jurusan ekonomi,syariah dan perbankan Islam menghampiri saya bertanyakan nombor telefon. Beliau menyatakan hasratnya untuk bertukar-tukar pandangan dengan saya kelak. Saya hanya mampu tersenyum. Puas! Segala apa yang terbuku di hati saya telah saya luahkan. Diharap ianya dapat memberi manfaat buat rakan-rakan yang masih setia menunggu sehingga selesai daurah.

Wallahu’llam.

Ibn Yusof
20 November 2008 / 22 Zulkaedah 1429
4.57 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com

1 comment:

kartini said...

happy belated birthday..

enta belajar dalam kos ekonomi ya? alhamdulillah. kalau ramai yang ambil kos ini yang berjiwa spt enta. semoga berjaya dan may Allah be with you always.

wassalam