10 Muharram 1429 Hijrah pada tahun ini dijangkakan pada hari Sabtu, 19 Januari 2008. Di Malaysia khusunya, apa yang dapat kita lihat daripada tahun-tahun sebelumnya, (dan dijangka berulang pada tahun ini), jemaah dari masjid-masjid dan surau-surau tidak akan pulang dengan tangan kosong. Semua jemaah sekurang-kurangnya akan pulang dengan membawa sebungkus dua bubur Asyura. Kelazatan bubur Asyura ini tidak dapat kita nafikan, malah ianya berbeza resepi bergantung pada negeri masing-masing, ada yang diletakkan daging bersamanya dan ada yang sebaliknya.
Penulis bukan ingin mengajak para pembaca mengenang kelazatan bubur Asyura, tetapi penulis ingin mengajak kita semua merenung amalan sunnah di sebalik Hari Asyura. Bubur Asyura bukan satu kesalahan, tetapi mestilah ianya tidak lebih sekadar hanya satu tradisi, tradisi yang baik dalam masyarakat tanpa kita mengaitkannya dengan mana-mana para Nabi dan apa-apa fadhilat jika tiada sumber yang sahih. Adapun mereka yang mengaitkan kisah bubur Asyura ini dengan kisah Nabi Nuh dan sebagainya, sehingga kini ianya tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Tetapi jika kita nyatakan Hari Asyura (bukannya bubur Asyura) ini bersangkut paut dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maka ianya memang tepat berdasarkan hadith-hadith yang sahih.Cuma sahaja Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak membuat resepi bubur tetapi baginda s.a.w berpuasa pada Hari Asyura tersebut.
عَنْ مُعَاوِيَةَ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : هَذَا يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ وَلَمْ يُكْتُبِ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ ، وَاَنَا صَائِمٌ ، فَمَنْ شَاءَ فَلْيَصُمْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُفْطِرْ
“Dari Muawiyah berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hari ini adalah hari Asyura, tidak diwajibkan bagi kamu berpuasa, tetapi saya berpuasa, maka barangsiapa yang mahu berpuasa ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang mahu berbuka, maka ia boleh berbuka”.
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Penulis bukan bermaksud menyatakan membuat bubur Asyura ini tidak dibenarkan dalam syariat, cuma jika kita lihat realiti hari ini, semangat membuat bubur semakin membugar dalam jiwa massyarakat tetapi pengetahuan tentang sunnah yang baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam anjurkan pada hari Asyura semakin pupus telan dek zaman.
كَانَ يَوْمٌ عَاشُوْرَاءَ يَوْمًا تَصُوْمَهُ قُرَيْشٌ فِى الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوْمُهُ . فَلّمَّا قَدِمَ الْمَدِيْنَةَ صَامَهُ وَاَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ
“Orang-orang Quraisy zaman jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah berpuasa pada hari tersebut. Setelah baginda mendatangi Madinah, maka baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa”.
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Berpuasa pada hari Asyura merupakan satu sunnah yang jelas besar fadhilatnya berdasarkan sabda baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Masyarakat berebut-rebut mendapatkan bubur Asyura di masjid-masjid mahupun surau-surau, tetapi amatlah sedikit yang meebutkan fadhilat yang boleh kita perolehi pada Hari Asyura ini dengan berpuasa.
اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صِيَامِ يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ فَقَالَ : يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَّةَ
“Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya tentang puasa Asyura, maka baginda bersabda: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. [Hadis Riwayat At-Tirmizi]
Maka jelas di sini bahawa berpuasa pada Hari Ayura merupakan satu sunnah yang baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam ajarkan kepada ummatnya.Adapun secara ringkasnya, amalan yang disangkakan ibadah seperti berpuasa berturut-turut dari awal muharam sehingga hari kesembilan, bercelak mata dengan arang, mandi dan bersuci pada hari Asyura dengan kepercayaan tidak akan sakit pada sepanjang tahun, solat padanya empat rakaat dengan membaca surah al-Ikhlas sebanyak lima puluh kali dan sebagainya tidak diajarkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ini adalah kerana amalan-amalan tersebut adalah berdasarkan hadith-hadith palsu yang tersebar di kalangan ummat Islam. Seharusnya kita lebih berhati-hati dalam beramal, ini kerana tidak wajar bagi kita jika dalam realiti mencari produk yang ori lagi berkualiti, tetapi dalam beribadah kita memilih yang imitasi tanpa kenal pasti.
Selain berpuasa sunnah pada 10 Muharram, kita juga disunnahkan berpuasa pada Hari Tasu’a. Bila pula Hari Tasu’a? Hari Tasu’a ialah pada 9 Muharram. Ini bertujuan untuk menyelisihi kaum Yahudi dan Nasrani yang juga berpuasa pada 10 Muharram dan mengagung-agungkan hari Asyura .
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ فَرَأَى الْيَهُوْدَ تَصُوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ ، فَقَالَ : مَا هَذَا؟ قَالُوْا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحُ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِيْ إِسْرِائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَ مُوْسَى ، قَالَ : فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ ، فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
“Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: Hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa”. [Hadis Riwayat Bukhari no.2004 dan Muslim no.1130]
Berpuasa pada Hari Tasu’a merupakan impian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam meluahkan keinginannya berpuasa pada Hari Tasyu’a kemudiannya disambung pada Hari Asyura dalam sabdanya, tetapi sayangnya baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam wafat sebelum sempat menunaikan impiannya itu.
لَمَّا صَامَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وَاَمَرَ بَصِيَامِهِ قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ اَنَّهُ يَوْمَ تُعَظِّمُهُ الْيَهَوْدُ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : فَاَذَا كَانَ عَامُ الْمُقْبِلِ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ . قَالَ : فَلَمْ يَاْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Semasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas:) Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah wafat”.
[Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud]
Kesimpulannya, penulis ingin mengajak diri penulis dan para pembaca sekalian untuk mengamalkan sunnah pada 9 dan 10 Muharram ini dengan berpuasa. Marilah kita beramai-ramai mengamalkan sunnah yang kian pupus ini, Sunnah baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang tidak kesampaian, As-Sunnah yang dikenal pasti sumber kesahihan, dan As-sunnah yang bukan hanya slogan, tetapi pegangan dan ikutan..
Wallhua’lam.
Ibn Yusof
12 January 2008 / 3 Muharram 1429
3.24 p.m.
ibnyusof.blogspot.com
p/s:- Artikel ringkas ini dibuat untuk sebaran umum dalam bentuk risalah.Jika dirasakan bermanfaat boleh menyalin semula (copy & paste) untuk disebarkan dengan syarat disertakan sama url blog untuk tujuan rujukan dan jika ada sebarang pertanyaan.
No comments:
Post a Comment