Semangat bagaikan disambar kilat, itulah yang dapat saya gambarkan saat pulang daripada mendengar ceramah Bro.Hafiz Firdaus. Dalam Kursus Kilat Menulis Buku yang hanya makan masa selama 3 jam, pelbagai input berguna dapat kami semua perolehi, daripada yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan, sehinggalah mereka yang telahpun bergelar penulis, semuanya khusyu’ mendengar dan menghadamkan input yang Bro. Hafiz Firdaus kongsikan.
Artikel ini mengandungi penerangan berkenaan tips penting yang dikongsikan oleh Bro Hafiz Firdaus dalam mendalami karier menulis buku, artikel dan sebagainya. Dalam menuju karier menulis, baik buku agama, novel islamik mahupun artikel di akhbar dan majalah, kita tidak akan terlepas daripada melalui fasa-fasa berikut:-
Kesemua fasa diatas memerlukan persediaan awal dalam mengharunginya, setiap fasa diatas perlu dititik beratkan dalam melahirkan penulisan yang efektif. Tetapi sebelum kita menelusuri setiap satu daripadanya, adalah lebih wajar jika kita menyoal diri kita “Kenapa ingin menulis?”. Ramai yang beranggapan dirinya tidak mempunyai masa untuk menulis, dirinya tidak berbakat dalam bidang penulisan dan sebagainya. Hatta beribu alasan kita diberikan, kita tidak dapat menafikan bidang penulisan merupakan satu bidang yang sangat penting sejak zaman berzaman.
“Kenapa ingin menulis?” merupakan satu soalan yang menarik, dengan pemahaman yang betul ia mampu membakar semangat kita untuk menceburi bidang penulisan. Soalan yang subjektif seperti itu perlu berpaksi pada landasan yang betul, tujuan kita menulis antaranya ialah sebab ingin membukukan ilmu kita dan menyebarkannya pada masyarakat. Dengan pembukuan ilmu tersebut kita mampu mengajar masyarakat sekaligus menjamin pahala yang berterusan.
ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِي
"Serulah (manusia) kepada jalan rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik" [An-Nahl : 125]
Selain itu, dengan menulis ianya secara tidak langsung mengajak diri kita untuk mengkaji dengan lebih mendalam, dengan kajian yang mendalam kita mampu meluaskan lagi ilmu pengetahuan dalam subjek yang ditulis. Dalam fasa yang pertama ini, yakni persedian awal menuju karier menulis buku, artikel dan sebagainya, kita dapat membahagikan topik tersebut kepada beberapa kategori.
1. Persediaa Awal
Niat
Dalam menghadapi fasa pertama ini, para penulis harus membetulkan niat terlebih dahulu, ini kerana ia akan mempengaruhi keseluruhan kerja kita. Hendaklah kita memasang niat ikhlas kerana Allah Subhanallahu Ta’ala. Jika sekiranya niat kita mengharapkan royalti semata, kita tidak akan dapat merasai kepuasan berdakwah dengan bidang penulisan ini, bhakan kita hanya mendapat keuntungan royalti sahaja. Tetapi jika niat kita ikhlas kerana Allah Subhanallahu Ta’ala, ianya akan melahirkan tujuan yang murni, dan tujuan yang murni membantu para penulis melahirkan karya yang berkualiti.
Sebagai contoh lihat para imam muktabar seperti Imam Abu Hanifah rahimahullah, Imam Malik rahimahullah, Imam As-Syafie rahimahullah, Imam Ahmad rahimahullah, dan ramai lagi. Mereka semua tidak ada yang mengharapkan royalti semasa menulis, hasilnya tulisan para imam ini diguna pakai sehingga kini beratus tahun lamanya. Keuntungan royalti bersifat tetap, tetapi keredhaan Allah Subhanallahu Ta’ala berpanjangan.
Kita juga tidak perlu khuatir tentang latar belakang pendidikan, ianya tidak lebih sekadar pemangkin. Seperti yang saya katakan pada awalnya, menulis memerlukan kajian yang terperinci, dan itu juga gunanya suntingan dan prof reading oleh mereka yang dirasakn pakar dalam subjek yang dibincangkan. Ini akan disentuh pada akhir perbincangan kita. Maka tidak timbul pertikaian latar belakang pendidikan seseorang itu samada dia berkerja sebagai pilot atau pelajar Universiti sahaja. Boleh kita lihat realiti hari ini, ada juga yang berpangkat Doktor dan Phd. tetapi penulisannya menyeleweng.
Niat penulis yang murni kadang-kala dicalar oleh mereka yang bersifat dengki dengan melakukan character assasination seperti mengkritik peribadi penulis (bukannya hujah yang dikemukan tetapi peribadi penulis) ataupun fault finding yakni mencari-cari kesalahan penulisan walaupun tidak berkaitan dengan dasar perbahasan. Benar atau tidak penulisan yang disampaikan bukanlah diukur dengan kelayakan seseorang tetapi ianya adalah berdasarkan keikhlasan dan sifat rendah diri serta takut kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُور
Kerja Keras
Sambungan kepada poin di atas, inilah gunanya kerja yang keras dalam mengkaji subjek yang ditulis. Otak kita akan cuba menganalisa input yang diterima, baik daripada sumber rujukan yang dicari sehinggalah kepada cara penyampaian yang dirasakan mudah untuk diterima oleh para pembaca. Kerja keras yang dimaksudkan oleh saya ialah usaha yang terpaksa kita lakukan untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti.
Sebagai contoh, penulisan yang berkenaan dengan Islam terutamanya perlu mencari sumber-sumber rujukan daripada kitab-kitab imam muktabar, sumber-sumber rujukan adalah tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah, memastikan hadith-hadith Nabi shallahu a’alaihi wasallam bertaraf sahih atau hasan, membuka kamus Arab dan sebagainya. Kesemua ini memerlukan kerja keras, hanya seorang penulis yang rajin dan komited sahaja mampu melakukan ini semua.
Uruskan Masa
Mereka yang menulis tidak bermaksud 1 hari mereka mempunyai masa sebanyak 24 jam dan mereka yang tidak menulis tidak bermaksud mereka hanya mempunyai 15 jam. Kita semua mempunyai 60 minit satu jam, 24 jam sehari,dan 365 hari atau 366 hari setahun, maka dengan pengurusan masa yang optimum kita mampu mengunakan masa yang diberikan sebaik mungkin.
Contohnya, ulama’ kontemporer Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah, selain mencari makan dengan membuka kedai memperbaiki jam beliau memperuntukkan hampir berjam-jam sehari di dalam Perpustakaan Adh-Dhahiriya di Demascus. Hasilnya karya-karya beliau amat banyak, diantaranya ada yang sudah dicetak, ada yang masih berupa manuskrip dan ada yang mafqud (hilang), kesemuanya berjumlah hampir 218 judul.[1]
Pembaca Yang Baik
Para penulis boleh mengkaji metod tulisan penulis-penulis terkenal yang memenangi anugerah atau buku mereka yang menjadi bestseller dan sebagainya. Dengan cara ini kita mampu mempertingkatkan kualiti penulisan kita. Di samping itu, jika para penulis sudah biasa menulis artikel atau cerpen ringkas, para penulis boleh mendapatkan komen pembaca setia yang mampu memberikan sokongan mahupun kritikan membina. Dengan ini para penulis mampu mengesan kelemahan yang boleh diperbaiki.
Jujur
Para penulis perlu berlaku jujur dalam menyampaikan ilmu, tidak menjadi masalah jika kita menyertakan nama, nombor telefon atau email supaya para pembaca dapat menghubungi kita ataupun sekurang-kurangnya mengenali penulis. Adapun mereka yang kadang-kala menulis menggunakan nama nick name atau kuniyah seperti Al-XXX, Abu XXX, Ummu XXX dan sebagainya. Penyamaran seperti ini hanya menyerlahkan ketakutan dalam berkarya. Kenapa perlu takut agar para pembaca mengenali kita jika apa yang dituliskan itu benar?
Kejujuran juga penting dalam sumber rujukan yang disertakan, ini adalah kerana jika kita melakukan kesalahan dalam sumber rujukan ianya boleh memberi kesan kepada kualiti penulisan kita. Antara kesalahan-kesalahan para penulis yang dapat dikenal pasti tidak berlaku jujur ialah:-
a) Mengubah lafaz atau makna sebenar daripada terjemahan asal tanpa menyertakan sumber rujukan.
b) Menyatakan bahawa ianya diambil daripada kitab arab sedangkan text asal diambil daripada kitab terjemahan.
c) Copy & paste footnote tanpa merujuk kepada rujukan asal.
d) Mengambil sumber secara separuh-separuh sehingga mengubah makna asal.
e) Kesilapan menterjemah daripada bahasa asal. Mengikut kata hati dalam menterjemah.
f) Tidak menyertakan sebarang footnote.(sumber rujukan)
g) Scan atau hanya mengambil nukilan tanpa memahami topik perbincangan sebenar secara keseluruhan.
h) Hujah yang disandarkan kepada sesebuah sumber rujukan akan tetapi ianya tidak langsung memiliki apa-apa kaitan.
i) Menokok-nambah nukilan yang diambil.
j) Penafsiran atau penjelasan terhadap sesuatu perkara fakta secara tidak tepat.
Kesemua di atas merupakan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para penulis yang tidak jujur. Jika ianya berlaku dengan sangat kerap dalam sesuatu penulisan maka penulis tersebut telah melakukan satu jenayah ilmiah. Banyak faktor yang boleh melibatkan perkara seperti ini berlaku, antaranya adalah kerana perasaan ingin menyelewengkan fakta sesuai dengan cita rasa dalam beragama.
Antara contoh jelas yang dapat saya berikan ialah penulisan al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari yang telahpun dibuktikan penyelewengannya melalui bukunya Salafiyah Wahabiyah yang diterbitkan oleh Terta Jaya Enterprice sekitar awal tahun 2001. Kesalahan fatal buku ini dijawab oleh Bro. Hafiz Firdaus melalui bukunya berjudul Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah terbitan Perniagaan Jahabersa pada tahun 2003. Hasilnya, buku yang membongkar jenayah ilmiah tersebut tidak terjawab oleh al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari sehingga ke hari ini.
Maka dapat kita ketahui di sini bahawa kejujuran dalam menulis merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia menggambarkan keperibadian seseorang penulis.
Pelaburan RM
Untuk menceburi bidang penulisan, maka penulis perlu melakukan sedikit pelaburan. Ini adalah untuk memastikan penulisan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bagi penulis buku-buku agama, apa yang diperlukan ialah pelaburan terhadap sumber rujukan. Sekurang-kurangnya penulis mempunyai sumber-sumber rujukan penting yang akan banyak diguna pakai seperti Tafsir Ibn Katsir, Sunan Sittah, Fiqh Islami wa Adilatuh karya Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Tamaamul Minnah fiit Ta’liq ‘ala Fiqhis Sunnah hasil Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah, dan sebagainya.[2] Jika seseorang ingin menulis berkaitan dengan Christianity sebagai contoh[3], mungkin penulis itu memerlukan sumber rujukan seperti Bible New International Verion, Combat Kit karya Ahmed Deedat, Risalah fil lahut was Siyasah (Kritik Bibel Analisa Historis Filosof Yahudi terhadap Perjanjian Lama) karya Baruch Spinoza dan sebagainya.
Alternatif kepada pelaburan terhadap sumber rujukan untuk subjek yang ingin ditulis ialah dengan meminjamnya daripada perpustakaan ataupun sesiapa yang mempunyainya. Cadangan untuk membeli sumber rujukan adalah supaya penulis mampu merujuk semula sumber rujukan tersebut pada masa akan datang bagi memudahkan kelancaran penulisan.
Selian kepentingan pelaburan dalam sumber rujukan, penulis juga digalakkan mempunyai komputer peribadi, baik personal computer (PC) mahupun laptop, tujuannya adalah supaya ianya dapat memudahkan kerja-kerja penulisan. Bayangkan jika kita terpaksa pergi ke cyber cafe untuk menulis, kadang kala suasana yang tidak sesuai dan bingit mampu menganggu kita dalam berkarya. Jelas di sini kawasan yang selesa juga memainkan peranan yang penting. Kita mungkin duduk berjam-jam di hadapan komputer dan demi untuk mengelak apa-apa sakit otot dan sebagainya, kerusi dan meja yang selesa diperlukan.
Selain itu, penggunaan sofware yang original juga penting untuk memastikan keredhaan dan keberkatan Allah Subhanallahu Ta’ala dalam berkarya. Jika tidak mampu untuk membeli software Microsoft Word yang original kita boleh membeli software Open Document yang jauh lebih murah. Tidak semestinya yang original itu adalah yang baru, kita boleh membeli software original Microsoft Word 2001 yang pasti lebih murah daripada software original Microsoft Word 2007. Contoh ringkas, pemakaian baju raya yang dianjurkan tidak semstinya kita membeli baju baru, cukup sekadar baju yang kita rasakan selesa dan cantik.
Ibn Yusof
18 January 2008 / 9 Muharram 1429
5.00 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com
[1] http://al-madina.s5.com/Kisah/Biografi_Albani.htm
[3] Hanya sekadar memberi beberapa contoh ringkas.
No comments:
Post a Comment