Penat tapi puas! Memang perkataan yang sesuai untuk saya gambarkan kehidupan sepanjang semester 1 bagi tahun 2008/2009 di UIA ini. Jika dahulu (tahun lepas) saya kongsikan pengalaman sepanjang semester 1 bagi tahun 2007/2008, semester ini semestinya memberi ilmu dan pengalaman baru sepanjang tenure kali ini. Di mana pula hilangnya diari Semester 2 bagi tahun 2007/2008? Ya. Saya tidak mencatatkan apa-apa di blog ini atas sangkaan saya untuk tidak mensaratkan blog ini dengan cerita peribadi seperti kebanyakan blog-blog lain di alam maya ini. Akan tetapi sangkaan saya ternyata meleset kerana ‘cerita peribadi’ ini jika disulami dengan ilmu dan pengetahuan untuk dikongsikan bersama para pembaca, ianya diharap dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.
Ada apa dengan semester kali ini? Seperti semester-semester sebelum ini, saya aktif dalam menyertai program-program bertaraf antarabangsa sehinggalah program ‘kecil-kecilan’. Minggu awal semester lagi telah sibuk dengan program Entrepreneur Festival 2008 atau lebih dikenali sebagai E-Fest 08. Selaku penyelaras program bagi 9 sub-program kali ini, ternyata ianya satu tugas yang mencabar. Hatta tugas selaku penyelaras program ini pernah saya sandang dalam pelbagai program bertaraf antarabangsa, setiap program mempunyai keistimewaan dan cabaran yang tersendiri.
Teringat saya teori ‘Basuh Baju’ yang Abang Razak kongsikan bersama, samada kita mahu menggunakan teknik membasuh baju menggunakan tangan yakni secara manual, menggunakan mesin basuh atau hantar sahaja ke dobi. Selaku orang atasan maka ketiga-tiga teknik ini perlu diguna pakai pada orang, waktu dan kerja yang sesuai. Ada antara mereka yang tugasan mereka perlu dipantau setiap masa, maka teknik basuh baju menggunakan tangan yakni secara manual adalah amat sesuai supaya kita dapat memastikan kerja yang diberikan dapat diselesaikan seperti mana yang kita ingini, mungkin kadang-kala kita secara peribadi perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan. Manakala bagi mereka kita yang dipercayai keperibadiannya dalam melaksanakan tugas, tugasan yang diberikan boleh dipantau seperti kita membasuh baju menggunakan mesin basuh, tidak perlu dipantau sentiasa, cukup sekadar pemantauan berkala bagi memastikan tugasan yang diberikan dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Bagi mereka yang kita benar-benar yakin dapat melaksanakan tugasan sebaik mungkin, kita hanya perlu menunggu hasilnya, sama halnya seperti menghantar baju ke kedai dobi yang mana kita boleh jangka hasil akhirnya. Inilah teori yang saya gunakan dalam melaksanakan tugas selaku ketua penyelaras program.
Selepas program tersebut, semester ini banyak saya tumpukan pada subjek-subjek yang diambil, subject killer berdasarkan ucapan para pelajar senior ekonomi yakni Econometrics 1 dan Malaysian Economy menyebabkan saya kurang menerima tawaran-tawaran untuk menyertai program-program lain. Bagi saya cukup satu program besar dalam satu semester, Tetapi di bawah bimbingan Dr. Selamah dan Prof. Ataul Haq dalm kedua-dua subjek tersebut, ianya tidaklah sekiller yang digembar-gemburkan. Malah saya merasakan kedua-dua subjek ini adalah antara subjek yang saya minati kerana ia memainkan peranan yang penting untuk pergi lebih jauh dalam bidang ekonomi.
Selain itu, subjek Issues in Islamic Economics di bawah tunjuk ajar Prof. Aslam antara subjek yang paling saya minati. Ia merangkumi pelbagai aspek serta isu untuk dibahas serta dibincangkan. Ia mengubah persepsi para pelajar tentang apa itu ekonomi Islam, malahan artikel, journal, buku yang disarankan untuk pembacaan sepanjang semester juga banyak membantu melihat konteks ekonomi Islam dari sudut yang lebih global. Ternyata artikel, journal, buku adalah releven untuk dijadikan panduan kerana ianya membabitkan karya-karya yang bermutu dan tidak basi seperti tulisan-tulisan lain. Ia memberikan saya lebih idea untuk terus menulis dan berkongsi pada masa hadapan.
Dua subjek lain seperti English for Academic Purposes dan Maqasid Shariah agak saya pandang remeh sepanjang semester, mungkin disebabkan tiga subjek lain yang saya anggap lebih mancabar dan perlukan lebih perhatian. Akan tetapi dua subjek ini juga bayak membantu jika ingin menghasilkan apa-apa kertas kerja kelak. Ya, lima subjek sahaja untuk semester kali ini, selalunya setiap semester saya mengambil sehinggakan enam atau tujuh subjek. Ini berdasarkan jadual atau pelan study yang saya susun untuk memastikan empat subjek terakhir untuk semester hadapan dapat saya tumpu dan berusaha sebaik mungkin, saya tidak dapat menyorok keterujaan saya untuk empat subjek terakhir tersebut terutamanya bagi subjek Bank Management, Takaful and Re-Takaful dan Economics in Quran And Sunnah. Apapun subjek yang bakal saya hadapi untuk semester akhir kelak, tunjuk ajar Prof. Ataulhaq dan Prof. Aslam tidak dapat saya lupakan kerana subjek dan tunjuk ajar mereka saya rasa akan terkesan dalam tulisan-tulisan saya kelak.
Waktu peperiksaan dari 23 Oktober sehinggalah 11 November yang terlalu lama membuatkan saya tidak sabar untuk menekan keyboarb. Terlalu banyak yang ingin dikongsikan bersama para pembaca, insyaAllah lebih banyak artikel akan saya hasilkan sepanjang cuti ini. Cuma sahaja sejurus selepas habis peperiksaan saya terlibat dalam program Smart Solat bersama para ustaz selama dua hari dan kemudiannya pada hujung minggu yakni 15-16 November sekali lagi program nasional yang tidak kurang hebatnya.
Program kesemuanya berjalan dengan lancer Alhamdulillah, kini saya sedang sibuk menguruskan daurah musim cuti yang dijangkakan diadakan pada 12-14 disember. Cuma sahaja keadaan badan tidak berapa mengizinkan saya bergerak aktif. Artikel ini ditulis dalam keadaan suhu badan melonjak ke 39 darjah celcius dan denyutan nadi 115 pulse selepas dua hari terlantar di atas katil. Saya perlu update blog yang telah lama saya tinggalkan tidak berisi kerana jika saya hospitalize kelak (atas symptom denggi barangkali), ruang untuk menulis tidak semudah berada di rumah. Semoga Allah berikan kesihatan pada saya agar dapat saya untuk terus mengumpul bahan, membaca, dan menulis demi ummah.
Dari Abi Sa'id Al-Khudri dan Abu Hurairah radiallahu anhuma, keduanya pernah mendengar Rasulullah Shallallahu'alaihi Wa Sallam berkata:-
"Tidaklah seorang Mukmin ditimpa sakit, letih, demam, sedih hingga kekhawatiran yang mengusiknya, melainkan Allah mengampuni kesalahan-kesalahannya".
[Hadith diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari 7/148-149, Imam Muslim 16/130]
Ibn Yusof
19 November 2008 / 21 Zulkaedah 1429
12.53 a.m
No comments:
Post a Comment