Pengharaman insuran konvensional bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi kerana ianya suatu sistem yang dipakejkan dalam beberapa pembelian seperti rumah dan kereta, ramai umat Islam yang tidak dapat mengelak daripada terbelit dalam sistem konvensional ini. Beruntunglah bagi mereka yang mengetahui dan mampu mengelaknya, dan rugilah bagi sesiapa yang telah terbelit dalam sistem konvensional ini, lebih teruk mereka yang merasa selesa walaupun tahu tentang status pengharaman insuran ini.
Mengapa kontrak insuran menjadi haram?
- Riba
Riba adalah satu unsur yang jelas diharamkan di dalam Islam dalam apa jua transaski. Dan ianya berlaku dalam kontrak insuran konvensional. Hal ini berlaku kerana insurans konvensional merupakan suatu kontrak perniagaan dan termasuk daripada kalangan kontrak pertukaran pemilikan kewangan ('Uqud Mu'awadat Maliah). Oleh itu, kontrak Insurans termasuk kepada kontrak sarf iaitu pertukaran nilai wang dengan nilai wang.
Ø Penjual: Syarikat insurans
Ø Pembeli: Pencarum
Ø Benda yang dijual: Jaminan kewangan terhadap musibah tertentu
Ø Harga: RM1, 200 setahun (melalui anggaran RM100 sebulan)
Riba wujud dalam insurans ini apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum yang terkena musibah. Wang yang dibayar pencarum semestinya tidak sama jumlahnya (dalam kebanyakan kes) jika dibandingkan dengan jumlah yang dibayar oleh syarikat insuran. Wang merupakan barangan ribawi, seperti mana yang disebutkan di dalam hadis Nabi seperti berikut:
ü Sama nilai (Mithalan Bi Mithlin)
ü Diserahkan ketika muamalah dilakukan (Yadan Bi Yadin)
Makanya contoh dalam kes insuran konvensional, wang (emas dan perak diterjemahkan juga sebagai wang) daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans ternyata tidak menepati syarat-syarat di atas. Maka dua jenis riba yang diharamkan berlaku:
i. Riba al-Fadhl (Perbezaan nilai dalam pertukaran barangan ribawi)
Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza iaitu tidak sama nilai dalam urusniaga dua barangan ribawi. Seperti contoh kes di atas, pencarum membayar RM1,200 setahun, tetapi apabila berlaku musibah, pencarum akan mendapat wang berjumlah RM50,000 (contoh jumlah polisi yang dibeli). Maka jumlah premium yang dibayar adalah tidak sama dengan jumlah wang yang diterima melalui syarikat insuran. Inilah contoh riba al-fadhl yang berlaku. Justeru jelas apabila tiada unsur sama nilai (Mithalan Bi Mithlin) dalam kebanyakan kes melibatkan jumlah premium yang dibayar dan jumlah pampas an yang diterima.
ii. Riba an-Nasi’ah (Pembayaran bertangguh dalam dua barangan ribawi)
Berlaku penangguhan dalam kontrak insuran konvensional dalam pertukaran barangan ribawi yakni wang yang dibayar dan wang yang diterima oleh pencarum. Itu juga sekiranya berlaku musibah seperti yang dinyatakan di dalam kontrak, sekiranya tidak berlaku sebarang musibah, maka wang tersebut tidak akan diterima oleh pencarum insuran. Contohnya seperti kes di atas, RM1,200 premium dibayar setahun, dan RM50,000 hanya diterima oleh pencarum secara tangguh, itu juga sekiranya berlaku musibah, maka jika tidak berlaku sebarang musibah, pembayaran premium itu akan dianggap keuntungan bagi pihak syarikat insuran.
Hatta jika ada yang ingin berhujah bahawa insuran menggunakan kontrak sosial (Tabarru’) dan kerjasama (Ta’awwun) untuk memperbaiki kerosakan atau musibah, riba masih tetap berlaku dalam pampasan yang dijanjikan memandangkan keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran melibatkan riba seperti hasil tetap dan transaksi berunsurkan riba.
- Gharar (Ketidak jelasan)
Al-Gharar menurut bahasa diertikan sebagai kekurangan, bahaya, kecenderungan yang mengarah kepada ketidakjelasan. Manakala dari sudut istilah pula al-gharar adalah sesuatu yang telah ditutup akibatnya atau tidak diketahui. Ada juga para ulamak fekah yang mendefinisikan dari sudut istilah sebagai sesuatu yang tidak diketahui hasilnya. Berikut beberapa pandangan dan definisi ringkas para ulamak tentang konsep ini:
ü Imam Al-Sarakhsi: Gharar ialah tidak jelas akibatnya
ü Imam Al-Qarafi: Gharar ialah tidak diketahui sama ada berhasil ataupun tidak
ü Imam As-Syirasi: Gharar ialah sesuatu yang tersembunyi dan tidak diketahui akibatnya.
ü Imam Ibn Hazm: Gharar ialah pembeli tidak mengetahui benda yang dibelinya dan penjual tidak mengetahui perkara yang dijualnya.
ü Ibn Taimiyyah: Gharar dalam kontrak berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi menerimanya.
Antara bukti pengharaman ketidakjelasan (al-gharar) ini daripada hadis yang bermaksud:
“Rasulullah melarang daripada berjual beli dengan kewujudan ketidakjelasan (al-gharar)” [Dikhabarkan oleh Imam Muslim]
“Rasulullah melarang daripada menjual barang (secara melontar batu) dan jualan yang mempunyai ketidak jelasan (al-gharar)” [Dikhabarkan oleh Imam Baihaqi]
v Tidak diketahui dengan jelas samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan.
v Tidak diketahui kadar bayarannya.
v Tidak diketahui bila masanya.
Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah yang dibayar oleh kedua-dua belah pihak tidak diketahui sepanjang sesi kontrak. Contohnya, syarikat insuran mungkin terpaksa membayar pampasan sejurus selepas pembayaran premium yang pertama pada bulan pertama, akibat daripada berlakunya musibah yang disebut di dalam kontrak dan syarikat insuran terpaksa membayar pencarum, atau musibah tidak pernah berlaku dan pencarum membayar untuk sesuatu yang tidak berlaku.
- Maysir (Perjudian)
Secara istilah arab, maysir difahami dengan maksud pertaruhan (Qimar) dan balingan (Aqdan) untuk membahagikan bahagian-bahagian daging unta dengan cara-cara tertentu. Adapun maysir atau perjudian ini bermaksud risiko yang melibatkan harapan untuk memperoleh hasil dan ketakutan menghadapi kerugian, yang bukan merupakan keperluan dari salah satu aktiviti normal dalam kehidupan. Islam melarang perjudian dan sebarang aktiviti permainan nasib seperti yang dimaksudkan dalam firman Allah berikut:
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” [Surah al-Maidah 5:90]
Dalam sistem insurans, mengapa dikatakan mempunyai unsure perjudian adalah kerana kontrak antara pemegang polisi atau pencarum dan syarikat insuruan, wujud kesamaran dalam keuntungan samada pencarum peroleh keuntungan akibat diselematkan daripada kerugian akibat musibah yang berlaku, atau syarikat insuran peroleh keuntungan kerana mendapat premium yang dibayar tetapi tidak perlu membayar pencarum sekiranya tidak berlaku musibah seperti mana dalam kontrak. Ini bermaksud berdasarkan sesuatu kejadian yang tidak pasti terjadi yang mana ianya berlaku atau tidak,asas sebegini lebih merupakan satu pertaruhan atau loteri.
Bukankah situasi ini sama seperti perjudian, yang mana jika dianalogikan, syarikat insuran memainkan peranan seperti pemilik kedai judi, dan pencarum umpama mereka yang membuat taruham, sekiranya taruhan yang dibuat terkena, pencarum memperoleh keuntungan manakala sekiranya taruhan tidak berlaku, syarikat insuran yang memperoleh keuntungan.
- Jahalah (Ketidak tahuan)
Unsur jahalah ini berlaku disebabkan ketidak tahuan, atau lebih tepat ianya berkait rapat apabila berlakunya gharar (kesamaran atau ketidak jelasan). Maka apa jua yang melibatkan jahalah, juga menyebabkan wujudnya unsure gharar. Mazhab Hanafi berpendapat bahawa objek yang dijual atau harga barangan yang dijual beleh menyebabkan ketidak tahuan yang utama (jahalah fahisha), hal ini yang boleh menyebabkan perbezaan pendapat, perselisihan, pertengkaran, hasilnya jual beli itu dianggap cacat.
Para ulamak secara umumnya menkategorikan jahalah fahisha kepada beberapa aspek yakni
ü ketidak tahuan objek yang dijual
ü ketidak tahuan harga objek dijual
ü ketidak tahuan tempoh kontrak
ü ketidak tahuan cara perekodan kontrak
Dalam kes insuran konvensional, insuran nyawa contohnya, jumlah yang dibayar oleh pencarum dan syarikat insuran boleh bertambah dan berkurang. Selain itu, jumlah yang perlu dibayar oleh satu pihak syarikat insurans diketahui jumlahnya sekiranya berlaku kejadian yang dinyatakan di dalam kontrak, manakala jumlah bayaran premium oleh pencarum masih lagi samar. Maka tindakan kedua-dua pihak di dalam kontrak bertindak dalam keadaan tidak mengetahui sama ada keuntungan atau kerugian yang akan mereka alami sepanjang tempoh kontrak.
- Bertentangan dengan hukum Fara’id
Insuran konvensional dikatakan bertentangan dengan hukum Fara’id di dalam Islam kerana pihak pencarum telah lebih awal meletakkan bahagian terhadap wang khairat kematian itu kepada penerima manfaat (beneficiaries) ke atas harta yang bakal pihak pencarum miliki. Walhal melalui sistem Farai’d harta pihak pencarum sekiranya beliau meninggal hendaklah dibahagikan mengikut bahagian yang telah ditetapkan. Berdasarkan hukum Fara’id, pihak pencarum tidak boleh meletakkan sesiapa sahaja menjadi penerima manfaat atas harta atau jumlah wang tersebut.
Malah, ada juga kes yang mana dalam sistem insuran, sesiapa sahaja boleh diletakkan sebagai penerima manfaat, sebagai contoh kes apabila pihak pencarum meletakkan haiwan peliharaannya sebagai penerima manfaat, maka selepas kematian pihak pencarum, duit khairat kematian itu menjadi milik haiwan peliharaan tersebut. Malah ada juga kes yang meletakkan tunang sebagai pihak penerima manfaat. Semua kes begini jelas bertentangan dengan hukum dan ilmu Fara’id.
- Bertentangan dengan konsep Qadha dan Qadar
Sistem insuran yang dipopularkan oleh sistem konvensional ini dilihat bertentangan dengan keimanan seorang Muslim, yang mana salah satu rukun iman ialah beriman dengan Qadha dan Qadar.
Menjadi keimanan seorang Muslim bahawa wajib percaya bahawa segala sesuatu yang telah terjadi dan yang akan terjadi, semuanya itu menurut apa yang ditentukan dan ditetapkan oleh Allah, sejak sebelumnya (zaman azali).
Oleh itu, mengganggar ketentuan dan ketetapan masa hadapan dalam bentuk ramalan adalah diharamkan kerana hanya Allah yang mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
- Ketidak adilan
Dalam sistem insuran konvensional, pihak syarikat insuran meletakkan klausa di dalam kontrak yang mana premium yang dibayar akan pihak pencarum akan kehilangan hak atas premium yang telah dibayar. Syarikat insuran sentiasa memiliki kelebihan dalam hal sebegini terutama dalam hal-hal seperti pihak pencarum atau pemegang polisi tidak memberikan pendedahan yang cukup, tidak berlaku musibah seperti yang dinyatakan di dalam kontrak, dan sebagainya.
Kehilangan wang premium yang dibayar itu, baik ianya separuh ataupun kesemuanya, adalah bertentangan dengan Shari’ah kerana wang yang dibayar itu adalah satu bentuk pembayaran yang melibatkan kepercayaan pencarum kepada pihak yang menjamin. Islam melarang sekiranya transaksi sedemikian hanya menguntungkan dan member manfaat hanya kepada satu pihak walhal pihak lain mendapat kerugian dan ketidak adilan berlaku, walaupun telah mendepositkan duit dengan niat yang baik.
Kesimpulannya,
1. Jika anda seorang agen insuran dan berstatus Muslim – berhenti mempromosikan polisi insuran konvensional dan beralihlah kepada mempromosi polisi Takaful, insuran Islamik yang bertunjangkan konsep al-Tabarru’ (sumbangan) dan al-Ta’awwun (kerjasama). Jika anda ejen Takaful dan insuran, berhenti mempromosikan polisi konvensional ini bagi mengelak diri anda dari terus terbelit dengan polisi yang bercanggah dengan hokum syarak ini.
2. Jika anda seorang pemegang polisi insuran- Anda boleh memilih untuk berhenti dan mencari alternatif dengan beralih kepada polisi Takaful yang kini menawarkan perkhidmatan yang sama seperti mana insuran konvensional, baik Takaful Am mahupun Takaful Keluarga. Perlu diingat bahawa cubaan membezakan Takaful dan insuran konvensional adalah perbuatan yang tidak tepat kerana dua perkhidmatan ini hanya sama dari sudut luaran (form) tetapi tidak dari segi dalaman atau aspek operasinya (substance).
3. Jika anda belum mempunyai sebarang polisi insuran – Anda mempunyai kebarangkalian untuk terjebak dalam pembelian polisi insuran konvensional jika anda membeli kereta atau rumah kelak. Maka sentiasa beringat bahawa di awal pembelian, anda boleh memilih Takaful berbanding dipakejkan pembelian itu dengan insuran konvensional kuasa pengguna di tangan anda.
4. Jika anda seorang Muslim dan merasakan insuran konvensional dan Takaful tiada beza – Jika ini masih berlaku selepas membaca artikel ini, anda boleh berjumpa dan berdialog dengan agen-agen Takaful sedia ada bagi mendapatkan kepastian perbezaan insuran konvensional dan Takaful.
Semoga kita semua diselamatkan daripada sebarang transaksi yang bercanggah dengan hukum syarak.
Wallahu’allam.
Ibn Yusof
26 Mei 2010/ 12 Jumada Al-Akhir 1431
10:13 p.m