Monday, December 24, 2007

Tika Raudhah Syurga Berbunga (Episod 1)


“Mizi,ko ada sejadah tak, aku tak solat lagi ni.” tanya Halim kepada Mizi.

“Takdela Lem, solat jela atas lantai tu, hehe” respon Mizi simple. Pandangannya masih tertumpu pada screen komputernya.

“Lo...ko solat cene sebelum ni ? Sejuk ar lantai simen ni.” Halim mengaru kepalanya yang tidak gatal. Beliau menyangkakan Mizi cuba berseloroh dengannya.

“Oh..aku solat atas lantai jer. Kalau nak karpet tilam pergi masjid ler.haha” lawak Mizi tidak membantu Halim yang ingin mengerjakan solatnya di hujung waktu.

“Ek eleh..poyo ar... Ha! Tu sejadah.” Mata dan jari telunjuk Halim tertumpu pada alas meja studi Mizi.

“Oh..lupa plak.hehe” Mizi hanya mampu tersenyum apabila beliau terlupa akan perbuatannya menjadikan sejadah sebagai alas meja studi selama ini.

Mizi segera mengalihkan laptop dan buku-bukunya ke atas katil dan menyerahkan sejadah itu kepada tetamunya, Halim.

“Hish..pelik ko ni.” Halim mengambil sejadah tersebut dan segera menunaikan solatnya.

Halim merupakan tetamu Mizi petang itu. Rakan karibnya itu menziarahi Mizi di rumahnya. Tirmidzi atau panggilan ringkasnya Mizi merupakan kawan sekolah Halim sejak di sekolah rendah, maka tidak hairan hubungan mereka bagaikan adik beradik. Kedatangan Halim petang itu memang mengejutkan Mizi, sudah hampir 1 tahun mereka tidak ketemu.

************************************************************************

“Naper tak solat jama’ jer dalam perjalanan tadi Lem.”Mizi menyoal ringkas. Beliau musykil sebab Halim menunaikan solat Asar.

“Malas..hehe” Halim tersenyum. Beliau merasakan dirinya masih gagah walaupun menempuh perjalanan berjam-jam dari Johor.

“Aik, sejadah dah guna nak buat harta ker?” petanyaan sinis Mizi apabila Halim meninggalkan tempat solatnya tadi tanpa menyerahkan semula sejadah yang digunakan.

“Haha...” Halim tertawa kecil dan beliau segera kembali ke tempat solatnya tadi, beliau membongkok sambil mengambil sejadah yang digunakannya tadi.

Mizi tersenyum melihat Halim dengan seluar baggynya yang melondeh itu. Teringat beliau pakaiannya sebelum menjejakkan kakinya ke dalam universti. Masa berlari begitu pantas, kini beliau hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum layak bergelar graduan.

“Nah..pelik ar ko ni, ada sejadah, tapi nak solat kat lantai sejuk ni jugak. Pastu sejadah guna buat lapik meja, Nikmat Allah bagi tak guna.haha” gurauan Halim tepat menerjah Mizi. Beliau baring di atas katil Mizi sambil melihat Mizi yang khusyu’ mengemas biliknya.

“Hehe..samela kita.” respon Mizi ringkas, tangannya sibuk menyusun perhiasan meja studinya supaya kembali kepada keadaan asal.

“Eh..pe plak sama?” Halim termanggu mendengar balasan Mizi sambil mengerutkan dahinya.

“Yela, solat Jama’ Qasar pun nikmat Allah Ta’ala bagi gak, tapi tak ramai yang nak guna. hehe” Mizi rasakan pernyataannya itu seumpama menyambut pukulan smash Halim.

“Ceh..poyo perli aku la tu. Yela-yela...” Halim hanya mampu mendengar kata-kata Mizi kerana beliau kematian hujah.

“Lawa ko hias bilik ko ni Mizi.Cam bilik pompuan,” puji Halim dengan muka seriusnya. Mizi hanya mampu tersenyum.

“Apa citer UITM Segamat?” Mizi mulakan bicara, beliau sengaja mengubah topik perbincangan.

“Biasa-biasa jer. Boring gak cuti lama-lama ni”Halim menjawab pertanyaan Mizi acuh tak acuh sambil anak matanya berkeliaran ke setiap penjuru bilik Mizi, anak matanya terhenti lama di rak buku Mizi yang penuh dengan kitab-kitab Arab.

Mizi masih lagi menyusun perhiasan di atas meja studinya selepas meletakkan kembali sejadah yang Halim gunakan tadi..

“Pe jadah ko guna sejadah ni jadi alas meja Mizi.” Halim tiba-tiba menyoal kembali. Beliau merasakan perbuatan itu pelik kerana tidak pernah beliau melihat ‘manusia’ lain melakukannya.

“La..salah ker?tak ke ko rasa sejadah ni cantik untuk dijadikan alas meja? Sesuai apa..warna warni siap ada gambar masjid lagi. Hehe” Mizi menjawab ringkas, mengajak Halim menjawab sendiri persoalannya.

“Ek eleh…Ha! Ni mesti ada awek bagi sejadah ni kat ko, tu yang sayang benor nak guna, kan?!” Halim segera membuat kesimpulan sambil memcucuk perut Mizi.

“Haha ada-ada je ko ni eh. Ye, awek yang bagi tu mak aku la.Haha” Mizi tergelak besar apatah lagi bila perutnya dicucuk mesra Halim.

“Tak salah nak guna sejadah ni Halim, tapi pastikan ia just kehendak, bukan keperluan” Mizi membalas lagi, kali ini mukanya memandang tepat ke arah Halim yang tekun mendengar.

“Ha?Maksud ko?” Halim bertanya serius. Beliau ingin menggali lebih dalam pernyataan Mizi itu.

“Sejadah tu kehendak, bukan keperluan, faham kan?” Mizi duduk di hadapan meja studinya yang telah tersusun kemas.

“Tak, maksud ko tak boleh guna sejadah?” balas Halim yang masih kebingungan. Beliau memang dari dahulu banyak belajar dengan Mizi dalam hal berkaitan agama.

“Hehe bukan tak boleh, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam pun ada guna sejadah, tapi bukan cam kita sekrang ni, sejadah kecik yang ngam-ngam untuk lapik muka tu. Tapi kebanyakan masa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam solat atas tanah jer.Takpun tikar kecil.”jawab Mizi

“Oh.... ”Halim mengangguk sambil tangan kananya menyapu-nyapu dagunya yang licin itu.

“Bis tu, apa kene dengan keperluan dengan kehendak tu?” Halim ingin terus mendengar penjelasan kawannya itu.

“Ko penah tengok cara org cina sembahyang?” soal Mizi ringkas.

“Depan-depan tak penah la,tapi dalam filem-filem adala.Naper?” jawab Halim walaupun dia rasakan Mizi seperti hendak mengubah topik perbualan.

“Apa yang kau nampak?” Mizi menyoal lagi.

“Nampak per?Orang cina kalu sembah patung tu adala guna colok, letak kuih2..letak buah-buah, tu je kot,ntah tak sure la,naper?” Halim masih tertanya-tanya.

“Orang kristian plak?Cene ko tengok dia sembah Jesus?”Mizi menyoal bertubi-tubi.

“Kalu orang kristian plak kene pergi gereja la,semua sembah patung Jesus tu.”Halim hanya menjawab ringkas kerana ia hanya berdasarkan pemerhatian beliau dalam filem-filem sahaja.

“Apa beza cara diorang beribadah dengan muslim ko rasa-rasa?” mimik muka Mizi tenang menyoal Halim. Beliau ingin mengajak kepada kesimpulan yang yakin dapat difahami Halim.

“Haha mestilah diorang sembah berhala kita ni sembah Allah, mestilah lain.” Halim terus menjawab tanpa berfikir panjang kerana baginya itu soalan yang mudah, hatta budak tadika mampu menjawabnya.

“Betul, tapi tak tepat dalam konteks perbincangan kita..hahaha” Mizi berseloroh.

“Ah..pandai ah kau, klu bukan tu pe lagi?” Halim bengang kerana jawapannya itu disangkan tepat dan tidak dapat disangkalkan lagi.

“Maksud aku Lem, lihat agama-agama lain, bezakan dengan keindahan ajaran Islam, kita satu-satu agama yang tidak memerlukan apa-apa peralatan untuk beribadah, contoh dalam solat harian kita khususnya. Kita hanya perlu mengambil wudhu’ ,menghadap kiblat dan bertakbir. Tak ke mudah Islam tu. Jika takde air pun boleh bertayammum. Tak perlukan apa-apa peralatan cam colok atau tempat khas. Syarat yang penting tutup aurat dan wudhu’ atau tayammum, tujer.” Mizi cuba menghuraikan kekusutan dalam benak Halim satu per satu.

“Bis tu apa kene ngena dengan sejadah tadi? ” Halim masih lambat menangkap penjelasan Mizi. Halim yang tadinya berbaring di atas katil Mizi akhirnya membetulkan posisinya.Beliau beralih dari berbaring kepada duduk bersila sambil memeluk bantal Mizi, reaksi beliau melahirkan perasaan ingin tahu.

“Yela,maksud aku,kalau kita nak solat seumpamanya,kita boleh solat kat mana-mana pun,betul tak? Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda Bumi ini semuanya adalah tempat sujud kecuali perkuburan dan bilik mandi.[1]Bukanlah aku kata salah pakai sejadah sebab ada banyak jugak riwayat cakap Rasulullah pakai khumroh dengan tikar masa solat. ” Mizi seakan-akan berceramah tapi beliau cuba untuk tidak kelihatan berleter.

“Khumroh tu pe Mizi? ” Halim kelihatan berminat untuk tahu apa yang Mizi sampaikan dengan lebih mendalam.Mukanya berkerut.

“Oh..Khumroh tu cam tikar,tenunan daun kurma lebih kurang camtu la,sebagai alas wajah masa sujud [2]. ”balas Mizi. Beliau tidak sengaja menggunakan perkataan arab itu di hadapan seorang pelajar sains.

“Habistu Mizi, boleh ke solat atas lantai ni tak pakai sejadah? Tak batal solat?”Halim menyoal. Kadang-kala soalan-soalan asas agama seperti ini menjadi kemusyikilan hatta si bijak pandai.

“Hehe boleh jer insyaAllah. Macam aku cakap awal-awal tadila,jangan jadikannya keperluan, kalau sejadah keperluan seolah-olah macam takde sejadah tak boleh solat.Berapa ramai yang tak solat dengan alasan sebab takde ‘peralatan’ untuk solat.Tapi bila dah ada sejadah plak mula lah satu sejadah tu satu orang conquer. Lebih-lebih lagi bila solat berjemaah, lompong sana sini sampai tak rapat dah saf. Tension gak aku tengok haha.” kritikan Mizi padat untuk renungan Halim.Beliau hanya meluah rasa, beliau tidak meminta persetujuan Halim untuk buah fikirnya itu.

“Em..betul gak tu,kain pelekat pun ‘peralatan’ solat zaman ni gak kan?hehe” Halim tersenyum lebar sambil berlawak. Beliau faham apa yang cuba Mizi jelaskan.

“A’ah, kadang-kadang sampai tak solat sebab takde kain pelekat. Pelik aku. Haha.” Mizi gembira Halim menunjukkan respon positif.

“Zaman Nabi dulu pun kira solat atas tanah je la eh? Tak terfikir plak aku tentang ni.”Halim tidak sangka perbicangan yang beliau mulakan membawa pengetahuan baru kepadanya.

“Yang aku ingat la kan,Nabi bersabda ‘ Aku diberi lima perkara,yang belum pernah diberikan kepada seorang pun sebelumku,Aku diberi kemengangan kerana ketakutan musuh dalam jarak sebulan perjalanan, bumi dijadikan tempat sujud dan alat bersuci (tayammum) siapa sahaja yang menjumpai waktu solat maka solatlah dia (di mana dia berada)’[3] Bukan ke Masjid Nabawi dulupun tanah jer. Mana ada Udani karpet cam sekarang ni.Haha” Mizi mengakhiri hujahnya dengan tertawa. Halim yang mendengar juga tertawa bersama-sama dengan Mizi sambil otaknya mencerna hujah-hujah Mizi.

“Mizi! Oh...Mizi!” panggilan dari tingkat bawah rumah Mizi. Mizi kenal benar suara tersebut.

“Ye Ummi...!” Mizi membalas lembut sambil beliau membuka pintu biliknya. Beliau menjenguk ke bawah tangga.Kelihatan Umminya telahpun bersiap, seperti hendak keluar ke suatu tempat.

“Ummi dengan Aisyah nak kene pergi ambil cermin mata Ummi yang dah siap kat Kedai Ah Leong , boleh tak Mizi tolong hantarkan kejap? Abi balik lambat,dia suruh Mizi tolong hantarkan.” tanya Ummi kepada anak sulungnya itu.

“Em…boleh jer..tapi Halim….” Mizi tidak mahu menolak permintaan Umminya tetapi tidak juga mahu meninggalkan tetamunya petang itu begitu sahaja.

“Alah, takpe. Bawa jelah Halim sekali. Sekejap jer.”Ummi seperti memahami apa yang difikirkan anaknya itu.Ummi faham Mizi dan Halim seperti isi dengan kuku.

“Lem, jom teman aku hantar Ummi dengan Aisyah gi amik barang jap.” Mizi melihat Halim yang telah kembali terbaring di atas katilnya.

“Ha? jauh tak? ” Halim cuba mendapatkan kepastian. Telah lama beliau tidak menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Pada hematnya jika sekali sekala dapat melihat bandaraya Kuala Lumpur ini bagus juga.

“Takla,Kedai Ah Leong kat Carefour jer..”jawapan Mizi mematikan lamunan Halim.

“Ek eleh..ingat Kedai Ah Leong kat KLCC ker...haha dengan adik ko Aisyah tu?segan ar aku.huhu” respon Halim tersipu-sipu malu kerana Aisyah yang dulu dikenalinya kini telah menjadi seorang remaja 20an.

“Alah..poyo,takkan nak tinggal rumah ni sensorang.Jom la.” Mizi menarik tangan kanan Halim dari katilnya.


************************************************************************

“Ah…puan besar sula mali wo…”satu suara dari dalam kedai.

Ummi,Aisyah,Mizi dan Halim masuk ke dalam kedai cermin mata Ah Leong.Mereka memang selalu singgah ke kedai Ah Leong sejak Ah Leong memberi diskaun murah kepada tempahan Mizi.

Ummi memang senang dikenali Ah Leong kerana Ummi Habibah memakai niqab dan apatah lagi kedai Ah Leong memang tidak pernah dikunjungi pelanggan berpakaian seperti itu. Maka amat mudah Ah Leong mengecam pelanggannya itu.

“Assalamua’laikum puan besar...ada sihat ka?”Ah leong menyambut pelanggannya.

“Wa’alaikum Ah Leong” Mizi bersalaman dengan Ah Leong.

Halim berkerut dahinya kerana di dalam hatinya beliau menjawab salam Ah Leong dengan ucapan Wa’alaikummusyam. Dan celaka ke atasmu, itulah yang beliau tahu, atau dalam bahasa yang lebih kasar Dan celaka ke atas Ah Leong.Hati Halim tersentak memikirkan maksudnya.

“Psssst...Mizi,naper ko jawab salam apek tu? ” Halim menarik-narik belakang baju Mizi smabil berbisik.

Mizi hanya tersenyum,“Apek tu yang mula ucap selamat sejahtera pada kita dulu,takkan nak ucap celaka pada dia? ”ayat Mizi seumpama mengetahui apa yang bermain di dalam benak Halim.

“Tapi Mizi, diorang ni bukannya orang Islam,boleh ke kita main jawab je salam dia tu. Ah Leong ni bukan Kristian ker?” bisik Halim di belakang Mizi sambil memerhatikan rantai salib di leher Ah Leong. Halim inginkan kepastian kerana pada awalnya beliau menyangkakan nAh Leong beragama Buddha.

Mizi menarik Hilmi di sudut kedai sedang Ummi dan Aisyah duduk kerusi yang disediakan untuk pelanggan. Beliau tidak mahu Ah Leong mendengar perbualan mereka walaupun Ah Leong telah memasuki pejabatnya mengambil tempahan Ummi.

“Kalu kita ikut logik akal mungkin betul kot,tapi Nabi suruh jawab Wa’alaikum jer. ” jawab Mizi ringkas.

Yeker?Habistu ucapan Wa’alaikummusyam tu? ” Halim kehairanan.

“Tak tahula Lem,dalam Sahih Bukhari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”[4].Ni yang aku tahu.” Mizi merasai kebuntuan Halim dalam memikirkan asal usul ucapan Wa’alaikummusyam tersebut. Beliau hanya memahami wujud dalam salah satu pendapat Mazhab al-Syafi’i mengharuskan ucapan salam kepada bukan Islam seperti mana harus menjawabnya.

“Banyak benda aku tak tahu Lem,hehe” Mizi merendah diri apabila tidak dapat menjawab kebuntuan Halim.

“Ko jer?Aku ni?Haha”Halim tertawa kecil.

Mizi dan Halim segera menghampiri kaunter apabila melihat Ah Leong keluar dar pejabatnay di bahagian belakang kedai.

“Ini puan besar punya, saya bikin special punya untuk puan besar” Ah Leong menyerahkan beg yang telah siap berisi cermin mata yang ditempah Ummi seminggu lepas.

Setelah mencubanya Ummi menghulurkan duit kepada Mizi untuk melangsaikan baki bayaran cermin mata tersebut.

“Okey thank you tauke...!”Mizi bersalaman dengan Ah Leong diikuti dengan Halim.

“Okey-okey..manyak sama-sama, datang lagi lo”Ah Leong menghantar mereka sehingga ke pintu kedai sambil melambai-lambai Mizi.

“Meh Yan Lei Ga?(Orang apa tu?) ”anak Ah Leong menghampirinya bertanyakan siapakah mereka terutama perempuan yang berpakaian ‘pelik’ tersebut.

“Ma Lai Yan La, Tai Em Tou Meh?Ngo Ga Peng Yau A,Tim Gai A? (Orang Melayu la,tak dapat tengok ke,kawan saya,kenapa?)”Ah Leong menjawab pertanyaan anaknya ringkas.

“Tim Gai Koi Ga Ma Kam Ga?(Kenapa emak dia camtu?)” anak Ah Leong menyoal pelik.

“Lei Man Ngo,Ngo Man Ping Ko A? Me Tou Hou,Koi Tei Hai Hou Yan, Ngo Tei Toi Hou Yan Cho Sang Yi A (Kau soal aku,aku nak soal siapa?Yang penting, diaorang orang baik, kita berniaga dengan orang baik la.)”Ah Leong meninggalkan anaknya yang berdiri tegak di pintu kedai.Ayat Ah Leong mengajar anaknya supaya tidak bersikap prejudis terhadap pelanggannya.


************************************************************************

“Ummi dah masuk waktu maghrib ni kan.” Mizi memberitahu Umminya.

“Em...kita pergi solat dulu k,Nanti jumpa balik kat depan McDonald tu.”Ummi memberikan arahan ringkas kepada anak-anaknya.Mereka berpisah di hadapan kedai Jam setelah bersetuju berkumpul semula selepas selesai solat Maghrib.

Usai Mizi dan Halim mengerjakan solat Maghrib di surau dalam pasaraya itu mereka terus menuju ke arah McDonald.

Kelihatan Aisyah sedang berborak dengan seseorang. Dari sudut belakang kelihatan seorang muslimah bertudung labuh.

“Kawan Asiyah barangkali” bisik hati Mizi.

“Assalamua’laikum..amboi rancak berborak.” Mizi memberi salam melihat mereka berdua asyik berbual.

“Wa’alaikumussalam.. ” keduanya serentak menjawab salam Mizi.

“Kenalkan ni kawan Aisyah. Nama dia Sakinah. Dia senior Aisyah kat Maktab Mahmud dulu.. Sakinah, nila abang Aisyah,Tirmidzi nama dia.”Aisyah memperkenalkan kawannya. Sakinah tersipu-sipu malu, beliau menundukkan pandangannya. Sakinah yang berjubah dan bertudung labuh warna hitam itu duduk berhadapan dengan Aisyah. Matanya hanya menghadap Aisyah tanpa menoleh ke arah Mizi mahupun Halim yang berdiri berhampiran.

“Oh...Sakinah.Selamat berkenalan.Eh...Ummi tak selesai lagi?”Mizi cuba mengalih topik. Mizi diri berhampiran dengan meja perbualan Aisyah dan Sakinah.

“Ummi tengah bersiap kot.Ramai sangat orang kat dalam surau tu, dah la sesak. Telekung pun tak cukup, kasihan Sakinah terpaksa tunggu Ummi dia sebab berkongsi telekung dengan Ummi dia.”jawab Aisyah.

“O....Aisyah dah solat belum?”soal Mizi kepada adiknya.

“Dahla. Kalau tidak mestilah Aisyah duk dalam surau lagi.”Asiyah pelik dengan soalan abangnya itu.

“Eh,cene Aisyah solat kalau tadi kata telekung tak cukup? ”Mizi menyoal umpama polis pencen, soalannya kelihatan seperti tidak mempercayai kata-kata adiknya yang telah solat.

“La... Aisyah solat ceni jela.” sambil melihat jubah labuhnya itu.

“Sakinah pun patut solat cam Aisyah jer. Kan yang penting kita ada wudhu’ dan tutup aurat jer, betul tak Mizi” tiba-tiba Halim menyampuk dari belakang Mizi.

Sakinah tergamam mendengar pernyataan Halim, beliau menjeling Halim, seorang pemuda yang sama tinggi dengan Mizi tetapi berlainan dari segi pakaian, jika Mizi berseluar slack hitam singkat di bahagian bawah melihatkan buku lalinya Halim pula berseluar jeans baggy dan berjersi warna kuning terang. Pakaian budak-budak hip hop zaman sekarang. Sakinah merasakan pemuda yang menegurnya tadi adalah kawan Mizi.

“Tapi..er…Ni hal muslimah. Mungkin anta tak tahu.” Sakinah membalas hujah Halim kerana beliau rasakan teguran Halim tidak berasas. Tapi beliau tidak sedar ayatnya itu melibatkan kawan yang berada di hadapannya.

“Eh..Tak la,Aisyah rasa maksud Halim…”Aisyah cuba membetulkan kekeliruan Sakinah.

“Telekung tu kan kehendak,bukan keperluan.” Halim membalas selamber sambil melihat pakaian Sakinah yang bertudung labuh dan berstokin itu.

Mizi hanya mendengar hujah sahabatnya itu, beliau tidak sangka sahabatnya menjawab dahulu sebelum beliau cuba memberi penjelasan dan pandangan beliau secara beransur-ansur.Walau bagaimanapun beliau tidak dapat nafikan pemahaman Halim dalam hal ini. Mizi mendiamkan dirinya.

“Maksud Halim….Aisyah rasa kalau kita dah rasa kita tutup aurat dengan sempurna, boleh je terus solat tanpa telekung.Betul tak bang?” Aisyah menjelaskan apa yang beliau faham.

Mizi tersenyum lebar mendengar kata-kata mereka.

“Kalau macam tu baik ana pergi solat dulu” Sakinah memahami penjelasan Aisyah tadi. Beliau cuma berasa malu kerana prejudis dengan pemuda yang menegurnya tadi. Beliau segera bersalam dengan Aisyah dan meminta diri.

“Ana minta maaf dan terima kasih atas pencerahan tadi. Ana minta diri dulu Assalamua’laikum.” Sakinah menghadap ke arah Halim memohon maaf, matanya tertumpu pada lantai restoran tersebut dan selepas itu beliau berlalu pergi.

“Err...Wa’alaikumussalam.....Ana..” Halim tidak sempat membalas pernyataan Sakinah kerana muslimah tersebut telahpun berlalu pergi. Halim melihat Mizi. Mizi senyap sejak Halim bersuara, Halim lihat beliau seperti memikirkan sesuatu.

Halim menepuk kuat bahu kanan Mizi.“Woit! Mizi, mimpi moon ke?”

“Aduh! Ko ni,agak-agak ar.” Mizi seumpama terjaga dari tidur. Beliau terbangun dari menilai keperibadian Sakinah yang dirasakan sukar ditemui dalam diri remaja-remaja lain yang dikenalinya kini.

“Pelik aku...kalau rasa pakaian tak cukup sempurna tutup aurat, barulah pakai telekung,kalau da rasa tutup aurat sempurna watper mesti nak pakai telekung. Betul tak Mizi?”tanya Halim.

“Emm...”Mizi hanya mengangguk tanda setuju. Beliau menghembus nafas syukur kerana pernyataan Halim itu mungkin boleh membuatkan Sakinah terasa hati jika mendengarnya.

“Naper minah tadi kejap kata nama dia Sakinah kejap bahasakan diri dia Ana.Mana satu panggilan dia?”Halim menyoal kemusykilan.

Mizi dan Aisyah tidak dapat menahan gelak mendengar soalan Halim tersebut. Dalam pada itu seorang wanita berniqab menghampiri mereka.

“Ha..Ummi da sampai” telunjuk Aisyah lurus membelakangi Mizi dan Halim, kedua mereka menolehkan pandangan.

“Amboi,apa yang buat anak-anak Ummi ni gembira sangat ni em?Dah jom balik, Abi kamu dah tunggu kat rumah tu.Jom.” kata Ummi.

Mereka berempat berlalu pergi dari McDonald ke arah lif berhampiran.

“Ilalliqa’ Sakinah, insyaAllah” bisik hati Mizi.


Bersambung.....................................

************************************************************************


Ibn Yusof

24 Disember 2007 / 14 Zulihijjah 1428

8:29 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


[1] Hadith Riwayat Tirmidzhi no. 317 dan disahihkan oleh Al-Albani di dalam Irwa’ ul Ghalil no. 287.

[2] Fathul Bari jilid satu hlmn. 342.

[3] Hadith Riwayat Bukhari jlid 1 hadith no. 323 dan 346.

[4] Hadith Riwayat Bukhari serta Fathul Bari jilid 11 hadith no. 42 dan Hadith Riwayat Muslim jilid 4 hadith no. 1705.

Sunday, December 23, 2007

Kembali


Akankah kembali lagi waktu yang dulu
setelah ia berlari jauh
haruskah aku mengejarnya
sedangkan tak berhasrat menoleh

Aku tetap aku yang dulu
Dia lebih memahami
waktu saat pola fikir mula berpaksi
pada garis lurus yang lebih layak untuk diikuti

Aku tetap aku yang dulu
lembaran lama telahpun terukir
tinta lama masih lagi basah
cuma pena baru ingin menari
mengukir corak yang lebih abstrak
mengukir takdir menelusuri al-Haq

Aku fahami diriku yang dulu
menghitung detik saat ia berlari
yang manis ku lestarikan
yang busuk ku pinggirkan
sungguh kebenaran itu lebih layak untuk ku ikuti


Ibn Yusof
6 Disember 2007 / 26 Zulkaedah 1428
1:07 a.m
ibnyusof@blogspot.com

Sunday, December 9, 2007

Islam di Puncak Penghinaan:Salah Siapa?


“Islam tak maju-maju sebab pemerintah kita tak cukup islamik!” kata Pak Cik X.
“Islam ni mundur sebab umat Islam ni malas”ngomel Abang Y.
“Budak-budak sekarang ni kurang didikan agama sebab ustaz ustazah kat sekolah tak ajar betul-betul!”kata Pak Long Z.
“Saya tak pandai agama. Ni semua salah ayah, sebab ayah Sazali jadi begini”teriak S.

Apakah persamaan yang dapat kita lihat daripada dialog-dialog di atas? Ianya bukan hanya kerana setiap daripadanya mempunyai perkataan “sebab”. Tetapi kerana semua pihak di atas cenderung menyalahkan pihak lain terlebih dahulu sebelum mencermin diri mereka terlebih dahulu sebelum bersuara lantang. Hatta jika kita pernah terlibat dalam kerja-kerja dakwah yang bersifat antarabangsa sekalipun, apakah kita berhak untuk mengkritik mereka yang membuat kerja-kerja dakwah sesuai dengan kemampuan mereka dan tidakkah kita terfikir mereka mungkin mempunyai usaha tersendiri dalam berdakwah?

Seolah-olah telah menjadi norma masyarakat kini untuk menunding jari ke arah orang lain apabila tercetusnya masalah yang berlaku dihadapan mereka. Sikap individualistik ini semakin membugar dalam jiwa masyarakat kita, ia seharusnya dibuang jauh kerana sikap ini bukan sahaja akan merosakkan bangsa dan agama kita malahan ia terlebih dahulu menjamah akhlak kita sebagai seorang muslim. Sebagai contoh isu murtad yang hangat diperkatakan tidak lama dahulu, semua pihak menunding jari sesama mereka demi mengelak terkena walau sekelumit kesalahan akibat daripada angka yang dinyatakan. Sedangkan bukankah kewajiban berdakwah itu dijunjung semua yang bergelar muslim?

Sebelum kita menyalahkan orang lain terhadap nasib bangsa dan agama kita, adalah lebih wajar untuk kita menyoal diri kita sendiri tentang sejauh mana sumbangan kita dalam perjuangan ini dan apakah kelemahan dan kesalahan kita yang sedikit sebanyak menjadi punca kepada berlakunya masalah di sekekliling kita. Selepas itu, fikirkan pula sejauh mana kemampuan kita dalam membantu untuk memperbaiki masalah yang dihadapi. Perkara tidak akan selesai dengan mengumpat atau bergosip dari mulut ke mulut, ianya tidak dapat membantu ke arah penyelesaian berbanding kita mengajak sama orang lain untuk sama-sama muhasabah diri tentang nasib yang menimpa kita.

Penulis tidak ingin bermadah panjang sebaliknya ingin mengajak para pembaca merenung tentang punca mengapa umat Islam kini begitu mundur dan lemah. Jangan kita leka dengan peningkatan mereka yang memeluk Islam dari sehari ke sehari bertambah sedangkan makin ramai di luar sana yang tawar hati dengan agama Islam. Apakah kita mahu sekali lagi menunding jari ke pihak-pihak tertentu apabila berulang peristiwa mereka yang tidak berpeluang merasa kemanisan iman ini berpaling dari agama Islam? Maka apakah pula solusi yang boleh kita aplikasi bersama dalam menghadapi kemunduran dan kelemahan kaum muslimin dalam dunia global ini? Adalah tidak wajar untuk kita bermimpi menggarap kejayaan tanpa melakukan apa-apa usaha atau sekadar beriman yakni yakin dan percaya semata dengan Al-Quran tanpa melakukan seperti mana yang diperintahkan.Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:-

اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) Nya. Sesungguhnya Alloh benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”[Al-Hajj 22: 40]

Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“ Hai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong (agama) Alloh, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
[Muhammad 47: 7]


Ayat-ayat yang mulia di atas menguatkan bahwa Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menolong siapa saja yang menolong-Nya. MenolongNya? Pasti ada yang tertanya bagaimana kita menolong Allah Subhanahu wa Ta’ala sedangkan Dia adalah Maha Perkasa, Maha Kaya yang tidak memerlukan kepada segala sesuatu, Dzat yang Maha Mulia.

Syaikh Al-‘alaamah As-Sinqhithie dalam tafsirnya mengenai ayat-ayat di atas berkata:-
“Allah Jalla wa ‘Alaa menyebutkan dalam ayat yang mulia ini, bahwa jika kaum mu’minin menolong Rabb mereka, maka Rabb mereka akan menolongnya dari musuh-musuh mereka, dan meneguhkan langkah-langkah mereka yaitu menjaga mereka untuk tidak melarikan diri dan menjaga dari kekalahan” [Kitab Adhwaul Bayaan, Bab: 7 hal. 422]

Tidak banayk yang perlu para pembaca pertimbangkan.Penulis hanya ingin membawa para pembaca mereungkan tiga perkara sahaja. Kerana dari tiga perkara asas ini lah pada pandangan penulis menjadi faktor utama yang boleh membawa kaum muslimin berjaya, dan dengan tidak melaksanakan tiga perkara ini juga boleh menyebabkan kaum muslimin dan mundur.

1) Amr’ Ma’ruf Nahi Mungkar dan Beriman kepada Allah

Kita sedia maklum bahawa umat dan daulah Islam terdahulu adalah bangsa yang paling kuat dan mulia di puncak dunia, sekalipun mereka adalah penduduk minoritas di atas muka bumi ini. Tidak ada seorangpun dapat menafikan fakta sejarah ini. Hal ini berlangsung selama bertahun-tahun dalam waktu yang panjang. Ia bertepatan dengan firman Allah S.W.T:-

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” [‘Ali Imran 3:110]

Adapun sekarang, negara-negara Islam telah berubah menjadi negara-negara Islam yang kecil, lemah, buminya di serang, sebagian besar dirampas di bawah penjajahan pemikiran dan kekuatan pasukan, menjadi ekor bagi bangsa di luar Islam.Ayat di atas selalunya difahami secara zahir dan separuh apabila Allah berfirman bahawa kita umat Islam merupakan umat terbaik, maka pemahaman yang salah membuatkan ramai umat Islam kini goyang kaki dengan harapan gelaran umat terbaik itu akan datang bergolek di hadapan mereka. Pemahaman separuh-separuh kalam Allah ini antara punca utama ajaran Islam hanya diamalkan separuh-separuh. Jika kita menelusuri ayat tersebut secara keseluruhan dapat kita lihat bahawa umat Islam tidak akan menjadi umat terbaik tanpa melakukan 2perkara selanjutnya seperti mana yang diperintahkan oleh allah dalam firmanNya itu yakni :-

i) Mengajak kepada yang ma’ruf (kebaikan)
ii) Mencegah daripada yang mungkar (kemaksiatan)
iii) Beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)


Ketiga-tiga perkara di atas hendaklah dilakukan serentak kerana perkataan “wa“ yang bermaksud “dan“ dalam ayat tersebut merujuk kepada semua perkara di atas. Ianya tidak memberi kita apa-apa pilihan untuk memilih melakukan diantara tiga perkara diatas atau dua daripada perkara-perkara di atas. Maka ianya jelas merujuk kepada perlaksanaan ketiga-tiga perkara di atas secara keseluruhan jika ingin menjadi umat yang terbaik.

Sebagai contoh ringkas, seorang yang beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) tidak akan membiarkan saudara seagamanya terjerumus dalam lembah maksiat, maka jika dia melihatnya cara terbaik jika mampu ialah mencegahnya dengan berhikmah dan bijaksana. Contoh lain pula, seorang yang mampu mengajak orang-orang di sekelilingnya berbuat baik dan menjauhi perkara-perkara maksiat perlu juga mengajak kepada beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Perkara-perkara ini akan melahirkan masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain dan sekaligus meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

2) Kembali kepada ajaran Islam yang tulen

Islam yang tulen? Pasti ada pula pembaca yang menyoal apakah Islam yang diamalkan kini tidak tulen? Islam apa yang dimaksudkan, Islam Hadhari?

Bukan itu yang dimaksudkan penulis, Islam yang tulen yang dimaksudkan ialah Islam yang sepertimana dibawa oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam. Analogi mudah umpama pengguna yang bijak bestari ialah mereka yang mencari produk yang asli, kerana ada padanya penggunaan yang berkualiti. Begitu juga dengan ajaran Islam, anjuran supaya kembali kepada Islam yang tulen ini bukan bermula satu atau dua dekad yang lalu tetapi ianya telahpun diramalkan oleh baginda Nabi Shollallohu alaihi was sallam sendiri.

[...وإن بني إسرائيل تفرقت على ثنتين وسبعين ملة، وتفرق أمتي على ثلاث وسبعين ملة، كلهم في النار إلا ملة واحدة، قيل: من هي يا رسول الله؟ قال: ما أنا عليه وأصحابه]

“Sesungguhnya Bani Israel telah pecah menjadi 72 golongan, dan umatku pecah menjadi 73 golongan semuanya di neraka kecuali satu. Dikatakan: Siapa golongan yang satu itu ya! Rasulullah? Rasul bersabda: “yang aku dan para sahabatku ada di atasnya”

Maka daripada hadith di atas dapat kita lihat perpecahan umat yang diramalkan berlaku dan Nabi Shollallohu alaihi was sallam memberitahu kita dua perkara, amaran dan jaminan, yakni amaran bahawa mereka yang berpecah atau memahami Islam bukan dari apa yang Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam ajarkan kepada para sahabat baginda, golongan ini semuanya akan berakhir di neraka. Dan golongan kedua ialah mereka yang berpegang teguh kepada ajaran Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam dan para sahabat baginda, mereka ini akan diganjarkan syurga. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


وَأَنَّ هَـذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Karana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.” [Al-An’am 6:153]

Al-Hafidz Ibn Katsir rahimahulloh menafsirkan ayat di atas berkata:-
“Dan firman Allah Ta’ala: [فاتبعوه ولا تتبعوا السبل] maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Allah Subhaanahu wa Ta’ala menyatukan jalan-Nya kerana kebenaran itu hanya satu, dan membanyakan jalan-jalan karena ia terpecah-pecah dan bergolong-golongan....” [Tafsir Ibn Katsir jilid 1 hal.306]

Oleh karena itu, menjadi kewajiban bagi kita kaum muslimin untuk memahami Islam dengan pemahaman yang benar sebagaimana Rasul Shollallohu alaihi was sallam dan para sahabat Mereka para pendahulu kita yang shalih lebih memahami Islam, hal ini kita lakukan agar kita dapat mengikuti jalan Allah yang lurus.


3)Mengamalkan Islam secara keseluruhan

Jika kita membandingkan generasi awal Islam dengan generasi umat Islam kini, sudah tentu generasi umat Islam kini lebih maju dari segi ilmu dan teknologi. Tetapi adalah salah bagi mereka yang merasakan dengan kemajuan ilmu dan teknologi maka umat Islam kini adalah jauh lebih baik sedangkan hakikatnya kita generasi kini telah menyeleweng jauh daripada ajaran Islam yang tulen. Ini berlaku kerana generasi ini lebih suka mengamalkan Islam berdasarkan citarasa mereka dalam ruang lingkup Islam yang begitu sempit. Islam kini dikenali hanya dalam ritual-ritual seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja sedangkan Islam agama yang sempurna dan menyeluruh, Islam merangkumi semua asperk kehidupan baik politik, ekonomi, muamalat dan sebagainya.

Maka tidaklah hairan jika kita melihat masyarakat muslim hari ini kemunduran dari pelbagai sudut akibat pemahaman dan pengamalan Islam yang separuh-separuh. Hasilnya maka wujud kes-kes seperti:-
· Solat 5 kali sehari menepati Sifat Solat Nabi Dari Takbir Hingga Salam tetapi malas di pejabat.
· Ber'ana' 'anti' dalam pertuturan sesama muslim tetapi mengumpat apabila berkumpul.
· Menyeru orang ramai tentang bahaya riba’ tetapi menangguhkan pembayaran hutang.
· Menerangkan kepada orang ramai tentang kepentingan aqidah yang sahih tetapi laju membid’ahkan atau mengkafirkan orang.
· Ada yang terang-terang memberi peringatan tentang seksaan membuka aurat tetapi isteri dan anak-anak keluar rumah tanpa menutup aurat.

Banyak lagi contoh yang boleh kita fikirkan, sesungguhnya perkara-perkara di atas bukan sahaja merangkumi aspek aqidah dan fiqh, bahkan seperkara lagi yang selalu dilupakan oleh orang ramai yakni akhlaq kita sebagai seorang muslim di mana sahaja kita berada. Allah telahpun berfirman:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah 2:208]

Jika anda bangga mengaku diri anda seorang muslim,maka ketahuilah Islam itu perlu diamalkan secara menyeluruh, barulah ianya layak digelar ajaran Islam. Peringatan kepada diri penulis dan para pembaca, kad pengenalan kita mungkin berstatus Islam tetapi sejauh mana kita mempraktikkan ajarannya hanya Allah Maha Mengetahui.

Permsalahan yang kita hadapi kini ialah sejauh mana kita kaum muslimin memahami ajaran Islam yang diajarkan oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam. Perkara ini telahpun dikupas dalam perkara ke 2 dalam artikel ini. Maka semestinya Islam yang difahami dan dipraktikkan oleh kita adalah seperti yang difahami dan dipraktikkan oleh para sahabat yang belajar dan diajar oleh Rasulullah Shollallohu alaihi was sallam, pemahaman Al-Quran dan As-sunnah berdasarkan kefahaman generasi terawal adalah amat penting kerana mereka ini adalah antara mereka yang dikatakan oleh Nabi Shollallohu alaihi was sallam sebagai generasi yang terbaik. Maka untuk mengembalikan kegemilangan Islam semestinya Islam difahami dan dipraktikkan seperti mana apa yang diajarkan oleh insan yang menerima wahyu yakni Rasulullah Shollallohu alaihi was salla.

Tiga perkara di atas dirasakan merupakan faktor utama yang perlu diamati dan diperbaiki kerana ianya merupakan tunjang penting dalam kehidupan seharian kita. Penulis mengajak kepada seluruh kaum muslimin di manapun anda berada, agar bertakwa kepada Alloh Tabaaroka wa Ta’ala, agar kembali kepada agama Islam, serta memperbaiki keadaan masing-masing. Memohon ampun kepada Allah dan kembali kepada-Nya.

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah Telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
[Al-Thalaaq 65:3]


Faktor dan solusi yang diutarakan diatas mungkin ada betulnya dan tidak mustahil ada salahnya. Sesungguhnya kebenaran semata-mata datang dari Allah melalui keutamaan-Nya, dan seandainya penulis salah, maka kesalahan ini datang dari diri penulis sendiri dan dari syaitan yang berusaha menyesatkan umat manusia.

Wallahua’lam

Ibn Yusof

10 Disember 2007 / 30 Zulkaedah 1428

12:34 a.m

ibnyusof.blogspot.com

Tuesday, December 4, 2007

Sifat Solat Albani Atau Sifat Solat Nabi?


Marah,geram dan tertekan. Barangkali itulah perasaan yang dirasai penulis apabila sahabat penulis, Faridz (bukan nama sebenar) menuding jari pada penulis sambil berkata. “Ha…apa-apa boleh rujuk pada Ezry,dia pengarah program untuk Kem Solat kali ni.” . Penulis ketika itu yang baru keluar dari pejabat Institut Al-Qayyim tergamam mendengarnya. Kebanyakan sahabat lain telahpun bercadang pulang selepas Konvensyen Sunnah kali ke-3. Dalam benak penulis hanya ada satu persoalan, “bagaimana hendak aku uruskan kem selama 3 hari ini tanpa apa-apa perancangan awal?”

“Relax Ezry”. pujuk Faridz apabila melihat raut wajah penulis kelihatan tertekan. “Anta syeikh, last minit tibe-tibe suruh ana jadi pengarah program,mana boleh camtu, ana apa-apa pun tak tahu.”.balas penulis. “Alah,semua dah siap,tinggal nak anta handle jer.”.seorang sahabat memberi pandangannya. “Kalu bukan memikirkan ini kerja dakwah, ana dah lama tempah tiket balik malam ahad ni!” luahan penulis menjadikan bilik perbincangan itu sunyi serta-merta.


Setakat ini baru 20 lebih peserta kem solat lelaki. Penulis menjangkakan lebih ramai yang akan mendaftar pada hari pendaftaran kem. “Tinggal aku dengan Ismail (bukan nama sebenar).Cene 2 orang nak handle semua ni.”. Seorang lagi sahabat dijangka datang menolong selepas sehari kem solat. Kami perlukan strategi. Kami perlukan master plan. Malam sebelum program, selepas pulang dari makan malam bersama Ustaz Asri, Ustaz Yahya, Ustaz Razali, Abang K.A dan Abang Razak, penulis bersama Ismail menyiapkan master plan kami dengan membahagikan tugas-tugas sepanjang 3 hari. Nama seorang lagi sahabat, Mansor (bukan nama sebenar) juga turut disertakan dalam pembahagian tugas pada hari beliau dijangka hadir.


Keesokkan paginya, kami berdua telahpun menyusun 2 meja pendaftaran untuk memudahkan proses pendaftaran awal-awal pagi suapaya keadaan tidak kalut semasa sesi pendaftaran. Seperti yang dijangkakan penulis, seramai 78 orang mendaftar pada pagi tersebut. Walau agak sedikit kalut pagi tersebut, penulis tersenyum melihat adik-adik yang mendaftar. Mereka semua datang dengan pelbagai tujuan, pelbagai impian. Tugas penulis dan mereka yang bertugas hanya satu. Secara umumnya perlu mendidik adik-adik ini dengan manhaj yang benar. Manhaj yang benar membawa kepada pemikiran yang positif, maka penulis terlebih dahulu membetulkan niat penulis sebagai seorang pengarah program supaya mampu berfikiran positif sepanjang program berlansung.


“Beep..Beep”telefon bimbit penulis berbunyi sewaktu sarapan pagi bersama Ustaz Asri dan yang lain-lain. Sms diterima dari seorang muslimah yang menjadi fasilitator kem solat muslimah.“Salam Ezry,nape semalam tak bagitahu fasilitator lelaki 3 orang sahaja, jika tidak boleh kami bertiga tolong dan balik KL petang, semoga Allah permudahkan segala urusan kaliansepanjang kem solat okey.Good Luck”. Penulis hanya mampu tersenyum lebar membaca kiriman sms tersebut. Penulis bukan tidak mahu mengagihkan tugasan tetapi mereka telah banyak membantu dalam program-program sebelum ini maka biarlah penulis bertungkus-lumus untuk kali ini pula.


“Ko ni perfectionist...susah benar nak delegate tugas kat orang lain, semua ko nak buat sorang, nasib baik semua yang kau buat menjadi.”terngiang-ngiang teguran seorang sahabat apabila beliau cuba memgambarkan sikap penulis dalam hal-hal tugasan yang diberikan. Penulis telahpun bersedia mewakafkan diri penulis menjadi Program Manager, Treasurer, Program Coordinator, Special Task, Preparation and Technical, Transportation Unit, Catering dan apa jua posisi yang dirasakan releven sepanjang berada dalam kem solat ini. Maka penulis rasakan ‘Split Personality’ dalam diri penulis diperlukan pada bila-bila masa untuk bertukar kepada apa-apa posisi yang perlu sesuai dengan keadaan. Inilah antara pembahagian biro yang diguna pakai dalam apa jua program di universiti. Pengalaman menguruskan program-program besar seharusnya diguna pakai pada waktu yang memerlukan ini.


Dalam mengalami situasi ini penulis hanya mampu berfikiran positif dan itu juga yang Ismail ingatkan penulis. “Program ni kena sronok-sronok.Kita buat relax-relax jer.” kata-kata Ismail menyejukkan hati penulis untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Pemikiran positif ini dikuatkan dengan kiriman sms yang diterima, “Tak boleh salahkan mereka juga, barangkali mungkin mereka ada keje lain yang perlukan lebih commitment”. Kata-kata ini membuatkan penulis cuba bersangka baik dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir untuk membantu.


Bercerita tentang Kem Solat ini tersenyum lebar penulis mengingatkan email seorang sahabat yang disebar luas dengan tujuan untuk memboikot Kem Solat ini secara tidak lansung. Berdalilkan solat yang diajar bukan Sifat Solat Nabi tetapi Sifat Solat Al-Albani adalah satu kejahilan yang nyata. Membaca email tersebut penulis sedar bahawa hujah dan hadith di dalam Kitab Sifat Solat Nabi tersebut tidak sampai kepada sahabat tersebut, barangkali penyakit hati yang dialami penyebar email tersebut agak parah apabila sahabat tersebut berkata sebelum berfikir, bertindak sebelum menilai. Kitab Sifat Solat Nabi itu hanya menghimpunkan hadith-hadith yang sahih terutamanya dari Sahih Bukhari mahupun Muslim untuk memastikan setiap gerakan dan bacaan di dalam solat adalah bertepatan dengan apa yang Nabi buat dan ajarkan. Semestinya mereka yang suka beramal dalam agama dengan citarasa mereka tidak setuju hadith sahih menjadi rujukan agama kerana ianya pasti bertentangan dengan amalan hasil citarasa dan suka sama suka mereka.


Penulis mempelajari Sifat Solat Nabi ini 2 tahun yang lepas dan kerana Sifat Solat Nabi lah penulis mengenali apa yang dimaksudkan dengan Sunnah. Bukannya sunat yang diketahui orang ramai bahawa jika kita melakukannya kita mendapat pahala tetapi jika kita ,meninggalkannya kita tidak mendapat apa-apa. Definisi atau ta’rifan Sunnah yang lebih luas ini perlu disuntik dalam minda masyarakat supaya masyarakat dapat merasai kemanisan mengamalkannya.Rasulullah s.a.w bersabda:-


صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ


“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
[Hadith Diriwayatkan oleh Imam Bukhari]


Maka jika hadith umum yang mudah ini gagal dihayati oleh seorang yang bergelar muslim maka sudah tentu kita akan mengagung-agungkan aqal dan citarasa kita melebihi wahyu yang diturunkan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada pesuruhNya yakni Rasulullah s.a.w.

Penulis telah mempersiapkan diri mental dan fizikal untuk berhadapan dengan adik-adik yang menyertai kem solat tersebut. Pada pagi hari pertama kem solat ini penulis dibantu oleh Abang Razak. Alhamdulillah Abang Razak membuka sesi pertama kem solat ini dengan cukup baik terutamanya apabila diperhatikan ibu bapa yang masih menunggu untuk memastikan keadaan anak-anak mereka. Kemudian sesi ujian penapisan dilakukan dan adik-adik disajikan dengan soalan-soalan asas tentang solat. Purata mereka lulus dan kebanyakannya mendapat 6 atau 7 betul daripada sepuluh soalan yang diajukan. Hanya selepas itu barulah penulis mengambil alih sesi dengan membahagiakn adik-adik ini kepada kumpulan. Kumpulan seramai 78 orang peserta itu dibahagikan kepada 7 kumpulan. Alhamdulillah penulis mendapat bantuan daripada sahabat-sahabat yang baru dikenali penulis pada majlis Konvensyen Sunnah sehari sebelum kem solat tersebut. Merekalah yang menjadi fasilitator sepanjang kem solat ini. Tidak lupa kepada dua orang muslimah yang penulis tugaskan menjadi fasilitator kepada adik-adik kecil yang berumur sekitar 8 dan 9 tahun.



Sesi pertama atau LDK 1 yakni sesi Suai Kenal dikendalikan oleh fasilitator masing-masing. Penulis sengaja memilih kumpulan yang dianggotai oleh mereka yang lebih remaja supaya lebih senang untuk berinteraksi dengan mereka. Permainan menghafal nama-nama kawan sekumpulan sebanyak 12 orang mengikut kitaran bulatan sungguh menarik. Dalam masa yang singkat penulis telah dapat menghafal semua nama-nama adik-adik tersebut. Perbincangan berkenaan nama dan logo kumpulan pula mengerah adik-adik ini berkerjasama dalam masa yang diberikan. Kumpulan Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, An-Nur, Ukhwah Islamiyyah, Nombor Satu, Al-Hidayah, dan Ibn Sina. Ternyata nama tokoh-tokoh islam tidak ketinggalan menjadi pilihan adik-adik.

Malamnya peserta kem solat ini disajikan dengan kuliah oleh Ustaz Kadir berkenaan kepentingan Solat. Maka seperti kem solat tahun lepas, Ustaz Kadir mampu mendidik adik-adik ini dengan manhaj yang betul apabila di akhir kuliah yang singkat itu apabila adik-adik ditanya “Kita solat ikut siapa?”,maka adik-adik itupun mula menjerit “IKUT NABI!!”.Tersenyum penulis mendengar semangat adik-adik ini, jawapan mereka barangkali lebih matang daripada pelajar-pelajar universiti yang melaungkan slogan “KITA MAZHAB SYAFIE”. Bukanlah penulis mengkritik orang yang mengikuti mazhab Syafie, hatta penulis sendiri menghormati dan mengamalkan ijtihad Al-Imam Muhammad Idris As-Syafie dalam kehidupan seharian. Cuma sahaja jika mereka itu dapat memahami perkataan Imam As-Syafie apabila berkata:-

"Berkata Imam as-Syafie: Setiap apa yang telah aku katakan, kemudian apa yang dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bertentangan dengan perkataanku sekalipun (perkataanku itu dianggap) betul, maka hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam mesti diutamakan, oleh itu janganlah kamu bertaqlid dengan qaulku (kata-kataku)".

[ Lihat: 'Ilam Muwaqiin (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.]

Maka apakah relevennya belajar sehingga peringkat universiti tetapi masih berpaut pada pola fikir yang jumud. Taksub dengan ijtihad Imam As-Syafie sehingga sanggup menolak apa yang disampaikan Allah dan Rasul-Nya.Adik-adik ini merupakan pelapis kepada generasi masa kini, mereka yang mnyertai kem solat ini disajikan dengan hadith-hadith nabi pada peringkat usia yang awal berbanding dengan mereka di luar sana yang dihidangkan dengan persekitaran program-program hiburan realiti “Bintang Kecil”, “Akademi Fantasia”,“Malaysia Idol” dan sebagainya.



Pada sesi Sifat Wudhu’ Nabi dan Sifat solat Nabi mereka bersedia menerima hadith-hadith sahih tentang cara Nabi berwudhu’, tampak dari raut wajah mereka menunggu apa sahaja pendapat yang semestinya sahih dilakukan oleh Nabi s.a.w.Apakah perbuatan ini dikira meninggalkan mazhab? Apakah pemikiran seperti ini dikatakan menyeleweng?

"Berkata Imam Ahmad: Janganlah kamu bertaqlid denganku, janganlah bertaqlid dengan Malik, Abu Hanifah, as-Syafie, 'Auzii dan Thauri rahimahumullah. Ambillah oleh kamu dari mana mereka itu mengambil"

[Lihat: Musnad Imam Ahmad Diriwayatkan oleh Abu Daud. Hlm. 277.]

Dari perkataan Imam Ahmad di atas kita diseru supaya mengambil dan mengkaji daripada sumber untuk mengelak perbuatan mengikut tanpa memahami.Apakah perbuatan seperti ini dikatakan tidak berpegang pada mana-mana mazhab? Jika ianya bersalahan dengan manhaj para salaf dalam menimba ilmu maka tidak perlulah Imam Bukhari bersusah payah mengumpulkan hadith-hadith sahih selepas sekian lama Imam Syafie meninggal dunia, mengapa tidak sahaja Imam Bukhari berpegang pada ijtihad para imam yang telah pun mengeluarkan ijtihad-ijtihad mereka pada zaman-zaman sebelum kelahiranya?


Ini kerana Islam tidak mengajar supaya otak umatnya bersifat statik, Islam tidak mengajar pengetahuan umatnya bersifat serik. Jika pada awal pembelajaran fardhu Ain yakni berkenaan Wudhu’ dan Solat mereka ini diberikan contoh dari buku-buku bergambar tanpa mana-mana rujukan, mengapa tidak mereka ini ke tahap yang lebih tinggi apabila dipersembahkan pula dengan hadith-hadith nabi yang sahih dalam bab Fardhu Ain? Mereka yang mengkritik Sifat Wudhu’ Nabi dan Sifat Solat Nabi ini adalah mereka yang tidak mahu melakukan sebarang anjakan paradigma dalam beramal. Jika sewaktu tadika, guru mengajar subjek matematik berkenaan cara-cara tambah dan tolak, sudah semestinya sewaktu sekolah rendah kita akan diajar pula tentang cara-cara darab dan bahagi. Apakah ada sekolah rendah atau sehingga peringkat universiti yang senantiasa mengajar cara-cara bagaimana tambah dan tolak? Sudah semestinya tidak, kenaikan peringkat demi peringkat tahap pembelajaran kita akan diajar pula tentang cara-cara melukis graf, mengira darjah atau sudut dan sebagainya. Sesungguhnya ilmu itu berlaku dalam setiap bidang mata pelajaran tetapi mengapakah dalam memahami agama kita mesti bersifat statik tanpa adanya penghayatan dan pendalaman yang lebih dari semasa ke semasa? Inilah persoalan yang perlu direnung oleh setiap masyarakat umum dan semestinya perlu ditekankan dalam ucapan-ucapan para dai’.

Renungkanlah berapa ramai orang awam di luar sana yang amalan agama mereka adalah seperti apa yang diajarkan ustaz atau ustazah di sekolah rendah mereka tanpa ada apa-apa penghayatan atau epndalaman yang lebih, tetapi dalam mata pelajaran atau kemahiran-kemahiran lain mereka semakin maju dari satu hari ke satu hari. Begitulah juga mereka yang merasa enteng dalam masalah ibadah ini, dan mengkritik pula mereka yang cuba menyebarkan sunnah baginda s.a.w dalam berwudhu’ dan bersolat dengan berkata cukup sekadar “Aku bermazhab Syafie! ” sedangkan pemahaman fiqhnya bersifat statik dan jumud.


Adik-adik yang menyertai kem solat ini bukan diajar solat dan berwudhu seperti mana Rasulullah s.a.w, tetapi semasa sesi ke Empangan Mengkuang juga diajar tentang bagaimana caranya untuk mengambil wudhu’ dalam keadaan disemen atau berbalut. Perkara ini didedahkan untuk mengajar agar adik-adik ini mendapat kefahaman yang jelas tentang kepentingan solat walaupun dalam keadaan sakit. Perkara ini dirasakan amat penting terutamanya apabila penulis mendapati ramai mereka yang terlantar di hospital tidak melaksanakan solat hanya dengan alasan jari patah ataupun tangan terseliuh.Tetapi adegan klimaks yang semestinya menjadi satu kenangan yang tidak dapat adik-adik di kem solat itu lupakan ialah apabila mereka terpaksa bersolat di atas tanah lapang. Ini bertujuan untuk mengajar adik-adik supaya solat itu mesti didirikan walu di mana jua adik-adik tersebut berada kecuali kuburan dan tempat mandian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:-

"Semua tempat adalah masjid, kecuali kuburan dan tempat pemandian."
[Hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad]

Hari terakhir adik-adik di kem solat itu, adik-adik ini diajar berikrar untuk sesi ikrar di hadapan ibu bapa mereka semasa majlis penutup. Cukup bersemangat mereka melaungkan ikrar, terutamanya apabila penulis ‘mengumpan’ mereka dengan sijil-sijil yang akan diagihkan selepas sesi ikrar tersebut. Pada majlis penutup, penulis cukup terharu semasa adik-adik semua melaungkan ikrar mereka, dapat penulis rasakan perasaan kedua ibu bapa mereka, dapat penulis selami impian kedua ibu bapa mereka. Bait-bait ikrar yang cukup menyentuh perasaan membuatkan ada kedua ibu bapa yang bergenang air mata mereka.Bahagian yang paling menyentuh hati ialah apabila laungan semangat adik-adik dalam menuturkan ikrar mereka berbunyi:-

Redha Allah matlamat saya,
Al-Quran dan As-Sunnah pegangan saya,
Rasulullah ikutan saya,
Ibu ayah inspirasi saya,
Kecemerlangan akademik impian saya.

Penulis berharap kem solat kali ini bukan sahaja memberi makna baru kepada diri penulis, tetapi ianya diharap memberikan ilmu yamg lebih bermakna dalam diri adik-adik sekalian yang menyertainya. Semoga ianya membantu mereka dalam beribadah, ibadah yang menghampiri sunnah dan sekaligus melahirkan rasa cinta yang mendalam terhadap sunnah nabi s.a.w yang semakin dipandang asing.

Wallahua’lam.

Ibn Yusof

3 Disember 2007 / 24 Zulkaedah 1428

6:52 p.m

Friday, November 30, 2007

DMC 4 Dari Lensa Ibn Yusof



Daurah Musim Cuti 4 telahpun melabuhkan tirainya. Program 3 hari yang bermula dari 20 November hingga 22 November 2007 di Insitut Al-Qayyim,Bukit Mertajam,Penang ini padat dengan kuliah-kuliah agama dan aktiviti da’wah. Para pelajar yang turut serta menyertai daurah ini adalah para pelajar dari pelbagai universiti antaranya UM, UM Nilam Puri, UKM, UITM , UIAG, USM Kubang Kerian, UPSI, UIAM Kuantan serta UIAM Gombak.Peserta dari pelbagai universiti menyertai daurah ini dengan tujuan menimba ilmu sempena musim cuti semester ini.Ibarat kain putih yang bersedia dicorakkan secantik mungkin.


Penulis yakin bahawa setiap para peserta tidak pulang dengan tangan kosong.Jika ada para peserta yang menulis tentang suka duka mereka atau mengomel tentang masalah yang dihadapi sepanjang daurah, baik disebabkan ketidak selesaan penginapan mahupun akibat pengurusan masa dan sebagainya. Maka suka sekiranya penulis berkongsi tentang ilmu dan pengalaman yang diperolehi oleh penulis dan para peserta sepanjang berada di Institut Al-Qayyim tersebut supaya para pembaca yang tidak berkesemapatan untuk turut serta sekurang-kurangnya dapat merasai kemanisan ilmu dan pengajaran yang dapat penulis coretkan sepanjang sesi daurah ini. Penulis hanya dapat meluangkan masa untuk mencoretkan ilmu dan pengalaman di sana setelah selamat pulang dari Institut al-Qayyim pada 29 November, itupun setelah terlibat dalam Konvensyen Sunnah ke-3 pada 24 dan 25 November 2007 dan Kem Sifat Solat Nabi pada 26 November hingga 28 November.Sememangnya ia satu tempoh yang meletihkan tetapi keletihan itu tidak dapat dinilai dengan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang program-program ini.

Penulis tiba di Pulau Penang pada malam 19 November, pada ketika itu sahabat-sahabat dari universiti lain yang turut serta telahpun berada di Institut Al-Qayyim. Bagi peserta muslimah pula ada antara mereka telah lebih awal berada di situ kerana turut serta dalam Kem Sifat Solat Nabi untuk muslimah. Peserta lelaki kebanyakannya adalah bekas peserta Daurah Manhaj yang pernah diadakan di Kajang.


20 November 2007

Pagi kami dimulakan dengan solat subuh berjamaah, kemudian sesi HARIS (Halaqah Riyadus Solihin) dimulakan dengan menghuraikan hadith pilihan peserta dan HARIS menjadi aktiviti pengisian masa lapang di sana. Melihat nama penulis turut terpilih dalam sesi HARIS pada sebelah malam keesokan harinya. Penulis telah terlebih dahulu bersiap sedia dengan hadith pilihan penulis dengan mengambil jalan mudah dengan mensyarahkan artikel terbaru penulis sebelum ini yang bertajuk “Jom Jidal”. Ianya tidak lebih sekadar berkongsi pengalaman dan pengetahuan terhadap kajian dalam artikel tersebut.

Selepas sarapan peserta disajikan dengan Kuliah Dasar-1 yang bertajuk “Kenapa Saya Memiliha Manhaj Salaf Al-Soleh?”. Ustaz Kadir menyampaikan tajuk ini dengan ringkas dan santai memandangkan kebanyakan peserta daurah telahpun memahami kepentingan berpegang teguh pada manhaj para salaf. Isi yang Ustaz Kadir sampaikan lebih menfokus berkenaan kenapa perlunya kita berpegang pada Quran dan As-sunnah berdasarkan pemahaman para Salaf Al-Soleh seperti mana berdasarkan hadith baginda.


تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما، كتاب الله وسنتي

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku” [1]


Ianya begitu penting bagi membezakan kita yakni Ahlu Sunnah Wal Jamaah dengan golongan-golongan lain yang juga mengaku berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah sedangkan hakikatnya mereka menjadikan aqal dan hawa nafsu sebagai petunjuk kehidupan. Jika ada yang mendakwa istilah salaf itu adalah istilah baru maka ianya adalah tidak tepat kerana perkataan ‘salaf’ atau dengan maksud rujukan kepada jalan pemikiran, pegangan, fahaman, pendapat dan pembawaan generasi salaf telah dimuatkan dalam kitab-kitab muktabar oleh para ulama’. Antaranya ialah seperti pengulangan penggunaan istilah ‘salaf’ dalam kitab tafsir At-Tabari sebanyak 27 kali, Tafsir Al-Qurtubi sebanyak 102 kali, Tafsir Ibn Katsir sebanyak 274 kali, Sharh Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi sebanyak 225 kali, Fathul Bari Sharh Sahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajr Al-Asqalani sebnyak 328 kali dan dalam Encyclopedia of Islamic Jurisprudence yang menghimpunkan 100 judul kitab fiqh pelbagai mazhab berulang sebanyak 7309 kali.[2]


Jika para pembaca merasakan pengulangan istilah tidak membuktikan kepentingan maka antara dalil-dalil yang menunujukkan kewajiban mengikut pegangan salaf ialah seperti mana amaran dariapda sabda baginda Rasulullah s.a.w:-


فمن رغب عن سنتي فليس مني…

“…Maka, sesiapa yang tidak ikut Sunnahku, dia bukan dari (kalangan umat) ku” [3]

Kuliah Dasar ke-2 oleh Ustaz Abu Syuaib menyentuh tentang tajuk “Tauhid Asma’ Wa Sifat”. Penulis pada mulanya merasakan tajuk ini adalah ringan dan bersahaja sehinggalah ada dari sahabat yang hadir menyatakan apa yang disampaikan adalah sesuatu perkara baru dan ianya dikupas dengan lebih mendalam apabila mebincangkan perbahasan-perbahasan berkenaan sifat-sifat Allah s.w.t.Penulis teringat antara artikel awal penulis di dalam blog ini adalah berkaitan dengan Aqidah Imam 4 mazhab berkaitan dengan Asma’ Wa Sifat
[4] dan ia sememangnya satu tajuk yang penuh dengan kontroversi dan akibat perbezaan pendapat mengenai tajuk inilah munculnya golongan-golongan seperti:-

1. Musyabbihah (kumpulan yang menyamakan Allah dengan makhluk),
2. Jahmiyyah (kumpulan yang menafikan nama dan sifat Allah)
3. Muktazillah (kumpulan yang menafikan sifat mani’ bagi Allah iaitu ilmu , kuasa,
berkehendak, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata)
4. Asy’ariyyah dan Maturidiyyah (kumpulan yang menta’wil ayat-ayat sifat dan sebagainya)


Dan Ahlu sunnah Wal Jamaah dalam hal ini seperti yang diketahui umum bersifat wasatiah yakni berada pada pertengahan antara Mu’atillah (bersifat ghuluw dalam memahami Asma’ Wa Sifat Allah) dan Musyabbihah (menyamakan Allah dengan makhluk).Kupasan dalam kuliah dasar ke-2 ini dikatakan agak laju dan peserta daurah yang baru berjinak-jinak dengan tajuk ini memang agak sukar untuk menggapai isi kuliah secara keseluruhan terutamanya apabila membahaskan tentang aqidah sebenar Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak, Abu al-Hassan dari keturunan sahabat nabi Abu Musa al-Asy’ari r.a atau lebih dikenali sebagai Imam Abul Hassan al-Asy’ari. Perbincangan dalam kuliah dasar ke-2 ini bertumpu kepada hal ini disebabkan ramai orang yang menggunakan nama Imam Abul Hassan al-Asy’ari yang akhirnya dinisbatkan kepada golongan Asy’ariyyah. Hal ini berlaku kerana kejahilan golongan Asy’ariyyah yang tidak mengetahui fasa aqidah yang dilalui oleh Imam Abu Hassan al-Asy’ari dari aqidah muktazilah pada awalnya kemudian beralih kepada fasa aqidah yang kedua yang mengikut metod Ibnu Kullab (240 H) sehingglah di akhir hayatnya berpegang kepada aqidah sebenar yakni aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah iaitu mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak mentasbihkan (menyamakan) sifat-sifat Allah dengan makhluk, iaitu mengikut jalan Salafus Soleh.
[5] Perkara ini boleh dibuktikan bukan sahaja melalui kitab Imam Abu Hassan al-Asy’ari yang terkenal Al-Ibanah An Usuli Al-Diyanah tetapi juga kitab lain seperti di dalam kitab Risalatun Ila Ahli al-Thaghar dan Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin. Hal ini penting kerana mereka (golongan Asy’ariyyah ) suka memberi alasan bahawa terdapat penyelewengan dalam kitab Al-Ibanah An Usuli Al-Diyanah tanpa menyedari terdapat kitab lain yang boleh membuktikan hal tersebut.

Antara kesimpulan yang dapat dibuat daripada kuliah dasar ke-2 yang ditekankan oleh ustaz Abu Syuaib ialah bahawasanya Ahlu Sunnah Wal Jamaah menetapkan sifat-sifat bagi Allah tanpa melakukan empat perkara iaitu:-

1. Tahrif -(memesongkan atau mengubah sesuatu dari wajahnya yang asal seperti mengubah lafaz
dan makna)
2. Ta’thil -(membatalkan atau menafikan sifat bagi Allah s.w.t)
3. Takyif - (menentukan kaifiat atau cara bagi sifat-sifat Allah s.w.t)
4. Tamsil - (menyamakan sifat Allah s.w.t dengan makhluk.Juga digelar Tasybih)
5. Tafwidh - (meyerahkan segala makna dan kaifiat bulat-bulat)


Pada sebelah malamnya peserta daurah disajikan dengan Kuliah Dasar ke-3 oleh Ustaz Rasyid berkenaan “Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah: Riwayat Hidup dan Sumbangannya Terhadap Dunia Islam”. Tajuk ini mengikut sesetengah orang mungkin tidak patut disertakan di dalam daurah tetapi pada pandangan penulis ianya adalah satu tajuk yang releven pada masanya terutama bagi mengenali tokoh tersebut dengan lebih dekat. Ini kerana sejak dari dahulu hingga kini kitab-kitab yang dikarang oleh Ibn Taimiyyah menjadi rujukan ulama’-ulama’ Mutaakhirin dalam membincangkan segala aspek.


Abu Al-Abbas Taqiy Al-Din Ahmad Bin ‘Abd Al-Halim Bin ‘Abd Al-Salam Bin ‘Abd Allah Bin Al-Khadir Bin Taymiyyah Al-Harrani Al-Hanbali atau nama yang masyur di persada keilmuan Islam yakni Ibn Taimiyyah mengarang kitab-kitab dari pelbagai aspek,yakni berkaitan ‘Ulum Al-Quran dan Tafsir, Al-Hadith, Usul Al-Din, Perbandingan Agama, Fiqh dan Usul Fiqh, Tasawwuf dan sebagainya. Tetapi tidak kurang juga mereka yang menghentamnya dengan fitnah dan tomahan yang pelbagai. Ada antaranya yang mentohmah IbnTaimiyyah beraqidah Tajsim dan Tasybih.
[6] Pada pandangan penulis, mereka ini tidak ubah seperti anjing yang menyalak di pinggir gunung dengan tujuan untuk menghancurkannya. Mengapa penulis berkata sedemikian ini adalah kerana Ibn Taimiyyah meninggalkan khazanah ilmu yang sugguh banyak melalui kitab-kitab dan risalah-risalah.


Tidaklah menjadi satu perkara yang digusarkan jika ada pihak yang cuba memburukkan nama Ibn Taimiyyah sedangkan ulama’-ulama’ muktabar kini menggunakan kitab-kitabnya sebagai rujukan, hanya sebilangan kecil sahaja yang berusaha menyesat dan mengkafirkan beliau. Antara faktor utamanya pada pandangan penulis ialah kerana banyak kitab-kitab yang dikarang beliau menceritakan kesalahan firqoh-firqoh yang wujud pada zaman awal sehingga zaman beliau. Barangkali fatwa-fatwa beliau yang tidak memihak kepada mereka (yang berpegang pada firqoh-firqoh yang menyeleweng) menyebabkan wujudnya kitab-kitab yang menyesatkan dan mengkafirkan beliau. Tidak kira apapun yang berlaku, khazanah ilmu Ibn Taimiyyah menjadi kajian di peringkat sarjana mengenai Ibn Taimiyyah dalam berbagai bahasa, dari pelbagai aspek, di puluhan universiti di serata dunia. Antara nasihat beliau terhadap pejuang sunnah yang dapat kita ambil iktibar daripadanya ialah:-

“Maka wajib ke atas setiap individu mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk mengetahui apa yang dibawa olehnya (Rasulullah) serta mematuhinya, kerana inilah saja jalan pelepasan daripada azab yang pedih dan juga jalan kejayaan bagi mendapat nikmat syurga” [7]


21 November 2007

Tanggal 21 November,seperti tahun lepas, penulis menyambut hari lahir penulis di Institut Al-Qayyim. Jika tahun lepas penulis terlibat dalam Kem Sifat Solat Nabi, tahun ini penulis menghabiskan masa dengan menimba ilmu. Ianya dirasakan lebih bermakna daripada sambutan meniup lilin dan memotong kek. Apatah lagi hari ini tajuk-tajuk kuliah amat menarik perhatian penulis apabila ia lebih menjurus kepada pengajian hadith.

Kuliah Dasar ke-4 oleh Ustaz Hisyam semangnya dinanti-nantikan walupun tajuk “Hadith Dhoif dan Hukum Berhujah Dengannya” adalah satu tajuk asas yang telah lama diketahui penulis. Tetapi bagi peserta daurah yang lain ianya adalah amat penting bagi membentuk manhaj Salafus Soleh yang tepat dan berada di landasan yang betul. Ustaz Hisyam terlebih dahulu menerangkan pembahagian hadith-hadith dhoif dengan terperinci bagi memudahkan peserta mengklasifikasi hadith-hadith dhoif yang ada seperti Suqut Zahir dan Suqut Khafi dan daripada kategori hadith-hadith dhoif seperti Al- Muallaq, Al-Mursal, Al-Mu’dhal, Al-Munqati’, serta Al-Mudallas, dan Al- Mursal.[8] Selepas itu barulah Ustaz Hisyam menerangkan tentang hukum beramal dengannya. Keterbatasan masa menyebabkan Ustaz Hisyam banyak mengfokus kepada pembahagian hadith dhoif dan menggunakan masa berbaki kepada penerangan hukum beramal dengannya.


Apa yang penulis dapat simpulkan berkenaan tajuk tersebut ialah Ahlu Sunnah Wal Jamaah mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat dalam menerima hadith yang lemah (Dhoif) dalam persoalan yang menerangkan keutamaan sesuatu amal (Fadhail ‘Amal), anjuran dan ancaman (Al-Targhib Wa Al-Tarhib) serta dalam persoalan yang didiamkan oleh Al-Quran dan AS-Sunnah.Persoalan ini berdasarkan sesetengah tokoh Ahlu sunnah Wal Jamaah hanya mencukupkan diri dengan hadith sahih dan hasan sahaja menakal sebahagian yang lain menerima hadith Dhoif. Walaubagaimanpun, ianya tidak terlepas daripada beberapa syarat yakni:-


1. Hadith tersebut memiliki kelemahan yang ringan.Bukannya hadith yang berta kelemahannya
(Dhoif Jiddan) mahupun hadith yang palsu (Maudhu’).
2. Hadith tersebut masuk dalam asas-asas agama.
3. Hadith tersebut disampaikan dengan menerangkan kelemahannya. Tidak boleh menyampaikannya
dalam bentuk yang apsti kerana ia akan memberi sangkaan kepada masyarakat bahawa ianya
sahih.
4. Tidak boleh menggunkannya secara meluas atau dengan kekerapan yang tinggi kerana ia boleh memberi sangkaan pada masyarakat bahawa ianya sahih.[9]

Tiga syarat di atas terdapat dalam semua kitab hadith
[10] manakala yang keempat merupakan tambahan yang dikemukan oleh Ibn Hajar Al-Asqalani (852 H).[11] Pada pandangan penulis, daripada syarat-syarat di atas dapat kita fikir secara logiknya betapa ketat syarat yang dikenakan oleh para muhaddith dalam mengamalkan hadith dhoif ini. Tetapi berapa ramai yang jahil dengan bangganya melaungkan bolehnya beramal dengan hadith dhoif tanpa mengambil berat tentang syarat-syarat yang para muhaddith tetapkan. Lihat sahaja syarat pertama yang dikenakan, untuk memastikan ianya bukan hadith yang bertaraf dhoif Jiddan maka ianya memerlukan kepakaran dengan ilmu hadith terutamanya kategori-kategori hadith dhoif. Syarat-syarat yang ditetapkan oleh para muhaddith ini sebenarnya adalah terlalu ketat dan secara tidak lansung memustahilkan untuk seseorang itu mengamalkannya.

Kuliah Dasar ke-5 yang bertajuk “Pengenalan kepada Kutubus Sittah” sememangnya satu tajuk yang luas. Seperti mana kat Ustaz Rosfan, ada yang belajar bertahun-tahun untuk mengenali manhaj dan metod pengumpulan kitab Kutubus Sittah. Dan daurah kali ini ingin ianya disimpulkan dalam masa 2 jam adalah sesuatu yang agak mustahil. Maka itu adalah punca utama peserta daurah hanya sempat mempelajari perbezaan pendapat berkenaan ‘ranking’ di antara Kutubus Sittah serta manhaj dan metodologi penyusunan dalam Sahih Bukhari dan sedikit perbezaannya dengan Sahih Muslim.Antara metodologi yang dapat disimpulkan ialah:-


1. Sahih Bukhari mengikut susunan Kitab Fiqh.
2. Ta’ti’ Al-Hadith (Memotong-motong hadith adalah dibenarkan)
3. Cara meletakkan bab dapat dibahagikan kepada 2 kategori yakni berdasarkan matan
isi dan ada juga bab yang tak berkaitan dengan isi.
4. Tidak mengulang hadith yang sama dengan sanad yang sama.

Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani (852 H) yang terkenal dengan Fathul Bari Sharh Sahih Al-Bukhari, metodologi dan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh Imam Bukhari dalam mengambil hadith daripada para perawi menyebabkan Sahih Bukhari layak diletakkan dalam ‘ranking’ yang pertama mengatasi Sahih Muslim. Dan anatara perkara yang menakjubkan ialah Imam Bukhari dapat menghabiskan pengumpulan hadith-hadith ini untuk dimuatkan di dalam Sahih Bukhari selama lebih kurang 16 tahun atau lebih. Antara perbezaan utama antara Sahih Bukhari dan Sahih Muslim ialah kitab-kitab Sunan yang lain ialah ianya tidak menyertakan hadith-hadith berkaitan dengan aqidah, kitab-kitab Sunan yang lain lebih mengfokus kepada hadith-hadith berkenaan Fiqh bukanya Aqidah.

Pada sebelah malam pula Kuliah Dasar ke-6 oleh Ustaz Jailani amat ‘menyegarkan’. Suara lantang Ustaz dalam mempersembahkan tajuk “Isu-Isu Fiqh Terkini” yang menyentuh bab Fiqh Munakahat, Fiqh Taharah, Fiqh Perbankan dan Kewangan dan Fiqh Perubatan.Tetapi selaku peguam syar’ie yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang munakahat beliau berhujah hampir 1 jam bertumpu pada tajuk Fiqh Munakahat. Penulis masih ingat bagaimana beliau mengkritik kejumudan pemikiran Hakim Tertinggi Syariah di sebuah negeri yang tidak mahu mengambil kira hujah beliau dalam bab lafaz talak 3 sekaligus dikira jatuh talak 1. Menggunakan alasan “Di Malaysia kita mengamalkan mazhab Syafie” adalah satu contoh kejumudan pemikiran terhadap keluasan syara’. Hujah yang Ustaz Jailani bawakan tidak diambil kira barangkali beliau (hakim tertinggi makhamah syariah) tidak pernah mendengar pandangan Dr. Wahbah Mustafa Az-Zuhaili, seorang ulama’ besar mazhab Syafie zaman moden ini yang berasal dari Syriria di dalam kitabnya yang masyur berkata:-


“Jika hakim memilih pendapat yang lemah sekalipun, jadilah pendapat itu lemah itu sebagai hukum yang lebih kuat.Apatah lagi jika ia dijadikan undang-undang sebagaimana yang berlaku di sesetengah negara Arab yang menjadikan lafaz talaq tiga sekaligus sebagai jatuh satu talak sahaja.maka tiada tegahan untuk berpegang apdanya (satu talak sahaja) dan dengan berfatwa dengannya untuk memberi anak-anak, khususnya, kita sekrang berada pada zaman sedikitnya sifat warak dan berhati-hati, menyebabkan merekamudah melafazkan talak seperti ini, sedangkan mekrea sebenarnya hanya bertujuan hanya mengugut sahaja.”
[12]

Pandangan yang sama diberikan oleh Syeikh Atiyyah Saqar tentang bagaimana beliau mengulas undang-undang Mesir yang menggunakan lafaz talak 3 sekaligus dikira jatuh talak 1 adalah bertujuan menjaga kemaslahatan umumagar tidak terjebak ke dalam masalah “cina buta” atau lebih tepat sebagai al-Muhallil dan Al-Muhallalahu.[13]


Dan perbincangan tentang Fiqh Taharah, Fiqh Perbankan dan Kewangan dan Fiqh Perubatan oleh Ustaz Jailani tidak begitu ‘menyengat’ seperti mana beliau membicarakan Fiqh Munakahat, penulis kasihan melihat ada para peserta yang ‘blur-blur’ apabila istilah-istilah dalam Fiqh Muamalat seperti Bay’ Bithalmanil Ajil (BBA), Mudharabah, Musyarakah dan sebagainya digunakan tanpa penjelasan yang jelas, tetapi sebagai penuntut ekonomi tajuk yang dibincangkan masih dalam ruang lingkup yang dapat difahami dengan jelas. Cuma sahaja ingin rasanya penulis berjumpa dengan Ustaz Zaharuddin atau mana-mana pensyarah di kuliyyah kelak untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan Ijtihad Jawatankuasa Syariah BNM yang menetapkan peratusan untuk menentukan tahap keharaman yang bercampur baur dengan keuntungan syarikat yang melibatkan diri dalam pelbagai perniagaan dan pelaburan. Perkara ini menyebabkan 80 peratus syarikat yang di senaraikan di dalam Bursa Saham adalah di sahkan Syariah. Penulis merasakan ianya wujud pro dan kontra dalam perkara yang dibahaskan.

Selepas Kuliah Dasar ke-6 peserta daurah disajikan lagi dengan Kuliah Khas oleh Ustaz Asri, ada antara peserta yang keletihan dan mengantuk sepanjang kuliah tetapi penulis masih mampu bertahan segar mendengar kuliah tersebut dari awal hingga akhir. Ustaz Asri menceritakan tentang kisah Umar r.a dan kisah Fairuz yang berketurunan raja dikenakan hukuman qisas walaupun dijemput oleh Umar untuk berjumpa dengannya. Tetapi pemuda yang ingin melaksakan hukuman tersebut melupakan hukuman tersebut sebaik mendengar sabda nabi s.a.w yang ada menyebut nama Fairuz sebagai seorang pejuang. Ustaz Asri menggunakan pemuda tersebut sebagai contoh bahawa betapa taat dan patuhnya pemuda tersebut terhadap kalam Nabi s.a.w. Begitulah yang dapat penulis simpulkan daripada kuliah tersebut.


22 November 2007

Pagi keesokkannya yakni hari terakhir daurah para peserta disajikan lagi dengan Kuliah Dasar ke-7 yang menyentuh berkenaan tajuk “Aplikasi Qawaid Fiqhiyyah dalam Da’wah dan Tarbiyyah” oleh Ustaz Rasyid. Tajuk ini pernah dipelajari penulis semasa mengambil mata pelajaran Usul Fiqh tetapi perbezaannya ialah kuliah ini lebih menfokuskan Qawaid Fiqhiyyah di dalam aspek Tarbiyyah dan Da’wah. Nota ringkas yang diberikan oleh Ustaz Rasyid merupakan tulisan Dr. Abd. Rahman Ahmad Al-Jur’ie, seorang pensyarah di Kuliyyah Syariah, Universitti Al-Malik Khalid di Arab Saudi.

Antara Qawaid Fiqhiyyah yang diberikan sebagai contoh yang boleh diaplikasi ialah Al-Umuri Bimaqasidiha (Setiap perkara adalah berdasarkan maksudnya). Bab ini membahaskan berkenaan niyyah atau tujuan kerana semua sedia mkalum bahawa tidak sah sesuatu amalan tanpa niyyah. Dan seperti mana berdasarkan Imam Al-Subki daripada niyyahlah kita dapat membezakan antara adat dan ibadat. Oleh itu, nilai aktiviti tarbiyyah dan da’wah bergantung kepada niyyah yang dipasang. Jika ia bertujuan kerana ingin mengisi masa lapang, kepentingan duniawi atau kemasyuran semata maka itulah yang akan para da’i itu perolehi. Juga dalam menegakkan kebenaran dengan hujah-hujah yang mapan adalah sebahagian daripada aktiviti tarbiyyah dan da’wah, tetapi ianya tidak dapat lari daripada kemungkinan dicemari dengan perasaan bangga diri, takbur, dan merendahkan orang lain. Maka para da’i seharusnya memurnikan niatnya terlebih dahulu dalam menelusuri aktiviti tarbiyyah dan da’wah.


Dalam Kuliah Dasar ke-8, para peserta disajikan dengan Forum daripada Ustaz Zain Y.S dan Dr. Imran,penulis pertama kali mendengar kedua-dua tokoh ini memberi pandangan mereka dalam tajuk “Di Mana Kita Dengan Akhlak Para Salaf Al-Soleh?”. Forum ini sememangnya agaka santai tetapi ianya begitu berisi kerana Ustaz Zain Y.S yang telah hampir 10 tahun mengendalikan al-ahkam.net berhadapan dengan pelbagai masalah akhlaq para da’i dan sesungguhnya ianya tidak berlaku jika mereka mempunyai manhaj yang jelas, manhaj seperti mana para salaf menjaga akhlaq mereka dalam semua hal baik berhadapan dengan rakan seperjuangan sehinggalah berhadapan dengan ahlu bid’ah atau orang kafir, semuanya perlu memikirkan kesan jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Jika sesama rakan seperjuangan yang ingin menegakkan sunnah kita berkelahi maka perjuangan sunnah ini semestinya tidak akan sampai ke mana. Ilmu yang benar jika disampaikan dengan ahklaq yang salah akan menyebabkan para mad’u itu berat hati untuk menerima kebenaran walaupun ianya jelas, indah lagi benar.Penulis hanya mampu tersenyum mendengar contoh-contoh yang diberikan. Atas sebab akhlaqlah mesej sunnah yang ingin disampaikan selalunya terbantut di pertengahan jalan. Lihat sahaja baik di forum-forum mahupun realiti mereka yang dikatakan pejuang sunnah masih bertikam lidah sesama sendiri apatah lagi dengan orang yang tidak sefahaman dengan mereka. Maka atas dasar ini lah seseorang yang mempunyai manhaj Salaf Al-Soleh yang jelas seharusnya berkerjasama dalam perjuangan ini bagi memartabatkan sunnah, lebih-lebih lagi apabila pengetahuan tentang sunnah amatlah sedikit di Malaysia ini. Pemerhatian penulis sepanjang menjadi pembaca setia di al-ahkam.net selama beberapa tahun amat mengecewakan apabila ramai yang lebih suka berjidal dalam menegakkan pendapat masing-masing sehingga perbincangan itu tidak kelihatan ilmiah. Maka sudah semestinya moderator seperti Ustaz Zain Y.S memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak muda yang baru berjinak-jinak dengan sunnah ini. Ini kerana dikhuatiri mereka yang lagak berjiwa besar dalam dunia virtual ini terbawa-bawa akhlaq yang kurang elok itu dalam dunia realiti yang mana dunia ini sekarang memerlukan pendakwah yang bijak dan berhikmah. Berkata Syeikh Nasiruddin Al-Albani rahimahullah :-


"Wajib atas kita untuk berlemah lembut di dalam dakwah kita terhadap orang-orang yang menyelisihi kita, dan jadikan selalu firman Alloh Ta'ala berikut (sebagai pegangan) dan untuk selamanya.Serulah mereka ke jalan Rabb-mu dengan hikmah dan nasehat yang baik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."Dan mereka yang pertama lebih berhak untuk kita terapkan hikmah ini adalah mereka yang paling memusuhi kita di dalam dasar (mabda') dan aqidah kita, hingga kita tidak menggabungkan antara beratnya dakwah yang haq yang Allah memperteguh kita dengannya dengan beratnya cara (ushlub) kita berdakwah kepada Allah Azza wa Jalla”



Petang 22 November pula setiap peserta dikehendaki mempersembahkan hasil kumpulan masing-masing. Hasil yang dimaksudkan di sini ialah risalah atau phamplet yang akan digunakan untuk menyebarkan da’wah baik pada Muslim dan Non-Muslim. Alhamdulillah timbul kesedaran dari para peserta untuk mengfokus sama terhadap Non-Muslim selain mesej umum kepada Muslim sahaja. Sasaran yang lebih luas dan umum semestinya dapat menarik perhatian orang awam dan itulah strategi yang terbaik untuk menaraik perhatian orang awam tidak kira Muslim atau Non-Muslim terhadap keindahan Islam. Setiap kumpulan dilihat cuba mempertahankan risalah masing-masing sebagai risalah terbaik dan ternyata dalam masa yang singkat para peserta daurah mampu menghasilkan risalah yang cantik dan menarik. Cuma ada beberapa sub-tajuk yang dirasakan kurang releven apabila cara penyampaian di dalam risalah yang ingin diberikan kepada orang awam dirasakan kurang berkesan.

Penulis juga sempat juga memberi beberapa tips untuk para peserta dalam melakukan da’wah baik dari segi penampilan mahupun persediaan mental dan fizikal. Mengenali manhaj berda’wah sepanjang bersama Bro. Shah Kirit, Bro. Lim Jui Soon, dan Bro. Ungku Fauzi dalam subjek Perbandingan Agama di Islamic Information Service sedikit sebanyak membantu penulis memahami cara berda’wah kepada Non-Muslim dengan lebih berkesan. Hujah atau fakta merupakan perkara kedua yang perlu diambil kira kerana cara atau metod penyampaian meruapakn tunjang dalam mempersembahkan kebenaran. Inilah kelemahan utama yang dialami kebanyakan para dai’ kini. Islam yang indah dan benar itu jika disampaikan dengan cara atau metod yang salah maka tidak mustahil ianya dilihat buruk dan salah.


Pengalaman turut serta dalam program ‘Gegaq Da’wah’ merupakan idea yang sungguh bernas. Ia dapat mewujudkan kesedaran terhadap kewajiban berda’wah di kalangan para peserta. Cuma apa yang dikesalkan penulis ialah apabila ada peserta yang ‘kurang’ kreatif dalam berda’wah. Hanya disebabkan pengedaran risalah di dalam Queensbay Mall tersebut disedari dan ‘dihalau’ pegawai keselamatan serta pihak pengurusan di situ, para peserta seperti lemah semangat dan berputus asa.
وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” [Ali Imran 3:139]

Banyak komen dari para peserta yang tidak berpuas hati dengan pihak penganjur daurah. Penulis kurang pasti apa yang bermain dalam minda para peserta.Apakah mereka yang lemah semangat dan berputus asa merasakan berda’wah ini mudah?

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُو
نَوَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Tuhan mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta"[ Al-Ankabut 29:2-3]

Selepas diberi amaran oleh pihak pengurusan untuk memanggil polis menahan kami penulis berulang kali mengingatkan sahabat-sahabat penulis di luar Queensbay Mall tersebut bahawa da’wah Rasulullah di Thoif dahulu lebih teruk dari ini, para salaf dibaling batu,tahi dan sebagainya tetapi para dai’ kini amat mudah berputus asa dengan ngomelan bahawa kita salah memilih kawasan da’wah. Ini sepatutnya tidak berlaku bagi mereka yang mempunyai manhaj, penulis sedikit terkilan apabila ada yang balik dengan tangan memegang lebihan risalah yang sepatutnya diedarkan. Kreatif dan kritis dalam berda’wah adalah sangat penting. Penulis yang ‘dihalau’ menukar strategi bersama teman-teman lain ke kawasan berhampiran Queensbay Mall dan pengedaran risalah di sekitar kawasan itu lebih bermakna kerana sasaran kumpulan utama penulis yakni Non-Muslim banyak di sekitar itu memandangkan kedai mereka dibuka berhampiran Queensbay Mall. Ternyata pengalaman dalam berda’wah itu penting dan penulis bersyukur apabila pernah terlibat dalam beberapa program da’wah dan semestinya lebih banyak program da’wah yang kita ikuti maka lebih banyak pengalaman yang dapat kita bina dalam menghadapai situasi-situasi tertentu. A’la kulli hal, penulis pasti bahawa setiap ilmu dan pengalaman yang ditimba para peserta daurah mencorak hidup mereka dalam melalui liku-liku kehidupan perjuangan sunnah yang semakin mencabar dari sehari ke sehari. Penulis merasakan hendaklah para peserta tetap teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan manhaj para Salaf Al-Soleh dan saling bantu membantu dan bergembleng tenaga bagi memastikan sunnah Rasulullah s.a.w dijunjung tinggi.

فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة

“Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham, dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bid’ah sedangkan setiap bid’ah itu adalah sesat”
[14]

Wallahua'lam.

___________________________________________________
[1] Malik Ibn Anas, Al-Muwatta’ (bersama Syarh Az-Zarqani), Dar Al-Fikr, Beirut, t.th, No: 1727. Hadith
dinilai sebagai masyhur oleh Ibn ‘Abd Al-Barr Al-Qurtubi dalam At-Tamhid dan dinilai sebagai hasan oleh
Al-Albani dalam Misykat Al-Masabih, At-Tawassul dan Manzilah As-Sunnah. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah
atas talian:
http://www.dorar.net./mhadith.asp.
[2] Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyyah Wahabiyyah, Johor Bharu, Johor,
Perniagaan Jahabersa, 2003, hal. 74-75.
[3] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No:
4776, dan Muslim Ibn al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar al-Ihya’ at-Turath al-‘Arabi, 1991, No: 1401.
[4] Artikel asal di http://ibnyusof.blogspot.com/2007/01/aqidah-imam-4-mazhab-tentang-nama-dan.html
[5] Artikel Ustaz Abu Syuaib bertajuk Allah wujud tanpa bertempat Aqidah Muktazilah & Jahmiyyah di
http://yapis.blogspot.com/2007/03/allah-wujud-tanpa-bertempat-aqidah.html
[6] Sila rujuk jawapan kepapda tohmahan ini di dalam buku Dr. Azwira, Siapakah Ahlu Sunnah Sebenar?, dan
Hafiz Firadas Abdullah, Pembongkaran Ilmiah Salafiyyah Wahabiyyah. Penjelasan terhadap tohmahan
Zamihan Mat Zin Al-Ghari ke atas tokoh Ahlu Sunnah dan para tokohnya dengan membawa fakta-fakta
yang menyeleweng dijawab dengan besertakan bukti yang membuatkan Zamihan Mat Zin Al-Ghari tidak
dapat menjawab kembali pembuktian yang diberikan.
[7] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al- Harrani, Majmu al-Fatawa, Terbitan Waqaf, Arab
Saudi,1398H, 1:5-6.
[8] Manna’ Khalil Al-Qathan, Mabhats fi ‘Ulum Al-Hadiths terjemahan oleh Abu Ezzat Al-Mubarak dan
Azhariah Muhammad atas judul Cara Mudah Memahami Ilmu-ilmu Hadith, (Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur),
hal. 154.
[9] Hafiz Firdaus Abdullah, Mari Mengenal Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah, hal. 31.[10] Imam Al-Syahkawi
(906H), Al-Qaul Al-Badi’ Fi Fadhli Shalat ‘Ala Al-Habib Al-Syafi’ (tahqiq: Muhammad ‘Awwamah
Muassasah Al-Rayan, Beirut, 2002), hal. 472-473.
[11] Al-Albani, Tamam Al-Minnah Fi Al-Ta’liq ‘Ala Fiqh Sunnah, jilid 1, hal. 36.
[12] Dr. Wahbah Mustafa Az-Zuhaili, Al-Fiqhul Islami Wa Adilatuh, hal 413.
[13] Syeikh Atiyyah Saqar, Ma’usuatul Usrah Al-Muslimah.
[14] Silsilah As-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif, Riyadh, 1996, 6: 526, No: 2735.

Ibn Yusof

30 November 2007 / 21 Zulkaedah 1428

9.05 p.m