Tuesday, September 14, 2010

Apabila Murahnya Gelaran ‘Ustaz’ !

Ustaz. Satu kalimah power yang duduk letaknya hanya layak bagi yang tahu secara mendalam akan sesuatu bidang yang mereka kuasai. Dalam bahasa mudahnya, kita gelar sebagai pakar! Di Malaysia, al-Ustaz merujuk kepada ‘guru agama’ atau mereka yang pakar dalam hal ehwal agama. Untuk wanita (baca: Muannas), kita gelar sebagai ustazah. Kalimah power ini berdiri dengan sendirinya tanpa memerlukan kata lain sebagai akar mahupun sokongan.


Saya hanya tahu bahawa ia merupakan kalimat arab yang ‘dicedok’ daripada bahasa Parsi.Ustaz ialah martabat guru yang tertinggi, lebih tepat diterjemah sebagai ‘Professor’. Jika ingin mendapatkan gelaran ‘Professor’ di peringkat university, mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Tetapi mutakhir ini, gelaran ‘Professor’ di lapangan ini dengan mudah disandang oleh sesiapa sahaja di Malaysia.Tidak percaya? Anda hanya perlukan kopiah putih, serban, dan jubah, lebih ‘ummph!’ jika memegang tasbih.



Bukan salah saya apabila gelaran ini dirasakan ‘murah’ martabatnya. Ikuti kisah-kisah di bawah.



Ustaz Abu Berkopiah Putih


Ketika sedang berbincang dengan salah seorang teman, saya bertanyakan sesuatu dan balasnya."Bolehlah tanya Ustaz Abu nanti"



"Ustaz Abu? Siapa?" jawab saya pelik. Tidak kenal.



"Abu lah." jawab beliau sambil menunjukkan jarinya ke arah pintu. Waktu itu Abu baru sahaja keluar dari bilik mesyuarat.



"Ustaz?" sekali lagi saya tanya, dahi saya berkerut.



"Yelah, dia kan pakai kopiah putih."jawab dia slumber.



"Apakah kriteria seseorang mendapat gelaran ustaz?"bisik hati kecil bertanya. Itulah kali pertama saya mengajukan soalan sedemikian kepada diri sendiri, walaupun sepanjang hidup telah bertemu para guru yang saya sapa dengan gelaran ustaz.



Ya. saya tidak dibesarkan dalam bi'ah (persekitaran) ana-enti. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam universiti Islam, saya kaget. Ilmu saya tidak seberapa, boleh juga dikatakan tidak ada! Persepsi saya ketika itu sama sahaja seperti masyarakat awam. Graduan universiti Islam atau universiti timur tengah pasti melahirkan ustaz dan ustazah yang berkaliber, yang mampu membimbing dan menjawab semua persoalan masyarakat.



Tetapi peristiwa itu menyebabkan saya dilanda soalan pokok sebelum bergelar graduan. Siapa sebenarnya ustaz? (atau jika di negara seberang lebih dikenali sebagai Kiyai)
.


"Kita tahu siapa doktor, siapa jurutera, siapa guru, siapa peguam. TETAPI ustaz dalam masyarakat melayu tidak didefinisikan dengan jelas. Sepertimana jelasnya ahli mantiq mendefinisikan manusia yang jami' dan mani' sifatnya. Sekiranya disoal siapa ustaz, jawapannya masih kabur. Tidak seperti profesion yang lain. Seseorang tidak akan diiktiraf sebagai doktor melainkan tamat menjalani "housemanship'. Seseorang tidak boleh menggelarkan diri sebagai peguam melainkan dia tamat tempoh "chambering". Seorang akauntan hanya layak disebut akauntan setelah memperolehi ACCA. Tetapi tidak kepada seorang ustaz. Sesiapa sahaja dengan mudah boleh diberikan gelaran itu.



Bagi jumhur makcik, pakcik, maklong dan paklong di kampung, mereka mempunyai pengertian sendiri. Ustaz di sisi mereka, ialah sesiapa sahaja yang pernah menuntut di sebuah institusi yang wujud kalimah Islam atau bermusafir dengan tujuan belajar agama ke Timur Tengah. Asalkan pernah berada di Timur Tengah untuk belajar agama maka mereka layak memegang title ustaz setelah pulang. Ditambah dengan set kopiah, serban dan jubah yang dipakai, beberapa potong ayat quran dan hadith yang dihafal, satu dua fakta sirah yang dibaca, gelaran ustaz akan lebih kuat melekat pada diri ustaz. Pendek kata sesiapa sahaja yang pernah dalam hayatnya belajar agama dengan mudah akan menerima gelaran ini."



Solat Jenazah 2 Rakaat?


"Ada anak kawan ayah, lulusan Azhar, ahli keluarga dia meninggal dan kene tolak jadi imam waktu solat jenazah" ayah memulakan kisah.


Kami adik beradik mendengar tekun. Kisah graduan lulusan timur tengah.



"Ada ke waktu solat jenazah,tiba-tiba dia rukuk!" sambung ayah sambil ketawa.


Kami yang mendengar semuanya ketawa.



Lama kelamaan, ada pula versi cerita yang lebih kurang sama kisahnya bertebaran menjadi bahan-bahan lawak sesi ceramah dan tazkirah.



Ustaz ini memang Syaitan!


“Ustaz ni memang SETAN” kata teman sambil menggengam tangannya, mukanya merah padam.



“Sabar.” balas saya cuba menenangkan beliau.


Memang sukar untuk memahami perasaannya. Sang ustaz telah ‘merompak’ ratusan duitnya secara berdepan. Melalui ‘mileage claim’ perjalanan sepanjang bertugas, walhal kereta beliau yang Sang ustaz naiki, dengan duit beliau minyak kereta diisi.



Ini kisah benar.



Tambah Sang ustaz, “Tiada yang bergelar ustaz dalam jabatan ini kecuali saya”, respon sang ustaz suatu ketika dahulu.



Anda mungkin marah dan saya juga marah apabila institusi ustaz diperlekeh sedemikian rupa. Tetapi cuba kita becermin sejenak. Marah semata tidak akan merubah wajah ustaz. Kita perlukan revolusi dan revolusi perlukan PENGORBANAN. Jika tidak, kita bersetuju dengan mereka yang mengatakan "Ustaz memang begitu".



Institusi Ustaz diperlekeh: Salah siapa?


“Ringkasnya, pemahaman yang ada dalam benak kebanyakkan masyarakat seolah-olahnya tidak membezakan antara ustaz yang banyak bertalaqqi di jami’ dengan ustaz yang banyak bertalaqqi di internet, ustaz yang banyak mengumpul koleksi kitab dengan ustaz yang banyak mengumpul koleksi filem, ustaz yang banyak menziarahi masyaikh dengan ustaz yang banyak menziarahi shopping complex, ustaz yang harinya bermula seawal 5 pagi dengan ustaz yang harinya bermula selewat 12 tengahari, ustaz yang letih tidak cukup tidur menelaah dengan ustaz yang letih sebab tidur tidak menelaah, ustaz yang ‘berbuih’ mengajar adik-adik dengan ustaz yang ‘berbuih’ bersembang kosong, ustaz yang bersengkang mata bertahajjud dengan ustaz yang bersengkang mata berchatting, ustaz yang penuh didada dengan ayat Quran dan matan hadis dengan ustaz yang penuh didada dengan matan lagu dan nasyid, ustaz yang banyak menulis dengan ustaz yang malas membaca apa yang telah ditulis. Ustaz yang bekerut dahi merisaukan masalah umat dan ustaz yang berkerut dahi kecewa pasukan bola sepaknya gagal untuk mara ke perlawanan seterusnya. Ustaz yang sedar dirinya banyak kekurangan dengan ustaz yang tidak merasai apa-apa kekurangan. Anda teruskan sendiri senarainya. Yang penting, kesemuanya akan dibakulkan dalam dalam satu bakul yang sama setelah keluar daripada universiti Islam dan/atau pulang ke Malaysia, iaitu bakul ustaz.



Semuanya akan dipanggil ustaz. Ustaz-ustaz inilah nantinya akan diminta mengisi kekosongan kuliah di surau dan masjid, ceramah agama sempena Isra' Mikraj, Maal Hijrah dan Maulid. Ustaz ini nantinya diminta untuk mengisi khemah ibadah. Ustaz inilah nantinya akan ditanya masalah faraid, zakat, puasa dan solat. Ustaz inilah nanti diminta berkhutbah Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.


Maka ustaz ini jugalah yang nantinya akan berdolak dalik seribu alasan. "Bagi pada orang lain dulu", "Bidang saya lughah, saya tak boleh jawab tentang fekah", "Saya tak bersedia lagi, baru semalam balik dari Syria", "Saya tak pandai nak berceramah" dan beraneka alasan yang lain. Setelah bertahun di Timur Tengah, agaknya boleh ke makcik dan pakcik di kampung menerima semua alasan ini.



Tidak kurang juga yang mengagahkan diri menerima cabaran dek kerana tercabar membawa title ustaz. Akhirnya keluarlah fatwa-fatwa pelik lagi ajaib yang layak dimasukkan ke dalam "World Books Of Record". Lebih sedih jika ada yang berceramah, membawa gelaran ustaz tetapi memalukan pewaris Nabi melalui caci maki dan umpatan dalam kuliah dan tazkirah yang disampaikannya.


Masyarakat yang berfikir dan cermat memerhati menyimpulkan, ustaz hari ini hanya pada nama bukan ruh, hanya pada kata-kata bukan amalan, hanya pada idea bukan perlaksanaan, hanya pada kulit bukan pada isinya. Ustaz tidak mampu memimpin dan membimbing masyarakat. Ustaz hanya pandai bercakap (baca: menggoreng). Dakwah ustaz tidak berhikmah. Ustaz tidak progresif dan dinamik. Pendekatan ustaz tidak approachable. Ustaz tidak up to date. Ustaz tidak itu dan ini.”



Luahan seorang pelajar di Dimasyq atas judul “Ustaz Memang Begitu” yang saya nukilkan ini tidak memberikan masyarakat kita jawapan, tetapi berkehendak masyarakat terus berfikir dan menilai orang yang selama ini menjadi rujukan mereka. Diakah Ustaz?



Antara Ustaz, Protaz, Tazpro


Kebelakangan ini pelbagai nama baru cuba dikomersialkan, Protaz yang secara amnya merujuk kepada individu yang tidak berlatar belakangkan pendidikan agama kemudian menceburi bidang agama, manakala Tazpro pula secara amnya merujuk kepada individu yang berpendidikan agama tetapi menceburi bidang pendidikan professional seperti bidang ekonomi, engineering dan sebagainya. Pendidikan agama dan pendidikan yang dianggap dunia kedua-duanya adalah ilmu yang mesti diberikan penekanan dalam menjalani kehidupan zaman ini, hanya sahaja pengkategorian ilmu Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah membuatkan ilmu agama ditimbang lebih berat di sisi ilmu dunia yang lainnya. Juga tidak lupa kerana ilmu agama menyelamatkan individu di dunia dan di akhirat.



Adapun istilah Protaz mahupun Tazpro semua ini (pada pandangan saya) hanyalah suatu istilah bagi mengisi kelompongan institusi ustaz. Namakanlah apa jua istilah, asalkan individu itu mencari ilmu dunia dan akhirat demi membantu dan menyumbang kepada umat Islam. Tetapi mengapa perlu kita ambil kisah tentang istilah ‘Ustaz’? Bukannya istilah ‘Professor’ yang mungkin sama maknanya. Kerana gelaran ‘ustaz’ merupakan jolokan kepada mereka yang bercakap tentang Islam!



Bolehkah masyarakat awam kini membezakan antara ‘Ustaz’ yang bercakap berdasarkan sangkaannya apabila ditanya sesuatu masalah dengan ‘Ustaz’ yang bercakap "Berikan saya waktu untuk mengkaji dalil-dalilnya dan menganalisa masalahnya. Setelah saya merasa yakin dengan kebenaran dalil-dalilnya, barulah saya akan beri pandangan yang saya rasakan benar.".


Maka jangan cepat melatah jika hari ini masyarakat mula meragui pada sesetengah insan yang bernama ustaz, ustaz yang menghafal skrip “Islam itu indah”, “Islam itu mudah”,”Islam itu solusi”!. Krisis keyakinan pada golongan agamawan berakar pada 1001 perkara pelik dan ajaib yang terbit dari kalam dan perbuatan ustaz. Bermula dari soal sikap, cara berfikir, cara bertindak dan sebagainya.



Saya bukan Ustaz, Ustut pun bukan


“Saya bukan Ustaz, Ustut pun bukan” kata seorang, pendakwah bebas. Dialog itu diulang-ulang setiap kali memperkenalkan dirinya di hadapan orang ramai dan mendatangkan hilai tawa para pendengarnya. Pendakwah bebas ini lebih selesa dirinya digelar ‘saudara’ atau Brother. Mungkin juga ramai tidak selesa menggelarkannya ‘Ustaz’ kerana dia adalah ‘saudara baru’ (walaupun sudah puluhan tahun beragama Islam). Cuma sahaja masalah murtad yang ‘saudara baru’ ini urus dan selesaikan mungkin sama banyak dengan jumlah orang yang dituduh dan dihukum murtad oleh sesetengah orang yang bergelar Ustaz.



Maka saya juga ingin berpegang kepada pernyataan beliau ini. Supaya diri ini boleh lupakan sejenak bab gelaran, dengan mengagungkan perilaku dan ilmu pengetahuan.



Justeru,para pembaca tidak perlu melatah. Artikel ini hanya sebuah pandangan, jika anda tidak setuju dengannya, bolehlah dibakul sampahkan sahaja. Tidak disertakan sebarang ayat Quran mahupun hadis Nabi dalam artikel ini. Cuma sekadar perkongsian peribadi yang barangkali setiap kita mempunyai seribu satu kisah tersendiri, kisah yang boleh menggoyahkan kepercayaan kita terhadap institusi ustaz yang dijunjung tinggi.



Saya hanya ingin berpesan tentang beratnya bebanan tanggungjawab yang dijunjung melalui gelaran dan istilah yang dikhuatiri boleh memakan diri jika tidak dipelihara penggunaannya. Tidak pula saya bermaksud menyalahkan mana-mana pihak yang membawa gelaran ustaz, malah saya menjunjung tinggi dan menghormati hak dan pandangan masing-masing. Cuma saya rasa jelek jika ada yang berkeras mahukan dirinya digelar ustaz.



Saya hanya pemerhati luar kotak seperti mana masyarakat awam yang dahagakan ilmu dan akhlak para ustaz untuk dijadikan contoh, golongan ustaz yang diangkat dan dipilih menjadi pewaris nabi. Apakah langkah Nabi yang ustaz warisi, atau langkah yang diri sendiri sangkakan Islami? Bagi yang bertempik atas anggapan artikel ini berat sebelah kerana tidak menceritakan sisi baik yang boleh diambil manfaat daripada golongan ustaz, saya mohon selami semula makna sebenar tajuk artikel ini sekiranya gagal memahami mesejnya.



Wallahu’allam.


Ibn Yusof

14 September 2010 / 5 Syawal 1431

9.08p.m

www.ibnyusof.blogspot.com


4 comments:

azlanshah | nabeeskhan said...

Masyallah,Satu artikel yang sangat menarik. Peringatan buat saya yang berada diatas landasan menuju gelaran ustaz ;)

BeauTiFuLGirL said...

salam....blh x saya copy artikal ini dalam blog saya??
amat berminat dgn artikal ini...
sbb sy kawan sy pernah berhadapan dgn seorg ustaz di perjabat agama....mmg kurang ajar...so bila bc artikal ini sy berminat utk masukkan dalam blog sy...blh x?? :)

Rani Rashid said...

saya peranh jumpe ustaz di Majlis Agama Islam Kelantan yang memang penipu hidup2..Muka tak yah cakap la..innocent je..tapi perangai dah semacam setan. Sama juga dengan dia nye Tok Kadi. Kadang2 terpikir, nama je Ustaz, Tok Kadi, Mufti la tu la..tapi perangai haram jadah..cam x pernah belajar pasal Islam. Kalau yg jahil ni cakap tipu boleh la diterima, ni seorang ustaz dan tok kadi..tinggi tu gelaran...tapi otak cam lembu, perangai cam setan. Habis camana nak suruh orang jahil hormat dia orang? Ni ibarat mak ketam ajar anak ketam berjalan. Mak ketam tu lagi senget...Saya respek orang yang belajar ilmu agama dan guna ke jalan benar, tunjuk peribadi mulia, cakap elok2 dengan orang, pandang orang lain sama rata bukan kerna pangkat atau harta...(Sori ayat berbaur kasar)

Ibn Yusof said...

Salam BeauTiFuLGirL,

Seperti mana yang saya tulis di sebelah kanan blog ini. "Permission is granted for reprint in print, email, blog, or web media if all the credits are attached and the titles remain unchanged."

Smoga perkongsian ini ada manfaatnya inshaAllah. Terima kasih :)