“Adik ada RM500 ribu dalam akaun bank?” tanya seorang perempuan muda pada saya ketika keluar dari bank.
Suatu teknik permulaan yang baik saya kira untuk ice-breaking. Saya hanya tersenyum dan mengambil risalah yang beliau cuba hulurkan. Tatkala saya cuba untuk beredar pergi, saya menoleh ke belakang dan melihat ibu saya telahpun ‘termakan’ pujuk rayu perempuan muda itu.
“Marilah dengar dulu.” kata beliau setelah berjaya menarik minat ibu saya. Ibu juga menyuruh saya turut serta.
Melihat kami berdua telah duduk dan bersedia mendengar penjelasan beliau. Perempuan muda tadi pun memulakan penjelasan beliau.
“Kita tidak ada duit sejumlah ini dalam akaun bank kita, maka kita perlu bersedia hadapi masa depan yang tidak pasti. Sebab itu kita perlukan perlindungan insurans ini,” petah benar beliau berhujah. Cuma sahaja telinga saya alergik mendengar perkataan insurans (konvensional) tersebut.
Beliau terus bercakap tanpa henti, “Hanya dengan beberapa ringgit sehari, kita boleh dapat coverage sebanyak RM500 ribu terutamanya dalam khairat kematian dan hospitalization.”
Saya segera cuba memotong cakap beliau, “Kenapa jual insurans? Takaful pula bagaimana?”.
Saya cuba bertanya lagi, “Bukankah ada perbezaan ketara antara insurans konvensional dan Takaful? Dari segi kontrak (akad), pelaburan (patuh syariah), retakaful dan lain-lain?”
“Oh! Sama sahaja Takaful dan insurans. Saya lebih galakkan insurans sebab coveragenya lebih banyak, RM500 ribu setahun berbanding Takaful RM250 ribu setahun.” kata beliau slumber.
Saya sudah tidak senang duduk mendengar penjelasan beliau. Jika saya ialah Takaful Operator yang beliau naungi, inilah antara perkara yang saya takuti apatah lagi bagi seorang wakeel berstatus muslim – Misrepresentation dan mis-selling.
“Saya ada terbaca, bukankah insurans konvensional haram?” provok saya menguji pemahaman beliau dalam bidang yang beliau ceburi sebagai kerjaya ini, tanpa dapat saya nafikan dorongan beliau mempromosi insurans konvensional berbanding Takaful adalah disebabkan coverage setahun yang lebih besar dan dilihat menguntungkan pembeli insurans konvensional berbanding Takaful.
“Ya, memanglah. Tetapi saya yang lulusan Azhar ini pun ambil insurans.” Sekali lagi jawapan beliau slumber sambil menghulurkan kad beliau yang tertera nama dan B.A(Hons) Al-Azhar. Ini sekali lagi membuat saya sedikit skeptik dengan penjelasan lulusan Azhar. Hati saya berbisik, “Mungkin lulusan Azhar dalam bahasa Arab,bukan dalam bidang muamalat, mana mungkin jika dalam hal ehwal halal-haram sebegini sahaja tidak dapat dibezakan,ini amat memalukan.”
Melihat saya masih lagi ragu-ragu, beliau pun cuba meyakinkan saya lagi, “Insurans ini Mufti Penang pun subscribe, malah Tuan Guru Nik Aziz pun sama. Yang bezanya hanyalah di mana pelaburan itu disalurkan, ke Dana Ekuiti atau Dana Modal. Jika Muslim subscribe insurans, saya selalunya akan letak pelaburan melalui Dana Ekuiti berbanding Dana Modal supaya pelaburan tu islamik.”
Saya tergamam mendengar penjelasannya. Salah satu teknik penjual memang suka menggunakan nama tokoh-tokoh besar untuk melariskan perniagaan atau perbuatannya. Boleh sahaja saya tanya sumber kesahihanya, tetapi malas untuk berdebat panjang, maka saya hanya mampu tersenyum sinis mendengar penjelasannya.
“Bagaimana akak?” Tanya beliau kepada ibu saya yang hanya mendengar sahaja dari tadi. Beliau sebenarnya lebih cekap dan sudah cukup masak dengan benda-benda insurans sebegini. Cuma dari sudut islamik atau tidak, ibu selalu bertanyakan pada saya.
“Akak ikut dia sahaja, dia lebih tahu.” Jawab ibu saya ringkas, seolah-olah tidak mahu terlibat sama dalam perbincangan yang dilihat merumitkan.
“Oh, adik ini masih belajar? Di mana.” soal beliau. Saya masih lagi tersenyum.
“Di UIA,dalam bidang ekonomi.” jawab ibu pantas.
“Jika begitu mungkin adik lebih tahu tentang perkara ini?” beliau sudah tersipu-sipu entah mengapa, saya tidak tahu.
“Tahulah sedikit, tidak banyak.” jawab saya mengenangkan benda-benda asas dalam subjek Takaful yang saya pelajari semester itu.
Perbualan ini berlaku sudah lama, coverage dan polisi antara insurans dan takaful juga sedikit sebanyak telah berubah. Kini coverage insurans dan Takaful sudah sama dari sudut jumlahnya. Tidak lagi wujud ruang perbezaan ketara seperti perbualan di atas. Apakah anda agak saya akan jadikan orang sebegini sebagai agen Takaful saya? Saya juga tidak ingat bagaimana saya ‘melepaskan’ diri dari perbincangan tersebut dari pergi jauh. Tetapi saya masih ingat bagaimana saya 'basuh paradigma' beliau tentang perbezaan ketara insurans dan takaful (yang pada beliau hanya dilihat dari sudut pelaburan) kerana ia melibatkan halal dan haram yang jelas.
Saya memilih untuk berkongsi cerita ini dengan para pembaca bukan sekadar untuk menekankan tentang pengharaman insurans yang saya kira wajib untuk setiap muslim tahu, tetapi juga para agen muslim yang seharunya sedikit bijak dalam berbicara dan mengajak muslim yang majoritinya masih tidak bertakaful.
Jangan kerana kelancangan kita berbicara, imej Islam nampak buruk!
Ini belum lagi kisah agen (baca:wakeel) yang tidak menerangkan kepada pemegang polisi hak dan keistimewaan yang mereka dapat, yang bersetuju dengan polisi juga bersalah apabila tidak bertanya hak dan keistimewaan yang mereka layak dapat. Makanya kedua-dua pihak yang berkontrak bertanggungjawab atas apa yang dipersetujui, jangan pula kelak bila timbul masalah barulah ingin menuding jari di antara satu sama lain.
Hari ini ramai kawan-kawan saya menjadi agen Takaful. Saya yakin mereka lebih bijak dalam menjelaskan kepentingan Takaful yang ramai umat Islam kini pandang enteng. Di sebalik menghadapi masalah ramai umat Islam yang masih tidak mendapatkan takaful, wujud juga cabaran lain apabila sungguh ramai di luar sana yang telah berasa selesa dibaptiskan dengan insurans konvensional (peribadi,kereta,rumah dan lain-lain) yang saya kira amat penting untuk kita sama-sama sedarkan. Atas dasar itu saya berasa kagum dengan mereka yang menjadi agen Takaful (tidak kira apa jua nama Takaful yang anda promosikan). Semoga usaha kita semua menjadi salah satu aspek jihad ekonomi dan memberikan rezeki yang halalan thayyiban.
Sekadar perkongsian dan nasihat bagi mereka yang mengambil berat.
Courtesy to:
Ibn Yusof
9 Mei 2010 / 24 Jumad Awal 1431
2:58 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com
9 Mei 2010 / 24 Jumad Awal 1431
2:58 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com
1 comment:
Assalamua'laikum....
yang sebenarmya, sistem takaful ini telah wujud sejak zaman para nabi kan... persoalannya, adakah perlaksanaannya masih sama pada zaman moden ini....??? apa pendapat saudara dan menurut fakta yang saudara tahu.....???? sekian.
Post a Comment