Friday, June 27, 2008

Virus,Worm dan Trojan Dalam Islam (Siri 2)

Worm

Worm dan virus adalah sama dalam beberapa fungsi. Ia boleh dikategorikan sebagai adik kepada virus. Worm ini merebak dari sebuah komputer ke komputer yang lain. Sedikit berbeza dengan virus, worm mampu berhijrah seorang diri tanpa memerlukan bantuan daripada sesiapa. Golongan worm ini mengambil peluang daripada file dan apa jua medium penyebaran maklumat yang diguna oleh sistem komputer anda. Antara sebab bahayanya worm ini mereka mampu menduplikasi diri mereka dalam sistem. Hanya dengan satu penyebaran hasil daripada komputer anda, duplikasi worm berlaku dan boleh mencecah sehinggakan jutaan salinan dan membuat satu kesan buruk yang lebih besar.

Contoh mudah ialah apabila worm itu merebak melalui kesemua list di dalam alamat e-mail anda.Dan apabila perkara ini berterusan, worm yang merebak melalui network akhirnya memamah sistem memori komputer anda, hasilnya komputer anda akan berhenti berfungsi. Yang terbaru, worm yang telah menjangkiti sistem komputer anda sehinggakan ianya boleh dikawal oleh orang luar sewenang-wenangnya.

Worm dalam komuniti Islam ini penulis ibaratkan seperti mereka yang gemar menyebar tanpa memeriksa, baik melalui e-mail mahupun mesej-mesej ringkas di buletin dan sebagainya. Golongan ini seperti mana worm beroperasi, mereka mampu menduplikasi diri mereka melalui orang lain yang turut sama menyambung usaha penyebar asal dalam menjadikannya satu rantaian mesej. Kenapa golongan ini digelar worm? Bukan sahaja kerana minat mereka menyebar mesej tetapi kerana mesej yang disebar tidak diteliti kesahihannya. Hasilnya mesej itu mempengaruhi mereka yang menerimanya. Berdalilkan hadith Sampaikanlah dariku walau satu ayat maka golongan worm ini menghalalkan cara mereka walaupun isi sebaran itu ada kebarangkalian terseleweng akibat tidak diperiksa sumber isinya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk mengetahui kebenaranya) dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu suatu kaum dengan perkara yang tak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan[1]

Ayat di atas jelas menyatakan ‘wahai orang-orang beriman’, maka setiap muslim yang beriman wajib menyelidik berita yang sampai kepada mereka agar ianya tidak menjadi satu dusta, baik berkaitan saudara seagama kita apatah lagi jika melibatkan individu yang bertanggungjawab menyebarkan risalah Islam ini yakni Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam.

Sesiapa yang membuat dusta ke atasku maka siaplah tempat duduknya di dalam nereka.[2]

Ayat Quran dan hadith di atas yang sepatutnya tersemat dalam sanubari golongan worm ini, bukan semata hadith Sampaikanlah dariku walau satu ayat. Golongan worm ini senang menduplikasi dan mempengaruhi orang lain untuk menyertai mereka. Golongan worm ini gemar mengakhiri mesej-mesej mereka dengan ugutan jika tidak turut serta menyebarkannya. Worm sebegini akhirnya akan memadamkan sistem komputer atau web browser anda dari terus berfungsi, dalam erti kata lain secara tidak lansung menyebabkan otak-otak saudara seagama mereka penuh dengan mesej-mesej karut dan akhirnya memadamkan sistem otak dari terus berfungsi dengan rasional.


Trojan Horse

Di antara ketiga-tiga makhluk perosak ini, Trojan Horse adalah merupakan yang paling berbahaya. Nama makluk perosak ini diambil bersempena sejarah penggunaan kuda kayu yang berisikan tentera Yunani di dalamnya dan disangkakan tidak berbahaya. Mereka yang menerima makluk perosak bernama Trojan ini akan terpedaya untuk membukanya kerana ia hadir dalam bentuk yang tidak berbahaya.

Apabila terpedaya dengan Trojan, ia akan menyebabkan berlakunya beberapa perkara, kesannya mungkin kecil seperti mengubah desktop, mengubah icons dan sebagainya. Tidak mustahil juga kesan yang lebih buruk yang boleh mengakibatkan kerosakan serius seperti memadam serta mematikan file-file dan sistem komputer anda. Apakah ada juga golongan Trojan Horse di sekeliling komuniti Islam di alam maya ini?

Golongan ini penulis perhatikan banyak berlegar di forum-forum dan blog-blog.
Mereka ini dapat dikenal pasti melalui hasil-hasil karya dan tulisan mereka. Ada yang aktif dan ada juga yang pasif. Ustaz trojan satu gelaran yang layak buat golongan ini, bukan disebabkan keberanian mereka ibarat tentera-tentera Yunani yang menyorok di dalam kuda kayu, tetapi akibat mereka membawa fungsi yang sama seperti mana makhluk perosak trojan horse. Sama yang dimaksudkan ialah ianya hadir dalam keadaan seolah-olah tidak berbahaya.

Ustaz trojan ini sedar akan kemerosotan fikrah ummat Islam akibat suasana budaya keilmuan yang semakin merosot. Tetapi bantuan yang mereka berikan dalam menjawab soalan umpama satu perancangan berencana untuk memasung fikrah ummat Islam agar terus tumpul. Jika ada yang bertanyakan dalil hujah maka ustaz trojan akan menyuruh agar bersyukur dan merasa cukup dengan kata-kata ulama’ sedia ada. Ini kerana anggapan golongan ini menyangka bahawa dalil akan memesongkan pemikiran orang awam dari hukum yang sebenar. Mereka pantang apabila ada pihak yang kononnya mempunyai dalil yang lebih kuat. Bagi ustaz trojan, ulama’ kata hitam, orang awam juga mesti ikut hitam,jangan dipersoal kenapa ianya hitam kerana mempersoal sesuatu kebenaran dianggap tidak menghormati para ulama’.Persoalannya apakah benar kita dilarang mempersoal kebenaran?

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا وَاعْلَمْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan (Ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku Telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bagian dari bagian-bagian itu, Kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera." dan Ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”[3]

Pemikiran sempit sesetengah ustaz Trojan ini kadang-kala mengongkong pemikiran orang awam, wujud sangkaan yang menebal di hati mereka apabila jika ada yang mempersoalkan bukti dan hujah sesuatu perkara, mereka dikatakan cuba berlagak menjadi mujtahid dan berpeluang terjerumus kearah membina hukum sendiri. Ustaz Trojan barangkali lupa bahawa Islam menuntut kita melakukan sesuatu dengan pengetahuan supaya menimbulkan kepuasan fikiran dan kenikmatan jiwa dalam beramal.

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” [4]

Ustaz Trojan ini risau dengan usaha mengasah minda orang awam dengan penjelasan berdalil, orang awam mampu mengetahui metod pendalilan dan kelak membantu mereka untuk menilai hujah dengan rasional. Perkara sebegini tidak boleh diterima oleh golongan ustaz Trojan kerana ia akan mengugat ‘title’ ustaz maya mereka. Mereka mahukan orang awam jenis ‘Pak Turut’. Apa jua usaha menggilap fikrah ummat Islam dikatakan pemecah belah masyarakat kerana adanya potensi untuk orang awam murtad daripada mazhab sedia ada, seolah-olah mereka pengamal mazhab tulen dalam semua hal baik ibadah dan muamalah.

Perkara yang perlu ditekankan di sini ialah apakah kita mengikut mazhab sebagai satu ajaran atau ianya hanya medium yang diguna pakai untuk memahami agama dengan lebih mendalam? Adakah Imam Syafie rahimahullah yang wajib kita ikut atau metodologinya dalam beragama yang perlu kita ikut? Tugas golongan agamawan untuk menggilap fikrah ummat Islam yang semakin merudum ini bukan dengan menjadikan mereka ‘Pak Turut’ akan tetapi perlunya golongan agamawan mengajar orang awam berfikir dengan kaedah atau metodologi yang betul. Tidak perlu orang awam yang kurang ilmu agamanya sampai ke tahap membahas, mengkaji dalil dan bagaimana mengeluarkan hukum, cukup sekadar membuat mereka mengetahui dalil di sebalik hujah yang diguna pakai oleh para ulama’. Ini membantu penilaian mereka dalam beramal dengan sesuatu amalan.

Golongan agamawan juga seharusnya menggalakkan orang awam berusaha mencari agamanya, bukan memberi mereka soalan bocor dan menyuap mereka setiap kali disoal. Hanya ustaz Trojan sahaja yang sukakan cara ini kerana ‘title’ ustaz maya mereka dirasakan berfungsi. Apabila fikrah ummat Islam mundur, hadith-hadith lemah dan sikap ustaz Trojan menolak hadith-hadith sahih yang tidak sejalan dengan tujuan dan mazhab mereka tidak akan dipertikaikan oleh orang awam.

Dengan cara ini ustaz Trojan mampu mengawal otak orang awam dengan mewujudkan backdoor seperti mana makhluk perosak Trojan Horse ini berfungsi. Perancangan ini dilakukan secara berencana untuk memasung fikrah ummat Islam agar terus tumpul. Otak dan fikrah yang tumpul pasti tidak akan berupaya untuk menilai dan membuat perhitungan tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Akhirnya pemilik otak yang tumpul amat senang untuk dicucuk dan ditarik hidung mereka saat Antivirus dan Firewall tidak dapat lagi mengatasi mereka.

Kesimpulannya, para pembaca sudah cukup bijak untuk menilai jenis-jenis makhluk perosak yang anda hadapi. Ternyata semua makhluk perosak ini tidak boleh dipandang remeh kerana ianya lambat laun mampu menyebabkan sistem anda tergendala. Semoga kita tidak menjadi korban makhluk-makhluk perosak ini dari memasuki sistem beragama kita. Jika tidak, keputusan untuk format otak anda telahpun terlambat.

Wallahu’llam.

Ibn Yusof

8.19 a.m

25 Jun 2008 / 20 Jumada Al-Thani 1429

www.ibnyusof.blogspot.com


[1] Al-Hujurat 49:6

[2] Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Menurut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Hadith ini diriwayatkan oleh sepuluh para imam dan ianya mutawatir, ruj: Muqaddimah Miftah al-Jannah m.s. 31, `Abd ar-Rahman Fakhuri, ctk. Dar as-Salam, Mesir.

[3] Al-Baqarah 2:260

[4] Al-Isra’ 17:36

Monday, June 23, 2008

Virus,Worm dan Trojan Dalam Islam (Siri 1)

Cakap sahaja tentang virus, worm dan trojan, pasti para pembaca yang menggunakan komputer baik komputer peribadi mahupun laptop pernah mendengar tentangnya. Tetapi bila disoal apakah perbezaan antara ketiga-tiga makhluk perosak ini, jarang ada insan yang dapat menjawabnya melainkan mereka yang berpengetahuan ataupun yang pernah bertarung dengan makhluk perosak ini bermati-matian. Dengan itu, artikel kali ini akan cuba mendedahkan perbezaan tiga makhluk perosak ini, tetapi bukan sahaja dari sudut apa yang berlegar dalam perisian komputer anda, ianya juga berlegar di sekeliling komuniti Islam di alam maya ini seperti mana makhluk perosak.

Nama virus, worm dan trojan ini selalu diguna pakai dalam satu kategori yang sama walhal mereka ini adalah berbeza. Cuma sahaja persamaan yang dikongsi mereka ialah ketiga-tiga makhluk perosak ini mampu membuat komputer anda rosak, atau dalam erti kata lain membuatkan otak anda berhenti daripada berfungsi. Inilah sebab betapa pentingnya kita mengetahui perbezaan serta ciri-ciri makhluk perosak ini.

Golongan 1:Virus

Seperti mana jangkitan virus dalam alam offline begitulah juga fungsi virus di persekitaran komuniti Islam alam maya ini. Golongan ini wujud dalam bentuk yang pelbagai dan antara yang paling banyak berbanding makhluk perosak yang lain. Ada antara mereka yang hanya memberi pengaruh yang kecil manakala ada juga antara mereka yang mampu menjahanamkan otak anda. Mereka ini berpaut pada file-file sedia ada dan hanya berfungsi apabila anda membuka file tersebut. Lihat sendiri bagaimana aktifnya golongan virus ini daripada reaksi dan respon mereka.

Hal yang sama berlaku dalam komuniti Islam alam maya ini terutamanya dalam keseronokan kita berforum. Apabila sesuatu topik dibuka, maka berlumba-lumbalah ahli forum tersebut memberi pandangan masing-masing terutamanya dalam hal-hal isu semasa tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tulisan mereka itu. Reaksi virus ini tidak lebih sekadar hanya ingin bergaya dengan tingkatan jumlah posting mereka. Apakah mereka menyangka tulisan mereka ini tidak akan dihisab Allah Subhanallahu Ta’ala kelak. Berfirman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya, (yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk disebelah kanan dan yang lain duduk disebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir”[1]

Kenapa golongan seperti ini layak digelar virus? Hal ini kerana mereka ini menunjukkan reaksi apabila ada topik baru dibuka, begitu juga virus di dalam computer anda. Mereka ini hanya aktif apabila ada topik baru dibuka dan ianya hangat untuk dibincangkan. Pandangan-pandangan mereka terhadamp sesuatu isu kadang-kala menjerumuskan topik perbincangan ke arah ghibah. Hal-hal gosip artis,baik rumah tangga artis mahupun penceraian artis, hal-hal politik dan sebagainya. Hatta apabila sesuatu perkara itu memang benar-benar berlaku, ianya tetap ngibah atas saudara seagama dan lebih teruk jika hal itu ditokok tambah sehinggaenjadi fitnah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada para sahabat, “Tahukah kalian apa itu ghibah ?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. “Beliau berkata, “Ghibah ialah engkau menceritakan hal-hal tentang saudaramu yang tidak dia suka” Ada yang menyahut, “Bagaimana apabila yang saya bicarakan itu benar-benar ada padanya?” Beliau menjawab, “Bila demikian itu berarti kamu telah melakukan ghibah terhadapnya, sedangkan bila apa yang kamu katakan itu tidak ada padanya, berarti kamu telah berdusta atas dirinya”

Dalam beberapa topik-topik agama terutamanya di dalam forum, golongan virus ini selalu menjadi agen dalam mempengaruhi pengetahuan penyoal. Sama seperti virus yang memberi kesan kepada program-program di dalam komputer anda, apabila seseorang menyoal, golongan virus ini akan mencelah dan memberi pandangan logik mereka sehinggakan si penyoal akan terpedaya dengan ilmu logik melampau golongan virus ini. Akhirnya, jawapan ilmu logik golongan virus yang melampaui ilmu wahyu ini akan menyesatkan si penyoal dari terus menggunakan kewarasannya dalam kehidupan beragama.

Ada seorang laki-laki yang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Siapakah orang muslim yang paling baik ?’Beliau menjawab, “Seseorang yang orang-orang muslim yang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya”.[2]

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan hadits tersebut. Beliau berkata, “Hadits ini bersifat umum bila dinisbatkan kepada lisan. Hal itu karena lisan memungkinkan berbicara tentang apa yang telah lalu, yang sedang terjadi sekarang dan juga yang akan terjadi saat mendatang. Berbeda dengan tangan. Pengaruh tangan tidak seluas pengaruh lisan. Walaupun begitu, tangan bisa juga mempunyai pengaruh yang luas sebagaimana lisan, yaitu melalui tulisan. Dan pengaruh tulisan juga tidak kalah hebatnya dengan pengaruh tulisan”.

Atas sebab itu kita disuruh berjaga-jaga dengan tulisan-tulisan kita yang mungkin membawa kita kejelekan atas diri kita sendiri kelak. Adalah lebih baik kita berdiam diri dari memberi apa-apa reaksi daripada berlagak pandai. Tidak ada salahnya dengan berdiam diri daripada mengeluarkan pandangan logik yang akhirnya menyelewengkan kefahaman saudara seagama kita. Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah bersabda.

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam.” [3]

Al-Imam Abu Hatim Ibnu Hibban Al-Busti berkata:

“Orang yang berakal selayaknya lebih banyak diam daripada bicara. Hal itu kerana betapa banyak orang yang menyesal kerana bicara, dan sedikit yang menyesal kerana diam. Orang yang paling celaka dan paling besar mendapat bahagian musibah adalah orang yang lisannya senantiasa berbicara, sedangkan fikirannya tidak berjalan” .[4]

Maka ada baiknya kita diam,daripada menyibukkan diri kita memberi respon yang tidak patut. Isu semasa terutamanya dalam hal berkaitan agama tidak boleh berdasarkan sangkaan atau ingatan yang samar-samar atas apa yang dipelajari sewaktu sekolah rendah, ianya mesti tertegak dengan nas dan dalil. Oleh itu, berhati-hatilah kita dari menjadi sebahagian dari golongan virus ini.

Bersambung...................................

[1] Qaf 50:16-18

[2] Hadith Riwayat Bukhari dari Abdullah Ibn Umar r.a. dan Hadith Riwayat Muslim dari Jabir r.a.

[3] Hadith Riwayat Bukhari no. 6475 dan Muslim no. 74.

[4] Raudhah Al-‘Uqala wa Nazhah Al-Fudhala hlm. 45

Saturday, June 14, 2008

Kursus Kilat Menulis Buku (Siri 1)


Semangat bagaikan disambar kilat, itulah yang dapat saya gambarkan saat pulang daripada mendengar ceramah Bro.Hafiz Firdaus. Dalam Kursus Kilat Menulis Buku yang hanya makan masa selama 3 jam, pelbagai input berguna dapat kami semua perolehi, daripada yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan, sehinggalah mereka yang telahpun bergelar penulis, semuanya khusyu’ mendengar dan menghadamkan input yang Bro. Hafiz Firdaus kongsikan.

Artikel ini mengandungi penerangan berkenaan tips penting yang dikongsikan oleh Bro Hafiz Firdaus dalam mendalami karier menulis buku, artikel dan sebagainya. Dalam menuju karier menulis, baik buku agama, novel islamik mahupun artikel di akhbar dan majalah, kita tidak akan terlepas daripada melalui fasa-fasa berikut:-

Kesemua fasa diatas memerlukan persediaan awal dalam mengharunginya, setiap fasa diatas perlu dititik beratkan dalam melahirkan penulisan yang efektif. Tetapi sebelum kita menelusuri setiap satu daripadanya, adalah lebih wajar jika kita menyoal diri kita “Kenapa ingin menulis?”. Ramai yang beranggapan dirinya tidak mempunyai masa untuk menulis, dirinya tidak berbakat dalam bidang penulisan dan sebagainya. Hatta beribu alasan kita diberikan, kita tidak dapat menafikan bidang penulisan merupakan satu bidang yang sangat penting sejak zaman berzaman.

“Kenapa ingin menulis?” merupakan satu soalan yang menarik, dengan pemahaman yang betul ia mampu membakar semangat kita untuk menceburi bidang penulisan. Soalan yang subjektif seperti itu perlu berpaksi pada landasan yang betul, tujuan kita menulis antaranya ialah sebab ingin membukukan ilmu kita dan menyebarkannya pada masyarakat. Dengan pembukuan ilmu tersebut kita mampu mengajar masyarakat sekaligus menjamin pahala yang berterusan.

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِي

"Serulah (manusia) kepada jalan rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik" [An-Nahl : 125]

Selain itu, dengan menulis ianya secara tidak langsung mengajak diri kita untuk mengkaji dengan lebih mendalam, dengan kajian yang mendalam kita mampu meluaskan lagi ilmu pengetahuan dalam subjek yang ditulis. Dalam fasa yang pertama ini, yakni persedian awal menuju karier menulis buku, artikel dan sebagainya, kita dapat membahagikan topik tersebut kepada beberapa kategori.

1. Persediaa Awal

Niat

Dalam menghadapi fasa pertama ini, para penulis harus membetulkan niat terlebih dahulu, ini kerana ia akan mempengaruhi keseluruhan kerja kita. Hendaklah kita memasang niat ikhlas kerana Allah Subhanallahu Ta’ala. Jika sekiranya niat kita mengharapkan royalti semata, kita tidak akan dapat merasai kepuasan berdakwah dengan bidang penulisan ini, bhakan kita hanya mendapat keuntungan royalti sahaja. Tetapi jika niat kita ikhlas kerana Allah Subhanallahu Ta’ala, ianya akan melahirkan tujuan yang murni, dan tujuan yang murni membantu para penulis melahirkan karya yang berkualiti.

Sebagai contoh lihat para imam muktabar seperti Imam Abu Hanifah rahimahullah, Imam Malik rahimahullah, Imam As-Syafie rahimahullah, Imam Ahmad rahimahullah, dan ramai lagi. Mereka semua tidak ada yang mengharapkan royalti semasa menulis, hasilnya tulisan para imam ini diguna pakai sehingga kini beratus tahun lamanya. Keuntungan royalti bersifat tetap, tetapi keredhaan Allah Subhanallahu Ta’ala berpanjangan.

Kita juga tidak perlu khuatir tentang latar belakang pendidikan, ianya tidak lebih sekadar pemangkin. Seperti yang saya katakan pada awalnya, menulis memerlukan kajian yang terperinci, dan itu juga gunanya suntingan dan prof reading oleh mereka yang dirasakn pakar dalam subjek yang dibincangkan. Ini akan disentuh pada akhir perbincangan kita. Maka tidak timbul pertikaian latar belakang pendidikan seseorang itu samada dia berkerja sebagai pilot atau pelajar Universiti sahaja. Boleh kita lihat realiti hari ini, ada juga yang berpangkat Doktor dan Phd. tetapi penulisannya menyeleweng.

Niat penulis yang murni kadang-kala dicalar oleh mereka yang bersifat dengki dengan melakukan character assasination seperti mengkritik peribadi penulis (bukannya hujah yang dikemukan tetapi peribadi penulis) ataupun fault finding yakni mencari-cari kesalahan penulisan walaupun tidak berkaitan dengan dasar perbahasan. Benar atau tidak penulisan yang disampaikan bukanlah diukur dengan kelayakan seseorang tetapi ianya adalah berdasarkan keikhlasan dan sifat rendah diri serta takut kepada Allah ‘Azza wa Jalla.


وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُور

ٌ" Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun." [Fatir 35:28]

Kerja Keras

Sambungan kepada poin di atas, inilah gunanya kerja yang keras dalam mengkaji subjek yang ditulis. Otak kita akan cuba menganalisa input yang diterima, baik daripada sumber rujukan yang dicari sehinggalah kepada cara penyampaian yang dirasakan mudah untuk diterima oleh para pembaca. Kerja keras yang dimaksudkan oleh saya ialah usaha yang terpaksa kita lakukan untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti.

Sebagai contoh, penulisan yang berkenaan dengan Islam terutamanya perlu mencari sumber-sumber rujukan daripada kitab-kitab imam muktabar, sumber-sumber rujukan adalah tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah, memastikan hadith-hadith Nabi shallahu a’alaihi wasallam bertaraf sahih atau hasan, membuka kamus Arab dan sebagainya. Kesemua ini memerlukan kerja keras, hanya seorang penulis yang rajin dan komited sahaja mampu melakukan ini semua.

Uruskan Masa

Mereka yang menulis tidak bermaksud 1 hari mereka mempunyai masa sebanyak 24 jam dan mereka yang tidak menulis tidak bermaksud mereka hanya mempunyai 15 jam. Kita semua mempunyai 60 minit satu jam, 24 jam sehari,dan 365 hari atau 366 hari setahun, maka dengan pengurusan masa yang optimum kita mampu mengunakan masa yang diberikan sebaik mungkin.

Contohnya, ulama’ kontemporer Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah, selain mencari makan dengan membuka kedai memperbaiki jam beliau memperuntukkan hampir berjam-jam sehari di dalam Perpustakaan Adh-Dhahiriya di Demascus. Hasilnya karya-karya beliau amat banyak, diantaranya ada yang sudah dicetak, ada yang masih berupa manuskrip dan ada yang mafqud (hilang), kesemuanya berjumlah hampir 218 judul.[1]

Pembaca Yang Baik

Para penulis boleh mengkaji metod tulisan penulis-penulis terkenal yang memenangi anugerah atau buku mereka yang menjadi bestseller dan sebagainya. Dengan cara ini kita mampu mempertingkatkan kualiti penulisan kita. Di samping itu, jika para penulis sudah biasa menulis artikel atau cerpen ringkas, para penulis boleh mendapatkan komen pembaca setia yang mampu memberikan sokongan mahupun kritikan membina. Dengan ini para penulis mampu mengesan kelemahan yang boleh diperbaiki.

Jujur

Para penulis perlu berlaku jujur dalam menyampaikan ilmu, tidak menjadi masalah jika kita menyertakan nama, nombor telefon atau email supaya para pembaca dapat menghubungi kita ataupun sekurang-kurangnya mengenali penulis. Adapun mereka yang kadang-kala menulis menggunakan nama nick name atau kuniyah seperti Al-XXX, Abu XXX, Ummu XXX dan sebagainya. Penyamaran seperti ini hanya menyerlahkan ketakutan dalam berkarya. Kenapa perlu takut agar para pembaca mengenali kita jika apa yang dituliskan itu benar?

Kejujuran juga penting dalam sumber rujukan yang disertakan, ini adalah kerana jika kita melakukan kesalahan dalam sumber rujukan ianya boleh memberi kesan kepada kualiti penulisan kita. Antara kesalahan-kesalahan para penulis yang dapat dikenal pasti tidak berlaku jujur ialah:-

a) Mengubah lafaz atau makna sebenar daripada terjemahan asal tanpa menyertakan sumber rujukan.

b) Menyatakan bahawa ianya diambil daripada kitab arab sedangkan text asal diambil daripada kitab terjemahan.

c) Copy & paste footnote tanpa merujuk kepada rujukan asal.

d) Mengambil sumber secara separuh-separuh sehingga mengubah makna asal.

e) Kesilapan menterjemah daripada bahasa asal. Mengikut kata hati dalam menterjemah.

f) Tidak menyertakan sebarang footnote.(sumber rujukan)

g) Scan atau hanya mengambil nukilan tanpa memahami topik perbincangan sebenar secara keseluruhan.

h) Hujah yang disandarkan kepada sesebuah sumber rujukan akan tetapi ianya tidak langsung memiliki apa-apa kaitan.

i) Menokok-nambah nukilan yang diambil.

j) Penafsiran atau penjelasan terhadap sesuatu perkara fakta secara tidak tepat.

Kesemua di atas merupakan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para penulis yang tidak jujur. Jika ianya berlaku dengan sangat kerap dalam sesuatu penulisan maka penulis tersebut telah melakukan satu jenayah ilmiah. Banyak faktor yang boleh melibatkan perkara seperti ini berlaku, antaranya adalah kerana perasaan ingin menyelewengkan fakta sesuai dengan cita rasa dalam beragama.

Antara contoh jelas yang dapat saya berikan ialah penulisan al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari yang telahpun dibuktikan penyelewengannya melalui bukunya Salafiyah Wahabiyah yang diterbitkan oleh Terta Jaya Enterprice sekitar awal tahun 2001. Kesalahan fatal buku ini dijawab oleh Bro. Hafiz Firdaus melalui bukunya berjudul Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah terbitan Perniagaan Jahabersa pada tahun 2003. Hasilnya, buku yang membongkar jenayah ilmiah tersebut tidak terjawab oleh al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari sehingga ke hari ini.

Maka dapat kita ketahui di sini bahawa kejujuran dalam menulis merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia menggambarkan keperibadian seseorang penulis.

Pelaburan RM

Untuk menceburi bidang penulisan, maka penulis perlu melakukan sedikit pelaburan. Ini adalah untuk memastikan penulisan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bagi penulis buku-buku agama, apa yang diperlukan ialah pelaburan terhadap sumber rujukan. Sekurang-kurangnya penulis mempunyai sumber-sumber rujukan penting yang akan banyak diguna pakai seperti Tafsir Ibn Katsir, Sunan Sittah, Fiqh Islami wa Adilatuh karya Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Tamaamul Minnah fiit Ta’liq ‘ala Fiqhis Sunnah hasil Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah, dan sebagainya.[2] Jika seseorang ingin menulis berkaitan dengan Christianity sebagai contoh[3], mungkin penulis itu memerlukan sumber rujukan seperti Bible New International Verion, Combat Kit karya Ahmed Deedat, Risalah fil lahut was Siyasah (Kritik Bibel Analisa Historis Filosof Yahudi terhadap Perjanjian Lama) karya Baruch Spinoza dan sebagainya.

Alternatif kepada pelaburan terhadap sumber rujukan untuk subjek yang ingin ditulis ialah dengan meminjamnya daripada perpustakaan ataupun sesiapa yang mempunyainya. Cadangan untuk membeli sumber rujukan adalah supaya penulis mampu merujuk semula sumber rujukan tersebut pada masa akan datang bagi memudahkan kelancaran penulisan.

Selian kepentingan pelaburan dalam sumber rujukan, penulis juga digalakkan mempunyai komputer peribadi, baik personal computer (PC) mahupun laptop, tujuannya adalah supaya ianya dapat memudahkan kerja-kerja penulisan. Bayangkan jika kita terpaksa pergi ke cyber cafe untuk menulis, kadang kala suasana yang tidak sesuai dan bingit mampu menganggu kita dalam berkarya. Jelas di sini kawasan yang selesa juga memainkan peranan yang penting. Kita mungkin duduk berjam-jam di hadapan komputer dan demi untuk mengelak apa-apa sakit otot dan sebagainya, kerusi dan meja yang selesa diperlukan.

Selain itu, penggunaan sofware yang original juga penting untuk memastikan keredhaan dan keberkatan Allah Subhanallahu Ta’ala dalam berkarya. Jika tidak mampu untuk membeli software Microsoft Word yang original kita boleh membeli software Open Document yang jauh lebih murah. Tidak semestinya yang original itu adalah yang baru, kita boleh membeli software original Microsoft Word 2001 yang pasti lebih murah daripada software original Microsoft Word 2007. Contoh ringkas, pemakaian baju raya yang dianjurkan tidak semstinya kita membeli baju baru, cukup sekadar baju yang kita rasakan selesa dan cantik.

Bersambung.............................................

Ibn Yusof
18 January 2008 / 9 Muharram 1429
5.00 a.m
www.ibnyusof.blogspot.com


[1] http://al-madina.s5.com/Kisah/Biografi_Albani.htm

[2] Hanya cadangan kerana kitab-kitab yang dinyatakan ini menjadi rujukan utama sesetengah pihak bergantung pada subjek yang ingin ditulis.

[3] Hanya sekadar memberi beberapa contoh ringkas.


Sunday, June 8, 2008

Jangan Bicara Soal Bid'ah


Masyarakat kini secara umumnya telah diperkenalkan dengan satu terma yang menjadi kontroversi di kalangan kebanyakan ahli ‘ilm dan orang awam. Cakap sahaja perkataan ‘Bid’ah’ maka ramai yang ingin mendengar kecenderungan pihak yang berucap, sama ada pihak terbabit memilih pandangan ‘semua bid’ah itu sesat’ atau ‘adanya bid’ah hasanah’ menjadi kayu ukur.

Sesetengah golongan memomokkan masyarakat awam dengan merangkumkan mereka yang berpandangan ‘semua bid’ah itu sesat’ sebagai golongan pemecah belah masyarakat. Ini bukan suatu kejutan memandangkan masyarakat awam kebanyakannya berada dalam kekeliruan untuk membezakan antara kaedah syarak dalam mu’amalat dan kaedah syarak dalam ibadah.

Lebih parah apabila kata-kata sesetengah lulusan agama atau mereka yang menjawat jawatan yang dipandang tinggi oleh masyarakat di sudut agama diguna pakai dalam usaha untuk menghalalkan cita rasa sesetengah pihak dalam beragama. Kenapa perkara seperti ini berlaku? Mana tidaknya apabila masyarakat awam disuntik agar bersarang di hati mereka sikap prejudis terhadap golongan yang dilabel ‘pemecah belah masyarakat’. Akibatnya, pantang bagi sesetengah pihak jika amalan agama turun temurun dipersoalkan kesahihan dalil dan sandaranya, ini kerana telah menebal sangkaan masyarakat awam menyandarkan amalan agama turun temurun kepada para ulama semata.

Dalam situasi masyarakat awam masih tidak mengenali konsep sebenar ibadah, mereka diperkenalkan pula dengan terma bid’ah. Ada pula yang mengenali takrif bid’ah hasanah sebelum mengenal konsep sebenar bid’ah. Sistem pembelajaran sebegini tidak mustahil menyebabkan kekeliruan dalam minda kefahaman masyarakat awam untuk beramal berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah secara keseluruhan.

Maka penulis merasakan apakah relevennya kita berbicara soal bid’ah dalam keadaan masyarakat awam masih lagi tidak memahami konsep sebenar ibadah? Hasil yang kita lihat jelas apabila dialog yang sama diulang-ulang oleh masyarakat awam. “Apa salahnya? Kan benda baik.”,“Eh...Ustaz tu kata boleh?”, “Alah apa salahnya buat macam ni, ni bid’ah hasanah.”, “Takpelah, nabi tak larang pun kita buat macam ni.”

Di sini penulis ingin menukilkan beberapa perkataan para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah dalam memahami konsep sebenar ibadah yang wajib diketahui setiap muslim yang mengharap pahala dalam amal ibadah mereka.[1]

1) Al-Imam As-Subki seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie berkata:

اَلْأَصْلَ فِي اَلْعِبَادَةِ اَلتَّوَقُّف

“Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”. [2]

2) Pengarang Nihayah al-Muhtaj dalam mazhab As-Syafi’ie berkata:

الْأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ أَنَّهَا إذَا لَمْ تُطْلَبْ لَا تَنْعَقِدُ

“Asal hukum di dalam ibadat adalah jika ia tidak dituntut, ia tidak berlaku”. [3]

3) Kata Al-Bujairami as-Syafi‘ie dalam menukilkan perkataan As-Syaubari:

الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَةِ إذَا لَمْ تَطْلُبْ بُطْلَانَهَا

“Asal hukum di dalam ibadat adalah jika tidak dituntut, adalah terbatal”. [4]

4) Kata Muhammad Bin Yusuf Bin Isa Atfisy al-Ibadi:

وَأَنَّ الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَةِ أَنْ لَا تُحْمَلَ عَلَى الْوُجُوبِ إلَّا لِدَلِيلٍ

“Bahawasanya asal hukum di dalam ibadat adalah tidak membawa kepada wajib melainkan dengan adanya dalil”. [5]

5) Kata As-Syeikh Muhammad Bin Muhammad:

الْأَصْلُ فِي الْمَنَافِعِ الْإِبَاحَةُ وَفِي الْمَضَارِّ التَّحْرِيمُ فَقَالَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنْهُمْ الْإِسْنَوِيُّ وَهَذَا إنَّمَا هُوَ بَعْدَ وُرُودِ الشَّرْعِ بِمُقْتَضَى الْأَدِلَّةِ الشَّرْعِيَّةِ وَأَمَّا قَبْلَ وُرُودِهِ فَالْمُخْتَارُ الْوَقْفُ

“Asal hukum dalam perkara bermanafaat ialah mubah (harus) manakal dalam perkara mudarat ialah haram. Maka berkata ramai ulama antaranya al-Imam al-Isnawi: dan ini hanya berlaku selepas disyariatkan dengan dalil-dalil syar‘ie, sedangkan sebelum warid (ada dalil), maka pilihan para ulama ialah waqf (berhenti pada dalil)”. [6]

6) Kata pengarang kitab Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah dalam Fiqh Syafi‘ie:

الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَاتِ التَّوْقِيفُ

“Asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (bersandarkan kepada dalil)”. [7]

7) Kata As-Syeikh Abd. Rahman as-Sa‘di :

الأصل في العبادات الحظر ؛ فلا يشرع منها إلا ما شرعه الله ورسوله ، والأصل في المعاملات والاستعمالات كلها الإباحة ; فلا يحرم منها إلا ما حرمه الله ورسول

“Asal hukum dalam ibadat adalah dilarang; maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya, manakala asal hukum di dalam muamalat dan kepenggunaan seluruhnya adalah harus; maka tidak diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya”.[8]

8) Kata As-Syeikh Abd. Rahman Bin Muhammad al-Hanbali :

الأصل في العبادات التشريع . وكل بدعة ضلال
الله هذا معنى شهادة أن محمدا رسول

“Asal hukum di dalam ibadat adalah apa yang disyariatkan. Dan setiap bid‘ah adalah kesesatan, inilah makna penyaksian bahwasanya Muhammad adalah rasul Allah”.[9]

9) Kata As-Syeikh Said Bin Ali al-Qahtani :

الأصل في الأشياء الإباحة؛ لأن الله خلق لعباده جميع ما على الأرض لينتفعوا به، إلا ما حرمه سبحانه وتعالى .الأصل في العبادات الحظر والتوقيف إلا ما ثبت في الشرع تشريعه عن الله عز وجل، أو عن ه صلى الله عليه وسل

“Asal hukum di dalam semua perkara adalah harus; kerana Allah telah mencipta bagi hamba-Nya semua benda di atas muka bumi untuk mereka manfaatkannya, melainkan apa yang diharamkan oleh-Nya S.W.T. Asal hukum di dalam ibadat adalah dilarang dan bersandarkan dalil melainkan apa yang thabit di dalam syarak ia disyariatkan oleh Allah ‘azza wa jalla atau dari rasulullah S.A.W.”[10]

10) Perkataan Ibn Qayyim al-Jawziyyah :

الأصل في العبادات البطلان إلا ما شرعه اللّه ورسول

“Asal hukum di dalam ibadat adalah batal melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya”. [11]

11) Perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah :

فَبِاسْتِقْرَاءِ أُصُولِ الشَّرِيعَةِ نَعْلَمُ أَنَّ الْعِبَادَاتِ الَّتِي أَوْجَبَهَا اللَّهُ أَوْ أَحَبَّهَا لَا يَثْبُتُ الْأَمْرُ بِهَا إلَّ
بِالشَّرْعِ . وَأَمَّا الْعَادَاتُ فَهِيَ مَا اعْتَادَهُ النَّاسُ فِي دُنْيَاهُمْ مِمَّا يَحْتَاجُونَ إلَيْهِ وَالْأَصْلُ فِيهِ عَدَمُ
الْحَظْرِ فَلَا يَحْظُرُ مِنْهُ إلَّا مَا حَظَرَهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى . وَذَلِكَ لِأَنَّ الْأَمْرَ وَالنَّهْيَ هُمَا شَرْعُ
اللَّهِ وَالْعِبَادَةُ لَا بُدَّ أَنْ تَكُونَ مَأْمُورًا بِهَا ، فَمَا لَمْ يَثْبُتْ أَنَّهُ مَأْمُورٌ بِهِ كَيْفَ يُحْكَمُ عَلَيْهِ بِأَنَّهُ
عِبَادَةٌ وَمَا لَمْ يَثْبُتْ مِنْ الْعِبَادَاتِ أَنَّهُ مَنْهِيٌّ عَنْهُ كَيْفَ يُحْكَمُ عَلَى أَنَّهُ مَحْظُورٌ وَلِهَذَا كَانَ
إنَّ الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَاتِ التَّوْقِيفُ فَلَا يُشْرَعُ : أَحْمَد وَغَيْرُهُ مِنْ فُقَهَاءِ أَهْلِ الْحَدِيثِ يَقُولُونَ
مِنْهَا إلَّا مَا شَرَعَهُ اللَّهُ تَعَالَى

“Maka dengan membanci usul syariah, kita mengetahui bahawa ibadat-ibadat yang diwajibkan oleh Allah atau yang disukai oleh Allah tidak thabit (kewujudannya) melainkan dengan dalil syarak. Adapun adat, adalah kebiasaan manusia tentang dunia mereka daripada apa yang diperlukan oleh mereka, dan asal hukum di dalam hal ini adalah tidak dilarang, oleh itu tidak dilarang melainkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T. Demikian itu kerana perintah dan larangan adalah syariat Allah dan ibadat tidak boleh tidak mestilah sesuatu yang diperintahkan, maka apa-apa yang tidak thabit bahawa ia diperintahkan bagaimana hendak dihukum bahawa ia adalah ibadah? Begitu juga sesuatu yang tidak thabit di dalam ibadat bahawa ia dilarang, bagaimana boleh dihukum bahawa ia dilarang? Oleh demikian, Ahmad (Bin Hanbal) dan selain beliau dari kalangan Fuqaha’ ahli hadith berkata: Sesungguhnya asal hukum di dalam ibadat adalah tawqif (berdasarkan dalil), maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah Taala”.[12]

Ucapan-ucapan ulama' sebegini yang seharusnya menerjah gegendang telinga para mad'u. Bukannya para da'i dahului dengan ucapan seperti "Ini Bid'ah!", "Itu Bid'ah!" dan membuatkan mad'u terpinga-pinga mendengar dan merenung nasibnya di akhirat kelak. Perlu jelas di sini bahawa tugas para da'i menyampaikan kefahaman kepada para mad'u, bukannya menhukum para mad'u.

Jika ada para mad'u yang mungkin alergik dengan nama-nama ulama' seperti Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan lain-lain. Para dai' boleh sahaja mengambil kata-kata ulama' Syafi'iyyah lain dalam hal ini. Matlamat utama kita ialah konsep pemahaman ini sampai kepada mad'u kita, bukan berkeras menyuruh para ma'du tunduk pada kata-kata para ulama' rujukan kita.

Indahnya apabila daripada beberapa kata-kata perkataan para ulama’ di atas, kesemua mereka dilihat mempunyai keserasian dan kefahaman yang sama dalam memahami konsep ibadah. Maka tidak hairanlah apabila para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jama’ah mendatangkan kaedah yang berbunyi "Al-Ashlu fil Ibadah al-Haram Illa Ma Dalla ad-Dalil ‘ala Amrihi" (Hukum asal dari ibadah adalah haram kecuali ada dalil yang memerintahkan). Berbeza pula dengan kaedah dalam muamalah yakni "Al-Ashlu fil muamalah al-Ibahah Illa ma dalla ad-Dalil ‘ala khilafihi" (Hukum asal di dalam muamalah adalah boleh kecuali ada dalil yang menyelisihinya).

Jika konsep ibadah yang mudah ini tidak dapat difahami dengan jelas oleh para mad’u maka tidak mustahil perselisihan pendapat berlaku dalam menentukan apakah ibadah atau amalan yang dilakukan layak atau tidak diterima Allah Subhanallahu Ta’ala. Maka para da’i yang bijak seharusnya merungkai persoalan asas terlebih dahulu sebelum terjun ke dalam persoalan yang lebih mendalam. Kesimpulannya, siapa jua kita baik para da'i mahupun mad'u, fahami konsep sebenar memahami ibadah sebelum menyibukkan diri berbicara tentang hal bid’ah.

Wallhua’lam.

Ibn Yusof
22 April 2008 / 15 Rabi’ Al-Akhir 1429
4.21 p.m.
www.ibnyusof.blogspot.com.
_____________________________________

[1] Dinukil daripada artikel asal Ustaz Rasyid Idris bertajuk “Asal Hukum Bagi Ibadat”.
[2] Fath al-Bari, jilid 4 hal. 174.
[3] Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jilid 3 hal. 109.
[4] Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib, jilid 3 hal. 497.
[5] Syarh al-Nayl wa Syifa’ al-‘Alil, jilid 7 hal. 211.
[6] Al-Taqrir wa al-Tahbir, jilid 3 hal. 198.
[7] Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, jilid 4 hal. 150.
[8] Taisir al-Latif al-Mannan fi Khulasah Tafsir al-Ahkam jilid 1 hal. 299.
[9] Hasyiah al-Usul al-Thalathah, jilid 1 hal. 91.
[10] Fiqh al-Da‘wah fi Sahih al-Imam al-Bukhari, jilid 4 hal. 195.
[11] Ahkam Ahli al-Dhimmah, jilid 1 hal. 121.
[12] Majmu‘ Fatawa Ibn Taymiyyah, jilid 6 hal. 452.

Sunday, June 1, 2008

Pendakwah Bermasalah

Aktiviti-aktiviti dakwah semakin giat berkembang mutakhir ini bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Tambahan pula, jabatan-jabatan agama dan badan-badan bukan kerajaan banyak memberi sokongan dalam aktiviti-aktiviti dakwah. Perkara ini harus dipuji agar penyebaran risalah tauhid ini dapat berterusan sekaligus memberi kesedaran tentang kewajiban berdakwah.

Keberkesanan aktiviti-aktiviti dakwah yang dijalankan terbukti apabila penghayatan masyarakat terhadap ajaran Islam semakin membugar dalam jiwa masyarakat dan jumlah mereka yang memeluk ajaran Islam semakin meningkat. Dalam pada itu, tulisan ini bukan mengajak kita leka dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya ingin mengajak para pembaca merenung dan menganalisa faktor-faktor yang boleh menyebabkan kegagalan para pendakwah untuk terus maju dalam dakwah mereka.

Beberapa faktor kegagalan para pendakwah baik secara individu atau merujuk kepada golongan-golongan tertentu dapat dikenal pasti dengan menilai hasilnya. Contohnya, jika para pendakwah berjaya menyentuh hati orang yang didakwahinya atau lebih dikenali sebagai mad’u, tidak mustahil dakwah tersebut mampu mengubah persepsi dan ideologi mad’u dengan mudah. Tetapi jika hati mad’u sudah awal-awal lagi bersarang rasa benci atas dakwah para da’i, maka wujud satu penghadang dalam minda dan hati mad’u untuk menilai dakwah para da’i hatta ianya merupakan satu kebenaran. Maka disini kepercayaan dan perasaan mad’u memainkan satu peranan penting dalam usaha dakwah para da’i.

Antara faktor-faktor kegagalan para da’i dalam memupuk kepercayaan dan menjaga perasaan mad’u ialah:-

Tidak mengenali mad’u

Para da’i wajar mengenali mad’u terlebih dahulu sebelum kita membuat apa-apa persepsi. Ini dapat mengelak kita dari bersangka buruk dan bersedia mendengar penjelasan dan hujah dengan adil. . Jika gagal mengenali mad’u maka tidak mustahil wujudnya tanggapan semua mad’u itu harus dibantah dengan hujah yang keras. Benarkah tanggapan sedemikian?

Antara jenis-jenis mad’u yang mungkin kita hadapi ialah
[1]:-

(i) Orang yang terjerumus dalam kemungkaran boleh jadi kerana kejahilannya.
Untuk orang jenis ini cukup didakwahi dengan cara yang bijaksana. Misalnya dengan menjelaskan kekeliruannya, apabila telah jelas kekeliruan tersebut insyaAllah dia akan segera kembali kepada kebenaran.

(ii) Orang yang kekeliruannya telah jelas namun ia masih keras kepala
Barangkali ia memiliki sifat malas, hawa nafsunya merintangi dirinya untuk menerima kebenaran. Maka orang jenis ini memerlukan pengajaran yang baik, yaitu dengan memperingatkan kepadanya betapa keras seksaan Allah dan hukuman yang bakal diterima oleh orang yang terus menerus berbuat maksiat setelah mengetahuinya.

(iii) Orang yang membantah apabila mengetahui kebenaran demi mempertahankan kebatilan dan kemungkaran.

Orang seperti ini hanya ingin membenarkan kesalahan yang dilakukannya, maka ia perlu dibantah. Namun, hendaklah bantahan itu dilakukan dengan cara yang terbaik. Bukan dengan kesombongan mahupun dengan meremehkan atau menghina sesiapa.Hujah ilmiah yang jelas dan konkrit dapat menyinari kebenaran dan melenyapkan kebathilan.

Berdasarkan ketiga-tiga jenis kategori mad’u diatas, cara pendekatan yang berbeza dan yang terbaik perlu digunakan sesuai dengan keadaan mad’u tersebut. Golongan pertama dengan hikmah, golongan kedua dengan pelajaran dan pengajaran yang baik dan golongan ketiga dengan bantahan yang baik. Dengan itu, tidak keterlaluan jika penulis katakan kegagalan mengkalsifikasi jenis-jenis mad’u menyebabkan kita menempah awal kegagalan di medan dakwah.

Bersikap “Aku betul, Kau salah”


Mad’u seharusnya dilihat sebagai peluang (opportunity) bukannya sebagai musuh (enemy). Apabila para da’i mempunyai persepsi bahawa mereka sentiasa benar dan mad’u seorang pesalah, inilah yang dinamakan bersikap “Aku betul, Kau salah“. Ini menyebabkan kerja-kerja dakwah bukan lagi satu kerja nasihat-menasihati tetapi menjadikannya sebagai medan menghukum mereka yang bersalah.

Persepsi seperti ini hanya akan menjamah akhlak para da’i, mana tidaknya apabila para da’i merasakan diri mereka lebih mulia berbanding mad’u, kesombongan akan menyebabkan mereka memandang rendah orang yang sepatutnya didakwahi mereka. Sedangkan dalam usaha dakwah kita bukan mencari siapa betul dan siapa yang salah, tetapi kita berada dalam satu usaha nasihat-menasihati dengan cara yang lembut.

Wajib atas kita untuk berlemah lembut di dalam dakwah kita apatah lagi terhadap orang-orang yang menyelisihi kita, dan jadikanlah selalu firman Allah Ta'ala berikut sebagai pegangan untuk selama-lamanya.

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Serulah mereka ke jalan Rabb-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."[2]

Dan mereka yang pertama lebih berhak untuk kita terapkan hikmah ini adalah mereka yang paling memusuhi kita di dalam dasar (mabda') dan aqidah kita, hingga kita tidak menggabungkan antara beratnya dakwah yang haq yang Allah memperteguh kita dengannya dengan beratnya cara (ushlub) kita berdakwah kepada Allah Azza wa Jalla.

Hendaklah dingingat bahawa sikap “Aku betul, Kau salah“ hanya akan mewujudkan benteng di antara para da’i dan mad’u. Malah lebih teruk jika mad’u mula melarikan diri daripada kita atas sikap ingin menang yang kita tonjolkan. Renungkanlah kata-kata Imam As-Syafie rahimahullah yang mashyur ini yaitu:-

Cakap Tidak Serupa Bikin

Umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus, inilah yang dapat digambarkan kepada para da’i yang cakap tidak serupa bikin. Sebagai contoh si ayah yang lantang menyuruh anaknya berhenti menghisap rokok sedang pada masa yang sama tanganya memegang puntung rokok yang masih berasap.

Allah Azza wa Jalla sangat membenci sikap ini kerana ianya tidak ubah seperti seorang hipokrit. Allah berfirman:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ
مَا لَا تَفْعَلُونَكَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. ”[3]

Perkara ini barangkali atas sebab tidak yakin tentang apa yang cuba disampaikan, ataupun tidak beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sikap ini sebenarnya hanya akan menghakis kepercayaan mad’u kepada para da’i. Da’i seperti ini mungkin mempunyai hujah yang meyakinkan tetapi hujah yang tidak bersertakan keyakinan beramal tidak ubah seperti salesman yang menjual produk yang belum dicubanya. Persoalan yang mungkin timbul ialah sejauh mana kebenaran hujah tersebut jika para da’i sendiri ragu-ragu dalam beramal dengannya?

Mudah Dalam Berfatwa

Ramai para da’i bila berhapan dengan mad’u mengangap diri mereka sudah cukup kompeten dalam mengeluarkan hukum hakam yang sebenarnya masih menjadi perbahasan di kalangan para fuqaha. Hal-hal kontroversi menjadi medan para da’i menunjukkan kejaguhan mereka dalam berfatwa.

Para da’i seharusnya tidak mengungkapkan pendapat mereka dalam perkara-perkara agama hanya berdasarkan pandangan mereka semata, atau memberi fatwa kepada orang lain tanpa berdasarkan ilmu. Seharusnya para da’i terlebih dahulu mencari petunjuk dengan dalil-dalil syari'at, lalu melihat pendapat-pendapat para ulama serta metod mereka dalam menggunakan dalil-dalil tersebut dan dalam mengambil kesimpulan. Setelah itu barulah para da’i berbicara atau memberi fatwa dengan apa yang diyakini dan diredhai untuk dirinya.

Oleh sebab itu, mengenal mad’u terlebih dahulu adalah penting sebelum para da’i memberikan apa-apa fatwa. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telahpun memberi panduan ringkas dalam memberi fatwa sepertimana dalam sabda baginda yakni:-
"Hendaklah kalian bersikap memudahkan dan jangan menyulitkan. Hendaklah kalian menyampaikan khabar gembira dan jangan membuat mereka lari, kerana sesungguhnya kalian diutus untuk memudahkan dan bukan untuk menyulitkan"
[4]

Selain itu, seperkara yang perlu ditekankan ialah masalah sikap yang mana para da’i merasakan diri mereka perlu tahu serba-serbi dalam bab hal agama ini. Akibatnya mereka berani berfatwa walaupun tanpa ilmu tentang hal yang disoal. Sikap dan akhlaq para imam salafussoleh seharusnya dijadikan contoh oleh para da’i kini apabila mereka tidak tergesa-gesa dalam berfatwa dan banyak mengatakan Allahu’alam (Allah lebih mengetahui) tentang masalah yang memang tidak diketahuinya.

Bukanlah satu keaiban menjawab permasalahan yang tidak diketahui dengan kalimah Allahu’alam. Berkata Ibn Jama’ah:-
Apabila seorang alim ditanya tentang sesuatu yang tidak diketahuinya, maka termasuk bentuk ilmu adalah menjawab "Saya Tidak Tahu". Sabahagian salaf mengatakan:“Ucapan "Saya Tidak Tahu" adalah setengah ilmu” .
[5]

Para da’i harus jujur dalam menyampaikan dakwah mereka. Kejujuran dalam menjawab permasalahan yang tidak diketahui adalah satu akhlaq yang mulia. Ini adalah kerana kadang kala kita tidak mempunyai jawapan kepada semua permasalahan, adalah lebih baik kita menangguhkan pada waktu lain sehingga mempunyai kesempatan untuk mengkaji dalilnya dan menganalisa ucapan-ucapan para ahlul ilmi dalam masalah yang bersangkutan.
Ibn Abbas berkata: “Sesungguhnya orang yang selalu berfatwa kepada manusia dalam setiap masalah yang mereka pertanyakan adalah seorang yang gila!”
[6]

Kesalahan tutur kata

Cara para da’i menutur kata juga merupakan satu perkara serius yang perlu diambil kira. Hendaklah seorang da’i bersikap lembut, manis muka dan lapang dada sehingga lebih mudah diterima oleh orang yang didakwahinya. Dan hendaklah ia mengajak ke jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan kepada dirinya, tidak perlu mengancam atau mendendam terhadap orang yang menyelisihi jalan dakwah mereka, kerana jika ia memang mengajak ke jalan Allah, berarti ia memang ikhlas, Allah akan memudahkan perkaranya dan memberi petunjuk melalui tangannya siapa saja yang dikehendakNya di antara para hambaNya.

Kelembutan tutur kata dan pemilihan perkataan yang sesuai mencerminkan keikhlasan para da’i dalam menyampaikan kebenaran, ini kerana kebenaran tidak wajar disampaikan dengan cara yang kasar dan paksaan. Para da’i harus mecontohi sikap para nabi dalam bertutur kata sewaktu mereka melakukan dakwah seperti peringatan yang Allah berikan kepada Nabi Musa alaihisalam dan Nabi Harun alaihisalam ketika ditugaskan Allah berhadapan dengan Fir’aun:-
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut. ”[7]

Kesalahan para da’i dalam menggunakan perkataan yang menakutkan hanya menjauhkan para mad’u dari mendengar dan menilai hujah para da’i dengan adil. Oleh itu, hendaklah para da’i memahami betapa pentingnnya penggunaan bahasa yang sesuai dan diikuti dengan perbuatan yang lembut kerana ini dapat mewujudkan kepercayaan dalam diri mad’u. Zaman ini adalah zaman kelembutan, kesabaran dan hikmah, bukanlah zaman kekerasan (kebengisan). Majoriti manusia saat ini dalam keadaan jahil, lalai dan lebih mementingkan duniawiyah. Maka haruslah para da’i sabar dan lemah lembut dalam menyampaikan dakwah mereka.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:-
“Sesungguhnya Allah Maha lembut, mencintai kelembutan. Dia memberikan kepada yang lembut apa yang tidak diberikan kepda yang kasar”
[8]

Penggunaan perkataan yang sesuai juga penting demi mengelakkan berlakunya salah faham. Contohnya, para da’i kadang-kala cenderung memilih pernyataan Imam Syafie rahimahullah silap dalam melakukan ijtihadnya, atau ianya pendapat yang lemah dalam mazhab Syafie. Ini hanya akan melemahkan semangat mad’u dalam beramal. Lebih teruk jika mad’u mula memandang serong para da’i yang berlagak lebih pandai daripada Imam As-Syafie rahimahullah.

Para da’i harus bijak dalam menyusun kata, dengan menperkenalkan hadis-hadis sahih,hasan atau dalil-dalil yang lebih tepat sebagai panduan mad’u, memberi mad’u peluang membuat penilaian sekaligus akan membuka minda kefahaman mereka. Bantuan yang diberikan para da’i kepada mad’u dalam berinteraksi dengan dalil-dalil yang sahih dan lebih tepat dapat mengelak para da’i dari terus menyanggah amalan mad’u yang telah sebati dengan jiwa mereka.

Tidak dapat kita nafikan wujud beribu macam faktor lain yang mempengaruhi kegagalan para da’i daripada merangkul kejayaan mereka di medan dakwah. Tetapi faktor yang dibincangkan diatas boleh dikatakan antara faktor-faktor utama para da’i dan mana-mana gerakan Islam menempah awal kegagalan mereka. Para da’i harus sedar bahawa mereka mewakili Islam, kerja-kerja dakwah mesti dianggap serius kerana jika tidak ia bakal mengundang fitnah atas ajaran Islam yang sempurna.

Oleh itu, kerja-kerja dakwah yang mulia ini seharusnya dijiwai dengan pola fikir dan cara yang betul. Mereka yang bergelar para da’i mendakwahi masyarakat bukan kerana ‘terpaksa’,bukan kerana nama, apatah lagi kerana harta dunia. Tetapi kerana kasih sayang sesama manusia dan untuk mengagungkan serta menolong agama Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Wallahua’lam.

Ibn Yusof

17 April 2008 / 11 Rabi`Al-Akhir 1429

9:43 p.m.

www.ibnyusof.blogspot.com
_________________________________________

[1] Dinukil dan diubah suai daripada Koreksi Total Masalah Politik & Pemikiran Dalam Perspektif Al-Qur'an & As-Sunnah, hal 75-77 Terbitan Darul Haq, penerjemah Abu Ihsan Al-Atsari.
[2] An-Nahl 16:125
[3] Ass-Shaff 61:2-3
[4] Hadits Riwayat Muslim dalam Al-Ilm hadith no. 69, Hadith Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Wudhu hadith no. 220
[5] Tadzkiratus Sami’ hal. 49.
[6] Dikeluarkan oleh Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayanil Ilmi jilid 2 hal. 164. Lihat I’lamul Muwaqqi’in jilid 2 hal. 63.
[7] Taha 20:44
[8] Hadith Riwayat Muslim seperti mana dalam Al-Birr Wash Shillah hadith no.2593