Friday, May 16, 2008

Memperbaiki Wuduk & Solat Menurut Sunnah


Dialog 1:

Kenapa kita nak sibuk-sibuk belajar tentang sifat solat nabi ni? Ramai kat luar sana yang solat pun tak tahu."

Dialog 2:

Orang awam yang solat tu dah kire ok lah tu,daripada diorang tak solat langsung?"

Dialog 3:

Anta bolehla bukak kitab-kitab baca hadith-hadith dan tengok perbahasan para ulama’, habis tu macam mana dengan datok nenek yang dah tua tu? Diorang nak bukak kitab pun tak reti."

Dialog 4:

Kita sokong apa-apa usaha yang sahih,(dalam bab solat sebagai contoh) tapi bab ikhtilat pun xcover lagi.Cene?"

Dialog 5:

Public yangg telah mengamalkan ibadah tertentu bersesuaian dgn intellectual mereka, ajaran sunnah akan mengelirukan lagi public dan menyebabkan perpecahan?"

Bukan satu atau dua, tetapi ramai yang bertanyakan penulis soalan-soalan yang lebih kurang sama berulang kali. Penulis tidak pernah berasa bosan dalam menjawab persoalan ini memandangkan dalam benak penulis juga suatu masa dahulu mempunyai persoalan yang sama. InsyaAllah tulisan ringkas ini akan cuba merungkai kekusutan dialog-dialog di atas.

Perintah Memperbaiki Solat

Hendaklah kita sebagai seorang muslim menyedari kepentingan solat dalam kehidupan seharian. Ini adalah kerana ianya salah satu sumber makanan rohani yang penting untuk jiwa secara keseluruhan. Perut kita pasti berkeroncong apabila tidak diisi dengan makanan dan minuman dalam dunia realiti, begitulah halnya juga dengan rohani kita yang dahagakan pengisian.

Banyak hadith-hadith yang dijadikan rujukan tentang perintah Rasulullah Shallahu’alaihi Wa Sallam dalam kewajiban memperbaiki solat kita dari semasa ke semasa, antaranya ialah:-

1) Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu diceritakan bahwa seorang lelaki pernah masuk masjid dan solat, sedangkan Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam berada di penjuru masjid tersebut. (Usai solat) Ia mendatangi beliau seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salamnya, beliau bersabda : "Solatlah kamu,sesungguhnya tadi kamu belum solat ". Orang itu balik lagi dan kembali solat. Lalu menemui beliau lagi dan memberi salam. Setelah menjawab salamnya, beliau bersabda lagi : "Solatlah kamu, sesungguhnya kamu belum lagi solat". Pada kali yang ketiga lelaki itu berkata: "Tolong ajarkan aku". Beliaupun bersabda :

"Apabila kamu hendak solat, maka berwudhulah dengan sempurna kemudian menghadaplah kearah kiblat dan bertakbirlah. Lalu bacalah ayat Al-Qur'an yang mudah bagimu, kemudian ruku'lah, hingga kamu tuma'ninah dalam ruku'. Lalu tegaklah berdiri, hingga kamu berdiri lurus. kemudian bersujudlah hingga kamu tuma'ninah dalam sujud. Lalu bangkitlah dari sujud hingga kamu tuma'ninnah dalam duduk. Kemudian bersujud lagi hingga kamu tuma'ninah dalam sujud. Kemudian bangkitlah dari sujud, hingga kamu tegak berdiri. Kemudian lakukanlah itu dalam solat kamu seluruhnya".
[Hadith Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim]

2) Dari Abu Mas'ud Al-Badri, bahwa ia berkata : Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.
"Solat seseorang itu tidak sah, sebelum ia meluruskan punggungnya baik dalam ruku' mahupun sujud".
[Diriwayatkan oleh Abu Dawud 1/136), An-Nasa'i (1/157), At-Tirmidzi (2/51), Ibnu Majah (1/284), Ad-Darimi (1/304), Ath-Thahawi dalam "Al-Musykil" (1/80), Ath-Thayalisi (1/97), Ahmad (4/119) dan Ad-Daruquthni (hal 133)]

3) Dari Ammar bin Yasir Radhiallahu 'anhu bahwa beliau berkata : Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam bersabda:-
"Sesungguhnya seorang hamba itu terkadang solat, namun hanya dicatat ganjarannya 1/10, 1/9, 1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3, atau 1/2"
[Diriwayatkan oleh Abu Daud (1/127), Al-Baihaqi (2/281) dan Ahmad (4/319-321), dari dua jalur sanad. Salah satunya disahihkan oleh Al-Hafizh Al-Iraqi dan dikeluarkan oleh Ibnu Hibban dalam Shahihnya, sebagaimana juga dinyatakan dalam "At-Taqrib" (1/184)]

Al-Manawi dalam Al-Faidhul Qadir menyatakan tentang hadith 3 di atas bahawa ganjaran itu beragam, karena perbedaan orang yang shalat dalam kekhusyu'an, daya renungnya dan hal-hal lain yang menimbulkan kesempurnaan. Ternyata kita bukan sekadar inginkan solat kita sah dengan menepati rukun-rukun solat, bahkan kita juga ingin solat kita sempurna mengikut tatacara sebenar Nabi Shallallahu 'alaihi Wa Sallam dalam solat. Solat yang sempurna pasti sah disisi Allah Subhanallahu Ta’ala akan tetapi solat yang sah tidak semestinya sempurna. Sebagai contoh seseorang yang solat berjemaah cukup rukun solatnya untuk memastikan solatnya sah, tetapi akibat tidak merapatkan saf maka cacatlah kesempurnaan solatnya.

Apa yang dinyatakan di atas hanyalah sebahagian dari banyaknya sabda-sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam dalam bab memperbaiki sifat solat dan ternyata ianya bukanlah perkara yang baru. Hadits-hadits nan mulia ini, secara umum dan bebas meliputi seluruh jenis solat. Baik itu solat wajib mahupun sunat, baik itu siang mahupun malam. Rasulullah Shallahu’alaihi Wa Sallam menegaskan:-

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ

“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
[Hadith Diriwayatkan oleh Imam Bukhari]

Sabdanya ini memerintah kita agar solat sepertimana baginda Shallahu’alaihi Wa Sallam solat. Persoalannya adakah bermaksud dengan bersabda sedemikian Rasulullah Shallahu’alaihi Wa Sallam tidak mengendahkan kerja-kerja dakwahnya yang lain? Apakah tidak boleh kerja-kerja dakwah lain dilakukan seiring?

Analisis dialog

Perlu diberi perhatian di sini daripada dialog-dialog di atas apa yang penulis dapat perhatikan ianya tidak lebih sekadar kata-kata yang keluar dari logik akal semata. Malah setiap dialog di atas menghubungkan dua persoalan yang berbeza dalam satu kategori.

Mempelajari sifat solat Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam yang sekaligus memperbaiki sifat solat dan perkara-perkara lain seperti berdakwah pada mereka yang tidak solat, mempelajari bab-bab agama lain seperti mua’malah, mengajar atau menyampaikan kepada yang tidak mampu mengkaji kata-kata ulama’.Setiap perkara yang dinyatakan ini adalah persoalan yang berbeza-beza. Tidak pantas untuk kita menyoal dengan merangkumkan semua dalam satu soalan.

Dialog 1

Adalah tidak wajar bagi mereka yang didedahkan dengan ilmu sifat solat Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam bertanyakan dialog sedemikian. Penulis ingin menyoal adakah wujud mana-mana pihak yang menganjurkan kem-kem solat meletakkan syarat peserta yang berdaftar hendaklah mereka yang tidak tahu mengerjakan solat sahaja? Apakah tidak ada ruang bagi mereka yang berhasrat memperbaiki solat untuk menyertai mana-mana kem solat?

Dialog 2

Pernyataan seperti ini telah terjawab dengan perintah Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam dalam memperbaiki sifat solat. Persoalan yang ingin ditujukan semula ialah apakah adil untuk kita meletakkan prioriti terhadap pengembangan ilmu Fardhu Kifayah sedangkan ilmu Fardhu ‘Ain masih di takuk lama?

Jawapan yang hampir sama penulis terima setiap kali bertanyakan bilakah kali terakhir anda mempelajari atau diajar bab solat? Waktu tadika, jika tidakpun ialah waktu sekolah rendah. Apakah usaha dakwah mengajak orang awam memperbaiki sifat solat mereka dipandang enteng?

Dialog 3

Dua persoalan yang berbeza jelas apabila membincangkan para pelajar yang cuba memperbaiki sifat solat mereka dan orang awam yang tidak berpeluang mempelajari serta mendalami lautan ilmu fiqh dalam bab solat. Apabila ianya jelas dua persoalan yang berbeza maka seharusnya kita tidak cepat membuat kesimpulan awal. Menjadi kewajiban mereka yang berilmu untuk menyampaikan ilmu mereka mengikut kemampuan masing-masing. Selain itu, seberapa banyak kitab-kitab para ulama’ kini telahpun diterjemah maka dengan sedikit usaha ini mungkin dapat membezakan kita yang beramal dengan ilmu dan orang yang beramal secara ikut-ikutan dalam bab solat khususnya.

Dialog 4

Bukankah persoalan yang sama boleh diulang-ulang juga kepada mereka yang terlalu mementingkan bab ikhtilat tetapi masih tidak khatam bab solat? Adakah bermaksud bab solat tidak sepenting bab ikhtilat? Penulis mengatakan kita mengambil berat semua bab dalam agama ini. Tetapi jika ingin membincangkan perkara fiqh Al-Awlawiyyat (prioriti). Apakah solat yang dilakukan dalam kehidupan seharian dan memperbaikinya dari semasa ke semasa tidak menjadi keutamaan kaum muslimin? Bukankah solat adalah perkara pertama yang dihitung di akhirat kelak?

Dialog 5

Jika mengajar sunnah pada orang awam menjadi punca perpecahan masyarakat.Adakah bermaksud mengajar bid’ah pada orang awam menjadi punca kesatuan hati di kalangan masyarakat?Andai kata amalan bid’ah ini dapat menyatukan umat, sesungguhnya hal itu seperti firman Allah Ta’ala tentang Bani Israil berikut:-

“.....kamu menyangka mereka itu bersatu, padahal hati mereka berpecah belah....” [Al-Hasyr 59:14]

Penyatuan umat dalam hal ini pada zahirnya sahaja. Adapun batinnya berpecah-belah. Ini berbeza dengan sunnah, seandainya pun secara zahir terlihat memecah-belah umat, tetapi pada hakikatnya menjurus kepada pernyatuan umat. Bukankah kita sedia maklum al-Quran juga digelar Al-Furqan (pembeda)? Al-Furqan (pembeda) yang membawa maksud pembeda antara yang haq dan yang bathil. Diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdillah rahimahullah:-

“..................dan Muhammad Shallallahu 'alaihi Wa Sallam memecah belah antara manusia.” [Sahih Bukhari jilid 6 hadith ke 6852]

Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam memecah belah manusia dengan al-haq atau kebathilan? Sudah semestinya al-haq, dan baginda Shallallahu 'alaihi Wa Sallam pun memerangi kebatilan, demikian juga para pengikut Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam. Dengan al-haq maka jelaslah semua yang batil dan pelakunya. Jika seandainya zahir amalan bid’ah menyatukan umat, ianya sekadar menyatukan umat dalam kebatilan. Penyatuan seperti ini tidak akan kekal lama kerana kebatilan pasti tersingkir seperti mana tafsir Ibn Katsir terhadap ayat :-

“Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengembang. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” [Ar-Ra’d 13:17]

Kem Solat & Penyelewengan Mazhab?

Bercerita tentang Kem Solat ini tersenyum lebar penulis mengingatkan email seorang sahabat yang disebar luas dengan tujuan untuk memboikot Kem Solat ini secara tidak lansung. Berdalilkan solat yang diajar bukan Sifat Solat Nabi tetapi Sifat Solat Al-Albani adalah satu kejahilan yang nyata. Membaca email tersebut penulis sedar bahawa hujah dan sekian banyaknya hadith-hadith tentang Sifat Solat Nabi tidak sampai kepada sahabat tersebut, barangkali penyakit hati yang dialami penyebar email tersebut agak parah apabila sahabat tersebut berkata sebelum berfikir, bertindak sebelum menilai.

Kitab Sifat Solat Nabi itu hanya menghimpunkan hadith-hadith yang sahih terutamanya dari Sahih Bukhari mahupun Sahih Muslim dan kitab-kitab sunan lain untuk memastikan setiap gerakan dan bacaan di dalam solat adalah bertepatan dengan apa yang Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam prkatik dan ajari. Semestinya mereka yang suka beramal dalam agama dengan citarasa mereka tidak setuju hadith sahih menjadi rujukan agama kerana ianya pasti bertentangan dengan amalan hasil citarasa dan suka sama suka mereka.

Penulis mempelajari Sifat Solat Nabi ini 2 tahun yang lepas dan daripada kajian dan pembelajaran ini penulis jatuh cinta dengan Sunnah. Bukannya sunat yang diketahui orang ramai bahawa jika kita melakukannya kita mendapat pahala tetapi jika kita ,meninggalkannya kita tidak mendapat apa-apa. Definisi atau ta’rifan Sunnah yang lebih luas ini perlu disuntik dalam minda masyarakat supaya masyarakat dapat merasai kemanisan mengamalkannya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam bersabda:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”

[Hadith Diriwayatkan oleh Imam Bukhari]

Maka jika hadith yang mudah ini gagal dihayati oleh seorang yang bergelar muslim maka sudah tentu kita akan mengagung-agungkan aqal dan citarasa kita melebihi wahyu yang diturunkan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada pesuruhNya yakni Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam.

“Kita solat ikut siapa?”,soal penceramah. Adik-adik dalam kem mula menjerit “IKUT NABI!!”. Tersenyum penulis mendengar semangat adik-adik ini, jawapan mereka barangkali lebih matang daripada mereka yang melaungkan slogan “KITA MAZHAB SYAFIE”. Bukanlah penulis mengkritik orang yang mengikuti mazhab Syafie, hatta penulis sendiri menghormati dan mengamalkan ijtihad Al-Imam Muhammad Idris As-Syafie dalam kehidupan seharian. Cuma sahaja jika mereka itu dapat memahami perkataan Imam As-Syafie apabila berkata:-

"Setiap apa yang telah aku katakan, kemudian apa yang dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bertentangan dengan perkataanku sekalipun (perkataanku itu dianggap) betul, maka hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam mesti diutamakan, oleh itu janganlah kamu bertaqlid dengan qaulku (kata-kataku)".[ hal. اعلام الموقعين 17 Ibn Qaiyyim al-Jauzi.]

Maka apakah relevennya belajar sehingga peringkat universiti tetapi masih berpaut pada pola fikir yang jumud. Taksub dengan ijtihad Imam As-Syafie sehingga sanggup menolak apa yang disampaikan Allah dan Rasul-Nya. Sekurang-kurangnya adik-adik yang menyertai kem solat ini disajikan dengan hadith-hadith nabi pada peringkat usia yang awal berbanding dengan mereka di luar sana yang dihidangkan dengan persekitaran program-program hiburan realiti “Bintang Kecil”, “Akademi Fantasia”,“Malaysia Idol” dan sebagainya.

Pada sesi Sifat Wudhu’ Nabi dan Sifat Solat Nabi mereka bersedia menerima hadith-hadith sahih tentang cara Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam berwudhu’, tampak dari raut wajah mereka menunggu apa sahaja pendapat yang semestinya sahih dilakukan oleh Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam. Apakah perbuatan ini dikira meninggalkan mazhab? Apakah pemikiran seperti ini dikatakan menyeleweng?

"Berkata Imam Ahmad: Janganlah kamu bertaqlid denganku, janganlah bertaqlid dengan Malik, Abu Hanifah, as-Syafie, 'Auzii dan Thauri rahimahumullah. Ambillah oleh kamu dari mana mereka itu mengambil"[ Diriwayatkan oleh Abu Daud, hlm. 277.]

Dari perkataan Imam Ahmad di atas kita diseru supaya mengambil dan mengkaji daripada sumber untuk mengelak perbuatan mengikut tanpa memahami. Apakah perbuatan seperti ini dikatakan tidak berpegang pada mana-mana mazhab? Jika ianya bersalahan dengan manhaj para salaf dalam menimba ilmu maka tidak perlulah Imam Bukhari bersusah payah mengumpulkan hadith-hadith sahih selepas sekian lama Imam Syafie meninggal dunia, mengapa tidak sahaja Imam Bukhari berpegang pada ijtihad para imam yang telah pun mengeluarkan ijtihad-ijtihad mereka pada zaman-zaman sebelum kelahiranya?

Ini kerana Islam tidak mengajar supaya otak umatnya bersifat statik, Islam tidak mengajar pengetahuan umatnya bersifat serik. Jika pada awal pembelajaran fardhu Ain yakni berkenaan Wudhu’ dan Solat mereka ini diberikan contoh dari buku-buku bergambar tanpa mana-mana rujukan, mengapa tidak kita mengajar mereka pada usia yang awal untuk berinteraksi dengan hadith-hadith Nabi Shallahu’alaihi Wa Sallam yang sahih dalam bab Fardhu Ain.

Mereka yang mengkritik Sifat Wudhu’ Nabi dan Sifat Solat Nabi ini adalah mereka yang tidak mahu melakukan sebarang anjakan paradigma dalam beramal. Jika sewaktu tadika, guru mengajar subjek matematik berkenaan cara-cara tambah dan tolak, sudah semestinya sewaktu sekolah rendah kita akan diajar pula tentang cara-cara darab dan bahagi. Apakah ada sekolah rendah atau sehingga peringkat universiti yang senantiasa mengajar cara-cara bagaimana tambah dan tolak? Sudah semestinya tidak, kenaikan peringkat demi peringkat tahap pembelajaran kita akan diajar pula tentang cara-cara melukis graf, mengira sudut dan sebagainya. Sesungguhnya perkembangan ilmu ini berlaku dalam setiap bidang mata pelajaran tetapi mengapa dalam bab agama kita mesti bersifat statik tanpa adanya penghayatan dan pendalaman yang lebih dari semasa ke semasa?

Inilah persoalan yang perlu direnung oleh setiap masyarakat umum dan semestinya perlu ditekankan dalam ucapan-ucapan para dai’. Renungkanlah berapa ramai orang awam di luar sana yang amalan agama mereka adalah seperti apa yang diajarkan ustaz atau ustazah di sekolah rendah mereka tanpa ada apa-apa penghayatan atau pendalaman yang lebih, tetapi dalam mata pelajaran atau kemahiran-kemahiran lain mereka semakin maju hari demi hari. Begitulah juga mereka yang merasa enteng dalam masalah ibadah ini, dan mengkritik pula mereka yang cuba menyebarkan sunnah baginda Shallahu’alaihi Wa Sallam dalam wudhu’ dan solat dengan berkata cukup sekadar “Aku bermazhab Syafie! ” sedangkan pemahaman fiqhnya bersifat statik dan jumud.

Berkata Imam Syafi'i : "Semua sunnah Rasul yang diriwayatkan dengan berzeda-beza oleh para ahli ilmu itu tidak terlepas dari makna dan tujuan (yang tiga) tadi. Pada prinsipnya segala sesuatu yang telah ditetapkan oleh As-Sunnah maka Allah telah mengharuskan kepada kita untuk mengikutinya, dan Allah telah menetapkan bahwa mengikuti sunnah Rasul merupakan ketaatan kepada Allah sementara menentang terhadap sunnah Rasul merupakan perbuatan maksiat terhadap Allah yang tak satu manusia pun yang dikecualikan dan tidak ada satu jalan pun untuk menghindar dari mengikuti sunnah-sunnah Nabi-Nya. "

Kesimpulannya, jangan diperkecilkan apa-apa usaha dakwah yang dilakukan mana-mana pihak. Pada kita ianya mungkin perbuatan yang hanya sebesar zarah, tetapi pada sisi Allah Subhanallahu Ta’ala ianya adalah sebaliknya.

"Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. " [Al-Zalzalah 99:7]

Sama-sama kita muhasabah dan tangisi diri ini, sejauh mana sumbangan kita pada dakwah islamiyyah.

Wallhua’lam.

Ibn Yusof

16 Mei 2008 / 10 JumadaAl-Awwal 1429

3:56 a.m.

www.ibnyusof.blogspot.com

________________________________________________________

Rujukan:-

1) Shalatu At-Tarawih, edisi Indonesia Shalat Tarawih Penyusun Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani, terbitan Pustaka At-Tibyan hal. 151-162, Penerjemah Abu Umar Basyir Al-Maidani.

2) Wuduk & Solat Menurut Sunnah & Mazhab Syafie, Abu Ruwais Al-Syubrawi, terbitan Karya Bestari.

3) Kebatilan Pasti akan Tersingkir, Ustaz Arief B. Bin Usman Rozali, Majalah As-Sunnah Edisi 01/Tahun XII/1429H/2008M.

4) Nurus Sunnah wa Zhulumatul Bid’ah Fi Dhauil Kitabi was Sunnah, edisi Indonesia Mengupas Sunnah, Membedah Bid’ah, hal. 13-18 Darul Haq.

5) Miftahul Jannah fii Al-Ihtijaj bi As-Sunnah, edisi Indonesia KUNCI SURGA Menjadikan Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam Sebagai Hujjah, oleh Al-Hafizh Al-Imam As-Suyuthi, hal. 31-35 terbitan Darul haq, Penerjemah Amir Hamzah Fachruddin

2 comments:

Unknown said...

"Solat seseorang itu tidak sah, sebelum ia meluruskan punggungnya baik dalam ruku' mahupun sujud".

tak paham maksud ayt tu.. bleh terangkan ngan lebih lanjut... klu tgk dalil2 ni semua nampak mcm jelas dan nyata tapi sebenarnya mendalam... bkn semua org bleh paham

wallahua'lam

Ibn Yusof said...

Berdasarkan text hadith yang asal,mungkin ada perbezaan terjemahan di sini.Hadith ini diriwayatkan oleh Abu 'Awanah,Abu Daud dan Sahmi.Hadith ini diklasifikasikan sebagai sahih oleh Al-Daruqutni.

Berkenaan matan atau text hadith ini,apa yang dimaksudkan bukan bermaksud batal solat seseorang,yang paling tepat ialah "Tidak sempurna",wujud perbezaan dalam memahami solat yang sah dan solat yang sempurna.Harap jelas.Antara dalil lain yang boleh digunapakai untuk memahami tentang kesempurnaan rukuk ialah Syaqiq r.a berkata:-
"Seseungguhnya Huzaifah telah melihat seseorang lelaki tidak menyempurnakan rukuk dan sujud ketika solat.Setelah selesai solat,Huzaifah telah memanggilnya:Engkau masih belum solat.Jawabnya:Menurutku,aku telah solat dengan sempurna.Jawab Huzaifah:Sekiranya engkau mati,pasti engkau mati bukan dalam keadaan agama fitrah yang difitrahkan oleh Allah kepada Muhammad s.a.w"
[Hadith Riwayat Bukhari]

Maka atas dasar itu ana menggunakan dalil hadith tersebut dalam kesekian banyaknya hadith sebagai hujah tentang kewajiban kita mempelajari dan memperbaiki solat kita agar ianya diamalkan dengan ilmu,bukan atas dasar prasangkan atau hawa nafsu.

Cara ruku sebenar telahpun ditunjukkan dalam hadith baginda sallahu 'alaihi wasallam.
WAbisoh bin Ma'bad berkata:
"Ketika rukuk,baginda meluruskan tangan dan meratakan belakang dan punggunya sehingga jika dituang air keatasnya pasti tidak tumpah"
[Hadith riwayat Al-Tabarani,Abdullah bin Ahmad dan Ibn Majah]

Harap merungkai persoalan.
Wallahu'allam.